Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2014

Tarbiyah

Soalan 1: Apa itu tarbiyah?

Secara makro, tarbiyah itu kita namakan ia sebagai ‘pendidikan’. Ia diambil daripada kata akar ‘rabba yurobbi, tarbiyatan’ yang bermaksud mendidik, menjaga, menumbuh, memelihara dan mengembang. Ia adalah satu proses penjagaan dan pemeliharan fitrah manusia sehingga mencapai takat kesempurnaan. Sebagaimana kata Syeikh Khalid Ahmad as-Syantuh “Tarbiyah adalah metod perubahan yang bersifat fundamental, ia merubah manusia dari akar-akarnya’. Dalam erti kata lain ia adalah proses yang berterusan untuk membina dan mengembangkan potensi manusia untuk melaksanakan fungsi terasnya sebagai ‘ibadullah’ [hamba allah] dan ‘khalifatullah’ [khalifah] yang melaksanakan tugas istikhlaf dan isti’mar dunia.

Dalam konteks yang lebih mikro, berdasarkan pandangan para ulama’ tarbiyah, tarbiyah adalah cara yang paling ideal berinteraksi dengan fitrah manusia baik secara langsung melalui perkataan atau tidak secara langsung melalui keteladanan berdasarkan manhaj dan wasilah tertentu untuk mencipta perubahan dalam diri manusia ke arah kondisi yang lebih baik. Al-Marhum Syeikh Dr. Ali Abdul Halim di dalam bukunya ‘Fi Takhtit Tarbawi’ menambah lagi bahawa tarbiyah  bukan sekadar membawa manusia menuju kepada semakin baik tetapi menyiapkan mereka menjadi kader, penggerak atau rijal kepada gerakan Islam.

Dengan erti kata yang ringkas, tarbiyah adalah satu proses yang bersifat teras, syumul, berkesinambungan dan komprehensif. Proses membina ruhiy, fikriy, imaniy, jasadiy dan jihadiy bagi menyiapkan angkatan rijal umat. Tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya adalah bermula dengan tarbiyah.

Soalan 2: Di manakah ISMA melihat kedudukan dan kepentingan tarbiyah dalam organisasi ISMA sendiri? Di tahap manakah ISMA meletakkan tarbiyah sebagai prioriti?

ISMA melihat tarbiyah sebagai wahana terbaik kepada perubahan umat dan negara. Di sisi ISMA, tarbiyah menjadi induk kepada ‘taghyir kulli’ yang ingin dibawa dalam kerangka perubahan masyarakat di Malaysia.

Dalam konteks organisasi ISMA, tarbiyah adalah ruh, enjin dan nadi perjuangan ISMA. Sebab itu, mana-mana ahli yang ingin terlibat di dalam perjuangan ISMA sebagai ahli Umum U2, mereka disyaratkan bersedia melalui proses pentarbiyahan  ISMA.

Keutamaan program-program tarbiyah amat-amatlah ditekankan. Semua ahli dipastikan wajib hadir ke setiap wasilah tarbiyah tanpa pengecualian samada pimpinan atau ahli. Justeru segala program dan aktiviti yang dirancang mestilah ke arah mencapai muwasofat tarbawi ISMA tanpa ada kompromi. Program-program tarbiyah hendaklah diberikan keutamaan sebagai program ‘first class’ dibandingkan program-program lain. Ini bukan menidakkan program lain tetapi lebih memastikan ‘asolah fikrah dan harokah’ terpelihara dan terjaga. Aspek disiplin dan iltizam sentiasa diperingatkan di dalam taujih-taujih tarbawi agar semua ahli merasakan tarbiyah adalah satu prioriti bahkan induk dan jantung kepada jamaah ISMA.

Soalan 3: Sesetengah orang memahami tarbiyah dalam konteks yang terhad, iaitu berserban, berzikir, membaca al-Quran dan beriktikaf di masjid. Bagaimanakah kefahaman yang sebenar tentang tarbiyah? 

Sebagaimana yang disebut di awal perbincangan, tarbiyah yang ingin dibawa oleh kita, ISMA bersifat syumul, komprehentif dan bersepadu. Tasawwur tarbiyah yang kita fahami adalah seluas tasawwur Islam itu sendiri. Ini disebut di dalam al-Quran di ayat 208 , surah al-Baqarah yang bermaksud :

‘Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu semuanya sekali.”

As-Syahid Imam Al-Banna yang diiktiraf sebagai Mujaddid Dakwah abad ini menjelaskan bahawa hakikat dakwah Islam yang ingin dibawa Ikhwan ialah Islam yang syumul dengan sepenuh pengertiannya. [islamiyah bi kulli ma’aaniha].

Dalam ungkatan lain, Al-Bana menyebut ” Islam nizomul syamil yatanawalu mazohiral hayat ” [Islam adalah satu sistem hidup yang merangkumi seluruh dimensi kehidupan].

Sebab itu fikrah ISMA menolak konsep tajzi’ah [menjuzuk-juzuk], konsep tarqi’ [tempelan-tempelan]. Tarbiyah dalam tasawwur yang betul mesti bersifat syumul, holistik, komprehensif dan tawazun [seimbang]. Tarbiyah yang merangkumi aspek ruhi, aspek fikri, aspek atifi dan aspek jasadi. Dalam mafhum yang lain dia memenuhi cirri muwasofat sepuluh yang digariskan oleh Imam al-Bana iaitu kuat tubuh badan, bersih akidah, betul ibadah, mantap akhlak, mampu berdikari,berpengetahuan luas,berjihad melawan hawa nafsu, menjaga masa, tersusun urusan dan bermanfaat untuk orang lain.

Soalan 4: Apakah bentuk tarbiyyah dan dakwah yang digerakkan oleh ISMA? Mohon ustaz huraikan.

Dalam konteks ISMA tarbiyah dan dakwah yang digerakkan ISMA ada dua bentuk. Satu yang bersifat umum [tarbiyah ‘ammah] dan satu lagi bersifat khusus [tarbiyah khossah]. Kalau dalam bahasa haraki kita sebut ‘tarbiyah jamahiriyyah’ dan satu lagi ‘tarbiyah nukhbawiyah’.

Tarbiyah jamahiriyah ialah tarbiyah kepada massa, kepada masyarakat. Ini dilakukan melalui agensi-agensi ISMA seperti Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM), Kelab Remaja ISMA (KRIM), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Yayasan Ikhlas, I-Guru dan sebagainya. Begitu juga peranan biro-biro yang bertindak secara langsung di dalam mendidik kefahaman dan kesedaran Islam kepada masyarakat seperti Biro Politik, Biro Dakwah, Biro Wanita, Biro Media dan Biro Pembangunan Keluarga.

Pelbagai aktiviti dan program di dalam pelbagai pakej yang dilaksanakan oleh agensi dan biro ini lebih kepada memberi kesedaran [taui’yah] terhadap konsep Islam yang syumul di samping membentuk jati diri seorang muslim. Melalui ceramah, kursus, kempen-kempen selamatkan ummah, perkhemahan, qiamulail bersama masyarakat, riadah Ahad dan lain-lain lagi. Ia adalah satu pakej tarbiyah ISMA kepada masyarakat. Dalam bahasa mudah, tarbiyah di tahap ini ialah membentuk tasawwur yang sohih terhadap Islam, pemahaman konsep Wala’ dan Barra’, mendedahkan agenda musuh Islam serta kesedaran membangunkan jati diri sebagai seorang muslim.

Manakala tarbiyah nukhbawiyah pula ialah tarbiyah yang bersifat lebih internal. Ia adalah pakej tarbiyah untuk melahirkan pelapis dan penggerak harakah. Orientasi tarbiyah ini lebih bermanhaj, mengambil kira fasa dan mustawa sesuai dengan keahlian ahli ISMA.

Antara wasilah tarbiyah ini seperti usrah, daurah, mukhayyam, mabit atau katibah, nadwah, rehlah dan jaulah. Di tahap ini ISMA menekankan kepada ahli kepentingan memiliki tarbiyah zatiah di dalam membina diri sebagai rijalul dakwah dan rijalul harokah.

Soalan 5: Apakah perbezaan tarbiyah ISMA dengan tarbiyah kumpulan lain?

Kita tidak dapat mengukur perbezaan antara tarbiyah jamaah-jamaah tadi melainkan jika ada satu standard penilaian dan instrument pengukuran. Semua jamaah ada bentuk dan cara tarbiyah tersendiri. Kita meraikan kepelbagaian dan perbezaan tersebut.

Bagi ISMA kita melihat tarbiyah berasaskan kepada tiga elemen iaitu :

  1.  Asas tarbiyah
  2.  Objektif atau matlamat tarbiyah
  3.  Manhaj  at-tarbiyah

Asas tarbiyah kita adalah ‘ta’sil syarie’ iaitu penggalian dari asas-asas syarak. Segala-galanya terikat dengan dhawabit (prinsip) syarak. Objektif tarbiyah kita mestilah menuju kepada mencapai keredhaan Allah di akhirat dan memastikan Islam tertegak di muka bumi sebagai satu sistem hidup [hakimiyah lillah]. Manakala manhaj pula ialah kaedah-kaedah atau proses melaksanakan tarbiyah tersebut. Bagi kita manhaj tarbiyah merujuk kepada manhaj ar-rasul, manhaj as-Sohabah, manhaj salafussolih yang ditajdidkan oleh Imam al-Banna.

Perbezaan mungkin terjadi dari tiga dimensi ini dan membawa kepada perbezaan pendekatan. Mungkin sesebuah parti politik Islam mempunyai sistem tarbiyah, namun sebagai parti politik ia meletakkan agenda siasi terkedepan berbanding agenda tarbiyah untuk memastikan pertarungan hidup mati survival perjuangannya di Malaysia.

Soalan 6: “Dalam kita menghadapi pelbagai isu yang melanda umat Islam kini, dakwah dan tarbiyah adalah penting dalam usaha melahirkan muslim yang mempunyai peribadi yang mantap”. Apa komen ustaz tentang pernyataan ini?

Semua pihak mesti sedar dan peka terhadap isu yang melanda umat Islam. Isu atau qadhiah kubra kita ialah ‘ketiadaan khilafah’. Apabila tiada khilafah maka muncul gerakan riddah (murtad) dalam bentuk baharu yang mengancam jati diri ummah. Riddah versi modern dengan jenama yang pelbagai. Ada nama sekularisme, ada nama liberalisme, ada nama humanisme, ada nama pluralisme. Jenama-jenama ini pula berlindung di sebalik NGO-NGO, parti-parti politik, badan-badan hak asasi dan individu-individu tertentu dengan sumbangan dana  yang besar dari luar.

Mereka ini bukan sahaja dibiayai bahkan direkrut untuk memasarkan pemikiran dan idea-idea basi ini kepada umat Islam. Siapa tak kenal Jaringan Islam Liberal, siapa tak kenal Sisters In Islam (SIS), siapa tak kenal Islamic Renaissance Front (IRF), semua jenama ini berlindung atas nama Islam untuk mengelabui mata umat Islam. Kita hendaklah sedar dan bangkit menjelas dan membongkar kepalsuan mereka. Ini satu bentuk hegemoni Barat-Yahudi Imperialis untuk menguasai dunia dan umat Islam.

Tiada jalan lain untuk berdepan cabaran ini melainkan jati diri umat dikuatkan semula dengan tarbiyah dan dakwah. Gerakan Islam perlu memperhebatkan agenda dakwah umat dan tarbiyah generasi. Tumpukan kepada membina kekuatan umat Islam tatkala musuh-musuh Islam bersatu. Kalau tidak, akan berlaku pencairan [tamaiyyu’] dan  peleburan identiti umat. [izabah shaksiyah ummah]

Justeru menyiapkan peribadi muslim unggul [syaksiah muslimah mutamaiyizah] adalah satu yang dharuri (sangat penting) bahkan ia adalah batu-bata pertama dalam menuju ustaziyatul alam. [mahaguru dunia]. Sebagaimana kata Imam Malik:

“Umat ini tidak akan mampu dibaiki melainkan mengambil jalan yang telah ditempuh oleh generasi terdahulu.”

Ya, kembali kepada manhaj ar-rasul, manhaj as-sohabah dan manhaj salafussolih, insya Allah akan terbina peribadi muslim yang mantap.

Ustaz Mohd Azizee Hasan
AJK Biro Tarbiyah ISMA

http://www.ismaweb.net/2014/05/tarbiyah-induk-perubahan-menyeluruh-masyarakat-dan-negara/

Read Full Post »