Feeds:
Kiriman
Komen-komen

al-bana muayashahKenapa ‘Mua’yashah’ penting di dalam amal tarbiyah ?

1. Masuliyah wal Amanah
Kejayaan proses tarbiyah bergantung kepada kesungguhan Murobbi merasakan bahawa kemenjadian tarbiyah berada dibahunya. Murobbi di sisi tarbiyah Ikhwan Muslimin lebih berada di posisi ‘al-‘ato’ (menyumbang dan memberi) berbanding sebagai al-akhzu (menerima). Justeru Imam al-Bana sentiasa meletakkan tugas Murobbi itu sebagai Walid (bapa) , Alim, Syeikh dan Qaid. Mu’ayashah adalah salah satu bahagian terpenting menjayakan proses tarbiyah. Murobbi perlu merasakan ia adalah satu dari amanah dan masuliyah tarbawiyah yang WAJIB dilaksanakan bagi menyempurnakan peranan Murobbi.

Baginda SAW amat menekankan kepentingan mengambil peduli dan rasa tanggungjwab terhadap mereka di bawah jagaannya sehinggakan kecuaian terhadap hal tersebut boleh membawa penyesalan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW :
« ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاشٌّ لرعيته ؛ إلا حرم الله عليه الجنة »

Maksudnya : “Tidaklah seorang hamba yang diberi tanggungjawab menjaga kebajikan rakyatnya kemudian dia mati sedangkan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkannya dari memasuki Syurga”. [Sohih Muslim :1211]

Setiap Murobbi perlu merasakan kerja-kerja ‘Muasyashah’ adalah bahagian dari sense of responsibility [as-Syu’ur bil masuliyah] yang mesti disempurnakan sebaik yang mungkin bukan pada Qiyadah dakwahnya sahaja tetapi pertanggungjawapan terhadap Allah SWT.

2. Sunnatur Rasul
Kerja-kerja ‘Muayashah’ adalah kerja-kerja para nabi dan rasul. Tanda dan bukti kita mencintai Rasul ialah mengikuti sunnah baginda SAW. Baginda adalah contoh unggul di dalam mempamerkan senu ber ‘muayashah’. Rasulullah SAW memberi galakan ber ‘muayashah’ di dalam hadis sohih :

قال صلى الله عليه وسلم- : « المؤمن الذي يخالط الناس ، ويصبر على أذاهم أفضل من المؤمن الذي لا يخالط الناس ، ولا يصبر على أذاهم » . [صحيح الجامع] (6651) .

Maksudnya : “Orang Mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengan perkara yang disakiti mereka lebih baik dari mukmin yang tidak bercampur gaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan perkara yang disakiti mereka.”

Baginda SAW diutuskan sebagai Murobbi, mendidik manusia di sekelilingnya, mereka menemui Baginda di masjid, jika tidak mereka mencari baginda di pasar-pasar atau di tepi-tepi jalan, jika tidak mereka akan berkunjung ke rumahnya. Rasulullah SAW dengan hati yang gembira meraikan mereka, mengajar ilmu, menjawab setiap persoalan yang dikemukana, Tiada pendinding antara baginda SAW dengan mereka, bahkan baginda sentiasa mengukir senyum untuk manusia yang menemui baginda SAW.

Kata Jabir bin Abdullah al-Bajli : “ Tidak ada dinding (penghalang) antara aku dan Rasulullah SAW sejak aku memeluk Islam. Baginda tiadak melihat daku melainkan terukir senyuman pada wajahnya”. [Riwayat Bukhari]

Murobbi Superb adalah murobbi yang tinggi keupayaan Mu’ayashahnya sebagai mencontohi keteladan ar-Rasul. Berbahagialah para Murobbi yang mencontohi Sunnah ar-Rasul SAW di dalam hal-hal mentarbiyah Mutarobbinya.

3. Bina’ intima’ tarbawi dan tanzimi
Muas’yashah adalah wasilah terbaik dan efektif di dalam membina intima’ tarbawi dan tanzimi kepada Mutorobbi. Melalui Muayashah fardiyah dan Mu’aysahah Jamaiyah ma’ani tarbawi seperti indhibat haraki dan iltizam tarbawi diterapkan secara langsung dan tidak langsung. Murobbi dapat menumbuh perasaan intima’ kepada Mutarobbi melalui sesi-sesi mu’ayashah seperti ketika pertemuan luar halaqah, permusafiran bersama, kunjungan ziarah kepada Qudamak, rehlah dan jaulah, acara mabit, sesi pengajian ta’lim dan sebagainya. M’aani intima’ lebih dekat dan mendalam kerana Mutarobbi mendapat taujih secara langsung dari Murobbi.

4. Mutaba’aah ( follow up)
Proses ‘Mua’ayashah’ akan lebih memudahkan para Murobbi mengenali lebih dekat personaliti Mutarobbi sekaligus memudahkan amaliyah mutabaah [proses pemantauan]. Dengan ‘muasyashah’ dapat memantau wajibat fardi Mutarobbi, penglibatan di dalam amal medan, keupayaan menerima taklif jamaie dan taklif fardi dan penguasaan Mutarobbi dari sudut thaqafi, haraki, daawi .

5. Tarbiyah wa Taujih ( mentarbiyah & membuat penalaan)
Satu aspek yang tidak kurang penting dari proses ‘Mu’ayashah’ ialah mendidik Mutarobbi dan membuat penalaan. Ini kerana proses tarbiyah tidak lari dari tiga unsur penting iaitu :
1. Tahliah : Menghiaskan peribadi Mutarobbi dengan pengukuhan aspek-aspek ijabi (positif)
2. Takhliah : Membuang aspek-aspek salbiy (negatif) di dalam peribadi Mutarobbi.
3. Tanmiah : Menyubur dan mengembang potensi dan bakat Mutarobbi.

Melalui kerja-kerja Mu’ayashah ketiga-tiga elemen tersebut dapat digarap sekaligus membangun muwasofat tarbiyah Mutarobbi. [ Muslim Mutaqorib, Mukmin Abid, Daie Mutaharik, Mujahid Mundhobit, Mujammi’ Muathir]. Penalaan atau taujih penting bagi memberikan dawafi’ harakiy [dorongan motivasi bergerak] seterusnya merawat kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri Mutarobbi. Ini perlu proses mua’yashah yang panjang, teliti dan mendalam.

6. Tauzif ( penugasan )
Kepentingan Mua’yashah juga diperlukan di dalam menberikan ‘Tauzif’ [penugasan] terutama di dalam kepelbagaian amal dakwah dan amal organisasi. Murobbi yang sentiasa mu’ayashah dengan Mutorobbi akan lebih mengenali secara dekat bakat dan potensi yang ada pada Mutarobbi lebih mudah untuk memberikan tugasan dan kerja mengikut kesesuaian Mutarobbi.

7. Tanmiyah wal Irtiqa’ ( pengembangan potensi)
Aspek yang terpenting dari ‘Mu’ayashah’ ialah membangun dan mengembangkan potensi dan bakat yang sedia ada pada diri Murobbi. Pengembangan potensi ini bagi menyiapkan Mutarobbi menjadi kader dakwah yang aktif di dalam pelbagai bidang yang diperlukan dakwah sekaligus menjadikan amal-amal dakwah dan organisasi sebagai amal-amal Qawiy. Perkara yang lain juga ialah dengan ‘Mu’ayashah’ mempersiapkan Mutarobbi memikul beban amal dakwah yang besar untuk menjadi pimpinan pewaris dakwah sama ada di tahap pimpinan organisasi atau pimpinan umat sesuai dengan marhalahnya. Mu’ayasah antara dua generasi ini dapat menghilangkan gap [lost of generation], menimba pengalaman dakwah, harakah dan tarbiyah, merawat penyakit-penyakit harakah dan tarbiyah di dalam amal islami, mewariskan dakwah sekaligus menumbuh thiqah dan ukhuwwah antara jundiyah dan qiyadah, antara Murobbi dan Mutarobbi.

Rasulullah SAW amat mengenali potensi yang ada para sahabat r.a sehingga bersabda :

قال- صلى الله عليه وسلم- : « خذوا القرآن عن أربعة : عن ابن مسعود ، و أُبيِّ بن كعب ، و معاذ بن جبل ، و سالم مولى أبي حذيفة »

Sabda Rasulullah SAW : “Pelajarilah al-Quran dari empat orang ini iaitu Ibnu Mas’ud, Ubai bin Kaab, Mu’az bin Jabal dan Salim Maula Abi Huzaifah”.

8. Taqyim – peningkatan mustawa.
Mua’yashah penting dan amat penting sebagai sumber lisan untuk proses kenaikan jenjang tarbiyah Mutarobbi. Melalui pengamatan, pemerhatian dan pergaulan Murobbi dengan Mutarobbi ini akan memudahkan proses tausiq wa tad’if serta menilai dengan lebih akurat kelayakan Mutorobbi untuk ditingkatkan level tarbiyahnya.

Langkah-langkah MUA’YASHAH

1. at-Taqarub : mendekati Mutorobbi melalui mafatih nufus [kunci-kunci jiwa ] atau madakil al-qulub [ pembuka hati].

2. at-Tarbiyah wal Bina’ [ mendidik dan membina mutarobbi melalui Mu’ayashah Fardiyyah dan Mu’ayashah Jamaiyah]

3. al-Ihtimam wal Inayah wal Ri’ayah [ memberikan perhatian, penjagaan dan pengawasan terhadap perkembangan sosok Mutarobbi sepanjang proses Mu’yasahah ]

4. ‘Ilaj Uyub wal Masyakil [ merawat keaiban-keaiban serta kelemahan Muatorobbi dari sudut fikri, daawi, tarbawi, haraki]

5. at-Tanmiah wal al-Irtiqa’ [ membangun dan meningkatkan potensi Mutarobbi dengan terbinanya Muwasofat Tarbiyah].

jabat-tangan-tandatanyaTarbiyah yang produktif adalah satu proses yang sulit dan berterusan. Ia memerlukan kepada proses berinteraksi, bergaul, membuat penalaan, pemerhatian dan seterusnya menilai perkembangan Mutarobbi. Salah satu cara untuk menilai Mutarobbi ialah dengan ‘Mua’yashah’. Dalam bahasa tarbawi Muayashah bermaksud “proses pergaulan Murobbi terhadap Mutarobbi untuk mendidik, merawat, memenuhi keperluan mereka untuk mengembangkan potensi serta meningkatkan keupayaan mereka dari sudut fikri, tarbawi, daawi dan haraki bagi mencapai tuntutan marhalah dan muwasofat tarbiyah”.

Apakah Mafhum‘Muayasah’ kepada amal dakwah, amal tarbawi dan amal Harakiy ?
Amal Dakwah: Proses interaksi antara Daie dan Mad’u untuk mendidik, merawat syubuhat fikri dan kelemahan-kelemahan ruhi, membuat penalaan, menilai potensi hingga mampu meningkatkan kemampuan mad’u dan menariknya kepada fikrah dan jamaah.
Amal Tarbawi : Proses pergaulan dan interaksi antara Murobbi dan Mutarobbi untuk mendidik, membina, merawat keaiban, melengkapkan kekurangan, mengembangkan potensi sehingga layak ditingkatkan mustawa tarbawinya.
Amal Harakiy: Proses pergaulan antara pimpinan dan pengikut untuk melatih, membina, merawat kelemahan, membangun kekuatan dan potensi ahli, memenuhi hak ahli sehingga ahli memiliki kemampuan mengurus dan memimpin amal-amal harakiy yang ditaklifkan serta siapsiaga menjadi pemimpin organisasi.

Sunnah Rasulullah SAW dan Fiqh Mu’ayashah
Jika diteliti kepada kehidupan Baginda SAW sebagai seorang Rasul, seorang Nabi, seorang Qaid, Baginda adalah orang yang paling tinggi pergaulan dan interaksi dengan masyarakat sekeliling. Ini dilihat dari Hadis Sohih Riwayat Imam Muslim r.a dari pertanyaan Abdullah bin Syaqiq kepada Aishah R.A.
هل كان النبي- صلى الله عليه وسلم- يصلي وهو قاعد ؟ قالت : « نعم ! بعدما حطمه الناس » [1].
رواه المسلم

Abdullah bin Syafiq pernah bertanya kepada Saidatina Aishah R.A tentang keadaan baginda SAW berkaitan solat Musafir dan Qosar. “ Adakah baginda Nabi SAW bersolat di dalam keadaan dia duduk?” . Jawab Aishah R.A : “ Ya, selepas manusia yang sering bertemu dan berjumpa Baginda memberatkannya untuk baginda berdiri”.

Intipati dari hadis di atas bahawa Rasulullah SAW sering berdepan dengan kelompok manusia yang pelbagai. Baginda SAW bergaul, bercampur, meraikan mereka dan sanggup bersabar dengan kerenah mereka sehingga menjadikan badan baginda kepenatan. Akhirnya baginda bersolat dalam keadaan duduk. Hadis di atas mengisyaratkan bahawa Baginda SAW adalah insane yang paling sibuk bermua’yashah dengan manusia yang berada di sekitarnya.

Di dalam hadis lain riwayat an-Nasaie yang diceritakan oleh Samak bin Harb katanya :
حديث سماك بن حرب ؛ حيث قال : قلت لجابر بن سمرة : كنت تجالس رسول الله- صلى الله عليه وسلم- ؟ قال : نعم ! كان رسول الله- صلى الله عليه وسلم- إذا صلى الفجر جلس في مصلاَّه حتى تطلع الشمس ، فيتحدث أصحابه يذكرون حديث الجاهلية،ينشدون الشعر،ويضحكون،ويبتسم صلى الله عليه وسلم »
[3] .رواه النسائي

Samak bin Harb pernah berkata : “aku pernah bercakap kepada Jabir bin Samrah : ‘Adakah engkau pernah duduk bersama Rasulullah SAW ?, Jawabnya Ya, adalah Rasulullah SAW apabila solat Fajar (Subuh) , baginda akan duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari, maka para sahabatnya pun berbicara sambil menyebut memori-memori zaman Jahiliyyah, mendeklamasikan bait-bait puisi, mereka ketawa riang sehingga baginda Rasulullah SAW tersenyum gembira”.

Dari nas di atas jelas baginda SAW adalah orang yang paling akrab dan paling dekat dengan para sahabat baginda. Baginda bijak menggunakan ruang dan peluang di dalam bermuayashah dengan para sahabat r.a yang dianggap sebagai mutarobbi baginda.

Muasyasah yang dilakukan adalah secara bersahaja, spontan dan menumbuhkan thiqah antara Murobbi dan Mutarobbi, mengikat ikatan hati antara Daie dan Mad’u serta membina rasa kasih sayang dan ukhuwwah antara Rasul SAW dan para sahabat r.a.

Kemahiran dan kecekapan Rasulullah SAW bermua’ayashah menjadikan baginda orang yang paling arif dan kenal Mutarobbinya secara dekat dan tepat serta meletakkan mereka di posisi yang betul untuk dakwah dan harakah.

Baginda SAW menggunakan kemahiran ‘MUA’AYASHAH’ sebagai salah satu aspek penting di dalam berhubung dan bergaul dengan para Ma’du dan Mutarobbinya. Baginda SAW bertaaruf, mendekati dan mempengaruhi mereka. Baginda SAW mengenali dan mengingati nama-nama mereka, sifat-sifat peribadi mereka, nama-nama kabilah mereka, sejarah kabilah mereka, nama-nama negara mereka, status ekonomi, sosial dan budaya mereka.

Manakala dengan para sahabat r.a yang dekat dengan baginda SAW, beliau amat dekat dan sentiasa prihatin dengan mereka, mengambil tahu hal ehwal mereka, sakit dan sihat mereka, permusafiran mereka, kehidupan mereka, tahap keimanan, pemikiran dan kejiwaan mereka, tahu kemampuan mereka, memberi peluang kepada mereka dalam hal-hal tarbiyah, kepemimpinan, pengurusan kewangan, membuat polisi dan pengendalian dakwah. Baginda berbicara apa yang patut dan sesuai dengan individu tersebut serta memberikan pertanggungjawaban berdasarkan ciri-ciri dan keupayaan para sahabat r.a.

Ini dijelaskan di dalam Hadis Sohih Ibnu Majah daripada Anas bin Malik.
عن أنس بن مالك- رضي الله عنه- أن رسول الله- صلى الله عليه وسلم- قال : « أرحم أمتي بأمتي أبو بكر ، وأشدهم في دين الله عمر ، وأصدقهم حياء عثمان ، وأقضاهم علي بن أبي طالب ، وأقرؤهم لكتاب الله أُبَيُّ بن كعب ، وأعلمهم بالحلال والحرام معاذ بن جبل ، وأفرضهم زيد بن ثابت ، ألا وإن لكل أمة أميناً وأمين هذه الأمة أبو عبيدة ابن الجراح » [10] صحيح ابن الماجه

Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “ orang yang paling pengasih kepada umatku adalah Abu Bakar, yang paling kuat berpegang kepada agama Umar, yang paling benar malunya Uthman, yang paling adil berhukum ali b. Abi Talib, yang paling baik bacaannya Ubai bin Ka’ab, yang paling arif halal dan haram Mu’az bin Jabal, yang paling tahu hal fardhu adalah Zaid bin Thabit. Ingatlah setiap umat ini ada pemegang amanahnya dan pemegang amanah umat ini Ubaidah al-Jarrah”.

Kesimpulannya Mua’ayasah adalah :
a. Kemampuan Murobbi untuk bergaul dengan Mutarobbi, meraikan mereka, duduk bersama, memperuntukan masa , waktu, tempat untuk merawat permasalahan mereka serta meningkatkan binaan Mutarobbi dengan aktiviti-aktiviti tertentu bagi mencapai objektif tertentu.
b. Murobbi ada kemampuan untuk mendekati Mutarobbi untuk mendidik mereka, menjaga keperluan dan menyelesaikan permasalahan mereka .
c. Murobbi perli bijak menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk bermua’ayasyah seperti ketika waktu meraikan mereka di dalam halaqah atau di luar halaqah, ketika bermusafir, berjaulah dan berehlah dengan Mutarobbi, ketikan berhubung dengan mereka melalui ‘personal contact’, perutusan sms, whatts app, telegram, surat dan sebagainya. Boleh juga terjadi melalui sempena-sempena tertentu atau ketika di dalam kesulitan seperti menghantar ke hospital, ke rumah dengan kereta, menaiki komuter, teksi dan sebagainya.
d. Murobbi perlu menentukan sasaran muasyasyah sesuai dengan kaedah dan caranya agar objektif mua’ayashah tercapai sekaligus menyempurnakan binaan tarbawi dan tercapai muwasofat tarbiyah dan kenaikan mustawa.

images dakwah kampusKetika usia masih siswa, beliau berjalan menyelusuri kota raya, memasuki setiap kafe-kafe menyampaikan mesej-mesej dakwah. Satu ketika beliau membawa mancis api lalu dinyalakan di hadapan anak-anak muda yang menghabiskan sisa-sisa hidup dengan membuang masa, anak-anak muda tadi berlari mengelak diri dari terkena percikan api, kata anak muda ini, ‘kalau api ini membuatkan kamu semua lari, bagaimana kamu mahu melarikan diri dari dari api neraka’. Semua terdiam kaku, tumbuh kesedaran dalam jiwa mereka. Anak muda ini tidak pernah kenal dalam kamus perjuangannya erti penat dan lelah. Beliau berjiwa agung dan memiliki wawasan hidup. Tercatat dalam buku diari perjuangannya Muzakkirat Dai’e Wa Da’iyyah, katanya : “Tidak ada satu malam pun yang kami membincangkan permasalahan umat kami melainkan kami akhiri dengan tangisan air mata..”. Begitulah citra anak muda yang memiliki cita-cita dan keazaman yang tinggi. Beliau adalan tokoh pendiri dakwah ‘Imam Hasan Al-Bana’, mujaddid dakwah abad 21.

Sejarah perjuangan dan kebangkitan satu-satu pergerakan dilatari oleh anak muda. Mereka adalah kelompok idealis yang kritis terhadap isu-isu semasa dan sentiasa responsif memberikan pandangan dan kritikan.Selalu di ungkap ‘mahasiswa adalah agen perubah umat’. Sejarah telah membuktikan bahawa pergerakan kemerdekaan negara digerakkan oleh generasi muda. Begitu juga sejarah dakwah di Malaysia pun dimulakan oleh kumpulan aktivis mahasiswa yang menerima percikan fikrah perjuangan dan pembacaan buku tokoh-tokoh gerakan Islam dari Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami. Gerakan kebangkitan kesedaran Islam di kampus-kampus telah bermula lewat tahun 70 an. Justeru mahasiswa adalah cerminan masa depan suatu bangsa. Bangsa yang gagal membina generasi muda adalah bangsa yang kecundang.

Kata John Kennedy,
“ Andai mereka disuruh berperang , hanya ada satu dari tujuh pemuda yang berani hadapi musuh..” .

Bung Sukarno pula pernah mengungkapkan kata-kata keramat :
“Datangkan kepada aku sepuluh orang anak muda, akan ku gegarkan Indonesia raya”

Jelas bahawa penentu masa depan bangsa dan umat bergantung kepada kualiti generasi muda. Atas landasan itu mahu tidak mahu menggerakkan dakwah kampus secara sistematik dan terancang menjadi satu kefardhuan sebagai satu tuntutan syar’ie bahkan meneruskan mata rantai perjuanangan yang dimulakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a.

Kenapa dakwah kampus ?

1. Kelompok khusus dalam masyarakat
Mahasiswa adalah kelompok terpilih yang memiliki daya juang dan semangat yang berkobar-kobar. Mereka adalah generasi yang memiliki kecerdasan berfikir dan kecergasan fizikal. Masyarakat memandang dan meletakkan harapan tinggi terhadap warga kampus.

2. Memiliki masa lapang yang banyak
Universiti menyediakan masa dan waktu yang banyak kepada mahasiswa untuk mengisi diri mereka untuk belajar dan juga beraktivisme. Penglibatan dalam akademik dan aktivisme melalui persatuan-persatuan pelajar akan meningkatkan keyakinan diri dan melatih seni kepimpinan.

3. Ada ruang luas berinteraksi dengan golongan profesional.
Peluang belajar di universiti menjadi medan anak-anak siswa berinteraksi dengan tokoh-tokoh akademik. Menimba pengalaman dari pensyarah yang berwibawi dan diiktiraf kepakaran mereka yang tidak didapati ketika di sekolah menengah. Secara tidak langsung meningkatkan kapasiti ilmu dan jaringan akademik dengan pelbagai ilmuwan. Manakala kelebihan lain juga para aktivis dakwah dapat belajar seni berinteraksi, seni negosiasi, seni ‘deal’ dengan pihak atasan universiti terutama di dalam menjalankan aktivisme dakwah kampus.

4. Berinteraksi dengan tokoh masyarakat.
Peluang yang lain, para mahasiswa dapat bertemu tokoh-tokoh penting masyarakat dan negara dengan menghadiri seminar-seminar, wacana-wacana ilmiah,diskusi-diskusi ilmu, bicara intelek dan siri syarahan perdana ilmu. Kehadiran tokoh-tokoh besar negara, sejarahwan, teknokrat, ahli politik, korparat dan tokoh perniagaan membuka ufuk ilmu dan ruang interaksi berdialog dan berdebat. Ini akan menambahkan idealism perjuangan dakwah kampus.

5. Peluang melanjutkan pelajaran
Kampus menjadi tempat meneruskan akademik ke peringkat yang lebih tinggi seperti ke peringkat M.A dan Phd. Sekaligus meluaskan jaringan perkongsian ilmu dan pengkayaan pengalaman akademik.

6. Pemimpin masa depan
Mahu tidak mahu, pemimpin masa depan dicetak dari gelanggang kampus. Sejarah mencatat kebanyakkan tokoh-tokoh besar negara datangnya dari anak muda yang melatari perjuangan mereka sejak di bangku kampus. Generasi mahasiswa adalah bakal pencorak dan pemimpin masa depan negara.

Kepentingan Dakwah Kampus

1. Efektif
Peluang dakwah dan tarbiyah lebih mudah pada kelompok muda terutama di kampus-kampus kerana jiwa mereka lebih mudah didekati. Kaedah dakwah menekankan memilih kelompok yang mampu berfikir dari yang mengikut, yang memiliki kualiti intelek dari yang rendah intelek. Menumpukan dakwah kampus lebih efektif dari sudut pewarisan dakwah dan perjuangan.

2. Massif
Lebih 40 % penduduk Malaysia terdiri dari para belia dan sebahagiannya adalah dari kalangan warga kampus. Populasi bilangan mahasiswa yang ramai ini akan membentuk arus perubahan yang besar di dalam masyarakat. Ini kerana dengan fikrah dakwah dan tarbiyah kepada mahasiswa, maka akan terbina usaha pembaikan pada masyarakat. Mahasiswa memperjuangan aspirasi umat dan mencorak massa kepada perjuangan yang berteraskan asas agama.

3. Strategik
Dakwah kampus adalah dakwah strategik. Dari sudut jangka panjang, dakwah ini menyiapkan barisan pimpinan umat yang berkualiti melalui proses pengkaderan dan pelatihan kepimpinan dakwah. Mereka adalah agent of change. Dari aspek lain, mereka bakal mengisi sector-sektor strategik negara dan pembuatan polisi melalui bidang-bidang professional atau non professional yang diperlukan negara dan umat. Gerakan islam yang gagal menumpukan dakwah kampus bakal melahirkan pemimpin yang menjadi halangan kepada perjuangan. Sejarah gerakan Islam di serata dunia bermula dengan kampus. Kampus menjadi lahan perjuangan sebagaimana pendekatan strategik baginda S.A.W memulakan dakwah dan tarbiyahnnya di kota Mekah yang disifatkan sebagai kota ilmu dan kota akademik kerana kelompok masyarakatnya adalah masyarakat Hadhari.

Ada apa dengan Dakwah Kampus

Secara ringkasnya, pentingnya dakwah kampus kepada kelangsungan perjuangan islam terutama bagi aktivis penggerak kampus ialah :

• Mahasiswa merupakan potensi terbesar bagi dakwah dan gerakan Islam.
• Mahasiswa adalah sasaran dakwah yang paling berpotensi.
• Mahasiswa memiliki fitrah yang mudah disentuh dengan siraman ruhiyah.
• Mahasiswa memiliki persiapan untuk untuk menerima Islam sebagai ad-Deen.
• Suasana kampus memberikan peluang terbaik dan terbuka untuk membuat kajian Islam
• Mahasiswa adalah motor penggerak perubahan masyarakat sepanjang masa.
• Kreativiti dan inovatif mahasiswa menjadi potensi penting untuk gerakan Islam.
• Mahasiswa adalah anasir taghyir masyarakat.
• Perubahan yang berlaku kepada mahasiswa dapat mempengaruhi pandangan umum.
• Penerimaan dakwah yang syamilah bermula dengan tarbiyah tullab (mahasiswa)
• Mahasiswa merupakan asas umum pergerakan pemuda.

Matlamat Dakwah Kampus

“ Wujud barisan kader mahasiswa yang mendukung dan mempelopori nilai-nilai kebenaran, mampu menghadapi cabaran masa depan dan menjadi pilar yang baik dalam membangunkan masyarakat Islami ”

1. “Barisan”
Sejumlah orang yang memiliki kesamaan visi dan idealism serta semangat solidaritas yang tinggi. Dakwah kampus mesti menghasilkan outcome besar para kader yang memiliki visi dan idealisme yang tinggi dan bersedia menjadi arus baru perubahan.

2. “ Mendukung”
Peluang mentajmik kelompok mahasiswa universiti untuk mendokong dan melibatkan diri mereka dengan aktiviti dakwah kampus. Mereka menjadi simpatisan perjuangan dakwah dan membuka ruang-ruang dakwah. Mahasiswa tadi member dokongan moral dan metarial dalam menjayakan aktiviti-aktiviti dakwah kampus.

3. “ mempelopori”
Dakwah kampus di akhirnya berupaya membina “kader kampus”. Kader-kader ini menyumbang aktif kepada gerakan dakwah kampus, mewujudkan tanzim kampus, membina pengkaderan ahli dan menyiapkan pewarisan dakwah dari satu geherasi ke satu generasi. Secara tidak langsung juga mencipta dan membentuk biah islami dan biah dakwah di kampus-kampus.

4. “mampu menghadapi cabaran masa depan..”
Dakwah kampus mampu menyediakan pelapis kepimpinan yang mampu menghadapi cabaran masa depan dengan meningkatkan kapasiti akademik, ketrampilan dan kelayakan profesional yang kompetitif yang diperlukan sebagai seorang mahasiswa. Di sampung itu dakwah kampus mampu mencetak rijal umat yang memiliki kapasiti dakwi dan tarbawi bagi memikul amanah risalah, pengusaan ilmu yang mendalam, mampu membaca waqi’ samada waqi’ islami atau waqi’ jahili dan memiliki softskill dan hardskill.

5. “ pilar yang baik”
Kampus menyediakan mahasiswa yang mempunyai potensi dan kompetensi yang berguna kepada Islam dan umat. Membina dan membentuk kelompok kampus dengan acuan Islam dan membuat penalaan kepada perjuangan akan membawa kepada kebaikan kepada umat. Mereka bakal menjadi pemimpin umat dan pelopor kebangkitan. Kader kampus adalah batu bata kepada binaan Islam dan pewaris dakwah.

7K Cabaran Daie Muda

Cabaran daie Muda

Dunia dakwah bukan dunia populariti. Juga bukan dunia selebriti . Hakikatnya dunia dakwah penuh ujian dan dugaan. Apatah lagi ia menjadi cabaran buat Du’at Muda yang bergelar sebagai mahasiswa.

Ada 7K cabaran sebagai Du’at Muda

1.Kembara
Mengembara ilmu di negara-negara yang dingin semangat dakwah akan mempengaruhi kehidupan pendakwah tadi. Apatah lagi jika belajar di negara yang tidak ada amal dakwah dan tarbiyah akan mudah terdedah kepada gejala futur.Di samping itu du’at tadi mudah terpengaruh dengan suasana persekitaran jahiliyah yang kadang-kadang mencairkan identiti islami bahkan terpengaruh dengan fahaman secular-liberal.

2. Komputer
Perisian komputer yang sarat dengan aneka program di samping penjajahan dunia maya mengherat daie muda dengan kelalaian beramal di medan maya sehingga lupa medan yang asal iaitu dakwah face to face. Jika tidak ia disibukkan dengan permainan computer yang mencuri masa dan waktunya sehingga melemahkannya untuk konsisten dalam tarbiyah atau menghadiri wasilah-wasilah tarbiyah. Dia leka menghabiskan masa dengan meng’update’ status facebook, twitter, instragram sehingga mengabaikan wajibat fardi dan wajibat jamaie.

3. Kawan
Kawanyang baik ibarat penjual minyak wangi sedangkan kawan yang jahat ibarat tukang besi. Masing-masing memberikan pengaruh kepada du’at muda. Ibnu Khaldun menyebut manusia adalah anak kelahiran persekitaran. Berapa banyak da’ie muda tersungkur dalam lapangan amal dakwah dan tarbiyah apabila berada dalam alam menara gading, sedangkan dia semasa sekolah adalah pimpinan-pimpinan badan-badan dakwah, pentazkirah, nuqabak dan naqibak. Dek pengaruh rakan dan silap memilih kawan menjadikannya hilang dalam kamus sebagai orang dakwah.

4. Kejayaan dan Kecemerlangan Sijil
Daie muda akan diuji dengan sijil kejayaan cemerlang sehingga dia melupai peranan risalahnya. Pencapaian CGPA yang tinggi membawa dirinya merasai ujub,riak dan bermegah-megah hingga memandang rendah kepada mereka yang terdahulu di medan dakwah. Jika dipilih menjadi pensyarah atau dalam skim latihan pensyarah,dia sibuk memberikan untuk ‘excuse’ program atas alasan kesibukan mengejar MA dan Phd demi untuk dakwah. Namun hakikatnya dia mengorbankan dunia dakwah dan beralih kepada dunia akademik dan sijil demi mengejar habuan duniawi.

5. Konvo
Daie muda tadi aktif semasa belajar universiti kemudian menjadi pasif pasca graduasi. Kalau dahulu menjadi pemimpin pelajar diperingkat universiti kemudian setelah tamat, dia dan pulang ke kawasan kembali menjadi orang bawahan Pengalaman beramal di medan yang berbeza menyumbang kepaga gejala futur bahkan tekanan untuk mencari kerja dan rezeki adalah factor kegelinciran dalam amal islami. Ketika passing ke kawasan baharu, sukar dihubungi bahkan kerap habis bateri. Kalau pun tidak, HPhone bersilih ganti sebagai tanda sudah letih dan lesu untuk beramal islami.

6. Kerjaya
Mengejar gaji yang lumayan dari tawaran kerja sufah menjadi prioriti hidup jika dibandingkan urusan dakwah. Di celah-celah kerjaya tersebut da’ie tadi terdedah kepada ikhtilat yang bebas di tempat bekerja serta pekerja wanita yang tidak menjaga auratnya.Lantas kesibukannya di dalam dunia kerjaya serta serta fana dengannya menjadikan sentuhan daie kepada mad’unya semakin tumpul dan tidak berbekas bahkan rasa intim dengan rakan kerja lebih dari rakan dakwah.

7. Kahwin
Perkahwinan menjadi salah satu faktor kegelinciran di atas jalan dakwah. Memilih pasangan berasaskan asas dakwah sudah pudar setelah melalui tempoh tertentu sehingga neraca kecantikan menjadi kayu ukur dalam memilih jodoh hidup. Begitu juga kekecewaan da’ie tadi dalam urusan bait muslimnya menjadikannya futur dakwah. Apabila melayari bahtera perkahwinan pula,dia terpaksa menanggung susah payah dunia perkahwinan yang kadang-kadang menjadi menghambat perjuangan untuk beraksi aktif dalam dunia dakwah yang menuntut segala keringat, masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya. Rumahtangga dakwah yang diimpikan bertukar menjadi rumahtangga biasa yang tidak lagi menjadi tempat untuk mendidik generasi pewaris dakwah pada masa hadapan.

Firman Allah S.W.T.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami beriman, sedang mereka belum diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

“Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana orang-orang yang dahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya. “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.” (Al-Baqarah: 214)

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.” (Muhammad: 31)

“Dan sesungguhnya telah didustakan (pula) rasul-rasul sebelum kamu akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka hingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Tak ada seorang pun yang dapat merubah kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Dan sesungguhnya telah datang kepada mu sebahagian dari berita rasul-rasul itu.” (Al-An’am: 34)

“Allah sekali-kali tidak tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mukmin). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepadamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendaki-Nya di antara rasul-rasul-Nya, kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasul-Nya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar.” (Ali-lmran: 179)

“Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka).” (Ali-lmran: 141)

“Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan bagi yang batil. Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya, adapun yang memberi menafaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (Ar-Ra’ad: 17)

“Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami beriman kepada Allah” maka apabila ia disakiti kerana ia beriman kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sesungguhnya jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah besertamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada di dalam dada manusia?. Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang munafik.” (Al-Ankabut : 10-11)

tarbiyah ramadhanAllahu  Akbar..Allahu Akbar…Allahu Akbar  Walilhilhamd…

Saudaraku fillah,

Marilah kita ucapkan rasa setinggi syukur, puji dan tahmid yang tidak terhingga kerana kita dapat menempuh Ramadhan pada tahun ini. Tinggal beberapa saat dan ketika , kita bakal meraikan lebaran 1 Syawal, tanda kemenangan kita  menundukkan segala runtunan hawa nafsu dan meletakkan maslahat rabbani  di tempat tertinggi mengatasi yang lain.

Ikhwati fillah..

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya, syawal pula bakal menjelma. Pelbagai pelajaran yang kita perolehi dari seribu satu macam tarbiyah Ramadhan. Ramadhan mengajar makna perjuangan, erti jihad, budaya disiplin, wala’ dan tajarrud hanya semata-mata untuk Allah mengatasi kepentingan hawa nafsu.Inti Ramadhan mendidik kita bahawa  perjuangan menundukkan hawa nafsu adalah perjuangan para Nabi dan Rasul yang berlangsung sehingga Hari Akhirat.Kemuncak kepada perjuangan menentang hawa nafsu ialah menentang segala bentuk pemikiran dan ideologi ciptaan manusia yang sesat dan menyeleweng dari petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.

Ikhwati fillah..

Bekalan terbaik yang ditinggalkan oleh Ramadhan ialah bekalan taqwa.Taqwa menjadi kunci dan pra-syarat kepada kemenangan perjuangan dakwah, perjuangan tarbiyah dan perjuangan Islam. Inilah persoalan atau maqasid terbesar yang perlu dihayati dan diambil bekal oleh pejuang-pejuang akidah bagi melawan segala bentuk berhala jahiliyah moden atas pelbagai nama, berselindung di sebalik gerakan hak asasi, berjuang atas nama gerakan sivil dan masyarakat madani. Tanpa nilai taqwa perjuangan Harakah Islam menjadi tempang dan tersasar dari manhaj robbani dan manhaj nabawi.

Bukankan Allah menyebut di akhir perintah kewajipan puasa supaya menjadi manusia yang bertaqwa. Taqwa yang bukan menjelma dalam bentuk penghayatan tingkahlaku, sikap dan budaya seorang pejuang islam tetapi taqwa yang melayakkan kita meraih kemenangan dan nusrah dari Allah sebagaimana pesanan Saidina Umar kepada bala tenteranya agar mereka lebih takut terhadap dosa-dosa mereka berbanding dosa-dosa pihak musuh. Perasaan berhati-hati atau wiqayah inilah menjadi asbab Allah mencampakkan kemenangan kepada generasi dakwah terdahulu. Menang akidah mereka, menang jihad mereka,menang fikrah mereka, menang dakwah mereka, menang tarbiyah mereka sehingga layak memimpin dan menerajui dunia.

GazzahIkhwah fillah..

Marilah kita introspek diri dengan bekalan taqwa…

Allah berfirman yang bermaksud :

Pertama : “ Jika kamu bertaqwa kepada Allah, Allah jadikan untuk kamu jalan pemisah antara Haq dan Batil”

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan liberal sekular dengan perjuangan Islam yang tulen ?

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan menegakkan masyarakat yang berpaksikan demokrasi sekular dengan perjuangan menegakkan syariat Allah.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara gerakan islam yang tempelan dengan gerakan Islam yang syumul.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan  antara ideologi-ideologi sesat dan menyeleweng dengan syariat Islam yang membawa kebaikan dan rahmat.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan Hamas dan Zionis Yahudi laknatullah.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara pendekatan melampau dengan manhaj ‘isti’dal’ yang dibawa oleh para salafussolih.

Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara memenuhi tuntutan nafsu dengan memenuhi tuntutan robbani.

 Kedua : “ Bertaqwalah kamu kepada Allah, pasti Allah akan memberikan ilmu kepada kamu..”

Sejauh mana taqwa menjadikan kita pejuang yang memiliki kekuatan ilmu dan akal.

Sejauh mana taqwa mampu menjadikan kita menolak hujah kepalsuan golongan anti Islam.

Sejauh mana taqwa menolak kita untuk menguasai pelbagai ilmu yang diperlukan oleh seorang da’ie.

Sejauh mana taqwa mendorong kita memahami ancaman dan konspirasi musuh-musuh Islam yang terdiri dari Zionisme, Yahudi dan Kristian.

Sejauhmana taqwa menjadikan kita prihatin terhadap isu-isu umat Islam, isu Palestin, isu Gaza, isu Syria dan sebagainya.

Sejauh mana taqwa membawa kita mencintai ilmu, mempelajari  ilmu sehingga ilmu itu memberikan kekuatan kepada kita untuk memimpin umat.

Sejauh mana taqwa berjaya membekalkan kita ilmu fiqh dakwah, fiqh harakah dan fiqh tarbiyah untuk kita memperkasa amal islami dan amal tanzimi kita.

Lihatlah kekuatan ilmu yang diilhamkan Allah kepada Sultan Muhammad al-Fateh sehingga berjaya membuka Kota Constantinople.

Ketiga :“ Siapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan penyelesaian dan memberikan rezeki dari sumber yang tidak disangka “.

Yakinlah dengan taqwa segala permasalahan umat diselesaikan.

Yakinlah dengan taqwa kekuatan jamaah terus kukuh dan ampuh.

Yakinlah dengan taqwa sumber dana kita tidak pernah kering dan kontang.

Yakinlah dengan taqwa umat berada dalam lindungan rahmat syariat Allah.

Yakinlah dengan taqwa nakhoda dakwah bergerak mara dan pacu ke hadapan.

Yakinlah dengan taqwa segala adabiyat amal jamaah menjadi mudah dan terarah.

Yakinlah juga… tanpa taqwa, umat lesu, umat lemah, umat mundur, umat terkebelakang, umat hidup dalam suasana kerosakan nilai dan kebejatan akhlak sehingga mengundang kemurkaan allah.

Yakinlah juga  tanpa taqwa, jamaah tiada barokah, wujud fitnah, ahli-ahli yang bermasalah sehingga menghambat perjalanan harakah.

Keempat : “Siapa yang bertaqwa kepada Allah,Allah jadikan segala urusannya mudah”

Ingatlah segala urusan dakwah kita mudah dengan bertaqwa.

Ingatlah urusan tarbiyah kita mampu membina dan membentuk kita dengan  sebab taqwa.

Ingatlah urusan jamaah kita berjalan lancar dengan taqwa.

Ingatlah urusan thabat,jihad,seqah, taat, tajarrud, ukhuwwah kita menjadi mudah dengan taqwa.

Ingatlah urusan kita dengan umat, urusan kita dengan mad’u,urusan kita  dengan ikhwah dan akhawat kita dipermudahkan allah dengan sebab  nilai taqwa yang ada dalam diri kita.

Ingatlah juga bahawa musuh-musuh tewas ditangan kita, fikrah kita bertebaran merata, kita menang di dalam amal kita dengan bekalan taqwa yang ada pada kita.

Ingatlah bahawa taqwa sahajalah pemudah segala-galanya di dalam hidup kita sebagai seorang dai’e, seorang murobbi, seorang mujahid dan seorang Qoid.

Kelima : “Siapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dihapuskan segala dosanya dan dilipatgandakan pahalnya”

Sekadar mana taqwa berjaya mentazkiyah diri kita dari dosa-dosa ?

Sejauh mana taqwa mampu menghilangkan kesalahan-kesalahan kita ?

Setakat mana taqwa boleh menhapuskan dosa-dosa kita sehingga kita layak mendapat pertolongan Allah dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah ?

Sejauh mana pula keyakinan kita bahawa taqwa menguatkan motivasi dan inspirasi amal kita dengan curahan pahala yang berlipat kali ganda ?

Ayyuhal ikhwah !..

Marilah kita mengambil bekalan taqwa dari madrasah ramadhan untuk kita menongkah perjuangan kita, jihad kita, dakwah kita, tarbiyah kita demi mengembalikan izzah umat dan izzah islam.

Bukankan Allah menyebut berkali-kali di dalam firmannya :

“ Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar-taqwa”.

“ Bertaqwalah kamu dengan semaksima yang mungkin menurut batas kemampuanmu”

“ Bertaqwalah kepada Allah, wahai orang yang memiliki kapasiti akal yang tinggi ?”.

Sentiasalah kita mengoreksi diri dan bersiap sedia untuk kita bertemu kepada Allah.

“ wahai orang –orang yang beriman, hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dipersiapkan untuk mengadap Tuhannya, dan bertaqwalah kepada Allah” [al-Hasyr : 18].

Sentiasalah kita memperjuang dan menyatakan kebenaran walaupun pahit di telan zaman.

“Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan nyatakan ucapan dengan perkataan yang benar”

Ikhwah fillah,

Marilah kita jadikan taqwa sebaik-baik bekalan, sebaik-baik pakaian,sebaik-baik perisai untuk kita berjuang dan berjihad pada jalan Allah. Moga Allah terus mengampuni kita dan menempatkan kita bersama-sama para nabi, para syuhadak, para siddiqin dan para solihin.

Menangislah untuk perpisahan ini  sebagaimana para sahabat r.a menangis ketika Ramadhan berangkat untuk meninggalkan mereka dengan segala didikan tarbiyah dan tazkiyah.

Allah telah memberikan taujih dorongan kepada pejuang-pejuang Islam tentang hakikat kemenangan yang sebenar sebagaimana  di dalam Surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud :

” Wahai orang-orang yang beriman ! Bersabarlah dan kuatkanlah daya kesabaranmu, dan kuatkanlah ikatan kuda kamu (siap siaga di perbatasan jihad), dan bertakwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan..”

Ya Allah !, kami memohon keredhaanMu dan syurgaMu, dan kami meminta berlindung dari kemurkaanMu dan balasan nerakaMU…

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia, cintakan keampunan, maka ampunkan dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa akh-akh kami, dosa seluruh saudara-saudara seislam kami.

272062Tahun ini umat Islam menyambut Ramadhan dalam suasana penuh ujian dan getir. Bahang Ramadhan diuji dengan bedilan roket Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Sejarah terus merakam negeri yang memiliki penjara terbesar di dunia di simbah darah dan air mata. Ratusan para syuhadak gugur syahid bak kata pejuang Palestin ‘kami bersahur di dunia dan beriftar di akhirat’. Begitulah coretan kisah kehidupan pejuang di bumi Gaza.

Manakala kita di Malaysia berdepan pelbagai kemelut politik dan agenda pihak musuh yang cuba mencairkan identiti keislaman dan kenegaraan. Pelbagai usaha licik pihak musuh untuk memastikan agenda mereka terlaksana dengan mengitar semula jenama tetapi punyai maksud yang sama.Mereka berselindung atas nama gerakan perjuangan hak asasi malaysia namun berniat untuk merubah asas-asas perlembagaan dan status quo yang sudah disepakati bersama.

Tambahan pula krisis keyakinan terhadap  MB kerajaan Pakatan di Selangor berterusan dengan percubaan untuk menukar kerusi MB. Pada masa yang sama isu mesin judi slot yang masih belum diatasi ketika kedengaran mulut celupar pihak yang ingin membersihkan kotaraya Kuala Lumpur dari masyarakat gelandangan.

Kehangatan Ramadhan tidak terhenti di situ sahaja,malah anak-anak muda mengisi malam-malam Ramadhan dengan menonton Piala Dunia biar pun ia berakhir pada 13 Julai yang menyaksikan kemenangan Jerman ke atas Argentina. Seolah-olah kemeriahan Ramadhan sebagai bulan berkat dan bulan rahmat tenggelam dek kehadiran Piala Dunia.

Apapun yang berlaku sewajarnya umat Islam memuhasabahkan diri sejauh mana Ramadhan memberikan makna dan erti untuk merubah landskap kehidupan mereka. Proses metamorforsis madrasah Ramadhan harus membumi sekaligus mengkarya manusia muttaqi.Manusia-manusia baharu atau milad jadid (kelahiran baharu) adalah inti terpenting dari kerangka tarbiyah Ramadhan.Selama sebulan latihan dan tamrin di stadium Ramadhan sudah menyiapkan barisan atlet muttaqi yang siap siaga menghadapi ujian perlawanan menentang gejolak nafsu dan asakan musuh-musuh allah.

Taqwa yang merupakan point terpenting Ramadhan menjadi bekal ampuh buat umat Islam kembali memimpin ketamadunan sebagaimana umat terdahulu. Mentadabburi ayat satu hingga lima surah al-Baqarah, allah SWT menghubungkaitkan al-Quran, taqwa dan kemenangan setelah dipaparkan ciri-ciri mereka yang bertaqwa. Taqwa dalam terminologi As-Syaheed Syed Qutb merupakan sentuhan perasaan di dalam dhamir, kelembutan dalam perasaan, perasaan takut yang berterusan, sikap sentiasa berhati-hati  dan berjaga-jaga dari terpijak duri-duri  tajam dalam perjalanan iaitu perjalanan kehidupan.

Apabila beliau mengulas perkaitanan antara puasa dan taqwa, beliau menjelaskan bahawa puasa adalah salah satu bentuk latihan jihad untuk menyiapkan jiwa yang mampu menanggung kesusahan jalan dakwah yang terhampar dengan segala rintangan ,duri-duri tajam, yang bersimpang siur dengan runtunan hawa nafsu, yang sentiasa menggamit mereka yang melaluinya dengan ribuan pesona tipudaya. Mereka yang mampu menahan jiwanya dari segala perkara yang harus dan mempersonakannya, dia mampu untuk menanggung risalah jihad yang penuh dengan duri dan rintangan.

Begitulah besar nilai taqwa yang ingin dicapai daripada makna Ramadhan. Taqwa adalah satu kesedaran dan satu kebangkitan jiwa. Maka tidak hairanlah allah menutup di akhir ayat kelima dengan ungkapan ‘ulaaika humul muflihun’-mereka itulah orang-orang yang berjaya dan hebat.

Dalam sisi lain allah SWT mengkehendaki kita menjadi umat yang bertindak sebagai ‘a winner’. Pemenang tidak akan menjadi pemenang jika tidak berfikir, berwatak, berpenampilan dan bergerak dalam minda sebagai ‘a winner’. Umat Islam adalah umat yang berminda  ‘a winner’ bukan  berminda ‘a loser’. Minda dan jiwa kalah mengheret umat tunduk sujud kepada barat dan sekutunya, akur dengan kekejaman Zionis Israel bahkan tewas dengan tipu muslihat puak-puak anti Islam yang cuba merobek ketuanan dan kekuatan Islam atas nama kebebesan, hak asasi manusia, perjuangan demokrasi dan sebagainya.

Inilah perkara yang perlu diintrospek oleh umat Islam agar Ramadhan tidak sekadar bulan pesta kuih muih, pesta makan dan minum dan bulan pembaziran. Berfikir dalam kerangka minda ‘a winner’ dengan bekalan al-Quran sebagai panduan dan taqwa sebagai pemangkin kejayaan. Bukankan allah menyebut di akhir surah ‘Ali Imran’ ayat 200 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, kuatkanlah ikatan kamu dan bertaqwalah, mudah-mudahan kamu menjadi ‘a winner’.”

ramadhan 1Jalan dakwah penuh dengan ranjau dan duri, jalan yang telah dilalui para nabi dan rasul. Jalan yang satu tiada dua dan tiganya. Jalan salafussolih menebar risalah memayungi ummah dengan rahmat islam. Berjalan di atas jalan ini menuntut bekalan. Bekalan yang memberikan kekuatan buat para pejuang, menyuluh jalannya, mengubah realiti  umat, membantunya untuk terus berjihad dan berkorban serta mendorong para pejuang untuk thabat berdepan seribu satu macam ujian dan mehnah sepanjang perjalanan dakwah.

Bekalan terbaik dan ampuh ialah bekalan puasa. Ini dinyatakan dengan jelas pada ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu kewajipan berpuasa sebagaimana umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketaqwaan”.

Allah telah memuliakan tetamu Ramadhan dengan dua perkara. Pertama puasa sebulan dan keduanya ‘Lailatul Qadar’. Lantas itu allah menkhususkan Ramadhan dengan pelbagai kebaikan yang menjanjikan pelbagai tawaran, pelbagai bekalan, pelbagai ganjaran bagi menyipakan pejuang tahan lasak mengharungi rintangan di atas jalan dakwah. Jika sekiranya para pejuang tadi memahami dan mengerti makna Ramadhan sebagai ‘zaad’ bekalan perjuangan nescaya pasti mereka bercita-cita Ramadhan sepanjang tahun.

Padanya bekalan al-Quran yang menjadi manhaj dan akidah para pejuang :

“Bulan ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia, yang mengandungi di dalamnya keterangan berkaitan petunjuk dan pembeza”.

Padanya ada ‘Lailatul Qadar’ sebaik-baik malam yang lebih baik dari seribu bulan. Padanya juga terbuka pintu-pintu kebaikan,tertutup pintu-pintu neraka dan para iblis dibelenggu. Manakala ganjaran amal berlipat kali ganda dengan bekalan tadarus,iktikaf, qiam dan sebagainya yang menjadi alat pemangkin jiwa pejuang.

Pejuang meraikan Ramadhan dengan penuh kegembiraan, menyambutnya dengan penuh suka duka sebagaiman para mukmin bergembira dengan anugerah dan rahmat Allah atas kehadiran bulan penuh keberkatan dan kerahmatan. Hanya pejuang yang hidup bersama Ramadhan untuk Ramadhan akan menggapai bekalan dan merasai kelazatan dan kemanisannya.

Bulan Ramadhan membekali para pejuang dengan bekalan al-Quran melalui proses tilawah,tadabbur dan hafalan . Di celah-celah keheningan malam, para pejuang bermunajat kepada Rabb dengan alunan kalamullah yang melembut jiwa. Al-Quran menjadi petunjuk, hikmah,cahaya, peringatan dan penawar kepada pejuang. Tidak ada lagi sebaik-baik bekalan buat pejuang melainkan bekalan al-Quran.

Di bulan ini para pejuang mengisi agenda malamnya dengan ibadah  qiamulail. Qiamulail adalah penghubung komunikasi antara seorang hamba dengan Khaliqnya. Qiamulail adalah bekalan efektif dan latihan intensif pemurnian jiwa untuk memastikan jiwa sentiasa tunduk dan sabar dengan segala ujian mendatang. Ia hanya dapat dirasai kemanisannya dengan sentiasa bertaqarrub dan berhubung dengan Allah SWT dalam keadaan penuh khusyuk dan penuh rasa ketundukan.

Di samping itu, anjuran beriktikaf di bulan ini menjadi keutamaan. Beriktikaf di bulan Ramadhan punyai rahsia dan fadhilatnya tersendiri.Pejuang yang beriktikaf merasakan dia adalah tetamu Allah ,menumpukan seluruh perhatiannya untuk mentaati dan bertaqarrub kepada Allah dengan zikir, solat, munajat, doa, istighfar, taubat dan tangisan airmata taubat lantaran rasa takut kepada Allah. Proses ‘iktikaf’ mendidik pejuang makna taqarrub, mengosong jiwanya dari kesibukan dunia yang menjadi penghambat perjuangan dari meraih kemenangan akhirat.

Ramadhan menjadi pusat latihan tahunan buat para pejuang menimba bekalan. Ramadhan adalah madrasah tazkiyatun nafs, madrasah askariyyah [sekolah ketenteraan] merekrut para pejuang seperti pasukan tentera Badar, madrasah jihadiyah [sekolah jihad] melahirkan pejuang yang thabat dan indhibat dan madrasah ukhawiyyah yang mengikat hati-hati para pejuang dan membina erti solidariti umat sebagai satu binaan yang saling kukuh mengukuh antara satu sama lain.

Antara intipati bekalan Ramadhan buat para pejuang ialah :

1. Ramadhan  mendidik erti ikhlas hanya kerana Allah dan  merasai muraqabatullah. Tiada makna bagi pejuang dakwah dan harakah jika tidak ikhlas dalam beramal dan berjuang.
2. Ramadhan menanam erti mujahadah melawan runtunan hawa nafsu. Puasa melatih para pejuang melawan kehendak nafsu syahwatnya yang menjadi halangan terbesar di dalam perjuangan sebagai seorang da’ie ke jalan Allah.
3. Ramadhan melatih makna sabar. Kejayaan dan kemenangan dakwah bergantung kesabaran di dalam mengharungi jalan-jalan dakwah. Firman Allah yang bermaksud :

‘Mereka tidak merasa lesu dengan ujian yang menimpa mereka di jalan allah, tidak juga merasa lemah dan menyerah kalah, dan Allah bersama-sama dengan orang yang sabar..’

4. Ramadhan mendidik anggota  badan agar sentiasa dalam ketaatan kepada Allah. Ini penting dalam membentuk sahsiah pejuang.

5. Ramadhan menjadikan pejuang memahami erti Hilm [lembut hati] terutama terhadap mereka yang jahil. Sikap pejuang apabila berdepan dengan mereka yang menolak seruan dakwah adalah sikap sebagai seorang pendakwah. Pejuang tidak mengeluarkan kata-kata kasar dan kesat, bersikap lunak, santun budi bahasa dan jauh terjebak dalam alam jidal, perdebatan, perselisihan yang membuang masa dan tenaga untuk kemaslahatan dakwah.

Di samping itu, Ramadhan menanam dalam jiwa pejuang perasaan belas kasihan terhadap mereka yang memerlukan bantuan terutama golongan fakir . Ini mendidik pejuang menjadi pejuang yang hidup memahami denyut nadi kesusahan umat, belajar erti penderitaan dan kelaparan serta sanggup berkorban kesenangan untuk kebahagian umat.

6. Ramadhan adalan bulan kesabaran dan menanggung kepayahan terutama di lapangan jihad dan perang melawan musuh-musuh Allah. Sabar menjadi senjata buat para pejuang di jalan dakwah. Tanpa sabar tidak akan terhasil kemenangan dalam perjuangan.

7. Ramadahan mendidik makna intima’ jamaie. Ini kerana di bulan ini semua umat Islam di seluruh dunia berpuasa  selama sebulan,bersama-sama  merasai kebaikan ibadat ini, bantu membantu sesame mukmin sekaligus membentuk kesatuan ummah. Kesatuan dan rasa berjemaah penting di dalam kehidupan sebagai pejuang yang berjuang dalam mana-mana organisasi. Organisasi menjadi semakin lemah apabila semakin lemah  makna intima’ jamaie .

8. Ramadhan mendorong jiwa meneroka dan jiwa saintifik. Ini tergambar dengan perintah Allah SWT kepada umatnya untuk menentukan ibadat puasa dengan melihat anak bulan ketika di awal Ramadhan dan berhariraya pada awal Syawal. Sekaligus para pejuang perlu memahami kepentingan saintifik, menguasai bidang astronomi dan sentiasa melakuakn penerokaan demi menjayakan misi risalah.

9. Ramadhan membina fizikal yang sihat dengan ibadah puasa. Ini terbukti dengan fakta-fakta perubatan tentang kelebihan puasa. Secara tidak langsung pejuang perlu memiliki tubuh badan yang kuat dalam melaksanakan tugas dakwah dan jihad. Imam al-Bana meletakkan ciri ‘Qawiy al-jismi’ sebagai muwasofat pertama dan teratas pembinaan individu muslim.

Beruntunglah para pejuang yang meraikan kedatangan Ramadhan. Rugilah pejuang yang menempuh Ramadhan namun mensia-siakannya. Ambillah bekalan terbaik dari Ramadhan  agar menjadi pejuang Robbani bukan pejuang Ramadhan.

Benarlah kata Syeikh  Muhammad Abdullah al-Khatib tentang Ramadhan :

Puasa adalah taklif yang secara zahirnya menyiksa badan dan jiwa namun ternyata di akhirnya ia adalah satu persediaan,satu tarbiyah,satu jihad untuk menyiapkan orang-orang beriman bagi memikul peranan besar dan agung ini bagi memimpin umat ini”.

Syeikh Abdul Rashid Soqr pula berkata :

“Ramadhan adalah noktah bergerak untuk menyokong gerakan Islam di dunia, memantapkan kefahaman al-Quran di dalam jiwa seorang muslim dan menyelamatkannya dari kegelinciran.”

Operasi tajmik perlu kepada inovasi dan kreativiti dari sudut pendekatan dan kurikulum supaya dapat memberikan impak dan natijah yang terbaik. Ini penting bagi memastikan organisasi berlaku perluasan bilangan ahli dan meningkatkan keahlian baharu sekaligus mengukuhkan kekuatan organisasi. Berhenti dari kerja-kerja men’tajmik’ manusia membawa malapetaka dan bahaya pada organisasi.Ia mengheret organissai berada dalam keadaan lemah sehingga membawa organisasi mati akibat kepupusan organisasi atau tiada peranan di dalam memimpin umat.

Kerja-kerja tajmik mendedahkan organisasi kepada keahlian baharu yang bersedia untuk terlibat dalam kancah perjuangan. Ia memanjang hayat dakwah dan organisasi,mampu menerjah ke hadapan, mengembangkan medan amal serta mampu mendepani ujian dan cabaran semasa dan mendatang.

Untuk itu dalam proses men’tajmik’ perlu ada proses menilai semula atau introspek terhadap teknik, kaedah, pendekatan juga kurikulum dari semasa ke semasa untuk terus memelihara keberkesanan kerja-kerja tajmik.

tajmikPembacaan yang meluas berkaitan seni-seni tajmik dan dakwah fardiyah penting bagi memantapkan teori-teori tajmik di samping tadrib yang berterusan dengan bimbingan coach yang berkemahiran. Kemahiran tajmik akan menjadi lebih tajam dan bermakna jika dibumikan dalam medan amal sekaligus menambahkan khazanah pengalaman.

Tulisan Syeikh Muhammad ar- Rasyid berkaitan ‘Funun Tajmik’ di dalam bukunya ‘al-Masar’ perlu dilumat dan dihadam oleh para aktivis dakwah, disulami dengan menguasai tajuk ‘fiqh istifa’ (seni memilih manusia). Manakala penulisan dakwah fardiyah dari tinta  Ustaz Mustafa Mahsyur, Syeikh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, Dr. Syed Nuh, Abdul Halim al-Kitani , Dr. Yusri Hani’, Ahmad Thohtawi  dan Ibrahim Dib harus dan wajib dijadikan sumber rujukan memahami fiqh ini. Kisah—kisah pengalaman tajmik dari penceritaan  ‘jalan untuk memikat hati manusia’ secara amali karya al-Marhum Syeikh Abbas As-Sisi hendaklah dikaji, dianalisasa dan dijadikan panduan praktis. Di samping menimba pengalaman dari para tokoh ilmu menguasai manusia.

Tidak lupa juga menambahkan ilmu berkaitan seni berinteraksi dengan manusia, seni berkomunikasi, seni menguasai hati manusia, seni pengucapan awam dari tokoh-tokoh yang berjaya dan hebat tentang ilmu menguasai dan memimpin manusia.

Terdapat beberapa saranan untuk menajamkan seni tajmik iaitu :

  1. Wujudkan bank pengkalan data dan analisis supaya maklumat berkaitan mereka yang berada di dalam takungan tepat atau akurat. Ini penting dengan dakwah yang terbuka luas menuntut sistem pendataan yang mantap bagi memudahkan proses follow up. Berkemungkinan mereka yang ingin menggabungkan diri ke dalam organisasi terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat seperti para pelajar, pegawai, kakitangan kerajaan, usahawan, pekerja kilang dan sebagainya. Perlu pengkalan data, menyusun dan mengklasifikan mereka mengikut julat umur, potensi, bidang pekerjaan, kebolehan bagi membantu organisasi menyusun mereka mengikut potensi yang dimiliki.
  2. Mulakan tajmik kepada yang paling hampir dan dekat dengan organisasi iaitu anak-anak ahli dan saudara mara atau rakan-rakan ahli. Ini penting kerana  bakal menjadi penggerak dan tokoh dakwah.Sebaik-baik dalil ialah bagaimana Rasulullah SAW memulakan dakwahnya kepada kaum kerabatnya. ( wa anzir ‘asyirataka wal aqrabin).
  3. Tumpuan kepada kelompok ‘syabab’ atau pemuda.Justeru kerana mereka adalah generasi kepimpinan masa depan yang bakal mencorak negara dan umat. Perlu tumpuan yang seluas-luasnya kepada tajmik Gen Y yang berada di alam persekolahan dan IPT dengan tajmik yang sistematik, inovatif, kreatif, energetik, menarik dengan pendekatan baharu dan segar lari dari kaedah-kaedah konvensional. Belajar memahami bahasa, pemikiran, budaya,sikap dan tingkahlaku Gen Y supaya aktiviti yang dirancang merangsang kelompok ini. Imam al-Bana menyedari hakikat ini dan memberikan tumpuan utama kepada anak-anak muda khususnya pelajar IPT ketika beliau memulakan misi tajmiknya. Tempatnya adalah di kafeteria-kafeteria di kota-kota besar seperti Ismailiyah, Kaherah dan sebagainya.
  4. Hilangkan persepsi negatif terhadap orang yang lari atau tidak menyambut seruan tajmik kita . Kita perlu terus menjaga hubungan dengan mereka dari semasa ke semasa serta mengharap kebaikan dari mereka. Barangkali mereka berguna kepada dakwah kita apabila mereka berada di posisi penting negara seperti pengarah-pengarah jabatan, ahli politik, tokoh-tokoh masyarakat dan sebagainya. Mungkin ada yang dapat menyumbang wang kepada kita, ada yang menjadi orang tengah untuk kita bertemu pihak lain, ada yang akan membela fitnah yang dilontarkan kepada kita atau ada dari kalangan mereka menjadi duta menceritakan kebaikan kita pada orang lain. Mencari musuh bukan pilihan strategik dalam seni tajmik.
  5. Kolabarasi dan sinergi semua pihak dalam menjayakan tajmik. Ada ahli yang membuka medan dakwah tajmik, ada ahli yang mengumpul data dan maklumat, ada yang bertaaruf dengan mad’u, ada yang menyampaikan pengisian, ada yang melakuakn follow up, ada yang merancang aktiviti susulan. Semua kemahiran dan potensi ahli yang pelbagai perlu digarap untuk melaksanakan kemenjadian ‘tajmik’ tanpa terpisah-pisah supaya tidak berlaku tuding menuding antara satu sama lain.
  6. Kepentingan mendokumentasikan pengalaman tajmik samada pengalaman interaksi, komunikasi, dakwah fardiyah dan sebagainya yang membantu mempercambah dan mencerakinkan seni tajmik. Dokumentasi ini penting untuk menilai, menambah baik dan panduan operasi tajmik. Ini adalah aspek yang selalu tidak diberikan perhatian di dalam amal tajmik sehingga mewujudkan jurang antara dua generasi.
  7. Keutamaan membina dan mengkader generasi dakwah yang mantap dari sudut haraki dan tarbawi. Generasi yang menguasai seni DF dan dakwah umum melalui pelatihan-pelatihan yang berterusan di dalam halaqah dan daurah. Kelemahan pada aspek ini akan merencatkan perkembangan organisasi di dalam melahirkan tokoh-tokoh umat serta merekrut kader-kader baharu.
  8. Membuka medan-medan tajmik yang baharu dengan pendekatan yang menarik yang tidak terhenti pada kelompok ‘geng-geng masjid’. Variasikan medan medan tajmik dengan melakuakn usaha ‘engagement’ dengan pelbagai lapisan masyarakat seperti di sekolah-sekolah, kelab-kelab, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, pelajar IPT, cafeteria-kafeteria supaya ruang interaksi dan memilih luas dan organisasi memerlukan semua manusia -manusia emas ini.
  9. Keprihatinan kepimpinan di dalam mengembangkan amal tajmik dengan membuat peta perancangan tajmik secara tersusun, menilai perkembangan kerja tajmik, membuat follow up berterusan melalui laporan-laporan yang lengkap dan akurat. Di samping itu pimpinan perlu memantau  pengkalan data keahlian menggunakan teknologi terkini terutama yang sudah bersedia menjadi ahli diikuti mengadakan siri-siri seminar, bengkel-bengkel, kuliah-kuliah bagi melahirkan kader-kader dakwah yang aktif dan proaktif serta mengembangkan amal di medan bersama-sama ahli-ahli baharu.

Asas-Asas di dalam melaksanakan kerja-kerja tajmik :

  1. Merasai kepentingan dan masuliyah tajmik sebagai salah satu menifestasi kefahaman dakwah. Merasai bahawa kerja-kerja tajmik adalah ciri tamayyuz yang ada dalam kefahaman dan fikrah dakwah  Imam al-Bana.
  2. Sentiasa  dan tidak jemu-jemu mengharapkan rahmat dan pertolongan Allah kerana Allah yang memberikan hidayah sedang kan kita hanya dituntut berusaha dan bekerja menunjukkan lorong-lorong hidayah.
  3. Meningkatkan kompetensi diri dalam pelbagai aspek dan kemahiran seperti kekuatan ilmu, kemampuan mempengaruhi, kemampuan mentransform dan mewaris fikrah, kemampuan mentarbiah,kemampuan merubah mad’u, kemampuan mengekstrak, mencipta dan mewariskan pengalaman.
  4. Sinergikan dengan rakan-rakan dakwah anda di dalam melakukan proses memilih, menguasai dan membina manusia.
  5. Mensinergikan ahli-ahli organisasi dengan ahli-ahli baharu iaitu antara da’ie dan mad’u.
  6. Terbuka dan mesra dengan semua lapisan masyarakat, berusaha mengadakan pelbagai jaringan dan jalinan dengan semua pihak.
  7. Mempelbagai dan menvariasikan amal umum agar amal umum menjadi produktif.
  8. Jangan lupa lakukan proses menapis dan memilih. (Istifa’ dan Intiqa’). Pilihlah yang diibaratkan sebagai emas, galian terbaik atau rahilah (unta merah).
  9. Mulakan seni tajmik dengan mengambil kira aspek berikut :
  • Yang tawadhuk dari yang sombong
  • Yang menjaga lidah dari yang kecoh
  • Yang berani dari yang penakut
  • Yang pemurah dari kedekut
  • Yang  kosong dari yang sibuk
  • Yang dekat dari yang jauh
  • Yang berpenampilan baik dari yang buruk.
  • Yang  bergaul dari yang menyendiri
  • Yang muda dari yang tua.

10. Dalam ‘tajmik’ tinggalkan manusia yang ada sifat-sifat kedekut,ikut hawa nafsu, kagum dengan pendapat sendiri serta yang suka berbohong.Jenis ini tidak sesuai berada di dalam organisasi.

11. Menerobos dan melakukan  ‘engagement’  aktif dengan semua institusi –institusi masyarakat sebagai tempat penyebaran dakwah.

13. Belajar seni khitab (penalaan) dengan manusia,seni pengucapaan awam supaya mesej dakwah sampai ke setiap lapisan masyarakat.

14. Manusia-manusia pentajmik adalah manusia yang mahir bersosial,terbuka,mudah mesra, berpengaruh, mampu mengembangkan potensi diri, bersemangat,proaktif dan aktif.

15. Semakin besar ruang tajmik semakin besar ruang cabaran. Ini menuntut usaha yang berterusan,mengupayakan segala jentera pengislahan di dalam masyarakat sehingga mencipta suasana kebaikan di dalam umat.

16. Kejayaan di dalam amal ‘tajmik’ bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan berpegang kepada  cara-cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui sunnah –sunnahnya.

tajmik

“Pelajar-pelajar baharu dah mula daftar ke matrik..erm tak tahu macam mana nak mula..”

“ Ana kalau buat program umum..ana boleh..tapi bab tajmik mentajmik ni susah sikit…”

“Tajmik mat-mat surau ni senang la sikit tapi kalau nak tajmik geng-geng sukan ni blur…”

Itu adalah keluhan-keluhan atau karenah-karenah dalam mentajmik. Tajmik atau mengumpul manusia dan menarik mereka kepada islam adalah istilah yang cukup klise bagi anak-anak muda dakwah yang bersemangat dan beridealisme. Dalam uruf dakwah tajmik bermaksud berinteraksi dengan semua manusia dan menarik mereka kepada seruan dakwah. Secara tidak langsung manusia-manusia tadi tertarik lalu beriman seterusnya mereka menjadi kader-kader dakwah yang memenuhi keperluan dakwah. Ketidakmampuan untuk berinteraksi dengan manusia dan menarik mereka kepada seruan dakwah adalah bukti kelemahan tajmik.

Terdapat beberapa simtom yang boleh dijadikan kayu ukur kelemahan tajmik.

  1. Tidak bertambah bilangan mad’u atau kader dakwah. Kalau pun ada ia berlaku dalam skala kecil meskipun program-program umum yang berlambak.
  2. Dakwah gagal berperanan dan berfungsi di dalam program-program umum masyarakat.Masyarakat tidak merasai kehadiran dakwah dan mengesani fikrah dakwah tersebut. Impak du’at kepada umat tidak dikesani.
  3. Kegagalan organisasi dakwah di dalam memimpin gerakan massa seperti kesatuan pelajar, kesatuan sekerja, institusi social dan sebagainya.
  4. Kewujudan kelompok para du’at yang kekal di dalam institusi tertentu tanpa berlaku  aliran perubahan kepimpinan disebabkan ketiadaan generasi baharu dakwah.

Sebab-sebab berlaku kelemahan  tajmik bolehlah dikatogerikan kepada beberapa faktor iaitu:

Pertamanya faktor organisasi :

Organisasi yang terlalu lama berada di fasa tertutup atau ta’sis dan terlalu berhati-hati untuk menjaga ke’asolahan’ tarbiyah menjadikan organisasi kekok di dalam berinterkasi dengan masyarakat. Bahkan tempoh panjang di dalam bentuk gaya tarbawi dan isolisasi di dalam masyarakat menjadikan ia gerakan dakwah yang terasing dan menyendiri.Orientasi organisasi yang memberatkan program-program dalaman tanpa diimbangi dengan amal-amal umum menjadikan organisasi lemah seni tajmik. Begitu juga organisasi yang tidak terdedah kepada usaha ‘engagement’ dengan pelbagai kelompok lapisan masyarakat menjadikan organisasi tersebut kaku bahkan nampak janggal di mata masyarakat.

Tekanan pemerintah terhadap organisasi juga menyumbang kepada kemahiran tajmik apatah lagi jika ia berlaku di negara-negara diktator. Di samping itu kegagalan gerakan islam memanfaatkan ruang terbuka di dalam negara demokrasi sesuai dengan usia perkembangan marhalah jamaah.

Keduanya faktor individu

Individu yang membesar dalam suasana tidak bergaul dengan masyarakat seperti jiran, rakan dan manusia sekitarnya menjadikan sukar berinteraksi. Dia menjadi manusia introvert. Berkemungkinan juga trauma kegagalan pergaulan dengan insan lain sewaktu kecil membawa perasaan takut untuk bergaul dengan insan lain. Cara pembesaran dan pembelajaran sejak kecil dalam suasana kelompok yang terhad menjadikan da’ie tadi hilang kemahiran pergaulan dan lebih melakukan kerja secara bersendirian. Ada juga ibu bapa yang menghalang anak-anak dari bergaul dengan kelompok lain kerana dibimbangi terikut-ikut atau terjebak di dalam masalah social.

Ketiga faktor suasana

Trauma kegagalan para du’at di dalam mentajmik menjadikan ia satu pengalaman pahit. Da’ie takut untuk menempuh suasana sebegitu. Jamaah pula gagal merangsang suasana tajmik dengan mewujudkan bi’ah merasai kepentingan tajmik disebabkan kesibukan dalam amal-amal siasi secara berlebihan. Wujud du’at yang mengambil jalan mudah dengan memahami tajmik melalui medium maya tanpa wujud interaksi secara langsung dengan kelompok manusia.

Manakala suasana maksiat dan kelalaian yang ada pada da’ie menjadikan dia seorang yang malas berdakwah dan membunuh semangat tajmik. Tambahan pula suasana ahli-ahli yang tidak membantu da’ie tadi dalam usaha tajmik menjadikannya rasa berat untuk memikulnya. Secara tidak langsung keadaan ini menjadikannya mudah kecewa, penat dan menuntut kerehatan dari beramal.

Solusi

Solusi kepada permasalahan lemah tajmik boleh diatasi dengan cara berikut:

Latihan

Berikan latihan-latihan yang dapat membantu meningkatkan seni berinteraksi dengan orang lain seperti latihan pengucapan awam. Latihan memberikan ucapan boleh dilakukan seperti berikut :

  1. Bercakap kepada orang perseorangan terutama ahli keluarga atau kaum kerabat atau rakan-rakan tentang sesuatu isu atau agenda dalam tempoh lima minit setiap  sekali seminggu .
  2. Berbicara di hadapan dua orang atau khalayak yang lebih ramai seperti berpidato, berceramah, bertazkirah dan sebagainya.
  3. Menyampaikan buah fikiran secara ringkas di hadapan kelompok kecil dan meminta mereka memberikan respon ucapan tersebut..
  4. Belajar bertazkirah di majlis-majlis umum dalam tempoh lima minit seperti di masjid- masjid, surau-surau, bilik –bilik kuliah, pejabat-pejabat dan program-program umum selepas rekreasi, beriadah dan sebagainya.

Proses Ta’aruf

Berusaha berkenalan dan meningkatkan pergaulan dengan orang yang disekitar anda yang terdiri dari rakan masjid, rakan sekampong, rakan setaman, rakan sekerja , jiran-jiran dan sebagainya. Ini dilakukan dengan cara-cara berikut :

  1. Catat nama-nama, nama Hp, nama email di dalam diari anda. Wujudkan group-group Whatts Aps atau Telegram atau emailgroup untuk terus bertaaruf dan berinteraksi serta menyampaikan fikrah.
  2. Saling ziarah menziarahi atau menagajak mereka ke rumah sempena tertentu seperti walimatul urus, majlis akikah dan tahnik, sambutan raya dan sebagainya.
  3. Sentiasa berhubung dengan mereka jika berlaku kematian, kehilangan, sakit dan menyertai majlis-majlis keraian.
  4. Mengadakan lawatan-lawatan ke institusi penting masyarakat seperti menziarahi imam, penghulu, ketua kampong, balai raya dan sebagainya.
  5. Mengambil manfaat dan pengalaman dari mereka yang mahir dalam bidang tajmik dalam bentuk yang praktikal terutama ketika mereka berada di posisi institusi tajmik.
  6. Menghargai manusia yang berada disekeliling anda yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Berilah perhatian dan berusaha menyelesaikan masalah. Sebagai pelajar pula cuba mengatasi pelajar-pelajar yang baharu mendaftar masuk dengan bertindak sebagai JK Minggu Orientasi  Pelajar Baharu.
  7. Senyum dan terus senyum kerana dengan senyum membuka pintu interaksi anda dengan orang lain. Ia memudahkan anda didekati dan mendekati orang lain.
  8. Ucapkanlah ungkapan yang baik dan menunjukkan rasa cinta kepada orang lain. Dakwah adalah kuasa cinta dan dengan cinta kita membuka pintu hati manusia kepada dakwah. Sentiasa membela pelajar yang teraniaya dan dizalimi, menyelesaikan keperluan dan hajatnya di samping bersikap rendah diri dan tidak sombong.

Melakukan Intiqo

Satu aspek yang penting di dalam tajmik yang selalu ditinggalkan oleh para du’at ialah intiqo’. Intiqo’ di sini bermaksud proses memilih ‘rahilah’ [unta-unta merah] untuk dijadikan kader-kader dakwah atau aktuvis dakwah kampus. Proses pemilihan ini tidak terhad kepada adik beradik atau kaum kerabat tetapi harus merentasi rakan-rakan pelajar, rakan-rakan kerja, jiran-jiran sehingga mewujudkan hubungan intim. Hubungan intim ini dilakukan secara proses Robtul ‘Aam dan Dakwah Fardiyah setelah berlaku tawasul ijtimaie.

Pastikan proses pemilihan mengikut keutamaan iaitu bukan dari mereka yang sedang berkelana, yang anti agama, sibuk dengan perniagaan atau masih di usia kecil. Utamakan mereka yang boleh berfikir, yang masih kosong, berintelek, yang dekat dengan da’ie, yang tawaduk, yang ada pengaruh dan sebagainya.

Kepada kelompok ini, dibina hubungan yang intim,lalu mengajak mereka ke program-program umum seperti ceramah-ceramah, seminar-seminar,ekspo-ekspo,aktiviti riadah dan sebagainya. Seterusnya mengumpul mereka dalam program-program khusus yang menarik minat mereka serta bersabar jika mereka tidak hadir atau beralasan, sentiasa mendampingi mereka selalu dan melantik seorang ketua bagi memantau perkembangan  dan menilai mereka untuk diikta di dalam organisasi.

Memanfaatkan potensi ahli

Organisasi perlu membahagikan ahli-ahli mengikut kecenderungan dan minat ahli seperti ada yang bekerja di bidang kebajikan, bidang dakwah umum, bidang sukan, bidang agensi, bidang kebudayaan dan sebagainya. Organisasi perlu memanfaatkan potensi ahli tersebut agar dapat memberika pulangan faedah kepada oragnisasi di dalam mentajmik manusia. Jika tidak berlaku pengangguran amal tajmik.

Tajmik pelajar IPT

Bagi menggerakkan amal tajmik IPT beberapa saranan berikut :

  1. Mewujudkan platform dakwah aktivis kampus diperingkat universiti, matrik-matrik dan kolej-kolej.
  2. Melakukan ‘engagement’ dengan organisasi-organisasi pelajar lain dalam bentuk kerjasama, perkongsian bagi menyemarakkan suasana dakwah.
  3. Melahirkan tokoh-tokoh du’at kampus di organisasi-organisasi badan pelajar bagi membawa citra Islam.
  4. Mempelbagai dan menvariasikan takungan amal tullab agar dapat menampung kelompok manusia yang pelbagai untuk manfaat dakwah.
  5. Kreatif dan inovatif memanfaatkan teknologi terkini di dalam penyebaran dakwah menggunakan perisian grafik, akses internet, smartphone, gajet dan sebagainya. Ruang dakwah maya dimanfaatkan seperti facebook, twitters, blogs, websites dan sebagainya.
  6. Membuat rekod data tajmik pelajar  dan melakukan tindakan susulan seperti follow up dan DF secara terancang dan sistematik.
  7. Memberika pelatihan seni tajmik dan mempengaruhi manusia secara berterusan. Pelajar-pelajar diberikan motivasi dakwah dan tajmik agar terus merangsang mereka untuk beramal di medan tullab.
  8. Menimba pengalaman dari tokoh-tokoh tajmik berpengalaman agar spirit tajmik tidak mati dan proses regeneration berkesinambungan.

Tarbiyah

Soalan 1: Apa itu tarbiyah?

Secara makro, tarbiyah itu kita namakan ia sebagai ‘pendidikan’. Ia diambil daripada kata akar ‘rabba yurobbi, tarbiyatan’ yang bermaksud mendidik, menjaga, menumbuh, memelihara dan mengembang. Ia adalah satu proses penjagaan dan pemeliharan fitrah manusia sehingga mencapai takat kesempurnaan. Sebagaimana kata Syeikh Khalid Ahmad as-Syantuh “Tarbiyah adalah metod perubahan yang bersifat fundamental, ia merubah manusia dari akar-akarnya’. Dalam erti kata lain ia adalah proses yang berterusan untuk membina dan mengembangkan potensi manusia untuk melaksanakan fungsi terasnya sebagai ‘ibadullah’ [hamba allah] dan ‘khalifatullah’ [khalifah] yang melaksanakan tugas istikhlaf dan isti’mar dunia.

Dalam konteks yang lebih mikro, berdasarkan pandangan para ulama’ tarbiyah, tarbiyah adalah cara yang paling ideal berinteraksi dengan fitrah manusia baik secara langsung melalui perkataan atau tidak secara langsung melalui keteladanan berdasarkan manhaj dan wasilah tertentu untuk mencipta perubahan dalam diri manusia ke arah kondisi yang lebih baik. Al-Marhum Syeikh Dr. Ali Abdul Halim di dalam bukunya ‘Fi Takhtit Tarbawi’ menambah lagi bahawa tarbiyah  bukan sekadar membawa manusia menuju kepada semakin baik tetapi menyiapkan mereka menjadi kader, penggerak atau rijal kepada gerakan Islam.

Dengan erti kata yang ringkas, tarbiyah adalah satu proses yang bersifat teras, syumul, berkesinambungan dan komprehensif. Proses membina ruhiy, fikriy, imaniy, jasadiy dan jihadiy bagi menyiapkan angkatan rijal umat. Tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya adalah bermula dengan tarbiyah.

Soalan 2: Di manakah ISMA melihat kedudukan dan kepentingan tarbiyah dalam organisasi ISMA sendiri? Di tahap manakah ISMA meletakkan tarbiyah sebagai prioriti?

ISMA melihat tarbiyah sebagai wahana terbaik kepada perubahan umat dan negara. Di sisi ISMA, tarbiyah menjadi induk kepada ‘taghyir kulli’ yang ingin dibawa dalam kerangka perubahan masyarakat di Malaysia.

Dalam konteks organisasi ISMA, tarbiyah adalah ruh, enjin dan nadi perjuangan ISMA. Sebab itu, mana-mana ahli yang ingin terlibat di dalam perjuangan ISMA sebagai ahli Umum U2, mereka disyaratkan bersedia melalui proses pentarbiyahan  ISMA.

Keutamaan program-program tarbiyah amat-amatlah ditekankan. Semua ahli dipastikan wajib hadir ke setiap wasilah tarbiyah tanpa pengecualian samada pimpinan atau ahli. Justeru segala program dan aktiviti yang dirancang mestilah ke arah mencapai muwasofat tarbawi ISMA tanpa ada kompromi. Program-program tarbiyah hendaklah diberikan keutamaan sebagai program ‘first class’ dibandingkan program-program lain. Ini bukan menidakkan program lain tetapi lebih memastikan ‘asolah fikrah dan harokah’ terpelihara dan terjaga. Aspek disiplin dan iltizam sentiasa diperingatkan di dalam taujih-taujih tarbawi agar semua ahli merasakan tarbiyah adalah satu prioriti bahkan induk dan jantung kepada jamaah ISMA.

Soalan 3: Sesetengah orang memahami tarbiyah dalam konteks yang terhad, iaitu berserban, berzikir, membaca al-Quran dan beriktikaf di masjid. Bagaimanakah kefahaman yang sebenar tentang tarbiyah? 

Sebagaimana yang disebut di awal perbincangan, tarbiyah yang ingin dibawa oleh kita, ISMA bersifat syumul, komprehentif dan bersepadu. Tasawwur tarbiyah yang kita fahami adalah seluas tasawwur Islam itu sendiri. Ini disebut di dalam al-Quran di ayat 208 , surah al-Baqarah yang bermaksud :

‘Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu semuanya sekali.”

As-Syahid Imam Al-Banna yang diiktiraf sebagai Mujaddid Dakwah abad ini menjelaskan bahawa hakikat dakwah Islam yang ingin dibawa Ikhwan ialah Islam yang syumul dengan sepenuh pengertiannya. [islamiyah bi kulli ma’aaniha].

Dalam ungkatan lain, Al-Bana menyebut ” Islam nizomul syamil yatanawalu mazohiral hayat ” [Islam adalah satu sistem hidup yang merangkumi seluruh dimensi kehidupan].

Sebab itu fikrah ISMA menolak konsep tajzi’ah [menjuzuk-juzuk], konsep tarqi’ [tempelan-tempelan]. Tarbiyah dalam tasawwur yang betul mesti bersifat syumul, holistik, komprehensif dan tawazun [seimbang]. Tarbiyah yang merangkumi aspek ruhi, aspek fikri, aspek atifi dan aspek jasadi. Dalam mafhum yang lain dia memenuhi cirri muwasofat sepuluh yang digariskan oleh Imam al-Bana iaitu kuat tubuh badan, bersih akidah, betul ibadah, mantap akhlak, mampu berdikari,berpengetahuan luas,berjihad melawan hawa nafsu, menjaga masa, tersusun urusan dan bermanfaat untuk orang lain.

Soalan 4: Apakah bentuk tarbiyyah dan dakwah yang digerakkan oleh ISMA? Mohon ustaz huraikan.

Dalam konteks ISMA tarbiyah dan dakwah yang digerakkan ISMA ada dua bentuk. Satu yang bersifat umum [tarbiyah ‘ammah] dan satu lagi bersifat khusus [tarbiyah khossah]. Kalau dalam bahasa haraki kita sebut ‘tarbiyah jamahiriyyah’ dan satu lagi ‘tarbiyah nukhbawiyah’.

Tarbiyah jamahiriyah ialah tarbiyah kepada massa, kepada masyarakat. Ini dilakukan melalui agensi-agensi ISMA seperti Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM), Kelab Remaja ISMA (KRIM), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Yayasan Ikhlas, I-Guru dan sebagainya. Begitu juga peranan biro-biro yang bertindak secara langsung di dalam mendidik kefahaman dan kesedaran Islam kepada masyarakat seperti Biro Politik, Biro Dakwah, Biro Wanita, Biro Media dan Biro Pembangunan Keluarga.

Pelbagai aktiviti dan program di dalam pelbagai pakej yang dilaksanakan oleh agensi dan biro ini lebih kepada memberi kesedaran [taui’yah] terhadap konsep Islam yang syumul di samping membentuk jati diri seorang muslim. Melalui ceramah, kursus, kempen-kempen selamatkan ummah, perkhemahan, qiamulail bersama masyarakat, riadah Ahad dan lain-lain lagi. Ia adalah satu pakej tarbiyah ISMA kepada masyarakat. Dalam bahasa mudah, tarbiyah di tahap ini ialah membentuk tasawwur yang sohih terhadap Islam, pemahaman konsep Wala’ dan Barra’, mendedahkan agenda musuh Islam serta kesedaran membangunkan jati diri sebagai seorang muslim.

Manakala tarbiyah nukhbawiyah pula ialah tarbiyah yang bersifat lebih internal. Ia adalah pakej tarbiyah untuk melahirkan pelapis dan penggerak harakah. Orientasi tarbiyah ini lebih bermanhaj, mengambil kira fasa dan mustawa sesuai dengan keahlian ahli ISMA.

Antara wasilah tarbiyah ini seperti usrah, daurah, mukhayyam, mabit atau katibah, nadwah, rehlah dan jaulah. Di tahap ini ISMA menekankan kepada ahli kepentingan memiliki tarbiyah zatiah di dalam membina diri sebagai rijalul dakwah dan rijalul harokah.

Soalan 5: Apakah perbezaan tarbiyah ISMA dengan tarbiyah kumpulan lain?

Kita tidak dapat mengukur perbezaan antara tarbiyah jamaah-jamaah tadi melainkan jika ada satu standard penilaian dan instrument pengukuran. Semua jamaah ada bentuk dan cara tarbiyah tersendiri. Kita meraikan kepelbagaian dan perbezaan tersebut.

Bagi ISMA kita melihat tarbiyah berasaskan kepada tiga elemen iaitu :

  1.  Asas tarbiyah
  2.  Objektif atau matlamat tarbiyah
  3.  Manhaj  at-tarbiyah

Asas tarbiyah kita adalah ‘ta’sil syarie’ iaitu penggalian dari asas-asas syarak. Segala-galanya terikat dengan dhawabit (prinsip) syarak. Objektif tarbiyah kita mestilah menuju kepada mencapai keredhaan Allah di akhirat dan memastikan Islam tertegak di muka bumi sebagai satu sistem hidup [hakimiyah lillah]. Manakala manhaj pula ialah kaedah-kaedah atau proses melaksanakan tarbiyah tersebut. Bagi kita manhaj tarbiyah merujuk kepada manhaj ar-rasul, manhaj as-Sohabah, manhaj salafussolih yang ditajdidkan oleh Imam al-Banna.

Perbezaan mungkin terjadi dari tiga dimensi ini dan membawa kepada perbezaan pendekatan. Mungkin sesebuah parti politik Islam mempunyai sistem tarbiyah, namun sebagai parti politik ia meletakkan agenda siasi terkedepan berbanding agenda tarbiyah untuk memastikan pertarungan hidup mati survival perjuangannya di Malaysia.

Soalan 6: “Dalam kita menghadapi pelbagai isu yang melanda umat Islam kini, dakwah dan tarbiyah adalah penting dalam usaha melahirkan muslim yang mempunyai peribadi yang mantap”. Apa komen ustaz tentang pernyataan ini?

Semua pihak mesti sedar dan peka terhadap isu yang melanda umat Islam. Isu atau qadhiah kubra kita ialah ‘ketiadaan khilafah’. Apabila tiada khilafah maka muncul gerakan riddah (murtad) dalam bentuk baharu yang mengancam jati diri ummah. Riddah versi modern dengan jenama yang pelbagai. Ada nama sekularisme, ada nama liberalisme, ada nama humanisme, ada nama pluralisme. Jenama-jenama ini pula berlindung di sebalik NGO-NGO, parti-parti politik, badan-badan hak asasi dan individu-individu tertentu dengan sumbangan dana  yang besar dari luar.

Mereka ini bukan sahaja dibiayai bahkan direkrut untuk memasarkan pemikiran dan idea-idea basi ini kepada umat Islam. Siapa tak kenal Jaringan Islam Liberal, siapa tak kenal Sisters In Islam (SIS), siapa tak kenal Islamic Renaissance Front (IRF), semua jenama ini berlindung atas nama Islam untuk mengelabui mata umat Islam. Kita hendaklah sedar dan bangkit menjelas dan membongkar kepalsuan mereka. Ini satu bentuk hegemoni Barat-Yahudi Imperialis untuk menguasai dunia dan umat Islam.

Tiada jalan lain untuk berdepan cabaran ini melainkan jati diri umat dikuatkan semula dengan tarbiyah dan dakwah. Gerakan Islam perlu memperhebatkan agenda dakwah umat dan tarbiyah generasi. Tumpukan kepada membina kekuatan umat Islam tatkala musuh-musuh Islam bersatu. Kalau tidak, akan berlaku pencairan [tamaiyyu’] dan  peleburan identiti umat. [izabah shaksiyah ummah]

Justeru menyiapkan peribadi muslim unggul [syaksiah muslimah mutamaiyizah] adalah satu yang dharuri (sangat penting) bahkan ia adalah batu-bata pertama dalam menuju ustaziyatul alam. [mahaguru dunia]. Sebagaimana kata Imam Malik:

“Umat ini tidak akan mampu dibaiki melainkan mengambil jalan yang telah ditempuh oleh generasi terdahulu.”

Ya, kembali kepada manhaj ar-rasul, manhaj as-sohabah dan manhaj salafussolih, insya Allah akan terbina peribadi muslim yang mantap.

Ustaz Mohd Azizee Hasan
AJK Biro Tarbiyah ISMA

http://www.ismaweb.net/2014/05/tarbiyah-induk-perubahan-menyeluruh-masyarakat-dan-negara/