Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2009

Travelog Dakwah Ke Bumi Eropah (5)

Isnin 29 Disember 2009

Seusai solat subuh berjamaah di Masjid Abu Hurairah, saya sempat bermathurat dan terus ke bilik akh Saufi . Dia bertugas sebagai siak di masjid ini. Masjid ini dikendalikan oleh Moslim Associations of Britain (MAB) yang dikendalikan oleh brother Arab dari Timur Tengah. Sempat berbual dengan akh Ali yang berasal dari Yaman, temannya yang berasal dari Jordan. Imam masjid ini pula berasal dari Somalia. Terasa kesatuan dan keeratan persaudaraan Islam. Bicara saya bersama mereka bertambah ceria apabila menggunakan medium Bahasa Arab Fushah. Muassis (pengasas) Kubra Harakah Islamiah As-Syaheed Imam Hasan Al-Bana dalam wasiat sepuluhnya menggesa supaya setiap akh mempelajari dan berusaha bertutur dengan Bahasa Arab Fushah. Antara strategi al-Ghazwul al-Fikri yang dicanang-canangkan ialah menjauhkan generasi muda dari menguasai bahasa Arab Fushah dan menanamkan dielek kedaerahan. Akhirnya generasi baru ini terputus hubungan dengan sumber turath Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi, saya menanti telefon dari sepupu saya yang belajar di Nottingham University. Beliau melanjutkan pelajaran diperingkat Phd. Akhirnya kami dapat berjumpa setelah hampir 3 tahun.

Sementara menanti program di masjid tersebut, saya pergi membeli belah dan bersiar-siar di sekitar bandar Sheffield bersama Saufi, akh Khairudin, isterinya dan sepupu saya. Pada kesempatan ini saya membelikan hadiah untuk dibawa pulang ke Malaysia. Hadiah, cenderamata penting dalam kita membicarakan soal DF iaitu dakwah fardiyyah. Bagaimana cara kita ingin menambat hati para mad’u ialah dengan memberikan hadiah kepadanya sempena hari lahir, hadiah atas kejayaannya, semasa ziarha dan sebagainya. Memberikan hadiah adalah satu seni penambat hati manusia, penyubur kasih cinta. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “ Hendaklah kamu saling memberikan hadiah, nescaya kamu akan saling cinta mencintai..”. Kaedah DF menyatakan : “ Ubzur Hubbaka Tahsud Hubbahu”. ( Tanamkan benih cintamu pasti kamu akan tuai cintanya). Moga para daie di jalan allah tidak lokek berkorban untuk mad’unya.

Masa yang dinanti-nantikan pun telah tiba, jam sudah menghampiri acara program, kami bergegas keluar dari celah-celah kesesakan bandar menuju ke Masjid Abi Hurairah untuk majlis forum. Pelajar-pelajar menunggu kedatangan kami. Bilangan yang hadir pada majlis tersebut hampir 30 orang, ada yang under dan post graduated. Tajuk bicara petang tersebut  ‘Bila baju melayu bertemu baju kurung’. Tajuk yang begitu popular dan glamour dikalangan para pelajar IPT. Pelbagai soalan dikemukakan oleh para pelajar . Dari isu bercinta hinggalah mendirikan rumah tangga dan bagaimana mengekalkan kebahagian tersebut. Sang moderater berjaya mengendalikan majlis dengan sempurna. Sesekali ada lelucon dan kehumorannya, maklumkan orang muda, bersemangat apabila berdiskusi sola cinta.

Cinta ini, terlalu abstrak. Ia soal hati. Cinta jugalah mencipta kehebatan dan keagungan. Cinta juga menyebabkan Syah Jehan membina tugu peringatan (Taj Mahal) buat kekasihnya. Cinta juga melakarkan babak-babak sejarah perjuangan dakwah yang hebat. Bacalah kisah cinta Hajar dan Ibrahim a.s, cinta Yusuf- Zulaikha, cinta Muhammad SAW dan Khadijah. Abad kini kita pernah membaca kisah  perjuangan dakwah Syeikh Kamal as-Saniri bersama isterinya tercinta. Cinta agung untuk dakwah, isteri adalah pendorong dan motivator terbaik buat suami melayari dan menakhodai bahtera dakwah. Teringat ungkapan al-marhum Syeikh at-tarbiyah, murobbi hebat , mantan Mursyid Ikhwan Muslimin, Syeikh Mustofa Masyur, katanya : “ Aku memiliki dua isteri, isteriku yang pertama adalah dakwah, isteriku yang kedua adalah isteriku sekarang, jika bertembung antara keduanya akan akan utamakan isteriku yang pertama..”. Begitulah kata-kata yang sang murobbi yang memahami perjalanan dakwah ini. Saya cadangkan juga buat para daie agar membaca buku “Di Jalan dakwah Aku bernikah’, tulisan akh Cyahadi.

Apa-apa pun,cinta harus berpaksikan kepada syariat, terbit dari hati yang mencintai Allah dan Rasulnya. Cinta itu adalah fitrah. Fitrah yang suci dan bersih akan membawa kepada cinta yang hakiki iaitu  cinta kepada Allah dan Rasulnya. Salah satu tanda Halawatul Iman (kemanisan iman) ialah menjadikan allah dan rasulnya lebih dicintai dari segala-galanya. (mafhum hadis).

Pada malamnya, saya bersama-sama para pelajar di sini mengadakan MABIT . Kami berqiamulail bersama-sama, membaca al-Quran. Selesai solat subuh dan mathurat, akh Syahir (Ex-SBPI Gopeng) memberikan khawatir tentang pentingnya as-Suhbah as-Solehah (persahabatan yang soleh). Beliau menceritakan pengalaman berguna dan bermakna berjaulah bersama-sama rakan-rakan yang memiliki satu matlamat, satu fikrah. Bersama-sama dengan mereka adalah satu nikmat yang tidak dapat diperolehi bersama-sama orang lain.

Pagi itu, kami menjamah sarapan yang disediakan oleh Adam dan Naim. Sedap rasanya. Di celah-celah perbualan tersebut, saya tanyakan pada mereka kenapa masakan tadi rasa sedap. Saya katakana bahawa masakan tadi sedap sebab tukang masak memasak dengan sepenuh perasaan. Bukan guna akal semata-mata. Saya buat satu konklusi pada mereka terutama dalam melaksanakan tugas dakwah khususnya DF.Saya kata, bila kita buat dakwah kita kena guna kuasa akal dan kuasa perasaan. Bila kita boleh gunakan kedua-duanya dakwah akan cepat menambat mad’u. Kuasa akal lebih kepada teori dan ilmu sedangkan kuasa perasaana ialah bagaimana kita memahami perasaan mad’u. melayani kerenahnya dan bersabar dengannya. Banyak usaha dakwah gagal apabila terlalu berteori tanpa disulami perasaan cinta yang membuak-buak pada mad’u. Begitu juga perasaan cinta pada mad’u tidak harus dibiarkan berlalu tanpa dikekang dengan suluhan ilmu dan kefahaman.

Hari ini adalah hari terakhir berada di Sheffield. Terasa bahang ukhuwwah yang amat sangat. Saya menunggu Iqbal datang sebelum bertolak ke destinasi seterusnya, Cardiff. Saya teringatkan masakan Adam dan Naim, layanan mesra dan first class akh Saufi, Sariman (jurukamera , bekas pelajar SMK Sg. Acheh), akh Zakwan yang bijak ( Ex SBPI Gombak). Semua adalah pelajar dari Universiti Cardiff, jurusan kejuruteraan. Moga allah merahmati mereka. Tidak lupa sdr Iqbal yang banyak diuji (baiki kereta pun 106 pound). Semoga allah memberikan kecekalan dan kethabatan padanya dijalan dakwah dan menjadi qudwah pada yang lain.

Jam sudah melewati pukul 3.00 petang, selesai bersalam-salaman, kami pun bergerak perlahan-lahan menuju ke bumi Cardiff. Kenangan manis di Sheffield tetap bersemadi dijiwaku. Aku tidak akan melupakan jasa baik kalian semua.

Kami menuju ke Cardiff dengan merentasi perjalanan yang memakan masa lebih 3 jam. Sesekali singgah di tempat services (perkhidmatan). Hujan turun lebat dan terasa kesejukan. Setelah melalui tempoh 3 jam lebih berbantukan kepada Tom Tom ( alat elektronik penunjuk arah ) , maka kami tiba di Cardiff. Kami disambut oleh akh Azizi ( Ex MRSM Jasin) yang tidak lokek senyuman manisnya. Mungkin namanya Azizi, macam dengan saya , seorang yang caring dan penyayang.

Sampai dirumahnya, saya berkenalan dengan ahli rumahnya. Rata-rata dari utara, ada yang belajar di sekolah SBP dan ada yang di MRSM. Ada yang buat kedoktoran, Phd dan kewangan.Alhamdulillah seronok dapat makan nasi goreng dan kentang goreng.Kehadiran tetamu ke rumahnya pada malam itu hampir 10 orang.

Saya dijemput untuk berkongsi pengalaman dan memberikan sedikit tazkirah dalam tempoh 5-10 minit. Saya Cuma mengulangkan semula akan peranan dan tanggungjwab belajar di sini, menggunakan kesempatan dan peluang yang telah dilaburkan oleh pihak yang bertanggungjawab menghantar pelajar ke oversea. Tanggungjawab inilah adalah satu amanah dan kewajipan. Saya jelaskan juga tentang harapan masyarakat pada graduan di oversea agar mereka pulang nanti mampu membawa perubahan pada masyarakat.

Malam-malam yang panjang tersebut, saya habiskan perbualan dengan akh Azizi. Sempat membelek dan menalaah buku ‘Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad’ karya Riduan Muhamad Nor. Buku yang mengupas sejarah gerakan kampus dan idealisme kemahasiswaan. Tercatat juga di dalam bukunya sejarah gerakan dakwah student di UK yang bermula dengan MISG yang bernaung dibawah FOSIS, kewujudan voice of Islam era 70 an. Gerakan IRC ditubuhkan oleh pelajar kejuruteraan yang menuntut di Universiti Sussex dan Kolej Teknikal Brighton UK. Penuntut IRC telah menerima kesedaran dakwah di Ins. Teknologi Kebangsaan ( sekarang UTM) yang telah dilatih oleh Pak Imaduddin Abd. Rahman (pensyarah Institut Teknologi Bandung). Memang bumi Eropah memiliki jaluran dan kesinambungan dakwah dengan bumi Malaysia. Di sini pengaruh Maududi dan gerakan Ikhwanul Muslimin ditimba. Tidak hairanlah ada banyak organisasi dakwah di sini.

Badan terasa keletihan, saya perlahan-lahan melelapkan mata saya. Besoknya saya akan ke Southampton. Tinggal beberapa hari lagi akan menamatkan perjalanan di bumi Eropah ini. Moga allah beri tajribah dan ‘ibrah dalam menyelusuri kafilah dakwah ini. Allahumma thabbit qalbi ‘ala deenika wa too’atika.

Read Full Post »

Travelog Dakwah Ke Bumi Eropah (4)

Dari New Castle-Manchester City-Sheffield

Sabtu 26 Disember 2009

Jam menunjukkan pukul 2.00 petang, saya bersama akh Iqbal, Taufik dan Zakwan bertolak keluar dari Edinburgh menuju ke New Castle dengan menaiki kereta. Kereta jenama Nissan milik Sdr. Iqbal. Kereta tahun 1992, harganya pun murah GBP 295 (lebih kurang RM 1600.00). Pemandangan di sepanjang perjalanan diliputi salji, lading-ladang keputihan diselimuti salji. Sesekali merentasi pinggiran laut. Jarak perjalanan memakan masa 3 jam setengah lebih. Kami tiba di rumah Zaid di New Castle jam 5.30 malam.

Pemandangan di waktu malam di New Castle

Rombongan kami telah disambut baik oleh tuan rumah dan pelajar-pelajar Malaysia yang datang ke sini untuk program ceramah saya di New Castle. Saya sempat bertaaruf dengan sebahagian yang hadir ke program ini. Mereka ada yang menyambung pelajaran ke peringkat Phd, ada yang meneman isteri belajar dan sebagainya. Kehadiran agak memberangsangkan, bilangan mencecah 40-50 orang. Terpaksa disediakan dua bilik iaitu satu untuk sister dan satu lagi untuk brother.

Majlis telah dipengerusikan akh Zaid dan saya telah menyampaikan ceramah saya menggunakan powerpoint. Tajuk yang diberikan ialah “Peranan Mahasiswa Cabaran dan Realiti Di Malaysia”. Usai saja menyampaikan ceramah, saya diajukan dengan pelbagai soalan. Ada yang bertanya tentang peranan ilmu dan bagaimana yang membudayakan ilmu dikalangan pelajar , ada yang bertanya sikap ISMA tentang isu ketuanan Melayu, ada yang bertanya tentang sikap suka menyalahkan orang lain dan bagaimana cara agar kita tidak dilarutkan dengan suasana negatif di sini. Turut juga memberikan pelbagai komentar terhadap isi pengisian saya pada malam itu. Maklumlah yang datang-datang ni, ada yang sudah dewasa, pelajar Phd dan berpengalaman.

Namun saya cuba menjelaskan beberapa perkara tersebut berasaskan disiplin ilmu dan fikrah yang ingin ISMA tampilkan kepada masyarakat. Di dalam soal membudayakan ilmu, saya menegaskan konsep ‘Iqra’ dan perlu kita memahami latar penurunan surah al-“Alaq yang merupakan asas pembinaan tamadun umat. Untuk membangunkan umat dan mengembalikan semula peranan Islam, kita harus berpaksikan kepada strategi ‘Iqra’ ( kajian/pembacaan) dan strategi Ubudiyah (Iman – makrifatullah). Tanpa dua perkara tersebut, kita gagal untuk membangunkan kekuatan tersebut. (boleh rujuk artikel saya : Tadabur Ramadhan : Membudayakan Budaya Iqra’ https://maalimfitariq.wordpress.com). Pelajar harus ada ketekunan dan keseriusan untuk menelaah dan menggali khazanah keilmuan Islam. Ilmu yang mampu membina kefahaman dan kesedaran kita. Ilmu yang membangunkan ketaqwaan bukan ilmu yang merosakkan manusia lain (konsep ilmu yang sebenarnya).

Saya cuba menjelaskan fikrah Isma tentang Melayu . Soalan ini bukan setakat masa program tetapi juga selepas program program ketika makan.Sdr. Zainal (Ex-Farisian’s) ingin mengetahui lebih lanjut tentang sikap dan pendirian ISMA tentang isu Melayu. Mungkin mereka melihat dan mendapat maklumat dari rakan –rakan mereka bahawa Isma tidak memperjuangkan ketuanan Islam apabila membicarakan soal Melayu. Walaupun beliau agak emosi dan bersemanagat, namun saya dapat mengawal sentimennya.

Saya menjelaskan bahawa, kita Isma komited memperjuangkan agenda Islam. Kita terus dan akan terus memperjuangkan Islam sebagai solusi kepada masalah umat hari ini. Islam harus memerintah dan mentadbir dunia ini hingga ke peringkat ustaziatul alam ( maratib amal). Tetapi dalam konteks kita membicarakan soal Malaysia , reality dan cabaran , kita harus objektif dan konstruktif iaitu kita perlu menyakini bahawa tonggak kepada kepimpinan hari ini masih berada ditangan melayu. Justeru mengukuhkan dan memperkasa kedudukan Melayu dengan acuan tarbiyyah adalah metodologi perubahan yang ingin dibawa Isma. Mahu tidak mahu, hakikatnya kita ada identity kita tersendiri, kita penduduk pribumi dan datangnya Islam telah mengubah kita menjadi umat yang hebat dan disegani. Lantaran itu, Islam tetap harus diperkukuhkan pada sosok tubuh melayu agar melayu yang kuat pegangan keislamannya yang akan memimpin negara. Jika kita tidak bercakap soal melayu, bermakna kita akan cuba meleburkan identity dan sayang kita pada bangsa dan umat kita.

Kepelbagaian harus dilihat secara positif dan konstuktif bukan satu kelemahan. Kita harus berbeza pandangan tapi perlu berlapang dada dan melihat maslahah yang lebih besar berdasarkan prinsip maqasid syarak iaitu menjaga agama di martabat tertinggi sekali.

Hati saya memang ingin berbicara panjang dengannya walaupun diajak bermalam dirumahnya untuk memahami lebih dekat pemikiran Isma. Namun apakan daya, keletihan dan perjalanan yang jauh dan akan ke Manchester City keesokannya memerlukan kerehatan. Setelah dijamu dengan hidangan yang lazat, saya dan teman-teman berpakat untuk berpuasa sempena 10 Asyura. Kami bersahur jam 5.45 pagi berlaukkan ayam dan nasi putih. Saya sempat membuatkan air Teh O yang menjadi kegemaran saya. Sebelum solat subuh, sempat membaca helaian al-quran buat bekalan sepanjang perjalanan ini. Dakwah ini memerlukan bekalan, jalannya panjang. Bekalan taqwa, bekalan as-Suhbah Solihah (persahabatan yang solih), bekalan al-quran adalah antara bekalan-bekalan sepanjang perjalanan dakwah yang tidak bertepi ini.

Ahad 27 Disember 2009

Keesokkannya kami bersiap-siap untuk ke Manchester City. Sebelum itu sempat mengambil gambar dihadapan rumah Zaid. Saya sempat menghubungi rakan dakwah saya semasa di Jordan ,Ust. Mazlee kerana diberitahu beliau tinggal di Durham dan menyambung belajar Phd dalam bidang politik. Dalam perjalanan ke Manchester City kami singgah dirumahnya jam 11.00 pagi, banyak perkara yang dibualkan tentang kajian politik beliau tentang Good Governance ,perkembangan politik di Malaysia, isu pendidikan, aliran tariqat dan sufi dalam gerakan dakwah dan sebagainya. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah beliau menyebut bahawa kebanyakkan mereka yang berada dalam gerakan dakwah terdiri dari para ustaz, doktor dan jurutera. Amat kurang golongan dalam bidang Human Science seperti bidang sosiologi, antropologi, undang-undang, ekonomi. Sedangkan mereka inilah yang berada posisi penting negara.

Pandangan beliau yang kritis, ada kebenarannya. Gerakan dakwah harus syumul dan komprehensif. Ahli yang memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran berupaya membawa transformasi kepada umat. Ini kerana, bila kita membicarakan soal dakwah kita membicarakan soal membangunkan softskill iaitu manusia sebagai objeknya. Mereka yang menguasai manusia akan dapat menguasai perubahan. Bidang kajian sosiologi, antropologi dan sains politik amat sinonim dan membantu  dalam   memahami proses  transformasi ( Fiqh Taghyir). Di penghujung perbualan beliau sempat menyediakan juadah untuk kami berbuka dan beberapa buah buku sebagai cenderamata. Moga ikatan ukhuwwah berkekalan.

Kenderaan kami meluncur terus ke MC . Kami melalui perjalanan yang agak panjang dan memakan masa 3 jam lebih. Tepat jam 3.3o petang kami tiba dirumah akh Zulhelmi  (Ex-KMS / MRSM Taiping). Kami ready untuk berbuka puasa sebelum bersiap sedia ke program forum. Kami berbuka puasa dengan juadah dari Durham (Ust. Mazlee).

Dirumahnya pun ramai, rakan-rakannya dari German yang datang menziarahinya. Tepat jam 5.30 kami bertolak ke tempat solat universitinya untuk program forum. Kehadiran dalam lingkungan 20-25 orang yang terdiri dari under graduated dan post graduated. Saya berforum bersama-sama akh Khairudin dan isterinya.

Saya mencatatkan satu informasi dari Pn. Rasyidah tentang kewujudan 500 persatuan Cina di Pulau Pinang berdasarkan portal Malaysiakini. Ini menunjukkan bahawa berpersatuan  ada manfaatnya. Amat malang sekali jika ada para pelajar yang berada diluar negara tidak berpersatuan atau terlibat dengan badan-badan dakwah . Bila kita join dengan badan-badan- dakwah atau mana-mana persatuan, ia dapat membina jatidiri dan sahsiah kita.

Saya rumuskan kesimpulan dari pada forum tersebut dengan meninggalkan pesanan berikut :

  1. Jadilah lelaki sejati sebagaimana pesanan Hasan al-Bana kepada sekumpulan pemuda yang diketuai oleh Dr. Salim. Kaedah mengatakan ..”jika ada lelaki soleh..akan ada sebab beroleh kemenangan..”.
  2. Menggunakan peluang belajar diluar negara dan pulang sebagai professional muslim daie.
  3. Menggunakan kaedah PHD ( P – Prefesional / H – High Quality and Perfomance / D – Develope Your Hardskill n Softskill ).

Malam yang larut itu, kami isikan perut kami dengan Half chicken n a Rice di Restoren al-Jazeera. Ummp..sedap..teringat Kabsah di Restoran Sabak di Putrajaya. Memang kawasan tu kawasan dijual makanan halal. Agak mengecewakan sebab kedai jual ais-krim telah tutup, tapi kami belikan Lamb Ribs untuk akh Saufi ( Inter-Siber )dan Adam untuk dibawa ke Sheffield.

Sebelum berangkat keluar dari rumah akh Zol, sempat berbual dengan Rusydan, bekas KMS dan pernah kenal akh Omar Kassim, Dr. Zainur dan pakcik Zaim. Masa tidak mengizinkan kami berbicara lama, sekitar jam 11.00 lebih, kami bergerak ke Sheffeild, badan terasa amat letih dan saya melelapkan mata.

Tiba-tiba kereta berhenti bergerak dari kilometer 16 untuk tiba di Sheffield. Rupa-rupanya kami ditahan polis kerana salah satu lampu belakang tidak berfungsi.Polis juga mendapatkan keterangan dari Iqbal dan check tayar . Beliau nasihatkan agar tayar kereta ini ditukar dan memandu dengan selamat . Perlahan-lahan kami bergerak menuju ke bandar Sheffield , meredah kegelapan malam dan tiba jam 12.40 malam sini. Alhamdulillah, selamat perjalanan, terpancar wajah kegembiraan Iqbal. Akhirnya sampai juga kerumahnya walaupun terpaksa mengharungi pancaroba perjalanan sebelum dan selepas program JUMN 09.

Saya katakannya; ” Moga Allah mengganjari pahala yang sebanyakknya atas kesabaran dan pengorbanan anta…tanpa pengorbanan dan kesabaran dakwah tidak ke mana..jalan ini panjang dan meletihkan…”. Besok akan ke rumah Saaufi..caretaker Masjid Abu Hurairah Sheffield.

Read Full Post »

Travelog Dakwah Ke Bumi Eropah (3)

Khamis 24 disember 2009

Hari-hari di Edinburgh dipenuhi dengan salji. Bebola salji menggamit rasa dan pemandangan saya. Subhanallah..cantiknya ciptaan dan kejadian Allah..(allahu badi’us samawati wal al-ardh). Di celah-celah kesejukan salji inilah , kami teruskan program mendaki bukit di Edinburgh yang diliputi salji tebal untuk hari berikutnya. Menurut salah seorang pelajar, di atas bukit ini terdapat Seat Arthur untuk memberi arahan kepada para tenteranya .

Di  perjalanan mendaki bukit ini, saya sempat menangkap gambar di bangunan parlimen Scotland yang bercirikan rekabentuk moden walaupun bangunan-bangunan lain sekitar bandar ini bercirikan konsep klasik. Sepanjang perjalanan diisikan program team-building yang memupuk maani-maani ukhuwwah, membina kreativiti, membentuk team-work. Dari aktiviti ‘mubarazah’, membina snowman, mendaki bukit hingga ke aktiviti gelunsur salji sambil menyuap makan kepada rakan , semuanya menjuruskan kepada mencapai objektif tema JUMS 09. Di dalam setiap aktiviti tersebut diselang selikan dengan tazkirah-tazkirah pengukuh iman dan menghimbau kepahlawan generasi para sahabat r.a.

Sememangnya di dalam dakwah ini memerlukan amal secara jamaie(kolektif). Dakwah ini sebagaimana yang diajar oleh para pendirinya berdiri atas asas Iman dan Ukhuwwah. Tanpa kedua-duanya maka dakwah ini tidak akan hidup dan mati. As-Syaheed Syed Qutb di dalam tafsir fi Zilal al-Quran menyatakan dua perkara tersebut adalah rukun asasi jamaah muslimah.

Imam Hasan Al-Bana pula menggariskan 3 rukun amal jamaie iaitu al-Iman al-amiq (iman yang mendalam), at-tanzim ad-daqiq (tanzim yang kemas) dan al-amal al-mutawasil  (kerja yang berterusan).

Jalan dakwah yang panjang ini memerlukan kekuatan iman dan ukhuwwah agar kita terus thabat. Jalan dakwah tidak dihampari permaidani indah tapi dipenuhi onak dan duri.(lau kaana ‘aradhan qariban wa safaran qasidan lattaba’uuk walakin baau’dat  ‘alaihumus as-syuqqah..). Jalan yang panjang ini memerlukan sang Daie yang kental tarbawinya, jelas matlamatnya dan sabar di sebalik susah payah perjalanan ini. Ingatlah perjalanan ini ialah perjalanan menuju kepada Allah (at-toriq ilallah). Hanya dengan tarbiyah dan jalan tarbiyah sahajalah pilihan kita untuk terus thabat di atas jalan dakwah dan mengembalikan semula Islam di mukabumi ini.

Pada malamnya kota menjadi agak  lengang dan kedai-kedai mula tutup kerana keesokannya merupakan Hari Krismas. Akhi Hazman sempat belikan nasi di Kitchen Mosque ala Pakistan. Harga pun ok, tidaklah terlalu mahal. Kami makan bersama Sdr. Adam ( pelajar Kejuruteraan di Sheffield – Ex- MRSM langkawi). Tugasnya memasak nasi, pagi-pagi dah siapkan air dan belikan makanan untuk kami dari Malaysia , juga Pokcik@ Firdaus  yang sentiasa menceriakan kami.

Saya teringatkan pandangan Sdr. Khairudin semasa sesi forum tentang peranan mahasiswa/siswa ,cabaran dan reality di Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa cabaran besar pelajar di Eropah ini ialah mendapat tajaan biasiswa yang tinggi, masa yang terluang banyak dan kebebasan melakukan apa sahaja berbanding dengan para pelajar yang menuntut di Malaysia . Amat malang jika kelebihan ini disia-siakan para pelajar dan tidak diambil peluang untuk meningkat kompetensi diri bagi mempersiapkan diri apabila pulang ke Malaysia. Para pelajar sewajibnya menyertai program yang dapat mendidik dan mentarbiyah diri agar dapat berperanan apabila pulang ke Malaysia nanti.

Saya menegaskan bahawa cabaran kita di tanahair amat besar . Umat dan Islam dicabar dan tercabar. Mahasiswalah tonggak yang akan mewarisi kepimpinan pada masa depan. Menginsafi perkara tersebut ISMA Eropah dan ISMA di Malaysia mengambil inisiatif merangka pelan bagaimana kita perlu membangunkan kualiti umat berasaskan kepada manhaj tarbiyah sebagai nukleas utama kepada agenda perubahan ini. Perubahan yang bertitik tolak membina individu  muslim yang memiliki muwasofat 10 Imam Hasan al- Bana. Pelajar perlu kaji sejarah bangsa yang punyai talian rapat dengan jatuh bangun sejarah Islam.

Malam-malam yang panjang dengan kesunyian kota Edinburgh, saya dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam sesi Pillow Talk. Saya memilih untuk menceritakan pengalaman saya, kehidupan semasa sekolah, belajar di university, mendapat kesedaran Islam, bekerja dan terlibat aktif dalam amal dakwah dan tarbiyah. Saya rumuskan apa yang saya lontarkan itu kepada point-point berikut :

  1. Untuk berjaya, kita perlu ada matlamat hidup yang jelas. Tanpa matlamat hidup yang jelas, kita akan terumbang ambing.
  2.  Di dalam hidup, kita perlu ada keberanian untuk membuat keputusan (making a decision). Orang yang ada keberanian membuat keputusan, dia akan menjadi orang yang hebat kerana dia tahu risiko yang bakal ia temouhi. Lihatlah para sahabat r.a apabila mereka berani membuat keputusan untuk bersama kafilah dakwah, mereka telah dicatat Allah sebagai al-mubasyiruna bil al-jannah. (10 golongan yang mendapat Syurga).
  3. Bagi merealisasikan impian kita, cita-cita besar kita,kita perlu kepada 3K iaitu (kemahuan-kemampuan – kesempatan). Mahu (dorongan dalaman), Mampu pula ialah usaha dan amal, manakala kesempatan ialah ada masa dan persekitaran proaktif bagi mencapai impian kita ( a dream). Begitu jugalah dakwah dan tarbiyah tidak akan berjaya tanpa ada ketiga-tiga elemen tadi.
  4. Berada di jalan dakwah allah adalah barokah (ada keberkatan). Barokah itulah allah mudahkan urusan kita dalam semua keadaan. Dakwah ini hak allah, kalau kita jaga hak allah, allah akan jaga hak kita. Dakwah tidak akan rugi jika manusia tidak bersamanya, yang rugi adalah manusia yang meninggalkan dakwah. Teringat kata akh Azizi..dakwah ni macam  keretapi, ada gerabaknya, keretapi itu akan bergerak menuju ke destinasinya, setiap kita ada potensinya, adakah kita hanya akan menunggu atau kita menaiki keretapi dan memenuhi gerabak tersebut..fikir-fikirlah sendiri.

Besoknya bermulalah majlis penutupan program JUMS 09. Saya sampaikan hasrat ISMA, fikrah ISMA dan menanamkan rasa izzah pada Islam, dakwah dan tarbiyah. Walaupun program ini merupakan program pertama ISMA Eropah tetapi ia berjaya diadakan walaupun banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Spirit perjuangan tidak akan padam dan harus disemarakkan di bumi Eropah ini.

Saya ulangi semula bahawa kita hari ini berdepan dengan ancaman yang cuba meleburkan identity keislaman dan kemelayuan kita. Isma amat positif dalam memperjuangkan isu-isu tersebut. Ini kerana Isma berpandangan bahawa gerakan dakwah harus realistik dalam membina pilar kekuatan umat yang asasnya ialah individu muslim ( ikut maratib amal). Kita hidup dalam budaya dan nilai bangsa Melayu , dalam masa yang sama kita menyedari bahawa komposisi kaum kita pelbagai. Namun umat Melayu adalah umat tonggak kepada bangsa Malaysia. Lemah Melayu lemahlah negara, hancur Melayu hancurlah negara. Nabi SAW pun pernah bersabda..” aku adalah berbangsa Arab dan bercakap di dalam Bahasa Arab…”. Nabi SAW memberikan isyarat bahawa baginda memiliki identity yang jelas, berketurunan Arab agar mengingatkan kita bahawa setiap uamt harus tahu identinya. Sebahagian ulama menjelaskan sifat Quraisyiah yang disabdakan oleh Rasulullah untuk diangkat menjadi pemimpin itu bermaksud kepada kepahlawanan, keberanian, keperkasaan dan bangsa tonggak pada satu umat. Memperjuangkan isu-isu memperkukuhkan kekuatan Melayu, bukan bererti rasis tetapi adalah khiyar strategi (strategi pilihan) untuk tempoh tertentu (marhalah) tanpa melupakan agenda taghyir iaitu menegakkan khilafah Islam. Imam al-Bana di dalam Majmuah Rasailnya banyak menyebut soal Islam dan bangsa Arab  kerana beliau paham bahawa beliau hidup dalam wilayah yang tonggaknya adalah Arab.

Travelog dakwah akan diteruskan lagi. Ana keseorangan setelah akh Hazman sudah berlepas ke Heatrow, London untuk pulang ke Malaysia. Tepat pukull 4.00 am (Edinburgh), beliau menghantar SM menyatakan beliau telah tiba di KLIA.

Dakwah ini harus dipacu lagi selaju kenderaan..jangan biarkan ia sejuk seperti sesejuk salji. Biarpun ia suci tapi jika sejuk dan beku maka tiada maknanya. Dakwah ini suci sesuci salji tapi ia tidak boleh dibiarkan sejuk sesejuk saljai (molekul zarah tidak aktif). Biarkan obor dakwah ini terus menyala dan membara dijiwa umat….

 Kami akan meluncur ke Kota Bharu pula..opss ke New Castle untuk program di sana.

 

Read Full Post »

Travelog Dakwah Di Bumi Eropah (2)

Travel dakwah diteruskan. Kali ini menjajaki Scotland. Kami akan ke Edinburgh untuk Jalinan Ukhuwah Isma Eropah buat kali pertama. Tepat jam 4.00 am hari selasa, saya menuju ke lapangan terbang Dublin bersama-sama para pelajar Ireland, Chezk seramai 24 orang  dengan menaiki teksi. Misi kami ini ialah ke Edinburgh, Scotland satu lagi negeri di United Kingdom. Penerbangan kami menggunakan Ryanair.Kami berlepas dar Airport Dublin jam 06.25  dan tiba di Edinburgh jam 7.40 am. Seusai saja urusan dekat Airport Edinburgh kami menunaikan solat subuh berjamaah yang diimamkan oleh Sdr. Lukman (bekas ex-SMAPL). Kemudian saya sempat tilawah al-Quran sebelum keluar dari airport sementara menunggu untuk keluar.

Cuaca kat sini dipenuhi dengan salji. Pakaian pun kenalah pakai agak tebal. Dari airport kami bergerak ke city town dengan menaiki bas. Perjalanan pun memakan masa lebih kurang 40 minit. Bangunan-bangunan kat sini berbentuk lama. Bandar Edinburgh merupakan bandar yang terletak di kawasan yang agak tinggi, dipenuhi bangunan-bangunan rekabentuk lama dan bersejarah.

Setelah mengharungi tempoh 40 minit, kami tiba ditengah-tengah bandar. Salji sudah memenuhi bandar ini, terasa sejuk yang amat sangat. Seterusnya kami dibawa ke hall dan meletakkan barang sementara menunggu kedatangan peserta dari Cardiff, New Castle, Machester Unity, Sheffield, dan German.

Saya lihat para urusetia sibuk untuk memastikan program mereka berjalan lancar, walaupun banyk kesulitan yang terpaksa dihadapi. Kesabaran, ketabahan dan jiddiyah yang tinggi itulah resepi kejayaan kendatipun kerikil yang mendatang.Saya kata pada anak-anak muda ini..” kita pi Winter Gathering  Isma Eropah ni, bukan bermula masa program , tapi persiapan sebelum itu, dah keluar dari rumah tu kira dah mula bermukhaiyam la, dari sini kita dilatih bersabar, paham karenah madu, menghargai makna ithar dan ukhuwwah serta fikir bagaimana nak handle program..kalau tidak sabar dan tahan kita tak akan berjaya..jalan dakwah ni perlu kesabaran..orang yang hebat bukan dia laju atau aktif tapi dia thabat (teguh pendirian) di jalan dakwah.”

Setelah selesai semua persiapan, menunggu kehadiran para peserta, jam 04.00 petang bermulalah upacara perasmian Jalinan Ukhuwwah Isma UK-Eire Kali 1. Saya terpaksa merasmikan program tersebut keranan Al-Fadhil Sahibus Samahah Dr. Juanda b. Yahaya tidak dapat datang akibat masalah penerbangan dari London.

Majlis telah  dipengerusikan oleh Sdr. Zaid b. Jasmin (ex-Sdar 06). Alhamdulillah, dapat berjumpa di program Jalinan Ukhuwwah. Beliau dulu seingat saya merupakan Timbalan Presiden Badar Sdar 2006. Semangat berdakwah masih ada dan terus mengalir dalam jiwanya. Moga menjadi batu bata kepada Islam.

Ucapan alu-aluan program telah disampaikan oleh Sdr. Iqbal Tahir. Ayahnya rakan baik ana , anak YDP Isma Johor. Selaku pengarah program ini, beliau menjelaskan matlamat program ini iaitu untuk berkongsi satu mimpi (we share a dream)  dan menjalinkan ukhuwwah islamiah dari peserta dari pelbagai negara. Mimpi ( a dream) di sini ialah berkongsi satu visi, satu matlamat iaitu kita ingin menjulang semula islam di mayapada ini, melihat satu khilafah kembali semula.Inilah harapan yang dilontarkan oleh pengarah program, biarpun badannya kecil tapi semangatnya kental, jiwa dakwahnya yang menebal, pengorbanannya (tazhiyyah) yang tinggi di samping senyumannya yang manis. (tabassamuka fi wajhi akhika sodaqatun..)

Saya memulakan ucapan saya dengan menyampaikan salam ukhuwwah dari pimpinan Isma di Malaysia. Kemaafan juga kerana Dr. Juanda tidak dapat bersama kita pada majlis ini akibat fligh delay dan akan nada penerbangan selepas Krismas Day. Saya tegaskan kepada para pelajar bahawa program ini merupakan program pertama Isma Eropah sempena musim sejuk dan mereka telah melakar sejarah dakwah kerana menghadiri program ini.

Di sini saya titipkan beberapa perkara yang telah saya sebut seputar ucapan saya iaitu :

  1. Bersyukur kerana dapat menghadiri program ini. Ini merupakan salah satu sumbangan ISMA dalam menyemarakkan dakwah di Bumi Eropah. Ia bertitik tolak dari rasa masuliyyah dakwiyyah dan keprihatan yang syumul terhadap realiti umat pada hari ini.
  2. Belajar di luar negara bukan sekadar mengejar karier, memenuhi impian keluarga semata-mata tetapi melaksanakan tugas tafaqquh (memperdalamkan kefahaman agama)dan inzar (member peringatan).
  3. Tafaqquh dengan erti memahami Islam yang sebenar berdasarkan disiplin ilmu yang betul walaupun kita bukan jurusan agama. Ini kerana ayat tersebut menjelaskan peranan dan tugas kita setelah bergelar mahasiswa ialah li yunziruu..( pemberi peringatan iaitu berdakwah) kepada umat (qaumahum). Umat dalam konteks ini ialah memperkukuhkan sendi-sendi kekuatan tonggak umat Melayu.
  4. Justeru itu, mahasiswa perlu memperlengkapkan diri dengan secukupnya sehingga ke peringkat pakar atau professional agar mesej (risalah) inzar sampai ke khalayak umat. Di sini tempat untuk melahirkan doktor dan jurutera muslim yang bukan sekadar memiliki segulung ijazah tetapi membawa risalah dakwah kepada umat mereka. Keprofesionalan inilah pra-syarat kepada proses la ‘allahum yahzarun ( umat sedar dan berubah).
  5. Tugas ini hendaklah memenuhi piawaian yang telah digariskan Allah sebagaimana yang diungkapkan oleh Daie terkenal Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi iaitu ibadatullah, khilafatul ardh dan isti’mar al-‘alam .( ibadah – mengurus – memakmurkan alam).
  6. Dilema kita hari ini ialah kita lupa fungsi dan peranan kita yang telah ditentukan allah. Akibatnya kita tidak lagi memimpin dan menerajui dunia. Inilah cabaran yang perlu kita tangani dengan bijak.
  7. Cabaran di Malaysia amat kompleks khususnya reality baru selepas pasca pilihanraya dan penukaran tampuk kepimpinan baru. Kita diancam dengan cabaran dalam aspek politik,ekonomi, social, budaya dan pendidikan. Cabaran ini menggugat kekuatan umat dan Islam jika tidak disedari. Ini kerana arus yang berjalan ialah untuk meliberalisasikan dan menaturalisasikan ketuanan Islam dan bangsa yang akhirnya memperjudikan nasib bangsa dan agama sendiri. Para pelajar harus peka dan sedar.
  8. Harapan saya agar program ini mampu mempersiapkan kita sebagai agent of change (agen perubahan), the pillar of ummah (batu bata kepada umat) agar kita punyai keupayaan mengembalikan semula Islam dimuka bumi ini.Kita harus berfikir sebagai seorang negarawan dan tidak terhenti pada kotak kerjaya kita.
  9. Isma meletakkan usaha pembangunan, rekrutman dan kaderasasi adalah teras kebangunan sesuatu bangsa. Proses tarbiyah dan pembinaan (takween) adalah pilar membangunkan manusia yang akan menjadi agen perubah. (asleh nafsaka wad’uu ghairaka).Metodologi tarbiyah adalah asas kebangunan umat dan bangsa Melayu.
  10. Lantaran itu kewujudan program Jalinan Ukhuwwah Isma-UK ini relevan dan sebagai usaha kerdil Isma menyiapkan generasi yang akan memikul tugas taghyir ini (perubahan). Ia adalah usaha melestarikan dakwah dan tarbiyah di bumi Eropah.

Begitulah beberapa point yang sempat saya lontarkan. Alhamdulillah tayangan slide perasmian yang menarik dan sumbangan kewangan kepada Sdr. Nabilah Huda bt. Zaim sebanyak 1200 pound tidak termasuk sumbangan Euro dari Ireland dan Republik Chezk.

Di sinilah saya bertemu dengan Sdr. Firdaus (Cardiff), Sdr Azizi yang aktif dan bersemangat walaupun baru tahun satu. Begitu Sdr. Saufi (Sheffield) yang pernah menziarahi ana di Malaysia dahulu. Tidak sempat saya mencatatkan semua nama. Namun ukhuwwah tetap mekar dan mengakar di dalam jiwa saya. Walaupun baru pertama kali bertemu, nikmat al-hubb fillah dirasai. Imam Hasan al-Bana dalam wasiatnya mengingatkan  “ berkenalan dengan sesiapa yang anda temui dan kenali..kerana sesungguhnya asas dakwah kita adalah berkenalan dan berkasih sayang..”.

Hari-hari seterusnya dipenuhi slot-slot pengisian , teambuilding, indoor dan outdoor serta forum. Kehadiran Sdr Khairudin ( SU Isma DHL), isteri Pn. Rasyidah (ajk Sekretariat Luar Negara) dan anaknya menyemarakkan program ini.

Dakwah ini tegak dengan iman, kasih sayang dan cinta. Semakin mendalam cinta kita pada manusia semakin tinggi ruh dakwah kita sebagaimana ungkapan katalis Imam Hasan al-Bana ‘sanuqaatilu an-Nass bil Hubb’ – Kami akan perangi manusia ini dengan kasih sayang dan cinta.



Read Full Post »

Travelog Dakwah Ke Bumi Eropah (1)

“Mengharungi samudara kehidupan..Kita ibarat para pengembara…hidup ini adalah perjuangan…tiada masa tuk berpangku tangan..”. Demikianlah rangkap pertama bait lagu ‘Bingkai Kehidupan’. Ia menggambarkan bahawa kehidupan kita adalah ibarat musafir dakwah. Dakwah merentas sempadan benua dan negara. Berikut saya nukilkan catatan ringkas perjalanan dakwah ke Bumi Eropah.

Pada 19 Disember 2009, saya bersama akh Hazman berlepas ke Eropah di dalam misi dakwah ISMA Eropah. Kami berlepas dari KLIA Airport jam 10.45 pagi waktu Malaysia .Alhamdulillah..tepat jam 3.45 petang waktu England, saya bersama Sdr. Hazman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa London. Kami mengambil masa yang lama untuk mendarat disebabkan kesibukan di airport tersebut. Maklumlah Airport London merupakan lapangan terbang tersibuk di dunia. Selepas lebih 3o minit kami dapat mendarat dan keluar. Kemudian bergegas segera ke Terminal 1 untuk mengambil penerbangan ke Dublin menggunakan penerbangan BMI. Tiada halangan dan kepayahan sepanjang urusan di airport London. Kami terus menaiki penerbangan BMI dan tiba di Dublin jam 09.30 mlm waktu Ireland.

Di sini saya disambut oleh akh Faezudin , pelajar perubatan yang merupaka aktivis dakwah di sini. Saya dibawa menginap dirumahnya di Portobello dan besoknya saya ada talkshow di Malaysia Hall dengan tajuk ‘Bila Baju Melayu bertemu Baju Kurung’ .Rumah yang didalamnya dibuat dari kayu, satu bentuk yang amat unik. Ini kerana rumah-rumah di Ireland ini mengekalkan ciri-ciri tradisional ala British dan hanya 2-3 tingkat sahaja. Dirumah ini juga saya bertemu Sdr Mohd Faez b. Moiden (bekas ex SDAR 2006 dan pelajar terbaik SPM). Layanan yang diberikan amat baik. Moga Allah mengganjarinya.

Cuaca di sini agak sejuk. Tempoh malam yang begitu panjang. Tepat jam 07.00 pagi kami solat Subuh di salah sebuah Masjid disekitar Bandar ini. Kebanyakkan masjid-masjid disini dihidupkan oleh bangsa Pakistan dan Arab yang beraliran Tabligh atau Salafi.

Program pertama saya ialah Talkshow dengan para pelajar Malaysia di Malaysia Hall dibawah tajuk ‘Bila Baju Melayu bertemu Baju Kurung’. Program anjuran pelajar  ISMA Dublin menarik kehadiran  20 orang pelajar,  tidak termasuk pelajar yang datang dari Republik Chezk menziarahi bumi Ireland ini untuk ke program Jalinan ISMA Eropah di Edenburgh.

Alhamdulillah..program Talkshow ini berjalan lancar disamping talk menarik tentang pengalaman melayari bahtera percintaan oleh Sdr. Hazman. Saya cuba mengulas dan mengupas konsep cinta menurut Islam, bagaimana cara sebenar perhubungan lelaki dan wanita, tips-tips memilih jodoh dan lain-lain lagi. Kehangatan talkshow ini bergerak lancar dengan kepetahan Sdr Ferdous (pelajar tahun 2 perubatan di RCSI)selaku moderator program. Perbagai soalan telah ditanya kepada saya oleh para peserta dan mereka memberikan respon positif terutama dari bakal doktor seperti Sdri. Khadijah, Sdr. Iqbal (pelajar perubatan di Royal College of Surgeons In Ireland). Talkshow ini tamat pada pukul 04.00 petang.

Program ini menemukan saya dengan beberapa orang pelajar seperti Sdr. Fahmi ( ex-SDAR 05), Sdr Hariri (tinggal di Kemamam). Iqbal, Arif (Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland). Iqbal dan Arif ini merupakan orang Utara, seorang berasal dari Perlis dan seorang dari Kedah. Moga menjadi doktor Muslim yang menyumbang kepada umat suatu hari nanti.

Antara nasihat dan pesanan saya kepada bakal-bakal doktor ialah ;

  1. Berusaha belajar bersungguh-sungguh dan kuasai bidang perubatan hingga ke peringkat pakar. (specialist).
  2. Meletakkan tugas dan profesion doktor sebagai kerjaya dan juga sebagai amal dakwah. Doktor yang membawa watak sebagai seorang daie dan muslim untuk berfikir membina generasi terbaik pada masa akan dating.
  3. Menguasai bidang-bidang perubatan yang diperlukan umat seperti pakar ginekologi dan sebagainya.
  4. Melengkapkan diri dengan disiplin ilmu dan kemahiran yang membolehkan kita trampil ke dalam masyarakat. Pakej sebagai doktor-daie itulah yang terbaik yang diperlukan masyarakat atau dalam bahasa lain sebagai protaz (professional tapi ustaz). Mereka perlu merancang bagaimana menjadikan diri mereka sebagai protaz dalam tempoh 5-6 tahun berada di sini.
  5. Membina keperibadian dan jatidiri sebagai seorang muslim dengan melibatkan diri dengan program-program dakwah, institusi halaqah dan tarbiyah. Ini merupakan bekalan mengharungi kehidupan di negara minoriti muslim.Jauhilah dari membincangkan soal remeh temeh yang tidak menguntungkan umat dan berfikir sebagai seorang negarawan.

Insya allah selepas ini akan bergerak ke Edenburgh untuk program Jalinan. Semoga dakwah mekar dan subur di bumi Eropah. Mengakar tarbiyahnya merimbunnya amalnya. Anak-anak muda ini merupakan ruhul jadeed fi jasadil ummah…

Hadapan Malaysia Hall Dublin

Sesi Talkshow Baju Kurung baju Melayu

Berbual dengan pelajar-pelajar perubatan di Ireland

Read Full Post »

Melestarikan Momentum Hijrah

Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah

Tahun ini sambutan Maal Hijrah jatuh pada 18 Disember 2009 bersamaan 1 Muharram 1431H. Hijrah dari lensa sejarah  merupakan proses perpindahan baginda SAW dari Mekah ke Madinah al-Munawwarah.Perpindahan yang membawa kepada transformasi  nilai, budaya, etika pada sosok umat ketika itu. Transformasi umat dari dibelenggu jahiliyah kepada ketuanan umat dan watan. Membebas dan memerdekakan identiti umat dari terperangkap dengan semangat kekabilahan sempit kepada  naungan keadilan islam dan ketuanan bangsa yang mandiri , memiliki ciri-ciri al-hurriyah(kebebasan) dan jatidiri sebagai umat tonggak.

Justeru Hijrah bukanlah satu escapism(pelarian), bukan juga tanda kekalahan berdepan dengan realiti yang sedia ada tetapi ia adalah gerakan terancang daan strategik  dalam memperkukuhkan sendi-sendi kekuatan umat dan negara. Hijrah bukan tanda ketakutan dan kelemahan organisasi (tanzim) bagi menghadapi kekuatan jahiliyah, sebaliknya ia adalah langkah praktikal dan taktikal yang dipandu oleh tarbiyah rabbaniyah dalam menyelusuri tapak-tapak ketuanan akidah, menjejaki tangga-tangga ketamadunan dan asas kepada perubahan yang total.

Sememangnya babak-babak hijrah dipenuhi dengan segala keringat perjuangan, selaut pengorbanan, titisan airmata dan darah demi menjadi batu bata kepada binaan islam dan daulah. Proses demi proses, tarbiyah demi tarbiyah, takween demi takween ditangan Sang Murabbi Ar-Rasul Muhammad SAW telah meledakkan satu perubahan dan pembaharuan. Melalui perancangan yang rapi, pemikiran yang strategik, perkaderan yang terperinci serta sifat jundiyah yang tinggi, Hijrah telah melestarikan satu momentum perubahan kepada masyarakat , negara dan dunia.

Seharusnya bersempena dengan kehadiran Maal Hijrah 1431H , seluruh umat islam kembali semula menyegar dan membugar makna dan intipati Hijrah melalui pengkajian semula teks Fiqh Hijrah dalam dimensi baru untuk meneroka asas kegemilangam dan ketamadunan sebuah bangsa yang berdaulat. Hijrah tidak terhenti pada soal perubahan yang simplistik dan kosmetik tetapi perlu mengakar pada perubahan jiwa sehingga mencetuskan satu transformasi umat, membina front islami yang kuat serta mendombrak semangat kekabilahan yang sempit. Teras kepada kejayaan misi Hijrah ini ialah keteguhan iman dan kekuatan daya akliah di dalam merancang dan meneroka satu kejayaan disamping didikan wahyu yang tidak putus-putus.

Hari ini umat Melayu berada dipersimpangan, krisis demi krisis, peleburan identiti, ancaman liberalisasi, kuasa menjadi alat perebutan dan  ketuanan bangsa yang semakin terhakis. Di dalam kita melaung-laungkan Melayu sebagai teras kekuatan bangsa dan negara, kita harus bermuhasabah sejauh manakah kita telah meletakkan nilai islam sebagai solusi dan agenda perubahan tersebut. Sejauh manakah kita bermati-matian mempertaruhkan harga diri kita demi membina bangsa dan umat berdaulat. Sejauh manakah kita telah menggadai segala yang ada pada kita demi agama tercinta. Jangan kita terus beretorik dan tenggelam punca. Mari kita kutip semangat Hijrah dan kita lestarikan semula momentumnya.

Api perjuangan Hijrah tidak akan terpadam biarpun Jil Hijrah telah meninggalkan kita. Namun spirit dan momentumnya perlu dan wajib dilestarikan di dalam kehidupan kita agar nasib dan masa depan negara terjaga dan terpelihara.

Salam Maal Hijrah

YDP ISMA Seremban.

Read Full Post »

15 Ciri Pemimpin Unggul

  1. Mahir dalam menguasai seni berinteraksi dan kemahiran berkomunikasi
  2. Berkerja berdasarkan  prinsip-prinsip unggul bagi mencapai kejayaan dan memahami bagaimana berinteraksi dengan kegagalan.
  3. Memiliki bakat semulajadi yang bersifat kulli (merangkum) dan realistik.
  4. Fokus pada hasil (output) bukan pada aktiviti.
  5. Mampu mengimbangi antara kepentingan kerja (amal) dan para petugas.(amilin)
  6. Mengetahui keupayaan manusia dan perbezaan tahap kebolehan individu yang pelbagai.
  7. Menyakini kepentingan Syura.
  8. Bekerja dengan semangat berpasukan .
  9. Mahir dalam seni dan kemahiran memotivasikan  orang lain.(proses menjana & mempengaruhi).
  10. Memiliki pengalaman, ilmu yang secukupnya bagi mengatasi segala kesilapan.
  11. Menyakini kepentingan berperancangan dan melihat hasilnya (produk).
  12. Memiliki jiwa yang tinggi (berjiwa besar).
  13. Mengetahui bila, bersama siapa dan bagaimana bergurau yang sebenarnya.
  14. Mengimbangi peranannya yang berbagai-bagai.(pemimpin organisasi, bapa, suami dsb)
  15. Mengambil kira faktor-faktor sebab dan bertawakal kepada Allah.

Read Full Post »