Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mac 2012

Saudaraku  Ikhwah al-Murobbi…

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih menjadi Murobbi. Ucapkanlah  ‘Alhamdulillah’ kerana kita dipilih untuk melaksanakan semulia-mulia tugas para nabi dan rasul , tugas tilawah , ta’lim dan tazkiyah. Kita menggalang ganti dan mewariskan kerja-kerja peninggalan Rasulullah SAW yang menghabiskan sisa-sisa hidupnya mentarbiyah dan membimbing umat. Marilah kita merenung satu kata-kata  inspirasi ini :

“Sebesar apa pun yang anda sumbangkan untuk dakwah Islam maka itu kecil nilainya bagi dakwah yang sangat luas ini. Akan tetapi sekecil apa pun yang yang anda sumbangkan bagi dakwah ini maka sangat besar nilainya bagi anda sendiri..”.

Ikhwati al-Murobbi

Sesungguhnya mas’uliyyah kamu sebagai murobbi terhadap Mutarobbi adalah satu intergriti, satu bai’ah ( akad janji) antara satu pihak dengan satu pihak yang lain. Ia adalah satu persaksian di hadapan Allah adan allah akan menjadi saksi terhadap apa yang kita lakukan. Maka sempurnakanlah janji kamu : Firman Allah yang bermaksud :

  1. Wahai orang-orang Yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. [Al-Maidah :1]

Wahai Murobbi, sempurnakanlah janji kamu dengan sebaik-baiknya, sempurnakanlah janji kamu untuk memberikan taujih dan penyeliaan di dalam gerak kerja tarbiyah mutarobbimu, melakukan proses merubah mutorabbimu secara positif melalui mu’ayasyah (pergaulan), mutaba’ah (follow-up) yang memakan masa yang panjang. Semuanya itu berlaku dengan kefahaman dan rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap kerja-kerja tarbiyah , rasa sensitiviti tarbiyah, faham abjadiyat tarbiyah yang sebenar, tahu marhalah dan objektif dan melaksanakan semua wasilah tarbiyah.

Ingatlah tugas utamamu terhadap ikhwah mutarobbimu ialah memberikan tumpuan terhadap mereka, meningkatkan kemampuan mereka sehingga ia menjadi satu suluk [perilaku]. Sesungguhnya kejayaan kamu merubah mutarobbimu dari aspek teori kepada praktikal bergantung kepada proses tarbiyah yang syumul [kognitif-afektif-psikomotor]. Ia tidak dilihat pada sebanyak mana wasilah atau aktiviti dakwah yang  mereka terlibat. Titik kejayaan tarbiyah terletak di tangan anda sebagai seorang Murobbi.

Ikhwah al_Murobbi…

Ingatlah , kejayaan anda mendidik mutarobbi anda bergantung kepada diri anda. Mata-mata mereka tertumpu kepada diri anda. Janganlah anda menjadi fitnah kepada mereka. Kamu menjadi qudwah dan contoh mithali bagi kehidupan mereka, kamu adalah sumber didikan mereka, kamu adalah rujukan setiap perkara di dalam hidup mereka.

Janganlah kamu menampilkan contoh buruk kepada mereka. Alangkah ruginya anda sebagai murobbi tidak menunjukkan contoh yang baik . jika anda lalai di dalam melaksanaka perkara fardhu, maka mutarobbi anda pun akan lalai, jika anda bersikap mudah di dalam soala ibadah, maka mereka pun akan mengambil sikap mudah. Sesungguhnya menunjukkan contoh dengan bahasa perbuatan lebih kuat dari bahasa percakapan.

Ketahuilah, thiqah itu dibina bukan diberi.  Untuk mendapatkan thiqah dari mutarobbi ia terhasil dari perlakuan qudwah, hubungan yang positif, kontribusi yang berterusan, ketawadhukanmu dan kebenaran amalmu. Ingatlah di luar sana ramai para mutarobbimu melihat dakwahmu, amalmu dan menilai setiap kalimah yang kamu ungkapkan. Bertaqwalah kepada allah wahai Murobbi akan dosa-dosamu..

Wahai Murobbi..

Sesungguhnya faktor kejayaan di dalam tarbiyah kamu terhadap mutarobbimu selepas taufik dan pertolongan dari allah ialah kamu melakukannya dahulu. Bersungguh-sungguhlah kamu mempraktikkannya dahulu. Tunjukkan contoh amali dan hidup kepada mereka. Ingatlah firman Allah di dalam surah al-Syarh ayat 7 yang bermaksud :

“ Jika kamu kosong (dari dakwah dan jihad) maka isikanlah dengan melakukan ibadah kepadanya”.

Nabi SAW bersabda :

“مثل الذي يُعلِّم الناس الخير وينسى نفسه، مثل الفتيلة، تُضيء للناس وتحرق نفسها”

 Perumpamaan orang yang mengajar kebaikan kepa manusia lain dan lupa pada dirinya seperti lilin yang menerangi manusia tetapi membakar diriny

Akh al-Murobbi..

Latihlah diri kamu bersikap tawadhuk. Ini kerana sifat tawadhuk akan cepat memberikan kesan kepada mutarobbimu. Antara sikap tawadhukmu ialah tidak merasakan dirimu istimewa berbanding mereka. Latihkan dirimu merasakan anda kurang berbanding dari ikhwah anda, anggapkan mereka lebih daripada anda agar dengan ini akan memudahkan anda berinteraksi dengan mereka, menyatukan hati mereka. Ini akan memudahkan anda melakukan teguran atas kelalaian sikap mereka.

Wahai Murobbi..!

Biasakanlah mendengar nasihat mereka, pohonlah maaf daripada mereka jika terlanjur melakuakn kesilapan. Ia sedikat tidak mengurang kehebatan anda sebagai seorang Murobbi bahkan akan meninggikan darjat anda di sisi mereka. Terimalah teguran mereka dengan hati terbuka dan berlapang dada. Bersedia atau tidak malu untuk mengatakan ‘saya tidak tahu’ ketika ditanya sesuatu yang anda memang tidak ketahui dan janganlah menggunakan kuasa veto sebagai Murobbi kecuali pada batasan yang dibenarkan.

Akhi al- Murobbi..

Satu perkara lagi yang akan meninggikan kehebatanmu di sisi Mutarobbimu ialah tidak melihat kesalahan dan sejarah silam mereka sebagai ukuran penilaianmu. Berilah angka sepulub kepada mereka. Lupakanlah kejahatan dan keburukan mereka , kerana mereka adalah manusia yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Jadilah du’at bukan qhudzat [pendakwah dan bukan penghukum]. Ambillah ‘ibrah dari kisah Musa a.s berdepan dengan Firaun pada ayat 18-22 surah As- Syu’araa yang bermaksud :

18. Firaun menjawab: “Bukankah Kami telah memeliharamu Dalam kalangan Kami semasa Engkau kanak-kanak Yang baharu lahir, serta Engkau telah tinggal Dalam kalangan Kami beberapa tahun dari umurmu?

19. “Dan (bukankah) Engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) Yang telah Engkau lakukan dan (dengan itu) Engkau dari orang-orang Yang tidak mengenang budi?”

20. Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan Yang demikian sedang Aku ketika itu dari orang-orang Yang belum mendapat petunjuk.

21. “Lalu Aku melarikan diri dari kamu, ketika Aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya.

22. “Dan budimu memeliharaku Yang Engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana Engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.

Akhi al- Murobbi..

Sentiasalah merefleksi diri sebagai seorang Murobbi. Bermujahadahlah untuk mengoreksi diri dari sudut ruhi dan maknawi. Antara cara yang terbaik ialah berdoa kepada Allah dengan penuh kehambaan agar Allah sentiasa memberikan hidayah dan kebenaran kepada jiwa dan lisan anda. Jangnlah lupa untuk muhasabah diri. Ingatlah hadis Rasulullah SAW  :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “لا أجر لمن لا حِسبة له” (حسن: أخرجه ابن المبارك في الزهد “1/49، رقم 152″، وأورده الألباني في صحيح الجامع برقم (2415) :

:Maksudnya

“Tidak ada balasan pahala bagi orang yang tidak muhasabah dirinya”

Antara langkah yang boleh dilakukan ialah :

  •  Mengingatkan diri anda akan rasa mas’uliyah tarbiyah sebelum pergi liqo’.
  • Mengikhlaskan niat kerana Allah dan mengharapkan redhanya.
  • Memberikan dorongan pada diri  anda akan ganjaran pahala jika melakukannya dengan sebaik mungkin dan memberikan ancaman pada diri jika anda mengabaikannya.

Semoga pesanan ini menjadi peringatan buat para Murobbi sekalian. Kita berdoa agar allah mengurniakan taufik dan petunjuknya kepada kita.Ya allah, ampunilah dosa kami, ampunilah dosa mutarobbi kami, tempatkanlah kami ke dalam Syurgamu bersama para anabi-nabi, para solihin , para Siddiqin dan para Syuhadak..

Read Full Post »

Dakwah adalah seruan mengajak manusia ke jalan allah. Ia adalah semulia-mulia tugas para nabi dan rasul. Dakwah tanda kita membesar dan mengagungkan Allah. Ia juaga tanda kasih sayang kita pada hamba-hamba Allah. Dakwah adalah sebesar-besar ibadah yang dipersembahkan seorang hamba kepada Robbnya.

Dakwah memiliki ciri yang unik dari sudut fiqhnya. Unik dari sudut prinsip, matlamat dan wasilah dakwah. Ini kerana dakwah adalah bersifat robbaniy. Manakala para du’at yang bijak ialah mereka yang terjun ke lapangan dakwah, berinteraksi dengan pelbagai sasarannya (mad’u), kaya dengan pengalaman lapangan, jiwa dan hatinya jatuh cinta pada dakwah, kecintaannya pada dakwah tinggi, dia fana’ dengan dakwah dan titik perhatian hidupnya adalah untuk dakwah. Dakwah adalah segala-galanya, dia hidup untuk dakwah dan dia mati kerana dakwah. Dakwah adalah perjuangan hidup matinya. Itulah da’ie atau kader dakwah.

Ada beberapa prinsip asas di dalam fiqh dakwah yang perlu difahami dan dimengerti oleh para kader dakwah :

Prinsip 1 : Al-Basiroh al – Wa’iyah [pandangan jauh penuh sedar]

  • Dakwah adalah seruan yang berdiri di atas basiroh. Basiroh ialah melihatsesuatu dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan penuh sedar. Ia adalah satu tuntutan al-quran kepada para du’at. Firman allah di dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud :

108. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain.”

  • Beberapa perkara yang perlu dikuasai oleh para du’at agar memiliki Basiroh al-Wa’iyah iaitu :
    • Memiliki kekuatan ilmu terutama seni penghujahan.
    • Menggabungkan kekuatan dua teras ilmu iaitu ilmu turath dan ilmu semasa.
    • Menimba ilmu, fiqh dan uslub dakwah dari para ulama dan du’at yang robbaniy.
  • Kemahiran menguasai fiqh dakwah tidak cukup dengan membaca dan merujuk buku-buku dakwah tetapi perlu bertalaqqi dan berguru dari para masayeikh robbaniy. Ini kerana ia tidak cukup untuk membina dan mencetak para kader tanpa melalui manhaj ida’d du’at ar-robbaniy.
  • Kaedah menyatakan  :

  لأن تصحب داعيا خير من أن تقرأ الف كتاب في الدعوة

Hendaklah kamu berdamping dengan seorang da’ie yang robbaniy lebih baik dari kamu membaca seribu kitab berkaitan dakwah”.

  • Kaedah ini menekankan kepentingan bertalaqqi dan menimba pengalaman dari syuyukh dakwah lebih awla dari membaca buku-buku dakwah. Ini kerana pra syuyukh dakwah telah memiliki himpunan pengalaman berharga di medan dan lapangan amal dan terbukti kethabatan mereka di jalan dakwah.

Prinsip 2 : Al-Hal – As-Sodiq

  • Dakwah adalah seni. Dakwah yang berkesan ialah dakwah yang membuahkan amal atau tindakan.
  • Dakwah bukan sekadar ungkapan kata-kata semata-mata tetapi diterjemahan dengan satu perlakuan yang mewujudkan contoh-contoh hidup. Inilah yang dikatakan al-hal al-sodiq.
  • Dakwah yang hanya lontaran fikrah dan bahasa penulisan tanpa direalisasikan dalam bentuk amal atau qudwah , ia bukanlah dakwah yang efektif dan efesien. Dakwah adalah bahasa perbuatan, bahasa qudwah, bahasa amal dan bahasa contoh.
  • Da’ie adalah cerminan pada dakwahnya. Kaedah menyatakan : ‘faqidus syai la yu’ti’ [orang yang tidak memiliki apa-apa tidaka akan mampu member ].
  • Untuk itu para du’at perlu :
    • Memiliki perlakuan benar yang menterjemahkan seruan dakwahnya. Ini perkara yang awal yang perlu diberi perhatian. Da’ie menjadi qudwah amali bagi dakwahnya.
    • Memelihara hati terutama untuk melembutkannya. Hati yang keras menjadi pendinding. Ia tidak akan memberi kesan dan menerima kesan.
    • Menyakini bahawa dakwah adalah satu risalah. Ia bukan satu jawatan atau kerja. Yakin bahawa dakwah tugas penting di dalam kehidupan dan dengannya allah memuliakan para da’ie.

Prinsip 3 : Makrifatul al-‘Asr

  • Da’ie adalah manusia yang hidup untuk zamannya, umatnya dan tempat titik kehidupannya. Ia berinteraksi dengan zaman, tempat dan manusia.
  • Itulah medan dakwah seorang da’ie.
  • Seorang da’ie yang bijak ialah yang memahami lingkungan zaman, lingkungan umat dan lingkungan realiti yang ia hadapi.
  • Kaedah menyatakan :

من لم يعرف عصره على حقيقته فلن يفلح في تربيته وتوجيهه فضلا عن تغييره واصلاحه “

[ Barangsiapa yang tidak memahami hakikat zamannya, maka ia tidak akan berjaya untuk mendidik dan mengarah umatnya apatah lagi untuk merubah dan membaikinya ].

  • Untuk itu seorang da’ie perlu :
    • Merasai dan peduli terhadap permasalahan manusia, mengambil berat, mendekati dan menyelesaikan masalah mereka.
    • Tahu mengimbangi antara bersifat tempatan dan antarabangsa.Ini akan dapat membantu da’ie memahami realiti semasa. Dunia masakini ibarat perkampungan global, kepesatan alat media massa, kecanggihan ict dan sebagainya. Para du’at perlu menyeimbangi dakwahnya dengan realiti masyarakat persekitarannya dengan keadaan dunia yang semakin berkembang. Ia perlu mencipta ruang dan merebut peluang untuk maslahah dakwah.
    • Kesepaduan [takamul] antara mengambil azimah dan rukhsah. Da’ie perlu memahami konsep azimah dan rukhsah. Tidak semua perkara perlu kepada azimah dan tidak semua pula kepada rukhsah. Semua itu perlu kepada kebijaksanaan, kesesuaian dan mengambil kira maqasid syarak. Mungkin mengambil jalan azimah sesuai dengan watak sebagai da’ie agar menjadi qudwah pada yang lain. Manakala untuk umat pula mengambil jalan yang mudah dan sepadan dengan mereka. Untuk mereka dilatih berpegang pada ‘azimah perlu kepada tarbiyah secara berhikmah dan dakwah yang panjang nafas. Allah suka untuk umat  mengambil rukhsah sebelum ‘azimah.
  • Untuk memastikan kesepaduan dua perkara ini, perlu kepada fiqh amali, hidup dengan mereka yang robbaniy agar dapat membezakan keperluan setiap manusia dengan manusia lain. Ia juga menuntut para da’ie memiliki fiqh al-waqie, faham latar kehidupan mad’u dan cabaran yang melingkungi mereka.
  • Ketiga-tiga prinsip ini akan menjadikan seorang da’ie menjadi da’ie yang faqih sesuai dengan saranan allah di dalam al-Quran at- Taubah 122 :

122. dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Read Full Post »

Read Full Post »