Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Ogos 2010

Hukum Bukan Islam Ke Masjid

Kenyataan Akhbar Sinar Harian Isnin 30 Ogos 2010

Di dalam buku Fiqh Islami Wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah az-Zuhaily Juzuk 1 Terbitan Dar al-Fikr dalam bab Fi Ahkamil Masjid muka surat 393 menghuraikan seperti berikut :

Menurut pandangan Malikiyyah : Dilarang orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan orang Islam kecuali disebabkan keperluan (dharurat ) satu kerja.

Abu Hanifah pula mengharuskannya bagi orang kafir memasuki masjid.

Menurut Syafieyyah pula harus bagi orang kafir memasuki masjid kecuali Masjid al-Haram dan tanah haram Mekah. Dia boleh bermalam di dalamnya sekalipun dalam keadaan berjunub menurut satu pendapat yang  paling sah(betul) tetapi dengan keizinan orang-orang Islam.

Dalam konteks apa yang terjadi pada Surau  al-Huda Kajang Sentral baru -baru ini terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan iaitu :

1. Orang bukan Islam dibenarkan memasuki  masjid dan surau dengan tujuan yang baik dan bukan untuk melakukan perkara-perkara yang mengancam akidah umat Islam.

2. Orang bukan Islam hendaklah menjaga adab-adab ketika memasuki masjid  seperti memakai pakaian yang bersopan dan sebagainya.

3. Jika sekiranya perbuatan tersebut boleh menimbulkan ketegangan atau salah faham maka sewajarkan menggunakan premis diluar masjid bagi mengelakkan salah tanggapan dan eksploitasi mana-mana pihak yang menyebabkan timbul kemudaratan yang lain.

4. Masjid adalah tempat ibadah dan sewajarnya ia merupakan tempat bebas dari mana-mana sentimen politik sempit yang merugikan umat Islam.

Read Full Post »

  • Tidak dapat disangkal lagi hubungan erat antara sang Daie dan dakwah yang diserunya.Hubungan erat  antara Daie dan dakwah sentiasa terpahat di minda manusia. Seorang Daie menjadi saksi untuk dakwahnya. Ia menjadi persaksian yang kadang-kadang menyebabkan manusia menerima seruan dakwahnya atau menolak seruan tersebut.
  • Manusia yang menerima seruan dakwah berasaskan keyakinan pada prinsip-prinsip yang diyakini amat sedikit pada masakini sedangkan ramai manusia selalunya berinteraksi dengan mereka yang memegang kepada prinsip atau dengan jurubicara prinsip tersebut.
  • Jika prinsip atau mabda’ kuat, murni maka komitmennya tinggi dan jalan mencapainya amat sukar.Begitulah Islam yang mengandungi segala kewajipan dan taklif telah menjadikan mujahadah sebagai jalan untuk mencapai kedudukan tertinggi, berterusan tidak lemah dan terputus.
  • Anologinya jika Sang Daie jauh dari komited (iltizam) dengan kewajipan Islam maka ia akan menjadi objek fitnah dan menjauhkan manusia dari agama Allah, memutus jalan untuk membawa manusia menerima seruan risalahnya.
  • Model atau contoh terbaik dalam hal ini ialah para sahabat r.a . Mereka mempamerkan model terbaik tentang Islam dan dakwah yang mereka seru. Kesannya manusia tertarik dengan seruan dakwah yang disampaikan mereka.
  • Hasan al-Basri mencoretkan gambaran model terbaik generasi sahabat r.a . Katanya : “Telah zahir dari kalangan mereka tanda-tanda kebaikan, rupa, petunjuk dan kebenaran di langi, pakaian mereka yang simple dan berpada, lagak jalan penuh tawaduk,logic yang disusuli amal, makan dan minum dari rezeki yang baik,ketundukan mereka dengan sentiasa melakukan ketaatan jepada tuhan mereka,dipandu dengan kebenaran samada pada perkara yang mereka suka atau benci,memberi apa sahaja demi kebenaran dari jiwa mereka,memandang ringan kemurkaan makhluk demi mencapai redha Allah,lisan mereka sibuk berzikir, mereka mengorbankan darah mereka ketika diminta pertolongan, juga harta ketika dalam keadaan memerlukan wang,indah akhlak mereka dan mulia perlakuan mereka.”
  • Para sahabat telah memberikan gambaran terbaik tentang hakikat ad-Deen dalam bentuk yang terang dan mulia dikalangan manusia. Mereka tegar menghadapi ujian dan cobaan, meninggalkan jalan rukhshah (pilih jalan azimah) yang mungkin menjadi sebab fitnah kepada golongan yang tidak beriman.
  • Lihatlah kehebatan dan kekuatan Abdullah b. Huzaifah as-Sahmy , sahabat Rasulullah SAW yang ditawan Rom.Beliau telah diuji dengan ujian yang dahsyat agar keluar Islam. Beliau telah disalib, dipanah dengan busur, dicampakkan dalam bekas air yang mendidih . Raja bertanya : “ Mengapa kamu menangis?.”. Kata Abdullah : “aku bercita-cita diberikan 100 nyawa agar dicampakkan seperti ini demi kerana allah (mempertahankan iman). Maka Raja Rom berasa hairan dan takjub dengan pendirian sahabat Rasulullah s.a.w.
  • Apabila  penduduk  negara-negara pembukaan Islam (al-fath al-islami) melihat perilaku, akhlak dan kebenaran akidah yang dibawa oleh para sahabat r.a , melihat kethabatan akidah mereka , contoh unggul para sahabat ra.kepada manhaj Islam, lantas mereka terus menerima  (memeluk) Islam.
  • Ibnu Qaiyyim mencoretkan kenapa ramai orang-orang Nasrani tertarik dan memeluk Islam. Ini adalah qudwah dan contoh yang baik yang telah ditunjukkan oleh para sahabat r.a.Kata Ibnu Qaiyyim : [Sesungguhnya kami telah berdakwah, juga orang yang selain kami turut berdakwah pada ramai ahli Kitab kepada Islam, mereka memberitahu kami bahawa halangan bagi mereka (memeluk Islam) adalah apabila mereka sikap dan contoh yang ada pada orang Islam…]. Ungkapan ini dilontarkan oleh Ibnu Qayyim pada abad 18 hijrah. Bagaimana pula pandangan beliau apabila melihat realiti umat islam yang berbeza pada abad ini.
  • Seorang Daie boleh jadi seorang yang terkenal di dalam masyarakat atau tidak dikenali di sisi mereka.Apabila beliau melalui jalan dakwah, maka sifat Istiqamah,warak adalah kunci penerimaan manusia akan dakwahnya. Ia akan menjadi pendorong manusia menerima risalahnya dan kata-katanya berbekas ke lubuk hati manusia.
  • Sebaliknya jika Sang Daie tadi tidak menunjukkan contoh yang baik dari aspek komitmen keislamannya, maka kata-katanya ibarat panah yang tidak mencapai sasaran.
  • Al-Mawardi di dalam kitab “ Adab ad-Dunya wa ad-Deen” mengungkapkan kata-kata Ali b. Abi Talib : [ Sesungguhnya manusia menjadi zuhud di dalam menuntut ilmu tatkala mereka melihat sedikit sekali untuk manfaatkan ilmu yang mereka tahu..telah dikatakan sebaik-baik kata apa yang dipraktikannya, sebaik-baik yang betul apa yang disebutkan, sebaik-baik ilmu apa yang ditanggungnya [diamalkan & bermanfaat].
  • Kata orang-orang solih ; [ ilmu sentiasa memanggil (berteriak) kepada amal , jika kamu menyahutnya maka bergunalah (ilmu) tersebut kecuali ia akan pergi  (berlalu ) sahaja..]. Sebahagian para pujangga bahasa pernah berkata :         [ Daripada kesempurnaan ilmu ia menggunakannya (beramal dengannya) manakala daripada kesempurnaan amal pula ia membebaskannya iaitu bersungguh-sungguh melaksanakannya sedikit demi sedikit..]
  • Sang Daie yang tidak dikenali manusia, maka kata-katanya kekal tergantung, tidak ada yang menerima atau menolak. Jika manusia mengenali daya istiqamah dan contoh yang boleh diikuti maka kata-katanya berada di posisi penerimaan dan bulatan pengaruh.
  • Sebenarnya kehidupan seorang Daie samada bersifat umum atau khusus menjadi tempat pemerhatian semua manusia. Mata-mata manusia sentiasa memerhati dan menilai keperibadiannya. Manusia akan menjadi pembesar suara terhadap apa yang dia lakukan. Sebelum Sang Daie meminta manusia meninggalkan ghibah (membicarakan keburukan dirinya) maka sewajarnya ia menolak ghibah dan tohmah ke atas dirinya dahulu. Sang Daie hendaklah sentiasa menjaga kehidupannya yang bersifat umum atau khusus sebelum terbongkar pekung dirinya (terdedah keaibannya).

Read Full Post »

Read Full Post »

  • Dakwah akan hidup subur, berkembang dan makmur dengan mengambil kira faktor-faktor usaha manusia. Daie yang sebenar-benarnya ialah mereka yang mampu menggunakan faktor sebab dan musabab untuk tujuan dakwah sebagaimana Rasulullah mengambil kira faktor sebab musabab dan teknik-teknik semasa (terkini) dalam menjayakan misi dakwahnya.
  • Sirah menunjukkan bagaimana para Sahabat R.A berbeza pendapat dengan Nabi SAW dan cuai dalam mengambil kira faktor sebab dan musabab telah memberikan kesan yang menyedihkan (menyakitkan) di dalam Perang Uhud walaupun Rasulullah bersama mereka dan wahyu turun kepadanya.
  • Firman allah “la yukallifullahi nafsan illa wus’ahaa..” bermaksud beban atau taklif itu terikat dengan kemampuan dan kesungguhan melaksanakan perkara tersebut. Imam Qurtubi di dalam tafsirnya menjelaskan :” Allah menayatakan bahawa Dia tidak membebankan hambaNya waktu turun ayat dengan mana-mana ibadat (ibadat hati atau ibadat anggota) melainkan dalam skop keupayaan mukallaf dan dalam lingkungan pengetahuannya (mampu melaksanakannya) dan dengan niatnya..”.
  • Seorang Daie mencurahkan sepenuh daya usaha kemampuannya demi mencapai tuntutan dakwahnya yang besar dan luas.Manusia berbeza dari sudut keupayaan dan kapasitinya tetapi dia perlu melakukan yang optimum bagi mencapai objektif dakwahnya.Usaha sang Daie itu hendaklah sentiasa meningkat dan bertambah dari semasa ke semasa.
  • Para sahabat R.A berpegang dengan neraca ini. Kita dapati mereka berjihad, berjuang dan ramai antara mereka mati diluar negara mereka. Lihatlah Abu Ayyub al- Ansori dikebumikan di Kota Konstantinople, Ummu Haram b. Malham di Cpyrus, Uqbah b. ‘Amir di Mesir dan Bilal b. Rabah di Damsyik.
  • Mereka bertebaran ke seluruh pelusuk dunia semata-mata untuk mengangkat panji-panji Islam dan mengorbankan harga yang paling tinggi atau rendah semata-mata kerananya.Ini kerana mereka berpegang pada konsep “la yu kallifullah illa wus ‘aahaa..”.
  • Lihatlah para sahabat r.a seusai Perang Uhud,terus menyahut seruan allah swt untuk berdepan dengan orang-orang Musyrik. Kata Usaid b. Hudhir : ” Dengar dan Taat kepada perintah Allah dan Rasul walaupun ada 7 luka kecederaan.Begitu juga Thufail b. an-Nu’man yang mengalami 13 luka, begitu juga Bakhras b. As-Sommah yang mengalami 10 luka
  • Ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Irodah Qowiyyah ( kehendak yang kuat) yang diberikan dari usaha akan dapat menghadapi cabaran dan penderitaan. Sedangkan kehendak (kemampuan) yang lemah  akan tetap lemah sekalipun ada wasilah dan keupayaannya.
  • Kemampuan adalah merupakan dorongan dalaman yang menagarh untuk mencapai tujuan tersebut dengan izin allah. Tanpanya seseorang itu akan ditimpa kelemahan. Justeru itu Nabi SAW mengajar kita dengan satu doa : “Ya allah, kami berlindung dari sifat sedih dan dukacita, dari lemah dan malas, dari penakit dan bakhil, dari sifat menanggung hutang dan dikuasai orang lain..”
  • Rasulullah pernah mengingatkan  kita di dalam satu hadis yang bermaksud : “Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai Allah dari mukmin yang lemah, dalam semua kebaikan hendaklah kamu berusaha mencapai apa yang member manfaat kepadaMu, pintalah pertolongan dari Allah dan janganlah kamu merasa lemah..”[riwayat Muslim].
  • Perasan lemah dan rasa tidak mampu yang sentiasa meniti dibibir para duat akan mengabaikan tenaga Islam dan melambatkan kenderaan dakwah.
  • Sang Daie yang tidak mempromosikan dirinya untuk menebar dan melimpahkan  dakwahnya, tanpa rasa takut pada kegagalan, tidak terbeban dengan kritikan khalayak, sesungguhnya dia tidak akan maju dan sampai ke tahap taujih dan taghyir (melakukan perubahan).

Apakah ukuran batasan kemampuan tersebut :

Allah menjelaskan perkara tersebut di dalam firmanya :

  1. Sesungguhnya orang-orang beriman,yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, yang memberi tempat tinggal, yang memberi bantuan, mereka itulah orang-orang mukmin yang sebenarnya. [ Anfal : 74 ]
  2. Dan orang-orang yang beriman, yang berhijrah dan berjihad di jalan allah dengan harta dan jiwa mereka  adalah semulia-mulia kedudukan di sisi allah. [ Taubah : 20]
  3. Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang beriman dengan allah dan Rasulnya kemudian tiada keraguan lantas berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan allah. [Hujurat : 15]
  4. Berangkatlah kamu ke medan perang samada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu pada jalan allah. [Taubah : 41 ]

Maksud firman allah [ Infiru khifafan wa thiqaala ] merangkumi 7 kategori manusia:

  1. Rasa ringan untuk berjihad atas sebab keaktifan kamu terhadapnya dan rasa berat atas beban kesukaran yang terpaksa kamu menanggungnya.
  2. Ringan atas sedikit beban belanja keluarga kamu dan berat atas banyaknya tanggungan keluarga kamu.
  3. Ringan untuk memikul senjata dan berat  memikul senjata.
  4. Orang yang berkenderaan dan yang berjalan.
  5. Orang muda dan orang tua.
  6. Orang yang berbadan kurus dan yang berbadan gemuk.
  7. Orang yang sihat dan orang yang sakit.

Para ulama menyatakan  semua kategori manusia termasuk dalam menyahut tuntutan jihad ini kerana ia bersifat  gambaran. Kata Mujahid : “ Abu Ayyub telah mempersaksikan jihadnya  dalam medan Badar bersama Rasulullah SAW dan tidak mundur dalam semua peperangan yang ditempuh oleh orang-orang Islam..”.Begitu juga jihad Sofwan b. Amru . Walaupun sudah menjadi Gabenor Hims dalam usia yang sudah tua. Katanya pada anak saudaranya : “ Wahai anak saudaraku ! allah meminta kita agar mara berjihad samada ketika waktu ringan atau berat. Ingatlah ! sesungguhnya siapa yang dicintai allah pasti akan diujinya..”. Saeed b. Musayyib pergi berjihad dan telah hilang kedua belah matanya. Telah dikatakan padanya : “kamu cacat dan ada mudarat”. Maka jawab Saeed : “Berperang kamu ke jalan allah samada ringan atau berat, jika aku lemah dari berjihad aku akan pasti banyakkan harta dan menjaga segala benda keperluan”.Telah dikatakan pada Miqdad b. al-Aswad sedangkan belian teringin untuk pergi berjihad : “ Kamu sudah uzur..”. Maka kata beliau : “Allah telah menurunkan ke atas kami di dalam surah Baraah [ Infiru khifafan wa thiqhalaa..].

Dakwah adalah gerakan (berjihad ) ke jalan allah

  • Jihad  ke jalan allah tidak terhenti pada jihad Qital (perang) bahkan ia bersifat umum . Termasuk dalam pengertian ini ialah berdakwah ke jalan allah sebagaimana firman allah dalam ayat 122 di dalam surah at-Taubah. Imam Ar-Razi apabila mengulas tentang ayat ini menayatkan bahawa Rasulullah SAW membahagikan dua kelompok dalam amal jihad. Pertama : bergerak ke medan perang dan jihad dan yang kedua tinggal bersama Rasulullah SAW.Kelompok yang pergi ke medan jihad menjadi pengganti kepada kelompok kedua dalam soal jihad manakala kelompok kedua pula  menjadi pengganti kelompok pertama di dalam soal tafaqquh (mendalami urusan agama). Dengan ini urusan agama menjadi sempurna dengan peranan dua kelompok ini.
  • Lantaran itu seorang muslim dituntut mencurahkan sepenuh tenaga, usahanya,bertanggungjawab terhadap taklif pada dirinya untuk membantu dan memenangkan Islam dalam pelbagai bentuk jihad.paling asas berdakwah dengan penuh hikmah dan member peringatan yang baik. Biarpun Islam tidak meminta sang buta untuk memberikan apa yang termampu olehnya dibandingkan dengan yang mampu melihat, tetapi semuanya mesti mencurahkan segala usahanya yang termampu sebagai menyahut perintah infiru khifafan wa thiqaala.
  • Seorang mukmin dituntut mencapai darjat ketaqwaan yang tinggi berdasarkan kemampuan dan usahanya. Darjat ketaqwaan insan akan meningkat dengan meningkatnya nilai ilmu, menyukuri segala nikmat dan melakukan amal yang banyak.
  • Syu’ur  takut akan kekurangan dalam mengorbankan segala yang ada untuk berjihad dan keadaan orang takut berkorban segala  usahanya untuk mencapai darjat ketaqwaan adalah merupakan satu kedudukan dari kedudukan golongan Siddiqin.Ini akan menjadikannya menuju ke tingkatan yang tinggi , suci dari sifat riak dan mencari sanjunagn dan menajamkan himmah menuju sebaik-baik amal.
  • Seorang Daie yang sampai tahap rasa takut dan rasa kasih sayang allah akan menjadi pendorong untuk bersifat Sidq (benar) dalam menentukan  keupayaan dan kemampuannya dalam amal dakwah dan jihadnya.

Read Full Post »

Pada 31 Julai yang lalu, saya menerima kunjungan ziarah dari pelajar-pelajar tahun satu KTT ( Kolej Teknologi Timur Sepang) dan pelajar – pelajar tahun 2 KMB ( Kolej Mara Banting). Mereka ini merupakan pelajar tajaan JPA dan Mara yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pelajar KTT akan melanjutkan pelajaran ke India manakala dari KMB pula akan ke UK, Australia dan Amerika.Kebanyakkan mereka bakal mengambil jurusan perubatan, pergigian dan kejuruteraan.

Semasa sesi taaruf, saya dapati mereka merupakan lepasan SBP dan Mara.Mereka datang dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Serawak. Sesi perkongsian ringkas ini, saya tumpukan kepada agenda membangunkan kualiti umat dan peranan kita sebagai para pelajar melayu terpilih. Saya bicarakan apa pentingnya dua institusi besar ini iaitu SBP dan MRSM dari sudut agenda membina kekuatan umat Melayu.

SBP dan MRSM memang sudah sinonim sebagai sekolah terpilih dan cemerlang.SBP merupakan wadah menghimpunkan para pelajar melayu cemerlang dari luar bandar agar mendapat pendidikan yang sempurna dan terbaik bagi mengkader mereka menjadi pemimpin masa depan. Begitu juga penubuhan MRSM sebagai institusi pendidikan untuk anak-anak melayu supaya mendapat peluang pendidikan terbaik. Semua ini adalah agenda mengangkat martabat dan kedudukan akademik anak-anak melayu.

Kalau kita mahu telusuri akar penubuhan SBP dan MRSM, maka sudah tidak dapat disangkal lagi ,ia adalah medium memperkasa pendidikan anak bangsa melayu khususnya dari luar bandar. Persoalannya apakah hasrat murni dan matlamat tersebut tercapai ?. Apakah agenda memperkukuhkan identity bangsa melayu yang kuat akar bangsa dan akar islamnya terhasil ?. Semua ini menuntut kepada satu muhasabah holistic disebalik kebanjiran penubuhan SBP dan MRSM bagaikan cendawan membiak selepas hujan.

Saya menegaskan bahawa dalam kita ingin melihat masa depan yang baik, kita sebagai umat melayu perlu memiliki agenda. Agenda umat melayu mestilah disejajarkan dengan matlamat besar (khilafatullah) dan bangsa yang memiliki risalah. Saya tekankan tidak cukup kita berhempas pulas mengejar kecemerlangan akademik tanpa kita membawa risalah besar. Ini kerana kecemerlangan akademik  tanpa diadunkan dengan risalah akan menyebabkan kita terperangkap dengan agenda orang lain. Agenda tersebut menghakis ketuanan Islam dan ketuanan bangsa sendiri yang akhirnya mereka lupa akar agama dan identiti sendiri.

Mana-mana bangsa yang tiada ada agenda,maka mereka adalah bangsa yang tiada jatidiri. Bangsa yang tidak ada jatiditi bermakna ia tidak memiliki identity (sahsiah). Bangsa yang tidak memiliki jatidiri akan mudah dipengaruhi dan diperkotak katikkan oleh agenda orang lain. Bangsa itu akhirnya akan lemah dan dijajah oleh orang lain.

Justeru saya ingatkan mereka sebagai pelajar yang cemerlang supaya mereka memiliki agenda hidup yang jelas, berjiwa besar dan berfikir sebagai seorang negarawan. Untuk melakukan perubahan besar, membina khilafah yang hilang memerlukan asas perubahan yang kuat. Perubahan itu memerlukan usaha dan kerja yang besar. Kerja yang besar itu bermula dari kesedaran dan perubahan diri. Jalan untuk berubah itu satu, jalan yang telah dilakarkan olen baginda SAW dan para sahabat r.a. Manhaj yang satu dan jelas serta terbukti berjaya , itulah manhaj an-nabawi yang mendapat didikan dan bimbingan terus dari allah swt, manhaj tarbiyah islamiah harakiyah.

Jika peranan risalah ini dapat direalisasikan dalam kehidupan seorang pelajar dan agenda membangunkan kualiti umat ini wujud. Maka masa depan umat khususnya Melayu akan cerah.Oleh itu membina fikrah umat melayu yang memiliki agenda adalah satu keperluan mendesak. Kesedaran yang holistic dari pelajar cemerlang SBP dan MRSM akan mempercepatkan arus perubahan ini. SBP bukan sinonim sebagai “sekolah budak pandai” tapi harus menganjak sebagai “sekolah bina pemimpin” iaitu pemimpin umat yang kompeten, berjiwa islamis, berakar melayu, berakal global, berminda reformis,membumi visi dan misinya, menunjang dan mengangkasa agenda perjuangannya.

Seorang wartawan bertanya Imam Hasan al-Bana tentang dirinya, tentang agenda hidupnya. Jawab beliau :

“ Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.

Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru : Solatku, ibadatku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutuiNya. Inilah yang diperintahkan kepadaku dan saya salah seorang yang menyerah diri..Inilah saya, anda pula siapa..”

Jadilah manusia yang ada agenda..manusia yang memikul risalah…

Read Full Post »