Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2011

Semua Muslimin dan Muslimat di jemput ke Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Peringkat Negeri Sembilan pada 7 Januari 2012.

Ayuh ! Bersatu Selamatkan Aqidah Umat

Read Full Post »

Peringkat 2 : Membina Hubungan Dengan Mad’u dan Berta’aruf Dengannya.
• Kata Syeikh Dr. Syed Muhammad Nuh, taaruf diperingkat ini ialah kefahaman yang detail terhadap keadaan mad’u dari segi jiwa, pemikiran, sosial, ekonomi dan tingkahlakunya. Ia bertujuan menentukan tahap dirinya, titik kelemahannya yang memudahkan untuk menentukan permulaan langkah dan cara mendianogsis mad’u tadi.
• Imam Al-Bana menyebut : “Kenalilah orang yang engkau temui dari saudara-saudaramu , meskipun dia tidak memintanya. Ini kerana asas dakwah kita adalah ta’aruf”.
• Pada tahap ini, sang da’ie berusaha untuk menguasai sejarah kehidupan mad’unya dalam bentuk yang holistik dan terperinci.
• Da’ie tadi perlu mengetahui latar belakang mad’u dari sudut asal usul keturunannya, alamat tempat tinggalnya, tempat belajarnya dankehidupan keluarganya.
• Da’ie tadi juga perlu berta’aruf dengan keperibadian dan watak mad’u seperti kecenderungannya, minat dan hobinya, tabiat semuljadinya, nalurinya dan kesediaan fitrahnya. Termasuk juga memahami latar pengetahuannya terhadap Islam dan sejauh mana ia mempengaruhi pemikirannya.
• Da’ie juga perlu mengetahui lingkungan persekitaran rumahnya, rakan-rakan yang berada di sekitarnya, tahap keintelektualan mereka dan sejauh mana mereka komited terhadap Islam dan sejauh mana pula mereka mempengaruhi mad’u tadi.
• Peringkat ini memerlukan usaha yang teliti, terperinci dan dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Ini kerana kesungguhan dalam fasa ini amat penting untuk langkah selanjutnya. Ia dapat membantu da’ie dalam menentukan mustawa (tahap) mad’u, cara berinteraksi dengannya dan bagaimana cara terbaik dan sesuai untuk berdakwah kepada mad’u tadi.
• Da’ie di tahap ini ibarat seorang doktor yang membuat tafsiran dan analisis terhadap pesakit, menilai sejarah pesakit untuk menentukan sakit yang dihadapi pesakit sebelum merawat dan mendianogsisnya serta memberikan pil yang sesuai dengan pesakit tersebut.
• Untuk memastikan da’ie tadi mencapai tujuan dakwahnya , dia perlu memiliki ketajaman akal, himpunan pengalaman di samping mencari maklumat tentang mad’unya melalui kaedah pelaporan berkaitan tempat tinggal, pengetahuan dan tempat kerja mad’u.
• Kejayaan da’ie di peringkat ini akan menentukan da’ie berjaya pada langkah-langkah seterusnya. Ia memudahkan mad’u menerima dan terkesan pada langkah-langkah berikutnya.
Tujuan utama di peringkat ta’aruf ini ialah :

1.Di sisi mad’u :

  • Dia akan percaya kepada sang da’ie. Dia mempercayai keikhlasan da’ie dalam amal, dakwah dan iltizam pada islam. Dia juga menyakini kemampuan da’ie untuk dia menerima segala nasihat, pesanan, pandangan dan taujih.
  • Mad’u tadi merasa cinta dan kasih sayang terhadap da’ie. Dia rasa selesa dengan da’ie dari sudut hati, perasaan dan kasinh sayang. Wujud keeratan dari sudut pemikiran dan persefahaman dengan da’ie.

2. Di sisi Da’ie

  • Da’ie dapat bertaaruf dengan mad’u secara lebih mendalam dan mendetail.
  • Taaruf ini dilakukan secara bersahaja dan spontan, dalam bentuk pertemuaan biasa. Taaruf ini dilakukan saling pandang memandang sehingga menimbulkan perasaan untuk berkenalan diikuti taarif yang ringkas, kemudian disusuli pertemuan seterusnya yang menghasilkan taaruf yang lebih mendalam.
  • Aspek ta’aruf tadi meliputi latar belakang keluarga, tempat tinggalnya, kerja, tempat belajar. Juga bertaaruf tentang keadaan semasa mad’u, pemikiran, naluri, kejiwaan dan watak semulajadinya.

Ciri-ciri khusus diperingkat ini ialah :

  • Mad’u menghormati dan merasakan da’ie adalah tempat dia memperoleh ri’ayah dan perhatian secara amali sehingga terbuka hatinya untuk menerima segala apa yang dikatakan oleh sang da’ie tadi.
  • Jauh dari membicarakan atau membuka topik berkaitan dengan dakwah kerana dikhuatiri akan menyebabakan mad’u lari atau berpaling dari da’ie.
  • Mengcungkil dan mempamirkan segala apa yang ada pada diri mad’u, apa yang melingkunginya dengan menggunakan apa cara atau uslub sekalipun tetapi penuh kebijaksanaan dan kepintaran.
  • Membuat penilaian dan pemerhatian terhadap mad’u, termasuk juga pada ahli keluarganya,anak-anaknya samada semasa di rumah, di masjid, di jalan, di tempat kerja, semasa bersiar-siar, bermusafir, semasa susah dan diuji.

• Antara langkah untuk mencapai objektif peringkat ini ialah :

  • Ikhlaskan niat dan sentiasa berdoa untuk mad’u anda.
  • Menjaga adab-adab berbicara dan bertemu:
  1. Pandanglah wajahnya dan berterusan untuk bertemu dengannya dan bertanya jika dia tidak hadir.
  2. Pandanglah dengan pandangan manis, senyum dan wajah mesra.
  3. Mulakan memberi salam dan berjabat tangan.
  4. Panggillah dengan nama yang paling disukai.
  5. Hargai dan ambil berat setiap kali pertemuan berlaku.
  • Menziarahi mad’u dan mengajaknya ke rumah da’ie.
  • Saling memberi hadiah.
  • Libatkan mad’u dalam acara-acara sosial.
  • Libatkan mad’u dalam bidang atau hobi yang dia minat.
  • Segera tunaikan keperluannya.

• Apakah tanda kejayaan di peringkat ini ?

  • Adakah mad’u merasakan anda sebagai teman terbaiknya?
  • Adakah mad’u berbicara dengan anda secara mesra dan penuh kasih sayang?
  • Adakah mad’u merasa tidak selesa dan berpaling dari anda?
  • Adakah mad’u membalas ziarah anda?
  • Adakah mad’u bersedia mencerikan perihal dirinya kepada anda?
  • Adakah mad’u mencari anda untuk menyelesaikan masalahnya?
  • Adakah mad’u mengajak anda keluar dan sering meminta pandangan anda?
  • Adakah mad’u bersungguh-sungguh melakukan apa yang anda minta?
  • Adakah mad’u kelihatan gembira bertemu dengan anda?
  • Adakah mad’u pernah memberi hadiah kepada anda?
  • Adakah mad’u bersungguh-sungguh ketika berbicara dengan anda dan mendengar kata-kata anda?

Ingatlah di peringkat ini :

  • Bercampurlah dengan manusia, jangan menyendiri dan jagalah identiti keislaman anda.
  • Berusaha untuk mengenali semua orang disekitar nada.
  • Pelajarilah pintu-pintu masuk untuk berkenalan…kreatiflah dalam bertaaruf dengan manusia.
  • Hafallah nama orang-orang yang anda kenal. Ulangi namanya di dalam hati anda. Sering menyebut namanya ketika berbicara dengannya dan bayangkan anda tidak dapat menahan resah sekiranya anda berjumpa dengannya sekali lagi sedangkan anda tidak dapat mengingati namanya.

Read Full Post »

Langkah-Langkah dan Peringkat-peringkat Dakwah Fardiyah

Untuk memastikan proses dakwah fardiyah berjalan dengan baik dan mencapai objektifnya, maka setiap da’ie perlu memahami dan mengetahui peringkat-peringkat dakwah fardiyah. Untuk itu, melakar langkah dan menentukan peringkat amal yang perlu dilaksanakan oleh seorang da’ie terhadap mad’unya akan dapat membantunya menetapkan skedul amal dakwah fardiyah serta menjelaskan tuntutan dan keperluan amali dan  tarbawi.

Setiap peringkat berbeza mengikut keperluan mad’u. Ada mad’u yang perlu melalui semua peringkat ini, ada yang melangkaui beberapa peringkat. Ia adalah perkara ijtihadi yang diukur oleh da’ie. Da’ie orang yang memilih bagaimana berinteraksi dengan mad’u, dialah yang lebih memahami samada mad’u ini bermula dengan zero (angka kosong) dan perlu melalui tahap-tahap dakwah fardiyah atau ada yang perlu melangkai mana-mana peringkat berdasarkan tausiq dan ta’dhif yang dilakaukan oleh da’ie.

Para ulama’ dakwah dan harakah menetapkan beberapa peringkat DF, sehingga mereka yang menjadi sasaran dakwah tadi bergabung dengan jamaah pilihannya. Syeikh Mustafa Masyur di dalam bukunya Dakwah Fardiyah menjelaskan bahawa dakwah fardiyah ada 7 peringkat. Pendapat ini selari dengan Syeikh Abdul Halim Kinani di dalam bukunya ‘Dakwah Fardiyah Baina Nazoriyah Wa Tatbiq’ juga Syeikh Ibrahim Dib ‘Usus wa Maharaat Dakwah Fardiyah’. Tujuh peringkat tersebut ialah:

  1. Peringkat 1 : Memilih dan Ta’aruf (bina hubungan dan kasih sayang)
  2. Peringkat 2 : Membangunkan iman
  3. Peringkat 3 : Kesyumulan Islam
  4. Peringkat 4 : Realiti umat islam
  5. Peringkat 5 : Kewajipan beramal untuk islam
  6. Peringkat 6 : Kewajipan amal jamaie
  7. Peringkat 7 : Memilih jamaah

Manakala Syeikh Dr. Syed Muhammad Nuh [Fiqh dakwah Fardiyah fil  al-manhaj al-islamiy] pula membahagikan kepada 3 peringkat iaitu :

  1. Peringkat 1 : Taaruf
  2. Peringkat 2 : Membetulkan kefahaman dan membentuk halatuju (kecenderungan).
  3. Peringkat 3 : Menguji tahap kesahihan kefahaman dan benar wala’.

Kesimpulan dari pandangan tadi , kita boleh rumuskan bahwa peringkat dakwah fardiyah terbahagi kepada 4 domain utama dalam pengaplikasian dakwah fardiyah :

  1. Peringkat 1 : Ta’aruf (berkenalan)
  2. Peringkat 2 : Taqarub (mendekati mad’u)
  3. Peringkat 3 : Ikhtiyar (pemilihan)
  4. Peringkat 4 : Menyampaikan fikroh. ( peringkat 2-7 dari pandangan di atas).

Untuk lebih kita memahami peringkat tadi, mungkin kita pecahkan kepada 10 peringkat dakwah fardiyah sebagai manhajiah amal dakwah fardiyah (metodologi aplikasi DF).

Peringkat Pertama : Husnu ikhtiyar (pemilihan yang baik)

Langkah  pertama ialah membuat pemilihan terbaik dari anasir-anasir dakwah. Kaedah menyatakan Husnul intiha’ min sofa’ ibtidak (kesudahan yang baik adalah dari permulaan yang baik ). Begitu juga ungkapan ‘man sohhat bidayatuhu sohhat nihayatuhu’ ( barangsiapa yang betul permulaannya akan betul pengakhirannya). Melakukan pemilihan yang baik akan menjamin kejayaan dakwah, jika tidak ia akan membawa kerugian bahkan penyelewengan. Proses memilih ini bergantung kepada beberapa faktor . Antaranya  ialah realiti yang dilalaui oleh sebuah harakah islamiah. Fasa ta’sis (pengasasan dakwah)  berbeza dengan fasa infitah (terbuka), manakala fasa infitah pula berbeza di fasa tamkin daulah (pengukuhan negara). Ini bermakna setiap da’ie perlu memahami perjalanan harakah dakwahnya.

Mungkin amal dakwah fardiyah di period ta’sis tidak sama ketika harakah islamiah berada di tampuk kekuasaan. Namun para ulama harakah menekankan bahawa di fasa ta’sis hendaklah berusaha memilih anasir yang kuat, yang mampu memikul masuliyah dakwah dan menjadi batu bata binaan jamaah. Manakala manusia selain dari ketegori ini, kita bekerja bersama mereka dan mengambil peluang memanfaatkan mereka ketika berdepan tekanan ketenteraan, politik dan tuntutan rakyat untuk menerima tampuk kekuasaan.

Terdapat beberapa ukuran atau neraca di dalam  melakukan proses ikhtiyar (pemilihan).

  • Bersungguh-sungguh memilih manusia yang diklasifikasikan sebagai ar-rohilah.  Kita perlu all-out tenaga, usaha, pengorbanam dan penumpuan kita kepada kumpulan sasaran rohilah ini (unta yang mampu menanggung beban). Ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW :

” الناس كإبل المائة لا تكاد تجد فيها راحلة ” رواه البخاري

Maksudnya : Manusia seperti  seratus ekor unta, hampir-hampir anda tidak  mendapati satu pun yang layak menjadi rohilah (yang mampu menanggung beban)..”

Mereka yang menjadi rohilah ini sahaja yang mampu memikul beban dakwah, memimpin dan menggerakkan tanzdhim, memacu amal pada masa depan, menjadikan jamaah terus hidup dan berkelangsungan. (sulvival tanzdhim).

  • Pilihlah manusia yang memiliki sifat peribadi yang unggul dan istimewa. Ini kerana manusia terdiri dari tiga kategori iaitu pemilik akhlak islami, pemilik akhlak asasi dan pemilik akhlak jahili. Pilihlah yang memiliki akhlak islami iaitu cerdik , pemberani, melaksanakan perkara wajib, meninggalkan yang haram ,suka pada nawafil, tidak ada kecacatan pada peribadinya melainkan belum ada kesedaran islam. Pilihlah mereka yang memiliki harga diri yang tinggi, bermaruah, mulia. Jauhilah dari memilih manusia yang suka berbangga dengan dirinya, suka berdebat dan bertengkar, bersikap melampau dan semberono dan memiliki penyakit jiwa seperti golongan yang ragu-ragu, was-was dan bersikap pesimis.

Mereka yang suka berbangga dengan diri dan pandangannya, suka berdebat dan berjidal akan menjadikan jamaah kita majlis gelak ketawa dan hilang keberkatan. Manakala golongan yang bersikap semberono akan menjadikan jamaah berada dalam kancah kegelinciran dan kemusnahan.

  • Pilihlah mereka yang memiliki kepakaran dan spesialisasi yang diperlukan dakwah terutama dalam bidang-bidang strategic seperti bidang politik, bidang perancangan dan bidang penerangan (media).
  • Pilihlah mereka yang berada diposisi pengaruh dan pembuat dasar. Pilihlah mereka yang berpengaruh di dalam masyarakat dan memiliki kedudukan sosial, politik dan pemikiran. Mereka ini adalah ketua-ketua , para pemimpin rakyat, tokoh-tokoh masyarakat dan negara, para sarjana, cendekiawan, para pensyarah, para khatib, sasterawan , para pemikir, para wartawan, tokoh-tokoh korporat, ahli perniagaan, para penceramah dan motivator, dan kakitangan kerajaan di posisi pembuat dasar. Jika ramai mereka ini berada di dalam jamaah kita bermakna wilayah pengaruh kita kepada massa semakin besar dan meluas terutama dalam memberikan kesedaran umum dan membentuk pandangan umum. Juga peranan politik kita akan lebih efektif dan sampai kepada massa.
  • Lakukan fiqh istifa’ wal intiqo’ dalam memilih anasir-anasir tersebut yang diklasifikasikan sebagai emas (galian terbaik-   memiliki kapasiti kepimpinan – kebolehan unggul ). Pilihlah mereka yang memiliki keupayaan tinggi dari aspek akal, kepimpinan, pengurusan dan haraki.
  • Pilihlah mereka mengikut cirri-ciri berikut berasaskan keutamaan dan keperluan dakwah :
Merendah diri dari yang sombong

Menjaga percakapan (diam) dari yang pencelupar

Pemberani dari pengecut

Pemurah dari si bakhil

Orang yang kosong dari yang sibuk

Yang dekat dari yang jauh

Yang rajin dari yang malas

Kosong minda dari yang ada keterikatan

Orang yang bersosial dari yang mengasingkan diri

Yang muda dari yang tua

  • المتواضع قبل المتكبر

  • الكتوم قبل الثرثار

  • الشجاع قبل الجبان

  • الكريم قبل البحيل

  • المتفرغ قبل المنشغل

  • القريب قبل لبعيد

  • الجاد قبل الهازل

  • الخالي قبل المرتبط

  • الاجتماعي قبل الانطوائي

  • الصغير قبل الكبير

 

  • Syiar anda di peringkat ini ialah : “ Bersungguh-sungguh dalam memilih anasir terbaik sehingga ia membuka peluang besar untuk kejayaan dakwah  dan menambah kekuatan organisasi. Carilah manusia kelas EMAS dahulu sebelum yang lain..”

 

Read Full Post »

Buku ini adalah inspirasi dari tulisan buku Qawaid ad-Dakwah Ila lah tulisan Dr. Hamman Saeed Muroqib Ikhwan Muslimin Jordan yang diolah dari bentuk dan huraian yang mudah, dalam bentuk noktah-noktah penting. Buku ini mengekalkan 15 kaedah yang diambil dari kitab Qawaid Dakwah Ila Lah tulisan Dr. Hammam kepada para du’at ikhwan muslimin dalam bentuk kaedah-kaedah yang ringkas dan mudah. Penulis mensyarahkan kaedah tersebut dengan cara mengambil isi-isi penting dari huraian buku tersebut, menterjemah apa yang sesuai juga menambah beberapa isi-isi tambahan dalam menghuraikan beberapa kaedah tersebut di samping memberikan kefahaman yang mendalam terhadap fiqh dakwah.

Buku ini mengekalkan kaedah dakwah yang telah dikemukakan oleh Dr. Hammam Saeed, menterjemah dan menghuraikan kaeadah-kaedah dari penulisan beliau dengan mengekalkan beberapa intipati penting agar ruh dan asolah bukunya terpelihara dan memenuhi objektif.

Buku ini adalah himpunan beberapa kaedah  berdakwah berkait dengan tasawwur dakwah, uslub dan wasilah dakwah. Moga  ia bermanfaat buat para da’ie di jalan allah.

Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi penyusun buku ini di HPhone 0134284235

Read Full Post »

Fiqh Dakwah Fardiyah ( Siri 6)

Asas- Asas Haraki Di Dalam Dakwah Fardiyah.

Asas Keempat :  مراعاة مبداء التدرج[Mengambil kira prinsip at-tadarruj (beransur-ansur)]

  • At-tadarruj (beransur-ansur) merupakan ciri terpenting dakwah, bahkan ia adalah prinsip asal dalam melaksanakan dakwah fardiyah.
  • Meraikan prinsip ini dalam bergerak, beramal melakukan dakwah fardiyah bermaksud mengutamakan yang paling penting dari penting dan meletakkan fiqh awlawiyat (prioriti) sebagai asas dalam dakwah fardiyah.
  • Ini bermakna seorang da’ie yang bijak akan berinteraksi dengan sasaran dakwahnya, berta’amul dengan akal dan jiwa mereka  sesuai dengan kapasiti  dan kemampuan mereka. Dia tidak akan berinteraksi dengan mereka di luar batasan kemampuan mereka bahkan perubahan tingkahlaku akan berlaku secara tadarruj hingga ke tahap yang dikehendaki.
  • Untuk itu ada dua perkara yang perlu diraikan dalam asas ini iaitu :
  1. Meraikan at-tadaaruj aqliy ( sudut akal)
  2. Meraikan at-tadaruj an-nafsiy ( sudut jiwa)

Tadaruj dari sudut akal

  • Seorang dai’e yang bijak tidak akan berkata semua perkara yang dia ketahui kepada semua orang pada semua keadaan. Ini bertepatan dengan ungkapan Saidina Ali Karamullahi wajhaj: “Tidak semua yang diketahui perlu diperkatakan. Tidak semua yang perlu diperkatakan, ada orang yang layak untuk mendengarnya. Tidak semua yang perlu diperkatakan dan ada orang yang layak mendengarnya, sudah tiba masa untuk memperkatakannya”.
  • Rasulullah SAW telah memberikan beberapa petunjuk dalam perkara ini. Antaranya :   
  1. Hadis : [ kami para nabi, kami diperintahkan agar meletakkan manusia sesuai pada kedudukan mereka, dan juga kami diperintah berbicara dengan manusui menurut kadar kemampuan akal mereka ].
  2. Hadis yang dikeluarkan dari Muslim dari jalam Ibnu Mas’ud : [ Tidaklah kamu berbicara dengan satu kaum  mana-mana perbicaraan, dan bicara tersebut tidak dapat ditanggapi akal mereka (difahami) melainka ia akan membawa fitnah kepada sebahagian kaum itu].
  • Saidina Ali r.a pula berkata : [ berbicaralah dengan manusia dengan kadar yang mereka tahu, sukakah kamu untuk berdusta kepada allah dan rasulnya ? ]
  • Pernah seorang lelaki berjumpa dan mengadap Radulullah SAW dan berkata : “Ajarkanlah kepada aku tentang gharaib al-ilmu (ilmu yang luar biasa dan pelik). Lantas Rasulullah menjawab: “apa yang kamu buat pada kepala segala ilmu”. Dia bertanya pula : “apakah kepala segala ilmu?”. Nabi SAW berkata kepadanya : “adakah kamu tahu Robb (tuhan) yang maha tinggi ?”, Jawabnya : “ya”. Nabi SAW bertanya lagi ; “apa yang kamu lakukan pada haknya”. Jawabnya : “ Segalanya telah dikehendaki allah”. Tanya Nabi SAW: “adakah kamu tahu kematian ?”, Jawadnya : “ya “, Kata baginda : “apa yang telah kamu persiapkan untuk menghadapinya ?, Jawabnya : “Segalanya telah ditentukan allah”. Kata Nabi SAW kepadanya : “pergilah kamu, dan buatlah keputusan dengan bijak tentang perkara ini, kemudian mari kepada kami, kami akan mengajar kamu tentang gharaib al-ilmi”.
  • Jelaslah bahawa seorang da’ie perlu memulakan dakwah kepada mad’u dengan perkara yang paling asas dan secara bertahap-tahap. Mulakan dengan persoalan akidah dahulu kemudian menerangkan asas-asas islam, prinsip-prinsip utama yang perlu dilaksanakan sebagai seorang muslim, asas-asas hukum syarak, mulakan yang fardhu dari yang sunat, mulakan yang usul (pokok) dari furuk (cabang).
  • Satu kesilapan yang nyata ialah apabila sang da’ie tadi menyibukkan minda mad’u dengan perkara furu’, masalah khilaf yang diluar batasan akalnya sebelum dia memiliki dan menguasai secara mendalam usul (prinsip) ilmu tersebut.
  • Antara benteuk kesilapan tersebut ialah berbicara dengan mad’u tentang masalah istiwa’, masalah nama-nama dan sifat allah, perselisihan khalaf dan salaf dari menekankan usul akidah ke dalam jiwanya.
  • Begitu juga berbicara tentang konsep syura, samada ia mulzim atau mu’lim (pemberitahuan), apakah pandangan yang paling tepat sedangkan dia belum memahami islam sebagai manhaj kehidupan dan syariat yang mengandungi asas-asas dan sistem pemerintahan.
  • Atau sibuk membicarakan persoalan jamaah mana yang paling afdhal, jamaah mana yang paling tua, jamaah mana yang terbaik sedangkan mad’u tadi belum ada kerelaan atau memahami  bahawa bekerja untuk islam dan dakwah adalah satu kefardhuan yang wajib. Mungkin akan menyebabkan mad’u tadi lari atau cenderung mengasingkan diri dan timbul salah fahamya (kekeliruan) terhadap dakwah dan para pendakwah.
  • Tidak meraikan prinsip ini akan menyebabkan para da’ie terjebak dalam kesilapan yang buruk yang membawa natijah negatif. Antaranya :
  • Sasaran dakwah akan lari dan menolak seruannya.
  • Perkembangan diri mad’u tadi tidak berjalan dengan baik , berlaku kecacatan pada fikroh dan amalnya.
  • Da’ie tadi akan disakiti, diperlakukan secara buruk dan tidak sesuai melakukan dakwah.

Tadaruj dari sudut jiwa

  • Dalam ilmu psikologi, jiwa manusia tidak berubah secara mendadak tetapi ia sentiasa bertindak balas dengan perubahan secara beransur-ansur.
  • Ibnu Qayyim menyatakan bahawa dorongan agama ,sebab-sebab kekuatannya, seruan kepada petunjuk dan berjuang kerananya perlu sentiasa berterusan dan dibiasakan selalu  secara  bertadarruj, sedikit demi sedikit sehingga dia memperolehi kelazatan kejayaan (iaitu mengalahkan dorongan syahwat) sehingga ketika itu dapat menguatkan cita-citanya. Barangsiapa yang dapat merasai kelazatan sesuai perkara, akan kuatlah cita-citanya untuk mendapat perkara tersebut.
  • Membiasakan diri untuk melakukan sesuatu perkara yang sukar dan payah akan menambahkan kekuatan pada tuan punya diri. Inilah yang ada pada diri tuan punya  pemilik kilang  berbanding mereka yang bekerja sebagai tukang jahit atau pekerjaan yang sepertinya.
  • Orang yang bekerja tanpa mujahadah akan lemah dorongan agama dan akan kuat dorongan syahwatnya, manakal mereka yang sentiasa berterusan melawan kehendak nafsu akan berjaya bila dia bersungguh-sungguh.
  • Antara ciri tarbiyah al-Quran kepada para sahabat r.a  ialah mendidik mereka secara beransur-ansur mengambil kira prinsip perubahan jiwa secara tadarruj. Al-Quran telah merubah jiwa para sahabat dalam tempoh yang panjang. Ditanamkan dalam hati mereka nilai akidah, dibina jiwa dengan iman selama 13 tahun di fasa Mekah sebelum mereka diberi perintah dan taujih dalam perkara furu’, pensyariatan hokum dan soal halal haram.
  • Saidatina Aisyah r.a.h pernah berkata : “ sesungguhnya surah yang awal dari al-Qurun kepada kami ialah surah-surah pendek (mufassol)  seperti surah yang menerangkan syurga dan neraka sehinggalah apabila manusia menerima Islam, barulah turun ayat tentang halal dan haram. Kalaulah ayat yang pertama turun tentang larangan jangan minum arak, nescaya mereka akan berkata, kami akan  minum arak selama-lamanya, begitu juga kalau turun ayat pertama tadi jangan kamu berzina, nescaya mereka akan berkata “kami tidak akan berzina selama-lamanya..”. Inilah ruh syariat yang sentiasa mengambil kira perubahan manusia secara beransur-ansur. Justeru para da’ie perlu mengambil kira aspek ini dan memahami bahawa jiwa mad’u atau murobbinya perlu kepada perubahan sedikit demi sedikit. Apa yang penting ialah kesabaran, doa dan tawakal yang tinggi kepada allah.
  • Oleh itu seorang dai’e perlu :
    • Mentarbiyah dan mengukuhkan dorongan supaya mad’u beriltizam dan melaksanakan islam dalam dirinya terlebih dahulu sebelum memberikan taklif dan taujih (arahan). Dorongan ini  tergambar dengan menanamkan benih-benih iman dalam dirinya, menimbulkan rasa cinta dan takut kepada allah, timbul rasa pengharapan kepada allah  sehingga melahirkan perasaan dalam jiwanya semanagt untuk segera merebut keredhaan allah dan menjauhi kebencian allah.
    • Meraikan prinsip tadarruj dalam soal membina keiltizaman mad’u terhadap Islam. Mulakan dari yang mudah dari yang susah, dari asas kepada cabang. Semuanya itu mengambil kira kesediaan, kemampuan jiwanya mad’u dan peningkatan nilai iman yang ada pada dirinya.
    • Mulakan dengan  menunaikan solat fardhu, kemudian mengajaknya solat berjamaah kemudian kepada sunat muakkad diikuti solat nawafil  yang mutlak, dan di akhiri dengan solat malam (Qiamulail). Semau ini dilakukan secara tertib (urutan) mengambil kira fasa-fasa, kemampuan, level, takat keupayaa. Kaedah yang asal dan pertama ialah menerima untuk melaksanakan kewajipan tersebut.
    • Semangat yang membuak-buak dalam melaksanakan taklif di luar batasan kemampuan mad’u akan membawa kepada futur, sikap malas dan gagal melaksanakannya sebagaimana pesan Nabi SAW : “orang yang bermusafir, tidak ada bumi yang terputus, tidak ada tunggangan yang kekal ” iaitu orang yang terlalu keras dalam melaksanakan urusan agama sehingga dia tidak mampu melakukannya akan penat di pertengahan jalan umpama orang yang bermusafir di padang pasir, unta yang tidak mampu menanggung akan penat dan binasa .
    • Tindakan sebahagian da’ie yang terburu-buru ingat melihat hasil pada mad’unya secara sepintas lalu, dengan memberikan beban taklif yang besar boleh membawa pertembungan dalam jiwanya. Ini akan membuka ruang  keraguan pada dirinya dan syaitan akan mudah menipunya.
    • Seorang da’ie perlu menguasai fiqh al-insan sebelum melaksanakan fiqh ad-dakwah. ( فقه الانسان قبل فقه الدعوة )
    • Syeikh Juma’ah Amin di dalam bukunya fiqh dakwah memberikan beberapa panduan dalam mengaplikasikan seni dakwah fardiyah secara bertadarruj iaitu :
    1. Kaedah 1 : Al-Qudwah qabla dakwah ( menjadi qudwah       sebelum berdakwah)
    2. Kaedah 2 : At-Ta’lif qabla ta’rif ( menjinak dan mengikat hati sebelum memperkenalkan )
    3. Kaedah 3 : At-ta’rif qabla taklif (memperkenalkan sebelum memberi tugas )
    4. Kaedah 4 : At-tadarruj fi taklif ( bertahap dalam memberikan tugasan )
    5. Kaedah 5 : At-taisir la ta’sir ( memudah bukan memayah)
    6. Kaedah 6 : Al-Usul qabla furu’ ( memulakan yang pokok sebelum cabang )
    7. Kaedah 7 : At-targhib qabla tarhib ( memberi harapan bukan ancaman)
    8. Kaedah 8 :At-tafhim la al-talqin ( memberi kefahaman bukan menyampaikan semata-mata)
    9. Kaedah 9 :At-tarbiyah la at-ta’riyah ( pendidikan bukan menelanjangi keburukan)
    10. Kaedah 10 :Tilmizu imam la tilmiz kitab ( murid kepada guru bukan murid kepada buku)

Read Full Post »

Asas-Asas Haraki Dalam Dakwah Fardiyah

Asas Ketiga :  معرفة مفتاح الشخصية [Tahu kunci-kunci untuk mengenali manusia]

  • Rasulullah SAW pernah bersabda :

نحن معاشر الأنبياء أمرنا أن ننزل الناس منازلهم وأن نخاطب الناس على قدر عقولهم

Maksud Hadis :

Kami para nabi diperintahkan agar meletakkan manusia sesuai dengan kedudukkannya dan berbicara dengan mereka berdasarkan keupayaan akal mereka..”.

  • Para du’at di ajlan allah perlu memahami perbezaan lata belakang mad’u dari aspek peribadi, tabiat kelakuan, fokus penumpuan, intelek, persekitaran lingkungan dan perbezaan umur mereka.
  • Pemahaman terhadap perkara ini dapat membantu sang da’ie berinteraksi dengan mad’u tersebut mengikut kesesuaian mereka, meraikan titik perbezaan, memberikan taujih, kefahaman dan buah fikiran ikut laras kemampuan mad’u, menggunakan uslub yang bersesuaian yang mampu menusuk akal dan jiwa mereka, menjauhkan ruang pertentangan dan menimbulkan konflik bersama mad’u serta mengambil kira sebab-sebab yang boleh menimbulkan rasa rela, daya penambat yang sesuai dan faktor yang dapat member kesan kepada mad’u.
  • Untuk itu sang da’ie tadi perlu mengenali dan memahami peribadi mad’u dengan baik sehingga memudahkannya untuk berinteraksi, mudah menerima dan mampu mempengaruhi dan memberikan penalaan kepadanya.
  • Terdapat dua perkara penting untuk memahami peribadi mad’u iaitu :
  1. Memahami perilaku, watak, perangai dan akhlak asasi mad’u.
  2. Melihat kecenderungan dan daya penumpuan mad’u .
  • Dua perkara inilah yang disebut sebagai kunci peribadi mad’u. Jika sang da’ie berjaya menguasai aspek ini, memahami pintu masuk  terhadapnya dan tahu cara akses minda dan akalnya, ia akan menjadi pemula berta’aruf dan melakukan dakwah fardiyah.

1. Memahami perilaku, watak, perangai dan akhlak asasi mad’u.

  • Antara fokus dalam memahami kelakuan, watak dan akhlak asasi ialah memahami,mengenalipasti setiap perbezaan kelakuan dan perilaku yang ada oada setiap mad’u. Antara kelakuan dan perilaku tersebut ialah :
  1. Ada individu yang terlalu sentimental, terkesan dengan perasaan, mudah tertarik dengan wajah manis, kata-kata lembut dan senyuman mesra  berbanding sentuhan akal dan fikiran.
  2. Ada pula yang bersifat terlalu rasional dan tajam pemikirannya.
  3. Ada yang suka berdebat, sibuk berfikir dan berteori, ada yang bersifat praktikal, realistik , punyai banyak pengalaman hidup dengan manusia dan pelbagai peristiwa.
  4. Ada pula yang mudah dan cepat faham dan ada yang kurang disebabkan perbezaan tahap akademik.
  5. Ada pula yang bersosial, mudah didekati, positif ,ekstrovert dan ada pula yang suka menyendiri, berwatak introvert.
  6. Ada individu yang memiliki semangat dan cita-cita yang tinggi, dinamik dan ada pula yang releks,cool dan bersikap berhati-hati.
  7. Ada pula mad’u yang dapat menerima nasihat, ta’lim, taujih secara langsung, ada yang dapat faham dengan penghuraian dan tidak menerima nasihat secara langsung kerana kemamapuan untuk menimba kefahaman lemah. Individu ini ada pandangan tersendiri.
  • Dengan memahami kelakuan, watak dan perangai mad’u tadi, sang da’ie dapat menentukan apakah uslub yang sesuai untuk berinteraksi dengan mereka. Pemilihan uslub yang sesyuai akan menjamin kejayaan dalam memujuk, mempengaruhi mad’u agar tidak berlaku pertembungan dengannya.
  • Seerah bagaimana sikap Rasulullah berdepan dengan Rukanah yang suka menunjukkan kehebatannya bergusti. Dia tidak mahu menerima islam sehinggalah Rasulullah SAW berlawan denganya. Barulah dia memeluk islam.
  • Begitu juga pemilihan Rasulullah SAW dalam memberikan pertanggungjawapan dan tugasan kepada para sahabat r.a . baginda amat mengenali dan memahami setiap watak tersebut, tahu kemampuan dan keupayaan mereka dan meletakkan mereka sesuai pada posisi yang diperlukan. Contohnya , abginda melantik Khalid mengetui  angkatan peperangan. Abu Bakar dan Umar di dalam pentadbiran, Dihyah al-Kalbi sebagai duta berdepan Hercules disebbakan kepintaran dan kebijaksanaannya.
  • Sejarah dakwah menunjukkan bahawa Hasan al-Bana amat memahami keperluan dan kondosi mad’u. pernah satu masa beliau dijemput menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di satu tempat du Bulaq. Seksyen ini terkenal kawasan yang dipenuhi para muda mudi. Lantas Hasan al-Bana menceritakan kisah-kisah kepahlawanan dan keperkasaan baginda SAW, kisah perlumbaan nabi SAW dengan Abu Bakar dan Umar. Kisah-kisah ini menarik perhatian orang muda. Beliau menjelaskan bahawa kekuatan fizikal lahir dari kekuatan rohani yang luar biasa, beriltizam dengan perintah allah dan menjauhi larangannya. Ucapan ceramahnya memukau dan menimbulkan rasa kagum para pendengar sehingga ramai para pemuda tadi berbai’ah dengan dakwah IM. Antara pemuda tersebut ialah al-Marhum Ibrahim Karum.

2. Mengetahui kecenderungan dan daya tumpuan mad’u  adalah penting kepada sang da’ie.

  • Sang daie perlu mengetahui kecenderungan dan perhatian mad’u yang berbeza-beza terhadap dakwah yang disamapikan. Antara kecenderungan tersebut ialah :
  1. Ada mad’u yang berwatak ahli ibadah, ruhaniyy, sibuk menyucikan hatinya dan membaiki keaibannya.
  2. Ada pula yang suka bersukan, penumpuan kepada menguatkan fizikil, mengikuti berita-berita tokoh-tokoh sukan terutama pemain bolasepak dunia.
  3. Ada pula mad’u dari kalangan sasterwan dan penulis novel. Mereka suka pada bersastera, bersajak dan menulis novel.
  4. Ada kalangan mad’u juga dari kelompok pembaca bermaklumat, sentiasa mengikuti gerakan perkembangan ilmu dan pemikiran, ketajaman kefahaman dan teori.
  5. Ada pula mad’u yang suka kepada muzik dan hiburan. Suka pada alat-alat muzik dan mahir bermain alat-alat tersebut.
  6. Lain-lain kecenderungan dan bakat yang ada pada setiap mad’u sesuai dengan perkembangan masa dan perubahan zaman.
  • Sang da’ie perlu mengetahui, memahami dan mengenalpasti kecenderungan dan penumpuan khusus mad’u. Sang da’ie tadi turut serta bersama-sama dengan mad’u  dalam menyertai minat mereka, menzahirkan penghargaan, memberikan galakan, mendekatkan mereka dengan nilai-nilai islam, menyatakan pandangan islam terhadap perkara tersebut , mengambil manfaat dan peluang yang ada yang  boleh mendekatkan da’ie dengan mad’u dari satu sudut, dan antara mad’u dengan islam dan dakwah dari sudut yang lain.
  • Contoh dalam hal ini ialah sang da’ie mendatangkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang berkaitan mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah dari mukmin yang lemah ketika mengaitkan hubungan antara islam dan sukan.
  • Berdasarkan apa yang telah disebutkan tadi, maka seorang da’ie perlu jelas kunci mengenali peribadi mad’u, tahu pintu-pintu masuk ke jiwanya, sudut-sudut yang mendekatkan da’ie dengan mad’u serta menentukan uslub yang sesuai dan bertepatan.
  • Banyak contoh-contoh dari kehidupan Rasulullah SAW yang menunjukkan bahawa baginda amat mengenali dan memahami watak manusia. Antaranya ialah :
    • Kata-katanya pada Asj Abdul Qais : “Sesungguhnya pada diri kamu ada dua ciri yang disukai Allah dan rasul iaitu sifat lemah lembut dan sabar..”
    • Kata baginda pada Sa’ad  b. Ubadah : “ apakah kamu semua kagum terhadap sifat ghairah (cemburu) yang ada Sa’ad. Demi allah ! aku amat cemburu berbandingnya (Sa’ad).
    • Katanya pula tentang Umar al-Khattab : “ Tidak ada satu jalan yang dilalui Umar r.a melainkan syaitan akan melalui jalan yang lain..”
    • Kata baginda tentang Uthman r.a : “ Ingatlah aku amat malu kepada seorang lelaki (Uthman) r.a  yang mana Malaikat berasa  malu terhadapnya..”.

Read Full Post »

Asas- Asas Haraki Di Dalam Dakwah Fardiyah.

Di dalam pengoperasian dakwah fardiyah, ada beberapa hakikat dan kenyataan realiti yang perlu difahami oleh para du’at . Hakikat dan asas ini perlu diraikan ketika bergerak di gelanggang dakwah fardiyah.

Antara hakikat tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Halim al-Kinani ialah :

1.Kuantiti Du’at Terhad

Kuantiti para du’at yang menyeru ke jalan Allah terhad. Tenaga dan keupayaan mereka pun terhad. Di tambah pula, tidak ada para da’ie yang sanggup fulltime kepada kerja dakwah atas sebab mereka berusaha mencari sumber penghidupan dan rezeki bagi menampung keperluan hidup. Lantaran itu kerja dakwah menjadi kerja part-time. Di samping itu juga para da’ie tadi menumpukan usaha memenuhi keperluan ahli keluarga dan urusan peribadinya yang menuntut masa dan usaha yang bukan sedikit.

Sebaliknya realiti menyaksikan ramai manusia amat  berhajat kepada dakwah dan para pendakwah yang terlatih dan mahir menyampaikan bicara dan seruan dakwah semakin banyak dan bertambah. Setiap orang dari kalangan mereka memerlukan insan yang mampu memegang tangan mereka, menyelamatkan mereka dari sebarang kesesatan, penyelewengan, kealpaan dan kecuaian. Sekalipun sang da’ie mencurahkan daya usaha untuk tujuan tersebut, ia tidak mampu memenuhi keperluan semua mereka ini atau sebahagian daripadanya.

2.Kemampuan dan kapasiti berbeza untuk amal dakwah.

Tidak semua orang sesuai untuk amal dakwah dan mampu mencapai tahap yang paling tinggi  untuk beriltizam dengan islam kecuali dari seorang da’ie yang mujahid dan berdisiplin dari kalangan sof du’at. Walaupun begitu mereka berbeza dari sudut kapasiti, keupayaan dan suasana lingkungan dengan perbezaan yang besar. Ia bergantung pada kemampuan dan daya himmah (cita-cita). Ini kerana manusia umpama seekor unta , hampir kamu tidak dapati padanya seekor pun yang mampu menjadi rohilah (unta tunggangan yang mampu pikul beban) sebagaimana sabda nabi s.a.w di  dalam hadisnya.

3.       Dakwah perlu kepada Rijal yang Qawiyy

Hari ini dakwah memerlukan rijal (tokoh) yang memiliki segala sifat-sifat khusus seperti kepintaran yang tajam, keazaman yang jitu, iman yang mendalam,  kefahaman yang terperinci. Juga sifat mereka yang memiliki energy yang tinggi dari sudut fizikal, spiritual, mental, akhlak dan pemikiran. Selain itu juga sifat-sifat dan kelayakan yang perlu untuk memikul beban dakwah dan jihad.

 4.Membina Rijal perlu kepada tarbiyah dan mujahadah

Untuk mencapai ke tahap ini ia tidak terhasil dengan angan-angan, ucapan penuh semangat atau tangisan peringatan. Ia menuntut kepada tarbiyah jiwa dan bermujahadah melawan runtunan syahwat dan hawa nafsu, bersabar untuk mencari ilmu dan beramal dengannya. Ia satu proses yang memerlukan tarbiyah yang berterusan, intensif sehingga memerdekakan jiwa dari kekangannya, kebiasaannya sehingga terbang tinggi mengatasi segala dorongan dan pujukan syahwat, mengatasi segala sifat keji dan lemah.

5. Tarbiyah yang syumul dan tawazun.

Untuk memetik hasil tarbiyah tersebut, proses tarbiyah tadi mestilah merangkumi semua aspek jiwa dan individu insane yang terdiri dari fizikal, akal, ruh. Proses tarbiyah tadi mestilah mendalam, seimbang tanpa ada pengabaian mana-mana aspek sehingga lahir keperibadian manusia secara bersepadu, seimbang tanpa berlaku kecelaruan dan kekurangan.

6. Cabaran Arus Jahiliyyah

Kita hidup dalam iklim yang bergerak ke arah arah yang berlawanan. Hidup dalam lingkunganyang penuh fitnah dari segenap sudut. Media massa yang menebarkan racun-racunnya siang dan malam. Penguasaan kebatilan terhadap sistem pendidikan dan pelajaran, juga menguasai instrumen tatsqif dan taujih. Masyarakat pula dipimpin budaya dan adat jahiliyyah yang tumbuh membesar kepada kanak-kanak. Ia mengakar ke dalam pemikiran orang dewasa sehingga perkara makruf menjadi mungkar, yang mungkar pula menjadi makruf. Ia menggerakkan manusia menuju ke arah satu gerakan  yang berlawanan dengan islam dan prinsipnya. Ia sedikit demi sedikit melemahkan pengaruh para du’at kepada kebanyakan manusia.

Para ulama harakoh telah menetapkan beberapa asas haraki di dalam mempraktikkan dakwah fardiyah yang akan menjamin keberkesanan dan kejayaan dakwah fardiyah.

Asas Pertama : اختلاف درجات الاهتمام والتركيز [Perbezaan taraf atau tahap  keprihatinan dan at-tarkiz (penumpuan)]

Asas Kedua :  اتباع أسس الانتقاء [Ikut asas intiqo’ ( melakukan selektif)]

Asas Ketiga :  معرفة مفتاح الشخصية[Tahu kunci-kunci untuk mengenali manusia]

Asas Keempat :  مراعاة مبداء التدرج[Mengambil kira prinsip at-tadarruj (beransur-ansur)]

Asas Pertama :  

  • Da’ie yang menyeru ke jalan allah dikelilingi kelompok manusia yang berbeza-beza. Perbezaan ini berlaku dari sudut berpegang pada agama, perbezaan watak, perbezaan umur dan juga perbezaan taraf kedudukan akademik.
  • Langkah yang perlu dilakukan ialah memahami suasana lingkungan yang melingkarinya, menentukan anasir yang paling terbaik dan dekat pada islam dan dakwah. Juga yang hampir dekat dari sudut usia.
  • Da’ie perlu memberikan perhatian dan tarkiz (penumpuan) utama kepada individu yang beriltizam dengan islam. Dai’e hanya membetulkan kefahaman dan menjelaskan jalan amal yang betul untuk islam.Tenaga da’ie perlu dilabur dan ditumpu kepada individu ini dan diberi perhatian dan keutamaan sebagai objek dakwah fardiyah.
  • Ada juga dikalangan ma’du tadi rendah iltizam mereka terhadap islam, kurang berpengetahuan namun memiliki jiwa yang baik dan perasaan mulia. Da’ie perlu memberi perhatian kepada mereka dengan kadar yang agak rendah berbanding dari kumpulan utama tadi.
  • Mad’u pula berbagai-bagai. Ada yang cuai melaksanakan solat, ada yang umur sudah dewasa, ada yang hidup dalam keadaan tertentu yang menyukarkannya untuk melaksanakan dakwah dan terhambat dengan faktor kesibukan. Mereka ini juga perlu kepada perhatian, kasih sayang, dan hubungan umum. Mengajak dari kalangan mereka yang sesuai untuk menyambut seruan dakwah, berusaha membentuk iklim dan aktiviti dakwah umum kepada mereka.
  • Justeru proses membina mad’u tadi harus mengambil kira kepelbagaian rupa bentuk sasaran dakwah tadi dari pelbagai aspek perbezaan latar belakang ( kedekatan usia, ilmu, jurang kehidupan). Ia menuntut juga sang da’ie melihat aspek posisi mad’u ,tenaga  dan kemamapuannya untuk melakukan mutaba’ah (follow-up), evualuasi, dan penumpuan.
  • Seorang da’ie itu ibarat beliau berada di tengah pusat bulatan. Dikelilinginya beberapa lingkungan bulatan yang lain. Jadi, da’ie perlu memberikan perhatian kepada ma’du yang paling dekat dengannya dan diikuti yang seterusnya dengan mengambil kira tahap perbezaan komitmen, iltizam, sentimen, respon mereka terhadap dakwah. Semakin luas jarak bulatan itu bermakna semakin rendah tahap perhatian dan penumpuan da’ie tadi kepada sasaran dakwahnya. Namun mereka tetap kekal sebagai satu aset dakwah yang beredar dalam orbit dakwah. Ini kita namakan sebagai bulatan pemusatan. Di dalam ilmu hadis menyebut:

إذا أردت أن تبحث ففتش    وإذا أردت أن تروي فكمش

Jika kamu ingin mencari perawi thiqat, selidikilah manusia, jika kamu ingin meriwayat pula, maka genggamlah sungguh-sungguh.

Oleh itu, para da’ie perlu selidik dan membuat analisa manusia yang berada dalam bulatan lingkungannya dan kemudian tapislah mereka yang sesuai untuk menyahut dakwah.

Asas Kedua : Ikut syarat-syarat intiqo’ (pemilihan)

  • Proses intiqo’ ialah proses memilih individu yang berkualiti yang mampu menanggung beban dakwah bukan menjadi beban dakwah sebagaimana Rasulullah SAW bersabda :

[ إنما الناس كالإبل المائة لا تكاد تجد فيها راحلة ]

“Manusia ibarat seratus ekor unta, kamu tidak akan dapati padanya kecuali seekor sahaja yang menjadi rohilah (menanggung beban)”.

  • Proses memilih mesti berlaku secara terancang dan terperinci. Tidak boleh secara semberono atau ad-hoc. Ia juga tidak boleh dipengaruhi sentimen emosi peribadi atau faktor kecenderungan peribadi da’ie kepada mad’u. Ia mesti berasaskan kaedah dan asas yang tepat dan selari dengan objektif dakwah fardiyah.
  • Asas tersebut diukur pada tiga perkara iaitu :
  1. Galian Terbaik
  2. Minat dan kadar respon terhadap dakwah.
  3. Kedekatan

1. Galian Terbaik

  • Pilihlah manusia dari kalangan yang dikategorikan al-ma’dan as-solih (galian yang baik). Rasulullah bersabda :

الناس معادن كمعادن الذهب والفضة فخيارهم في الجاهلية خيارهم في الاسلام إذا فقهوا

“Manusia umpama galian seperti galian emas dan perak. Mereka yang terbaik masa jahiliyah adalah terbaik juga masa Islam bila dia faham.”

  • Galian yang baik adalah merujuk kepada memilih manusia yang memiliki kualiti pada akhlak, perilaku, watak dan sifat-sifat semulajadi pada fitrah.
  • Inilah pujian Rasulullah SAW kepada delegasi Asj Abdul Qais yang datang menemuinya.Kata baginda saw : “sesungguhnya pada kamu ada dua ciri menonjol iaitu sifat lembut dan kuat kesabaran”.
  • Antara akhlak dan sifat  individu yang ingin dipilih ke sof dakwah ialah :
    • Berani [ kekuatan jiwa, terus terang, berani dalam membuat keputusan, jauh dari sikap meniru atau menipu, mengakui kesilapan dan segera kembali kepada kebenaran, daya keseriusan tinggi, mimiliki nilai-nilai unggul]
    • Mulia [ dilihat melalui perlakuan dan mu’ayashah dengannya, tidak bakhil atau kedekut, sifat ego, tamak haloba, penting diri dan mengukur sesuatu atas nilai materialistik ]
    • Cerdik [ kapasiti mental yang baik, cepat faham dan kuasai ilmu, mampu menganalisis dan membuat rumusan.
    • Jauhi dari memilik mereka yang penakut, kikir, bakhil, tamak, penting diri, ikut hawa nafsu, lemah semangat.
    • Semakin jauh ma’du itu meninggalkan sifat-sifat negatif dan berakhlak dengan akhlak insani dan islami akan menjadikan proses intiqo’, membuat keutamaan dan kadar tumpuan kepadanya akan semakin bertambah.

2. Minat dan kadar respon terhadap dakwah

  • Du’at juga perlu mengambil kira respon dan minat mad’u terhadap seruan dakwah. Utamakan dulu kepada mereka yang respon positif dan sahut seruan dakwah walaupun ada kekurangan pada akhlak dan sifatnya perilakunya.
  • Jika kita dapati ada mad’u tertentu memiliki kualiti peribadi unggul namun kurang respon terhadap dakwah, kita perlu memberikan fokus khusus terhadapnya, bersabar, melipat ganda usaha terhadapnya tanpa mengabaikan mereka yang menyambut seruan dakwah.
  • Ini dilakukan sebagaimana  tindakan Rasulullah SAW kepada Umar al-Khattab. Begitu juga bagaimana Allah mencela tindakan Rasulullah SAW yang mengabaikan Abdullah ibn Ummi Makhtum dan tumpu kepada pembesar Quraish yang memiliki kedudukan dan pengaruh.
  • Inilah yang telah ditunjukkan oleh Imam Hasan al-Bana ketika ketika memilih Hasan al-Hudhaibi sebagai mursyid kedua melalui dakwah khusus, hubungan fardi walaupun ramai dari kalangan ikhwan pimpinan tidak mengenalinya.

3. Taqarub (Kedekatan)

  • Untuk memudahkan keberkesanan dan keberhasilan dakwah , da’ie perlu mengambil kira faktor kedekatan / kesamaan.
  • Pilihlah mereka yang dekat dari segi :
  1. Tempat tinggal seperti jiran, rakan dan teman sekerja, rakan sekuliah dan sebagainya.
  2. Usia kerana mendekatkan kefahaman, perasaan, cara fikir dan kejiwaan.
  3. Bakat dan potensi dan taraf sosiol kerana mereka lebih berpengaruh kepada masyarakat sekeliling.
  4. Pilih mereka yang sentiasa berulang alik ke masjid.
  • Seorang da’ie memberikan beberapa ciri orang sesuai dipilih untuk berada di sof dakwah iaitu :
    • Karismatik, matanya menyala-nyala pada wajahnya tekad dan keazaman
    • Memiliki himmah yang tinggi.
    • Pintar dan bijak
    • Ada sifat mulia
    • Aktif bergerak
    • Utamakan kerja dari bercakap.
    • Ruh yang kuat
    • Jiwa yang berani
    • Harga diri tinggi
    • Suka menolong
    • Diri yang suci.
  • Ada  beberapa kaedah dan asas dalam memilih manusia. Dr. Muhammad Nuh di dalam bukunya Fiqh Dakwah Fardiyah memenerikan beberapa asas iaitu :
    • Ada  beberapa kaedah dan asas dalam memilih manusia. Dr. Syed Muhammad Nuh di dalam bukunya Fiqh Dakwah Fardiyah memberikan beberapa asas iaitu :
    • دعوة المسلم مقدمة على دعوة غير المسلم

    • دعوة الأقربين نسبا وجيرة مقدمة على دعوة الأقارب.

    • دعوة الصغير مقدمة على دعوة الكبير.

    • دعوة المتواضع مقدمة على دعوة المتكبر.

    • دعوة المثقف مقدمة على دعوة الأمى.

    • دعوة غير المنتمى مقدمة على غير المنتمى.

    • دعوة زميل العمل أو المهنة مقدمة على غيره.

    • دعوة ذي التأثير والمنعة في قومه مقدمة على دعوة من لا أثر له ولا منعة.

      • Utamakan yang muslim dari bukan Islam.
      • Utamakan yang hampir dengan kita (keturunan @ jiran) dari yang jauh dari kita.
      • Utamakan orang muda dari dewasa.
      • Utamakan yang tawadhuk dari yang sombong.
      • Utamakan yang berilmu dari yang buta huruf.
      • Utamakan yang kosong intima’ dari yang terikat dengan organisasi tertentu.
      • Utamakan rakan kerja dari yang lain.
      • Utamakan kepada yang berpengaruh dan ada autoriti  dari yang tidak berpengaruh dan tidak ada autoriti.
  • Rumusannya seorang da’ie perlu ada fiqh mu’adalah (membuat timbang tara), fiqh ikhtiyar wal intiqo’ (membuat selektif) dan memahami latar sasaran dakwah yang berbeza.
  • Da’ie yang bijak ialah da’ie yang bijak  berdakwah dengan memilih topik dakwah menurut kepentingan dan keutamaan. Lapangan dakwah yang paling memberikan sumbangan dan kontribusi pada dakwah ialah yang paling cepat dan pantas memberikan kesan, menjadikan usahanya yang sedikit menjadi efektif, sesuai dengan tabiat marhalah dakwah tersebut.

Read Full Post »