Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Januari 2010

Konvesyen Pemikiran Hasan al-Bana mencetuskan satu anjakan baru ke arah merealisasi dan membumikan idea  pemikiran Hasan al-Bana dalam realiti Nusantara khususnya bumi Malaysia. Relevensi pemikiran Imam Hasan al-Bana boleh dilihat dari ketiga-tiga pembentangan kertas kerja yang menjurus kepada analisa sosio politik negara Mesir, sejarah pertembungan ideologi Barat yang ditunjangi oleh aliran Humanisme sehingga mencetus gerakan tajdid dan nahdah yang dipelopori oleh Hasan al-Bana.

Tempoh hidup beliau yang singkat tetapi sarat dengan idea-idea pembaharuan dan perubahan telah mengesan geo-politik Mesir dan negara-negara Arab. Bahkan gagasan dan wawasan beliau menebar ke seluruh pelusuk benua mencecah 90 buah cawangan Ikhwan Muslimun. Beliau saya ibaratkan ‘satu jiwa berjuta  hikmah..episodnya dahsyat full manfaat..wawasannya holistik dan memiliki idea broadfront (jalur ke depan) , merentasi zaman dan umat. Pemikiran beliau yang merentasi zaman dan keupayaan menganalisa waqie (realiti) adalah pra syarat kejayaaan beliau mengemukakan projek membina peradaban. Kupasan ini boleh dilihat dari kertas kerja 2  ” Pandangan Hasan al-Bana Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia” yang saya sendiri bertindak sebagai moderator.

Projek membangunkan agenda kekuatan bangsa menurut pemikiran beliau mestilah dilatari dengan qanun taghyir ( undang-undang  perubahan) sebagai pilar ke arah membina satu peradaban. (boleh rujuk mukasurat 55-62).Bagi mencapai objektif tersebut, Hasan al-Bana telah menggariskan 4 komponen tumpuan stategik   beliau iaitu :

1. Pelestarian dan pemerkasaan dakwah ke seluruh segmen masyarakat.

2. Memfokuskan usaha kaderisasi melalui tarbiyah yang muathirah(berkesan), muntijah(produktif) dan mubdi’ah (kreatif)

3. Penyertaan dalam institusi pembuatan dasar dan polisi negara melalui Nidhal Dusturi (perjuangan perlembagaan) samada menyertai pilihanraya, majlis-majlis kerajaan tempatan, institusi-institisi berpengaruh dan sebagainya.

4. Membina pasak kekuatan umat berorientasikan Jihad (rujuk Rukun Jihad / Risalah Muktamar Kelima / risalah Jihad). Ikhwan menolak kaedah kekerasan bahkan menyeru kepada membina segala kekuatan yang mampu mengukuhkan sendi ketuanan umat.

Kertas kerja ketiga pula menyorot dilema politik Melayu Muslim, kemelut ketuanan bangsa selepas pasca PRU 12, isu negara bangsa, demokrasi, toleransi antara kaum dan isu wala wal bara. Kertas kerja ketiga ini cuba  menilai isu semasa politik dan isu-isu yang menjadi titik pertikaian kaum berasaskan teori Maqasid Syarak, bagaimana prinsip maqasid menjadi tema dan instrumen penyelesaian kepada isu-isu politik Melayu masa kini.

Kajian tentang al-Fiqh as-Siyasi , teori kenegaraan menurut pemikiran Hasan al-Bana telah dibicarakan panjang oleh Dr. Muhammad Abd. Qadir  Abu Faris , seorang ulama ikhwan Jordan.( al-Fiqh as-Siyasi ‘inda al-Imam Hasan al-Bana). Kita boleh menalaah penulisan dan beleh dibahaskan disamping melihat tulisan Dr. Yusuf al-Qardawi dalam bukunya Fiqh ad-Daulah  yang menukilkan beberapa pandangan dan pemikiran Hasan- al-Bana.

Namun setelah berlalunya Kobanna anjuran ISMA  yang julung-julung kali diadakan ini , tugas besar terletak kepada pimpinan, ahli dan rakan Isma untuk berfikir dan bertindak  ‘ bagaimana mengangkasakan dan membumikan pemikiran dalam konteks masyarakat Melayu hari ini’. Pada hemat dan pemerhatian saya secara peribadi beberapa langkah awal perlu dilakukan agar perbahasan dan konvensyen ini lebih mencapai matlamat dan objektifnya pada masa-masa akan datang ialah :

1. Setiap pembentangan kertas kerja ini perlu diperhalusi dan dibahaskan diperingkat cawangan oleh semua ahli bagi mendapat tasawwur yang menyeluruh tentang kerangka perubahan yang dicanangkan oleh Hasan al-Bana.

2. Perlu ada satu kajian menyeluruh tentang sosio budaya, sosio politik, geo-politik, geo-dakwah tentang isu-isu Melayu secara akademik, berfakta dari pakar-pakar agar input yang diperolehi lebih menggarap dan menepati realiti.

3. Konvensyen ini harus menganjak setapak ke depan dengan menjemput tokoh-tokoh akademik , pakar sejarah, pemikir gerakan Islam,ahli politik agar sisi-sisi pandangan mereka boleh dijadikan landasan mengangkasakan idea pemikiran Imam Hasan al-Bana di rantau Melayu.

4. Isma boleh memulakan langkah awal dengan menubuhkan Institut Kajian Pemikiran al-Bana agar segala idea, pemikiran, tulisan, analisis beliau dapat diadaptasikan dengan jiwa dan ruh Melayu. Ini bukan bermakna kita mencetak bulat-bulat tetapi mengambil inti dan produk pemikiran beliau yang bersifat sejagat dan diterima oleh semua Harakah Islamiah di dunia.

5. Majlis Ulama Isma boleh menggerak usaha mengkaji tulisan tentang teori Maqasid oleh Imam as-Syatibi, karya Imam Ibnu ‘Asyur tentang Maqasid yang diulas Muhammad  ‘Alal al-Fasi serta mendiskusikannya di dalam seminar-seminar dengan menjemput pakar-pakar dari dalam dan luar negara tentang isu-isu kenegaraan, politik Melayu dan Non Muslim di Malaysia. Buku Usul ‘Ifta’ wal Ijtihad at-Tatbiqi fi Nazariyyat Fiqh ad-Dakwah al-Islamiah karangan Muhammad ar-Rasyid boleh dijadikan bahan perbincangan pemula kepada memahami konsep tersebut dalam bab-bab yang berkaitan.

Kobanna 2010 telah melabuhkan tirainya. Ribuan manusia yang datang samada sebagai sebagai JKP, YDP, tetamu jemputan, ahli Isma, peserta (rata-rata orang Muda) harus kembali menelaah dan membugar pemikiran beliau dari teori kepada praktik. Konvensyen ini tidak harus menjadi medan membugar makna ukhuwwah dan intima’ tetapi perlu disusuli dengan agenda bertindak yang solutif, komprenhensif dan realistik agar usaha mengangkasa dan membumikan pemikiran Hasan al-Bana dalam rantau Melayu punyai impak dan kesan.

Sekalung tahniah buat penganjur namun kerja besar menanti kita semua untuk digalas. Amal menjadi saksi dan hujjah kita dihadapan allah. Bersama-sama kita, satu pasukan, satu fikrah, satu tarbiyah , satu ISMA kita lestarikan fikrah Imam Hasan al-Bana.

Read Full Post »

 

 

Metodologi Al-Bana dalam berinteraksi dengan pihak kerajaan

Imam Hasan al-Bana telah menggariskan beberapa pendekatan beliau dalam berinteraksi dengan pihak pemerintah dan kerajaan. Katanya : ‘Di sana ada beberapa kaedah dan polisi yang menentukan politik kami terhadap kerajaan’. Ia merupakan apa yang telah dimulakan oleh Imam As-Syahid dengan melaksakannya bermula diperingkat dakwah khassah ( khusus).[ Muzakkirat]

 1. Kami tidak menuntut pemerintahan untuk kepentingan diri kami, jika sekiranya kami mendapati umat bersedia untuk memikul beban dan melaksanakan amanah serta berhukum dengan manhaj Islam berpandukan al-Quran, maka kami adalah tentera,pendokong dan penolongnya. Jika kami tidak mendapatinya, maka usaha menuntut satu pemerintahan (Islam) adalah merupakan sebahagian dari manhaj kami, kami akan bekerja untuk membebaskannya dari tangan-tangan kekuasan mana-mana kerajaan yang tidak melaksanakan perintah Allah. [Risalah Muktamar Khamis].

2. Kami akan kemukakan kepada kerajaan gagasan agenda pengislahan (reformasi)[Nahwan Nur], kami akan berbicara dihadapan pihak kerajaan dengan lidah dan tatacara yang rasmi sebagai satu usaha untuk penyatuan hati-hati.[Muzakkirat].Kadang-kadang agenda Islah dan manifesto itu ditujukan kepada non muslim. Justeru ia perlu berasaskan kepada adab-adab pengucapan tanpa ada rasa rendah diri.

3. Sekalipun segala usaha keras yang dikorbankan untuk perkara tersebut, kami amat mengetahui mereka yang mendapat pendidikan dari pihak penjajah (bangsa asing), yang cenderung kepada aliran pemikiran mereka amat sukar untuk menerimanya.Kami tidak dapat menjangka akan berlaku di sana kesan amali terhadap tuntutan kami. Sesungguhnya mana-mana bangsa yang hilang identiti keislaman dalam jiwa –jiwa mereka, rumah-rumah mereka, urusan kehidupan secara umum atau khusus amat lemah untuk melimpahnya (Islam) kepada orang lain dan mengemukakan gagasan dakwah. Orang yang tidak memiliki apa –apa tidak mampu untuk member. Sesungguhnya tuntutan yang sebenarnya ialah berusaha untuk membina generasi baru yang terdidik dengan ajaran Islam. [Ikhwan Muslimun tahta raayatil al-Quran]. Dengan ini kami akan berada diposisi (sikap) memberikan nasihat sehinggalah allah membuka antara pintu hati –hati kita dan bangsa kita cahaya kebenaran, dan allah adalah sebaik-baik pemberi petunjuk.[Risalah Muktamar Khamis]

 4. Al-Bana meneruskan ungkapan beliau dengan katanya: “ kadang-kadang Ikhwan mengajukan kepada pihak kerajaan dengan mengemukakann khidmat mereka untuk menetapkan tuntutan mereka diposisi pelaksanaan. [ Muzakkirat], kecuali tugas-tugas ini semuanya hendaklah kekal berdiri dengan kaedah-kaedah syarak. Kami tidak akan menyertainya dalam perkara mungkar sekalipun dengan alasan hujah politik.[Muzakkirat].

5. Kadang-kadang Jamaah ini juga terdedah kepada tipudaya pihak kerajaan selepas ia dibenarkan beraksi dalam gerak kerja politik. Pihak jamaah hendaklah bersikap lunak dalam pendiriannya dan berusaha untuk menjadikan segala angin pusing (kerosakan) yang melanda dihapus dan disentuh dengan zahir kemuliaanya jika pucuk pimpinan mendapatinya kebaikan yang lambat.

Read Full Post »

Untuk memahami metod perubahan dan pengislahan yang dibawa oleh Imam hasan Al-Bana. Eloklah kita mengkaji beberapa analisa pemikiran dan sisi pandangan tokoh ini terhadap dakwah berasaskan kerangka penulisan beliau seperti tercatat dalam risalah Majmuah Rasail dan Muzakkirat Da’ie wa Dai’yah.

Imam Hasan Al-Bana menjelaskan antara ciri-ciri dakwah IM ialah tadarruj fil al-khutuwat (beransur-ansur dalam setiap tahap) . Beliau juga telah menggariskan peringkat-peringkat amal iaitu Marhalah Takrif -peringkat propaganda, pengenalan, mengemukakan gagasan fikrah dan menyampaikan kepada khalayak dalam pelbagai peringkat bangsa. Kemudian Marhalah Takween iaitu memilih ansor (pendokong) dan menyediakan barisan tentera,menyiapkan sof dari kalangan para mad’u kemudian kepada Marhalah Tanfiz (pelaksanaan), amal dan intaj (menghasilkan produk).

 Peringkat 1 : Dakwah Umum

 Objektif :

Marhalah ini ialah marhalah mendidik umat, menyedarkan masyarakat dan merubah kebiasaan umum, menyucikan jiwa dan ruh, menebarkan prinsip-prinsip kebenaran, jihad, amal dan kebaikan dikalangan manusia. (muzakkirat da’ie wa daiyah)

Wasilah :

1. Mengadakan kelas-kelas pengajian, ceramah-ceramah, ucapan , penulisan, deligasi, kembara, perhimpunan , lawatan dan lain-lain lagi.(hal nahnu qaumun ‘amaliyun).Ini merupakan dari sebahagian wasilah takrif.

2. Memilih anasir-anasir solih untuk memikul beban jihad dan mengumpul sebahagian daripada mereka dalam satu kumpulan. (risalah taklim).Ini merupakan proses takween (pembentukan). Antara metod di marhalah ini ialah usrah, katibah, pasukan pengakap, jawlah, latihan kesukanan dan lain-lain lagi. ( risalah muktamar ke-5)

3. Melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan khidmat umum seperti membina masjid dan memakmurkannya, membuka dan menyelia sekolah dan perpustakaan, mewujudkan kelab-kelab, mendamaikan manusia di desa dan bandar, menjadi pengimbang antara golongan kaya yang alpa dan golongan fakir yang memerlukan bantuan dengan melakukan kerja-kerja keihsanan, mengumbul derma dan bantuan untuk diedarkan pada sempena-sempena tertentu, majlis –majlis perayaan (dakwatuna fi thaurin jadeed), mengadakan institusi, melaksanakan kerja-kerja khidmat kemasyarakatan.(hal nahnu qaumun amaliyun). Ini merupakan sebahagian daripada wasilah pelaksanaan dalam pengertiannya yang umum dan ia merupakan sebahagian dan maksud daripada proses marhalah takrif. (risalah taklim).

Peringkat 2 : Dakwah Khusus

Objektif :

Menyampaikan dakwah kepada seluruh pemimpin yang terdiri dari pimpinan negara, para menteri, pemerintah, ulama, senator, ahli parlimen dan pemimpin parti politik. Seruan ketika ini ialah dakwah ke arah manhaj dan agenda perubahan yang dibawa oleh Ikhwan, projek dan programnya tersendiri  berada dihadapan para pemimpin tersebut, menuntut mereka mengemudi negara Mesir di atas landasan Islam dengan penuh keberanian tanpa rasa curiga, jelas tanpa ada sangkaan,keraguan dan kesangsian. Jika mereka menerima seruan dakwah ini dan berjalan dengan cara ini untuk satu matlamat , maka kami akan membantu mereka. Jika sekiranya mereka memilih untuk berkonfrantasi, maka kami mengisytiharkan perang terhadap para pemimpin atau ketua parti politik atau organisasi yang tidak bekerja membantu Islam atautidak  berjalan  atas satu jalan kea rah mengembalikan hukum Islam dan keagungannya.

Contoh Aktiviti :

Antara contoh aktiviti di fasa ini ialah menubuhkan lujnah (biro)perlembagaan dan undang-undang untuk mengkaji struktur dan sistem pemerintahan, membuat perbandingan antara sistem ini dengan sistem-sistem Islam dan menerangkan aspek perbezaan tersebut.

Peringkat 3 : Menegakkan Daulah

Ia merupakan fasa yang tidak dicapai oleh Imam Hasan al-Bana ketika hayatnya dalam bentuk yang menyeluruh. Namun ada usaha-usaha menuju ke arah tersebut dengan pencalonan diri Imam Hasan al-Bana untuk bertanding dalam majlis perwakilan (anggota parlimen) pada tahun 1942 dan 1944 walaupun akhirnya beliau menarik diri.

Manakala dari aspek penglibatan Ikhwan dalam perang Palestin telah memberikan kesan kepada politik Mesir dan sekutunya.Termasuk ketika itu usaha melakukan pembunuhan terhadap Imam Hasan al-Bana secara licik tidak membuka ruang bagi beliau menentukan langkah-langkah seterusnya dari marhalah ini.

Apa pun yang terjadi, kita boleh membuat rumusan berdasarkan tulisan beliau di dalam Majmuah Rasail sebagai peringkat perjuangan menegakkan daulah.

Objektif :

Fasa ini ialah peringkat membebas dan memerdekan negara dari segala bentuk kekuasaan luar (asing) yang bukan Islam samada dari aspek politik, ekonomi, spiritual. Membaiki kerajaan hingga menjadi kerajaan yang benar-benar Islam melalui kaedah nasihat dan peringatan. Jika kerajaan ini enggan maka hendaklah disingkirkan dan dijauhkan (pecat).(Risalah Taalim)

Peringkat 4 : Mengembalikan Khilafah

Peringkat ini dilakar oleh Imam Hasan al-Bana secara teorikal. Beliau menjelaskan bahawa jika terbentuk sebuah kerajaan Islam dalam pelbagai negara di dunia Islam, semestinya kerajaan tersebut mengadakan kerjasama kebudayaan dan ilmu, kemasyarakatan, ekonomi antara sesama rakyat seIslam. Kerajaan itu juga menjalinkan perjanjian, menganjurkan dewan perhimpunan, muktamar antara negara-negara itu sehingga membentuk kelompok ummah  Islamiah.

Jika sekiranya  sempurna perkara tersebut kepada umat Islam, akan terhasil dari perhimpunan  itu seorang ketua yang bertindak sebagai penghubung ikatan , tempat berhimpun segala gugusan umat dan tempat kecintaan segala jiwa dan hati.(Risalah Muktamar Khamis)

Read Full Post »

Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Bana

Semua muslimin dan muslimat dijemput ke

Konvesyen Pemikiran Hasan Al-Bana Dalam Melakar Agenda Bangsa

Tarikh : 30 Januari 2010

Tempat : Dewan Seri Sarjana UNITEN Kampus Putrajaya.

Untuk maklumat : Layari http://www.kobanna.ismaweb.net

Read Full Post »

30 Disember 2009

Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 pagi, saya bangun dan bersiap-siap untuk mengerjakan solat subuh di masjid. Sempat saya membaca al-Quran  sebelum ke masjid. Di sini solat berjamaah  dikerjakan pukul 7.15 pagi.

Hari ini saya akan bertolak ke Southampton. Pagi-pagi lagi akh Azizi dah siapkan sarapan.Setelah selesai sarapan , kami bertolak ke Southampton. Saya, Iqbal, Azizi, Pokcik dan rakan serumahnya bergerak ke destinasi seterusnya.Sebelum itu sempat menziarahi Cardiff Bay melihat keindahan pemandangan. Cuaca kesejukan memaksa kami untuk tidak berada lama dikawasan tersebut.

Perjalanan ke Southampton memakan masa 2 jam 30 setengah dari Cardiff . Itu ikut TomTom la.Sepanjang perjalanan tersebut, banyak perkara yang dibualkan. Terutama bersama PokCik. Maklumlah dia orang K. Batas, dekat dengan kampung sayaa, lebih kurang 7 kilometer. Ini peluang untuk saya lebih bertaaruf. Dari hal keluarga sampailah kepada isu-isu pelajar di sini. Bagaimana kehidupan para pelajar di bumi UK khususnya.

Bila sebut taaruf teringat tulisan saya tentang Arkanul Usrah. Saya ada menjelaskan betapa pentingnya seorang Naqib memastikan ketiga-tiga rukun usrah itu berjalan bagi mencapai maksud usrah yang sebenarnya. Taaruf penting kerana ia adalah asas dan pintu masuk kepada dakwah. Dengan taaruf jugalah akan berjalan segala rukun usrah yang lain. (Tafahum dan Takaful).Taaruf bermaksud setiap mengenali dengan mendalam akh seusrahnya,latarbelakang, keluarga, taraf hidup, perilaku, minat, watak dan sebagainya. Salah satu cara mencapai objektif taaruf ialah dengan berjaulah. Bila berjaulah, kita akan lebih mengenali dan memahami akh kita sebagaimana galakan Rasulullah SAW agar kita bermusafir sekali, bermalam dirumahnya dan makan sekali. Ini adalah wasilah-wasilah yang dapat membantu menjayakan ma’ani-ma’ani usrah.Usrah inilah yang akan menjadi pilar utama bagi pembinaan Islam melalui takween fardi yang teliti dan sempurna.

Berpandukan TomTom, kami pun tiba ke Sothampton untuk menziarahi akh Afif. Dulu dia belajar kat KMS. Dia kenal saya dan ikhwah ISMA kat Seremban ini. Kami dijamu makan pizza. Itulah antara makanan popular kat UK . Sempat juga berkenalan dengan rakan serumahnya seperti Azim,Muhsin. Semuanya Ex- MRSM. Masa tidak mengizinkan saya berada lama walaupun rumahnya selesa dan amat menyelesakan. Layanan yang diberikan amat baik. Sepatutnya saya ada sesi talk. Tapi terpaksa dibatalkan kerana saya ingin bergerak ke London.

Kali ini tinggal saya dan Iqbal akan ke London.Perjalanan kami ini melalui lebuhraya yang tidak bertol tidak seperti di Malaysia. Sistem pengangkutan yang lebih baik dan efisien. Banyak topik yang kami bualkan, sesekali kami tersentak dengan nostalgia kenangan indah JUMS 09 menerusi lagu temanya.

Sebiru hati ini, birunya bagai langit terang benderang

Sebiru hati kita, bersama di sini

Seindah hari ini,indahnya bak permaidani taman surga

Seindah hati kita, walau kita kan terpisah

Bukankah hati kita telah lama menyatu

Dalam tali kisah persahabatan ilahi

Pegang erat tangan kita terakhir kalinya

Hapus air mata meski kita kan terpisah

Selamat jalan teman

Tetapla berjuang

Semoga kita bertemu kembali

Kenang masa indah kita

Sebiru hari ini

Seindah hari ini,indahnya bak permaidani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah…

Sebenarnya saya  ada temu janji dengan bekas pelajar saya di sana. Dia menjemput kami untuk makan malam.Di sana nanti kami akan bermalam di Malaysia Hall. Jam pukul 10.15 malam, kami tiba di Malaysia Hall dan check in ke bilik penginapan. Saya sempat bertemu bekas pelajar saya Sdr. Azim. Kami berbual panjang dan besoknya untuk bersarapan. Ingatkan dapat makan malam ke rumahnya, tapi tidak dapat kerana pintu Malaysia Hall akan ditutup jam 11.00 malam.

Alhamdulillah, pagi besoknya saya dan Iqbal bersarapan dirumahnya. Kami makan cucur pisang goreng. Perbualan kami dirumah penginapan mereka tidaklah memakan masa yang lama. Mereka adalah pelajar tajaan Petronas dan sedang buat IB di kolej persediaan di UK selama dua tahun.

Di hadapan Bangunan Parlimen Scotland

Jam sudah pukul 8.15 pagi. Saya meminta izin untuk beredar ke Airport. Tiket penerbangan saya pukul 10.50 pagi waktu London. Saya dengan akh Iqbal terus memandu ke Terminal 4 , walaupun berpusing-pusing mencari terminal tersebut. Beberapa minit lagi saya bakal meninggalkan bumi UK ini. Akh Iqbal ada memberikan duit sumbangan untuk Sdr. Nabilah Huda, pelajar university Jordan yang menghidap sakit dan sedang dalam rawatan.Sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “ Perumpaan orang mukmin dari sudut kasih sayang dan lemah lembut mereka ibarat satu jasad (tubuh badan), bila salah mengadu satu anggota sakit, maka seluruh anggota lain berjaga dan merasai kesakitannya..”.Memang orang mukmin adalah satu batu bata kuat yang saling memperkukuh antara satu sama lain. Sifat mukmin sebagainya yang diajarkan oleh Rasulullah SAW : “ barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan muslim yang lain, maka dia bukan dari kalangan kami..”. Semoga sumbangan pelajar UK pada Sdri. Nabilah Huda akan menjadi jariah dan timbangan amal yang berat di sisi Allah.

Saya tidak dapat menahan sebak saya untuk meninggalkan bumi UK walaupun kerinduan pada keluarga, isteri dan anak-anak mendalam dalam jiwa saya. Namun ikatan ukhuwwah fillah bersama-sama mereka yang memiliki satu fikrah, satu jalan, satu tarbiyyah tetap utuh dan padu terpahat di sanubari saya. Mereka gen-Y yang bakal mencorak perubahan negara pada masa akan datang. Saya bersalam dan berpeluk dengan Sdr. Iqbal. Saya katakana padanya : “ Moga ISMA UK terus maju dan jaya, jangan jemu berjuang dan kuatkan semangat.Kalau ada masa kita ketemukan semula pada JUMNS10 nanti..Jazakallah atas segalanya..”. Sempat melihat mesej yang dihantar oleh akh Faezudin Dublin.SMS yang memberikan semangat dan kekuatan pada diri saya. Saya membalas mesejnya…      ‘ Moga gigih berjuang..ukhuwwah abadan abadaa..’.Jalinan Ukuwwah Mekar Segar (JUMS)

Apa yang boleh saya rumuskan sepanjangTtravelog Dakwah ke Bumi Eropah ini ialah :

  1. Pengorbanan yang tidak ada tolak bandingnya dalam menjayakan amal dakwah dan tarbiyyah. Pengorbanan demi ingin melihat Islam dijulang semula. Saya berjumpa dengan mereka yang berusia masih muda tetapi pengorbanan mereka amat tinggi terutama bagi menjayakan JUMS09 ini. Ada yang memberikan sumbangan duit, peralatan, kos perjalanan dan sebagainya.
  2. Ukhuwwah Islamiah yang tinggi. Ukhuwwah yang tidak dibataskan dengan batasan usia, negeri dan bangsa. Ukhuwwah ini tidak akan lahir melainkan jika diikat dengan ikatan iman dan akidah. Ikatan iman dan akidah adalah sekuat-kuat ikatan dibandingkan dengan ikatan keluarga dan nasab.
  3. Travelog atau kembara atau jaulah adalah wasilah tarbiyah yang berkesan dalam mencapai makna ukhuwwah dan taaruf. Kembara islami adalah kembara ukhuwwi, tarbawi, imani bagi membina jiwa pejuang yang kental, tahan lasak dan mampu menghadapi kesulitan.
  4. Kesabaran dan ketabahan menghadapi kesusahan dan kepayahan. Jalan dakwah, adalah jalan yang satu, jalan para nabi a.s, jalan yang menuntut pengorbanan dan kesabaran. Tanpa kesabaran tidak mungkin dakwah ini akan menang. Dakwah ini hakikatnya perlukan kesabaran. Kesabaran bersama mad’u, sabar dengan fitnah dan mehnah, sabar dalam ketaatan dan menjauhi kemaksiatan.
  5. Taaruf adalah mekanisme penting dalam menambat hati mad’u terutama dalam menjayakan dakwah fardiyyah. Setinggi mana mendalam seni taaruf sang daie, maka setinggi itulah hasil dakwah akan diperolehi. Hati-hati manusia keras dan menjadi kewajipan setiap daie membuka hati tersebut dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai.Bertaaruflah dengan sesiapa yang anda temui dan berkenalanlah dengannya.
  6. Tarbiyyah dan tarbiyyah…tarbiyyahkan kehidupan kita dengan acuan Islam. Di mana-mana, di setiap ketika, pada setiap masa. Kehidupan ini antara dua tarbiyyah. Jika tidak dibasahkan dengan tarbiyyah Islamiah, maka ia terdedah dengan tarbiyyah jahiliah. Hidupkan lingkungan islami ( Bi’ah Islamiah) pada setiap suasana. Tarbiyah adalah berdepan dengan realiti kehidupan. Tarbiyyah bukan setakat mencatat, menulis, mendengar tetapi setiap gerak geri, perlakuan, amal , semuanya adalah tarbiyyah.
  7. Dakwah ini perlu kepada amal bertanzim. Dakwah tidak akan tegak tanpa secara amal jamaie. Dakwah secara amal jamaie adalah merupakan satu kefardhuan syarak dan keperluan masyarakat. Kekuatan jahiliyyah tidak akan dapat diruntuhkan melainkan dengan kekuatan Islam secara jamaie. Dakwah ini adalah kesinambungan perjuangan para nabi dan rasul, berdiri atas Basiroh dan wudhuh al-manhaj ( method yang jelas).
  8. Di bumi Eropah inilah lahirnya pemimpin yang hebat. Nama-nama besar bekas Perdana Menteri negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak,Tun  Hussein Onn adalah graduan UK. Dato’ Seri Wan Azizah dicatat sebagai pemenang anugerah Gold tahun 1977 di RCSI Dublin. Di sini jugalah pemimpin harakah Islam muncul , yang lahir dari gerakan IRC, Suara Islam, MISG yang sekarang menjawat jawatan ahli parlimen,pemimpin pakatan, aktif di dalam PAS  atau Keadilan. Mereka sebahagiannya terpengaruh dengan gerakan IM terutama dari Ikhwan Sudan ketika itu. Moga dari sini jugalah akan lahir pemimpin umat yang hebat satu hari nanti walaupun bumi ini bumi penjajah.

Semoga sedikit catatan ini menjadi satu perkongsian dalam amal dakwah..

 

 

Bersama dengan pelajar ISMA Sheffield

 

Pemandangan di Teluk Cardiff

Read Full Post »