Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Oktober 2013

Sudah terlalu lama Nabi Ibrahim AS mendambakan seorang anak. Ketika melewati usia tua, isteri Nabi Ibrahim as, Hajar mengandung dan ia menjanjikan pewarisan zuriat keturunannya. Lantaran itu Nabi Ibrahim as semakin sayang kepada Hajar.

Hari demi hari akhirnya Hajar  pun melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat dan diberi nama Ismail. Keadaan ini menambahkan kasih sayang Nabi Ibrahim a.s terhadap Hajar dan anaknya Ismail. Namun Allah mahu menguji mereka. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim dan  Hajar ke suatu tempat yang jauh, yang Nabi Ibrahim as sendiri tidak mengenal tempat itu.

imagesBaginda Nabi Ibrahim keluar merantau dari Bumi Palestin dengan menunggang seekor unta bersama Hajar dan Ismail ke tempat  yang dia sendiri tidak tahu tujuannya. Namun dia amat yakin akan adanya  Allah yang akan membimbingnya. Setelah berminggu-minggu berjalan tibalah Nabi Ibrahim di sebuah daerah yang bernama Mekah, satu daerah yang kering kontang dan tidak ada penghuni. Hanya terlihat gurun pasir dan gunung-gunung batu, tidak ada tanaman untuk dimakan juga tidak ada air untuk diminum. Nampaknya di sinilah  Hajar dan Ismail diperintahkan Allah untuk hidup dan bermukim.

Bagaimanalah perasaan Nabi Ibrahim as ketika itu. Tentu sahaja beliau berasa sangat sedih dan pilu, namun beliau berkata kepada  Hajar:  ”Bertawakallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan dialah yang akan melindungi kamu dan menyertai kamu di tempat yang sunyi ini. Sungguh kalaulah bukan perintah dan wahyu-Nya, tidak sekalipun aku tekad untuk meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat aku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahawa Allah yang Maha kuasa tidak akan menelantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya. Insya-Allah”

Setelah ditinggal  Nabi Ibrahim as untuk tempoh beberapa ketika, keadaan  Hajar dan Ismail sangat mencemaskan.  Hajar   diuji dengan kelaparan dan dahaga di gurun tandus tersebut. Akibat kelaparan, air susunya juga tidak cukup untuk menyusui  puteranya Ismail. Puteranya Ismail menangis meronta-ronta sehingga menyayat hati Sang Ibu bernama Hajar. Kelaparan, kecemasan serta  tangisan tanpa henti-henti Nabi  Ismail as  membuatkan  Hajar menjadi panik. Dia berlari-lari ke sana ke mari untuk mencari sesuap makanan atau seteguk air  buat penghilang lapar dan dahaga.

Lalu  Hajar pergi ke bukit Safa, dia berharap agar dapat menemui sesuatu yang mampu  menolongnya, namun hanya batu dan pasir yang ditemuinya di sana. Dari Bukit Safa itu dia melihat bayangan air yang mengalir di atas Bukit Marwah, kemudian dia berlari lagi ke bukit Marwah, namun setelah dia tiba di sana, yang wujud adalah hanya bayangan fatamorgana belaka.

Diriwayatkan dalam keadaan Hajar yang tidak berdaya dan hampir putus asa, setelah berulang alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Sofa dan Marwah, datanglah malaikat Jibrail lalu bertanya: “Siapakah sebenarnya engkau ini?” Kemudian  Hajar menjawab : “Aku adalah hamba sahaya Ibrahim”. Jibril bertanya lagi :” Kepada siapa engkau ditinggalkan di sini?”,  Hajar menjawab : “Hanya kepada Allah.

Lalu malaikat Jibrail berkata lagi : “Jika demikian, maka engkau telah ditinggalkan kepada Dzat yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupkan keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya”

Lalu  Hajar diajak  ke suatu tempat di mana malaikat Jibrail menginjakkan telapak kakinya dengan kuat di atas tanah. Dengan  izin Allah keluarlah dari bekas telapak kaki itu air yang begitu jernih. Mata air itu kemudian dinamakan mata air zam-zam yang tak pernah kering sehingga  hari ini. Keadaan ini pula yang menjadikan Kota Mekah semakin lama semakin tumbuh dan berkembang pesat zaman berzaman sehinggalah ke hari ini. Mekah menjadi bumi penuh barokah dan rahmah.

Sementelahan itu pula, ketika Nabi Ismail AS mencapai usia remaja, Nabi Ibrahim mendapat mimpi bahawa dia telah diperintahkan Allah untuk menyembelih puteranya tersebut.  Begitu lama Nabi Ibrahim as termenung untuk menafsirkan mimpi itu. Sesungguhnya amat berat ujian yang bakal dihadapinya.  Namun sesuai dengan firman Allah: “Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanahkan risalahNya”. Lalu Nabi Ibrahim menuju ke Mekah untuk menemui dan menyampaikan perintah tersebut kepada puteranya Nabi Ismail as.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : QS 2: 124, “ Dan (ingatlah, ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata:  “(Dan saya memohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak menimpa orang-orang  yang zalim”.

Tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang Nabi Ismail pun menjawab perkhabaran ayahnya : “Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu.  Kemudian dipeluknya Nabi Ismail AS dan dicium pipinya ,Nabi Ibrahim lantas berkata : “Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, berbakti kepada orang tuanya serta yang ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah”

Ketika perintah penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikat kedua belah tangan dan kaki Nabi Ismail AS, dibaringkanlah dia di atas pelipisnya, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia. Maka terjadilah perang batin di hati Nabi Ibrahim as, antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Namun akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan di leher Nabi Ismail AS dan penyembelihan pun dilakukan.

Namun apa yang berlaku, parang yang tajam itu menjadi tumpul di leher Nabi Ismail AS.  “Wahai ayahku yang dicintai, rupa-rupanya engkau tidak sampai hati untuk menyembelih leherku karena melihat wajahku, cubalah  engkau telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku”.  Berkali-kali dilakukan tetapi tetap jua tidak berhasil.

Dalam keadaan bingung dan sedih, datanglah wahyu Allah : “Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpimu itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang cukup besar”.

Kemudian sebagai ganti nyawa Nabi Ismail AS, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya. Inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap hari raya Eidhul Adha di seluruh dunia.

Kisah-kisah Qurani ini sentiasa bergema ketika menjelang hari raya Eiduladha. Ia  adalah kisah episod cinta kudus seorang manusia figur yang tinggi pengorbanannya terhadap Allah azzawajallah. Ujian kesulitan dan kepayahan yang dilalui Nabi Allah Ibrahim as, isteri dan puteranya adalah lambang kekudusan ubudiyah yang tidak ada tolak bandingnya di dalam sejarah kemanusian. Ia terlakar dalam babak-babak korban kasih dan cinta demi satu perjuangan agung dan besar.

Ibrah di sebalik tragedi cinta yang menyayatkan hati ini tidak terhenti dengan drama pilu dan sedih tetapi berakhir dengan sesuatu yang indah, manis, bahagia dan luar biasa. Ia adalah sebuah ujian, sebuah perjuangan, sebuah pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas demi menjunjung risalah besar dan agung serta mewariskan keturunan zuriat penyambung risalah. Mungkin  Hajar tidak pernah membayangkan kota Mekah yang dahulunya tidak berpenghuni, tanah yang gersang, kering kontang tanpa air, tempat  di mana dia berlinangan air mata demi seteguk air, sekarang sudah berkembang pesat menjadi kota moden yang  dikunjungi ramai manusia ketika ini.

Para duat di jalan allah perlu meneliti setiap babak kisah ini, mengamati perjalanan pahit manis rumahtangga dakwah pasangan sejoli Ibrahim-Hajar. Ke’jantanan’ puteranya Nabi Ismail as yang membuktikan tanda cinta yang tidak berbelah bagi. Kisah ini menjadi kisah dakwah bagaikan sejambak mawar merah yang  mekar mewangi dan harum sekalipun dikelilingi duri-duri yang tajam.

Marilah kita renungkan kembali kisah agung ini, marilah kita jadikan  kisah keluarga Nabi Ibrahim AS yang penuh ujian, perjuangan dan pengorbanan sebagai teladan perjuangan di atas jalan dakwah ini.Semoga hadirnya  Eidul Adha menjadi momentum untuk meningkatkan daya juang, kesabaran menghadapi ujian dari Allah serta  meningkatkan ruh keihklasan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara.

Read Full Post »

dakwah-itu-cinta2

Ikhwati wa akhawati fillah,

Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan tasyakkur wa tahmid pada allah atas kurnian kita dipilih untuk menjadi ansarullah wa jindullah.

Dakwah ini adalah projek Allah, tugas kita ialah memenangkan dakwah ini hatta la takuuna fitnah wa yakunaddin kulluhu lillah. Target akhir dakwah kita adalah nasrul fikroh [memenangkan fikroh] dan nasyrul hidayah [menebarkan hidayah] sehingga tertegak agama ini mengatasi segala-galanya.[i’la kalimatullahi ilal ulya].

Ikhwah wal akhowat fillah,

Target ini jangan sekali-kali kita melupakannya dek kerana kesibukan kita dengan amal khoiri, amal siasi, amal ijtimaie, amal tullabi dan juga amal ikhtisodi. Semua aktiviti dan program yang dirancang, disusun, diagendakan semuanya menuju ke arah intisyar al-wa’yul islami dan ijad rakaiz islamiah.

Ia bukan sekadar kita menganjurkan program Kempen Selamatkan Ummah dengan mendedahkan keboborakan agenda pluralisme, liberalism, projek pengamerikaan, gerakan syiah, kristianisasi serta mengbangkitkan kesedaran kita sebagai sohibul risalah. Target akhir dan utama kita ialah melakukan islah wa taghyir sehingga agama ini dimenangkan allah dan sehingga tidak berlaku fitnah kepada agama ini .

Amal siasi kita bukan setakat menghantar calun di dalam PRU, amal khairi kita bukan setakat mengadakan khidmat I-Midek, I-Guru, KRIM dan bantuan-bantuan khidmat bakti kesukarelawan belia. Ia bukan setakat menganjurkan kempen selamatkan al-Quds, peduli terhadap isu Mesir, Syria dan umat Islam dunia tetapi mesti mengarah, terarah dan diarah kepada ila’ kalimatullah hiyal ulya.

Bukan juga bila kita melancarka I-Guru, bermakna kita menganjurkan program klinik akademik, teknik menjawab peperiksaan, program pembangunan jati diri semata-mata tetapi mesti melahirkan pewaris dan kader dalam rangka menjadi agent of change. [agen perubah]

Kita bukan hanya sekadar jamaah khoiriyah yang sarat dengan aktiviti kebajikan, bukan juga pasukan belia perkasa tahan lasak dan diuji, bukan juga badan ekonomi wirausahawan tetapi kita adalah jamaah qudwah yang membawa dakwah syamilah wa mutakamilah. Kita adalah jamaah dakwah, kerja dan sarana kita berdiri atas manhaj allah sehingga mendidik dan menta’lim umat kembali ila lah bukan seperti persatuan-persatuan, parti-parti lain yang juga melaksanakan kerja-kerja sosial, kerja-kerja politik , kerja-kerja kepemudaan tetapi yabqa ‘ala dholalah.

Inilah keadaan yang selalu perlu diingatkan pada ikhwah dan akhowat agar peta amal haroki kita terpandu dan memandu sehingga melayakkan dakwah kita dimenangkan allah, apatah lagi ketika pergelutan aktif kita dalam isu-isu semasa dan melibatkan diri di dalam kerja-kerja berbentuk kepolitikan.

Ya, target kita ialah memimpin manusia kepada hidayah allah. Jamaah ini hanyalah medan amal kita untuk merealisasikan target besar ini. Oleh sebab itu kita perlu berjiwa besar dan berfikir di dalam kerangka sebagai pemimpin. Iman al-Bana menggariskan 7 maratib amal amal Ikhwan sehingga dakwah kita ini membawa kepada pembinaan ustaziyatul alam.

Ikhwati wa akhowati fillah !

Lalu apakah pilar-pilar bagi mengukuhkan dakwah kita ?

Pertamanya ialah istiqomatul maknawiyah iaitu mental dan kekuatan dalaman yang istiqomah.

Hakikatnya dakwah ini adalah projek allah dan yanag akan memenangkan dakwah ini bergantung kepada sejauh mana dekatnya kita mencari asbab-asbab pertolongan allah yang melayakkan kita diberi kemenangan dari allah. Allah menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, dan kuatkanlah tahap kesabaranmu, perteguhkan ikatanmu dan bertaqwalah kepada allah, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan”.

Ikhwah dan akhowat yang berjaya mengikatkan hati dengan allah akan membuka pintu-pintu kemenangan kepada dakwah ini. Lantaran itu, gerak kerja kemenangan kita terkait rapat dengan amal-amal qolbi kita. Mengukuhkan amal-amal qolbi mesti menjadi agenda keutamaan kita di dalam setiap langkah amal-amal kita sama ada amal tarbawi, amal dakwiy dan amal harokiy agar gegak gempita dunia populariti dan publisiti mengatasi dan melebihi darinya. Aset utama kekuatan kita adalah sejauh mana kita menjaga as-sillah billah. Justeru perjalanan ini adalah perjalanan hati menuju  kepada rabbul izzati.

Kedua, Nudzuzjul fikrah (kematangan pemikiran)

Perkara kedua yang akan memenangkan dakwah ini ialah kematangan berfikir di dalam merancang amal-amal dakwah kita, juga di dalam kita menghadapi kesulitan dan ujian-ujian yang mendatang. Memang dakwah kita akan menempuh seribu satu macam permasalahan. Isu kita di fasa ta’sis tidak sama di fasa terbuka apatah lagi berdepan serangan musuh-musuh islam dengan segala agensinya, media cetak dan media elektronik di zaman milinium dan alaf gajet. Oleh itu, para qiyadah dan kita perlu memiliki pemikiran yang matang agar segala solusi, polisi dan agenda jamaah dapat dipacu dengan jayanya. Jika tidak jamaah kita akan terdedah kepada fitnah, terencat amal dan jauh dari mencapai matlamatnya. Manakala ahli-ahlinya pula terdedah kepada futur, tasyaum, tafarruq, ta’assub fardi.

Untuk memastikan fikrah yang solid , maka proses pentarbiyahan kita perlu dimantap dan diperkukuhkan bagi mengelak dari gejala kecairan fikrah [ tamayyu’ fikri] dan izabah fikrah [peleburan] pemikiran. Mahu tidak mahu perlu diperkuatkan amal tarbawi kita dengan segala mekanisme wasilah tarbawiyah. Konsisten dan intima’ fikri, intima’ dakwi dan intima’ tanzimi kita  perlu diperkasakan dan diperhebatkan.

Ketiga, Mataanatus shaff (Kemampanan sof)

Kemantapan sof bergantung kepada kemantapan kader-kadernya. Sof yang mantap diikat dengan kekuatan iman dan ukhuwwah kita. Al-Bana mengingatkan kita dua kekuatan asas dakwah kita iaitu kekuatan iman dan kekuatan ukhuwwah. Tanpa keduanya makan jamaah dan sof akan terjerumus kepada gejala tasaaqut, gejala tafarruq dan gejala inhirof amal.

Jangan ada di dalam diri kita sifat pentingkan diri sendiri, jangan ada sifat berkutlah-kutlah, jangan ada suu’ dzan sesama kita. Mesti kembali kepada akar ukhuwwah, berlapang dada dan mengfungsikan budaya syura di dalam tanzim kita.

Sikap ‘ithar’ dan ‘salamatus sadr’ adalah kunci kemenangan amal kita dan menghindari perkara yang merosakkan sof kita. Kita ibarat jasadin wahid. Yang kita perlukan ialah superteam bukan superman atau superwomen semata-mata.

Keempat, Hayawiyatul Harakah (pergerakan yang dinamik)

Isu yang keempat ialah jamaah kita perlu bergerak secara dinamik melalui setiap fasa-fasa amal. Dinamik dari sudut strategi  dan unjuran amal. Ini bukan bererti meleburkan identiti jamaah tetapi tetap asolah pada fikrah dan manhaj namun murunah [fleksible] pada pendekatan dan strategi dakwah.

Jamaah yang semakin membesar ini mesti menjadi tempat untuk kita semua berkontribusi dan memposisikan diri kita untuk beramal. Ia bukan terhad di dalam sektor-sektor tertentu tetapi di dalam semua sektor umat selari dengan keperluan dakwah kita yang bersifat syamilah mutakamilah.

Ada yang minat berkarya dan seni, ada yang pintar berorganisasi, ada yang petah berbahasa siasi, ada yang mahir berekonomi dan sebagainya. Semua kita perlu bersinergi untuk menjayakan obsesi jamaah ini.

Setiap kader-kader jamaah ini wajib saling bantu membantu bagi menjayakan cita-cita  jamaah yang diharapkan ini. Ruang amal yang besar dan luas ini menjadikan kita sebuah jamaah yang dinamik dan  tempat yang solid untuk kita menyumbang ke arah menjayakan agenda grandesign harokah ini secara total.

Mari kita pertingkatkan daya juang kita, membangunkan solidaritas jamaie kita, membeningkan ruhi kita sehingga kita layak menerima nusratullah  [pertolongan allah] agar dakwah kita menembus  ke seluruh sasaran dakwah kita.

Read Full Post »

ust-rahmat-sang-murobi1Mukadimah

Kebangkitan atau kemunduran suatu ummah menggambarkan mampu atau tidak ummah merancang pendidikannya. Pendidikan yang baik melahirkan generasi yang berkualiti. Sirah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menumpukan kepada generasi muda. Ini kerana mereka merupakan Jil Tahgyir yang mampu membawa perubahan yang besar.Ini juga menunjukkan bahawa dakwah baginda berorientasikan masa hadapan. Malah seluruh ideologi dominan di dunia ini memilih kelompok muda terutama para pelajar sebagai sasaran mereka.

Imam al-Bana pernah menyatakan : “ Oleh kerana itu, sejak dahulu hingga sekarang, generasi muda merupakan pilar kebangkitan, pemuda adalah rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panjinya”.

Islam melihat generasi muda sebagai ‘penyambung zuriat umat beriman’ . [15:21]

dan orang-orang yang beriman dan yang yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang mereka kerjakan..”

Profesion perguruan terlibat secara langsung dengan tugas berorientasikan masa hadapan dalam ertikata melaksanakan tugas dakwah dan perkaderan. Justeru itu guru merupakan pendakwah yang bertindak sebagai muallim,murobbi, muwajjih, mursyid, daie dan qaid.

Guru dan Dakwah

Allah memuliakan dan mengangkat martabat manusia dengan usaha dakwah yang dilakukannya. Guru adalah pelaksana kerja mulia ini. Kerja memberikan tau’iyah [kesedaran] kepada para pelajar di samping berusaha membentuk rakaiz islamiah [ binaan Islam ].

Bukankan allah menyatakan di dalam al-Quran :

“ siapakah yang paling terbaik amalannya dari mereka yang menyeru ke jalan allah serta melakaukn amal solih, lantas menyebut , aku dari kalangan orang-orang yang mempasrahkan diri kepadaNya..” [ Fussilat :33]

Nabi SAW menyebut :

“ dengan sebab usaha kamu seorang mendapat hidayah, maka itu lebih baik dari unta merah..” [Riwayat Muslim]

“ orang yang menunjukkan jalan kebaikan maka baginya balasan pahala selagi mana orang itu masih melakukan kebaikan..”.

Memilih untuk menjadi guru bererti  memilih untuk terlibat secara luas di dalam usaha tajmik dan mengkaderisasi pelajar untuk menjadi penyambung risalah dakwah kita. Bahkan mereka akan menjadi agen perubah kepada perubahan umat. Oleh  itu bidang perguruan merupakan bidang paling efektif di dalam medan amal dakwah dan amal tarbiyah di mana kita dapat menumbuh kader baharu bahkan merealisasikan matlamat melahirkan pewaris dakwah pada masa hadapan.

Potret anak-anak kita hari ini..

Anak-anak kita hari ini tumbuh membesar dalam cengkaman budaya hedonistik yang bermahajalela, tenggelam dalam lautan nafsu syahwat yang buas. Benih yang lahir dari sulbi ummah ini adalah benih yang lemah, hilang jati diri, mandul budi pekerti sehingga mereka di seret jauh dari panduan dan bimbingan ilahi.

Anak-anak hari ini adalah anak-anak yang mengkagumi budaya negeri matahari terbit, terpesona dan terkesima dengan sogokan pemikiran amerikanisasi. Lihatlah gelagat dan perilaku mereka, sekerat muslim sekerat sekular. Seolah-oleh, dunia tanpa sempadan ini, alaf gajet dan millinium adalah tuhan baharu di dalam kehidupan mereka. Hedonistik dan materialistik menjadi berhala sembahan mereka dek kerana ketempangan daya tahan diri lantaran serangan liberalisasi  dan sekularisasi.

Yang menjadi kegilaan mereka adalah para artis dan aktor filem. Yang mengisi kekosongan mereka adalah  superstar bolasepak  dan anak-anak muda liberalis. Mereka terheret ke lembah kehancuran dan kemusnahan yang bakal memusnahkan tamadan umat dan bangsa ini. Mereka generasi yang hidup tanpa agenda. Kehidupan mereka diwarnai dengan  Valentine Day, ketagihan dadah, seks bebas dan juga siulan muzik yang entah dari mana asalnya. Begitulah potret anak-anak generasi kita.

Ya..disinilah kita para guru wajib menginsafi tugas dan peranan besar kita untuk mengeluarkan generasi ini dari lembah kebinasan kepada lembah kemuliaan yang mengangkat harakat mereka. Bukankan allah menyatakan.. “sesungguhnya kami telah memulia dan menghebatkan anak-anak Adam..”.Kemuliaan atau karamatul insan’ yang sehingga mereka mengerti peranan mereka sebagai bangsa dan umat yang memiliki risalah untuk memimpin perubahan besar ini..mereka adalah khalifah allah yang akan dipersoal di hadapan allah nanti . Termasuk kita juga selaku para guru yang akan ditanya terhadap tugas dan akauntabiliti sebagai pembawa risalah. “dan allah pasti akan bertanya tentang nikmat yang telah diberikan kepada kamu..”. Nikmat sebagai seorang guru, penunjuk hidayah pemikul risalah dan dai’e ilalah.

Sementalahan itu, kelalaian kita dengan tugas-tugas besar ini menjadi penyebab datangnya azab Allah SWT yang merata.

Bagaimana memulakan dakwah di sekolah..?

Sebelum memulakan usaha dakwah dan tajmik di sekolah, seorang guru perlu  memahami waqi [realiti] sekolah dan seterusnya mewujudkan jambatan atau hubungan langsung dengan pihak di sekolah. Antaranya :

  • Pihak pentadbir terutama Pengetua dan PK HEM.
  • Guru-guru dan ustaz-ustaz.
  • Warden-warden
  • PIBG
  • Ibu bapa
  • Pimpinan pelajar
  • Jaga

Macam mana …

  • Beri salam dan bertaaruf dengan mereka. Bertaaruflah dengan mereka bersungguh-sungguh dan penuh sopan. Al-Bana berkata : “asas dakwah kita adalah taaruf..”. “dakwah kita adalah dibina atas kasih sayang dan dengannya kita membuka pintu-pintu hati manusia..”.
  • Ambil masa menziarahi mereka terutama di sempena-sempena tertentu. Lebih baik jika anda menjadi warden kerapkanlah menzirahi mereka waktu sakit, waktu cuti dan sebagainya.
  • Beri hadiah dan buah tangan. Ajaklah mereka hadir ke rumah anda.
  • Buat aktiviti yang mengikat hati dan dikenang budi seperti gotong royong, kelas tambahan, hadir memberikan kuliah di surau sekolah, tuisyen percuma, sediakan bank solan di samping qudwah seorang guru da’ie.
  • Jaga penampilan diri, jaga percakapan dan pergaulan diri, buang tanggapan negatif terhadap kita samada dari pihak pentadbir, guru-guru dan para pelajar.
  • Sentiasa bergaul dengan pelajar samada di surau dan padang sekolah. Riadah dan main bersama mereka. Ringan tangan membantu dan menyelesaikan masalah mereka.
  • Jadikan diri kita idola pelajar

Siapakah guru idolaku ?

Kaedah menyatakan “al-qudwah qobla dakwah”. Menunjukkan teladan yang baik dahulu sebelum mengajak kepada fikroh kita. Dakwah melalui contoh teladan adalah dakwah yang lebih efektif dan mampu mempengaruhi para pelajar. Antara sifat yang perlu ada pada seorang guru :

  • Sentiasa senyum dan bermanis muka.
  • Ambil berat tentang pelajar
  • Hebat dan bersungguh-sungguh di dalam mengajar dan mendidik
  • Memuji allah
  • Panggil nama pelajar yang paling disukai
  • Senang didekati
  • Solat bersama pelajar
  • Belanja makan pelajar
  • Ziarah pelajar ketika sakit dan waktu cuti persekolahan
  • Sabar dengan kerenah pelajar
  • Selalu beri motivasi kepada pelajar
  • Tegas dan adil kepada pelajar
  • Suka menolong pelajar
  • Gunakan bahasa yang lembut..
  • Nasihat yang ringkas dan berkualiti..bukan berleter
  • Memberi hadiah  dan ucap tahniah kepada pelajar serta pujian
  • Ajak rehlah dan jaulah dengan pelajar

Hasilnya pelajar mudah mendekati kita dan mereka lebih thiqah [percaya] kepada kita.

Buka Lembaran zaman sebagai pelajar…

  • “Saya tidak suka nasihat yang berjela-jela…jangan berleter..”

Sebagai guru, berilah nasihat yang ringkas dan padat. Mereka akan menanti nasihat tersebut dan tertanya-tanya bila lagi. Berilah nasihat secara personal, jangan aibkan mereka di khalayak ramai. Kalau ingin memberi tazkirah..bawalah kisah-kisah dan cerita-cerita kerana ia lebih disukai pelajar.

  • Saya anak kampung..petang-petang berkayuh basikal, pergi ke sawah …masa sekolah menengah ustaz selalu ajak mendaki gunung..pergi ke tempat-tempat rekreasi”

Guru perlu kreatif rancang aktiviti. Pelajar suka aktiviti-aktiviti lasak dan kegiatan rekreasi. Mereka rasa jemu duduk di dalam kelas. Bawalah mereka ke program jaulah..rehlah..perkhemahan…mendaki gunung..di tepian pantai dan sebagainya.

  • “Saya johan pertandingan hafazan al-Quran..”

Guru perlu bimbing dan latih pelajar..pelajar akan lebih menghargai dan mengingati guru yang telah melatihnya menjadi juara atau pemenang. Ia adalah satu wasilah mendekatkan guru dengan pelajar semasa latihan dan pertandingan…”

  • “Saya menjadi ketua pengawas di sekolah dan pernah mendapat tokoh pelajar sekolah dan daerah..”

Kalangan pelajar ada yang bersifat unta merah..pilih dan beri perhatian kepada mereka ini..buatlah DF dengan mereka..hampiri dan dekati serta follow up  selalu..carilah yang ada sifat berani dan cerdik..mereka ini bakal menjadi tokoh dan pemimpin umat pada masa akan datang..

  • Saya jadi Setiausaha Persatuan Pelajar Islam dan JK Kem Kepimpinan Islam…”

Kebanyakkan program guru yang merancang, kami hanya mengikut. Program tidak datang dari buah fikiran pelajar. Kita sebagai guru sepatutnya bertindak sebagai coach, pelajar yang merancang dan mengendalikannya. Ini akan menjadikannya  cepat faham amal dakwah dan tarbiyah. Berilah taujih agar dia menggerak dan merancang dakwah di sekolah.

Melahir Kader Dakwah Sekolah

Iklan Sang Murabbi copyDakwah tidak akan berjaya tanpa diikuti dengan tarbiyah. Tugas guru setelah mengadakan program-program umum ialah menyediakan program yang mampu membentuk diri mereka menjadi kader dakwah sekolah.

Pelajar yang sudah kita dekati ini dan ada kecintaan pada islam perlu dikumpulkan di dalam satu halaqah dan diberikan taujih tarbawi secara khusus. Mereka akan menjadi batu bata kepada dakwah di tempat mereka di samping pembantu kepada kita di dalam membawa fikrah yang jelas ini. Mereka akan menjadi agen dakwah kerana rakan-rakan mereka kerana mereka lebih kenal dan senang didekati.

“Dakwah pelajar kepada pelajar untuk pelajar…”

Membeningkan [melembutkan] hati

Dakwah kita adalah dakwah hati nurani. Kita sebagai daie wajib menghidupkan hati kita sebelum melunakkan hati orang lain. Rasulullah SAW membuat perumpamaan :

“Perumpamaan orang yang selalu berzikir mengingati Allah dengan orang-orang yang tidak mengingatinya adalah seperti yang hidup dan yang mati..” [ H.R Bukhari].

Wahai guru ..sang murobbi..beningkan hati anda dengan zikir, ibadah wajib, ibadah sunnah dan tinggalkanlah dosa-dosa. Ingatlah ketika Allah dekat dengan kita, maka hati kita menjadi bersinar, kilauannya memikat jiwa manusia lain, lisan kita berkesan, kelopak mata kita menyejukkan, akhlah kita menenangkan dan dakwah kita akan mudah didengari dan disahut.

Katakan dengan CINTA..

Maka, katakanlah dengan cinta pada anak-anak murid yang berada di tangan kita. Zahirkan ekspresi cinta yang tulus dari hati yang bersih. Cinta yang tulus itu lahir dari raut muka dalam ekspresi wajah yang manis, simpati  dan respon positif terhadap mad’u-mad’u kita.

Wajah yang senyum dan cerah terasa menyejukkan dan menarik untuk didekati oleh para pelajar serta mudah untuk dijadikan teman.Guru ini adalah mujahid fi sabilillah. Terkamir dari raut wajah keseriusannya menanggung beban perjuangan. Getaran keimanannya mampu menggetarkan hati-hati di sekelilingnya.

Ya..ada kata-kata para ulama silam.. “faqidus syai la yu’ti”- orang yang tidak memiliki apa-apa tidak akan mampu memberi. Dakwah ini adalah dakwah yang robbani…jadilah guru yang robbani. Tidak ada jalan bagi menjayakan dakwah ini melainkan dengan pengalaman. Pengalaman yang diiringi dorongan imani serta kepelbagaian kemahiran akan menjayakan tugas besar ini.Guru sebenarnya adalah insan yang faham dan tahu ilmu berkaitan kejiwaan para pelajar. [al-khibroh bin nufus].

Akhirnya antara nikmat berdakwah ini ialah perasaan bahagia apabila fikrah yang kita dokong ini dinikmati oleh pelajar yang kita tajmik. Alangkah bahagianya hati seorang guru apabila diketahui pelajar yang  bersamanya  menyambung ke universiti menjadi aktivis dakwah, kemudian membentuk rumahtangga islami. Lebih bahagia lagi mereka sekarang menjadi penggerak dakwah di mana-mana tempat mereka berada. Alhamdulillah ia adalah nikmat kurnian allah yang tidak terhingga atas barokah dakwah dan tarbiyah.

Guru Kerja Besar Untuk Perubahan Besar

Tugas dan amanah kependidikan ini berat dan sukar. Sejarah telah merakam bahawa disebalik kegemilangan  ketamadunan sesuatu bangsa dan umat terletak dibahu para guru. Meneliti kejayaan tamadun Islam bermula dari Era Nubuwwah , Era Khulafak sehingga ke puncak peradaban di zaman Abbasiyyah, maka mereka yang mewarnai dan mencorak kekuatan umat adalah para ilmuwan dan intelektual Islam yang bergelar sebagai seorang guru.

Kehebatan para pemimpin Islam dahulu juga ditunjangi oleh para guru yang mursyid, yang bertindak sebagai seorang murobbi, muallim, muaddib dalam kerangka melanjut dan melangsung kepimpinan umat Islam. Yang menghebatkan para sahabat r.a adalah Rasulullah SAW selaku rasul dan murobbi agung, yang menghebatkan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Harun Ar-Rashid ialah guru yang bernama Imam Malik b. Anas, yang menghebatkan Sultan Solahuddin  Al-Ayyubi ialah Bahauddin bin Shaddad dan yang menghebatkan Sultan Muhammad Al-Fateh, gurunya bernama Syeikh Agha Shamsuddin. Kata Sultan Muhammad al-Fateh : “Penghormatan saya kepada Syeikh Agha Shamsuddin bukanlah satu pilihan saya. Ketika berada bersamanya, saya rasa terpegum dan kagum.”

Memang guru agen perubahan dan transformasi umat. Jika kita ingin perubahan besar di negara ini, maka ubahlah generasi pelajar kita. Kita sedang melakukan kerja besar para ambiya’, kerja yang menjadikan allah dan malaikat berselawat ke atas kita, seluruh makhluk termasuk ikan-ikan di lautan memohon istighfar ke atas kita, kerja yang menjadikan para Malaikat merendahkan sayapnya untuk mengagungkan kita. Ya kerja kita yang besar ini memerlukan jiwa dan tekad yang besar. Jiwa dan tekad  yang besar perlu bermula dari diri kita..kalau tidak kita siap lagi..kalau bukan hari ini bila lagi..Bukankan allah berfirman :

“Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu umat melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka..”

Hasan Hudhaibi pernah berkata :

“ Tegakkanlah Islam dalam diri anda nescaya tertegak islam dalam watan anda..

[Artikel untuk Seminar iGuru Nasional Bangi 2013 ]

Read Full Post »