Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2013

imagesDefinisi : Seorang jundi dakwah yang merasai tidak tenteram terhadap kewibawaan Mas’ul atau Qiyadah [pimpinan] sehingga membawa kepada lemah ketaatan dan beriltizam dengan arahan pimpinan dan melaksanakan polisi-polisi jamaah .

Tanda-Tanda :
1. Memandang segala aktiviti yang dirancang jamaah dengan pandangan sinis dan tidak ada halatuju.
2. Sangsi atau menimbulkan keraguan terhadap segala qarar (keputusan) yang diputuskan jamaah.
3. Menimbulkan kesangsian terhadap polisi-polisi jamaah.
4. Menimbulkan kesangsian tentang perjalanan sejarah jamaah.
5. Menimbulkan keraguan perjalanan sejarah jamaah terhadap pemerintah.
6. Menimbulkan kesangsian terhadap sikap dan pendirian jamaah berdepan isu-isu semasa atau pendirian jamaah kurang memberi kesan dan pengaruh, bahkan kurang menggembirakan rakan seperjuangan dan menyakit hati musuh.
7. Menimbulkan kesangsian terhadap para pimpinan dan buruk sangka terhadap mereka.
8. Sentiasa memberi komentar tanpa alasan yang logik dan atas asas syarak dalam setiap isu dan perkara.
9. Tidak melaksanakan kewajipan sebagai akh dari sudut keanggotaan seperti tidak memberikan isytirokat,tidak menjaga kehadiran ke usrah atau jilsah, lemah penglibatan di dalam aktiviti jamaah atau rasa ragu-ragu di dalam melaksanakan tugsan jamaah yang dipertanggungjawabkan.
10. Lemah tingkahlaku dan akhlak Islam terutama di dalam hal ibadah dan muamalah.
11. Jelas menentang jamaah secara terang, termasuk pimpinan seperti keluar jamaah dan tidak taat keputusan.
12. Sentiasa melakukan kritikan sehingga ke tahap memburukkan peribadi pimpinan  dan menyembunyikan kebaikannya pada jamaah dari sudut sikap dan sejarahnya.
13. Melampau sehingga ke tahap memberikan wala kepada orang yang bukan dari ahli jamaah serta sentiasa merosakkan jamaah.
14. Mengadu domba dengan ikhwah lain dengan melakukan dosa dan permusuhan.
15. Menimbulkan fitnah di dalam sof jamaah serta perpecahan di dalam tanzim.

Faktor timbul krisis thiqah dan lemah iltizam.
1. Tidak jelas konsep taat dan seqah sebagai satu rukun Bai’ah.
2. Tidak redha dengan keputusan dan tindakan masul terhadapnya samada masul tersebut bertaraf Naqib,Murobbi, Mas’ul cawangan, Ketua Unit@Biro atau pimpinan pusat.
3. Persepsi yang salah dan tidak betul terhadap kepimpinan.
4. Sikap keras dan marah terburu-buru pihak pimpinan terhadap ahli bawahan.
5. Kelemahan Mas’ul dalam beriltizam dengan iltizam haraki dan iltizam tanzimi.
6. Kelemahan peribadi pimpinan dalam pelbagai aspek.
7. Qiyadah tidak mendengar atau menerima nasihat dari mana-mana pihak yang memberikan nasihat atau teguran jika terdapat kesalahan.
8. Tidak tercapai tiga objektif utama usrah iaitu taaruf-tafahum -takaful.
9. Terdapat di dalam tanzim ikhwah yang mutasaqitin (ikhwah futur) dan mereka mempengaruhi ikhwah lain.
10. Mas’ul tidak merawat masalah ikhwah pada masa yang sepatutnya dan terus membiarkannya.
11. Pimpinan tidak berwibawa dan dihormati.
12. Tindakan sebahagian pimpinan yang mempamerkan kehebatan sesama mereka serta diluar kawalan sehingga mengejutkan ahli bawahan seperti sikap mengeji,mencerca dan memberikan gelaran buruk terhadap pimpinan lain dengan ungkapan yang tidak sepatutnya.
13. Jalan dakwah adalah jalan yang panjang dan berliku, ada yang tidak mampu bersabar menanggungnya dan  mereka terus berputus sa.
14. Lemah ikatan antara pimpinan dengan ahli.[qaedah]
15. Ahli tidak memahami perancangan jamaah dan fasa yang dilalui jamaah.
16. Kurang sifat taqwa dan muraqabatullah pada pimpinan dan ahli.
17. Tarbiyah lemah dan tempoh pembinaan yang tidak mantap semasa di awal penggabungan di dalam jamaah.
18. Tamak dan rakus dalam mengurus kewangan jamaah, padahal Mas’ul tadi bukanlah orang yang diberikan amanah menjaga wang atau harta tersebut sedangkan ia amat diperlukan ahli-ahli lain. Contohnya dia menggunakan kewangan secara berlebihan dan melampau untuk penyokongnya sehingga menghalang ahli yang tidak menyokongnya dari mendapat bantuan.

Solusi :
1. Betulkan persepsi ahli terhadap pimpinan bahawa pimpinan bukan maksum.
2. Fahami konsep taat yang sebenar iaitu komited dan segera melaksanakan arahan pimpinan tanpa ragu-ragu terutama dalam melakukan perkara yang tidak disukai.
3. Memahamkan ahli konsep seqah dan kepentingannya di dalam  disiplin amal jamaie.
4. Menegur dan menasihati kesilapan Mas’ul dari pimpinan yang lebih atas kedudukannya di dalam tanzim dan diseqahi serta senior.
5. Pimpinan kena bersedia menerima teguran.
6. Pimpinan kena menjadi qudwah kepada ahli. Orang yang terbaik sebagai jundi akan menjadi ketua yang terbaik.
7. Pimpinan kena berusaha meningkatkan skill kepimpinannya dengan banyak membaca, tingkat ibadah dan menguasai kefahaman agama.
8. Ahli diberi kefahaman tentang perancangan jamaah,marhalah,matlamat dan wasilah jamaah.
9. Laksanakan dan jayakan matlamat usrah dengan penuh kesungguhan.
10. Setiap ikhwah perlu memahami tabiat jalan dakwah yang panjang dan sukar, yang menuntut kepada kesabaran dan menanggung kesusahan.
11. Sikap proaktif pimpinan di dalam menyelesaikan masalah dalaman tepat pada masanya.
12. Mengukuhkan hubungan antara pimpinan dan ahli melalui perbincangan dan pertemuan.
13. Meningkatkan kewibawaan pimpinan atau Mas’ul melalui daurah,taujih,tadrib dan muhasabah.
14. Ahli dan pimpinan perlu menjaga lidah dari melakukan adu domba, caci mencaci, mengeji, berdusta, mengeluarkan perkataan kesat dan keji, bersikap pemaaf dan  menghebohkan perselisihan sesama pimpinan di hadapan khalayak umum.
15. Memberi peringatan bahawa setiap akh akan berdepan dengan ‘Aqobat (halangan) di sepanjang jalan dakwah.
16. Memantapkan peranan agama, mengingatkan perasaan takutkan Allah dan mendorong pimpinan supaya bertaqwa dan merasai Muraqobatullah.
17. Memanjang tempoh tarbiyah, takween,taujih,irshad dan tasdid kepada akh sehingga matang pembinaannya sebagai akh di dalam tanzim.
18. Berlaku iffah di dalam mengurus harta umum seperti mengagih harta kepada ahli yang berhak dan memerlukannya di dalam tanzim.

[Ringkasan dan olahan dari buku Musykilat Tuwajihu al-Amal al-Islami ]

Read Full Post »

cinta

Definisi Futur

Lemah himmah dan fizikal dari melaksanakan bentuk-bentuk aktiviti dan tanggungjawab yang berbagai-bagai berkaitan dengan amal dakwah, amal tarbiyah dan amal harokah [tanzim]

Fenomena Futur
1. Aspek Ibadat

• Kurang memelihara diri untuk solat berjamaah di masjid.
• Lalai untuk selalu berqiamulalil.
• Tidak suka berpuasa sunat
•Kurang membaca al-Quran setiap hari minima sejuzuk bahkan kadangkala tidak membacanya langsung.

2. Aspek Harakiy
• Selalu lewat menghadiri wasilah usrah atau tidak langsung hadir
• Tidak hadir wasilah katibah,rehlah dan mukhayyam tanpa alasan.
• Lemah untuk melaksanakan tanggungjawab yang diminta berkaitan aktiviti jamaah samada yang bersifat umum atau khusus.

3. Aspek suluk
• Tidak prihatian atau lemah perhatian terhadap temujanji. Termasuk juga segi ketepatan masa.
• Lemah komitmen di dalam berpegang kepada hukum syarak terhadap diri, keluarga dan pergaulan harian.

4. Aspek ilmu
• Kurang membaca dan menngulangkaji serta berterusan membaca.
• Kurang menulis atau menghadiri wacana intelektual, majlis-majlis fiqh dan ceramah-ceramah ilmiah.

5. Aspek fizikal
• Lemah dari melakukan latihan-latihan kesukanan setiap hari atau memberi perhatian terhadap tubuh badan.

Penyebab futur :
Pertama : Ikhwah tidak faham hakikat marhalah yang dilalaui jamaah, mungkin ia menyangka jamaah di marhalah tanfiz sedangkan ia masih di marhalah takwen dan persediaan. Maka ia tidak menuntut dari ikhwah apa yang lebih diperlukan oleh fasa tersebut atau tidak perlu lebih dari apa yang ikhwah mampu lakukan.

Kedua : Ikhwah tidak tahu objektif dari setiap aktiviti yang dijalankan samada ia bersifat umum atau khusus seperti usrah,katibah, mukhayyam, rehlah, demonstrasi atau sambutan-sambutan perayaan.

Ketiga : Kemalasan naqib atau masul di dalam sudut ibadah, harakah, perilaku , menuntut ilmu dan riadah yang memberi kesan kepada anak buahnya. Juga buat para qiyadah yang akan membina lapisan kepimpinan selepasnya.

Keempat : Masul yang bertanggungjawab di dalam urusan tarbiyah gagal follow up perkara yang berkaitan dengan urusan tarbiyah.

Kelima : Muncul pelbagai halangan yang melahirkan perasaan lemah, kecewa di dalam diri akh berbanding keaktifannya sebelum ini.

Keenam : Banyak beban dan tanggungjawab yang digalaskan kepada ikhwah sehingga menjadikannya lemah atau gagal melaksankannya kerana ia diluar keupayaannya.

Ketujuh : Semakin bertambah dikalangan ikhwah orang-orang yang kecewa, frust dan putus asa.

Kelapan : Pengaruh persekitaran yang khusus terutama suasana kerja/peribadi yang mempengaruhi kehidupan ikhwah yang akhirnya membawa kepada futur.

Kesembilan : Pengaruh persekitaran yang melingkungi aktiviti ikhwah terutama pengaruh politik di dalam negara dan politik dalaman jamaah.

Kesepuluh : Ikhwah lemah aspek ruhi sehingga membawa lemah daya tolak untuk berpuasa, bangun malam dan sebagainya.

Kesebelas : Sibuk dengan kehidupan dunia, ikhwah menghabiskan masa di dunia kerjaya, membaiki kedudukan ekonominya, bekerja siang dan malam, tiada masa rehat sehingga dia tidak berdaya untuk solat berjamaah, bangun malam, berpuasa sunat dan sebagainya.

Kedua belas : Sedikit yang mendokong dakwah dan perjuangan ikhwah samada masyarakat setempat, di desa atau di Bandar. Tidak ada yang mahu membantu untuk melakukan kerja-kerja kebaikan dan boleh jadi jiran-jiran, teman sekerja atau saudara mara juga menjadi punca kepada futurnya ikhwah.

Penyelesaian :

1. Mengatasi penyakit kecewa dan putus asa yang ada dalam diri ikhwah. Seorang da’ie tidak akan pernah rasa kecewa dan putus asa dari pertolongan dan bantuan dari Allah, membnagkitkan citia-cita dan harapan di dalam jiwa para du’at akan ganjaran dan balasan dari Allah dan mengingatkan mereka bahawa Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakan amal mereka.

2. Menjelaskan objektif setiap aktiviti atau kewajipan yang perlu dilaksanakan ikhwah. Dengan ini setiap aktiviti yang dilakukan akan menjadi mudah dan mendorong ikhwah untuk melaksanakan dan menerima dengan rasa kepuasan. Sebagai contohnya wajib hadir usrah untuk mencapai ma’aani taaruf,tafahum dan takaful serta memperkenalkan ikhwah hakikat agamanya, menambah ilmu syar’ienya seperti ilmu fiqh ibadat dan muamalat sehingga dia mampu melaksanakan tuntutan agama dan mengekang dari melakukan maksiat.

3. Menjelaskan tabiat kerja dakwah dan ibadat yang dituntut daripada ikhwah untuk dilaksanakan. Pertama untuk menyakinkan ikhwah bahawa dia bertanggungjawab menyampai risalah dakwah, tidak ada  tugas yang lain lagi selain darinya. Keduanya menyakininya ikhwah bahawa dia diberikan ganjaran selam mana dia berterusan menyampaikan dakwah samada diterima atau ditolak oleh mad’unya.

4. Menjauhkan cara-cara atau perkara yang boleh melemah, melentur amal-amal dakwah dengan sentiasa membugar dan menyegar cita-cita dan semanagat di dalam diri ikhwah, mendorongnya untuk terus beramal dengan mencipta teknik-teknik baru, efisyen da dalam pembinaan individu muslim,kepelbagaian bentuk aktiviti tarbawi dan haraki, memberikan pujian kepada sifat-sifat positif dan terus memberikan galakan untuk beramal.

5. Memandang ringan dan jelek terhadap dunia kerana dunia itu sifatnya membinasakan diri. Nabi SAW mengingatkan di dalam hadis yang sohih agar tidak berlumba-lumba untuk merebut habuan dunia. Sanda Rasulullah SAW : “ aku takut kamu berlumba-lumba mengejar dunia sebagaimana mereka [umat sebelum kamu], maka ia akan membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka [umat terdahulu].”

6. Membaiki dan meningkatkan kualiti para naqib dari sudut ruhi, amali, emosi dan haraki :

6.1 Murobbi yang bersungguh-sungguh, memiliki mujahadah yang tinggi, sentiasa menjaga ibadat fardhu pada waktunya, berqiamulail, puasa sunat, membaca al_quran setiap hari, menghafaz sebahagian daripada ayat-al-quran, sentiasa menuntut ilmu dan mendalami ilmu akan menjadi qudwah kepada ahlinya bahkan memberikan pengaruh positif kepada mutarobbinya.

6.2 Jika ikhwah murobbi @ naqib tidak mampu menyiapkan dirinnya di tahap sebagai seorang murobbi @ naqib qudwah, maka mutarobbinya akan tetap di tahap yang sama, tidak ada peningkatan.

6.3 Jika diberikan beban kepada naqib dengan tanggungjawab yang banyak,dan   mampu mngoslahkan dirinya, maka dia akan menjadi seorang naqib memiliki qudwah solihah dan mendapat keuntungan, jika sebaliknya iaitu tidak ada peningkatan di dalam mengislahkan dirinya, elok dijauhkannya dari posisi tarbiyah kerana keberadaannya akan membawa kesan kepada ahli lain untuk rasa malas dan rasa futur.

6.4 Untuk merawat masalah futur para naqib, jamaah perlu ada manhaj khusus yang dapat membangunkan sudut ilmu,ruhi, haraki dan emosi seperti mengadakan daurah-daurah intensif, program-program seminar dan penetapan  tanggungjawab-tanggungjawab sebagai murobbi atau naqib yang perlu dilakukan di dalam pentarbiyahan mutarobbinya.

6.5 Tugas jamaah ialah melahirkan barisan murobbi yang proaktif dan qudwah di dalam semua aspek.

6.6 Langkah terbaik menangani isu murobbi yang futur, malas dan tidak mampu menjadi qudwah kepada ikhwah lain ialah menjauhkannya dari posisi taujih dan tarbiyah. Mengekalkannya akan membawa penyakit dan memunculkan penyakit baru kepada mutarobbinya.

6.7 Murobbi yang kuat di dalam segala dimensi kehidupan tarbiyah akan melahirkan individu-individu [mutarobbi] yang kuat di dalam lapangan hidupnya manakala murobbi yang lemah akan melahirkan mutarobbi yang lemah di dalam berdepan dengan kehidupan.

7. Melakukan mutabaah kepada ikhwah yang mengalami penyakit futur secara khusus dengan pelbagai cara seperti bertanya, memberikan taklif jadual muhasabah yang merangkumi tugasan yang diminta dan sebab-sebab tidak melaksanakan tugasan tersebut.

8. Membicarakan tajuk  ‘aqobat [rintangan] di sepanjang jalan dakwah kepada ikhwah.. Mengingatkan ikhwah bahawa  membicarakan tajuk rintangan ini tidak akan membangkitkan rasa futur, bahkan menjadikan ikhwah lebih aktif, roaktif, sanggup bersabar sehingga membawa kemenangan dakwah dan harakah. Juga perbicaraan ini menjelasdkan bahawa kemenangan tidak tercapai  hanya dengan kuantiti  yang banyak  dan persediaan yang cukup semata tetapi ia dengan taufik dan pertolongan dari Allah.

9. Memindahkan ikhwah ke persekitaraan baharu kerana persekitaraan amat mempengaruhi peribadi samada ia bersifat khusus atau umum. Jika ikhwah berada di dalam lingkungan persekitaran ikhwah yang futur dari sudut ibadah dan dakwah, maka sebenarnya dia berada di tempat yang merencat tarbiyah dan mereka yang lemah akan mempengaruhinya,. Sebaiknya  ialah menukar individu tersebut ke tempat yang sesuai bersama ikhwah yang  komited yang mampu merubah ikhwah tadi dengan kesan yang positif.

10.Memberikan taklif atau tanggungjawab dakwah dan harokah kepada ikhwah dalam lingkungan kemampuannya . berusaha menjauhkan dari memberikan tugasan di luar keupayaannya. Ini kerana Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kemampuannya. Perlu meraikan ikhwah dengan pengagihan tugas yang sebaiknya sesuai dengan kemampuan masing-masing, jika tidak dia tidak akan mampu melakukannya.

[Terjemahan dan olahan semula dari Buku Musykilat Tuwajihu Amal Islami tulisan Dr.Muhammad Abd.Qadir Abu Faris]

Akibat Dha’fu Tarbiyah

Pertama, akan muncul da’ie yang tidak mampu istiqamah di dalam mengikuti rentak perjalanan dakwah yang dinamik. Ia akan disibukkan dengan problem-problem individu dan semakin jauh dari aktiviti dakwah.

Kedua, munculnya daie-daie yang menginginkan kehidupan dakwah sebagai sesuatu yang ringan dan menyenangkan secara duniawi. Ketika perjalanan dakwah ini begitu panjang memerlukan pengorbanan yang banyak. Mereka cenderung menjadi orang yang ingin ‘hidup dari dakwah’ dan bukan ‘menghidupi dakwah’.

Ketiga, munculnya ketidakmampuan di dalam menjalankan misi dakwah di tengah-tengah masyarakat.

Keempat, akibat dari ketiga hal ini, dakwah disibukkan oleh permasalahan @ isu-isu internal yang menghilang energi dakwah, sehingga tidak mampu menjalankan misi-misi perubahan secara efektif. Misi utama dakwah adalah melakukan agenda perubahan dan pembaikan.

Kelima, akibat ketidakmampuan ini, timbul jarak kesenjangan antara harapan besar masyarakat dengan apa yang boleh diberikan oleh dakwah. Lalu terjadi krisis kredibiliti dan krisis legitimasi. Krisis ini makin bertambah dengan munculnya isu-isu negatif jamaah di dalam masyarakat .

Keenam, akan muncul pemikiran di kalangan da’ie yang lemah, untuk menarik kembali dakwah mundur ke belakang. Mereka merasa lebih selesa jamaah berada di fasa ekslusif dari berdepan di fasa terbuka.

[Ihdhiruu al-Aidz al-Harakiy _ Dr Fathy Yakan]

Beberapa Gambaran Negatif_Berhati-hati wahai Akh ad-Da’iyah

Pertama : Kering dan kosong hubungan yang kuat dengan Allah SWT.

Kedua : Meninggalkan amal-amal yang membuahkan ketaatan kepada Allah.

Ketiga : Memiliki sikap ego dan cabang-cabang keegoaan seperti u’jub, takabbur dan sebagainya.

Keempat : Berbangga dengan kebanggaan yang palsu dan bukan hakikiki [ izzatul iman ,izzatul ubudiyah, izzatul to’ah].

Kelima : Sibuk dengan kehidupan dunia hingga hilang fiqh keutamaan dalam kehidupan seorang da’ie.

Keenam : bersikap ambil mudah atau longgar sehingga terjebak di dalam perkara syubhat terutama soala muamalah yang akhirnya membawa kepada dosa dan haram.

Ketujuh :Tidak optima tenaga untuk dakwah sehingga berlaku pengangguran di dalam kerja-kerja dakwah.

Kelapan : Mengabaikan tanggungjawab pembentukan  rumahtangga muslim dan dakwah terutama memberi tarbiyah, taujih, mutaba’ah isteri dan anak-anak.

Kesembilan : Lemah ikatan ukhuwwah ,tanpanya tidak akan wujud kesejahteraan dalaman jamaah.

Kesepuluh : Berlaku zalim kepada akh iaitu memberikan penilaian yang tidak sepatutnya seperti mengangkat kedudukan akh tadi ke tahap yang tinggi dari yang sepatutnya atau memandang rendah kepadanya ketika dia dibenci dan bermusuh dengannya.

Antara bentuk kezaliman terhadap ikhwah ialah :

  • pandang rendah dan anggap akh belum berubah walaupun ternyata beliau sudah berubah.
  • tinggal atau abaikan untuk memberikan nasihat kepadanya, mengajaknya kepada kebaikan atau melarangnya dari kemungkaran atas alasan malu,takut dan raikannya.
  • mudah membuat rumusan atau kesimpulan apabila ketiadaan akh tanpa mendapat pandangannya terlebih dahulu samada dia bersetuju atau tidak.
  • sikap rasa cemburu yang tidak terpuji terutama terhadap kelebihan yang ada pada akh seperti  berusaha menutup kelebihannya kepada ikhwah lain, menghalang amal dakwahnya, sentiasa berusaha mengurangkan kemampuannya atau menimbulkan syak dan ragu pada akh tersebut.
  • Wujud sikap pilih kasih kepada ikhwah tertentu berbanding ikhwah lain atau mengutamakannya [ithar] dari hak yang sepatutnya dia perolehi

[ Suwar Marfudhah Ihdzhirha Akhi ad-Da’iyah _ Dr. Majdi Hilali ]

Read Full Post »

Media Islam : Satu perspektif

gimf_logo

Ledakan tekonologi maklumat mempercambahkan sumber maklumat yang pelbagai. Maklumat tidak terhad dari satu sumber tetapi muncul dari pelbagai sumber. Abad digital menyaksikan maklumat ,berita dan satu-satu isu diketahui dengan pantas dan disebarkan menerusi dunia maya samada di dalam atau di luar negara. Media sudah menjadi satu wasilah penting di lapangan dakwah,menggagas pemikiran islam dan membina pandangan umum islam.

Kepantasan media semakin maju menerusi laman-laman facebook, twitter, blogs ,websites, youtube dan kecanggihan teknologi penyampaian maklumat media cetak dan media elektronik. Media Barat terkenal dengan Reuters, BBC News,Yorkshire Post, Sky News , Times Press dan sebagainya. Media menjadi medium menebarkan aliran pemikiran barat yang ditunjangi agenda liberalisme, pluralisme bahkan ia menjadi sumber maklumat terbesar media-media nasional. Setakat ini,media-media nasional belum lagi atau tidak menampakkan keraksasaannya di dalam memperjuangan agenda media yang beragenda apatah lagi kelemahan media gerakan Islam. Kalau adapun ianya terhad seperti al-Jazeera,. Pujian perlu diberikan pada Hamas yang memiliki TV sendiri bagi menyalurkan sumber berita dan maklumat.

Bilangan hits pengunjung ke media-media maya internasional belum mampu ditandingi media-media tempatan apatah lagi di media-media islami. Agensi berita tempatan seperti Bernama masih bergantung kepada agensi berita asing atau luar termasuk dari sumber yang dipertikaikan seperti IRNA dari Iran. Lalu apakah peranan dan arah tuju media islami dalam mengagendakan gagasan media dan kewartawanan Islam.

Media Islami adalah media dakwah, media amr makruf dan nahi mungkar . Perjuangannya adalah berpaksikan kepada prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Ia bertitik tolak dari firman allah yang bermaksud :

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari TuhanMu, jika kamu tidak melakukannya,tidak kamu menyampaikan risalahnya dan Allah memelihara kamu dari gangguan manusia, dan allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.

“  segala apa yang terbit dan keluar dari mulut perkataan, adalah baginya para Malaikat yang melihat dan mencatat kata-katanya..”

Media Islam menjadi paksi utama dan pokok penting dalam gerakan kewartawanan islam. Antara peranan media Islam ialah :

  1. Memberikan kefahaman Islam yang sohih dan syumul berteraskan panduan al-Quran dan as-Sunnah an-Nabawiyah.Ia bertindak sebagai media dakwah dan media hidayah samada secara langsung atau tidak langsung.
  2. Berusaha memberikan gambaran Islam yang menyeluruh kepada masyarakat dalam pelbagai isu dan perkara agar membentuk public opinion [ra’yul aam]. Masyarakat menilai sesuatu perkara atas neraca agama, apatah lagi berdepan gerakan peleburan dan pencairan terma-terma Islam di dalam masyarakat seterusnya mengekang pandangan yang yang mengarah kepada penyelewangan akidah, penghinaan agama dan merendahkan martabat Islam dan syariat.
  3. Berkongsi segala isu, penderitaan dan kepedulian isu-isu umat terutama cabaran yang menggugat jatidiri dan identiti umat Islam. Mendedahkan permasalahan umat islam serantau dan antarabangsa seperti isu Palestin, Isu Syria, konflik Mesir, umat islam di negara minoriti dan sebagainya. Media cuba membongkar tabiat pertembungan Islam-Barat, menggariskan garis-garis cabaran yang dihadapi umat serta membangun daya fikir berdepan cabaran dan asakan tersebut.
  4. Menzahir, menjelas dan memunculkan nilai-nilai pembinaan dan konstruktivisme umat ke arah yang lebih baik dan bertamadun serta berhat-hati dengan unsur-unsur  gerakan haddamah [perosak] umat. Media islam perlu mengupas isu secara berobjektif , padat dan akurat, mengambil jalan tengah di dalam memgungkap isu, mampu membezakan antara  yang baik dan buruk, membangun budaya nasihat dengan penuh hikmah dan ikhlas. Membangkang dan mengkritik sesuatu isu bukan bererti pertembungan tetapi dalam rangka islah[pembaikan], wa’dhzu [peringatan] dan taujih [ penalaan].
  5. Berpegang kepada prinsip syarak [Dhawabit Syariyyah]  di dalam penulisan, laporan berita, kupasan sesuatu isu dan dalam mengenengahkan  pandangan. Ia adalah media berakhlak, jauh dari mempropaganda pemikiran sesat, penyelewengan fiqh dalam konteks mafhum jihad dan taghyir serta berlaku adil dan benar dalam mengambil sumber berita dan melaporkan sesuatu penerbitan berita.
  6. Menggunakan segala teknologi dan alat-alat moden dan terkini dengan sebaik-baiknya untuk menghasilkan berita yang paling efesien dan efektif. Ia juga mesti berusaha meningkatkan pengetahuan dari semasa ke semasa berkaitan ilmu dan seni media dan kewartawanan. Tujuannya ialah membangunkan asas-asas media islam dan memperkukuhkan teori media islami berbanding teori media barat.
  7. Menjaga dan memelihara ketertiban uslub, keindahan gaya bahasa, kecantikan ungkapan dan persembahan perkataan dengan penuh amanah, jujur dan  ketelitian di dalam pengambilan sumber maklumat. Ia penting bagi mengelakkan media menjadi medan permusuhan dan api fitnah serta jauh dari unsur  tajrih [melukakan pihak lain]. Media islami adalah media yang berdiri atas asas kompetatif ,kritikan membina,  analisisa yang bernas dan tepat dan penilaian yang objektif.
  8. Media islam berusaha membentuk daya tarikan menarik terhadap isi kandungan berita dan isu secara terperinci, mendalam di samping meraikan citarasa pembaca yang pelbagai.
  9. Media Islami menjadi perantara masyarakat dan institusi seperti institusi keluarga,universiti, sekolah, masjid,kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan, badan berkanun, perlembagan dan peraturan, ,dewan rakyat dan dewan negara, kerajaan dan rakyat. Media islami menjadi jurubicara umat, mempelopori konsep kebebasan sebenar menurut dimensi Islam. Penulis di media islami bukan berjuang untuk mencari habuan dan keuntungan  peribadi, menonjolkan diri atau mendamba habuan wang, pangkat dan kedudukan tetapi ia adalah satu jihad penulisan.
  10. Medium mengingatkan sidang pembaca dan penonton agar sentiasa muraqabatullah dan bertaqwa kepada Allah. Media berusaha menyerlahkan masa depan dunia kewartawanan islam yang beretika, berakhlak, berintergriti dan rasa pertanggungjawaban di hadapan Allah.
  11. Media islami menjadi medium penyatuan umat islam, menggerak agenda perpaduan umah dan mendedahkan agenda normalisasi, penjajahan,imperialisme, konspirasi, manipulasi, perpecahan dan kemunduran yang menjadi senjata dan peluru musuh islam untuk melemahkan kekuatan umat Islam.
  12. Media islami mendokong usaha perjuangan memartabatkan syariat islam dan mengimplimentasikannya sebagai satu sistem hidup bernegara yang adil dan amanah.
  13. Menyokong usaha kebebasan media dan memperjuangan hak-hak asasi manusia berasaskan prinsip islam dan prinsip memuliakan insan [karamatul insan].
  14. Media mencorak pandangan umum terhadap isu-isu islam dan umat islam sejajar dengan manhaj islam dan manhaj robbani.
  15. Media islami berusaha meninggikan nilai-nilai islam, prinsip-prinsip akidah dan ketamadunan terutama aspek pemikiran, ilmu dan akhlak dalam semua dimensi media dan kewartawanan.
  16. Media islam mendedahkan bahaya yang mengancam umat islam terutama bahaya ideologi semasa, konspirasi jahat Amerika dan sekutunya terhadap Islam. Pendedahan media terhadap bahaya ini perlu holistik, tepat, jujur dan objektif.
  17. Media islam mesti berjuang mewujudkan media yang bebas dari kongkongan mana-mana pihak seperti para penguasa dan individu yang berkepentingan serta tujuan laba politik dan nafsu. Media islami berjuang untuk memperjuangkan harapan umat dan cita-cita mereka demi satu kemerdekaan yang sebenar.

Read Full Post »

ahmad yaasinDefinisi ‘Fae’liyyah Dakwiyah’ :

  • Proses untuk saling berkompetensi melakukan kebaikan atau berlumba-lumba menyumbang yang terbaik untuk dakwah.
  • Sikap sentiasa bersaing untuk menambahkan kontribusi amal di lapangan dakwah [ istibaq al-khaeir].
  • Ada nilai proaktif [al-mubarah] tanpa menunggu arahan qiyadah.
  • Mereka yang terkedepan melakukan amal kebaikan di dunia akan terkedepan menuju ke syurga.
  • ‘As-Sabiqun’ – pelumba yang segera merebut kebaikan akan memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah..

Landasan Syar’ie :

  • Al-Baqarah : 148

148. dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) Yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

  • Al-Mukminun : 61

61. mereka itulah orang-orang Yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang Yang mendahului pada mencapainya.

abdullah mutawwaFenomena  Sifat ‘al-Faee’liyah ad-Dakwiyah’:

  • Semangat untuk menyumbang sentiasa meningkat  dan  pencapaian amal yang memberangsangkan.
  • Pencapaian amal dakwah mesti terarah kepada mencapai tujuan dakwah dan jamaah walaupun berlalunya masa dan berubah reality dakwah.
  • Sifat proaktif penting di dalam menggerakkan dakwah secara ber’institusi’ dan takungan umum serta merentas level keanggotaan. Lapangan dakwah yang luas mesti menjangkau kelompok masyarakat yang pelbagai.
  • Dalam menggerak amal institusi kebimbangan berlaku kegagalan atau rasa pesimistik sebelum optimis  adalah disebabkan hilang semangat ‘al-mudarah’.
  • Pencapaian ‘injaz’ terhasil dengan cabaran, sanggup berdepan rintangan serta dorongan proaktif.
  • Pencapaian dakwah akan meningkat jika ada sasaran objektif, tahu menentukan keutamaan, semangat proaktifdan imbangan amal antara dalaman dan luaran.
  • Sebagai contoh kes  : sebahagian ikhwah merancang untuk mengadakan program berbuka puasa setiap minggu secara jamaie, tetapi di dalam masa yang sama terlibat di dalam program takungan umum. Sepatutnya dengan dua aktiviti ini, satunya mencapai objektif dakwah dan tarbiah dengan mengajak mad’u mencintai amalan sunat berpuasa dan mendengar peringatan imaniyah dan pembinaan tarbiyah individu. Manakala yang kedua membina jaringan dakwah masyarakat dan menarik dokongan umat kepada agenda kita. Namun yang  berlaku aktiviti tersebut tidak menarik mad’u untuk bersama kita berbuka puasa juga menghadirkan ramai orang ke program kita.
  • Justeru perlu dirancang aktiviti menjadi secara efektif dengan mengambil kira objektif, keperluan fasa jamaah, kekuatan guna tenaga dan waqi’ setempat agar mampu mencapai target jamaah.
  • Tanda terpenting ukuran keefektifan dakwah ialah da’ie yang faham hakikat dakwah, tahu tabi’at bergerak dan matlamatnya, sedar tanggungjawab memikul risalah, sanggup berdepan seribu satu macam cabaran ,melepasi ujian dan menonjolkan sifat optimistic, proaktif dan positif di dalam beramal.
  • Antara sifat lain yang perlu untuk membentuk ‘keefektifan dakwah’ ialah sifat ‘tajdid’ atau disebut pembaharuan. Pembaharuan di sini bukan mengubah asal agama ‘Islam”  tetapi mengembalikan peranan dan pengaruh ‘deen’ di dalam merubah jiwa, menghidup dan menggerakkan perananya di dalam umat sehingga ia berperanan sebagai manhaj kehidupan.
  • Ini selari dengan tuntutan tajdid di dalam hadis yang bermaksud :

 “Sesungguhnya allah telah membangkitkan pada setiap satu kurun seorang yang mentajdid urusan agamanya.” [Abu Daud 4291]

  • Tajdid tidak mungkin berlaku melainkan dengan ‘himmah wal ‘azam’ semangat dan keazaman yang tinggi, hidup untuk umatnya,peduli nasib mereka, berkorban jiwa raga untuk uamtnya, siang malam berfikir untuk umat, sanggup menghadapi ranjau dan duri, bersabar kendatipun seribu satu cabaran dan rintangan demi mengangkat umatnya ke tampuk kemuliaan dan keunggulan.
  • bukti sifat dakwah efektif ialah ada sifat ‘mubadarah‘ [proaktif], ‘injaz‘ [pencapaian hasil] dan ‘tajdid‘ [pembaharuan dan penyegaran amal]

Faktor peransang untuk terus efektif berdakwah :

  • Rabbaniyah dakwah wa da’iyah.

Dakwah sifatnya rabbaniy dari sudut sumber , ghoyah dan matlamat. Da’ie juga perlu bersifat robbaniy pada akidah, prinsip perjuangan, suluk, tujuan dan manhaj bergeraknya agar ia menjadi sebab untuk terus efektif dan segar bugar di dalam dakwah.

  • Hubungkan dakwah dengan nilai akhirat.

Untuk kekal menyumbang dan terus berbakti di medabn dakwah, da’ie perlu hubungkan amalnya dengan nilai akhirat. Dia menyedari bahawa balasan dan ganjaran adalah dari allah, hanya semata-mata mencari keredhaanya bukan keredhaan manusia. Allah memerintah untuk kita beramal sehingga akhir hayat. [ayat 99 : Surah al-Hajr].

  • Janji kemenangan, petunjuk dan kekuasaan bagi mereka yang mentaati perintah Allah.

Bukankan Allah menjanjikan kemenangan bagi mereka yang menolong agamanyasebagaimana ayat 40 surah al-Hajj. Ayat di atas menjadi bukti bahawa selagimana seorang itu yakin akan janji allah, betul niatnya, benar jalan manhajnya, sentiasa berterusan memberi segala apa untuk dakwahnya, meningkatkan energi dakwahnya, menyalakan kerahan tenaganya,  mendorong untuk bergerak memenangkan dakwahnya dengan ruh yang penuh dengan harapan, cita-cita dan keyakinan, maka Allah pasti akan menolong dan memenangkan dakwahnya. Inilah yang berlaku kepada Toriq bin Ziyad ketika bermimpi bertemu Rasulullah SAW sehingga membangkitkan gelora jihadnya yang akhirnya memberi kemenangan di dalam pembukaan Kota Andalus.

  • Kepelbagaian cakupan lapangan dakwah dan saling lengkap melengkapi.

Ruang dakwah yang luas dan mencapah menuntut semua manusia yang bergerak dilapangan dakwah saling bantu membantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Pembahagian tugas dan peranan dan skop kerja yang tersusun agar mendorong semangat keefektifan dakwah. Tindakan ini telah diqwudwahkan Umar al-Khattab dengan ungkapannya : “barangsiapa yang ingin bertanya tentang al-quran,maka carilah Ubai bin Ka’ab, manakala barangsiapa yang ingin bertanya tentang halal dan haram, maka carilah Mu’az bin Jabal, barangsiapa yang ingin bertanya tentang ilmu faraid, maka datangilah Zaid bin Thabit, manakala barangsiapa yang ingin meminta harta, maka datanglah kepada aku kerana aku adalah pemegangnya..”

  • Cabaran dakwah dan ‘fiqh tadafu’.

Di dalam bekerja dilapangan dakwah perlu mengambil kira sunnah tadafu’ [tolak menolak antara Haq dan batil]. Cabaran yang dihadapi oleh dunia dakwah sukar dan rumit. Cabarannya pelbagai dan kompleks seperti cabaran dalaman dan luaran, cabaran nasional dan internasional, cabaran ideologi,politik,sosial dan ketamadunan.

Kalaulah tidak ada sunnah tadaffu’ ini nescaya kerosakan akan melata dan bermaharajalela di muka bumi ini. Hnaya denag jiwa-jiwa imani mampu menggerakkan para da’ie berdepan dengan cabaran untuk menolak kebatialn dan kerosakan. Ini menuntut para du’at memiliki keazaman yang membara, jiwa yang bergelora, cita-cita yang tinggi serta berjiwa besar. Ia meransang keefektifan dakwah.

  • Cabang –cabang iman

Iman adalah lebih dari tujuh puluh canbang sebagaimana sabda Rasulullah SAW. Keluasan dan kepelbagaian cabang kebaikan dan amal solih ini mendorong untuk terus memperbaharui daya iman sang da’ie. Justeru itu, Sang da’ie tadi akan sentiasa meningkatkan ruh, membangun jiwa dan nurani, akhlak, ibadat hati, ibadat harta, ibadat badan, kerja-kerja kebajikan yang membantu meningkatkan ruh dakwah dan berkontribusi untuk dakwah.

  • Dakwah yang konsisten dan sentiasa memenangkan al-Haq

Rasulullah SAW menyebut di dalam hadis sohih [riwayat Muslim 1920/Tirmizi 2229] yang bermaksud :

Hendaklah ada dari kalangan umatku satu kelompok yang sentiasa berada di atas kebenaran, tidak akan ada yang mampu memudaratkan mereka sehinggalah datangnya urusan Allah [untuk memenangkan mereka]”.

Syu’ur  para du’at untuk terus berjuang, terus berdakwah ,thabat atas jalannya, konsisten, izzah dengan risalahnya, terus berkontribusi dan menyumbang sekalipun diuji, dicoba dan diduga akan mendapat janji kemenangan dari allah. Semua ini meransang para du’at untuk memiliki ruh ‘keefektifan berdakwah’ serta menghilang rasa kecewa dan putus asa di dalam perjuangan.

  • Setiap fasa dakwah ada kontribusinya.

tarikaDakwah ada fasa-fasanya, setiap fasa ada manusia yang melakar sumabangan dan besar jasanya untuk dakwah.Sumbangandi lapanagn amal islami semakin besar dan meningkat dengan membesar umur, fasa dan marhalah dakwah. Sejarah telah merakamkan kisah-kisah manusia yang telah berkontribusi besar di lapangan dakwah. Antaranya :

Yusuf bin Teshqin ..berjaya mencipta kemenangan jihadnya di usia 80 an.

Syeikh Ahmad Yaasin…menghidupkan umatnya hanya dengan berkerusi roda.

Abdullah al-Mutowwa’ …masih memberikan sumbangan, tetap bertenaga untuk berdakwah dan berjihad sehingga di penghujung hayatnya walaupun berusia 80 tahun lebih.

Pemain bola sepak  Abu Tarikah ..menggoncangkan semua manusia yang menonton perlawanan bola sepak di jersinya dengan kata-kata  ‘Simpati Untuk Gaza’.

Nah, itulah model-model unggul manusia yang tinggi sifat ‘keefektifan dakwahnya’. Justeru itu, kita perlu mentajdid semula semangat memberi dan menyumbang untuk dakwah di setiap fasa –fasa perjalanan amal kita, untuk kita terus mengatasi kebiasaan hidup yang rutin, sumbangan yang terhad dan terbatas serta lemah keefektifan dakwah kita.

Read Full Post »

Piagam Komitmen Tandhimi

amal jamaie

Tercatat di dalam Sirah Ibnu Ishaq , suatu ketika Sa’ad bin Muadz telah menyampaikann pidato di hadapan baginda Ar-Rasul SAW ketika hampir untuk pergi berjihad di medan Badar. Antara intipati ucapan beliau :

Demi Allah, seolah-olah engkau, wahai Rasulullah amat berhajat atau mahu sesuatu dari kami ?, Jawab baginda : Ya, Katanya lagi : Ya Rasulullah , kami percaya dengan kamu, kami telah membenarkan risalah kamu, kami juga telah mempersaksikan kamu bahawa apa yang kamu bawa adalah benar, kami telah memberikan kepada kamu untuk tujuan itu, segala janji dan ikatan setia kami untuk dengar dan taat, teruskan wahai Rasulullah melaksanakan kehendakmu, kami tetap bersamamu, Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, kalaulah terbentang luas di hadapan kami lautan yang dalam dan engkau mengharunginya, maka kami akan turut harunginya bersama kamu, tidak ada seorang pun dari kami yang akan ketinggalan [berundur ke belakang], kami sekali-kali tidak akan berpaling dari bertemu musuh esoknya, sesunggunhya kami akan pasti bersabar dalam  berjuang [berperang],  tetap benar ketika bertemu musuh, mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada Engkau akan sikap kami yang dapat menyejukkan [menenteramkan] kedua matamu, maka berjalanlah ke medan jihad bersama kami di atas keberkatan dari Allah, maka baginda Rasulullah SAW merasa gembira dengan kata-kata Sa’ad dan sikap aktifnya, lantas baginda bersabda :

“berjalanlah [berangkat ke medan jihad], bergembiralah, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada aku dengan kemenangan salah satu dari dua golongan, Demi Allah ! seolah-olah sekarang, aku melihat ke tempat pertempuran kaum..”.Ibnu Ishaq [3/161,162]

Iltizam Tandhimi adalah terjemahan amali makna intimak kepada Harokah Islamiah, ia adalah neraca perjanjian atau bai’ah antara da’ie dan harokah, antara jundiy dan qiyadah sebagai bukti atau petunjuk amali terhadap keimanannya dengan prinsip-prinsip jamaah, visi dan manhaj bergerak jamaah. Induk utama keberkesanan dan keunggulan amal jamaie adalah iltizam yang padu antara qiyadah dan kaedah , disiplin dan patuh terhadap keputusan dan perancangan jamaah, bergerak atas polisi dan dasar organisasi samada polisi bersifat hubungan dalaman [dhakhili]  atau luaran [khariji]. Organisasi menjadi ‘zumrah qalbun wahid’ [himpunan satu hati] sebagaiman kata Ar-Rasyid di dalam ‘Awaiq’ atau ibarat jasadin wahid [satu batang tubuh ] yang menangung pahit manis perjuangan sehingga ia adalah satu ‘bunyan marsus’ [binaan yang kuat] saling memperkukuh antara satu sama lain.

Ada beberapa ma’ani dan prisip-prinsip piagam komitmen berorganisasi yang dapat diistinbat dari ungkapan ini :

1.       Sifat al-Mubadarah [proaktif ]

Ungkapan Sa’ad : “Demi Allah, seolah-olah engkau, wahai Rasulullah amat berhajat atau mahu  sesuatu dari kami …”

Sifat proaktif  adalah dinamika dalam berorganisasi. Ia amat penting dan tanda intima’ yang mendalam dan efisien komitmen terhadap jamaah. Komitmen bukan bermaksud mengongkong dan membataskan peranan individu atau mematikan ruh proaktif dan daya memimpin. Sikap proaktif adalah bukti atau tanda perasaan tanggungjawab yang tinggi di dalam memikul masuliyah, rasa sensitif terhadap halatuju dan polisi jamaah. Di dalam sebuah organisasi amat memerlukan individi-individu yang proaktif bagi memastikan jamaah terus survive dan bergerak mencapai visinya. Ini menolak pandangan sebahagian ahli gerakan yang melihat ia mengancam dinamika jamaah, atau usaha kawalan kepimpinan terhadap ahli yang dilihat membirikan idea-ideabernas dengan menghalang semangat mubadarh. Secara tidak langsung akan membunuh potensi ahli, tenaga menganggur bahkan merencatkan pencapaian jamaah.

 2.       Keimanan terhadap risalah.

Ungkapan “ Sesungguhnya kami telah beriman terhadap kamu dan kami telah membenarkan risalah kamu..”

Keimanan yang solid dari jundi terhadap al-qaid adalah rahsia kejayaan dalam amal jamaie. Sikap ahli yang yang yakin terhadap risalah perjuangan dan membenarkannya bahawa ia adalah risalah robbaniyah adalah satu kaedah untuk membina keiltizaman ahli. Ini merupakan motivasi terkuat untuk ahli memiliki sifat tajarrud pada dakwah dan meletakkan dakwah mengatasi kepentingan diri, hawa nafsu dan lain-lainya. Dia menjadi tentera fikroh dan dakwah dan sanggup menanggung beban dakwah untuk satu tujuan yang tinggi dengan penuh kesabaran, kethabatan dan mengekang diri dari melakukan kemaksiatan.

 3.       Thiqah terhadap manhaj.

“kami juga telah mempersaksikan kamu bahawa apa yang kamu bawa adalah benar”

Kepercayaan atau seqah terhadap manhaj bermaksud yakin terhadap manhaj amal dan bergerak jamaah. Antara sikap yang perlu ada pada ahli ialah hati yang tenag, jiea yang tenteram dan berlapang dada terhadap kesejahteraan manhaj dan mandate yang telah dipolisikan jamaah. Sekaligus menumbuhkan intima’ yang mendalam, wala yang benar, tazhiyyah yang mulia serta iltizam yang mundhobit [disiplin]

 4.       Saling berjanji setia dan berbai’ah [ ta’aahud wa ta’aaqud]

“kami telah memberikan kepada kamu untuk tujuan itu, segala ikatan janji dan piagam setia..”

Realitinya, komitmen yang diberikan pada jamaah atau tandhim tidak akan terjadi secara praktikal melainkan dengan adanya ba’iah atau ikatan janji setia sesame para du’at, juga antara jundiy dan qiyadah.Ini terbukti melalui fiqh sirah bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat r.a memeterai perjanjian Bai’ah Aqobah.. Mereka dari kalangan ‘Aus dan Khajraj , yang sanggup memuliakan kaun Muhajirin dan memberikan bantuan dinamakan sebagai ‘Ansor’. Bai’ah ini diikat kemas dengan sifat saling berjanji tas dasar iman dan memberikan bantuan perlindangan kepada kaum Muhajirin. Ba’iah  yang berlangsung selama setahun ini  telah menjadi landasan amal di dalam gerakan Islam untuk mengikat ahli dan pimpinannya agar saling berjanji setia untuk sehidup semati demi kerana Allah dan menegakkan deanullah.

5.       Dengar dan Taat [ as-Sam’u wa at-to’ah]

“ untuk dengar dan taat”

Taat’ adalah induk dan intipati komitmen tandhimi. Sifat iltizam tidak akan direalisasikan di dalam jamaah jika ada ahli yang tidak faham konsep ‘dengar’ dan ‘taat’ dan berusaha mengikat dirinya dengan qarar-garar tandhim. [keputusan syura di dalam menentukan polisi dan dasar jamaah]. Ini diistinbatkan dari hadis Nabi SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa yang mentaati akau, maka dia telah mentaati Allah, manakala barangsiapa yang menderhakai aku, maka dia telah menderhakai Allah, barangsiapa yang mentaati perintah seorang ketua, maka dia telah mentaati aku, begitu juga mereka yang melanggar perintah ketuanya, maka dia telah menderhakai aku..”. [Bukhari 1737 / Muslim 1835]

‘Dengar’ [as-sam’u] mendahului taat, kerana tiada ketaatan penuh sedar melainkan dengan mendengar, faham dan sedar. Tidak mungkin terhasil sifat ‘dengar’ dan ‘taat’ melainkan orang yang menguasai kehendak dirinya, dia tawaduk untuk dakwah, memiliki kefahaman yang mendalam terhadap visi organisasi dan manhaj yang terpandu. Dia juga seorang yang rela dan sepenuh hati menjadi tentera dakwah yang aktif, berjuang untuk mencapai visi dan misi organisasi, membebaskan diri dari kepentingan peribadi, sifat ego dan sombong.

6. Komited untuk merealisasikan visi jamaah.

“teruskan wahai Rasulullah melaksanakan kehendakmu, kami tetap bersamamu, Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, kalaulah terbentang luas di hadapan kami lautan yang dalam dan engkau mengharunginya, maka kami akan turut harunginya bersama kamu..”

Untuk mencapai target jamaah tidak terletak di bahu pimpinan semata-mata bahkan ia perlu digalas semua peringkat kepimpinan termasuk juga ahli-ahli bawahan dibawah satu panji gerakan Islam. Kepelbagaian peranan dan bidang tugas yang berbeza-beza, namun masuliyah dikongsi bersama. Jamaah ibarat satu kenderaan yang bergerak ke satu destinasi, pemandu dan penumpang sama-sama memastikan gerabak dakwah ini meluncur laju ke destinasinya. Ini menolak pandangan sebahagian ahli yang melihat kerja besar ini adalah tanggungjawab qiyadah serta berlawanan dengan konsep iman dan syariat tentang konsep ‘masuliyyah’. Firman Allah yang bermaksud:

“ dan sesungguhnya ia adalah peringatan untukmu dan untuk kaummu dan kamu pasti akan dipertanggungjawabkan..” [ Zukruf :44]

Visi jamaah yang besar ini tidak akan mampu dicapai melainkan dengan komitmen semua yang bekerja dan bertekad untuk merealisasikannya.

 7.       Indhibat [ disiplin ]

“tidak ada seorang pun dari kami yang akan ketinggalan [berundur ke belakang]”

baiahDisiplin dan komited di dalam amal berjamaah adalah rahsia kejayaan dan kemenangan di dalam amal berharokah. Ia menuntut ahli berpegang kuat dengan peranan dan tugas yang diamanahkan dan tidak berlengah melaksanakannya. Ia adalah satu pengisytiharan tentang kekuatan pembinaan gerakan Islam, neraca penentu mencapai matlamat organisasi dan merealisasikan tujuan jamaah. Semua bekerja dengan satu pimpinan, satu arahan, satu hati, satu halatuju bagi mencapai matlamat yang satu. Ia tidak mungkin berlaku tanpa kemantapan disiplin tandhimi dan ukhuwwah yang mantap dan padu, yang dengannya menjadi sebab Allah memberikan kemenangan dan kejayaan.

Berapa banyak kemengagan dalam perjuangan terhasil denagn semangat disiplin dan gerak kerja amal jamaie yang solid. Ini bukan bermakna menafikan  kejumudan di dalam ‘iltizam’ atau ketaatan yang membuta tuli di dalam beramal islami tetapi bagi memastikan ruh amal  bergerak atas semangat ama jamaie dan khittah jamaah sebagaimana arahan Rasulullah SAW kepada Saidina Umar r.a dan para sahabat seramai 30 orang untuk menyekat dan melemahkan Bani Hawazin dengan tanah.

8.       Sabar

“Sesunggunhya kami akan pasti bersabar dalam  berjuang [berperang]”

Sabar adalah bekalan di jalan dakwah dan ubat kemenangan dalam perjuangan. Sabar di sini bermaksud, sabar di dalam mentaati perintah allah, sabar dalam melaksanakan tuntutan manhaj dan beban perjuangan , sabar menghadapi liku-liku kesusahan dan halangan mendatang, sabar berdepan dengan runtunan dan kehendak nafsu, sabar berdepan dengan masyarakat yang ingin dibaiki juga sabar menghadapi musuh yang tidak henti mendengki, berdendam , yang sentiasa melemah dan menghinakan kita.

Sabar adalah cahaya  yang akan menerangi seseorang jalan hidayah dan jalan istiqomah. Obor sabar pula adalah meminta pertolongan dan bantuan dari Allah serta mengharap ganjaran pahala darinya.

9.       Siddiq

“tetap benar ketika bertemu musuh”

Benar di sini adalah benar di dalam janji perjuangan. Benar bermaksud tidak rasa lemah, tidak rasa putus asa, tidak rasa ragu-ragu, tidak rasa menyerah kalah bahkan tetap thabat , tetap berjihad, tetap berkorban, tetap berkontribusi  untuk dakwah dan jamaah. Inilah tanda mereka yang telah membenarkan janjinya dengan Allah sebagaiman ayat  23 di dalam surah Ahzab  yang bermaksud :

23. di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Mereka sekali-kali tidak menukar janji setia mereka, tidak menggadai iman dan akidah mereka, tidak menggadai prinsip dan thawabit mereka, tidak menggadai komitmen dan pengorbanan mereka, tidak menggadai matlamat dan tujuan tertinggi perjuangan mereka. Ya, Sesungguhnya orang membenarkan janjinya dengan Allah, maka Allah akan membenarkan janjinya kepada mereka.

Nah, Wahai para du’at sekalian…

Demikianlah beberapa rukun piagam amal tandhimi seperti yang dilakarkan oleh Sa’ad bin Mu’az r.a. Bagaimana pula dengan kita, sejauh mana kita merealisasikannya di saat organisasi berdepan ujian dan fitnah, di saat jamaah teruji dengan mehnah, di saat jamaah menuntut masa,tenaga, harta dan bahkan hidup kalian. Moga fiqh tandhimi Sa’ad bin Mu’az mengesani jiwa dan sikap kita.  Ayuh infiruu khifafan wa thiqaala…

Read Full Post »