Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘UMUM’ Category

272062Tahun ini umat Islam menyambut Ramadhan dalam suasana penuh ujian dan getir. Bahang Ramadhan diuji dengan bedilan roket Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Sejarah terus merakam negeri yang memiliki penjara terbesar di dunia di simbah darah dan air mata. Ratusan para syuhadak gugur syahid bak kata pejuang Palestin ‘kami bersahur di dunia dan beriftar di akhirat’. Begitulah coretan kisah kehidupan pejuang di bumi Gaza.

Manakala kita di Malaysia berdepan pelbagai kemelut politik dan agenda pihak musuh yang cuba mencairkan identiti keislaman dan kenegaraan. Pelbagai usaha licik pihak musuh untuk memastikan agenda mereka terlaksana dengan mengitar semula jenama tetapi punyai maksud yang sama.Mereka berselindung atas nama gerakan perjuangan hak asasi malaysia namun berniat untuk merubah asas-asas perlembagaan dan status quo yang sudah disepakati bersama.

Tambahan pula krisis keyakinan terhadap  MB kerajaan Pakatan di Selangor berterusan dengan percubaan untuk menukar kerusi MB. Pada masa yang sama isu mesin judi slot yang masih belum diatasi ketika kedengaran mulut celupar pihak yang ingin membersihkan kotaraya Kuala Lumpur dari masyarakat gelandangan.

Kehangatan Ramadhan tidak terhenti di situ sahaja,malah anak-anak muda mengisi malam-malam Ramadhan dengan menonton Piala Dunia biar pun ia berakhir pada 13 Julai yang menyaksikan kemenangan Jerman ke atas Argentina. Seolah-olah kemeriahan Ramadhan sebagai bulan berkat dan bulan rahmat tenggelam dek kehadiran Piala Dunia.

Apapun yang berlaku sewajarnya umat Islam memuhasabahkan diri sejauh mana Ramadhan memberikan makna dan erti untuk merubah landskap kehidupan mereka. Proses metamorforsis madrasah Ramadhan harus membumi sekaligus mengkarya manusia muttaqi.Manusia-manusia baharu atau milad jadid (kelahiran baharu) adalah inti terpenting dari kerangka tarbiyah Ramadhan.Selama sebulan latihan dan tamrin di stadium Ramadhan sudah menyiapkan barisan atlet muttaqi yang siap siaga menghadapi ujian perlawanan menentang gejolak nafsu dan asakan musuh-musuh allah.

Taqwa yang merupakan point terpenting Ramadhan menjadi bekal ampuh buat umat Islam kembali memimpin ketamadunan sebagaimana umat terdahulu. Mentadabburi ayat satu hingga lima surah al-Baqarah, allah SWT menghubungkaitkan al-Quran, taqwa dan kemenangan setelah dipaparkan ciri-ciri mereka yang bertaqwa. Taqwa dalam terminologi As-Syaheed Syed Qutb merupakan sentuhan perasaan di dalam dhamir, kelembutan dalam perasaan, perasaan takut yang berterusan, sikap sentiasa berhati-hati  dan berjaga-jaga dari terpijak duri-duri  tajam dalam perjalanan iaitu perjalanan kehidupan.

Apabila beliau mengulas perkaitanan antara puasa dan taqwa, beliau menjelaskan bahawa puasa adalah salah satu bentuk latihan jihad untuk menyiapkan jiwa yang mampu menanggung kesusahan jalan dakwah yang terhampar dengan segala rintangan ,duri-duri tajam, yang bersimpang siur dengan runtunan hawa nafsu, yang sentiasa menggamit mereka yang melaluinya dengan ribuan pesona tipudaya. Mereka yang mampu menahan jiwanya dari segala perkara yang harus dan mempersonakannya, dia mampu untuk menanggung risalah jihad yang penuh dengan duri dan rintangan.

Begitulah besar nilai taqwa yang ingin dicapai daripada makna Ramadhan. Taqwa adalah satu kesedaran dan satu kebangkitan jiwa. Maka tidak hairanlah allah menutup di akhir ayat kelima dengan ungkapan ‘ulaaika humul muflihun’-mereka itulah orang-orang yang berjaya dan hebat.

Dalam sisi lain allah SWT mengkehendaki kita menjadi umat yang bertindak sebagai ‘a winner’. Pemenang tidak akan menjadi pemenang jika tidak berfikir, berwatak, berpenampilan dan bergerak dalam minda sebagai ‘a winner’. Umat Islam adalah umat yang berminda  ‘a winner’ bukan  berminda ‘a loser’. Minda dan jiwa kalah mengheret umat tunduk sujud kepada barat dan sekutunya, akur dengan kekejaman Zionis Israel bahkan tewas dengan tipu muslihat puak-puak anti Islam yang cuba merobek ketuanan dan kekuatan Islam atas nama kebebesan, hak asasi manusia, perjuangan demokrasi dan sebagainya.

Inilah perkara yang perlu diintrospek oleh umat Islam agar Ramadhan tidak sekadar bulan pesta kuih muih, pesta makan dan minum dan bulan pembaziran. Berfikir dalam kerangka minda ‘a winner’ dengan bekalan al-Quran sebagai panduan dan taqwa sebagai pemangkin kejayaan. Bukankan allah menyebut di akhir surah ‘Ali Imran’ ayat 200 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, kuatkanlah ikatan kamu dan bertaqwalah, mudah-mudahan kamu menjadi ‘a winner’.”

Read Full Post »

msteps1

Pengenalan

Bahasa : Pembina atau pendokong yang merdeka

Istilah : Pertubuhan Sulit dan Terroris Yahudi yang tersusun organisasinya bertujuan untuk memastikan penguasaan yahudi kepada dunia. Pertubuhan ini memperjuangkan agenda Atheisme, kebebasan seks dan kerosakan. Kebanyakkan pimpinan gerakan Freemason adalah tokoh-tokoh terkenal dunia tetapi merahsiakan identiti mereka demi menjaga rahsia, perancangan dan agenda sulit pertubuhan ini.

Sejarah Penubuhan dan Tokoh

Diasaskan oleh Raja Rom yang bernama Herdos Ikriba pada tahun 44 M dengan dibantu oleh dua orang penasihatnya yang berbangsa Yahudi iaitu Heram Abyud dan Muaab Lami. Langkah awal yang dilakukan oleh pertubuhan ini ialah menimbulkan tipudaya, ancaman dan keganasan di mana mereka telah memilih lambang, nama atau isyarat untuk mengelabui dan menakutkan pihak lain. Lalu menamakan persidangan mereka ‘Haikal Orslem’  dengan dakwaan ia adalah Haikal Sulaiman A.S.

Hakhom Lakhawiz menyatakan pertubuhan ini adalah seratus peratus Yahudi dari segi sejarah, ideologi, pendidikan dan tingkatan keanggotaan. Dikatakan gerakan ini diasakan pada tahun 43M dinamakan kuasa sulit dan objektifnya ialah menghalang ancaman Kristian dari dikembangkan agamanya.

Gelombang kedua gerakan Freemason digerakkan oleh Adam Whitehouse, seorang Kristian yang berfahaman Atheis dan menggabungkan dirinya ke dalam gerakan Freemason. Agenda perjuangan ialah menguasai dunia melalui projek yang telah dirancang pada tahun 1776M. Langkah pertama ialah mengadakan sidang kemuncak Freemason dengan diberi nama Forum Illuminiti (Nurani) merujuk kepada syaitan yang telah mereka sucikan. Mereka telah Berjaya memperdayakan tokoh-tokoh,pemikir-pemikir dan pimpinan dunia dengan menganjurkan persidangan utama yang dinamakan Persidangan Asia Barat. Semua resolusi persidangan yang dikeluarkan adalah untuk menjayakan agenda Freemason dan mengiklankan slogan-slogan indah dan menarik yang dibelakangnya memperdaya ramai umat islam.

Antara tokoh-tokoh ternama dunia yang dikenali sebagai penganut pertubuhan Freemason ialah Honore Mirabeau , tokoh Revolusi Perancis, Mussolini di Itali,Jeneral Amerika Albert Mike, Williams Bloom seorang Perancis yang menerbitkan buku yang menghalalkan seks bebas. Begitu juga John Jake  Roosow, Polter, Georgi Zeidan dan Karl Mark.

Ideologi dan Doktrin Freemason

  1. Mengkufurkan Allah, para Rasul-Rasul a.s, Kitan-Kitab dan semua perkara ghaib. Mereka menganggapnya sebagai khurafat dan tahyul.
  2. Bekerja untuk  menghancurkan agama-agama.
  3. Bekerja untuk menjatuhkan kerajaan –kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat. Contohnya pergulingan Mursi di Mesir. Mereka juga menghapuskan institusi-institusi  pemerintahan yang menjaga kepentingan nasional dan berusaha menguasainya.
  4. Menghalalkan seks bebas dan memperalatkan wanita untuk menjayakan agenda tersebut. Muncul gerakan Feminisme.
  5. Bekerja untuk memecah belah bangsa selain Yahudi dan mewujudkan kelompok-kelompok kecil dikalangan bangsa tersebut dan saling berbalah antara satu sama lain.
  6. Membekalkan senjata kepada kelompok tersebut dan mengawal setiap insiden yang berlaku untuk memastikan kemusnahan dan campurtangan.
  7. Menyebar racun-racun perpecahan dan perbalahan serta meniupkan semangat perkauman dan minority.
  8. Merosakkan prinsip-prinsip akhlak, pemikiran, agama dan mengembangkan kacau bilau, kehancuran,keganasan dan ilhad [atheism].
  9. Menggunakan rasuah wang dan seks kepada pemimpin dunia untuk terlibat dan menggabungkan diri dalam pertubuhan Freemason demi berkhidmat kepada agenda Freemason dan perjuangan matlamat menghalalkan cara.
  10. Menguasai individu yang berpengaruh dalam pelbagai bidang bagi menjayakan dan melaksanakan cita-cita Freemason.
  11. Individu yang telah menggabungkan dirinya dalam gerakan Freemason perlu melepaskan dirinya dari segala ikatan keagamaan,akhlak, negara. Kesetiaan yang ikhlas hanya semata-mata kepada agenda Freemason.
  12. Jika ada mana-mana individu yang cuba menimbulkan keraguan atau menentang sesuatu agenda yang mendedahkan kejahatan Freemason akan di ancam bunuh.
  13. Setiap individu dalam gerakan Freemason perlu mengambil faedah dari agenda Freemason, mereka tidak boleh melepaskan diri dengan apa cara sekalipun.
  14. Agenda Freemason, menguasai pimpinan-pimpinan dunia demi mencapai cita-cita Freemason.
  15. Menguasai tokoh-tokoh ternama dalam pelbagai kepakaran sepaya gerk kerja Freemason bersifat intergrasi.
  16. Menguasai media massa,akhbar, berita sebagai salah satu senjata tajam dan amat efektif. Dalam konteks masakini, menguasai dunia maya seperti FB,Twitters, Instagram dan sebagainya.
  17. Menyebarkan berita-berita palsu,bohong dan dusta sehingga ia seolah-olah ia benar dalam pemikiran masyarakat dan  massa.
  18. Menyeru para belia untuk tenggelam dalam kekejian dan kesyahwatan, meransang sebab-sebab kea rah tersebut, menghalalkan pergaulan bebas, mengekang hubungan perkahwinan dan merosakkan ikatan institusi kekeluargaan.
  19. Memperjuangkan  agenda memilih kemandulan dan menghadkan bilangan anak terutama kepada umat Islam.
  20. Menguasai pertubuhan-pertubuhan  dan badan-badan utama dunia dan memastikan ketua-ketua pertubuhan dan badan tersebut dari kalangan anggota Freemason. Antara pertubuhan-pertubuhan dunia adalah seperti PBB, UNESCO, pertubuhan Meteorologi, badan-badan belia sedunia dan sebagainya.
  21. Keanggotaan Freemanson terdiri dari tiga tahap, tahap pertama : Ahli Muda [ahli baharu], tahap kedua : ahli Diraja [untuk mereka yang menginkari agama,negara dan bangsanya secara total dan memberikan kesetiaan kepada yahudi], tahap ketiga iaitu tahap ahli Universal yang kebanyakkan adalah Yahudi totok dan berfahaman Atheisme. Tokoh terkemuka adalah Heratzal. Ia adalah makam keanggotaan tertinggi dalam hiraki Freemason.
  22. Kekacauan dan malapetaka yang menimpa umat islam, revolusi-revolusi dunia, gerakan kejatuhan Khilafah Uthmaniyah adalah dicipta dan dirancang oleh gerakan Freemason.
  23. Mempunyai penerbitan-penerbitan sulit dan rahsia. Antara penerbitan Freemason , buku ‘Undang-Undang’ karangan Dr. James Anderson  [1723M] dan ‘Wasiat Lama’ pada tahun 1734M yang disalin semula David Cassly.
  24. Akar ideologi dan pemikiran Freemason samada dari sudur matlamat, sarana dan falsafah pemikiran adalah berasaskan kepada agenda Yahudisme.
  25. Tidak ada sejarah yang mengenali mana-mana pertubuhan sulit dan rahsia yang kuat pergerakan di dunia ini melainkan gerakan Freemason. Ini kerana :
  • Bergerak secara meluas di seluruh dunia melalui pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh besar dunia. Pemimpin tersebut menjadi boneka kepada Freemason. Freemason akan mengancam kedudukan dan diri mereka jika tidak mengikut telunjuk Freemason.
  • Menguasai forum-forum dan sidang besar dunia yang diketuai tokoh-tokoh Freemason di setiap negara untuk menjamin penguasaan mereka.
  • Menguasai pertubuhan, persatuan, badan-badan antarabangsa juga pertubuhan belia antarabangsa untuk memastikan dunia berjalan mengikut agenda Freemason.
  • Freemason mempunyai dana kewangan yang mencukupi.
  • Mempunyai kumpulan terroris yang akan melaksnakan tugas-tugas jenayah bagi menghapuskan mana-mana individu yang berhenti dari mengikut jalan mereka dengan sebgaja atau tidak sengaja.

Terjemahan, Olahan dan Adaptasi dari  ‘Ensiklopedia Mudah Berkaitan Agama dan Aliran Kontemporari’ Cetakan 2  ‘WAMY’ Tahun 1989M/1409H.

Read Full Post »

Tragedi Mesir

Agak sukar untuk menganalisis tragedi berdarah 14 Ogos 2013 di Medan Raba’ah, begitu juga pembantaian rejim kudeta tentera kepada golongan Islamis dan pro Mursi di medan Nahdah dan Ramsis. Kekejaman tanpa perikemanusian dan bertindak ala kebinatangan hanya mampu dilakukan oleh insan yang bernama Sisi, lelaki tajaan USA dan mendapat dokongan pemerintah negara-negara teluk seperti Arab Saudi , Emiriah Arab Bersatu dan lain-lain. Keadaan ini ,sebenarnya pihak yang paling gembira dan bersorak ialah Zionisme Yahudi atau Israel.Termasuk juga emperialis barat iaitu USA dan koncu-koncunya. Sikap diam Barrack Obama, PBB yang bisu juga OIC yang hanya sekadar menonton dan melihat tragedi ini tanpa sebarang tindakan proaktif ditambah pula negara-negara umat islam yang bacul dan penakut.

Gerakan Islam perlu memahami senario ini dan membuat pembacaan yang cermat dari sudut masa depan gerakan islam dan hakikat pertembungan projek Islam dan projek Barat. Ia bukan sekadar episode pembunuhan berdarah yang menetaskan ratusan para Syuhadak tetapi bagaimana susur galur perjalanan gerakan Ikhwan selaku Kubro Harokah Islamiah di Mesir, fasa-fasa perjuangan, keteguhan mereka berpegang kepada asolatul manhaj dan penglibatan mereka di dalam amal sya’abi dan amal siyasi.

IM yang telah diasaskan oleh al-mursyid Imam Al-Bana telah menanamkan benih-benih dakwah dan mengembangkannya di fasa awal pengasasan IM dengan terlibat aktif di dalam amal umum sehingga pernah mencalunkan dirinya di dalam PRU namun manarik diri atas maslahah jamaah. Kemuncak perjuangan ini ialah pembunuhan ngeri dan tanpa belas kasihan pengasas gerakan ini. Bertitik tolak dari tragedi ini ikhwan ditangkap, diburu, dipenjara dan dirampas harta mereka serta diharamkan gerakan mereka. Namun panji perjuangan mereka diteruskan oleh para pemimpin dan masyayeikh seperti Hasan Hudhaibi , Umar Telmesani,Mohamad Hamid Abu Nasr, Mustafa Mashyur, Makmun Hudhaibi, Mehdi ‘Akif  dan terkini Muhammad al-Badie’.

Siri-siri fitnah dan tohmahan terhadap IM telah bermula sejak zaman al-Bana. Peristiwa penangkapan beramai-ramai kader-kader IM ialah selepas tuduhan kepada Abdul Qadir Audah hakim perlembagaan Mesir yang merancang untuk membunuh presiden Gamal Abdul Nasir.

Abdul qadirAbdul Qadir Audah adalah orang yang merayu pihak demonstran yang berarak di jalan raya untuk bersurai setelah pintu tertutup bagi menyelesaikan perbalahan antara dua pihak yang berbalah akibat pergeseran politik antara Mejar Jeneral Muhammad Naquib dan Kolenal Gamal Abdul Nasir. Rampasan kuasa Gamal Abdul Nasir menyebabkan rakyat turut berdemonstrasi dan melakukan tunjuk perasaan. Namun populariti Abdul Qadir Audah mengancam kedudukan Gamal dan mengheret beliau ke tali gantung atas tuduhan untuk menggulingkan presiden.

Presiden yang pernah digulingkan , Hosni Mubarak pernah menyebut : “Ikhwan ada jalur sejarah gerakan teroris” kepada wartawan akhbar Jerman Der Spigel. Beliau merujuk peristiwa yang berlaku pada  tahun 1954. Namun IM menafikannya dan mereka berpegang kepada manhaj mu’tadil  di dalam proses taghyir iaitu berasaskan manhaj tarbiyah, tadarrruj dan musyarokah di dalam amal siasi.

Sekali lagi peristiwa 14 ogos ini menusuk kalbu. Ia  mengulangi sejarah 25 Februari tahun 1954 iaitu ketika berlaku pergolakan politik antara Muhammad Naquib dan Kolenal Gamal Abdul Naser. Pihak yang merampas kuasa Sisiy dan rejim kudeta   menggunakan kekerasan, keganasan, pembakaran, bedilan peluru untuk membunuh manusia. Mereka langsung tidak menghormati hak sebagai seorang manusia. Penangkapan demi penangkapan, pemenjaraan dan pemusnahan nyawa menjadi makanisma untuk membunuh jasad IM dan pimpinanannya, yang turut bersama mereka rakyat terbanyak. Ternyata kerajaan kudeta ini berani melakukan tindakan kejam ini disebabkan sokongan dan bantuan dari pihak USA dan Yahudi.

Apakah pengajaran yang dapat diambil dari tragedi di Mesir ini bagi gerakan Islam ?

Pertama : Dari Sudut Antarabangsa:

  1. Hakikat pertembungan ialah pertembungan antara projek Islam dan projek Barat yang didominasikan oleh Yahudi dan USA. Analisis ini diperkuatkan dengan kenyataan yang menyebut usaha campuratangan USA untuk menjatuhkan identiti Islam telah dimulakan sejak tahun 2008 melalui gerakan liberalis atas nama Alliance of Youth Movement aktivis gerakan Massa Mesir yang telah mengadakan pertemuan di New York. Agenda mereka ialah menggunakan media sosial seperti Youtube, Facebook, MTV, Google dan sebagainya menuntut pembaharuan dan kebebasan hak asasi. Tokoh yang ditonjolkan pula ialah Muhamad al-Baradie seorang anak didik USA dan pemegang amanah International Crisis Group dibawah tajaan kewangan oleh National Endownment for Democracy [NED].
  2. Zionis atau Israel tidak akan membenarkan mana-mana kerajaan atau pemerintah yang menggugat kepentingan Israel di Asia Barat. Kemenangan Mursi dan jalur Islamis pasca Arab Spring  mengecewakan pihak Israel. Langkah terbaik menyekat dan memusnahkan kerajaan ini. Mesir adalah pusatnya kerana laluan ke Palestin adalah dari arah Mesir. Kerajaan Mursi yang pro Hamas menyukarkan Israel. Ini kerana sepanjang Presiden Mursi mengambil alih pasca revolusi selepas menang lebih 52 % sokongan , tiada pertemuan perjanjian damai dengan pihak Israel. Bahkan Mesir menjadi rumah penyelamat buat rakyat Palestin.
  3. USA terancam dan tergugat kepentingannya terutama melibatkan kepentingan ekonomi dan percaturannya di Asia Barat. Dasar lunak Mursi ke negara-negara timur untuk menjalankan pelaburan perniagaan menyebabkan masa depan ekonomi USA dan cengkamanya terhadap kekayaan Mesir lemah .Maka  penggulingan dan rampasan kuasa serta penyembunyian Mursi menggembirakan pihak USA dan memberikan reputasi negative kepada IM. Sebenarnya USA takut dengan ideologi perjuangan Islam yang dibawa IM akan memberikan kesan besar kepada negara bersekitaran.
  4. Kegagalan OIC dalam memberikan tekanan kepada regim kudeta tentera dan kelesuan suara umat Islam bersatu untuk menentang kekuatan mustakbirin USA dan Zionis. Hakikatnya umat Islam lemah dan pemimpin umat Islam menjadi boneka USA dan Yahudi.
  5. Revolusi pertama adalah revolusi menjatuhkan sistem tirani diktator tetapi kebangkitan kedua menentang regim tentera adalah ‘thaurah tamaiyuz’ untuk membezakan pejuang tulen dan pejuang palsu.

 Kedua : Dari Sudut Serantau

  1. Negara-negara teluk seperti Arab Saudi mengisytiharkan sokongan kepada rejim kudeta kerana untuk memastikan kelangsungan system monarki beraja. Kebaculan kerajaan beraja teluk kerana perjuangan IM boleh mengancam kedudukan mereka dan membawa kebangkitan rakyat menolak sistem diktator beraja jika dibiarkan Mursi memerintah. Oleh sebab itu mereka memberikan sumbangan dana yang banyak kepada kerajaan kudeta.
  2. Amerika juga tidak mahu kepentingan mereka di negara-negara teluk terutama Negara-negara ini menjadi pengkalan tentera Amerika. Peristiwa Perang Teluk antara Iraq- Kuwait cukup menafsirkan agenda tersirat USA di rantau Asia Barat.
  3. Pengaruh pemikiran IM akan menjalar ke negara –negara teluk dan serantau dan ini menggugat status quo system yang sedia ada. Sejarah pernah menyatakan sesiapa yang menguasai Mesir bermakna ia menguasai kekuasaan dunia. Mesir berada di titik kekuasaan geopolitik dan geoekonomi dunia.

Ketiga : Dari Sudut Mesir

  1. Kerajaan kudeta tentera adalah kerajaan haram dan menjadi boneka Barat. Membenarkan terus kerajaan ini bermakna membenarkan imperialis barat campurtangan urusan Negara Mesir.
  2. Yahudi atas nama Israel merasa terancam kerana Mesir menjadi pintu masuk bantuan sokongan dan kewangan kepada pejuang Palestin. Jika berterusan menggugat kestabilan Israel. Penubuhan Israel sendiri untuk menyekat kebangkitan Islam di Asia Barat terutama Mesir yang menjadi ibu gerakan Islam.
  3. Mesir menuju ke zaman gelap dengan kembali mengekalkan semula penguasaan tentera. Penguasaan tentera ini disokong oleh anak-anak muda Tamarood, sekularis, liberalis yang dibelakang mereka adalah USA. Turut serta juga menjayakan agenda liberal sekular ini ialah puak Syiah atas nama perjuangan demokrasi dan hak asasi.
  4. Pengaruh tentera di dalam pentadbiran dan campurtangan pihak asing di dalam menentukan halatuju negara Mesir dan bukan rakyat Mesir yang menentukan negara mereka sendiri.
  5. Mesir berada di kedudukan strategik dunia dari sudut kepentingan geopolitik, geososial dan geoekonomi. Menguasai Mesir bermakna menguasai jajaran ekonomi dan politik 3 zon Afrika-Asia- Eropah.

Keempat : Dari Sudut Gerakan Islam

  1. Islam dan Jahiliyah , al-Haq dan kebatilan pasti akan bertembung kerana itu sunnah perjuangan. Pertembungan Islam dan jahiliyah bukan sekadar pertembungan fikroh seperti aliran Islam dan aliran liberalis tetapi sampai ke tahap pengorbanan jiwa.
  2. Gerakan Islam perlu sedar bahawa pentas demokrasi hanya wasilah menyampaikan fikroh dan dakwah. Ia bukan matlamat perjuangan, ini kerana jika kemenangan islam mengancam status quo jahiliyah, maka tiada lagi bahasa demokrasi. Demokrasi akan diperkosa serta menjadi senjata tajam untuk menghapuskan kekuasaan islam.
  3. Gerakan Islam adalah gerakan berfasa-fasa dan bermanhaj. Ia akan melalui saat-saat ujian kerana jalan dakwah bukan jalan yang dihampiri permaidani indah tetapi penuh duri. Ujian yang dilalui oleh pejuang islam di Mesir adalah siri penyaringan dan pemilihan untuk memilih para syuhadak fi toriq dakwah.
  4.  Manhaj perjuangan Islam adalah manhaj yang tulen, manhaj yang dilalui oleh para Rasul dan para sahabat r.a. Ia adalah manhaj yang berbeza dengan manhaj perubahan yang lain, mesti ada tamaiyuz dari sudut fikroh, harokah dan jalan amal untuk melakukan taghyir.
  5. Gerakan islam perlu menguasai dua qaedah untuk memimpin perubahan iaitu menguasai qaedah sulbah [strategi vertikal-kualiti ] dan menguasai qaedah sya’biyah [ strategi horizontal-kuantiti]. Gerakan islam wajib memantapkan kekuatan dalaman dengan pengukuhan tarbiyah dan pembinaan kader di samping melebarkan penguasaan di dalam masyarakat dengan amal-amal umum, amal kemasyarakatan, penguasaan institusi dan sebagainya. Perlu perkuatkan tanzim dengan takween dan perkuatkan amal dengan tajmik yang menambah sokongan massa.
  6. Gerakan Islam perlu kuasai 4 pengupayaan di dalam menguasai massa iaitu :
    1. Kemampuan menguasai kaedah bermasyarakat.
    2. Kemampuan menguasai kaedah bergerak.
    3. Kemampuan menguasai kaedah berfikir.
    4. Kemampuan menguasai kaedah berpolitik.

 7. Gerakan Islam perlu keluar dari fasa eksklusif kepada fasa inklusif dari sudut amal dakwah. Eksklusif dari sudut pembinaan kelompok teras tetapi inklusif dari sudut amal tajmik. Membiarkan berterusan bergerak secara eksklusif dan secara bawah tanah akan mengundang fitnah dan memberikan reputasi buruk dari pandangan massa.

8. Gerakan Islam perlu menjaga thawabit manhaj perjuangan walaupun ditekan tetapi anjal di dalam kaedah dan strategi perjuangan.

9. Penyediaan rijal yang berkualiti dengan tarbiyah yang mendalam akan melahirkan pelapis dakwah dan harokah. Mata rantai dakwah tidak terputus dengan bilangan rijal yang bertambah. Rijal akan menjadi banteng perjuangan melawan raksasa kezaliman.

10. Kesatuan gerakan-gerakan Islam dari bekerja secara mahalli [lokal] kepada bekerja secara tandhim alami bagi mendepani kekuatan musuh yang bersifat antarabangsa.

11. Merangka strategi dan seni berinteraksi dengan waqi berdasarkan pengalaman gerakan Islam yang berbeza-beza mengikut situasi. Gerakan perlu memiliki fiqh syarie diiringi dengan fiqh waqi agar ijtihad yang diambil menepati masa dan realiti. Pengalaman di Tunesia, pengalaman di Mesir atau pengalaman di Turki adalah khazanah bernilai dalam menambahkan pengkayaan kamus perjuangan gerakan Islam di dalam memimpin perjuangan li tamkin dinillah. Gerakan Islam perlu menyusun atur strategi dan halatuju dan membuat retrospeksi terhadap fasa-fasa yang dilalui.

Ya, ketika ini para Islamiyyin berdepan luncuran peluru senapang, penangkapan,pembakaran pembataian,pembunuhan dan pemusnahan identiti dengan membunuh anak-anak muda. [pembunuhan anak Mursyid ‘Aam- Ammar juga anak perembuan Beltagi]. Namun yakin dan percaya bahawa api perjuangan ini tidak akan padam bahkan akan merebak membakar bumi Mesir dengan limpahan darah para syuhadak. Limpahan ini akan mengalir ke bumi bersekitaran bahakan akan menjadi petrol kepada kebangkitan umat ini. Ikhwan bukan hanya mempertahankan bumi Mesir tetapi mempertahankan bumi yang akan menjadi pusat kebangkitan perjuangan Islam ini. Walaupun cubaan mematikan organisasi ikhwan namun fikrah perjuangannya menjalar dan merebak ke seluruh pelusuk benua. Seluruh dunia akan menjadi saksi kebenaran perjuangan mereka demi umat dan Islam.

Renungilah kata-kata Abdul Qadir Audah yang menjadi korban rejim Gamal abdul Naser ketika gawatnya situasi pergolakan pemerintahan masa itu. Katanya :

“Darahku akan melaknat tuan-tuan! Sedikitpun aku tidak ragu dan tidak bimbang, apakah aku mati di tempat tidur ataukah akan mati di medan perang, aku mati di tahanan ataukah aku mati dalam kebebasan, sebab aku akan bertemu dengan Tuhanku.”.

Katanya lagi sebagai nasihat terakhir beliau :

Mereka juga harus mengetahui bahwa sesungguhnya Jamaah Ikhwanul Muslimin tidak dapat dibubarkan apabila dokumen miliknya disita, atau markaznya ditutup. Tapi Jamaah ini bubar bila hubungan mereka runtuh, jiwa mereka kosong dari cinta kepada saudara-saudara dan kepada dakwah ini. Dakwah ini tidak akan pernah lenyap bila di dalam hati mereka tumbuh cinta kepadanya, jiwa mereka senantiasa berzikir kepada Allah, dan selama mereka mempersembahkan jiwa-jiwa mereka untuk dakwah; hidup di dalamnya, hidup dengannya dan untuknya, serta berkorban di atas jalannya.

Bukan sesuatu yang berbahaya bagi dakwah ini bila pejabat dan markaznya ditutup, selama setiap orang di antara kalian menjadikan hatinya sebagai ruang bagi dakwah, jiwanya sebagai benteng pertahanan. Selagi mana ia mampu berbicara, maka tempat yang dia duduki adalah mimbar baginya.

Dakwah ini akan tetap hidup dan kuat, dia tetap memiliki kehormatan dan kemuliaan selama kalian berpegang teguh, saling mengikat, saling mencintai, bersabar dan saling menasehati dalam kesabaran “

Islam akan mengharungi pertarungan yang cukup dahsyat dan mencabar. Namun di pusingan akhir obor Islam pasti akan menang.

“Dan Allah pasti akan menolong orang –orang yang menolong untuk memenangkan agamanya..”

Read Full Post »

download

Ikhwati fillah..!

Firman Allah SWT  di dalam Surah al-Baqorah 183 :

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kerana kita dipertemukan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan penuh keberkatan, bulan rahmat, bulan keampunan. Ramadhan seringkali dikaitkan dengan ibadah puasa yang merupakan kewajipan syarie yang telah diperintahkan allah kepada setiap mukallaf. Matlamat dari Ramadhan ialah menghasilkan mukmin yang produktif iaitu orang yang bertaqwa. Lantas Allah mengulang-ulang di ayat 183 surah al-Baqarah “mudah-mudahan kamu sentiasa bertaqwa”.

Perintah syarie yang ditaklifkan kepada generasi awal dakwah sebagaimana kepada umat sebelum mereka tidak sekadar berupa perintah hukum tetapi ditanggapi sebagai satu proses pentazkiyahan jiwa dan pentarbiyahan diri bagi melengkapkan kekuatan ruhi sebagai daie dan jundi dakwah.

Puasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa tetapi latihan kerohanian untuk mengajar para pejuang erti mentaati perintah allah dan melaksanaknnya dengan sebaik yang mungkin untuk mencakna mukmin muttaqi. Inilah maqasid yang ingin dicapai dari kefardhuan puasa.

Ikhwati fillah,

Kewajipan puasa pula hadir beriringan dengan pakej tarbiyah, tilawah dan tazkiyyah yang terkandung di dalam pakej Ramadhan. Segala amalan-amalan sunat seperti iktikaf, tadarus, terawih, qiamullail, infaq dan sedekah, memberi makan orang yang berbuka puasa menjurus ke arah membina jiwa daie dan jiwa pejuang yang tahan lasak dan uji.

Apatah lagi ia sinonim dengan bulan jihad dan perjuangan. Episod kemenangan demi kemenangan di dalam bulan Ramadhan seperti perang Badar, Fathu Makah, pembukaan Ain Jalut, pembebesan al-Quds adalah menefestasi mencapai maksud maqasid Ramadhan iaitu ketaqwaan sebagai senjata kemenangan.

Hari-hari yang kita lalui Ramadhan pada tahun ini penuh dengan episod duka dan lara. Kalau dahulu kita berdoa untuk kemenangan umat islam di Palestin, Afghanistan, Chechnya dan Iraq tetapi koleksi album penderitaan umat Islam di tambah kepada nasib umat di Syria dan Rohingya. Terbaru kepada saudara-saudara kita di Mesir yang bergelut dalam berdepan dengan regim tentera yang zalim.

Malang juga menimpa umat Islam di Malaysia apabila penghinaan bukan islam terhadap Islam seperti Alvin dan Vavian, sikap Duta Vatican City  yang menyokong penggunaan kalimah Allah menggambarkan kelemahan umat Islam dan hilang jatidiri mereka di samping ruh ukhuwwah yang semakin pudar dikalangan ummah.

Pelajaran terbesar dari fiqh Ramadhan ialah belajar makna maqasid. Memahami maqasid bermakna memahami tujuan dan visi perjuangan dan mencari asbab untuk mencapai maqasid tersebut.

Kemenangan di dalam perjuangan tidak ditentukan dengan faktor-faktor material semata-mata tetapi perlu mengambil asbab kepada kemenangan tersebut. Asbab itu ialah maqosid dari Ramadhan iaitu nilai taqwa. Taqwa adalah pra-syarat kemenangan di dalam perjuangan. Allah menyatakan di dalam al-Quran di dalam ayat 200 Surah Ali Imran:

200. Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Bagaimana untuk mendapatkan taqwa ?. Taqwa terhasil dengan sikap sabar, sanggup menanggung kesusahan  serta jiwa imani yang kental.

Imam Ibnu ‘Aroby  di dalam tafsirnya menghuraikan inti ayat di atas :

Sabar : menahan diri dari menuruti  kehendak syahwat.

Musobaroh : berterusan menahan diri dari menuruti syahwat dan melawannya

Murobatoh ; janji yang diikat dengan sesuatu sehingga tidak ada rasa bakhil dan ia kembali kepada sifat sabar.

Perkara ini boleh ditafsirkan di dalam beberapa maksud iaitu :

  1. Bersabarlah atas tujuan demi agama, kemudian bertahanlah menanggung kesabaran terhadap janji-janji aku terhadap kamu dan kuatkanlah ikatan kamu berdepan musuh-musuh kamu.
  2. Bersabarlah di dalam berjihad, bertahanlah menanggung kesabaran terhadap musuh kamu dan ikatkanlah kuda-kuda tunggangan kamu.
  3. Bersabarlah di dalam jihad, bertahanlah menanggung kesabaran terhadap musuh kamu serta ikat dan mantapkan solat-solat kamu.

Erti ‘Murobatah’ di sini ialah memasang niat dan bersedia dari sudut fizikal untuk melaksanakan segala ketaatan. Seagung-agung ribat ialah mengikat kuda untuk berjihad di jalan allah dan mengikat diri untuk terus melaksanakan solat-solat.

Ikhwati fillah..

Moga Ramadhan yang kita lalui menagajar kita makna erti pentingnya maqasid di dalam peta perjuangan. Perjuangan akan gagal jika hilang fiqh maqasid. Harokah lemah apabila tiada fiqh maqosid di dalam gerak amal dan gerak harakiy. Kefahaman yang mendalam ini meletakkan bahawa pra-syarat kejayaan perjuangan ialah memahami maqasid perjuangan Islam. Fiqh maqasid akan menunjangi perjuangan harokah dan meletakkannya berjalan mengikut marhalah (fasa-fasa). Tiada jalan pintas untuk menang tetapi memintaskan jalan kemenangan dengan memahami maqasid perjuangan. Semoga Ramadhan benar-benar menjiwai kehidupan kita sebagai pejuang fi sabilillah.

Read Full Post »

Salam Eidulfitri 2012

Taqaballahu minna wa minkum..Kullu’ aam wa antum bikhair…

Dari Ustaz Mohd Azizee & Keluarga.

Khutbah Hari Raya akan disampaikan di Surau Tmn. Sri Pinang Tikam Batu Sg. Petani Kedah.

Intipati Khutbah :

1.Kita mesti mengambil  ibrah dan durus ramadhan sebagai bekalan ruhi dan tarbawi sebagai persediaan di bulan-bulan mendatang sebelum bertemu kembali Ramadhan.

2. Jadikan bekalan taqwa sebagai sebaik-baik bekalan di dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagaimana yang allah siapkan kepada kita wasilah puasa bagi mencapai darjah ketaqwaan. Firman allah yang bermaksud : “Berbekal-bekallah kamu kerana sebaik-baik bekalan ialah taqwa..”

3. Kita perlu kembali kepada al-Quran sebagai manhaj kehidupan sebagaimana Allah menurunkan al-Quran di bulan Ramadhan dan ia mendekati 10 malam terakhir yang teristimewa dengan anugerah Lailatul Qodr. Al-Quran wajib diikuti dan ditaati di dalam semua urusan kehidupan. Turunnya al-Quran bererti turunnya satu manhaj untuk dipraktikkan bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terpandu dengan hidayah dan rahmat sesuai dengan kitab al-Quran sebagai kitab hidayah dan kitab rahmah.

4. Untuk memahami al-Quran kita perlu kepada ilmu. Ilmu menjadi asas pembinaan tamadun dan asas perubahan umat. Justeru ayat pertama diturunkan menegaskan kepentingan ilmu dengan anjuran membudayakan tradisi membaca. Membaca adalah wasilah untuk menperolehi ilmu. Umat yang tidak berilmu akan ketinggalan dan mundur. Musuh kita yang utama hari ini ialah kejahilan.

5. Antara tarbiyah madrasah Ramadhan ialah membangun semangat  persaudaraan sesama muslim melalui memberi makan berbuka puasa, solat terawih berjamaah dan sebagainya. Ini membina budaya muafakat sesama umat islam di dalam mentaati perintah allah dan menjauhi larangannya. Justeru bersatu dan bermuafakat adalah wajib di dalam menjunjung perintah allah apatah lagi di dalam melawan ancaman akidah. Sebagai umat islam kita mesti muafakat dan bersepakat menghadapi kekuatan barat dan ancaman akidah tanpa mengira warna kulit dan warna politik.

6. Setiap muslim hendaklah  berusaha menghidupkan amalan sunnah puasa 6 hari di bulan Syawal.

7. Antara tanggungjawab kita kepada saudara seakidah ialah merasai solidariti penderitaan umat Islam di Pelestin,Iraq, Syria, Rohingya, selatan Thailand. Kita wajib membantu menghilangkan kesengsaraan ini samada dengan menghulurkan sumbangan wang ringit, tenaga, usaha dan doa untuk membantu mereka.

Read Full Post »

Apakah  yang diertikan  dengan kesedaran politik ?

Kesedaran politik sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama Islam silam dan semasa ialah kesedaran penuh sedar dan faham terhadap realiti umat islam dan realiti dunia semasa.

Ia juga bermaksud mengetahui tabiat zaman, permasalahan manusia, kuasa-kuasa besar yang berpengaruh samada secara nyata atau tersembunyi ,yang berada pada kedudukan membuat polisi. Pengetahuan ini dapat membantu di dalam memelihara kepentingan umat dengan cara yang terbaik begitu juga menolak segala kemudaratan dan bahaya yang menimpa umat.

Justeru politik di dalam Islam ialah proses menjaga dan mengurus urusan manusia berdasarkan kepada asas-asas syarak untuk menjaga maslahah manusia dan menolak segala kemudaratan. Kesedaran ini menjadi satu yang mesti dalam memastikan urusan memelihara kepentingan umat terlaksana dengan terbaik.

Kenapa kesedaran politik penting ?

Hilangnya kesedaran politik bermakna hilangnya fiqh siyasah islamiah. Apa yang berlaku ialah urusan manusia diurus berdasarkan ideologi-ideologi ciptaan manusia.

Hilangnya kesedaran politik bermakna menjuruskan umat ke kancah kemusnahan dan kerosakan. Ini bermakna kepentingan umat diabaikan dan berlaku permusuhan dan pertembungan yang mengakibatkan muncul seribu satu macam kerosakan.

Hilangnya kesedaran politik bermakna meletakkan umat berada di dalam situasi  kelemahan dan kemunduran. Ia juga mencacatkan peranan umat islam sebagai sebaik-baik umat yang membawa risalah dakwah. Allah menekankan kepentingan umat islam menjadi umat risalah pada ayat berikut :

 110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Hilangnya kesedaran politik bermakna hilangnya fiqh tahgyir, fiqh jihad dan fiqh ad-daulah. Sedangkan usaha membangunkan keperibadian umat menuntut kepedulian terhadap permasalahan umat dan memahami metodologi penyelesaian menurut fiqh nubuwwah.

Muhammad al-Ghazali pernah menyebut : “sesungguhnya pemikiran politik dikalangan agamawan berlaku kelemahan yang ketara, mereka melihat kerosakan tetapi tidak mengetahui sebabnya, mereka membaca sejarah tetapi tidak membongkar pengajarannya..telah dikatakan kepada mereka : kita dahulu punyai sejarah yang hebat dan agung tetapi mereka tidak dapat mengetahui rahsia kehebatan dan keagungan ini..kita kalah dan tewas  pada zaman ini..dan tidak memahami sebab kepada halangan ini yang menjadikan kita tewas”.

Kesedaran Politik dan Tuntutan Semasa

Kesedaran politik adalah kunci memahami realiti semasa di dalam menjayakan agenda islam berdepan agenda barat atas nama demokrasi, liberalisasi dan hak-hak asasi manusia. Kegagalan Harokah Islamiah memimpin umat dan dunia adalah kehilangan kesedaran politik Islam untuk memahami tabiat semasa dan mengetahui realiti zaman.

Perubahan pesat yang berlaku di dunia di era globalisasi dan pasca modernism telah memberi kesan kepada perubahan kehidupan. Kepesatan teknologi maya dan dunia jaringan turut memberi kesan pada amal islami.

Harokah Islamiah perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi semasa dan menebarkan ruang dakwah berdasarkan tuntutan semasa. Harokah perlu menilai ,mengkaji dan menganalisa setiap peristiwa yang berlaku kepada dunia Islam, memahami kesan, baik buruknya kepada gerakan islam di dalam menjayakan projek Islamnya.

Antara bentuk kesedaran politik yang perlu ada kepada Harokah Islamiah ialah:

  • Mengetahui realiti semasa terutama kuasa-kuasa yang berpengaruh di dunia.
  • Mengkaji ,menganalisa ,membongkar dan mendedahkan latar belakang setiap peristiwa yang berlaku, ruang lingkup dan kesannya kepada umat islam.
  • Memahami budaya semasa, pengetahuan dan ilmu semasa, undang-undang yang mentadbir dan mendominasi dunia masakini.
  • Memahami agenda-agenda besar dunia samada dari pihak musuh atau rakan. Menilai pengalaman agenda perubahan mereka, mencari titik kejayaan dan titik kegagalan agenda tersebut.
  • Memahami istilah-istilah semasa dan bahasa politik semasa. Termasuk juga memahami  sastera semasa, ilmu semasa dan ideologi-ideologi terkini di samping mampu membaca ucapan –ucapan dan retorik politik semasa.

Tuntutan memahami kesedaran politik menjadi satu yang bersifat fardhu ‘ain dan juga fardhu kifayah di dalam menjayakan agenda Islam mengikut ruang lingkup keperluan dan tuntutannya.

Kesedaran Politik merupakan satu syarat kepada satu kebangkitan Islam. Lihatlah fenomena ‘Arab Spring’ sebagai wahana kejayaan Harokah Islamiah di negara-negara Arab seperti Tunisia, Mesir dan Algeria. Ia juga memberikan kuasa kepada umat untuk menentukan sulvival masa depan mereka. Ini juga menuntut gerakan islam menyediakan generasi kebangkitan [Abna’ as-Sohwah] untuk memikul tugas dan peranan melakukan perubahan di setiap fasa-fasa dakwah. Ini juga mengukuhkan keperluan menilai semula manhaj tarbiyah dan takween serta wasilah pembinaan individu muslim di dalam marotib amal. Benarlah ungkapan : “ semoga allah merahmati seorang yang memahami zamannya dan tetap pendirian di dalam caranya..”.

Kesan Ketiadaan Kesedaran politik

  • Tidak memahami bahasa politik semasa seperti teroris, fundamentalis, memerangi pelampau,lobi politik, pertembungan tamadun, globalisasi, New World Order dan sebagainya.
  • Tidak mampu membaca aliran ideologi semasa seperti liberalism, humanism, demokrasi dan sebagainya.
  • Lemah di dalam melakar agenda perubahan untuk menggerakkan projek-projek Islam.
  • Hilang semangat untuk berdepan dengan kekuatan imperialis barat dan ancaman Zionisme.
  • Hilang peta amal harokah islamiah dan terjebak di dalam kesilapan merancang dan menentukan langkah-langkah yang sepatutnya.
  • Terjebak di dalam kancah kekacauan poltik dan ideologi yang menjadi faktor penghambat perjuangan.
  • Tidak mampu mengambil manfaat dari ruang yang terbuka luas juga membaca titik lemah yang ada di pihak musuh.
  • Tenggelam dengan musuh sampingan dari musuh sebenar yang akhirnya merugikan Islam dan umat Islam.
  • Hilangnya fiqh amal ‘aam dan fiqh amal kemasyarakatan yang tersusun sebagai alat untuk menentang musuh.
  • Gerakan islam terlepas peluang di samping ia menjauhkan umat dari projek Islam. Termasuk juga tidak memberikan perhatian kepada kerugian yang dialami dan jarak masa yang jauh.

Kesimpulannya, keutamaan memiliki kesedaran politik adalah penting di dalam menjayakan projek Islam. Semua  ini tercapai dengan :

  • Memberikan perhatian kepada institusi tarbiyah Jamaah Islamiah seperti usrah, katibah, mukhayyam dan sebagainya.
  • Manhaj pembinaan dan penyediaan para ‘amilin islamiyyin.
  • Program-program takween yang tersusun.
  • Kepimpinan berkaliber, memiliki rukyah amal yang jelas dan mampu membaca sepak terajang musuh Islam.

Read Full Post »

Read Full Post »

Semua Muslimin dan Muslimat di jemput ke Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Peringkat Negeri Sembilan pada 7 Januari 2012.

Ayuh ! Bersatu Selamatkan Aqidah Umat

Read Full Post »

Buku ini adalah inspirasi dari tulisan buku Qawaid ad-Dakwah Ila lah tulisan Dr. Hamman Saeed Muroqib Ikhwan Muslimin Jordan yang diolah dari bentuk dan huraian yang mudah, dalam bentuk noktah-noktah penting. Buku ini mengekalkan 15 kaedah yang diambil dari kitab Qawaid Dakwah Ila Lah tulisan Dr. Hammam kepada para du’at ikhwan muslimin dalam bentuk kaedah-kaedah yang ringkas dan mudah. Penulis mensyarahkan kaedah tersebut dengan cara mengambil isi-isi penting dari huraian buku tersebut, menterjemah apa yang sesuai juga menambah beberapa isi-isi tambahan dalam menghuraikan beberapa kaedah tersebut di samping memberikan kefahaman yang mendalam terhadap fiqh dakwah.

Buku ini mengekalkan kaedah dakwah yang telah dikemukakan oleh Dr. Hammam Saeed, menterjemah dan menghuraikan kaeadah-kaedah dari penulisan beliau dengan mengekalkan beberapa intipati penting agar ruh dan asolah bukunya terpelihara dan memenuhi objektif.

Buku ini adalah himpunan beberapa kaedah  berdakwah berkait dengan tasawwur dakwah, uslub dan wasilah dakwah. Moga  ia bermanfaat buat para da’ie di jalan allah.

Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi penyusun buku ini di HPhone 0134284235

Read Full Post »

Salam Eidulfitri 1432H

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum

Salam Eidulfitri Kullu Ám Wa Antum Bikhair

Eid Mubarak Eid Saeed

Dari

Mohd Azizee & Sekeluarga

Read Full Post »

Older Posts »