Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2010

4 Q Naqib

Salam buat para Murobbi…

Naqib , Murobbi atau Mas’ul adalah istilah sinonim di dalam gerakan dakwah dan tarbiyah. Kejayaaan dan kelangsungan hayat sebuah Harakah Islamiah terletak pada keupayaan dan kompetensi Naqib. Memang Naqib menjadi pengukur keberhasilan organisasi dakwah dan tarbiyah.

Naqib yang produktif ialah Naqib yang mampu menghasilkan dua kategori manusia iaitu :

1.       Kawader dakwah yang prodrktif dan bertindak sebagai munaffiz (pelaksana) agenda dan projek jamaah.

2.       Pemimpin dakwah yang hebat,kuat, sedar yang mampu melaksanakan polisi jamaah pada setiap fasa dari fasa-fasa dakwah.

Lantaran itu peranan Naqib amat penting bagi memastikan keutuhan dan kemampanan sebuah Jamaah Islamiah. Ia ibarat enjin penggerak dan inkubutor kepada hidup mati gerakan dakwah tersebut. Empat peranan atau keistimewaan Naqib tersebut ialah :

1.       Q = قلب Qalbun  [ Jantung ]

2.       Q  = قناة Qanat ( Channel)

3.        Q =   قدوة Qudwah ( Model)

4.       Q =   قائد Qaid ( Pemimpin)

 

Q = قلب   Qalbun  [ Jantung ]

Naqib menjadi jantung kepada sulvival jamaah. Ia adalah tiang seri utama kepada badan organisasi. Naqib menjadi pelaksana induk kepada amaliyah (proses) tarbawiyah, tanzimiyah dan idariyah (pengurusan). Ia ibarat jantung kerana hidup mati satu-satu gerakan bergantung kepada peranan Naqib tersebut. Jantung bertindak mengepam  dan  melancarkan perjalanan darah ke sel-sel tubuh badan. Jika jantung tidak berfungsi dengan baik maka akan membawa akibat buruk kepada tubuh badan.

Imam As-Shaheed Hasan al-Bana diberi kegeniusan oleh Allah SWT apabila beliau memilih perkataan Naqib sebagai organ utama kepada jamaah IM. Ia selari dengan ta’bir Quran sebagaimana firman allah yang bermaksud : “ dan kami utuskan kepada mereka dua belas Naqib..”. Perkataan inilah juga telah digunakan oleh Rasulullah SAW kepada para Sahabatnya yang menjadi pelopor dakwah untuk diutuskan kepada kaum Ansor. Kata baginda : “ Keluarkanlah untuk aku dua belas para Naqib untuk mereka mengepalai kaum mereka”. Sabda baginda lagi : “ Kamu menjadi kufalak (pembantu) kepada kaum kamu sebagai para Hawariyyin kepada Nabi Isa anak Maryam..”

Naqib menurut Al-Qurtubi adalah ketua kaum yang melaksanakan urusan kaum tersebut, menyelia, memimpin dan menyelidik maslahah kaum.. Kata Ar-Razi : ” Naqib ialah orang yang bertanggungjawab menyelidik dan memeriksa urusan, menjadi tempat sandaran dan perhatian segala urusan dan mentadbir kemaslahatan mereka”.

Justeru Naqib di dalam konteks jamaah ialah individu yang bertindak menjaga maslahah anggota usrahnya, berusaha menjadi jantung kepada anak-anak usrahnya. Segala perkara dan urusan semuannya dibawah pengawasan dan pengendaliannya. Dia menjadi sumber rujukan, bimbingan, tempat menerima taujih dan kunci pelaksana kepada amal jamaah.

Q  = قناة Qanat ( Channel)

Peranan naqib juga sebagai Qanat atau channel yang menghubugkan segala perkara kepada pimpinan Jamaah. Segala taujih, tugas dan polisi jamaah disampaikan melalui saluran Naqib. Apabila Naqib tidak berfungsi dengan baik maka segala proses pelaksanaan polisi, qararat jamaah akan terganggu dan ini akan menyebabakan perencanaan dan agenda jamaah tidak dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya.

Naqib menjadi saluran menerima feedback dan respon ahli terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan oleh jamaah. Segala maklumat, laporan, cadangan dan kritikan membina diterima dan dibawa ke pihak pimpinan. Dengan ini segala maklumat, laporan terpelihara dan selamat dari kebocoran yang boleh merosakkan jamaah. Beliau mebawa humum(keprihatinan), perasan ahli-ahli usrahnya kepada pucuk pimpinan untuk dikongsi bersama.

Oleh itu, Naqib haruslah meletakkan diri pada kedudukan yang betul dan memahami beliau adalah tempat transit maklumat dan penyampai terbaik kepada organ jamaah. Beliau menyampaikan segala permasalahan dan kesulitan para mutarobbinya dan berusaha menyelesaikannya.

 

Q =   قدوة Qudwah ( Model)

Peranan yang paling penting di dalam memastikan kejayaan dan keberhasilan  amal ialah pada faktor Qudwah. Naqib yang menjadi Qudwah kepada mutarobbinya akan dapat melangsaikan segala permasalahan di dalam jamaah. Ini kerana tidak semua perkara diselesaikan dengan cara teorikal tetapi berhasil apabila wujud Qudwah.

Syeikh Mustafa Mahsyur telah menulis perkara berkatan dengan keutamaan Qudwah di atas jalan dakwah ini melalui kitabnya [al-Qudwah ‘ala Toriq ]. Beliau menggariskan beberapa qudwah yang perlu dilakukan oleh para naqib.

Naqib menjadi model terbaik dari sudut keilmuan, akhlak, jiddiyah , dakwah,amal dan tarbiyahnnya. Kaedah selalu menginagtkan “ Al-Qudwah qabla ad-dakwah “ [ Menjadi qudwah sebelum berdakwah ] , begitu juga ungkapan : “ Iza wajada arrajul as-soleh wajadad asbab an-Najah..” [ Bila ada lelaki yang soleh maka akan terhasillah sebab-sebab kejayaan].

Di dalam dakwah lisanul hal lebih tajam dan fasih dari lisan al-maqal (tulisan). Naqib adalah qudwah dan uswah praktikal kepada  mutarobbinya. Jika hilang sifat Qudwah ini, ia akan memberikan kesan kepada mutarobbinya.

Naqib hendaklah menjadi obor (syu’lah) semangat, gugusan timbunan pengorbanan dan sumbangan yang mencurah-curah, lautan mendalam dari segi kefahaman dan kesedaran dan berada pada kedudukan tertinggi pada sifat-sifat unggul, kemuliaan akhlak dan kejernihan jiwa.

Kehebatan seorang Naqib bukan pada pengulangan kalimat-kalimat tarbiyah, teori-teori tarbiyah, bahasa-bahasa tanzim dan kelicikan berstrategi dan berencana tetapi pada implimentasi dan menterjemahkannya ke alam realiti yang memberi saham kepada dorongan secara langsung, pengembangan yang praktis kepada organ jamaah.

Naqib hendaklah memastikan setiap usaha dan qudwah yang ditunjukkannya menjadi ikutan para mutarobbinya. Naqib perlu memiliki sifat seperti berikut :

دمعة المتهجد [ airmata orang yang sentiasa bertahajud]

وحدس السياسي [ kebijaksanaan ahli politik ]

ولباقة المناظر [ketajaman akal pendebat]

ووقار العالم [ ketenangan sorang ilmuwan]

رأفة الوالد [ kasih sayang seorang bapa]

شجاعة المقاتل [ keberanian seorang pejuang]

انتباه الفقيه [ keprihatian seorang faqih]

Q =   قائد  Qaid ( Pemimpin)

Bagi memastikan organisasi terus membangun dan mampu menerjah ke hadapan, maka fungsi Naqib tidak sekadar mengurus dan mengendalikan usrah semata-mata. Ia harus berperanan sebagai Qaid (pemimpin) yang bertanggungjawab memimpin dan melatih para mutarobbinya menjadi kawader dakwah dan tokoh-tokoh yang akan berperanan di dalam masyarakat.

Peranannya sebagai pemimpin dakwah ialah memastikan setiap mutarobbinya  memiliki perkara berikut:

1.       Penguasaan bahan ilmiah meliputi penguasaan ulm syarak yang terdiri dari penguasaan al-Quran, Hadis, Fekh, Sirah, Tazkiyah dan lain-lan lagi.

2.       Penguasaan u’lum dakwah dan harakah dengan mengkaji buku-buku dakwah dan harakah.

3.       Penguasaan ilmu-ilmu kontemporari yang diperlukan di dalam amal dakwah dan harakah.

4.       Menguasai adabiyat organisasi, manhaj, fiqh syura dan perkara berkaitan pengurusan organisasi.

5.       Membangun dan mengembangkan skill @ kemahiran  seperti public-speking, parenting skills, leaderships, kemahiran perundingan, kemahiran mengendalikan mesyuarat, kemahiran coaching, kemahiran komunikasi, team-building, kemahiran pengajaran dan sebagainya.

Keupayaan dan kompetensi Naqib di dalam menjayakan fungsinya sebagai Qaid Tarbiyah wa ad-Dakwah akan dapat melahirkan Amilin yang produktif dan mengembangkan organisasi serta menjadi katalis kepada pencapaian objektif jamaah.

Moga 4Q Naqib menjadi transformasi kepada kemajuan dan kelajuan amal dakwah dan tarbiyah.

Read Full Post »

Dakwah adalah seruan ke jalan allah. Seruan tersebut  tegak di atas prinsip hikmah dan peringatan yang baik ( Mau’izah Hasanah). Hikmah atau kebijaksanaan di dalam berdakwah tampak zahir dari segi memahami kesesuaian  kaedah dakwah dengan kelompok sasaran dakwah. Seorang Daie yang bijak tidak mengungkapkan bicaranya berdasarkan kemampuan ilmunya semata-mata tetapi berinteraksi dengan manusia berdasrkan kemampuan dan keupayaan sasaran dakwahnya (Mad’u) dari kelompok manusia yang mempunyai latar belakang yang berbeza-beza. Sang Daie tersebut tidak akan membawa risalah dakwahnya diluar keupayaan dan kemampuannya.

Ibnu ‘Abbas R.A amat memahani firman Allah  [ Kunuu Rabbaniyin ] dengan maksud [ jadilah kamu seorang yang lembut dan faqih ]. Imam Bukhori di dalam syarah Fathul Bari menyatakan ‘Arr-Rabbaniyin’ ialah seseorang yang digelar sebagai Rabbaniy ialah yang mendidik manusia dengan (Sighor al-Ilmu) sekecil-kecil ilmu sebelum sebesar-besar ilmu ( Kibar al-Ilmu)

Memulakan dakwah dengan sekecil-kecil ilmu menunjukkan asas rujukan tersebut mengambil kira kepada meraikan kemampuan akal agar dakwah tersebut tidak menjauhkan para mad’u dengan seruan dakwah tersebut. Ibnu Hajar ketika membuat ulasan menyatakan : “ yang diertikan dengan Sighor al-Ilmi ialah apa yang terang dan jelas masalahnya sedangkan dengan sebesar-besar ilmu pula ialah yang mendalam  tentang masalah tersebut..”.

Terdapat nas-nas yang menyokong betapa pentingnya para Daie menyampaikan risalah dakwahnya sesuai dengan keupayaan dan kemampuan akal para mad’unya. Antara nas-nas tersebut ialah :

1.       Imam Bukhori r.a membawa satu hadis yang diterjemahkan dengan kata-katanya ( Bab meninggalkan satu pilihan ditakuti membawa salah faham manusia terhadapnya yang akan membawa kesan yang lebih buruk. Kemudian dia mengeluarkan hadis tersebut melalui jalnnya kepada Al-Aswad. Katanya: Telah berkata kepadaku Ibnu Az-Zubair : “ Bahawa Aishah R.A amat suka kepada kamu , maka apakah yang dia telah bicarakan kepada kamu tentang Ka’abah ?. Aku berkata : “ Dia telah berkata kepadaku : Bahawa Nabi SAW telah bersabda : “ Wahai Aishah, kalau tidak kerana kaum kamu berbica (tentang perjanjian mereka) , Kata Ibnu Az-Zubair dengan menolak , nescaya aka binasalah Ka’abah dan ada dua pintu, satu pintu manusia masuk dan satu pintu manusia keluar. Ibnu Hajar membuat ulasan dengan menyatakan bahawa faedah yang dapat diperolehi dari hadis ini ialah meninggalkan maslahah agar tidak terjatuh ke dalam mafsadah (kerosakan) yang lain pula.

2.       Imam Muslim pula mengeluarkan Sanadnya kepada Ibnu Mas’ud  dengan berkata : [ Tidaklah kamu berbicara dengan satu kaum mana-mana perbicaraan yang tidak mampu ditanggapi(dicapai) akal mereka melainkan ia akan membawa kepada fitnah..]

3.       Imam Bukhori pula mengeluarkan satu hadis yang menyatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada Mu’az b. Jabal. Sabdanya : “ Wahai Mu’az b. Jabal. Kata Mu’az : Labbaika Ya Rasulullah dan berbahagialah kamu”. Kata Nabi SAW : Wahai Mu’az , Jawab Mu’az Labbaika Ya Rasulullah dan berbahagialah kamu (sebanyak 3 kali). Sabda Rasulullah SAW : “ Tidaklah salah seorang daripada kamu mempersaksikan La Ilaha illah dan Muhammad Rasulullah dari hatinya kecuali Allah mengharamkannya dicampakkan ke dalam neraka.”. Mu’az berkata “ Wahai Rasulullah : Tidakkah aku perlu memberitahu kepada manusia agar mereka bergembira. Sabda Rasulullah SAW : Jika begini, maka jadilah mereka akan berserah sahaja…(cukup dengan bersyahadah). Hadis ini jika didengari oleh ramai manusia boleh membawa kepada salah faham iaitu meninggalkan untuk beramal (tuntutan Syahadah) kepada cukup dengan membuat pengakuan semata-mata. Hadis ini sebenarnya diucapkan oleh Mu’az sebelum dia meninggal dunia , takut terjatuh dalam dosa kerana tidak menyatakan kepentingan mempersaksikan dua kalimah syahadah sebelum mati.

Manusia pelbagai jenis dan lapisan kelompok.

Manusia yang menjadi sasaran dakwah terdiri dari pelbagai jenis dan lapisan. Antara lapisan kelompok manusia adalah seperti berikut :

1.       Kelompok Pertama : Orang awam yang tidak terpelajar.

  • Berinteraksi dengan kelompok ini dan berdakwah kepada mereka amat sukar. Keadaan mereka sama seperti mengajar para pelajar yang baru belajar membaca dan menulis. Kesilapan dalam mendidik dan membimbing mereka akan membawa mereka berpaling dari seruan dakwah.
  • Menyampaikan seruan dakwah kepada kelompok ini tidak memerlukan kepada perincian mendalam terhadap satu-satu isu, dikemukakan hujah-hujah yang konkrit dan sistem yang bercabang-cabang.
  • Berdepan dengan kelompok ini memerlukan  Sang Dai’e  yang mahir  seni berdakwah dan  menyampaikan bicara kepada mereka.
  • Kelompok awam ini lebih terkesan kepada dakwah yang sifatnya  dapat dirasai (menyentuh) disbanding sesuatu yang abstrak. Dakwah yang mengambil kira  keperluan dan suasana hidup yang khusus  adalah  jalan (method) yang paling dekat kepada hati mereka.
  • Mengemukan contoh-contoh atau model yang lahir dari persekitaran mereka adalah merupakan contoh-contoh yang mudah difahami dan ditanggapi mereka. Mereka mudah terkesan dengan  gerakan sentiment(emosi) dari rasional akal. Menggunakan uslub Targhib dan Tarhib lebih memberikan kesan pada jiwa mereka seperti membawa kisah para salafusolih, berita-berita para wali, peristiwa-peristiwa penting di dalam Sirah dalam bentuk penceritaan dan pengkisahan bukan dalam bentuk analisis.

2.       Kelompok Kedua :Golongan cerdik pandai yang berkelulusan universiti

  • Mereka dari kelompok ini menekankan kepada analisis, penyelidikan, bukti-bukti, data-data dan sebab musabab. Berinteraksi dengan kelompok ini perlu meraikan kedudukan akademik mereka. Mereka yang mampu berbicara dengan kelompok awam, boleh jadi tidak mampu berinteraksi dengan kelompok ini. Ini dibimbangi akan membawa kepada fitnah jika tidak diurus dengan mereka yang berkemampuan dan berkelayakan statusnya.

3.       Kelompok Ketiga : Golongan akademik dan memiliki spesialisasi (kepakaran) di dalam bidang-bidang tertentu.

  • Berineraksi dengan kelompok yang memiliki kepakaran dan spesialisasi ini memerlukan Sang Da’ie yang juga memiliki kepakaran tersebut. Untuk berbicara dan berdakwah kepada golongan para doktor, memerlukan sang Da’ie yang mahir berkaitan dengan ilmu perubatan. Sedangkan bidang perubatan pun ada bidang-bidang kepakaran tertentu.
  • Begitu juga untuk berbicara denagn para peguam memerlukan penguasaan berkaitan ilmu undang-undang dan selok belok keguaman.

Kesimpulannya setiap Dai’e perlu mempersiapkan dirinya dengan pelbagai disiplin ilmu di samping penguasaan tentang ilmu syarak. Jika dia ditaklifkan untuk melaksanakan tugas dakwah kepada kelompok ikhtisas tertentu, maka paling baik dia mempelajari  ikhtisas tersebut dan berusaha menambahkan pengetahuan berkaitan dengannya.. Dengan ini khitob dakwah akan sampai dan memenuhi sasaran mad’u.

Read Full Post »

Nilai dan Peranan Naqib(8)

9) Tausil (sumber penyampaian)

  • Usrah adalah pusat pelaksanaan dan pengurusan agenda Jamaah manakala Naqib  adalah saluran penghubung antara pimpinan dan ahli. Naqib ibarat satu saluran yang bertindak mengepam darah dari satu jantung kepada ke seluruh anggota badan agar memastikan kelansungan hayat Jamaah.
  • Naqib adalah Jundiyy ( tentera)  dan Masul (orang yang dipertanggungjawabkan) tentang pengendalian usrah dihadapan pimpinan. Dia adalah ketua, mu’allim dan murobbi kepada ahli usrah.
  • Naqib di dalam konteks ini berperanan sebagai :
  1. Menyampaikan berita berkaitan perkembangan anggota usrahnya kepada pimpinan berkaitan peranan, aktivisme dan amal di dalam masyarakat.
  2. Beliau membuat penilaian khusus pada ahlinya, melihat keupayaan mereka, kelemahan dan sejauh mana setiap ahli mampu menggalas tuntutan dakwah.
  3. Naqib berperanan mengemukan keperluan setiap anggota usrah, amal dakwah anggotanya kepada pucuk pimpinan. Naqib adalah pemegang amanah untuk menjaga kepentingan ahli-ahlinya.
  • Naqib juga menyampaikan segala maklumat, arahan, perancangan, pandangan dan sikap pimpinan terhadap satu-satu isu kepada anggotanya. Dari sini, para Naqib membentangkan segala keputusan, pesanan dan pendirian pimpinan terhadap tokoh-tokoh dan badan-badan tertentu. Beliau juga menyampaikan berita-berita perkembangan jamaah, berita-berita dakwah dan politik.
  • Naqib juga menyampaikan segala maklumat kepada pimpinan tentang perkembangan ahlinya tentang apa yang telah dihasilkan oleh ahlinya seperti penulisan buku, artikal-artikal  di majalah, resolusi yang diperolehi melalui laporan biro, juga laporan perkembangan isytirakat dan sumbanagn ahli.
  • Naqib melaksanakan tugas sebagai penyampai manhaj jamaah melalui keputusan, resolusi,buku-buku, majalah-majalah dan taklimat yang disampaiakan oleh pimpinan.Begitu juga perkara berkaitan dengan kewangan yang diperlukan oleh ahli bagi melaksanakan aktivisme dakwah.
  • Lantaran itu kejayaan sistem penyampaian maklumat ini bergantung kepada tahap keakifan dan kecekapan Naqib di dalam mengendalikan usrah. Di dalam ilmu pengurusan moden, kejayaan sesuatu perancangan bergantung kepada delivery system (sistem penyampaian maklumat). Lebih-lebih lagi di dalam urusan dakwah yang berada di tahap terpenting demi menjaga hayat dakwah, memperkasa kekuatan organisasi dan memudahkan pelaksanaan perancangan.

10. Tadwin (mencatat, merekod & mendokumentasi)

  • Untuk memastikan kejayaan amal usrahnya maka setiap Naqib mesti membuat catatan untuk dirinya sehingga ia mengetahui sebab-sebab kegagalan atau faktor-faktor kejayaan. Beliau dapat menilai sejauh mana perkembangan usrahnya, pencapaian yang telah diperolehi, mengambil manfaat dari kemahiran dan kemampuan ahli usrahnya dan menangani kekurangan yang ada pada mereka.
  • Proses Tadwin ini dilakukan dengan mengumpul maklumat, menjaganya dari apa yang didengari dan diingatinya . Segala maklumat yang lengkap ini dicatat, direkod agar tidak hilang segala yang diingati di dalam fikiran Sang Naqib berkaiatan dengan perkembanagn ahli.
  • Melalui proses Istiqra’dan Istinbat ini, Naqib dapat mengetahui faktor-faktor yang membantu perkembangan anggotanya dan  mencari sebab-sebab  kelemahannya.
  • Dari satu aspek,proses Tadwin membantu para Naqib mempelajari metodologi menulis (merekod dan mencatat), manakala dari aspek lain pula Naqib dapat membuat penyusunan yang baik.
  • Latihan berterusan dan praktikal ini dapat mengembangan kemahiran Naqib di dalam lapangan kajian dan penulisan. Dengan ini, para Naqib memiliki kecekapan penyelian, ketelitian pemantauan, penilaian terhadap kerja yang dilakukan, memahami perkembangan ahli secara mendalam dan terperinci dan paling utama para Naqib menimba pengalaman dakwah dan amal di dalam mengendalikan usrah.
  • Prises Tadwin ini tidak terhenti untuk diri sahajanya, tetapi perlu dikongsi bersama dengan para Nuqobak lain. Mereka berbincang, bertukar-tukar pendapat agar dapat mengukuhkan pengalaman, membetulkan kesilapan, menilai pengalaman dan perkara yang telah dilakukan sepanjang proses pentarbiyahan ini.
  • Melalui perbincangan dan  dialog perkongsian ini, para Naqib dapat mencapai satu Fiqh Dakwah baru di dalam pengendalian usrah ,yang sentiasa bertambah dari sehari demi sehari, berkembang bersama pengalaman demi pengalaman, dimantapkan dengan dialog dan diskusi  yang membawa kepada kerja yang efektif dan responsif bagi menjayakan agenda Jamaah.

 

Demikianlah beberapa perkara yang perlu dilakuakn oleh seorang Naqib atau sang murobbi terhadap pengendalian usrah.

Wahai para Murobbi !

Kamu adalah murid nubuwwah (mencontohi kerja Nabi), pemegang amanah di dalam menyampaikan risalah dakwah. Contohilah kehebatan generasi silam. Ambillah Himmah ‘Aliyah yang ada pada generasi silam iaitu para Sahabat r.a  di dalam mentarbiyah dan mengajar, mentahzib dan mentazkir, menta’dhid dan menta’lif, mentahrik dan mentatwir, mentakhtit dan mentaqwim, mentausil dan mentadwin.

Dari sinilah berlaku satu perkembangan yang hebat, bersamanya jiwa disucikan sehingga tercipta kesempurnaan satu proses gerakan. Akhirnya  perjalanan dakwah berjalan laju…membawa Harakah sampai kepada matlamatnya.

Read Full Post »

8.   Taqwim ( Menilai)

  • Naqib bukan sekadar mengendali dan merancang pengurusan usrah semata-mata tetapi perlu kepada penilaian pada setiap perkara yang telah disampaikan semasa usrah. Aspek penilaian mesti berada di dalam kerangka berfikir seorang Naqib.
  • Untuk memudahkan proses penilaian ini, setiap Naqib perlu mempunyai jadual penilaian, laporan prestasi ahli usrahnya, melihat tahap pencapaian ahli sejauh mana peningkatan dan penurunan prestasi, membuat perbandingan dengan  objektif dan plan strategik jamaah serta mengetahui faktor-faktor yang memberi kesan kepada keputusan tersebut. Ini dapat membantu para Naqib berterusan  membuat perancangan secara objektif,menilai, mengekal atau menghapus mana –mana objektif yang melambatkan pencapaian prestasi ahli. Secara tidak langsung “Taqwim” (Pengukuran) merupakan alat untuk proses pengembangan yang berterusan dan salah satu cara  proses membina.
  • Proses penilaian dan pengukuran merangkumi 3 aspek utama iaitu :
  1. Menilai perjalanan program dan perencanaan usrah. Naqib menilai sejauh mana kesesuaian perancangan  khusus dengan peranan  sebagai Da’ie, keberkesanan dengan objektif  yang ditetapkan, sebab-sebab kejayaan dan kegagalan, mengkaji faktor-faktor penghalang. Dengan ini membantu para Naqib mengambil faedah dari perkara-perkara positif dan merawat faktor-faktor negatif. Naqib boleh meminta bantuan dari para Naqib lain bagi menjayakan perancangannya atau mencari kaedah, bahan dan sukatan yang dapat mempelbagaikan aktiviti tarbawi usrahnya dari para pimpinan jamaah.
  2. Menilai tahap perkembangan individu melalui proses Tausiq Wa Tad’if atau disebut di dalam ilmu Hadis sebagai ‘Al-Jarh wa Ta’dil”.Ini penting agar para Naqib memiliki pengetahuan yang berterusan terhadap perkembangan ahlinya.Naqib sentiasa ada maklumat yang tentang perkembanagn ahlinya, tabiat dan perilaku mereka tanpa terhenti pada satu-satu keadaan.. Tabiat manusia sentiasa berubah dan yang paling utama ahli usrah meningkat tabiatnya dari baik kepada lebih baik menerusi pelaksanaan liqa usrah. Laporan perkembangan ahli ini hendaklah diangkat kepada perbincangan para mas’ul  sehingga akh ini kekal utuh peribadunya sekalipun berubah ke Naqib baru. Selepas proses Taqwim ini, para Naqib hendaklah sentiasa member dorongan kepada perubahan yang lebih baik, memberikan noktah perhatian pada aspek kelemahan dan kekurangan akh tadi dan berusaha membuat dianogsis.
  3. Menilai soal meminta bimbingan dan nasihat  dari ikhwannya berkaitan perjalanan usrah yang dilakukannya. Beliau meminta cadangan dan kritikan terhadap pengendalian usrahnya agar tidak berlaku di sana  kata-kata kesat, umpatan, bisikan-bisikan terhadap Naqib. Ini akan lebih berkesan jika dilakukan secara telus dan tulus. Jika tidak , ia dilakukan dengan dibawa kepada pengetahuan Qiyadah dan Qiyadah menasihatinya dalam bentuk yang sesuai, mengutamakan maslahah umum, tidak menyebut nama-nama atau memburukkan mana-mana individu atau membuat tohmahan.
  • Secara realitinya, penilaian ini merupakan kerja kepemimpinan yang disempurkan oleh seorang Naqib. Tujuannya supaya dapat mewujudkan keserasian anggota bersama Naqibnya dan menilai tahap keberkesanan Naqib di dalah mengendalikan usrahnya. Bukan semua kritikan terhadap Naqib adalah benar dan betul, boleh jadi ‘aib dan kekurangan yang ada pada anggota usrahnya menjadi sebab  alasan kritikan tersebut. Para pimpinan hendaklah memahami dan peka terhadap isu ini berasaskan kepada membuat perbandingan, penafsiran berdasarkan kepada fakta dan maklumat.
  • Akhirnya segala penilaian dan pengukuran ini hendaklah dicatat dalam bentuk laporan secara penggal atau tahunan kepada pihak pimpinan atasan sehingga ia menjadi satu ilmu yang menjadi asas kepada membuat perancangan(plan).
  • Tugas Naqib yang asasi ialah memberi perhatian kepada mencatat laporan-laporan perkembangan ini agar ia memudahkan proses penilaian.

Read Full Post »