Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2009

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh..

Salam EidulAdha…

Besok kita akan menyambut Hari Raya Eidiladha. Hari yang mengingatkan makna dan erti pengorbanan. Pengorbanan seorang insan yang bernama Ibrahim A.S demi menjunjung dan melaksanakan makna taqarub kepada Allah.

Banyak ibrah dan  durus yang dapat dikutip dari kisah Nabi Ibrahim a.s buat tatapan generasi masakini sama ada dari aspek dakwah mahupun tarbiyah. Antara  ibrah tersebut ialah :

  1. Melaksanakan tuntutan allah mestilah didahulukan dari segala tuntutan kehidupan. Ia merupakan prioriti utama di dalam amal. Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s apabila diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Menjunjung perintah allah adalah bukti cinta sejati dan pengorbanan yang tertinggi di dalam hidup  Nabi Ibrahim a.s.
  2. Pengorbanan tersebut memerlukan ketinggian iman yang tidak berbelah bagi terhadap seruan Allah. Ia tidak meletakkan syarat yang berbagai-bagai dan dilaksanakan dengan penuh perhambaan dan kerelaan. Justeru dalam kita melaksanakan tuntutan allah kita tidak perlu meletakkan banyak syarat dan alasan bahkan segera (proaktif) melaksanakan amanah tersebut.
  3. Pendidikan anak-anak (tarbiyatul awlad) bagi melahirkan generasi pewaris dakwah sebagaimana pendidikan rabbaniyah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s terhadap anaknya Ismail a.s. Didikan inilah menjadikan Ismail a.s model terbaik anak soleh, anak yang mewarisi dakwah ayahandanya dan membuktikan bahawa kewajipan melaksanakan arahan allah mengatasi segala-galanya.
  4. Keluarga yang soleh dan terdidik dengan didikan rabbaniyah adalah asas kejayaan pembinaan masyarakat muslim. Keluarga Nabi Ibrahim a.s adalah merupakan contoh unggul yang harus menjadi ikutan keluarga duat masakini.
  5. Isteri yang soleh memainkan peranan yang cukup besar dalam menjayakan agenda dakwah dan melahirkan sulbi soleh sebagaimana yang berlaku kepada Ibrahim a.s dan Ismail a.s. Hajar adalah contoh kecekalan, ketabahan, ketaatan dan kesabaran seorang isteri solehah.
  6. Setiap duat harus menyedari bahawa dalam kita melaksanakan tanggungjawab istijabah li amrillah ( menyahut panggilan allah) kita terpaksa berdepan dengan musuh. Musuh ini digambarkan di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s ialah hawa nafsu, syaitan iblis, anak-anak dan isteri. Begitulah lumrah kehidupan seorang Daie yang terpaksa mendepani angin kencang fitnah dan ujian dakwah.
  7. Pengorbanan di jalan allah menuntut harga tertinggi dan mahal iaitu dibalas dengan ganjaran Syurga. Begitulah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s sehingga ke peringkat mengorbankan anak tunggal kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s. Ini memberikan isyarat bahawa setiap Daie perlu mengorbankan sesuatu yang dicintai dan disayangi di dunia ini bagi meraih cinta  dan redha Allah serta ganjaran syurga.
  8. Setiap kita ada memiliki Ismailnya tersendiri(barang @harta @manusia yang ia cintai). Setiap kita hendaklah berusaha mengorbankan Ismailnya untuk mendahulukan perintah dan arahan allah. Ingatlah pengorbanan itu bermakna berkorban dan berkorban itu maknanya terkorban.
  9. Islam tidak akan mampu dijulang dan diperkasakan melainkan perlu kepada sifat Tazhiyyah (pengorbanan). Pengorbananlah yang akan mendekatkan kita kepada allah dan memperoleh darjah ketaqwaan sesuai dengan falsafah penyembelihan binatang korban.

Semoga kisah Nabi Ibrahim a.s, anaknya dan isterinya memberikan spirit dan momentum kepada perjuangan kita yang belum selesai ini.

 Mari kita amati bait-bait nasyid ini..

          

           Mengharungi samudera kehidupan..

           Kita ibarat para pengembara..

           Hidup ini adalah perjuangan..

           Tiada masa tuk berpangku tangan…

          Setiap tetes peluh dan darah..

          Takkan sirna ditelan masa..

          Segores luka dijalan allah..

          Kan menjadi saksi pengorbanan..

 

Salam Eiduladha..Salam Pengorbanan…Selamat Berkorban Demi Islam Tercinta..

Dakwah ini perlukan pengorbanan…(renungi & kaji Rukun Baiah Tazhiyyah Imam Hasan Al-Bana)

Read Full Post »

Bersama Memimpin ..

Buat teman-teman seperjuangan di barisan kepemimpinan…

Tahniah anda adalah harapan umat, anda pewaris dakwah, anda adalah penyambung generasi terbaik abad ini.Ingatlah kepemimpinan adalah satu akauntabiliti bukan penghormatan,taklif bukan tasrif, leadership is an action not a position.Nilai pada kepimpinan ialah diukur pada sejauh mana pelaksanaan tugas dan tanggungjawabnya. Tugas-tugas kepemimpinan hanya akan berjaya jika ia diwarnai dengan nilai-nilai berikut :

Ikhlas Mencari Mardhatillah

  • Menjadikan seluruh amalnya ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah. Itulah matlamat tertinggi.
  • Memahami seluruh tuntutan Rukun IKHLAS dan mempraktikannya di dalam amal dakwah dan tarbiyah.
  • Tiada ada istilah ‘merajuk’ di dalam kamus seorang Da’ie.
  • Ia sentiasa ingat bahawa ikhlas merupakan pra-syarat pertolongan (nusrah) dari allah dan keberkesanan dakwahnya.
  • Ingat bahawa segala sanjungan dan pujian hasil kerja yang dilakukan bukanlah kemuliaan yang sebenar di sisi allah.
  • Menyakini bahawa manusia lupa dan mudah lupa tetapi Allah taala tidak sekali-kali lupa sumbangan yang kita korbankan pada jalan Allah.

Mempunyai visi yang jelas

  • Lakarkan visi dan misi perjuangan anda. Visi peribadi, visi organisasi, visi anda pada diri, keluarga, masyarakat , negara dan umat.
  • Anda sebagai pemimpin, buat satu gambaran keseluruhan terhadap apa yang akan ditempuh dan dicapai oleh ahli dan organisasi.
  • Wujudkan matlamat yang jelas dan spesifik.
  • Laksanakan KPI dan KRA perancangan visi anda dan organisasi anda.
  • Melihat kepada outcome bukan output di dalam melakarkan visi anda.
  • Kemudi proses perubahan secara matang, syumul dan objektif.
  • Bina budaya amal berprestasi tinggi (high performance).
  • Kerap menyedari cabaran masa depan, punyai jaringan luas dengan pengikut, merujuk kepada visi dalam tindakannya. 

Memiliki Keyakinan Dan Kepercayaan Diri

  • Jadikan diri anda seorang yang transparent dari segi visi, aspirasi dan cita-cita.
  • Jadilah pendengar yang terbaik terhadap ahli-ahli.
  • Jadilah seorang yang konsisten, qudwah dari segi pendirian dan tindakan.
  • Buka ruang seluasnya bagi ahli untuk mendekati, merapati dan mendampingi kita.
  • Menjadi seorang yang peka, sensitif, responsif dan proaktif  terhadap keperluan ahli serta tidak takut berbuat salah (learn from the mistake).

Memobalisasikan Penglibatan

  • Wujudkan budaya syura di dalam merancang sama ada dalam amal dakwah atau amal tarbiyyah.
  • Gerak dan janakan potensi ahli.
  • Bina budaya permuafakatan dan perkongsian (sharing dakwah & tarbiah).
  • Pupuk budaya super team bukan super man.
  • Wujudkan budaya mengejar kejayaan dan kecemerlangan di dalam amal.
  • Beri empowermen (penurunan kuasa) dan autonomi untuk orang bawahan melaksanakan tugas bagi mencapai visi organisasi.

Mewujudkan budaya pembelajaran dan pengajaran

  • Bina budaya long life learning (tarbiyah madal hayat) , pembelajaran sepanjang hayat.
  • Pupuk ‘penemuan baru’ diri pemimpin.
  • Kenal kekuatan dan kelemahan diri.
  • Kuasai proses dan peranan menjadi ‘mentor’.
  • Gugah ruh dan minda ahli.
  • Bina kelompok yang ingin terus belajar.
  • Bina daya kreatif dan inovatif ahli dan pengurusan organisasi.
  • Tidak jemu dan lelah untuk memajukan diri dan organisasi.

Renungilah ungkapan-ungkapan berikut dari pemikir-pemikir pengurusan kepemimpinan dari Barat. Seorang pemimpin adalah :

Agen perubahan dalam organisasi. ( Conger dan Kanungo 1992)

Berkeupayaan menyelesaikan masalah dalam organisasi ( Howell & Avolio 1992)

Menyempurnakan keperluan orang bawahannya.

Membangkitkan inspirasi orang-orang bawahan.

Mempamerkan tindakan inovatif dan terpuji yang boleh dijadikan teladan oleh orang bawahan. ( Conger dan Kanungo 1988)

Disenangi orang bawahan ( Bass 1985)

Meransang intelektual orang bawahan untuk menilai kaedah lama dan membuat keputusan berasaskan bukti-bukti yang konkrit ( Avolio et al 1991)

Membangkit dan mengekalkan motivasi orang bawahan. ( Avolio et al 1991)

Bertimbang rasa dan memberi perhatian secara individu. (Bass & Avolio 1990)

Bertindak sebagai mentor dalam usaha membina keyakinan pengikut ( Avolio et al 1991)

Sentiasa berusaha mengatasi kekangan dan halangan yang membantutkan organisasi. ( Avolio et al 1991)

Moga kita sama-sama bermuhasabah dan meningkatkan kompetensi diri sebagai pemimpin. Imam Hasan Al-Bana merumuskan kita sebagai pemimpin atau murobbi tercerna pada 4 ciri berikut :

  1. Sebagai walid –bapa ( kasih sayang)
  2. Sebagai Syeikh ( kerohanian)
  3. Sebagai  orang yang berilmu ( pengetahuan)
  4. Sebagai Qaid ( kepemimpinan)

Read Full Post »

Al- Jiddiyah menjadi tema Perkhemahan ISMA Zon Selatan 2009 yang telah diadakan di Pusat Bina Semangat Sikakap, Mersing. Al-Jiddiyah bermaksud kesungguhan @ keseriusan. Al-Jiddiyah dalam mafhum harakah ialah keseriusan dan kesungguhan akh di dalam memenuhi tuntutan amal berjamaah ( amal berorganisasi). Kejayaan gerakan Islam ialah sejauh mana anggota dan ahlinya memeliki sifat al-jiddiyah al-jamaiyyah. Justeru Jiddiyah yang diperlukan seperti yang disarankan oleh Naib Presiden Isma U. Abd. Halim ialah al-Jiddiyah  di dalam perkara-perkara berikut :

1. Jiddiyah di dalam amal dakwah

2. Jiddiyah dalam amal Jamaie.

3. Jiddiyah di dalam amal tarbawi.

4. Jiddiyah di dalam amal Tajmik.

5. Jiddiyah di dalam Dakwah Fardiyyah

6. Jiddiyah di dalam Robtul Am

7. Jiddiyah di dalam tarbiyah Dzatiyyah

8. Jiddiyah di dalam melaksanakan  wajibat fardi.

9. Jiddiyah di dalam tahqiq Arkanul Bai’ah.

Patrikan semangat Siap Siaga Menghadapi Cabaran sebagai seorang Jund(tentera) ad-Dakwah wal Fikroh… Luncurkan diri sebagai Daie Muharrik dan Pro aktif ( Kun Sabbaqan) … Pacukan dan bumikan dakwah dan tarbiyah dengan jiwa al-Jiddiyah….( Tema Perkhemahan ISMA Zon Selatan 2007-2008-2009 )

Untuk mendapatkan Galeri Gambar Perkhemahan Isma Zon Selatan 2009 Layari www.isman9.wordpress.com

Read Full Post »

imam-syahid-hasan-albannaDi dalam ‘Risalatur al-Usr’  dinyatakan bahawa usrah terdiri daripada lima orang , ini merupakan bilangan yang paling minima untuk satu fikrah yang mahu melaksanakan segala aktiviti-aktiviti usrahnya seperti mengkaji dan menyebarkan fikrahnya, mengoperasikan sistem tarbiyah fizikal, intelektual dan spiritual, mengikuti perkembangan semasa, mengkaji  setiap peristiwa tersebut, mengeluarkan arahan yang sesuai dengannya, menerima arahan-arahan dari pimpinan dan melaksanakan tuntutannya dan memiliki pengetahuan yang mendalam tentang perkara-perkara lain. Mungkin boleh dikatakan usrah merupakan unit kecil Ikhwan Muslimun “.

Syeikh Muhammad Abduh di dalam bukunya Maza Ya’ni Intimai  Li ad-Dakwah menyatakan  seperti berikut :

Pertama : Taaruf

Kewajipan-kewajipan dan tugas-tugas yang menjamin kejayaan pilar ini ialah

  • Merasakan  makna ukhuwwah yang sebenar dan sempurna antara kamu.
  • Bersungguh-sungguh  agar tidakada sesuatu pun yang mengeruhkan kemurnian ikatan kamu.
  • Selalu membaca dan meneladani ayat-ayat dan hadis-hadis . jadikan ia pusat perhatianmu – ‘ berpegang teguhlah kamu dengan tali allah dan janganlah berpecah belah’ ( Ali Imran : 103) ‘ sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara’ ( Hujurat : 10)

Kedua : Tafahum

  • Istiqamah di atas manhaj kebenaran.
  • Laksanakan segala perintah allah dan tinggalkan apa yang dilarangnya.
  • Evaluasilah (muhasabah) diri kamu dengan dengan teliti atas ketaatan dan kemaksiatan kamu.
  • Hendaklah salah seorang dari kamu memberi nasihat kepada saudaranya apabila melihat keaiban saudaranya.
  • Setiap akh menerima nasihat saudaranya denagn penuh gembira  dan sukacita.
  • Akh yang memberi nasihat  harus menjaga hatinya agar tidak berubah sedikit pun terhadap saudaranya yang dinasihati.Dia tidak boleh merendahkan kelemahan saudaranya atau merasakan dirinya lebih baik  dari saudaranya.
  • Hendaklah dia menyimpan rahsia kelemahan saudaranya selama sebulan dan tidak menyampaikan kepada sesiapa pun kecuali kepada ketua usrah (murobbi) jika dia tidak mampu untuk memperbaikinya.
  • Dia berterusan mencintai, menghormati dan mengasihi saudaranya.
  • Saudara yang dinasihati tidak boleh berdegil atau keras kepala dan berubah hati kepada saudaranya yang memberi nasihati sekecil mana sekali pun.

Ketiga : Takaful

  • Sentiasa saling tolong menolong dan meringankan beban saudara kamu.
  • Berjanji untuk menunaikan tanggungjawab sesama kamu dengan  saling bertanya dan  melakukan kebaikan.
  • Proaktif untuk membantu saudaranya jika ada kesempatan.
  • Renungkan sabda Rasulullah SAW : “Seseorang yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya lebih baik dari dia beriktikaf di masjidku selama sebulan..”

Read Full Post »

3762M-Mosque-Al-Azhar

Tajuk menganjak pendidikan tinggi adalah satu tajuk yang cukup kompleks. Ada penilai suka menilai melalui indikator falsafah dan pegangan yang mempengaruhi fungsi dan prestasi pendidikan tinggi negara. Ada juga yang suka melihat kemandirian mahasiswa sebagai satu kayu ukur. Ada pula yang menilai aspek kognitif, akademik dan prestasi melalui gred-gred tertentu. Dalam penulisan ini kita akan lebih mendalami isu penghasilan ‘pakar’ dan individu mahir serta tahu sebagai indikator pendidikan tinggi negara.

Pendidikan merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari tamadun. Tamadun itu sendiri adalah isi pendidikan dan konsekuensi logik aktiviti manusia. Melalui kemampuan berfikirnya, manusia bukan hanya membuat kehidupannya, tetapi juga menaruh perhatian kepada pelbagai cara memperoleh erti hidup. Proses inilah yang melahirkan upaya pendidikan dan tamadun. Daya olah fikiran manusia yang dibentuk oleh persekitaran, lama kelamaan akan membentuk suatu sistem. Kristalisasi sistem itulah yang membentuk kebudayaan.

Bagi Ibn Khaldun, kebudayaan (al-thaqafat) adalah suatu aspek kemanusian. Kebudayaan mengacu pada masyarakat. Dengan kata lain, kebudayaan terbentuk sebagai hasil kecenderungan semula jadi manusia untuk bekerja sama. Ia merupakan alat untuk keperluan manusia. Melalui penciptaan budaya, manusia dapat meningkatkan kondisi hidup sesuai dengan persekitarannya. Melalui aspek ini, pendidikan dituntut agar dapat memajukan kebudayaan dan tamadun umat. Pendidikan dapat mengarah kepada pencapaian tingkat hidup yang lebih baik dengan tingkat kebudayaan dan tamadun lebih maju.

Berkenaan dengan definasi yang disebut, terdapat pertikaian mengenai soalan universiti yang mana adalah yang tertua. Universiti Takshashila mungkin merupakan universiti tertua yang pernah tercatat dalam sejarah. Perkataan bahasa Latin asal universitas yang julung kali digunakan sewaktu kebangkitan minat terhadap tradisi Greek dan Rom Purba, cuba mencerminkan ciri-ciri Akademi Plato ini.

Istilah universiti dalam Islam ialah jaamiah yang bermaksud himpunan. Himpunan ini bererti menghimpunkan ilmuwan, pengkaji dan penuntut ilmu yang komited dengan pekerjaan ilmu sahaja. Fakulti pula disebut kulliyyah yang juga bermaksud satu kumpulan besar yang mengkaji sesuatu bidang secara spesifik.

Universiti al-Azhar al-Shareef, “Azhar yang Mulia”, adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan. Mula dibina pada 969M, ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes , Maghribi.

Universiti al-Azhar dibina oleh kerajaan Fatimiyyah (909-1171) yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahannya. Universiti ini asalnya dibina sebagai Masjid al-Azhar. Pada masa dulu, masjid merupakan pusat pelbagai aktiviti orang Islam termasuklah pendidikan.

Universiti al-Azhar ini diasaskan oleh dinasti Fatimiyyah di Mesir, keturunan Fatimah, anak perempuan dari Rasulullah SAW. Fatimah dikenali sebagai Az-Zahra (yang pintar), dan universiti ini mengambil nama tersebut sebagai penghormatan kepada beliau.

Pengajian bermula di Al-Azhar pada bulan Ramadan, 975 AD. (Jami’ah) Universiti memiliki fakulti dalam Undang-undang Islam dan perundangan (jurisprudence), nahu Arab (Arabic grammar), Ilmu Falak (Islamic astronomy), falsafah awal Islam, dan logik.

Pada abad ke-12, dengan kejatuhan dinasti Syiah Fatimiyyah, Sultan Salahuddin Al Ayubi menukar Al-Azhar menjadi pusat pembelajaran Sunni Shafi’y. Kehadiran Muhammad Abduh juga telah menyebabkan pembelajaran antara mazhab, antara pemikiran dan kemasukan ilmu mantik secara besar-besaran berlaku.

Pada 1961, Al-Azhar dirombak kembali di bawah kerajaan Presiden Mesir ke-2, Presiden Gamal Abdel Nasser dan beberapa fakulti sekular di tambah ke universiti tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, dan pertanian. Fakulti wanita Islam turut ditambah pada tahun yang sama.

Menurut QS Top Universities, Universiti Malaya hanya berjaya menduduki tangga ke-39 manakala University Of Singapore berada pada tangga ke-10 Asia . Ini hanya melibatkan senarai rangking universiti Asia sahaja. Ranking 10 universiti terbaik dunia pada tahun 2009 (www.topuniversities.com)

  1. HARVARD University ( USA )
  2. University of CAMBRIDGE (United Kingdom)
  3. YALE University ( USA )
  4. UCL ( University College London ) ( UK )
  5. IMPERIAL College London ( UK )
  6. University of OXFORD ( UK )
  7. University of CHICAGO ( USA )
  8. PRINCETON University ( USA )
  9. Massachusetts Institute of Technology ( USA )
  10. California Institute of Technology ( USA )

Berdasarkan hierarki di atas, jelas 2 buah negara hegemoni dunia menguasai kemahsyuran daripada pelbagai aspek pembangunan pendidikan tinggi. Malah ini juga menunjukkan penguasaan politik, ekonomi dan keselamatan dkuasai oleh blok barat melalui penguasaan institusi pendidikan di peringkat dunia.

Jika di Amerika Syarikat, istilah University, Institute of Technology ataupun Polytechnic Institute tidaklah memberi apa-apa makna dari segi taraf. Semuanya sama. Cuma yang membezakan mereka adalah jumlah ‘schools/faculty’ dalam institusi tadi dan bidang pengkhususan pengajian dan penyelidikan. Dalam kedudukan tahunan yang dikeluarkan agensi bebas di sini, terdapat banyak juga institusi biasa yang kedudukannya lebih baik dari universiti-universiti.

Tetapi di Malaysia, persepsi pelajar dan masyarakat terhadap kolej universiti atau kolej politeknik dilihat sebagai institusi kelas dua berbanding universiti. Lantaran itu mahasiswa dan pensyarah berbangga apabila tahap kolej universiti mereka dinaikkan ke tahap universiti walaupun kemampuan kajian, nilai keperpustakaan dan penghasilan kajian ilmiah jauh terlalu rendah.

Universiti di Malaysia juga dijadikan gula-gula politik. Pernah sebuah universiti dijanjikan akan dibina sekiranya rakyat negeri itu menyokong kerajaan. Universiti umpama komoditi dan alat pasang siap di Malaysia , seperti membina keranda mayat!

Menjadi mahir; itu matlamat utama

Amerika Syarikat masih mendahului dunia dalam bidang sains dan teknologi akan tetapi terdapat sedikit kemunduran dalam hal ini.

Di Korea, R&D bertumbuh lebih 10% setahun, pecahan perbelanjaan R&D daripada KDNK melebihi Amerika pada 2004.

China pula perbelanjaan R&D telah tumbuh 20% pada 2004 dan 25% dalam 2005; kajian asas mereka masih kecil tetapi berkembang dengan amat pesat sekali.

India tidak terlalu banyak perbelanjaan R&D nya akan tetapi berhasrat untuk mencapai kapabiliti untuk bersaing dalam industri high-tech[2].

Di sebabkan ketidakmampuan lagi umat Islam merekacipta atau menjadi perintis kepada penemuan baru, umat Islam kini lebih jelas menjadi pengikut sistem sains berfikir, sains teknologi dan sains sosial warisan barat. Lantaran itu jatuh bangunnya tamadun umat Islam kini dipegang oleh mereka.

Adakah ini bermakna umat Islam perlu beruzlah (isolisasi) dari sistem peradaban barat? Atau kita hanya bersemuka (engagement) dalam hal dharurat sahaja?

Pandangan yang kerap diperdengarkan oleh Imam Jamaluddin Al Afghani serta Syed Qutb adalah melalui penguasaan umat Islam dalam aspek keilmuan yang dirintis barat. Kita perlu mahir apa yang mereka mahir sebelum kita mencapat kemuncak; menjadi perintis semula. Kita perlu tahu apa yang mereka tahu serta bersaing melalui gelanggang yang mereka pentaskan di hadapan kita. Menghindarkan diri dari gelanggang barat adalah langkah yang tidak bijak.

Lantaran itu umat Islam lebih gemar menyambung pengajian di institu pengajian tinggi Eropah. Persoalannya sejauhmana mereka mampu membawa pulang khazanah pengetahuan ke dalam kosmo umat Islam?

Di mana bermulanya kelemahan universiti Malaysia ? Ruangan ini kita tidak ingin berbahas panjang berkenaan persoalan epistemologi serta falsafah pendidikan yang sewajarnya diikuti oleh sistem pendidikan tinggi di Malaysia . Adalah suatu yang mengkhuatirkan kita apabila kelemahan penghasilan tenaga pakar dalam negara oleh barisan IPT yang telah bercambah bagaikan cendawan di negara ini. Antara parameter umum untuk dinilai tahap kapabiliti dan efesiensi pusat pendidikan tinggi Malaysia ialah menilai

  1. keefektifan kajian-kajian inovasi yang dilakukan,
  2. jumlah tenaga pakar yang dihasilkan berdasarkan bilangan pakar perseribu atau persejuta rakyat.
  3. pecahan (peratusan) wang dari KDNK yang digunakan untuk mengurus pengajian tinggi serta urusan R&D.
  4. jumlah artikel ilmiah/jurnal yang disiar di peringkat antarabangsa dan dalam negara.
  5. keampuhan jurnal yang dihasilkan untuk renovasi sistem negara dan teknologi.
  6. kadar pertumbuhan ekonomi negara berasaskan pengetahuan yang terjana akibat pengurusan penyelidikan yang mantap.

Bagaimana hal ini boleh terhasil jika korupsi dan salah laku masih berlaku?

Beberapa kelemahan dikesan dalam pengurusan Program Pembangunan Modal Insan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengakibatkan objektif program tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi Tahun 2008, antara masalah lain termasuklah pembiayaan kepada penerima tidak mematuhi syarat kelayakan, kelemahan dalam kontrak perjanjian, kelewatan mengagihkan peruntukan, kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan program.

“Kementerian memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan bagi membiayai latihan serta penyelidikan seramai 6,230 pelajar dan pegawai sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 hingga 2010). “Bagaimanapun, semakan audit mendapati setakat 31 Dis 2008, seramai tidak kurang daripada 7,010 orang menerima pembiayaan daripada program ini melibatkan perbelanjaan RM153.73 juta iaitu 30.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan dan ini menyebabkan sasaran mengikut skim tidak dapat dicapai,” menurut laporan itu[3].

Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010, untuk kekalkan prestasi Malaysia pada tangga ke-24 dunia ini, Malaysia perlu menyediakan prestasi produktiviti berasaskan ‘knowledge-based’ serta ekonomi berpandukan inovatif. Malaysia juga perlu meningkatkan prestasi pendidikan tinggi dalam bentuk kuantiti mahupun kualiti. Pendidikan tinggi Malaysia kini berada di tangga ke-41. Malaysia juga perlu mempertingkatkan tahap teknologi yang peka dengan perkembangan dunia di mana kini Malaysia berada pada tangga ke-37 disamping terus meningkatkan tahap ICT negara. Malaysia kini berada pada tangga ke 2 ranking dunia iaitu rangking negara membangun di bawah stage2-3 dan stage 3.. Dalam laporan yang sama, Singapura dilaporkan berada pada tangga pertama dunia dalam sub pillar pengurusan sistem pendidikan tinggi! Manakala kemudahan untuk kajian dan penyelidikan adalah pada tahap ke-14 dunia. Secara keseluruhan Singapura berada di tangga ke-5 pendidikan tingginya!

Antara punca kemunduran pendidikan tinggi: bajet penyelidikan yang rendah

Menurut Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Prof Rajah Rasiah, perbelanjaan untuk R&D dari pecahan KDNK Malaysia hanya 0.64% berbanding Korea Selatan dan Taiwan lebih dari 3% manakala China pula 1.3%[4]. Pada tahun 2002, sebanyak 0.69% perbelanjaan R7D malaysia daripada KDNK, namun lebih separuhnya (0.3+5) adalah diperuntukkan untuk sektor swasta. Bagaimana mungkin graduan dan saintis yang bertugas untuk pembangunan negara boleh diperluaskan potensi jika bajet untuk sektor swasta sama banyak dengan kerajaan, amalah bajet untuk sektor pendidikan awam lebih rendah daripada institut penyelidikan kerajaan. Sudahlah bajet pendidikan tinggi awam berkongsi dengan bajet penyelidikan kerajaan.

Pada 2002 juga Perbelanjaan bagi R&D bagi Korea Selatan adalah 2.53%, Taiwan 2.3%, Singapura 2.15, India 0.78%, Amerika Syarikat 2.72%, Finland 3.42%. sasaran dasar sains dan Teknologi II ialah mencapai 1.5% daripada KDNK menjelang 2010[5].

Dasar Sains dan Teknologi II bertujuan meningkatkan perbelanjaan P&P (penyelidikan dan Pembangunan/ R&D) negara mencapai sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2010 melalui tujuh teras strategik. Teras tersebut bertujuan untuk:

  • Memperkukuhkan keupayaan dan kebolehan dalam penyelidikan dan teknologi;
  • Mengutamakan pengkomersilan usaha-usaha penyelidikan;
  • Membangunkan keupayaan dan kebolehan sumber manusia;
  • Mempromosikan budaya sains, inovasi dan teknokeusahawanan;
  • Mewujudkan rangka kerja institusi dan pengurusan S&T serta melaksanakan dasar S&T yang memenuhi permintaan pasaran;
  • Mempercepatkan penyebaran dan aplikasi teknologi secara meluas yang akan menghasilkan aktiviti P&P yang didorong oleh faktor komersil; dan
  • Membina kepakaran dalam teknologi utama yang baru muncul.

Bagi saintis dan jurutera, hanya 367 orang daripada 1 juta penduduk. Manakala Korea Selatan lebih 4000 per sejuta, Singapura dan China lebih daripada 1500 orang per sejuta.

Universiti umpama komoditi

Kini dalam pembentangan Bajet 2010, kerajaan berniat untuk membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.

Apa yang dibimbangkan ujarnya, kebebasan yang diberikan kepada IPTA untuk menjana pendapatan sendiri itu akan menjejaskan fungsi IPTA untuk membangunkan modal insan. Universiti akan menjadi pusat trader, perlaburan sehingga mengasyikkan tenaga akadimik untuk mendapat ‘share’.

Jauh lebih awal sebelum diisytiharkan IPTA perlu jana ekonomi sendiri, mahasisaw telah telah terasa nilai komersial IPTA yag telah diterapkan. Yuran dan pinjaman yang tinggi perlu dilakukan oleh pelajar jika ingin belajar.

AUKU yang bermula sejak tahun 1960an lagi telah menjebak mahasiswa ke lembah malap hingga tidak lagi mampu berdikari belajar menganjur program mega atau bertaraf dunia. Yang ada hanya program skema yang ditetapkan oleh universiti.

Universiti diberikan semacam satu kebebasan untuk menjana pendapatan, tetapi tidak disentuh dalam pembentangan bajet 2010 mengenai peluang-peluang yang harus diberikan kepada universiti untuk benar-benar membangunkan modal insan.

Kelemahan ekonomi negara jangan sehingga menjadikan kampus sebagai pintu keluar untuk selamatkan bajet negara, kerana pembinaan modal insan adalah antara syarat-syarat pillar utama di dala penilaian prestasi negara seperti mana di dalam laporan WEF dan IMD.

Hubungan erat antara ekonomi dan pengetahuan

Ekonomi Malaysia bukan berasaskan pengetahuan sepertimana yang dijadikan piawaian oleh badan-badan antarabangsa seperti IMD, WEF dan sebagainya. Ekonomi Malaysia masih kuat berpegang kepada bahan mentah atau dalam ertikata lain memanipulasikan bahan mentah untuk menonjolkan kekayaan. Singapura adalah contoh terbaik sebuah negara yang berasaskan pengetahuan dalam aspek ekonominya tanpa bergantung kepada sumber. CIA menyatakan Singapura memiliki ekonomi inovatif yang bergantung kepada eksport, penghasilan industri (terutama elektronik), IT, perubatan dan sektor servis seperti pengangkutan dan sebagainya. Peratusan sektor yang menyumbang kepada KDNK Singapura ialah Pertanian: 0%, Industri: 33.2%, Perkhidmatan: 66.8% (2008 est.) Manakala CIA menunjukkan Malaysia masih banyak bergantung dengan sumber alam untuk KDNK, Pertanian: 9.7%, Industri: 44.6%, Perkhidmatan.: 45.7% (2008 est.)[6]

Indeks Inovasi Global 2008-2009 menunjukkan malaysia berada pada tangga ke 25 dunia pada indeks 4.06. malaysia gagal bersaing dengan Singapura yang berada pada tangga ke-5 dengan indeks sebanyak 4.81. Di atas Malaysia adalah Qatar pada tangga ke-24 dan Israel pada tangga ke-23. Akan tetapi Israel boleh berbangga dengan inovasi mereka sendiri kerana teknologi Yahudi telah sekian lama menguasai dunia terutama Amerika Syarikat yang kekal pada tangga pertama .

Indeks yang sama juga menunjukkan dari segi ‘pengetahuan’ (knowledge), Malaysia berada pada tangga 17 dunia di mana Singapura pula berada pada tangga 11. Indeks ‘pengetahuan’ ini menilai tahap sesebuah negara dalam mencipta nilai tambah bagi sesuatu keluaran atau produk serta berpotensi meningkat hasil berdasarkan tahap ekonomi. Indeks ini menunjukkan Malaysia ketinggalan berbanding Singapura yang amat terhad sumber alamnya. Human Capacity juga diukur oleh Indeks Inovasi Global 2008-2009 dan menunjukkan Malaysia berada pada tangga ke-18 manakala Singapura pada tangga ke-7!

Indeks Human Capacity mengukur peningkatan modal insan yang kompeten, berilmu serta mampu menjalankan kerja R&D secara tersusun untuk peningkatan negara.

Jurnal Malaysia terpinggir

Nilai jurnal Malaysia juga dinilai sebagai tidak mesra-pembaca. Pengamat jurnal antarabangsa menyatakan terlalu sukar mendapati jurnal ekonomi atau sains sosial yang dipapar melalui online-atau plugged dalam jaringan jurnal antarabangsa. Sebagai contoh, Malaysian Journal of Economic Studies, yang diterbit oleh UM hanya disiarkan abstraknya sahaja melalui online. Ini menunjukkan betapa elitnya jurnal malaysia sehingga sukar didapati intipatinya secara mudah apatahlagi jika ingin membaca tulisan yang dicetak. Adakah ini menunjukkan intelegensia malaysia risau nilai tulisan mereka turun apabila ia dibaca secara meluas seluruh dunia?

Jika kita menekan journal malaysia di dalam google, pertamanya kita akan menjumpai ’Electronic Journal of University of Malaya’ (EJUM). Ia memiliki 5 jurnal yang isolisasi dari himpunan jurnal antarabangsa. Ia sukar dicari secara rawak di dalam internet[7].

Penyelidikan di Singapura: satu perbandingan dekat

Kajian dan penyelidikan (R&D) di Singapura sedang berkembang pesat. Bidang ini menjadi berkembang melalui peruntukan wang yang besar serta individu yang terlibat juga ramai. $6 billion telah dibelanjakan untuk R&D pada 2007. Ini melibatkan 2.61% daripada KDNK Singapura dan matlamat mereka adalah mencapai 3% pada 2010[8].

Jika dibanding keluasan negara, Singapura hanya seluas 697 km2, manakala malaysia ialah 329,847 km2. Malaysia seluas 400 kali ganda berbanding Singapura. Namun dalam hal kajian dan pembangunan, Singapura mempu berbelanja 2 kali ganda daripada peruntukan peratusan Malaysia .

Lihat rajah di bawah

http://www.aaas.org/spp/rd/world06se.pdf

http://www.aaas.org/spp/rd/world07.pdf

Teladan untuk Malaysia ; umat Islam

Laporan kajian Bank Dunia 2007 menunjukkan sistem pendidikan tinggi universiti-universiti negara kita berada pada tahap memalukan dan semakin ketinggalan berbanding negara jiran. Dalam buku laporan setebal 258 muka surat itu jelas membayangkan bahawa tanpa satu daya usaha yang besar untuk memulihkan kelemahan tersebut sistem pendidikan tinggi di Malaysia mungkin akan jauh ketinggalan berbanding negaranegara jiran yang giat membangunkan universiti masing-masing.

Menurut laporan Bank Dunia itu, sistem pendidikan tinggi di negara ini perlu mempunyai fokus dan strategi pembaharuan. Yang jelas jika mahu bersaing di peringkat antarabangsa.Saranan Bank Dunia dalam Laporan bertajuk Malaysia dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan: Membina Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia, antara lain mengariskan beberapa perubahan yang perlu dibuat termasuk:-

  • Memilih model tadbir urus dan kewangan yang lebih efektif.
  • Meningkatkan keseluruhan kualiti universiti dengan memberi fokus kepada program akademi, pengurusan fakulti, dan pembelajaran.
  • Melengkapkan graduan dengan ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan.
  • Mengukuhkan sistem inovasi kebangsaan dengan mewujudkan rangkaian kukuh antara firma-firma di Malaysia dan universiti-universiti.

Ibn Khaldun menjelaskan ;

Manusia sebagaimana makhluk haiwani lainnya juga mempunyai sifat hayawaniyat-nya seperti al-hiss (rasa), al-harakat (gerak), memerlukan alqiza (makanan) dan tempat tinggal (al-kanni). Manusia berbeza dengan makhluk lain kerana manusia berkeupayaan untuk berfikir. Dengan potensi itu manusia dapat mencari keperluan hidup. Dengan potensinya, manusia dapat berinteraksi dengan sesamanya untuk tujuan-tujuan kesejahteraan hidup bersama. Juga dengan potensinya, manusia dapat menerima ajaran-ajaran dari Allah yang disampaikan oleh para Nabi kepadanya[9].

Justeru pembinaan pakar dan tenaga mahir umat Islam perlu melalui teras-teras yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun antaranya.

Pendidikan tinggi perlu mengambilkira fungsi dan aspek berikut dalam pembinaan modal insan berteraskan rohani:-

  1. Rasa dan perasaan
  2. Pergerakan dan jasmani
  3. Aspek makanan dan sumber
  4. Prasarana dan tempat pembelajaran

Mari bersama meneliti faktor utama perkembangan ilmu pengetahuan pada zaman Abbasiyah;

  1. Kreativiti para ulamak
  2. Usaha dan galakan para khalifah
  3. Aktiviti penterjemahan pelbagai ilmu
  4. Kestabilan politik dan kewangan kerajaan Abbasaiyah
  5. Dasar kerajaan abbasiyah yang memberi keutamaan kepada ilmu pengetahuan
  6. Kewujudan prasarana pendidikan yang baik
  7. Islam menggalakkan umatnya sepaya mengkaji alam sekitar
  8. Hubungan diplomatik antara kerajaan Abbasiyah dengan negara luar
  9. Kedudukan Baghdad yang menjadi pusat keilmuan dan perdagangan antara bangsa.

——————————————————————————–

  1. Kertas kerja ini dibentang di Institut Perguruan Pulau Pinang 8 November 2009
  2. AAAS R&D Budget and Policy Program
  3. Konsep Era Pakatan 1-15 November 2009
  4. Ariffin Samsuri, Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2006 Johor Baharu
  5. Ibn Khaldun. (1930), Muqaddimah, m s : 34

Muhammad Nuruddin Bashah Setiausaha TERAS caw Perak

Read Full Post »

buku ikhwanMemang sudah diketahui bahawa usrah merupakan tiang utama di dalam binaan organisasi Islam. Ia merupakan sekolah intergrasi  yang melaksanakan proses pendidikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran berbentuk ideal. Ia juga merupakan muntolak (langkah permulaan) untuk melaksanakan tugas dakwah di dalam masyarakat. Peranan usrah yang melibatkan usaha penyediaan, pengembangan dan pembinaan bagi memenuhi tuntutan amal islami. Usrah juga adalah institusi bersepadu yang berjalan di dalamnya proses pertukaran fungsi dan peranan, pengumpulan data maklumat, menonjolkan bakat dan kebolehan dan tempat menerima arahan dan laporan antara pimpinan dan anggota.

Kejayaan di dalam menguruskan usrah dan melaksanakan program serta mempraktiskan manhaj akan membawa kepada pengembangan organisasi, mencapai matlamat Harakah Islamiah (jangka pendek dan jangka panjang). Pengukur kejayaan di dalam membangunkan proses pentarbiyahan, pengajaran dan pengurusan terbit dari kejayaan dalam menguruskan sistem usrah.Kejayaan dalam menguruskan sistem usrah akan memberikan impak yang tidak dapat disangkal lagi (hatman) di dalam membina organisasi dan mempersiapkannya dengan persiapan tarbawi dan idari( pengurusan).

Jika sekiranya binaan usrah kukuh dan bersepadu, maka binaan organisasi akan bertambah kuat, instrumennya mengikat kukuh dan sempurna, amat sukar dirobohkan binaan dan digugat pilar-pilarnya. Salah satu rukun yang menjayakan  amal organisasi dan binaan pengurusannya ialah berdasarkan kepada ukuran kejayaan di dalam mengendalikan usrah dan sistem penyampaiannya yang baik (delivery system).

Justeru jentera terpenting yang memastikan kelancaran dan kejayaan usrah ialah NAQIB. Naqib memainkan peranan yang cukup besar kerana dia adalah Mas’ul yang pertama atau murobbi kepada anggotanya. Dia adalah Qudwah, contoh ikutan di dalam pergaulan dan perilaku. Manakala dari sudut pengajaran , dia merupakan guru, pengajar yang bertanggungjawab kepada ikhwannya dalam mendidik mereka tentang pemikiran Islam, asas –asas Syariah, seni dakwah, seni berharokah di dalam masyarakat. Pada masa yang sama ia mengambil peranan  anggota usrahnya sebagai seorang pelajar, murid dan jundi (tentera). Melalui proses give and take ( memberi dan menerima), organisasi terbina menjadi kesatuan yang kuat, padu dan berkeupayaan melaksanakan polisi organisasi dan tuntutan dakwah dan harakah.

Ada 9 peranan atau tugas yang mesti digalas oleh seorang murobbi di dalam mengendalikan usrah iaitu :

  1. Tazkir ( memberi peringatan)
  2. Ta’lif ( proses menyatukan hati)
  3. Ta’dhid ( memperkukuh dan memperkasa )
  4. Tahrik ( proses memobalisasi)
  5. Tatwir ( mengembang )
  6. Takhtit ( merancang)
  7. Taqwim ( menilai)
  8. Tausil ( proses penyampaian )
  9. Tadwin (dokumentasi )

Ketujuh-tujuh proses ini akan dihuraikan pada tulisan seterusnya.

Read Full Post »

Adab Liqa Tarbawi (2)

logo_final

5.  Memberi Salam

  • Akh yang hadir dan diizinkan masuk hendaklah memberi salam kepada saudara-saudaranya. Disunatkan ia menyebut ‘warahmatullahi wabarakatuh’.
  • Di dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan dikategorikan sebagai hadis Hasan oleh al-Arnaut, dari Imran b. Husayn r.a pernah berkata : “ Ketika kami berada bersama Rasulullah SAW maka datanglah seorang lelaki menyebut ‘assalamualaikum’, maka Rasulullah SAW sebut : baginya sepuluh ganjaran, kemudian datang yang lain pula menyebut : ‘assalamualaikum warahmatullah’ maka Rasulullah SAW sebut : baginya dua puluh ganjaran, kemudian datang yang lain pula menyebut : ‘assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’ maka Rasulullah SAW jawab : baginya tiga puluh ganjaran.” (selanjutnya…)

Read Full Post »

Adab Liqa Tarbawi (1)

 

SDC10548

1. Niat yang ikhlas

 • Niat yang ikhlas ketika menghadiri pertemuan tarbawi merupakan pra-syarat kejayaan pelaksanaan liqa’ tersebut.

• Ia berasaskan kepada hadis Nabi SAW : “ Sesungguhnya setiap amal dikira berdasarkan apa yang ia niatkan, setiap orang diberi ganjaran berdasarkan apa yang ia niatkan” ( Muttafaqun ‘alaih) (selanjutnya…)

Read Full Post »