Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2013

Tarbiyah

“Manhaj tarbiyah terlalu padat dan akademik…tak sempat habis kalau ikut timeline…”

“ Manhaj kali ini terlalu banyak paksi…tak mampu nak bawa…”

“ Ana tak mahir bahasa arab dan bukan ada background agama…ana tak mampu nak bawa usrah dengan manhaj macam ini…”

“ Course yang ana ambik  agak sibuk…tak sempat mutabaah anak buah..cukup online dan buat usrah jer…”

Ini antara soalan- soalan yang sering ditanya ketika saya membentang tajuk  tarbiyah atau yang ada kaitan dengan tarbiyah. Apabila berbicara tentang tarbiyah ia melibatkan isu konsep, manhaj, pelaksanan tarbiyah dan outcome dari operasi tarbiyah tersebut.

Para murobbi kekadang terlalu bergantung kepada menekankan soal manhaj lalu melupakan perkara yang penting dari tarbiyah itu iaitu bidang keberhasilan (outcome). Untuk mendapatkan outcome tersebut, mahu tidak mahu peranan besar terletak pada bahu Murobbi. Di sini timbul konflik bagaimana untuk membuat kolarasi antara dua perkara ini bagi mencapai objektif tarbiyah yang telah ditetapkan oleh gerakan Islam.

Isu tarbiyah sering kali menjadi paksi perbincangan dalam menentukan kelansungan hayat gerakan Islam. Bahkan ia bersifat fundamental bagi menentukan ‘outcome’ gerakan Islam di dalam melalui fasa-fasa perjuangannya.

Apabila berbicara tentang tarbiyah, kita tidak lari dari membicarakan tentang asas-asas menjayakan proses tarbiyah tersebut iaitu 3M 1B [ Murobbi + Mutarobbi + Manhaj + Biah]. Elemen-elemen ini merupakan faktor-faktor bagi menghasilkan ‘outcome’  tarbiyah.

Sebelum kita melihat isu ini secara mikro, elok kita melihat isu yang lebih makro iaitu menentukan definisi tarbiyah. Tarbiyah dari sudut bahasa ialah berkembang, meningkat dan membesar. Proses perkembangan ini perlu melalui satu suasana yang sukar, payah dan sulit. Ia bukan sekadar himpunan teori tetapi hasil latih tubi yang berterusan sehingga melahirkan pengalaman baru, realistik dan membumi di medan yang sebenar.

Sirah Rasulullah  SAW dan para sahabat adalah hujah yang praktikal menjelaskan hakikat ini. Ia bukan sekadar taujih dan khitob aqli (ucapan yang meransang akal) sahaja tetapi diterjemahkan ke dalam bahasa perlakuan ataupun di sebut sebagai amali. Dengan erti kata lain Rasulullah SAW selaku murobbi, menjadi qudwah terhadap apa yang diungkapkan serta hidup bersama para sahabat r.a dalam realiti yang sebenar. Dalam bahasa yang mudah proses tarbiyah perlu kepada ‘muayasah’ [pergaulan seharian dalam kehidupan], mu’aanat [ sanggup menghadapi kepayahan], ta’alim wa taujih     [memberikan pengajaran dan penalaan], ta’allum [ proses pembelajaran ], mutabaah [ follow-up  yang berterusan] serta taqyim [membuat penilaian dan pentaksiran ]. Itulah gambaran Murobbi Kamil Rasulullah SAW sebagaimana yang dijelaskan al-Quran peranan baginda SAW di dalam Surah al-Baqorah 151 yang bermaksud :

151. (Nikmat berkiblatkan Kaabah Yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan Yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa Yang belum kamu ketahui.

Ia adalah proses yang merangkumi 3 dimensi asas iaitu :

1.  1. Tilawah [ berkait dengan proses audio-visual / pandang –dengar secara talaqqi]

2.      2. Tazkiyah [ berkaitan dengan jiwa ]

3.      3. Ta’lim. [ ilmu dan kemahiran ]

Tarbiyah_by_luzeon

Ringkasnya tarbiyah itu bukan sekadar proses pengumpulan maklumat atau ilmu atau teori tetapi membumikan kefahaman tersebut dalam menterjemahkannya kepada perubahan tingkahlaku dan sikap. Dalam konteks ini ia adalah satu proses mengetahui dan memahami, kemudian merasai dan merubah dalam bentuk perilaku hasil dari latih tubi yang berterusan, sukar dan menyulitkan.

Secara mikro untuk menjayakan perkara tersebut ia memerlukan dua elemen penting  iaitu murobbi dan manhaj tanpa menidakkan faktor mutarobbi dan biah. Ini kerana faktor mutarobbi dan biah ada sinergi dengan kedua-dua faktor di atas.

Apa yang menjadi pertimbangan gerakan Islam ialah melihat kedua-dua faktor domain ini. Ada yang melihat kegagalan gerakan Islam mencapai ambisi perjuangannya ialah disebabkan faktor kelemahan manhaj. Mungkin juga yang berpendapat disebabkan faktor Murobbi.

Kedua-dua elemen ini sebenarnya saling berkolarasi dan amat dekat antara satu sama lain. Ini kerana Murobbi  merupakan paksi asasi di dalam proses tarbiyah. Murobbi merupakan kuasa pengaruh di dalam mentarbiyah mutarobbinya melalui himpunan pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan cara fikirnya. Murobbi juga merupakan unsur yang dapat memandu dan mentaujih orang lain dengan qudwah yang ditunjukkannya. Dengan keupayaan pegangan agama yang baik, akhlak, ilmu, thaqofah akan memberi pengaruh tidak langsung kepada mutarobbinya. Justeru Murobbi merupakan tonggak paling penting bagi menjayakan proses tarbiyah.

Sedangkan manhaj semata-mata, sekalipun ia digubal sekemas yang mungkin atau sehebat mana pun tidak akan mencapai ‘outcome’ yang diharapkan. Manhaj akan hanya menjadi tinta dakwat di atas kertas selagi ia tidak dilukis oleh para murobbi dalam bentuk yang hidup, dinamik dan praktikal, membumi di dalam lingkungan hidupnya, menterjemah ke alam realiti apa yang dia rasai dan lalui dari proses tarbiyah tersebut. Proses tarbiyah yang menterjemah hakikat tarbiyah dari sudut perasaan, jiwa, akhlak, tingkah laku, tindakan sehingga menjiwai di dalam hidupnya dan ia tidak sekadar bahasa akal dan lisan.

th_pohon-tarbiyahDengan kata lain peranan murobbi berada di posisi penting dalam menjayakan tumuhat [cita-cita] jamaah kerana ia menyiapkan para kader yang berkualiti dan mampu menjadi agen perubahan. Di sini seorang Murobbi itu dapat menunjukkan contoh yang boleh dilihat dan dirasai serta menjadi penterjamah hidup bagi kurikulum tarbiyah. Itulah para Sahabat R.A yang menjadi helaian al-Quran yang bergerak sebagaimana kata Syed Qutb. Mereka adalah al-Quran yang hidup dan praktikal. Akhlak Rasulullah SAW sendiri diungkapkan oleh Saidatina Aisyah r.a.h sebagai al-Quran. Dengan keikhlasan seorang murobbi di dalam melaksanakan proses tarbiyah ia lebih memberikan kuasa pengaruh kepada mutarobbinya dari cukup dengan sekadar bertalaqqi.

Berjaya atau gagal manhaj tarbiyah bagi mencapai obsesi gerakan Islam terletak kepada kekutan Murobbi. Murobbi adalah motor penggerak atau katalis bagi menjaya dan menyempurna manhaj. Murobbi ibarat bekas  takungan tarbiyah yang menakung semua ahli kemudian mengadun dan memproses manusia ini menjadi batu bata kepada perjuangan untuk merubah umat sehingga mendaki tangga-tangga ustaziyatul alam.

Fiqh tarbiyah menyatakan para salafussolih terdahulu bukan sekadar menimba ilmu dari para murobbi atau para cendekiawan semata-mata tetapi juga menimba akhlak, adab dan suluk. Dalam erti kata lain tarbiyah orang terdahulu menghimpunkan ilmu dan pengalaman praktis [ ilmu dan amal].

Oleh kerana itu , seorang murobbi adalah madrasah tarbiyah yang unggul bagi melahirkan para pelajarnya agar menjadikan Allah sebagai Robnya dan matlamat hidupnya, Rasulullah sebagai manhaj ikutannya sehingga keyakinan dan keimanan ini menjadikannya sanggup menyerahkan segala jiwa, darah, harta, dirinya demi untuk dakwah dan memartabatkan agenda perjuangan.

Konklusinya , jatuh bangun gerakan Islam terletak pada kekuatan tarbiyah sebagai sumber menggerakkan organ jamaah. Manakala kekuatan tarbiyah tidak terhenti pada kekuatan kurikulum semata-mata tetapi pada kekuatan penggerak kurikulum iaitu Murobbi. Tiada pemisahan antara murobbi dan manhaj dalam menjayakan agenda tarbiyah bagi melahirkan para kader dan rijal harokah untuk mengisi vacum perjuangan Islam, menjadi agen perubahan untuk menyonsong satu kebangkitan.

Saya selalu menyakini ungkapan ini :

Manhaj penting tetapi melaksanakan wasilah tarbiyah amat penting. Wasilah Tarbiyah juga penting namun Diri Murobbi itu lebih penting dari wasilah tarbiyah. Manakala hadirnya Murobbi ke liqa tarbawi penting tetapi urgensi Ruh  seorang Murobbi lebih penting dari jasad Murobbi dalam menggerakkan usaha tarbiyah”.

Teringat kalam berguna dari Syeikh Abdullah al-Ahdal  yang merupakan seorang syeikh tarbiyah di dalam kata-katanya : “ La budda lil al-akh as-sodiq an yakuna murobbiyan” – [ Setiap akh yang benar mesti menjadi Murobbi]. Syiar kita “Tarbiyah Madal Hayat” – Tarbiyah sepanjang hidup.

Advertisements

Read Full Post »