Tarbiyah yang produktif adalah satu proses yang sulit dan berterusan. Ia memerlukan kepada proses berinteraksi, bergaul, membuat penalaan, pemerhatian dan seterusnya menilai perkembangan Mutarobbi. Salah satu cara untuk menilai Mutarobbi ialah dengan ‘Mua’yashah’. Dalam bahasa tarbawi Muayashah bermaksud “proses pergaulan Murobbi terhadap Mutarobbi untuk mendidik, merawat, memenuhi keperluan mereka untuk mengembangkan potensi serta meningkatkan keupayaan mereka dari sudut fikri, tarbawi, daawi dan haraki bagi mencapai tuntutan marhalah dan muwasofat tarbiyah”.
Apakah Mafhum‘Muayasah’ kepada amal dakwah, amal tarbawi dan amal Harakiy ?
Amal Dakwah: Proses interaksi antara Daie dan Mad’u untuk mendidik, merawat syubuhat fikri dan kelemahan-kelemahan ruhi, membuat penalaan, menilai potensi hingga mampu meningkatkan kemampuan mad’u dan menariknya kepada fikrah dan jamaah.
Amal Tarbawi : Proses pergaulan dan interaksi antara Murobbi dan Mutarobbi untuk mendidik, membina, merawat keaiban, melengkapkan kekurangan, mengembangkan potensi sehingga layak ditingkatkan mustawa tarbawinya.
Amal Harakiy: Proses pergaulan antara pimpinan dan pengikut untuk melatih, membina, merawat kelemahan, membangun kekuatan dan potensi ahli, memenuhi hak ahli sehingga ahli memiliki kemampuan mengurus dan memimpin amal-amal harakiy yang ditaklifkan serta siapsiaga menjadi pemimpin organisasi.
Sunnah Rasulullah SAW dan Fiqh Mu’ayashah
Jika diteliti kepada kehidupan Baginda SAW sebagai seorang Rasul, seorang Nabi, seorang Qaid, Baginda adalah orang yang paling tinggi pergaulan dan interaksi dengan masyarakat sekeliling. Ini dilihat dari Hadis Sohih Riwayat Imam Muslim r.a dari pertanyaan Abdullah bin Syaqiq kepada Aishah R.A.
هل كان النبي- صلى الله عليه وسلم- يصلي وهو قاعد ؟ قالت : « نعم ! بعدما حطمه الناس » [1].
رواه المسلم
Abdullah bin Syafiq pernah bertanya kepada Saidatina Aishah R.A tentang keadaan baginda SAW berkaitan solat Musafir dan Qosar. “ Adakah baginda Nabi SAW bersolat di dalam keadaan dia duduk?” . Jawab Aishah R.A : “ Ya, selepas manusia yang sering bertemu dan berjumpa Baginda memberatkannya untuk baginda berdiri”.
Intipati dari hadis di atas bahawa Rasulullah SAW sering berdepan dengan kelompok manusia yang pelbagai. Baginda SAW bergaul, bercampur, meraikan mereka dan sanggup bersabar dengan kerenah mereka sehingga menjadikan badan baginda kepenatan. Akhirnya baginda bersolat dalam keadaan duduk. Hadis di atas mengisyaratkan bahawa Baginda SAW adalah insane yang paling sibuk bermua’yashah dengan manusia yang berada di sekitarnya.
Di dalam hadis lain riwayat an-Nasaie yang diceritakan oleh Samak bin Harb katanya :
حديث سماك بن حرب ؛ حيث قال : قلت لجابر بن سمرة : كنت تجالس رسول الله- صلى الله عليه وسلم- ؟ قال : نعم ! كان رسول الله- صلى الله عليه وسلم- إذا صلى الفجر جلس في مصلاَّه حتى تطلع الشمس ، فيتحدث أصحابه يذكرون حديث الجاهلية،ينشدون الشعر،ويضحكون،ويبتسم صلى الله عليه وسلم »
[3] .رواه النسائي
Samak bin Harb pernah berkata : “aku pernah bercakap kepada Jabir bin Samrah : ‘Adakah engkau pernah duduk bersama Rasulullah SAW ?, Jawabnya Ya, adalah Rasulullah SAW apabila solat Fajar (Subuh) , baginda akan duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari, maka para sahabatnya pun berbicara sambil menyebut memori-memori zaman Jahiliyyah, mendeklamasikan bait-bait puisi, mereka ketawa riang sehingga baginda Rasulullah SAW tersenyum gembira”.
Dari nas di atas jelas baginda SAW adalah orang yang paling akrab dan paling dekat dengan para sahabat baginda. Baginda bijak menggunakan ruang dan peluang di dalam bermuayashah dengan para sahabat r.a yang dianggap sebagai mutarobbi baginda.
Muasyasah yang dilakukan adalah secara bersahaja, spontan dan menumbuhkan thiqah antara Murobbi dan Mutarobbi, mengikat ikatan hati antara Daie dan Mad’u serta membina rasa kasih sayang dan ukhuwwah antara Rasul SAW dan para sahabat r.a.
Kemahiran dan kecekapan Rasulullah SAW bermua’ayashah menjadikan baginda orang yang paling arif dan kenal Mutarobbinya secara dekat dan tepat serta meletakkan mereka di posisi yang betul untuk dakwah dan harakah.
Baginda SAW menggunakan kemahiran ‘MUA’AYASHAH’ sebagai salah satu aspek penting di dalam berhubung dan bergaul dengan para Ma’du dan Mutarobbinya. Baginda SAW bertaaruf, mendekati dan mempengaruhi mereka. Baginda SAW mengenali dan mengingati nama-nama mereka, sifat-sifat peribadi mereka, nama-nama kabilah mereka, sejarah kabilah mereka, nama-nama negara mereka, status ekonomi, sosial dan budaya mereka.
Manakala dengan para sahabat r.a yang dekat dengan baginda SAW, beliau amat dekat dan sentiasa prihatin dengan mereka, mengambil tahu hal ehwal mereka, sakit dan sihat mereka, permusafiran mereka, kehidupan mereka, tahap keimanan, pemikiran dan kejiwaan mereka, tahu kemampuan mereka, memberi peluang kepada mereka dalam hal-hal tarbiyah, kepemimpinan, pengurusan kewangan, membuat polisi dan pengendalian dakwah. Baginda berbicara apa yang patut dan sesuai dengan individu tersebut serta memberikan pertanggungjawaban berdasarkan ciri-ciri dan keupayaan para sahabat r.a.
Ini dijelaskan di dalam Hadis Sohih Ibnu Majah daripada Anas bin Malik.
عن أنس بن مالك- رضي الله عنه- أن رسول الله- صلى الله عليه وسلم- قال : « أرحم أمتي بأمتي أبو بكر ، وأشدهم في دين الله عمر ، وأصدقهم حياء عثمان ، وأقضاهم علي بن أبي طالب ، وأقرؤهم لكتاب الله أُبَيُّ بن كعب ، وأعلمهم بالحلال والحرام معاذ بن جبل ، وأفرضهم زيد بن ثابت ، ألا وإن لكل أمة أميناً وأمين هذه الأمة أبو عبيدة ابن الجراح » [10] صحيح ابن الماجه
Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “ orang yang paling pengasih kepada umatku adalah Abu Bakar, yang paling kuat berpegang kepada agama Umar, yang paling benar malunya Uthman, yang paling adil berhukum ali b. Abi Talib, yang paling baik bacaannya Ubai bin Ka’ab, yang paling arif halal dan haram Mu’az bin Jabal, yang paling tahu hal fardhu adalah Zaid bin Thabit. Ingatlah setiap umat ini ada pemegang amanahnya dan pemegang amanah umat ini Ubaidah al-Jarrah”.
Kesimpulannya Mua’ayasah adalah :
a. Kemampuan Murobbi untuk bergaul dengan Mutarobbi, meraikan mereka, duduk bersama, memperuntukan masa , waktu, tempat untuk merawat permasalahan mereka serta meningkatkan binaan Mutarobbi dengan aktiviti-aktiviti tertentu bagi mencapai objektif tertentu.
b. Murobbi ada kemampuan untuk mendekati Mutarobbi untuk mendidik mereka, menjaga keperluan dan menyelesaikan permasalahan mereka .
c. Murobbi perli bijak menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk bermua’ayasyah seperti ketika waktu meraikan mereka di dalam halaqah atau di luar halaqah, ketika bermusafir, berjaulah dan berehlah dengan Mutarobbi, ketikan berhubung dengan mereka melalui ‘personal contact’, perutusan sms, whatts app, telegram, surat dan sebagainya. Boleh juga terjadi melalui sempena-sempena tertentu atau ketika di dalam kesulitan seperti menghantar ke hospital, ke rumah dengan kereta, menaiki komuter, teksi dan sebagainya.
d. Murobbi perlu menentukan sasaran muasyasyah sesuai dengan kaedah dan caranya agar objektif mua’ayashah tercapai sekaligus menyempurnakan binaan tarbawi dan tercapai muwasofat tarbiyah dan kenaikan mustawa.
Tinggalkan komen