Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Jun 2011

Seorang pendakwah itu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut perintah Allah Taala. Tugas dakwah ini lebih mulia dan amat payah jika dibandingkan dengan jawatan lain di dunia. Tiada satu jawatanpun atas muka bumi ini yang terpikul segala bebanan dan kesusahan melainkan dakwah. Dakwah itu bukan sahaja menuntut pengorbanan jiwa dan harta, bahkan terpaksa berjauhan dengan keluarga dan negara. Ia tidak mampu dibalas dengan dunia.

Para anbiya’ berpegang teguh dengan prinsip ini sepertimana kata mereka dalam Surah al-Ana`am: Ayat 90.

Maksudnya: Aku tidak meminta imbalan kepadamu dalam menyampaikan (al-Quran).

Rasulullah s.a.w diperintahkan supaya beriltizam dengan manhaj ini. Ketika penduduk Mekah menolak dakwah Nabi s.a.w, turun ayat bertanyakan sebab penolakan mereka sepertimana firman Allah dalam Surah al-Tur: Ayat 40 yang bermaksud :

Maksudnya: Ataukah engkau (Muhammad) meminta imbalan kepada mereka sehingga mereka dibebani hutang?

Ketahuilah bahawa seseorang yang mencari habuan dunia tidak akan melakukan sesuatu perkara melainkan untuk memperoleh ganjaran dan habuan dunia. Demikianlah kisah tukang sihir dengan Nabi Musa di mana jelas terbukti ketika mana mereka berkata kepada Firaun di dalam Surah al-Su`ara’: Ayat 42 :

Maksudnya: “Apakah kami benar-benar akan mendapat imbalan yang besar jika kami menang?”

Kemudian Firaun membenarkan mereka dengan katanya :

Maksudnya: “Ya, dan bahkan kamu pasti akan mendapat kedudukan yang dekat (kepadaku)”.

Setelah iman terpahat dalam jiwa dan sanubari mereka, mereka tidak meninggalkan untuk mendapatkan ganjaran bahkan kata mereka kepadanya :

Maksudnya: Maka putuskanlah yang hendak engkau putuskan. Sesungguhnya engkau hanya dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini.  (Surah Toha : ayat 72)

Bentuk-bentuk habuan atau ganjaran yang perlu dijauhi oleh dai`e.

Habuan atau ganjaran ini bukan semata-mata berkisar berkaitan harta bahkan ia merangkumi setiap manafaat yang diterima hasil daripada dakwah. Sayugia seorang pendakwah tidak ternanti-nanti atau mengharapkan ucapan penghargaan atau terkenal.

Terdapat beberapa faedah dan hukum berkaitan tidak menuntut ganjaran ini:

Pertama: Sesetengah manusia beranggapan bahawa seseorang pendakwah itu memang telah ditentukan bahawa dakwah yang dijalankan tersebut menghubungkannya dengan rezeki dan harta. Barangkali seseorang pendakwah itu bertujuan untuk mengalihkan pandangan manusia supaya mereka mendapat manfaat daripada dakwah yang disampaikan terutama sekali sebahagian besar para daie terdiri daripada orang yang miskin.

Allah Ta`ala berfirman dalam Surah Hud: Ayat 29

Maksudnya: Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta harta kepada kamu (sebagai imbalan) atas seruanku. Imbalanku hanyalah dari Allah

Imam al-Razi berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa seolah-olah Nabi s.a.w berkata kepada mereka: “Sesungguhnya jika kamu semua mengharapkan sesuatu yang zahir dan pasti maka ketahuilah bahwa kamu akan mendapatiku miskin, dan jika kamu menyangka kesibukanku menyampaikan dakwah ini untuk mendapatkan harta-harta kamu sekalian, maka yakinlah bahawa sangkaan kamu itu salah, sesungguhnya aku tidak menyampaikan risalah ini untuk mendapatkan sebarang ganjaran.

Kedua: Kecenderungan bangsa dalam hal ini akan menjadikan mereka seperti ahli silap mata dan dajjal yang menghubungkan agama untuk mendapatkan dunia dan kelazatannya. Ketahuilah bahwa dakwah itu tulen dan asli yang tidak menuntut pengamalnya mengharapkan apa jua ganjaran dunia atas apa yang dilakukannya.

Ketiga: Setiap amalan yang didasari dengan sesuatu ganjaran kadang-kadang mengundang kekurangan dan kecacatan. Pengamalnya akan melaksanakannya mengikut jumlah ganjaran yang akan diperolehinya sedangkan agama Allah yang mulia ini tidak dihubungkan dengan ganjaran dunia tersebut tetapi ia mesti bertunjangkan keikhlasan.

Keempat: Sesuatu amalan yang ada ganjaran dunia sebenarnya terkesan dengan pemberi ganjaran. Keinginan untuk memberikan apa jua ganjaran bersandarkan amal yang dikerjakan. Oleh kerana itu ramai di kalangan manusia apabila berhadapan dengan tekanan untuk mendapatkan habuan dunia sanggup mengubah atau meminda semata-mata untuk mengejarknya sedangkan para nabi dan daie yang soleh tetap teguh dan thabat atas petunjuk dan jalan dakwah yang tetap tanpa berubah.

Kelima: Seandainya seseorang pendakwah itu dikenali oleh masyarakat sebagai orang yang tidak mengharapkan ganjaran dunia maka ianya membuktikan kebenaran pendakwah dan mampu menarik manusia atas dakwah yang dijalankan tersebut. Oleh sebab itu, dakwah Nabi s.a.w cukup memberi kesan yang mendalam kepada pengikutnya.

Imam al-Hasan al-Basri berkata:  “Kemuliaan kamu di sisi manusia akan kekal selama mana kamu tidak berhajatkan sesuatupun pada mereka, jika kamu melakukannya maka ketahuilah mereka akan merendahkan kamu, benci apa yang kamu sampaikan bahkan memusuhimu.”

Daripada tanda seorang pendakwah itu tidak berhajat atau mengharapkan kekayaan dari imbalan manusia ialah dia memiliki hasil pendapatan sendiri sama ada melalui perniagaan, pertanian, bekerja sendiri atau pertukangan. Ayyub As-Sakhtayani berkata kepada teman-temannya : “ sentiasalah kamu di pasar  (untuk tujuan berniaga) kerana sesungguhnya orang yang sihat itu bila  memiliki kekayaan(cukup rezeki)”.

Para sahabat Rasulullah SAW dan salafussoleh amat-amat tidak memerlukan  bantuan dan imbalan dari manusia. Ini kerana, mereka sudah ada sumber rezeki sendiri dan sentiasa bersifat dengan sifat Qanaah (berpada dengan pemberian allah). Tetapi sumber rezeki yang ada pada ada sang da’ie tadi tidak membawa kepada sifat tamak atau menghabiskan sisa-sisa umur untuk mengumpul harta dan kekayaan.

Kadang-kadang seorang daie itu mudah diterima oleh masyarakat sehinggakan terpancar kasih dan sayang mereka kepadanya melalui pemberian, hubungan yang erat, memberi bantuan mahupun perkhidmatan serta menerima ajakannya. Seorang daie yang leka dengan menerima habuan ini boleh jadi akan mengaibkan dakwahnya di sisi masyarakat, bahkan ia boleh menyebabkan perjalanan dakwahnya terjejas dan mengundang fitnah terhadap keperibadiannya. Maka jadilah pendakwah tadi buruk cara dan tercela perjalanan hidupnya.

Para da’ie yang jujur dan benar di jalan dakwah, akan sentiasa menyumbang bukan mengharap imbalan. Mereka adalah yang paling banyak memberi dan memiliki jiwa yang besar serta mempunyai maruah (harga diri). Maruah atau harga diri ini merupakan salah satu ciri-ciri syaksiah islamiah  dan inti keseqahan manusia  pada seorang da’ie.

Imam Mawardi menyatakan : “ Maruah adalah perhiasan diri dan  al-himmah (keazaman dan cita-cita tinggi)”.  Sifat ‘al-muruah’ ( menjaga harga diri) tidak akan ada melainkan jika ada sifat ‘iffah, kesucian dan memelihara diri. Sifat ‘iffah ialah dengan menjauhi perkara yang haram dan dosa, manakala  sifat suci bersih pula dengan menjauhi ketamakan diri dan terlibat dalam perkara yang meragukan sedangkan sifat memelihara diri  ialah dengan menjaga diri dari memikul (mengharap) ganjaran atau pemberian dari manusia serta membebaskan diri dari  meminta pertolongan dengan makhluk.

Kata Imam Mawardi : “ Orang yang berhajat atau berharap sesuatu dari manusia lain, setiap dari mereka dianiaya haknya, mendapat kehinaan dan menjadi bebanan pada orang lain.”

Adapun jika seorang daie itu mengajar, menjadi imam atau menyampaikan khutbah dan dia memperolehi pendapatan dari kerja tersebut, maka ia dibenarkan syarak untuk mendapatkan imbuhannya atas sebab pekerjaan atau profesion tadi. Termasuk juga dalam urusan tanggungjawab kepimpinan umum(contohnya sebagai pegawai @ penjawat awam kerajaan atau mana-mana institusi dan jabatan) dan memegang jawatan perundangan (seperti bekerja sebagai hakim, kadi, peguam) atau yang sepertinya, maka pendakwah tadi berhak mendapat ganjaran dari kerja(profesion) tersebut dan tidak dicela.

Read Full Post »

 


Ikhwani fillah…

Alhamdulillah, segala puja dan puji kita hadapkan pada allah atas limpahan nikmatnya yang tidak terhingga ke atas kita. Marilah kita berterusan memuji allah, marilah kita sentiasa hadirkan jiwa kita untuk sentiasa bertaqarrub kepada allah dengan melipat gandakan amal-amal kita, melipat gandakan jihad dan tazhiyah (pengorbanan)  kita agar kita terus thabat di atas jalannya. Jalan dakwah, jalan tarbiyah dan jalan para nabi-nabi, para auliya’, para solihin dan siddiqin.

Akhi fillah..

Al-Quran di sisi kita adalah kitab dakwah wa tarbiyah. Kitab yang mengandungi pelbagai kisah untuk dijadikan ‘ibrah dalam perjalanan yang panjang ini agar kita tidak gugur dan terhenti dek kerana panas dan hujannya ritma lautan dakwah ini.

Kisah-kisah yang dipapar dan ditayangkan di dalam al-Quran adalah untuk berterusan memberikan motivasi, spirit dan semangat daya juang yang kental buat parajurit dakwah agar terbina militansi sebagai kader dakwah, dai’e, murobbi, naqib dan qiyadah.

Antara kisah menarik yang dilayarkan di dalam al-Quran adalah kisah Burung Hud-Hud dan Nabi Sulaiman. Kisah Sang Burung yang melakukan kerja dakwah dengan penuh Ijabiyah (positif) tanpa menanti arahan Qiyadah. Sikap proaktif yang ditunjukkan oleh Hud-Hud membuka lembaran amal baru dakwah sehingga umat baru itu menerima hidayah dan memeluk Islam.

Allah merakamkan di dalam al-Quran pada ayat 20-23 Surah An-Naml yang bermaksud :

Dan dia ( Nabi Sulaiman) memeriksa burung-burung lalu berkata : “ Mengapa aku tidak melihat Hud-Hud, apakah dia termasuk dari kalangan yang tidak hadir. Sudah pasti akan ku menyiksanya dengan siksaan yang amat pedih atau aku akan menyembelihnya kecuali ia datang kepadaku dengan alasan yang terang dan nyata”. Maka selang beberapa ketika, datanglah burung Hud-Hud lalu ia berkata . “ aku telah mengetahui apa yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawakan kepada kamu dari Saba’ satu berita  penting dan diyakini. Sesungguhnya akau mendapati seorang wanita yang memerintah mereka dan dia dianugerahkan dengan segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar..”.

Ikhwati fillah..

Dalam kisah ini, kita melihat bagaimana Hud-Hud yang terlewat untuk hadir di majlis pertemuaan dengan Nabi Sulaiaman a.s. Keterlambatan Hud-Hud menghadiri pertemuan ini dengan satu i’tizar (alasan) yang munasabah, bahkan memberikan informasi baru yang bermakna pada amal dakwah.

Tindakan Hud-Hud bukanlah sikap escapism (melarikan diri) dari dhawabit amal jamaie atau sebagai satu dalil Tasayyub (melepaskan diri) dari arahan Qiyadah. Kita mesti memahami tindakan Hud-Hud dengan positif untuk memanfaatkan fursoh (peluang) bagi menjayakan agenda jamaah dan misi dakwah.

Kisah ini menunjukkan betapa perlu setiap kader dakwah sentiasa sedar (yaqzah)akan agenda dakwah, diqqah (teliti) dalam amalnya agar dia tidak terkeluar dari gagasan besar yang digariskan oleh jamaah dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Begitu juga pada posisi Qiyadah yang perlu ada sikap mengawal dan tatabbu’ (follow-up) apa yang dilakukan oleh anggotanya agar agenda dakwah dan misi jamaah tercapai. Sikap peka dan sedar pimpinan terhadap prilaku anggotanya, tegas pada tindakannya akan menjamin kesejahteraan organisasi dan segala permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan.

Tindakan Hud-Hud juga menunjukkan setiap parajurit dakwah perlu memiliki kecerdasan dan ketangkasan untuk memanfaatkan segala ruang dan peluang bagi mengembangkan risalah dakwah. Sikap Hud-Hud yang sentiasa proaktif, positif dalam amalnya, memberikan informasi berguna menyebabakan Ratu Balqis dan pengikutnya menerima risalah islam. Pada diri Hud-Hud juga ada keberanian mengemukan alasan kepada pimpinan akibat keterlewatannya hadir pertemuan.

Kisah ini sarat dengan ma’ani tarbawi dan harokiy untuk diteladani oleh Qiyadah dan para pengikut dakwah. Ia juga menjadi Durus(pelajaran) berharga buat para Da’ie. Mas’ul dan Murobbi.

Antara pelajaran penting dari kisah tersebut untuk para da’ie, para mas’ul dan murobbi ialah.

  1. Seorang Dai’e perlu kreatif dan memiliki inisiatif positif serta proaktif di dalam amal dakwah. Dalam era digital dan informatif, setiap daie perlu memanfaatkan ruang maya, mencari maklumat yang penting untuk kemaslahatan dakwah dan memberikan impak yang tinggi dalam menjayakan agenda organisasi. Bahkan da’ie itu lebih mulia dari seekor burung Hud-hHud.
  2. Setiap pimpinan, mas’ul atau murobbi perlu bijak dalam memberikan taujih (pengarahan) dan mengawal perjalanan organisasi. Tidak semua perancangan yang direncanakan dapat dilakukan oleh qiyadah dan memantaunya kerana keterbatasan matlumat. Tindakan Hud-Hud memberikan sedikit maklumat walaupun dipandang kecil dan remah telah menyebabkan ratu Balqis dan pengikutnya memeluk Islam. Kemampuan memberikan taujih dan mengawal gelagat anggota adalah seni yang perlu dipelajari dan dicontohi.
  3. Para mas’ul atau para murobbi hendaklah melakukan siasatan sebelum menjatuhkan hukuman kepada mutorobbi atau pengikutnya. Sikap tabayyun (minta penjelasan) adalah akhlak yang perlu ada pada para mas’ul sebelum melakukan tindakan menghukum. Dalam organisasi para qiyadah harus menerima alasan yang syar’ie wa tandhimi untuk menjaga keharmonian jamaah agar tidak terbuka pintu-pintu fitnah dan porak peranda jamaah. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman yang menerima alasan burung Hud-Hud walaupun berkemungkinan ia benar atau berdusta. Realitinya, apa yang diberitakan oleh hud-Hud adalah suatu yang benar dan membuka medan baru dakwah.
  4. Dalam dakwah dibenarkan kita i’tidzar lil qoid fi ada’il wajib . (memberikan alasan pada pimpinan dalam melaksanakan tugasan dakwah). Setiap parajurit dakwah diharuskan memberikan alasan ketidakhadiran dalam mana-mana aktiviti dengan syarat alasan itu adalah i’tizar syar’ie wa i’tizar tandhimi. (alasan yang bersifat syarie dan mengikut adabiyat tanzim).
  5. Setiap kader dakwah perlu memiliki keberanian mengemukana alasan yang kuat dihadapan qiyadah. Keberanian tersebut berasaskan kepada kekuatan ilmu. Inilah yang dilakukan oleh Hud-Hud dihadapan Nabi Sulaiman. Kata Hud-Hud  : “Maka selang beberapa ketika, datanglah burung Hud-Hud lalu ia berkata . “ aku telah mengetahui apa yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawakan kepada kamu dari Saba’ satu berita  penting dan diyakini..”.
  6. Hudhur (hadir) kita pada setiap pertemuan dan acara yang diaturkan oleh jamaah adalah atas hudhur da’awi tarbawi.  Kehadiran kita pada setiap halaqah, setiap liqo’ setiap wasilah tarbiyah adalah atas sebab hudhur da’awi tarbawi. Kehadiran inilah yang menyelamatkan kita di hadapan qaid, mas’ul dan murobbi kita. Semua ini menjasad dan mendarah daging pada diri kita, jika kita ada memiliki sifat ijabiyyah (positif) pada amal dakwah dan amal tarbiyah kita. Setiap mas’ul, qoid atau murobbi pula perlu ijabiyyah dalam menilai setiap anggotanya agar mereka sentiasa tidak ponteng dalam setiap aktiviti dakwah dan tarbiyah.
  7. Para mas’ulin, para qiyadiyyin, para murobbiyin perlu mencontohi sikap dan prilaku Nabi Sulaiman a.s terhadap Hud-Hud. Antara sikap tersebut ialah:
  • Tafaqqud al-amir li atba’ihi  (seorang ketua merasakan  kehilangan para pengikutnya). Setiap mas’ul perlu memerhatikan sesiapa yang tidak hadir atau hadir pada setiap liqo’nya. Sikap ambil berat adalah sebahagian dari peranan dan amanahnya sebagai mas’ul atau murobbi.
  • Akhzul amr bil hazm (membuat keputusan dengan tegas). Tindakan Nabi Sulaiman yang tegas terhadap Hud-Hud jika tidak dapat memberikan alasan yang syar’ie akibat keterlambatannya hadir majlis. Setiap mas’ul harus tegas dan memiliki wibawa dalam membuat polisi dan arahan pada pengikutnya.
  • Refleksi. Setiap mas’ul harus sentiasa merefleksi perjalanan tarbiyah mutarobbinya agar hasil tarbiyahnya positif dan mendatangkan impak yang besar pada dakwah.
  • Tabayyun al-‘uzr (meminta penjelasan keuzuran).Setiap mas’ul atau murobbi perlu meminta penjelasan atas uzur dan alasan para ahlinya yang tidak hadir. Sikap tabayyun diharapkan akan menghasilkan dampak yang positif pada jamaah dan dakwah.
  • Taqdir kulli udwin (Menghargai setiap ahli). Setiap pimpinan perlu menghargai para ahli bawahannya walaupun apa levelnya, apa kondisinya, apa kedudukannya di dalam organisasi. Ini kerana sikap menghargai ahli akan membawa keseqahan pada pimpinan dan keijabiyahan pada dakwah.

Ayyuhal ikhwah…

Marilah kita sentiasa bersikap ijabiyyah pada amal tandhimi dan amal da’awi ini. Sikap ijabiyyah yang menjadikan kita kader yang proaktif dan sentiasa positif. Dengan sikap ijabiyyah ini, kita lebarkan misi dakwah kita, kita perluasan amal tajmik kita, kita berkreatif di medan baru dakwah melalui laman maya dan digital dan kita tidak meremehkan perkara yang kecil.

Marilah kita menggunakan sifat ijabiyah ini untuk mengukuhkan militansi kita sebagai kader dakwah, sebagai qoid(pemimpin), sebagai mas’ul, sebagai murobbi atau sebagai ahli kepada gerakan dakwah ini walaupun tanpa memiliki jawatan dan posisi sebagaimana sang burung Hud-Hud.

Sekecil manapun yang kita lakukan, namun jika ia bersifat ijabiy akan memberikan kesan yang besar pada dakwah dan jamaah ini. Yang penting dalam diri kita ada kemahuan yang kuat dan daya militansi yang tinggi.

Bayangkan jika kita punyai maklumat yang penting hasil perjalanan dakwah kita ke kampung-kampung, daerah-daerah, pertemuan dengan pelbagai manusia, kaji selidik kita melalui alat media massa, media cetak dan media maya. Lalu kita berikan informasi tersebut pada pimpinan kita sehinggalah menghasilkan projek dakwah yang lebih besar dan efektif, maka itu adalah dari sikap ijabiyyah  yang perlu ada pada diri kita.

Ingatlah ikhwah sekalian,..

Dakwah di fasa Infita h(terbuka)  menuntut kita kepada sikap ijabiyah.Dengan  sikap ijabiyyah inilah yang akan membuka ruang baru dakwah kita, menakung kepelbagaian mad’u kita, meluaskan pasaran dakwah kita, meningkatkan perolehan keanggotaan kita, mentajnid dan memperkasa kekuatan kita, membangunkan keseqohan umat pada kita sehinggalah allah akan memenangkan risalah dakwah ini. Moga kita terus bersikap ijabiyyah sebagaimana ijabiyah Hud-Hud dalam melakukan amal dakwahnya.

Read Full Post »

Sinar Harian 14 Jun 2011

Read Full Post »

Beliau digelar sebagai  ‘Bapa Sosiologi Islam’.Pemikirannya merentas zaman. Sumbangannya besar terhadap dunia Islam mahupun dunia barat. Seorang pemikir Arab NJ Daud menobatkannya sebagai seorang negarawan,,ahli perundangan, sejarawan dan sekaligus sarjana. Dia yang dimaksudkan ialah Ibnu Khaldun, penulis karya monumental ‘Al-Muqoddimah’.

Beliau mengambil tempoh masa selama empat tahun untuk menulis  ‘Al- Muqaddimah’ yang merupakan karya terpenting di dalam kitab ‘Al-‘Ibar’. Dalam karya itu, beliau membicarakan beberapa intipati penting. Pertamannya, perbicaran tentang rentetan sejarah dan kesalahan para sejarawan Arab-Muslim. Keduanya, mengupas soal ilmu kebudayaan yang merupakan dasar atau landasan memahami sejarah. Ketiga, mengupas institusi-institusi dan ilmu keislaman yang telah berkembang hingga ke abad ke 14. Ia adalah himpunan yang tercatat di dalam pengantar (al- Muqoddimah) dari buku induknya Al-‘Ibar. Tulisan al-Muqoddimah lebih popular dan terkenal dikalangan khalayak ahli sejarah dan sosiologi.

Ketika beliau menulis al-Muqoddimah, beliau hidup pada masa peradaban Islam berada di ambang kemalapan. Ketika itu juga, Khalifah Abbasiyah di ambang keruntuhan setelah berlaku penyerangan, pembakaran dan kemusnahan Baghdad oleh bangsa Mongol pada tahun 1258 sebelum tujuh puluh empat tahun kelahiran Ibnu Khaldun (1332-1406)

Ibnu Khaldun menyatakan bahawa kajian sejarah haruslah melalui kajian-kajian yang kritis. Beliau telah mengemukan satu metodologi yang telah diguna pakai oleh sarjana barat hingga ke hari ini terutama dalam bidang ilmu sosiologi. Beliau mengutamakan data empirical, teori yang sah, hipotesis dan metod permerhatian. Hasilnya  Ibnu Khaldun merupakan sarjana pertama yang merumuskan ilmu-ilmu sosial.

Dalam konteks gerakan islam ingin membangunkan satu perubahan besar umat. Apa yang perlu dipelajari dari pengalaman Ibnu Khaldun ialah keperluan memahami teks sejarah dan teks sosiologi secara pemikiran sekuel (berurutan).Ibnu Khaldun menyatakan di dalam teorinya bahawa “ masyarakat tidak statik, bentuk-bentuk sosial berubah dan berkembang’. Untuk merubah masyarakat mestilah secara berurutan iaitu mengikut urutan perkembangan sebagaimana perkembangan seorang manusia. Proses ini memerlukan kepada berakumulasi dengan masa. Proses berakumulasi dengan masa akan membentuk minda sekual.

Pemahaman tentang fiqh taghyir disulami dengan fiqh tartibat (fiqh urutan) menjadikan perencanaan dan strategi gerakan islam terpandu dan sistematik. Imam al-Bana mengistilahkan sebagai fiqh maratib al- amal sebagai landasan operasional perjalanan amal islami.

Pendokong gerakan dakwah wajar menekuni ilmu sejarah dan sosiologi agar terbina pemikiran sekual dalam proses taghyir umat yang didambakan.  Berakumulasi dengan masa dan interaksi positif terhadap sunnatullah menjadikan tariq amal (jalan kerja) menepati sasaranya. Inilah yang diakomodasikan oleh Rasulullah SAW dan generasi didikannya.

Fiqh peradaban adalah hasil dari akumulasi masa dan mengambil kira sunnatullah. Ia  berlaku secara tartibat (berurutan) dan mengikut marhalah (berfasa-fasa).

Lihatlah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Uthman b. Affan, dan Saidina Ali r.a yang mahir tentang ilmu  berkaitan bangsa dan nasab (keturunan). Pemahaman tentang sejarah bangsa dan keturunan memampukan mereka menjadi agent of change dan melakukan transformasi sosial kepada suasana lingkungan mereka.

Inilah yang perlu diamati,ditela’ahi dan diteladani oleh para du’at dan aktivis harakah Islam. Memahami dan menguasai sejarah bangsa dan peradabannya serta ilmu kemasyarakan sebagai alat untuk membina perubahan kepada masyarakat. Al-Bana telah mengenengahkan pemikirannya tentang kaedah membangunkan sebuah peradaban berasaskan kepada kajian sejarah. Mengkaji sejarah dan menguasainya menjadi metod di dalam manhaj perubahan Imam Hasan Al-Bana. Belajarlah dari sejarah agar kita mampu mencipta semula sejarah , membangun satu nahdah dan membina satu hadarah (peradaban).

Read Full Post »


(selanjutnya…)

Read Full Post »