Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Julai 2014

tarbiyah ramadhanAllahu  Akbar..Allahu Akbar…Allahu Akbar  Walilhilhamd…

Saudaraku fillah,

Marilah kita ucapkan rasa setinggi syukur, puji dan tahmid yang tidak terhingga kerana kita dapat menempuh Ramadhan pada tahun ini. Tinggal beberapa saat dan ketika , kita bakal meraikan lebaran 1 Syawal, tanda kemenangan kita  menundukkan segala runtunan hawa nafsu dan meletakkan maslahat rabbani  di tempat tertinggi mengatasi yang lain.

Ikhwati fillah..

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya, syawal pula bakal menjelma. Pelbagai pelajaran yang kita perolehi dari seribu satu macam tarbiyah Ramadhan. Ramadhan mengajar makna perjuangan, erti jihad, budaya disiplin, wala’ dan tajarrud hanya semata-mata untuk Allah mengatasi kepentingan hawa nafsu.Inti Ramadhan mendidik kita bahawa  perjuangan menundukkan hawa nafsu adalah perjuangan para Nabi dan Rasul yang berlangsung sehingga Hari Akhirat.Kemuncak kepada perjuangan menentang hawa nafsu ialah menentang segala bentuk pemikiran dan ideologi ciptaan manusia yang sesat dan menyeleweng dari petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.

Ikhwati fillah..

Bekalan terbaik yang ditinggalkan oleh Ramadhan ialah bekalan taqwa.Taqwa menjadi kunci dan pra-syarat kepada kemenangan perjuangan dakwah, perjuangan tarbiyah dan perjuangan Islam. Inilah persoalan atau maqasid terbesar yang perlu dihayati dan diambil bekal oleh pejuang-pejuang akidah bagi melawan segala bentuk berhala jahiliyah moden atas pelbagai nama, berselindung di sebalik gerakan hak asasi, berjuang atas nama gerakan sivil dan masyarakat madani. Tanpa nilai taqwa perjuangan Harakah Islam menjadi tempang dan tersasar dari manhaj robbani dan manhaj nabawi.

Bukankan Allah menyebut di akhir perintah kewajipan puasa supaya menjadi manusia yang bertaqwa. Taqwa yang bukan menjelma dalam bentuk penghayatan tingkahlaku, sikap dan budaya seorang pejuang islam tetapi taqwa yang melayakkan kita meraih kemenangan dan nusrah dari Allah sebagaimana pesanan Saidina Umar kepada bala tenteranya agar mereka lebih takut terhadap dosa-dosa mereka berbanding dosa-dosa pihak musuh. Perasaan berhati-hati atau wiqayah inilah menjadi asbab Allah mencampakkan kemenangan kepada generasi dakwah terdahulu. Menang akidah mereka, menang jihad mereka,menang fikrah mereka, menang dakwah mereka, menang tarbiyah mereka sehingga layak memimpin dan menerajui dunia.

GazzahIkhwah fillah..

Marilah kita introspek diri dengan bekalan taqwa…

Allah berfirman yang bermaksud :

Pertama : “ Jika kamu bertaqwa kepada Allah, Allah jadikan untuk kamu jalan pemisah antara Haq dan Batil”

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan liberal sekular dengan perjuangan Islam yang tulen ?

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan menegakkan masyarakat yang berpaksikan demokrasi sekular dengan perjuangan menegakkan syariat Allah.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara gerakan islam yang tempelan dengan gerakan Islam yang syumul.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan  antara ideologi-ideologi sesat dan menyeleweng dengan syariat Islam yang membawa kebaikan dan rahmat.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan Hamas dan Zionis Yahudi laknatullah.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara pendekatan melampau dengan manhaj ‘isti’dal’ yang dibawa oleh para salafussolih.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara memenuhi tuntutan nafsu dengan memenuhi tuntutan robbani.

 Kedua : “ Bertaqwalah kamu kepada Allah, pasti Allah akan memberikan ilmu kepada kamu..”

Sejauh mana taqwa menjadikan kita pejuang yang memiliki kekuatan ilmu dan akal.

Sejauh mana taqwa mampu menjadikan kita menolak hujah kepalsuan golongan anti Islam.

Sejauh mana taqwa menolak kita untuk menguasai pelbagai ilmu yang diperlukan oleh seorang da’ie.

Sejauh mana taqwa mendorong kita memahami ancaman dan konspirasi musuh-musuh Islam yang terdiri dari Zionisme, Yahudi dan Kristian.

Sejauhmana taqwa menjadikan kita prihatin terhadap isu-isu umat Islam, isu Palestin, isu Gaza, isu Syria dan sebagainya.

Sejauh mana taqwa membawa kita mencintai ilmu, mempelajari  ilmu sehingga ilmu itu memberikan kekuatan kepada kita untuk memimpin umat.

Sejauh mana taqwa berjaya membekalkan kita ilmu fiqh dakwah, fiqh harakah dan fiqh tarbiyah untuk kita memperkasa amal islami dan amal tanzimi kita.

Lihatlah kekuatan ilmu yang diilhamkan Allah kepada Sultan Muhammad al-Fateh sehingga berjaya membuka Kota Constantinople.

Ketiga :“ Siapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan penyelesaian dan memberikan rezeki dari sumber yang tidak disangka “.

Yakinlah dengan taqwa segala permasalahan umat diselesaikan.

Yakinlah dengan taqwa kekuatan jamaah terus kukuh dan ampuh.

Yakinlah dengan taqwa sumber dana kita tidak pernah kering dan kontang.

Yakinlah dengan taqwa umat berada dalam lindungan rahmat syariat Allah.

Yakinlah dengan taqwa nakhoda dakwah bergerak mara dan pacu ke hadapan.

Yakinlah dengan taqwa segala adabiyat amal jamaah menjadi mudah dan terarah.

Yakinlah juga… tanpa taqwa, umat lesu, umat lemah, umat mundur, umat terkebelakang, umat hidup dalam suasana kerosakan nilai dan kebejatan akhlak sehingga mengundang kemurkaan allah.

Yakinlah juga  tanpa taqwa, jamaah tiada barokah, wujud fitnah, ahli-ahli yang bermasalah sehingga menghambat perjalanan harakah.

Keempat : “Siapa yang bertaqwa kepada Allah,Allah jadikan segala urusannya mudah”

Ingatlah segala urusan dakwah kita mudah dengan bertaqwa.

Ingatlah urusan tarbiyah kita mampu membina dan membentuk kita dengan  sebab taqwa.

Ingatlah urusan jamaah kita berjalan lancar dengan taqwa.

Ingatlah urusan thabat,jihad,seqah, taat, tajarrud, ukhuwwah kita menjadi mudah dengan taqwa.

Ingatlah urusan kita dengan umat, urusan kita dengan mad’u,urusan kita  dengan ikhwah dan akhawat kita dipermudahkan allah dengan sebab  nilai taqwa yang ada dalam diri kita.

Ingatlah juga bahawa musuh-musuh tewas ditangan kita, fikrah kita bertebaran merata, kita menang di dalam amal kita dengan bekalan taqwa yang ada pada kita.

Ingatlah bahawa taqwa sahajalah pemudah segala-galanya di dalam hidup kita sebagai seorang dai’e, seorang murobbi, seorang mujahid dan seorang Qoid.

Kelima : “Siapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dihapuskan segala dosanya dan dilipatgandakan pahalnya”

Sekadar mana taqwa berjaya mentazkiyah diri kita dari dosa-dosa ?

Sejauh mana taqwa mampu menghilangkan kesalahan-kesalahan kita ?

Setakat mana taqwa boleh menhapuskan dosa-dosa kita sehingga kita layak mendapat pertolongan Allah dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah ?

Sejauh mana pula keyakinan kita bahawa taqwa menguatkan motivasi dan inspirasi amal kita dengan curahan pahala yang berlipat kali ganda ?

Ayyuhal ikhwah !..

Marilah kita mengambil bekalan taqwa dari madrasah ramadhan untuk kita menongkah perjuangan kita, jihad kita, dakwah kita, tarbiyah kita demi mengembalikan izzah umat dan izzah islam.

Bukankan Allah menyebut berkali-kali di dalam firmannya :

“ Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar-taqwa”.

“ Bertaqwalah kamu dengan semaksima yang mungkin menurut batas kemampuanmu”

“ Bertaqwalah kepada Allah, wahai orang yang memiliki kapasiti akal yang tinggi ?”.

Sentiasalah kita mengoreksi diri dan bersiap sedia untuk kita bertemu kepada Allah.

“ wahai orang –orang yang beriman, hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dipersiapkan untuk mengadap Tuhannya, dan bertaqwalah kepada Allah” [al-Hasyr : 18].

Sentiasalah kita memperjuang dan menyatakan kebenaran walaupun pahit di telan zaman.

“Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan nyatakan ucapan dengan perkataan yang benar”

Ikhwah fillah,

Marilah kita jadikan taqwa sebaik-baik bekalan, sebaik-baik pakaian,sebaik-baik perisai untuk kita berjuang dan berjihad pada jalan Allah. Moga Allah terus mengampuni kita dan menempatkan kita bersama-sama para nabi, para syuhadak, para siddiqin dan para solihin.

Menangislah untuk perpisahan ini  sebagaimana para sahabat r.a menangis ketika Ramadhan berangkat untuk meninggalkan mereka dengan segala didikan tarbiyah dan tazkiyah.

Allah telah memberikan taujih dorongan kepada pejuang-pejuang Islam tentang hakikat kemenangan yang sebenar sebagaimana  di dalam Surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud :

” Wahai orang-orang yang beriman ! Bersabarlah dan kuatkanlah daya kesabaranmu, dan kuatkanlah ikatan kuda kamu (siap siaga di perbatasan jihad), dan bertakwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan..”

Ya Allah !, kami memohon keredhaanMu dan syurgaMu, dan kami meminta berlindung dari kemurkaanMu dan balasan nerakaMU…

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia, cintakan keampunan, maka ampunkan dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa akh-akh kami, dosa seluruh saudara-saudara seislam kami.

Read Full Post »

272062Tahun ini umat Islam menyambut Ramadhan dalam suasana penuh ujian dan getir. Bahang Ramadhan diuji dengan bedilan roket Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Sejarah terus merakam negeri yang memiliki penjara terbesar di dunia di simbah darah dan air mata. Ratusan para syuhadak gugur syahid bak kata pejuang Palestin ‘kami bersahur di dunia dan beriftar di akhirat’. Begitulah coretan kisah kehidupan pejuang di bumi Gaza.

Manakala kita di Malaysia berdepan pelbagai kemelut politik dan agenda pihak musuh yang cuba mencairkan identiti keislaman dan kenegaraan. Pelbagai usaha licik pihak musuh untuk memastikan agenda mereka terlaksana dengan mengitar semula jenama tetapi punyai maksud yang sama.Mereka berselindung atas nama gerakan perjuangan hak asasi malaysia namun berniat untuk merubah asas-asas perlembagaan dan status quo yang sudah disepakati bersama.

Tambahan pula krisis keyakinan terhadap  MB kerajaan Pakatan di Selangor berterusan dengan percubaan untuk menukar kerusi MB. Pada masa yang sama isu mesin judi slot yang masih belum diatasi ketika kedengaran mulut celupar pihak yang ingin membersihkan kotaraya Kuala Lumpur dari masyarakat gelandangan.

Kehangatan Ramadhan tidak terhenti di situ sahaja,malah anak-anak muda mengisi malam-malam Ramadhan dengan menonton Piala Dunia biar pun ia berakhir pada 13 Julai yang menyaksikan kemenangan Jerman ke atas Argentina. Seolah-olah kemeriahan Ramadhan sebagai bulan berkat dan bulan rahmat tenggelam dek kehadiran Piala Dunia.

Apapun yang berlaku sewajarnya umat Islam memuhasabahkan diri sejauh mana Ramadhan memberikan makna dan erti untuk merubah landskap kehidupan mereka. Proses metamorforsis madrasah Ramadhan harus membumi sekaligus mengkarya manusia muttaqi.Manusia-manusia baharu atau milad jadid (kelahiran baharu) adalah inti terpenting dari kerangka tarbiyah Ramadhan.Selama sebulan latihan dan tamrin di stadium Ramadhan sudah menyiapkan barisan atlet muttaqi yang siap siaga menghadapi ujian perlawanan menentang gejolak nafsu dan asakan musuh-musuh allah.

Taqwa yang merupakan point terpenting Ramadhan menjadi bekal ampuh buat umat Islam kembali memimpin ketamadunan sebagaimana umat terdahulu. Mentadabburi ayat satu hingga lima surah al-Baqarah, allah SWT menghubungkaitkan al-Quran, taqwa dan kemenangan setelah dipaparkan ciri-ciri mereka yang bertaqwa. Taqwa dalam terminologi As-Syaheed Syed Qutb merupakan sentuhan perasaan di dalam dhamir, kelembutan dalam perasaan, perasaan takut yang berterusan, sikap sentiasa berhati-hati  dan berjaga-jaga dari terpijak duri-duri  tajam dalam perjalanan iaitu perjalanan kehidupan.

Apabila beliau mengulas perkaitanan antara puasa dan taqwa, beliau menjelaskan bahawa puasa adalah salah satu bentuk latihan jihad untuk menyiapkan jiwa yang mampu menanggung kesusahan jalan dakwah yang terhampar dengan segala rintangan ,duri-duri tajam, yang bersimpang siur dengan runtunan hawa nafsu, yang sentiasa menggamit mereka yang melaluinya dengan ribuan pesona tipudaya. Mereka yang mampu menahan jiwanya dari segala perkara yang harus dan mempersonakannya, dia mampu untuk menanggung risalah jihad yang penuh dengan duri dan rintangan.

Begitulah besar nilai taqwa yang ingin dicapai daripada makna Ramadhan. Taqwa adalah satu kesedaran dan satu kebangkitan jiwa. Maka tidak hairanlah allah menutup di akhir ayat kelima dengan ungkapan ‘ulaaika humul muflihun’-mereka itulah orang-orang yang berjaya dan hebat.

Dalam sisi lain allah SWT mengkehendaki kita menjadi umat yang bertindak sebagai ‘a winner’. Pemenang tidak akan menjadi pemenang jika tidak berfikir, berwatak, berpenampilan dan bergerak dalam minda sebagai ‘a winner’. Umat Islam adalah umat yang berminda  ‘a winner’ bukan  berminda ‘a loser’. Minda dan jiwa kalah mengheret umat tunduk sujud kepada barat dan sekutunya, akur dengan kekejaman Zionis Israel bahkan tewas dengan tipu muslihat puak-puak anti Islam yang cuba merobek ketuanan dan kekuatan Islam atas nama kebebesan, hak asasi manusia, perjuangan demokrasi dan sebagainya.

Inilah perkara yang perlu diintrospek oleh umat Islam agar Ramadhan tidak sekadar bulan pesta kuih muih, pesta makan dan minum dan bulan pembaziran. Berfikir dalam kerangka minda ‘a winner’ dengan bekalan al-Quran sebagai panduan dan taqwa sebagai pemangkin kejayaan. Bukankan allah menyebut di akhir surah ‘Ali Imran’ ayat 200 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, kuatkanlah ikatan kamu dan bertaqwalah, mudah-mudahan kamu menjadi ‘a winner’.”

Read Full Post »