Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2012

Panduan Kejayaan Tarbiyah

Kejayaan tarbiyah  bermakna kejayakan melahirkan produk dakwah dan tarbiyah. Produk itu adalah rijal yang melaksanakan amanah ubudiyah lilahi wahdah. Rijal yang memiliki ciri-ciri mukmin, yang terlakar muwasofat imaniyah di dalam dirinya. Terdapat beberapa asas-asas bagi menjamin kejayaan tarbiyah sebagaimana yang diajarkan oleh para murobbi terdahulu di dalam catatan pengalaman mereka iaitu :

1. Quwwatul Irodah (Kemahuan dan Tekad yang kuat)

Murabbi mesti memperkuat kemahuannya dalam mentarbiyah. Kemahuan yang kuat akan menjadi kenderaan yang kuat dalam mengelola tarbiyah. Ia tidak lekang dek panas, tidak pula lapuk dek hujan. Ia juga menjadi motivasi bagi mutarabbinya.

Seorang mutarabbi pernah memaparkan kekagumannya pada murabbinya. Lantaran sang murabbi sentiasa hadir bersamanya walaupun terpaksa berjalan kaki, dalam keadaan hujan, sakit apalagi dalam hal-hal yang ringan. Kadang-kadang kalau terpaksa tidak dapat hadir, dia sempatkan masa untuk berbicara dengan mutarabbinya melalui telefon,melalui sms ketika waktu pertemuannya ataupun sesudahnya. “Subhanallah, ustadz saya selalu hadir dalam pertemuan, saya  malu kalau tidak hadir.  Apatah lagi hanya kerana   masalah-masalah kecil”. Nampaknya kemahuan yang kuat menjadi traktor yang turut mempengaruhi unsur lainnya.

Kemahuan kuat tidak juga terbatas pada kemahuan untuk hadir semata-mata, tetapi juga tekad keras untuk menjaga dan memelihara mutarabbinya agar mereka tidak tergelincir dalam perjalanan dakwahnya.

Sang Murobbi perlu memiliki segala kompetensi diri untuk terus memiliki kemahuan ini dan tekad tarbawi yang konsisten. Semangat juang yang tinggi ini telah dicontohkan oleh para murobbi silam yang berkerja keras untuk kemajuan dakwah dan tarbiyah. Imam al-Bana meletakkan salah satu ciri bagi menjayakan agenda dakwah dan tarbiyah iaitu “ Irodah Qawiyah”.

Saya pernah mendengar kisah kemahuan kuat yang ada pada diri murobbi sehingga memberikan kekaguman kepada mutarobbinya. Ada murobbi yang sanggup menaiki motosikal pergi ke halaqah dalam jarak perjalanan melebihi 50 KM. Ada pula murobbi yang pergi hanya menaiki bas ke sebuah IPT hanya kerana untuk menyampaikan taujih tarbawi. Ada murobbi yang dalam keadaan beliau sakit tetap tidak membatalkan liqo’ dan meminta mutarobbinya hadir walaupun beliau hanya memulakan pertemuan dengan kalimah salam sahaja. Ada murobbi yang sanggup menghabiskan saki baki pendapatannya untuk menjayakan wasilah tarbiyah mutarobbinya. Ada pula yang baru pulang dari perjalanan luar negara terus hadir ke pertemuan halaqah sebelum tiba bertemu anak-anak dan isteri. Ada murobbi yang seusai menyampaiak taujih, tidak ada di dalam poketnya wang sesenpun sehingga terpaksa menelefon isterinya yang tidak bekerja meminta ongkos pulang ke rumahnya dalam jarak lebih 200 KM. Ada Murobbi yang menaiki kereta untuk memberikan pengisian tetapi minyak sudah kehabisan dan ditangan Cuma ada RM 5 sahaja. Begitu juga ada murobbi yang menghabiskan masa dan waktu pada mutarobbinya ketika orang lain sibuk bercanda bersama keluarga demi membina mutarobbinya. Hidupnya simple, rumahnya simple, pakaian simple, keretanya simple, HPnya simple. Semua menambat hati mad’unya .Begitulah kisah-kisah kemahuan kuat yang ada pada sosok gagah sang Murobbi.

2.   Al Qudwah (Teladan)

Aktiviti ruhiyah merupakan aktiviti yang menunjukkan keteladanan. Keteladanan menjadi cermin jernih pada amal ruhi. Sememangnya Murabbi  berada di posisi penting dalam menunjukkan teladan praktikal ini. Dia bertindak sebagai kelasi untuk membimbing ke arah mana jalan yang harus dilalui. Sehingga bahtera itu mendapatkan peta perjalananannya menuju taman harapan. Teladan dalam ruhiyah, fikriyah, ijtima’iyah, tadhiyah, amaliyah dan yang lainnya.

Rasulullah SAW. bersabda: “Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya”. (HR. Tirmidzi).

Sewajarnya seorang murabbi terkehadapan dalam mengimplementasi nilai-nilai yang telah dia sampaikan. Sehingga ia menjadi mesin penarik jiwa-jiwa manusia. Ia mesti memiliki aura, faktor ‘wow’ atau magnet penarik. Kewujudannya dirasai, ketiadaannya dirindui dan pemergiannya menjadi inspirasi dan motivasi. Dalam Law of Islamic attraction, seorang Murobbi memberikan keteladan dari aspek masa, rasa dan jasa. Untuk meningkatkan seni magnet penarik , maka murobbi perlu kepada PS2 iaitu prihatin, sayang dan sangka baik kepada mutarobbinya.

Keteladan adalah faktor utama dan kritikal di dalam menjayakan proses tarbiyah dan takween. Faktor Qudwah menjadi daya penerimaan risalah dakwah sehingga terkamir pada sosok tubuh baginda SAW sehingga diangkat kedudukan dan darjat di sisi Allah melalui firmannya yang bermaksud :

“Sesungguhnya pada diri kamu [Muhammad SAW] contoh ikutan yang terunggul..”

“ Sesungguhnya pada diri kamu memiliki akhlak keteladanan yang amat tinggi..”

Syeikh Mustafa al-Mahsyur membicarakan tajuk ini dan menjadikan ia sebagai eksistensi dakwah di dalam bukunya “al-Qudwah ‘ala Toriq Dakwah”. Manakala Syeikh Juma’ah Amin pula meletakkan satu kaedah di dalam dakwah “ al-Qudwah Qobla ad-Dakwah” [Menunjukkan keteladanan sebelum berdakwah].

3.   Isti’dadu baramiji al muwajjahah (Mempersiapkan agenda taujih)

Imam Hasan Al Banna membuat catatan kecil pada secarik kertas. Murid-muridnya bertanya: “Untuk apa catatan itu wahai imam?”. Saya sedang mempersiapkan bahan pertemuan nanti, jawab Imam al-Bana.

Seorang murabbi untuk meraih keberhasilan tarbiyahnya perlu mempersiapkan agenda liqa’ tarbawinya. Dimulakan dengan mempersiapkan diri untuk pertemuan tersebut samada aspek psikologi, fizikal, mental, emosi dan material. Yang paling penting ialah dia perlu menjadikan agenda pertemuan tersebut sebagai liqa’ tarbawinya yang penuh bermakna dan romantis.  Pertemuan bermakna bukan pada lamanya waktu pertemuan tetapi  kepada isi pertemuan tersebut. Justeru itu, murobbi perlu meningkatkan skil pengendalian liqo, memahami tips-tips menambat hati mad’u, mengetahui tips menyegarkan halaqoh, tips  meningkatkan keyakinan diri murobbi dan pelbagai lagi seni-seni berkaitan meromantiskan halaqoh atau liqo’  agar mutarobbi nanti apabila seusai halaqoh keluar sebagai super mutarobbi, super da’ie penuh inspirasi dan motivasi. Murobbi membina mutarobbi ibarat seorang rasul mendidik para sahabat saw. Dia membina pemimpin umat, membina pewaris dakwah dan binaan Islam. Bayangkan para sahabat r.a dengan hanya mendengar taujih ringkas, dalam beberapa patah perkataan, dalam beberapa baris ayat-ayat al-Quran dari Rasulullah SAW, mereka berjaya menawan dua pertiga dunia. Subhanallah.

4.   Matanah as syakhshiyah (Peribadi Unggul)

Peribadi Unggul baik  secara vertikal ataupun horizontal menjadi faktor yang ikut mempengaruhi dinamika kelompok tarbiyah. Tarbiyah yang solid dari aspek  vertikal ialah kemampuan menjaga interaksi yang baik antara murabbi dengan mutarabbi atau sebaliknya. Sedangkan secara horizontal adalah menjaga hubungan antara sesama mutarabbi. Sejauh mana murobbi menanaman ma’ani taat, thiqoh, ukhuwwah serta mengembangkan potensi mutarabbi akan menjamin sulvival tarbiyah kelompok binaannya.

Kadang-kadang  masalah kecil dan sampingan dapat merosak binaan  kelompok. Akhirnya hancurlah dinamika kelompoknya yang berakhir kepada pembubaran usrah atau terpaksa melakukan penstrukturan semula . Fenomena ini akan melambatkan pembinaan mutarobbi bahkan akan menggagalkan kerja-kerja takween wa taurith generasi.

Apabila kita meneropong kepada timbulnya permasalahan ini ia terletak kemampuan diri masing-masing dalam  memelihara kesolehan hatinya. Menjaga kebersihan hati adalah inti permasalahannya. Apabila setiap murobbi tidak berupaya menjaga kualiti hatinya  maka ia akan  memporak perandakan kekukuhan barisan manusia yang telah dibangun.

Murabbi dalam hal ini memegang peranan penting. Apabila terjadi gesekan antara dirinya dengan mutarabbinya. Dia mesti mampu berlaku arif dan bijak mencairkan hubungan yang kaku akibat dari gesekan tersebut. Dia mesti mengharmonikan semula ikatan ukhuwwah tersebut. Begitu juga, jika berlaku sesama mutarabbi , murobbi mesti menjadi jambatan antara mereka dengan sikapnya menjadi orang tengah yang tidak berpihak kepada mana-mana mutarobbi. Dengan perilaku dan  murabbi yang seperti itu kekuatan kelompok akan terpelihara di dunia dan di akhirat.

Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”. (QS. Az Zukhruf: 67)

5.  Taujih wa Muraqabah al murabbi (Arahan dan kawalan murabbi)

Di antara aspek tarbiyah yang ditunggu-tunggu mutarabbi adalah cucuran taujih murabbi yang akan mengarahkan mereka. Taujih tersebut menjadi curahan kesejukan hati. Terutama bahan yang yang disampaikan bersifat aktual dan tepat. Kehadiran mereka dalam pertemuan tersebut memang berharap  untuk mendapatkan taujih murabbi.

Interaksi mutarabbi dengan kehidupannya menimbulkan karat dan noda yang perlu dibersihkan. Melalui pertemuan tarbiyah, mereka menjadikannya sebagai  sebagai wasilah untuk meneutralkan  dan menyahkan rawasib jahiliyah sekaligus meningkatkan imunisasi dirinya. Mereka merasa gembira mendapatkan taujih tersebut.

Di kalangan mutarabbi ada yang memohon bertukar usrah dek kerana kehambaran pertemuan. Pertemuan menjadi kering dan hilang wibawa. Katanya “Murabbi saya super sibuk, maklumlah banyak jawatan, jarang hadir. Kalau hadir pun hanya sekadar menunjuk muka saja. Padahal kami berharap mendapatkan sepatah atau dua patah kata sebagai penyejuk hati  dan peransang kami”. Keluhnya.

Ada pula berkata : “ Murobbi saya selalu ke luar negara, jarang ada di Malaysia, sibuk tugasan kerja…haloqah pun kerap tergendala dan postponed…kalau ada pun taujih email atau sms sahaja..”

Ungkapan tersebut sebenarnya bukanlah gugatan. Akan tetapi lebih kepada harapan dan keinganan mereka mendapatkan nasihat penyejuk iman dari murabbi. Para sahabat r.a, apabila hadir ke dalam majlis Rasulullah SAW, mereka mendapatkan jawapan penyelesaian dari problem yang mereka hadapi samada problem internal, eksternal,rumah tangga,  masyarakat atau persoalan lainnya. Taujih Rasulullah SAW menjadi jawapannya.

Di samping taujih, kawalan murabbi juga penting untuk mengukuhkan pembinaan mutarabbi. Mengawal kualiti ruhiyah, fikriyah, aktiviti kekeluargaan mahupun aktiviti sosial mutarobbi melibatkan amal umumnya, amal tajmik, amal DF dan Robtul Aamnya. 

6.Manhajiyah at tarbawiyah as shahihah wa al murakkazah (Metodologi tarbiyah yang shahih dan berfokus)

Kejayaan hasil tarbiyah ditentukan pula oleh metodologi yang benar dan tepat. Ketepatan waktu penyampaian, tema yang disampaikan, cara penyampaian ataupun metode pendekatannya. Rasulullah SAW sangat memperhatikan masalah ini agar apa yang beliau sampaikan terkena kepada sasaran.

Rafi’ ibnu Al Mu’alla RA memaparkan pengalamannya bersama Rasulullah SAW. ketika menerima ajaran Rasulullah SAW. Beliau mengajarkannya pada waktu di mana hati manusia bersiap untuk mendengarkannya, iaitu sesudah melaksanakan ibadah. Juga di tempat yang diberkahi Allah SWT iaitu di masjid atau majlis-majlis ilmu. Pendekatan yang digunakan adalah dengan pendekatan personal yang memikat hati antara murabbi dan mutarabbi. Rafi’ memberikan komentar ketika beliau didekati Rasulullah SAW dengan mengatakan “Rasanya sayalah orang yang paling dekat dengan baginda SAW”. Cara penyampaian beliau membuat  para pendengar terpukau melalui pemaparan yang booming. Lihatlah bagaimana metode  tarbiyah baginda SAW di dalam menyampaikan inti Surah Al Fatihah. Baginda mengatakan,  “Mahukah aku ajarkan  kamu satu surah yang paling agung di dalam Al Qur’an sekembalinya kamu  dari masjid?”.

Sewajarnya Murabbi pandai memilih dan menggunakan metode yang tepat dalam menyampaikan bahan tarbiyahnya. Agar bahan tarbiyah tadi sampai kepada sasaran dan seterusnya tertanam di hati mutarabbi.

7.In’asy at tarbawiyah (Penyegaran dan pembugaran aktiviti tarbiyah)

Untuk meningkatkan kualiti tarbiyah, penyegaran aktiviti tarbiyah boleh dilakukan dengan mempelbagaikan cara. Contohnya, dengan program mabit bersama, rehlah dan jaulah bersama, riadhah jama’iyah,  daurah-daurah , perkhemahan atau kegiatan lainnya. Penyegaran ini sebagai satu daya usaha mendinamiskan suasana tarbiyah dari kejemuan dan ketepuan. Melalui kepelbagaian cara dan teknik ia dapat menjadi energi baru bagi mutarabbi.  Seorang Murabbi dalam  hal menyelenggarakan in’asy tarbawiyah ini perlu melihat keperluan mutarabbi agar kegiatan itu betul sasarannya.

Rasulullah SAW. bersabda: “Rehatkanlah hatimu kerana ia tidak terbuat dari besi” (HR. An Nasa’i).

8.   Do’a (saling mendo’akan)

Seperti kita ketahui bahawa do’a mempunyai daya dukung yang bererti dalam amal dakwah. Demikian pula kejayaan tarbiyah. Murabbi tidak boleh  jual mahal untuk mendo’akan mutarabbinya agar dikuatkan hatinya untuk menerima kefahaman Islam serta dimudahkannya untuk merealisasikannya. Murabbi  juga mesti mentaujihkan mutarabbinya untuk senantiasa saling mendo’akan supaya diberikan kekuatan untuk melaksanakan ajaran Islam.

Begitulah beberapa catatan para Qudama’ dakwah sebagai panduan untuk mencapai kejayaan di dalam mengelola tarbiyah. Untuk mencapainya, tarbiyah sebagai wasilah pembinaan diri mesti dilakukan secara istimrar [berterusan] ,bersifat rutin, bermarhaliyah dan sistemik. Catatan ini hanyalah panduan dan pengalaman bagaimana menjayakan  agenda tarbiyah. Jangan pula ia menjadi faktor yang menyusahkan seorang da’ie  untuk menjadi seorang murabbi. Semuanya menuntut kepada fleksibiliti namun keberhasilan terletak pada kemahuan, kemampuan dan kesempatan yang dicurahkan untuk membina kredibiliti dan autoriti sebagai  seorang Murobbi. Ayuh mari kita menjadi Murobbi, kalau tidak kita, siapa lagi, kalau tidak hari ini bila lagi ?. “Kita adalah Murabbi’. Why not ?”.

Read Full Post »

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang”. (QS. As Shaff: 14)

Pernah seorang Mutarobbi mengadu hal berkaitan dakwahnya di sebuah institusi   “Ana ikut program dakwah dan tarbiyah, namun ana rasa kering, ana tidak dapat menambahkan bilangan mad’u ana, tajmik ana gagal..”

Ada pula bertanya kepada saya : “ Ustaz, bermacam-macam program sudah ana buat namun belum nampak hasilnya, mad’u belum merasakan tannggungjawab dakwah dan kepentingan tarbiyah, apa yang perlu ana buat?..”

Keluhan-keluhan ini sering kali dilontarkan ketika saya memberikan daurah-daurah peningkatan murobbi-murobbi muda atau sesi-sesi perbincangan dengan mutorobbi berkaitan usaha tajmik yang mereka lakukan. Di dalam pengalaman dakwah yang saya ikuti sejak tahun 1990 hingga sekarang, banyak pengalaman terkumpul, ada yang tetap bersama dakwah dan ada pula yang kecundang sepanjang perjalanan. Memang sukar untuk mengajak orang kepada dakwah dan tarbiyah. Kalau ada yang berminat maka itu berkat usaha dan inisiatif kesungguhan yang tidak henti-henti. Itu sudah menjadi lumrah dan asam garam mereka yang bergelar seorang Murobbi.

Persis di dalam benak hati sebagai seorang Murobbi mengharapkan anak-anak binaannya menjadi, bersemangat, menyambung risalah dan melanjutkan dakwah ini. Impiannya hanya satu mahu melahirkan rijal, kader, daie yang jauh lebih baik dari dirinya. Tidak ada anugerah yang paling menggembirakan dan membahagiakannya melainkan melihat anak-anak didiknya menjadi kader-kader dakwah.

Saya telah melalui pengalaman ini, pernah menjelajah dari satu tempat ke satu tempat, ceruk kampung , desa dan bandar. Pejabat menjadi markaz  tidur, markaz bertemu mad’u, bermesyuarat, tempat liqo yang kadang-kadang waktu kita di sana lebih banyak daripada kita berada di rumah kita. Itulah rencah pejuang dakwah. Di sebalik perjalanan itu, kita  menemui anak-anak binaan yang meneruskan dakwah ini. Kita merasa syukur dan semua ini mengembalikan semangat untuk terus kita melaju dan melonjak ke depan. Ia adalah berkat istiqomah dan thabat atas jalannya.

Namun kadang-kadang timbul kekhuatiran di dalam diri kita bahawa kedengaran anak-anak binaan ini mengadu bahawa mereka tidak mampu membina mad’u sebagaimana yang telah murobbi mereka membina mereka. Mereka belum ada keyakinan diri untuk membina anak-anak binaan mereka dengan memberikan pelbagai alasan.

Harus diingat bahawa proses tarbiyah adalah proses pembinaan dan pewarisan generasi (taurith ajyal] .Ia adalah bahagian yang urgen di dalam dakwah. Tanpa proses ini seorang da’ie tidak akan dapat memahami islam, memahami fiqh dakwah,fiqh jamaie dan juga fiqh harokah. Kegagalan ini menjadikan jamaah atau gerakan dakwah tidak berkembang dan tumbuh subur dari aspek kualiti dan kuantiti bagi melalui fasa-fasa dakwah yang menuntut kepada kekuatan stamina dakwiy dan stamina tarbawiy.

 Amal dakwah dipandang produktif bila melahirkan kader-kader yang menjadi estafeter dakwah. Munculnya pewaris dakwah untuk ikut terlibat aktif dalam memikul amanah dakwah ini menjadi salah satu kunci kejayaan dakwaah. Peranan da’ie tidak terhenti sekadar menebar luas dakwah ini tetapi juga meningkatkan mutu interaksi mad’u ini terhadap ajaran Islam.

Peranan ini telah difahami benar oleh para pendahulu dakwah. Mereka mempunyai rasa tanggung jawab yang besar terhadap eksistensi dakwah. Ada rasa penyesalan yang dalam apabila mereka tidak dapat menunaikannya dengan baik. Berbeza dengan apa yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW  dan para sahabatnya dalam masa yang singkat dakwah berkermbang luas dan kuantiti qaedah sulbahnya meningkat mutunya.

Ini terbukti dari dialog antara Rasulullah SAW dengan Hudzaifah Ibnu Yaman RA.  Dia menginformasikan baginda data-data yang terukur tentang siapa yang telah masuk Islam, keluarga mana saja dan dari kabilah mana?. Dari informasi tersebut dapat difahami bahawa amal dakwah mengalami perkembangan yang pesat waktu itu.

Rahsia keberhasilan dakwah mencapai sasaran tersebut terletak pada peranan murabbi. Murobbi yang sentiasa memberikan taujih, melaksanakan pembinaan yang berterusan sehingga melahirkan daie baru yang ikut terlibat aktif dalam amal dakwah.

Besarnya peranan murabbi dan tanggung jawabnya pada dakwah sering kali menjadi momokan bagi para du’at. Situasi ini yang menyebabkan mereka kekok untuk membina orang lain. Apalagi bila dilihat kemampuan dan kondisi dirinya yang belum memadai dan mampu.

Sebenarnya asumsi semacam ini kurang tepat, sebab banyak kemampuan para murabbi diawal sumbangannya dalam dakwah sama seperti yang dimiliki oleh ramai kader. Namun mereka memiliki dorongan yang kuat untuk terjun dalam dakwah ini. Apa lagi ketika mengingatkan doktrin dakwah yang berbunyi: Inna al akhs ash shadiq laa budda an yakuna murabbiyan (seorang al akh sejati tidak boleh tidak menjadi murabbi).

Untuk menghilangkan momokan yang menjadi penghambat produktiviti dakwah, kita  mesti memiliki bekalan-bekalan sebagai seorang Murobbi. Bekalan itu bukanlah setumpuk catatan bahan tetapi ia adalah perkara-perkara yang dapat membangunkan kekuatan seorang Murobbi. Antara bekalan-bekalan berikut:

1.   Dawafi’ al imany (Motivasi imaniyah)

Untung rugi di dalam dakwah tidak sama ukurannya dengan untung rugi di dalam bisnes. Sebesar apa pun yang anda berikan pada dakwah ia adalah kecil di sisi allah , namun sekecil apa pun yang anda berikan untuk dakwah ini ia adalah besar buat diri anda.

Dakwah kerja ubudiyah. Maka peranan Murobbi ialah menjalankan kerja ubudiyah iaitu kerja mentarbiyah, kerja membina, kerja mengkader , keuntungannya tidak kontan. Pada perkiraan manusia nampak  macam rugi kerana Sang Murobbi terpaksa rugi masa, rugi harta dan lain-lainnya. Namun dawafi’ imaniyahlah menjadi obor yang menjadikan sang Murobbi itu sanggup berkorban rasa, berkorban masa dan berjasa untuk dakwah dan tarbiyah ini

Hanya orang yang mempunyai keimanan kuat yang mampu menunaikannya. Sebab itu Imam Nawawi Rahimahullah menempatkan hadits keikhlasan sebagai hadits pertama dalam kitabnya lantaran fungsi motivasi keimanan ini menjadi pendorong besar.

Kekuatan iman menjadi daya dorong yang besar dalam melakukan perbagai aktiviti ubudiyah. Oleh karena itu menjadi kewajiban para Murobbi Dakwah untuk menambah bekal keimanan. Agar dengannya amal dakwah yang besar dapat ditunaikan dengan keringanan hati. Sehingga Allah SWT. akan memudahkan  dirinya dalam mentarbiyah orang lain. Bahkan memberinya pengetahuan untuk melaksanakan amal tarbiyah yang ia lakukan.

“Dan bertakwalah kepada Allah, niscaya Allah akan mengajarkanmu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (QS. Al Baqarah: 282)

2.   At Tafaul (Optimistik)

Optimistik sebahagian dari buah kejayaan, bahkan kemenangan. Dengan optimistik, manusia dapat membangun harapan besarnya. Ia menjadi penyejuk hati ketika mendapatkan rintangan. Dalam dakwah optimis ini dapat mengukuh bangunan harapan dan dambaan. Lihatlah Rasulullah SAW. dalam menyampaikan dakwahnya. Beliau sangat optimis  sekalipun berhadapan dengan cubaan dan rintangan.

Ketika Rasulullah SAW pergi ke Thaif, beliau mendapatkan intimidasi dan cemuhan masyarakat di sana. Perlakuan mereka kepada Nabi Utusan Allah sudah menjadikan Malaikat penjaga gunung Thaif meminta untuk menghancurkan penduduk Thoif. Akan tetapi beliau masih memiliki harapan besar pada mereka. Sebagaimana ucapan beliau ketika itu, “Bila mereka tidak menerima seruanku, aku berharap dari keturunan mereka aka nada yang menyambut dakwahku”. Ternyata, sepuluh tahun sesudah peristiwa itu berbondong-bondonglah mereka menjumpai Rasulullah SAW. untuk menjadi pengikutnya.

Begitulah Rasulullah SAW. mengajarkan kepada kita untuk selalu optimis dalam menyebar luaskan dakwah, walaupun menghadapi tentangan. Dalam kerja mentarbiyah, membina manusia ke jalan Allah SWT banyak rintangan dan ujian, kerananya persediaan optimis harus dalam keadaan meningkat.

“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”. (QS. Yusuf: 87)

3.   At Tsiqah bil qudratidz Dzatiyah (Percaya terhadap kemampuan diri)

Seringkali faktor kegagalan Murobbi di dalam amal tarbiyah ialah kurang keyakinan pada diri sendiri. Faktor kemampuan tidak boleh menjadi halangan besar untuk menjadi murabbi. Kemampuan akan memadai bila sering terasah. Mengasah kemampuan menjadi Murobbi melalui keberanian untuk menyampaikan apa saja yang telah dia perolehi dan dapati. Meskipun dalam tema-tema sederhana. Sering kali menyampaikan dakwah akan mempertajam kemampuannya sebagai murabbi.  Mulakan membina usrah dengan kelompok yang biasa sebelum membina kelompok yang berkualiti.

Apabila kita melihat perjalanan dakwah para sahabat, mereka tidak memenuhi kadar kemampuannya terlebih dahulu. Melainkan dengan rasa tanggungjawabnya mereka menyebar luaskan dakwah. Syu’ur mas’uliyah mereka memberikan kemampuan besar untuk membina manusia yang selanjutnya terlibat aktif dalam amal dakwah. Walaupun mereka jauh dari komuniti kaum muslimin lantaran mereka dilantik menjadi duta Rasulullah ke berbagai-bagai wilayah. Diantaranya sahabat nabi yang bernama Mu’adz bin Jabal RA. yang  dikirim ke Yaman.

Ketika Muadz bin Jabal akan dikirim ke Yaman. Dia mengharapkan Rasulullah SAW. memberikan banyak bekalan. Ternyata Rasulullah SAW hanya memberikan 3 bekalan. Pertama, meningkatkan komitmen akhlak. Kedua, pembersihan jiwa. Ketiga, interaksi sosial. Sebagaimana sabdanya pada Mu’adz: “Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik niscaya akan menghapusnya dan berbuat baiklah pada manusia” (HR. Bukhari dan Muslim). Lalu apakah bekalan itu kurang buat dirinya?.  Jawabnya tidak, buktinya dakwah yang beliau lakukan berkembang di sana.

Permasalahannya kita adalah kepercayaan pada kemampuan diri. Ingatlah  setiap manusia akan tajam kemampuannya bila sering dipergunakan, termasuk juga kemampuan menjadi murabbi. Oleh sebab itu para du’at perlulah memperbaiki sekaligus meningkatkan kepercayaan dirinya terhadap kemampuannya sebagai murabbi.

4.   Al Ibrah wa ta’birul akhorin (Mengambil Pelajaran dan Pengalaman orang lain)

Dakwah dan tarbiyah merupakan universiti pengalaman yang paling berharga.Pengalaman merupakan guru yang terbaik. Di sinilah kita belajar pelbagai sikap, ilmu dan kemahiran. Kita belajar seni DF, seni tajmik, seni takween, seni tawasul ijtimaie, seni amal institusi, amal siasi dan sebagainya. Pengalaman yang baik menjadi contoh sedangkan pengalaman buruk menjadi pelajaran berharga.

Untuk mendapatkan pengalaman pelbagai cara boleh dilakukan. Diantaranya terjun langsung ke medan amal. Di sana bermacam-macam titik bengit tarbiyah akan mudah kita temukan. Kiat boleh memimpin haloqah atau menyertai haloqah orang lain untuk melihat dinamika tarbiyahnya dan mencari solusinya. Berdiskusi dan menziarahi para Qudamak dakwah untuk mengutip pengalamannya dalam mentarbiyah orang. Semua ini menjadi souvernir dakwah yang tak ternilai harganya. Perbanyakkanlah mengambil pelajaran dan pengalaman dari orang lain, begitu kata orang yang bijak. Pesan Syeikh Umar al-Telmisani Mursyid Ikhwan Muslimin Ke 3 sebagai mengimbangi antara Hamasah syabab wa Hikmatus syuyukh . [ semangat orang muda dan hikmah orang lama]

5. Do’a

Kedudukan do’a bagi seorang mukmin sangat berarti. Ia menjadi senjata baginya. Melalui do’a,  ia  menjadi penawar hati yang kelu, penyejuk jiwa yang panas. Dalam mentarbiyah, peranan do’a tidak boleh diabaikan. Baik sebelum mahupun sesudah menunaikannya. Ia akan menjadi penghantar hidayah Allah SWT. Nabi Musa AS. telah mencontohkannya pada kita sekalian. Tatkala akan mendakwahkan Fir’aun, beliau memunajatkan do’a pada Allah SWT.:

“Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”.  (QS. Thaahaa: 25 – 28)

Amat penting seorang Murobbi berdoa untuk mutorabbinya dikala sunyi dan bersendirian. Bermunajatlah  agar mutorabbinya terbuka hati untuk menerima penyampaian yang disampaikannya. Oleh itu, sebelum dan sesudah menyampaikan bahan tarbiyah janganlah lupa berdo’a. Berdoalah semoga Allah SWT memudahkan mad’u kita  untuk menyebarluaskan dakwah yang akan menebarkan hidayah-Nya kepada orang lain.

Read Full Post »

Apakah  yang diertikan  dengan kesedaran politik ?

Kesedaran politik sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama Islam silam dan semasa ialah kesedaran penuh sedar dan faham terhadap realiti umat islam dan realiti dunia semasa.

Ia juga bermaksud mengetahui tabiat zaman, permasalahan manusia, kuasa-kuasa besar yang berpengaruh samada secara nyata atau tersembunyi ,yang berada pada kedudukan membuat polisi. Pengetahuan ini dapat membantu di dalam memelihara kepentingan umat dengan cara yang terbaik begitu juga menolak segala kemudaratan dan bahaya yang menimpa umat.

Justeru politik di dalam Islam ialah proses menjaga dan mengurus urusan manusia berdasarkan kepada asas-asas syarak untuk menjaga maslahah manusia dan menolak segala kemudaratan. Kesedaran ini menjadi satu yang mesti dalam memastikan urusan memelihara kepentingan umat terlaksana dengan terbaik.

Kenapa kesedaran politik penting ?

Hilangnya kesedaran politik bermakna hilangnya fiqh siyasah islamiah. Apa yang berlaku ialah urusan manusia diurus berdasarkan ideologi-ideologi ciptaan manusia.

Hilangnya kesedaran politik bermakna menjuruskan umat ke kancah kemusnahan dan kerosakan. Ini bermakna kepentingan umat diabaikan dan berlaku permusuhan dan pertembungan yang mengakibatkan muncul seribu satu macam kerosakan.

Hilangnya kesedaran politik bermakna meletakkan umat berada di dalam situasi  kelemahan dan kemunduran. Ia juga mencacatkan peranan umat islam sebagai sebaik-baik umat yang membawa risalah dakwah. Allah menekankan kepentingan umat islam menjadi umat risalah pada ayat berikut :

 110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Hilangnya kesedaran politik bermakna hilangnya fiqh tahgyir, fiqh jihad dan fiqh ad-daulah. Sedangkan usaha membangunkan keperibadian umat menuntut kepedulian terhadap permasalahan umat dan memahami metodologi penyelesaian menurut fiqh nubuwwah.

Muhammad al-Ghazali pernah menyebut : “sesungguhnya pemikiran politik dikalangan agamawan berlaku kelemahan yang ketara, mereka melihat kerosakan tetapi tidak mengetahui sebabnya, mereka membaca sejarah tetapi tidak membongkar pengajarannya..telah dikatakan kepada mereka : kita dahulu punyai sejarah yang hebat dan agung tetapi mereka tidak dapat mengetahui rahsia kehebatan dan keagungan ini..kita kalah dan tewas  pada zaman ini..dan tidak memahami sebab kepada halangan ini yang menjadikan kita tewas”.

Kesedaran Politik dan Tuntutan Semasa

Kesedaran politik adalah kunci memahami realiti semasa di dalam menjayakan agenda islam berdepan agenda barat atas nama demokrasi, liberalisasi dan hak-hak asasi manusia. Kegagalan Harokah Islamiah memimpin umat dan dunia adalah kehilangan kesedaran politik Islam untuk memahami tabiat semasa dan mengetahui realiti zaman.

Perubahan pesat yang berlaku di dunia di era globalisasi dan pasca modernism telah memberi kesan kepada perubahan kehidupan. Kepesatan teknologi maya dan dunia jaringan turut memberi kesan pada amal islami.

Harokah Islamiah perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi semasa dan menebarkan ruang dakwah berdasarkan tuntutan semasa. Harokah perlu menilai ,mengkaji dan menganalisa setiap peristiwa yang berlaku kepada dunia Islam, memahami kesan, baik buruknya kepada gerakan islam di dalam menjayakan projek Islamnya.

Antara bentuk kesedaran politik yang perlu ada kepada Harokah Islamiah ialah:

  • Mengetahui realiti semasa terutama kuasa-kuasa yang berpengaruh di dunia.
  • Mengkaji ,menganalisa ,membongkar dan mendedahkan latar belakang setiap peristiwa yang berlaku, ruang lingkup dan kesannya kepada umat islam.
  • Memahami budaya semasa, pengetahuan dan ilmu semasa, undang-undang yang mentadbir dan mendominasi dunia masakini.
  • Memahami agenda-agenda besar dunia samada dari pihak musuh atau rakan. Menilai pengalaman agenda perubahan mereka, mencari titik kejayaan dan titik kegagalan agenda tersebut.
  • Memahami istilah-istilah semasa dan bahasa politik semasa. Termasuk juga memahami  sastera semasa, ilmu semasa dan ideologi-ideologi terkini di samping mampu membaca ucapan –ucapan dan retorik politik semasa.

Tuntutan memahami kesedaran politik menjadi satu yang bersifat fardhu ‘ain dan juga fardhu kifayah di dalam menjayakan agenda Islam mengikut ruang lingkup keperluan dan tuntutannya.

Kesedaran Politik merupakan satu syarat kepada satu kebangkitan Islam. Lihatlah fenomena ‘Arab Spring’ sebagai wahana kejayaan Harokah Islamiah di negara-negara Arab seperti Tunisia, Mesir dan Algeria. Ia juga memberikan kuasa kepada umat untuk menentukan sulvival masa depan mereka. Ini juga menuntut gerakan islam menyediakan generasi kebangkitan [Abna’ as-Sohwah] untuk memikul tugas dan peranan melakukan perubahan di setiap fasa-fasa dakwah. Ini juga mengukuhkan keperluan menilai semula manhaj tarbiyah dan takween serta wasilah pembinaan individu muslim di dalam marotib amal. Benarlah ungkapan : “ semoga allah merahmati seorang yang memahami zamannya dan tetap pendirian di dalam caranya..”.

Kesan Ketiadaan Kesedaran politik

  • Tidak memahami bahasa politik semasa seperti teroris, fundamentalis, memerangi pelampau,lobi politik, pertembungan tamadun, globalisasi, New World Order dan sebagainya.
  • Tidak mampu membaca aliran ideologi semasa seperti liberalism, humanism, demokrasi dan sebagainya.
  • Lemah di dalam melakar agenda perubahan untuk menggerakkan projek-projek Islam.
  • Hilang semangat untuk berdepan dengan kekuatan imperialis barat dan ancaman Zionisme.
  • Hilang peta amal harokah islamiah dan terjebak di dalam kesilapan merancang dan menentukan langkah-langkah yang sepatutnya.
  • Terjebak di dalam kancah kekacauan poltik dan ideologi yang menjadi faktor penghambat perjuangan.
  • Tidak mampu mengambil manfaat dari ruang yang terbuka luas juga membaca titik lemah yang ada di pihak musuh.
  • Tenggelam dengan musuh sampingan dari musuh sebenar yang akhirnya merugikan Islam dan umat Islam.
  • Hilangnya fiqh amal ‘aam dan fiqh amal kemasyarakatan yang tersusun sebagai alat untuk menentang musuh.
  • Gerakan islam terlepas peluang di samping ia menjauhkan umat dari projek Islam. Termasuk juga tidak memberikan perhatian kepada kerugian yang dialami dan jarak masa yang jauh.

Kesimpulannya, keutamaan memiliki kesedaran politik adalah penting di dalam menjayakan projek Islam. Semua  ini tercapai dengan :

  • Memberikan perhatian kepada institusi tarbiyah Jamaah Islamiah seperti usrah, katibah, mukhayyam dan sebagainya.
  • Manhaj pembinaan dan penyediaan para ‘amilin islamiyyin.
  • Program-program takween yang tersusun.
  • Kepimpinan berkaliber, memiliki rukyah amal yang jelas dan mampu membaca sepak terajang musuh Islam.

Read Full Post »

Makna Tajdid Ruh Dakwah di sisi seorang Da’ie

  • Tajdid ruh dakwah bererti seorang da’ie perlu memiliki perasaan dan kesedaran bahawa dia adalah orang yang membawa satu risalah, satu matlamat , satu manhaj. Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa kalimah du’at kata jamak dari perkataan da’ie..lalu disandarkan mereka kepada allah sebagai satu penghormatan dan ciri khusus mereka iaitu para du’at yang dicirikan mereka dengan berdakwah, yang menyeru kepada deen allah, beribadah kepadanya, mengenali dan mencintainya. Mereka adalah makhluk allah yang khusus, paling mulia martabat di sisi allah serta paling tinggi kedudukan.
  • Tajdid ruh dakwah bermaksud  seseorang da’ie itu  telah menjadikan dakwah adalah urusan yang paling penting dari segala perkara yang paling penting [al-hammul al-aham] dari segala-galanya. Begitu juga dia menjadikan dakwah kerja yang paling besar [al-syaghlul al-akbar]di dalam kehidupannya di mana cita-cita dan cara berfikir untuk dakwah adalah asas dan titik tolak  amalnya.
  • Maksud tajdid ruh dakwah  apabila dia menjadikan mumarasah dakwah (operasi dakwah) sebagai satu perilaku yang bersifat praktis dan zatiah di dalam dirinya. Dakwah hidup di dalam dirinya. Dakwah adalah jatidirinya, dia menggerakkan dakwah dari zatiah dan ijabiyah dirinya tanpa perlu kepada dorongan material, arahan , taujih, semangat dan follow-up. Bagaiman ungkapan seorang akh ketika dia melihat orang yang bersolat dari kalangan orang baru. Katanya : “ aku tak selesa melihat mereka sehingga aku bertaaruf dengannya, aku pernah berkenalan salah seorang dari kalangan mereka yang dahulunya penyanyi yang mahsyur sehinggalah dia sekarang menjadi salah seorang aktivis masjid dan lembaga..”
  • Contoh yang praktikal dari sifat seorang daie ini ialah pada sosok da’ie mujahid Imam as-Syahid Hasan al-Bana ketika beliau menukilkan di dalam diari dakwahnya di fasa awal penubuhan Jamaah Ikhwanul Muslimin. Katanya : “Tidak ada seorang pun tahu kecuali hanya Allah sahaja yang mengetahuinya..betapa setiap malam-malam yang kami lalui  , kami habiskannya dengan membicarakan  permasalahan umat sehingga sampai ke semua sudut kehidupan, kami menganalisa penyakit umat dan ubatnya, kami berfikir untuk merawat dan mengubati penyakit tersebut .Ia telah memberi kesan kepada kami sehingga membawa kepada tangisan dan air mata…Betapa kami kagum melihat diri kami  merasai sensitiviti tersebut di ketika ramai orang menghabiskan masa mereka berfoya-foya, melepak di kelab-kelab malam, berulang alik ke tempat-tempat maksiat yang akan merosak dan memusnahkan diri mereka. Aku pernah bertanya salah seorang dari mereka ,kenapa kamu membuang masa di tempat-tempat tersebut. Jawabnya :“aku sedang membunuh waktu hidupku ..”. Tidaklah si yang hina tadi sedar bahawa orang yang membunuh masanya bererti dia telah membunuh dirinya. Maka sesungguhnya waktu itu adalah kehidupan..”

Bagaimana mentajdid ruh dakwah ke dalam jiwa kita ?

1. Mentajdid kesedaran, kefahaman dan mu’ayasyah kita terhadap kemuliaan dan kelebihan martabat dakwah. Allah sentiasa menginspirasikan kita akan kemuliaan dakwah di dalam Surah Fussilat ayat 33 :

33. dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

Martabat dakwah  berada pada setinggi-tinggi kedudukan dan semulia-mulia maqam selepas maqam kenabian. Ibnu Qayyim menyebut : “ Kedudukan berdakwah ke jalan Allah adalah semulia-mulia kedudukan seorang hamba..”. Dakwah adalah wasilah mendekatkan diri kita kepada Allah.

2. Keyakinan terhadap ganjaran dan pahala yang diperolehi dengan usaha dakwah yang dilakukan. Firman allah di dalam surah al-Qosas : 61.

61. (jika sudah diketahui Yang demikian) maka Adakah orang Yang Kami janjikan kepadanya janji Yang baik (balasan syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang Yang Kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk Dalam golongan Yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Barangsiapa yang mengajak orang lain kepada petunjuk baginya balasan pahala sebagaimana pahala orang mengikutinya, tidak berkurang sedikit pun ganjaran pahalanya, manakala siapa yang mengajak kepada kesesatan baginya balasan dosa sebagaimana balasan orang yang melakukan dosa tersebut , tidak berkurang sedikit pun daripada dosa tersebut”. [ Riwayat Muslim 2674 / Abu daud 4609 ]

3. Faham bahawa dakwah adalah tanda agama dan beragama.Inilah yang difahami oleh para sahabat r.a bahawa apabila mereka faham Islam bermakna mereka faham tuntutan dakwah. Sirah menunjukkan bagaimana Islamnya Abu Bakar r.a lantas terus berdakwah sehingga Islam ditangannya Uthman b. ‘Affan, Talhah b. Ubaidillah, Abdul Rahman b. ‘Auf, Azzubair b. al –Awwam dan Sa’ad b. Abi Waqqas. Inilah yang digambarkan allah di dalam al-Quran di dalam surah Az-Zumar ayat 17-18:

17. dan orang-orang Yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita Yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu –

18. Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna.

4. Faham bahawa Harokah islamiah tidak akan wujud dan berperanan tanpa adanya usaha dakwah , interaksi dengan manusia, gerak kerja dan aktiviti dan menambah bilanagn mereka yang menyokong dan menggabungkan diri mereka dengan harokah islamiah.

5. Percaya bahawa Harokah Islamiah tidak akan dapat merealisasikan visi, misi serta ufuk pandangannya melainkan dengan usaha dakwah bersifat fardi, jamaie, muasasi, berterusan, intergrasi, sentiasa dinamik, berdaya tahan dan optimistik.

6. Tahu bahawa gerak kerja dakwah untuk merealisasikan sunnah tadafu’ antara Haq dan Batil, untuk menyingkap sunnah ‘al-amn ‘ [keselamatan dan kesejahteraan] dan menjadi sebab terhasil sunan al-Nasr wa Tamkin . [ mendapat kemenangan dan kekuasaan].

7. Menghidup dan selalu memberikan peringatan secara intensif akan kelebihan dakwah dan kepentingannya. Berbincang tentang seni-seni dakwah, uslub-uslub dakwah dan menyelesaikan permasalahan dakwah.

8. Setiap da’ie perlu tahu peranan dakwah yang mesti  dilaksanakannya dengan jelas. Sekurang-kurangnya mentajmik 10 orang setahun sasaran dakwahnya.

9. Mengembangkan kemampuan dan kemahiran dakwah, menggunakan media amali dan moden yang interaktif untuk mentajdid ruh dakwah agar da’ie mampu memberikan kontribusi semaksima yang mungkin.

10. Melaksanakan aktiviti dakwah secara aktif melalui institusi, lembaga-lembaga dan aktiviti secara kolektif.

11. Mengambil manfaat dari medium komunikasi semasa seperti Facebook, Twitter, Websites, Blogs dan sebagainya.

Mana yang lebih utama : Dakwah Fardiyah atau Dakwah Secara Kolektif ?

Untuk menjawab persoalan ini ada beberapa hakikat yang perlu kita fahami iaitu :

  • Peranan individu adalah perkara asasi bagi seorang da’ie kerana ia asal kepada taklif syarie. Firman Allah di dalam ayat 22-23 Surah Jin yang bermaksud :

22. Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika Aku menderhaka kepadaNya), dan Aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadanya,

23. “(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaKu menyampaikannya); dan sesiapa Yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka Sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.

Ayat ini bermaksud bahawa “saya tidak memiliki kemudaratan juga petunjuk kecuali menyampaikan seruan dari Allah, sesungguhnya padanya adalah sebesar-besar petunjuk dan bimbingan, tidak ada selain dariNya tempat berpaut dan berlindung kecuali dengan melaksanakan tugas tabligh. Kata Muqotil : [melaksanakan tugas tabligh –dakwah]  itulah yang akan dapat melindungiku dari azab siksaannya”.

  • Asas kejayaan harokah ialah dengan berinteraksi dan melaksanakan tugas keindividuan. Khitab dakwah pada ayat 125 an-Nahl di datangkan dalam taujih fardi. Firman Allah di dalam ayat 125 yang bermaksud :

125. serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

Da’ie yang tidak melaksanakan dakwah fardiyah secara langsung dan mengoperasikannya secara praktikal tidak akan dapat memahami uslub dakwah secara jamaie dan tidaka akan menekuni seni dakwah. Ini kerana memahami tabiat manusia, tahu kunci-kunci berinteraksi dengan mereka tidak akan dapat diperolehi kecuali dengan latihan amali yang berterusan.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Bahawa Allah akan memandang (memberikan balasan pahala) kepada seseorang yang mendengar ucapanku lantas dia menyampaikan kepada orang lain. Boleh jadi orang sedikit kefahaman tidak sama dengan orang yang luas kefahaman[faqih], boleh jadi juga yang sedikit kefahaman ini menyampaikan kepada orang yang lebih faham darinya..”.

Hadis ini memberikan dorongan dan motivasi menyampaikan dakwah dalam bentuk inisiatif individu walau bagai mana tahap kemampuan daie .Dia menyampaikan apa yang dia tahu dengan penuh amanah.

  • Peranan inisiatif individu di dalam menyampaikan dakwah tidak terpisah dengan peranan jamaah. Peranan jamaah membantu dan mengukuhnya dan ia membentuk persekitaran yang melibatkan penyertaan mad’u terutama dalam mengukuhkan kehidupan jamaie dan penglibatan emosi antara da’ie dan mad’u.
  • Tidak ada pertentangan antara kedua-dua tugas fardi dan tugas jamaie. Semuanya saling melengkapi antara satu sama lain. Ada yang mampu bertaaruf dan mendapatkan mad’u tetapi dia tidak mampu memberikan taujih dan tarbiyah. Maka perlu melengkapi kekurangan yang ada dari pihak yang berkemampuan. Disinilah terselah peranan amal secara jamaie.
  • Suatu yang pasti bahawa keperluan kepada dakwah umum adalah mendesak. Tetapi menumpukan dakwah umum semata-mata tidak cukup bahkan perlu ada para du’at yang melakukan dakwah  dengan berhubung secara terus kepada sasarannya, melaksanakan tawasul fardi dan dakwah fardiyah. Tanpa ini ,harokah tidak akan dapat anggota baru, menguasai medan dan sokongan padu.
  • Matlamat dakwah fardiyah  bukan untuk memastikan semua orang menjadi anggota harokah, mungkin sebahagiannya menjadi penyokong dan simpatisan, juga pendokong yang akan memberikan sumbangan di dalam melaksanakan projek islam jamaah.

Read Full Post »

Adakah kita da’ie yang sebenarnya..?

Satu persoalan yang perlu kita bertanya kepada diri kita. Adakah kita ini layak digelar sebagai seorang da’ie ?.Persoalan ini penting kerana jika kita melihat realiti amal dakwah dikalangan  generasi Harakah Islamiah menghadapi sindrom kegersangan dan ketepuan amal dakwah. Hilang identiti dakwah dan operasi dakwah yang praktis kepada sasaran dakwah. Hilang zatiah ad-daiyyah yang menjadi peransang dan inspirasi amal bagi menggerak dan menjana amal dakwah.

Amat malang sekali mereka yang menyatakan diri mereka sebagai anggota harakah tetapi tidak terpamir pada diri mereka sebagai seorang du’at. Tidak mungkin seorang itu digelar da’ie semata-mata diukur pada intima’ (keanggotaan) pada mana-mana harakoh islamiah, tetapi mesti terjun ke kancah amal dakwah dan melaksanakan operasi dakwah tersebut. Barulah selayaknya digelar sebagai seorang da’ie. Dia mesti melakukan usaha dakwah secara fardi yang lahir dari zatiah dirinya menefestasi dari firman allah di dalam Surah Yusuf ayat 108 :

108. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain.”

Kelesuan Ruh Dakwah

Seorang pendakwah dari Kuwait telah membuat kaji selidik kepada sekumpulan para du’at di sana berkaitan “ adakah kita perlu mentajdid ruh dakwah kita..? “. Maka para du’at di sana memberikan jawapan 97 % sebagai ‘Ya’. Kemudian beliau bertanya tentang tahap pelaksanaan dakwah fardiyah pula, maka jawapan yang diberikan ialah 44 % lemah dan sebahagiannya pula memberi angka 48 % sederhana.

Apakah indikator kepada kelesuan ruh dakwah tersebut ?

  1. Hilang zatiah da’iyyah dikalangan para du’at dalam melaksnakan operasi dakwah. Ada dikalangan mereka yang mempunyai senarai para mad’u tetapi berapa kali sang da’ie ini menziarahi mad’u mereka, berapa kali dia menghadiahkan buku, kaset, cakera padat, cenderamata pada setiap minggu atau setiap bulan kepada mad’unya.
  2. Tidak bertambahnya bilangan mad’u atau sasaran dakwah ke dalam sof terutama kalangan muaiyid. Aktiviti dakwah hanya terhenti kepada aktiviti kelab, persatuan dan institusi sahaja. Tidak ada zatiah da’iyyah.
  3. Interaksi dengan manusia lebih kepada hubungan sosial dan memenuhi tuntutan sosial. Memperjuangangkan agenda semasa, menangani isu-isu sosial tanpa memenuhi fasa dakwah, tuntutan dakwah, inti dan keperluan dakwah. Akhirnya urusan dakwah menjadi urusan persatuan-persatuan bukan lagi dalam bentuk tajmik dan takween.
  4. Tiada lagi aktiviti dakwah ‘ammah kepada masyarakat, tidak berjalan kafilah dakwah yang akhirnya tidak berlaku tawasul fardi, rabtul ‘aam dan dakwah fardiyah.
  5. Hilangknya peta amal dakwah secara manhaji dan berperancangan. Kalau berlaku pun adalah dari dorongan semangat individu semata-mata. Ia tidak terjadi secara susunan jama’ie dengan mengambil kira faktor marhalah dan wasilah dakwah yang sesuai untuk mad’u.
  6. Kurang perbincangan dan perhatian terhadap dialog-diaolog dakwah, lemah taujihat dakwiyah kepada para du’at untuk membincangkan permasalahan dakwah, seni dakwah, kaedah dakwah, pengalaman dalam memperkayakan metodologi dakwah.
  7. Sedikitnya para du’at yang berkecimpungan di lapangan amal dakwah di institusi umat seperti menjadi iman, khatib, pegawai agama walaupun dari kalangan yang memiliki degree bidang syariah, usuludin atau agama.
  8. Redupnya semangat mentajmik dan mentakween generasi baru dakwah. Operasi dakwah lebih berorientasikan kepada program yang tidak menghasilkan outcome dan impak pada jamaah dan umat keseluruhannya.

Sebab-sebab kelesuan dakwah

Antara punca munculnya fenomena tersebut ialah :

  1. Kesibukan dengan kerja-kerja politik dari kerja-kerja dakwah. Sembang-sembang siasi menjadi bualan utama dikalangan anggota harakah dari sembang-sembang tarbawi dan dakwi. Para du’at selesa berbincang tentang strategi politik, penyertaan di dalam kerajaan, penamaan calun pilihanraya, menjawab tekanan isu politik semasa yang menghambat mereka dari melakukan kerja-kerja mentajmik dan mentakween.
  2. Lemah mutaba’ah amal dakwah kepada ahli harokah. Instrument usrah gagal meledakkan amal dakwi dan mutabaah dakwah fardiyah. Usrah menjadi platform membincang strategi politik, perancangan program yang mengakibatkan kering nilai ruhi dan nilai dakwiy.
  3. Kelesuan semangat dakwah dan himmah dakwah dikalangan para du’at. Kesibukan para du’at dengan masalah kehidupan dan peribadi memberikan kesan kepada perjalanan dakwahnya. Urusan rumahtangga da’ie yang porak peranda dan tidak seimbang menjadi penghalang kepada kelajuan amal dakwah.
  4. Harokah Islamiah terkesan dengan gaya parti politik yang mengutamakan penampilan politik, penampilan tokoh-tokoh di media-media cetak dan media elektronik, mengeluarkan kenyataan politik di media massa. Ini akan membantutkan harokah dari menguasai medan dan menguasai massa.
  5. Lemahnya pengupayaan ahli dari sudut ilmu dan kemahiran dakwah. Ahli gagal menguasai fiqh dakwah, fiqh tajmik, fiqh takwen, fiqh dakwah fardiyah, fiqh amal a’aam, fiqh amal institusi dan sebagainya. Ini menyumbang kepada meredupnya ruh zatiah dakwiyah dalam melestarikan iklim dakwiy organisasi.

Read Full Post »