Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2011

Asas-ِAsas Syari’e Keharusan Dakwah Fardiyah

  • Dakwah Fardiyah bukanlah  perkara baru di dalam uslub dakwah atau rekaan baru tetapi ia adalah uslub lama yang mempunyai usul syarak dan justifikasi dari sudut haraki dan sudut realiti.
  • Dakwah fardiyah adalah manhaj yang telah diikuti oleh para nabi a.s terutama di permulaan seruan dakwah mereka kepada seluruh manusia. Ia adalah uslub dakwah yang berterusan dan berkesinambungan di dalam setiap masa dan ketika.
  • Ini dapat dilihat dari kisah dakwah Nabi Nuh a.s  kepada kaumnya. Allah swt merakamkannya di dalam ayat 5-9 surah Nuh  yang bermaksud :

5. (setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa Dengan berkata: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

6. “Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

7. “Dan Sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya Dengan jari masing-masing, dan berselubung Dengan pakaiannya, serta berdegil Dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur Dengan melampau.

8. “Kemudian Aku telah menyeru mereka Dengan terang-terang;

9. “Selain dari itu, Aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai Dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan Dengan perlahan-lahan.

  • Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat   “  لهم إسراراوأسررت   “menyatakan bahawa “aku mendatangi mereka pada kedudukan mereka yang sesuai..”. Iaitu dia berhubung dengan mereka secara personal, jauh dari pandangan ramai manusia. Dia mengikat ikatan hubungan secara langsung  melalui ziarah ke rumah-rumah, berkenalan dengan kondisi kaumnya yang membuka peluang bicara khusus secara personal. Inilah pemerhatian  baik dan kefahaman benar yang dinukilkan oleh  Imam al-Qurtubi.
  • Al-Quran juga menampilkan seni dakwah fardiyah yang dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s di dalam penjara terhadap dua orang temannya. Ini dibuktikan pada ayat 36-41 surah Yusuf. Dakwah Fardiyah dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Firman allah di dalam surah Yusuf yang bermaksud : (ayat 36-41)

36. dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya Aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. dan berkata pula Yang seorang lagi: “Sesungguhnya Aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, Yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada Kami akan takbirnya. Sesungguhnya Kami memandangmu: dari orang-orang Yang berbuat kebaikan (untuk umum)”.

37. Yusuf menjawab: “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan Yang diberikan kepada kamu (Tiap-tiap hari Dalam penjara), melainkan Aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa Yang diajarkan kepadaKu oleh Tuhanku. Dengan sebab itu Aku meninggalkan ugama kaum Yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.

38. “Dan Aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun Dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

39. “Wahai sahabatku berdua Yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang Tuhan Yang bercerai-berai itukah Yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?

40. apa Yang kamu sembah, Yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama Yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang Bukti Yang membenarkannya. sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah ugama Yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

41. “Wahai sahabatku berdua Yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. ada pun Yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara Yang kamu tanyakan itu”.

  • Begitu juga kisah Nabi Ibrahim a.s melaksanakan dakwah fardiyah di mukabumi dan hanya Nabi Luth  sahaja yang beriman terhadap seruan dakwahnya. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyatakan bahawa “ Suatu hari  Ibrahim a.s berkata kepada isterinya Sarah, wahai Sarah, tidak ada seorang pun yang beriman di bumi selain dari aku  dan engkau..”.
  • Nabi SAW menyebut di dalam hadis sohihnya : “Dibentangkan kisah umat terdahulu, aku melihat ada dari kalangan nabi yang beriman dengannya seorang lelaki, ada dua orang yang beriman, ada dari kumpulan yang ramai dan ada langsung yang tidak yang beriman seorang pun..” [riwayat Muslim dari Ibnu ‘Abbas]
  • Rasulullah SAW memberikan galakan dan dorongan untuk melakukan usaha dakwah fardiyah agar dengannya seorang lelaki mendapat hidayah walaupun hanya seorang akan memperolehi ganjaran yang besar dan hebat. “ Dengan sebab usaha kamu seorang itu mendapat hidayah lebih baik dari unta merah”. (riwayat Bukhari dari Ali b. Abi Talib).
  • Inilah yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW terhadap para sahabat-sahabat baginda yang terawal di fasa ta’sis sebelum mentajmik mereka di rumah Al-Arqam b. Abi Arqam. Baginda telah melakukan proses intiqo’ (selektif) kepada mereka yang dipercayai untuk menjadi rijal dakwah dan menyampaikan dakwah secara fardiyah. Antara para sahabat r.a yang menerima seruan dakwahnya melalui dakwah fardiyah ialah Abu Bakar as-Siddiq.
  • Aishah Radiyallahu anha pernah berkata : “ Bahawa Abu Bakar r.a keluar untuk berjumpa Rasulullah saw. Beliau adalah teman baginda ketika waktu jahiliah, tatkala beliau berjumpa nabi s.a.w. Dia berkata : “wahai bapa al-Qasim, kamu telah hilang dari berada di dalam majlis kaum kamu, mereka menuduh kamu melakukan keaiban terhadap bapa-bapa dan emak-emak mereka. Maka jawab Rasulullah s.a.w : “ sesungguhnya aku adalah utusan allah menyeru kamu ke jalan allah”. Apabila selesai baginda berkata , maka Abu Bakar pun memeluk islam dan bergabung dengan Rasulullah SAW. Semua ini terjadi hasil mu’ayasyah (pergaulan) fardi yang berterusan Rasulullah SAW dengan Abu Bakar as-Siddiq.
  • Pengalaman para sahabat r.a membuktikan mereka juga mempraktikan seni dakwah fardiyah ini seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a. Selepas menerima hidayah islam beliau melakukan dakwah fardiyah kepada kaumnya dan ramai para sahabat r.a menerima seruan dakwah Islam terutama 10 para sahabat yang dijanjikan dengan syurga. Mereka ialah para rijal yang hebat dikalangan kaum mereka, mereka mendatangi Abu Bakar, menghampiri dan mendekatinya kerana ilmunya, perniagaannya dan memiliki pergaulan yang baik dan mulia. Antara para sahabat yang telah memeluk islam dengan usaha tangan Abu Bakar r.a ialah Uthman b. ‘Affan, Az-Zubair b. Al-Awwam, Abdul Rahman b. ‘Auf, Saad b. Abi Waqqas, Tolhah b. Ubaidillah. Mereka dibawa bertemu Rasulullah SAW ketika mereka bersedia menyahut seruan dakwah islam, lalu mereka pun memeluk islam.
  • Begitu juga tindakan Mus’ab b. Umair ketika dihantar Rasulullah SAW ke Madinah selepas Bai’ah Aqobah Pertama. Antara yang memeluk islam ditangan Mus’ab b. Umair ialah Saad b, Mu’az. Sa’ad b. ‘Ubadah, Usayd b. Hudhair.
  • Ada sebuah cerita menarik yang sejatinya yang wajar kita jadikan contoh dalam melakukan dakwah fardiyah, ketika sahabat Rasulullah SAW, Mus’ab bin Umair melakukan ittisal (hubungan) dakwah kepada ahlul Quwwah di Yastrib (Madinah). Pertama kali ketika Rasulullah SAW mengutusnya ke Madinah, Mus’ab mendatangi As’ad bin Zararah. Singkat cerita As’ad bin Zararah pun memeluk Islam. Kemudian keduanya melakukan hubungan dakwah kepada Sa’adz bin Muadz dan Usayd bin Hudhair, dua pemimpin bani Abdul Asyhal yang ketika itu masih musyrik. Mendengar dua orang du’at Islam itu akan menemui mereka, dua orang pimpinan Bani Asyhal ini kemudian berdiskusi. Sa’ad berkata kepada Asyad, “ Saya tak peduli, pergilah engkau kepada dua orang itu (Mush’ab dan As’ad) yang telah datang ke tempat kita. Mereka datang ke tempat kita untuk menghina orang – orang tua kita. Usir mereka dan larang mereka untuk datang lagi ke tempat – tempat kita.” Usayd bin Hudhair kemudian mengemaskan alat – alat perangnya dan pergi ke tempat Mus’ab dan As’ad. Ketika As’ad melihat Usayd datang, beliau berkata kepada Mus’ab, “ Ini adalah pemimpin kaumnya, dia telah datang kepada anda, berlaku benarlah kepada Allah dalam berbicara kepadanya “. Mush’ab berkata “ Bila ia berkenan duduk, saya akan bicara padanya”. Tak lama kemudian, Usayd bin Hudhair telah dihadapan mereka dengan wajah marah ia berkata “ Apa yang kamu semua bawa kepada kami? Celakalah kamu semua, apabila kamu masih ingin hidup”. Dengan tenang Mus’ab berkata “Silakan duduk dan dengarlah baik – baik. Bila anda suka, terimalah tapi bila anda benci maka kami akan pergi meninggalkan anda”. Setelah itu Mus’ab menerangkan kepada Usayd tentang Islam dan membacakan ayat – ayat Al Qur’an. Setelah itu Usayd berkata “Alangkah baik dan indahnya ini. Apa yang kamu semua akan lakukan bila hendak masuk ke dalam agama ini”.Keduanya menjawab “Seseorang harus mandi, membersihkan diri dan membersihkan pakaiannya. Setelah itu membaca dua kalimat syahadat”. Usayd berkata “Di belakang saya ada seseorang yang sangat berpengaruh terhadap kaumnya. Bila dia mengikuti kamu, pasti tidak ada seorang pun dari kaumnya yang tidak mengikutinya. Sekarang juga saya akan bawakan dia kepada kamu semua. Dia adalah Sa’ad bin Mu’adz”. Usayd mengambil alat – alat perangnya kemudian pergi kepada Sa’ad dan kaumnya. Ketika itu Sa’ad tengah berada di tengah – tengah kaumnya di dalam balai pertemuan. Ketika melihat Usayd datang lalu dia berkata “ Saya bersumpah, Usayd datang kepada kamu dengan wajah yang berbeza dari wajahnya ketika dia pergi”. Usayd berdiri di hadapan mereka, dan Sa’ad bertanya kepadanya “Apa yang telah kamu lakukan ?”. Usayd menjawab “ Saya telah berbicara kepada dua orang itu. Demi Allah saya menganggap mereka itu tidak apa – apa. Dan saya telah larang mereka. Lalu mereka mengatakan akan melakukan apa yang anda inginkan. Saya diceritakan bahwa bani Haritsah datang kepada As’ad bin Zararah untuk membunuhnya, hal itu dilakukan karena mereka mengetahui bahwa dia adalah anak penjagamu, iaitu untuk menghinamu…”. Mendengar hal itu, Sa’ad bin Mu’adz marah dan segera bangkit, kemudian ia mengambil senjatanya dan pergi menemui Mus’ab dan As’ad. Setelah sampai, ternyata ia mendapatkan Mus’ab dan As’ad dalam kondisi tenang. Mengertilah Sa’ad bahawa Usayd hanya ingin agar ia turut mendengarkan apa perkataan Mush’ab dan As’ad. Setelah itu, apa yang terjadi pada Usayd bin Hudhair sebelumnya, kemudian terjadi pula pada diri Sa’ad bin Mu’adz, hingga akhirnya ia memeluk Islam. Kemudian sikapnya ini diikuti oleh seluruh kaumnya, Bani Asyhal. Allahu Akbar !
  • Demikianlah, daya upaya dakwah fardiyah yang dilakukan oleh Mus’ab bin Umair dengan melakukan ittisal fardi (personal touch) kepada para Ahlul Quwwah di Yastrib, yang akhirnya menjadi sejarah awal  baru bagi perjuangan Rasulullah SAW, iaitu dengan dibaiatnya beliau oleh penduduk Yastrib, yang menjadi petanda berdirinya Daulah Islam pertama dalam sejarah.
  • Dakwah Fardiyah ini juga dipraktikan oleh para tabi’ein seperti Imam Ahmad b. Hanbal bersama Imam Syeikh Musa b. Hizam Syeikh al-Bukhari dan at-Tirmizi  yang merupakan imam yang thiqah dan soleh.
  • Pengalaman juga menunjukkan bahawa Tatar memeluk islam hasil dari uslub dakwah fardiyah. Diceritakan bahawa Barkaat Khan seorang pemimpin Monghol memeluk islam ditangan para pedagang Islam dari Bukhara. Ketika itu Barkaat Khan merupakan ketua kabilah yang penting di Rusia.
  • Sejarah juga mencatatkan bahawa Tuglog Timur Khan seorang pemimpin Kahsghar telah memeluk islam ditangan Syeikh Jamaludin seorang lelaki dari keturunan Bukhara kerana tertarik dengan cara dakwahnya yang penuh hikmah dan bijaksana.  ( Ghazwul at-Tatar lil ‘alam islami – Abu Hasan ‘Ali an-Nadawi).
  • Demikianlah beberapa hujah -hujah al-Quran, dalil as-Sunnah serta dalil seerah yang menunjukkan kewajipan melaksanakan dakwah fardiyah sebagai satu skill dakwah. Seni dakwah fardiyah dari kisah yang dipaparkan menunjukkan ia boleh dilaksanakan dalam semua kondisi dan pada setipa masa dan berterusan.

Read Full Post »

Mafhum Dakwah Fardiyah

Ulamak Harakah Islamiyah memberikan pelbagai takrif tentang dakwah fardiyyah.

Ustaz Fathy Yakan di dalam bukunya ‘Kaifa Nad’u Ila Islam’ menyatakan dakwah fardiyah ialah “penalaan dakwah atau khitab kepada mad’u secara individu atau bersama kelompok tertentu dari kalangan manusia yang memiliki sifat khusus’. Katanya lagi dakwah fardiyah boleh berlaku dari individu yang menggabungkan dirinya di dalam jamaah atau yang tidak terlibat dengan mana-mana jamaah tetapi ada kesedaran melaksanakan tuntutan dakwah.

Abdul Halim al-Kinani (Dakwah Fardiyah Bainal an-Nazhoriyyah wa at-Tatbiq) pula menyatakan bahawa dakwah fardiyah adalah “ satu uslub dari uslub dakwah yang bermaksud hubungan da’ie dengan seorang mad’u dengan perhubungan secara langsung. Tujuannya ialah meningkatkan keperibadian mad’u tersebut dari segi akidah, ibadah, akhlak, kefahaman dan harakah sehingga tercapai 10 muwasofat peribadi muslim dalam diri mad’u, sehingga menyerlah dalam dirinya kesediaan melaksanakan kewajipan berdakwah ke jalan Allah, berjihad di dalamnya dan intidhom (berdisiplin) di dalam sof para du’at al-mujahidin (yang berjihad)”.

Proses dakwah fardiyah berlaku melalui ikhtilat (bergaul) dengan kelompok manusia kemudian melakukan proses intiqo’ (selektif) seorang individu atau beberapa individu yang memiliki kelayakan untuk menyahut seruan dakwah, didekati dan dihampiri, bersahabat dan berukhuwwah dengannya, menalakan dakwah dalam bentuk personal sehingga ma’du ini bersedia menjadi batu bata di dalam pembinaan sof muslim.

Bagaimana berlaku dakwah fardiyah ?

  1. Dakwah Fardiyah dalam tempoh masa tertentu sahaja iaitu seorang da’ie melaksanakan ittisal fardi (hubungan personal) dengan sasarannya, berinteraksi setiap hari, tidak perlu kepada usaha dan persiapan. Ia berlaku untuk tempoh terhad dan dalam sempena tertentu seperti majlis takziah, menziarahi orang sakit, hubungan dengan jiran , jual beli dan muamalah harian. Dakwah fardiyah dalam bentuk ini menyamai dakwah umum dari sudut menyebarkan dakwah dan fikroh islam kepada massa sehingga memperolehi pandangan umum.
  2. Dakwah fardiyah yang berterusan dan stabil iaitu dakwah fardiyah yang memerlukan usaha dan persediaan yang berlipat kali ganda, memerlukan tempoh masa agak lama, dengan objektif mentarbiyah mad’u ke tahap iltizam terhadap Islam iaitu menjadi seorang da’ie mujahid muntazhim (berdisiplin) dalam barisan para du’at.

Keistimewaan Dakwah Fardiyah

Di sana ada beberapa keistimewaan dakwah fardiyah yang tidak terdapat pada wasilah-wasilah dakwah yang lain. Ia boleh dirumuskan seperti berikut :

  • Mudah – boleh dilakukan dalam setiap masa dan ketika samada fasa ta’sis, infitah atau tamkin daulah. Atau fasa sirriyah dan fasa jahriyah dan ia sukar dihalang.
  • Hubungan – dakwah fardiyah akan membina hubungan rapat antara da’ie dan mad’u sehingga merasai kemanisan ukhuwwah. Hubungan ini bersifat khusus dan secara langsung.
  • Pengalaman – dakwah fardiyah memberikan sang da’ie memperolehi pelbagai pengalaman dakwah terutama dalam mengenali watak-watak manusia yang pelbagai dan ini mematangkan para da’ie.
  • Qudwah – daie menjadi qudwah dan berusaha meningkatkan keperibadian dirinya, menambahkan bekalan sebagai seorang da’ie dan mendekatkan dirinya kepada allah.
  • Produktif – hasil dakwah fardiyah produktif dan melahirkan kader-kader dakwah baru dan berkualiti, dalam waktu yang singkat dengan usaha yang berlipat ganda. Ia adalah asas pembentukan sof du’at dan amilin di jalan dakwah dan melahirkan Qaedah Sulbah pada tandhim.
  • Kejayaan – kejayaan seorang da’ie di dalam dakwah fardiyah menjadikannya ada kemampuan melaksanakan amal tarbawi kepada kelompok yang besar dalam pembinaan halaqah tarbawiyah.

Faedah-Faedah Dakwah Fardiyah

1 Untuk Da’ie di dunia
  • Membangunkan kapasiti dakwah melalui himpunan pengalaman dalam berinteraksi dengan kepelbagaian mad’u.Pengalaman yang bersifat amali dan maidani.
  1. Pengalaman uslub bertaaruf, berkomunikasi dan seni menambat hati.
  2. Pengalaman dalam penalaan dakwah dan seni mempengaruhi akal mad’u.
  3. Pengalaman memahami jiwa manusia.
  4. Pengalaman membangunkan kemampuan dan potensi ma’du dan menalakannya.
  5. Pengalaman menyelesaikan masalah kejiwaan, merawat keaiban dan menbetulkan perilaku.
  6. Pengalaman berinteraksi dengan sikap, pendirian dan respon ma’du yang pelbagai watak.
  • Berusaha untuk menjadikan dirinya qudwah amali kepada mad’unya.
  • Wujud ta’awun (kerjasama) erat dengan ma’dunya untuk sama-sama meningkatkan tahap keimanan.
2 Untuk Mad’u
  • Memimpin dan menuntun tangan mad’u ke jalan yang lurus dan keselamatan di dunia dan akhirat.
  • Meledakkan bakat dan potensi ma’du dalam lapangan dakwah yang berbagai-bagai.
  • Membentuk keperibadian ma’du dengan keperibadian islam yang syumul.
  • Memperolehi ganjaran pahala kerana beramal untuk islam bersama para pejuang-pejuang Islam.
3 Untuk Dakwah
  • Menambahkan aset dakwah dengan pertambihan para kader-kader dakwah.
  • Membentuk Qaedah sulbah dari rijal dakwah terpilih.
  • Taurith ad-dakwah (pewarisan dakwah) kepada generasi baru.
  • Menambahkan kekuatan jamaah.
  • Sangat hampir dan  dekat untuk memenangkan Islam memperkukuhkan tapak-tapak kekuasaan islam.
4 Realiti Kehidupan
  • Meningkatkan kemahiran keinsanan (softskill) dengan melakukan seni DF.
  • Menyerlah dan membangunkan keupayaan dan kemampuan untuk berkhidmat kepada umat dan masyarakat.
  • Membangunkan semangat kepakaran, kreativiti dan inovasi dalam mengharungi ruh zaman.
5 Untuk Da’ie di Akhirat
  • Memperolehi aset besar dari ganjaran pahala dan kebaikan yang berlipat kali ganda di ahri akhirat.
  • Memperolehi syafaat.
  • Setia melaksanakan segala suruhan allah dan berada dikedudukan para syuhadak pada hari akhirat.

Read Full Post »

Metodologi Dakwah Fardiah

  • Dakwah ila lah adalah semulia-mulia amal dan sebaik-baik perkataan di sisi allah swt. Salah satu seni dakwah terpenting dan kaedah tajmik yang meluaskan qaedah sulbah ialah dengan dakwah fardiyah (DF).
  • Dakwah Fardiyah adalah seni perhubungan antara seorang da’ie dengan mad’unya (sasarannya) dalam bentuk hubungan peribadi secara langsung.
  • Dakwah fardiyah boleh dilakukan sama ada dari individu yang intima’ kepada mana-mana jamaah yang melaksanakan tugas dakwah, menyampaikan fikroh Islam sehingga menarik untuk menggabungkan diri ke dalam jamaah tersebut. Ia juga boleh dilakukan oleh individu yang tidak terlibat dengan mana-mana jamaah atas tujuan menyerunya ke jalan Allah.
  • Dakwah Fardiah berada di kedudukan asas dalam fiqh dakwah Ikhwanul Muslimin dan ia adalah salah satu perkara yang perlu dan mesti terutama di marhalah ta’sis iaitu marhalah memilih jil ta’sis untuk menjadii kawader dakwah yang mampu memikul beban dakwah yang cukup berat.
  • Manhaj dakwah kita menekankan bahawa pentarbiyahan individu, merubah dan memimpin jiwa manusia agar selari dengan manhaj robbani memerlukan kepada bi’ah atau lingkungan persekitaran. Ia adalah satu keperluan untuk membina rijal dan mentarbiyah mereka.
  • Dakwah Fardiyah  dan seni tajmik adalah wasilah mendapatkan tenaga baru dakwah dan menyusun mereka di dalam susunan tarbiyah dan organisasi.
  • Namun dalam melaksanakan seni dakwah fardiyah dan tajmik terdapat kelemahan yang ketara dikalangan para penggerak dakwah terutama dalam aspek-aspek berikut :
    • Dakwah yang bersifat umum (generalize) dalam mensyarahkan asas-asas islam. Kurang menimbulkan daya tarikan. Mungkin juga para du’at tidak membuat kajian mendalam terhadap latar belakang ma’du terutama aspek kejiwaan, pemikiran dan sosial.
    • Dakwah yang bersifat spontan dan tidak ada perancangan dan bersistem yang tersusun. Berkemungkinan para du’at hari ini tidak memiliki panduan khusus seni dakwah fardiyah, kemahiran seni tajmik, tidak tahu abjadiyat dakwah dan tarbiyah dalam memahmi perkembangan mad’u dan kurang membaca buku berkaitan seni dakwah fardiyah. Di samping itu tidak ada usaha mengumpul pengalaman dan perkongsian dalam melaksanakan seni dakwah fardiah. Mereka yang terlibat perlu ada unit (lujnah) khusus yang menilai, memantau dan mengembangkan seni ini sehingga ia membina bunu’ at-tajribah (bank pengalaman) untuk menduan panduan kepara du’at lain.
    • Tidak mengambil kira realiti kekangan hidup semasa dan tekanan musuh-musuh Islam dalam merosakkan pemikiran umat dan meleburkan keperibadian muslim terutama dalam era globalisasi. Serangan pemikiran hari ini tidak tertumpu kepada media cetak semata-mata tetapi menggunakan media maya seperti facebook, website, twitters dan sebagainya. Usaha yang sedikit dari pejuang harakah islam dibandingkan dengan musuh-musuh Islam yang menggunakan  teknologi moden hari ini.
    • Para du’at perlu membuat penilaian semula terhadap cara-cara, metodologi dan kaedah-kaedah agar keberkesanan pelaksanana tajmik dan seni dafkwah fardiah. Dakwah fardiyah perlu dilakukan secara manhajiah (bermetod) dan mubarmajah (berprogram ) supaya seni ini menjadi satu institusi dominan dalam membina kader-kader baru dakwah.

Kenapa Dakwah Fardiyah perlu kepada metodologi ?

  1. Untuk mengembangkan seni dakwah para du’at dan memperkayakan uslub dakwah terutama dalam amal tajmik. Ini penting kerana seni tajmik diperolehi melalui pengalaman dan pergaulan yang luas bersama kelompok ma’du. Ia tidak diperolehi secara teori dan pembacaan buku.
  2. Memberikan pengetahuan dan maklumat kepada da’ie bagaimana membina seorang mad’u sehingga dia menggabungkan dirinya ke dalam jamaah. Daie diberika maklumat bagaimana menyampaikan fikroh Islam kepada ma’du, memahami marhalah-marhalah, langkah-langkah pelaksanaan dan peta amal dakwah fardiyah secara syumul dan bersepadu jauh dari melakukan secara semberono atau spontan tanpa berobjektif.
  3. Belajar membuat penilaian kepada ma’du , membina kaedah-kaedah penilaian dan pengukuran dalam membuat pemilihan mad’u  yang baik, memenuhi kriteria ke sof jamaah.
  4. Mengurangkan jangkaan-jangkaan perbezaan dalam menilai dan menimbang kriteria individu yang dicalonkan untuk menganggotai organisasi melalui syarat-syarat keanggotaan ahli baru.
  5. Menjaga kesatuan kefahaman jamaah dan wasilah jamaah. Ia bertujuan menjauhkan  jamaah dari pelbagai aliran pemikiran kepada satu aliran pemikiran sahaja.
  6. Menggunakan  cara yang pintas (accelarated method) dan memaksimakan usaha dalam melakar langkah dan marhalah keanggotaan ahli baru dengan menempatkannya di tempat sesuai untuk mematangkan proses tarbiyah tersebut.

Peringkat-Peringkat Dakwah Fardiyah

  • Peringkat 1 : Membuat pemilihan yang baik. ( Husnul inttiqo’)
  • Peringkat 2 :  Bina hubungan personal dan bertaaruf dengan peribadi mad’u. (As-silah as-syaksiyah wa at-taaruf ‘ala syaksiyah al-mad’u)
  • Peringkat 3 :    Membina kepercayaan (thiqah) mad’u dan mencintainya. (kasb thiqoh al-mad’u wa mahabbatuhu)
  • Peringkat 4 : Melakukan persiapan fikroh dan pembinaan akidah ma’du. ( I’dad fikri wal bina’ aqidi)
  • Peringkat 5 : Mentarbiyah dan membentuk sikap ( tingkahlaku ) mad’u. (at-tarbiyah as-sulukiyah)
  • Peringkat 6 : Mengasaskan fiqh amal jamaie dan dakwah kepada mad’u. ( ta’sis fiqh amal jamaie wa dakwah)
  • Peringkat 7 : Memberi pengenalan tentang konsep jamaah muslimah. ( at-ta’rif bi jamaah muslimah)
  • Peringkat 8 : Membuat proses selektif  keanggotaan dalam bentuk latihan dan praktikal kepada mad’u. (al-ikhtiyar al-amali)
  • Peringkat 9 : Pencalonan keanggotaan (at-tarsyih)
  • Peringkat 10 : Penawaran untuk menggabungkan diri dengan jamaah islamiah. (mufatahah wal intisab wal bai’ah)

Inilah beberapa peringkat yang perlu dilakukan oleh para kader atau murobbi dalam pengoperasian seni dakwah fardiyah dan tajmik. Insya allah akan dihuraikan peringkat-peringkat ini dalam tulisan akan datang.

Read Full Post »