Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2010

Selamat Hari Guru 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Warga pelajar dan pendidik sekalian,

Setiap kali menjelang 16 Mei, mengingatkan kita akan hari yang bersejarah dan bermakna iaitu Sambutan Hari Guru. Tarikh 16 Mei dijadikan tarikh keramat bagi mengenangkan jasa dan sumbangan para guru terhadap usaha membangunkan kualiti modal insane menerusi wadah pendidikan.

Penamaan tarikh 16 Mei sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan ketika itu.

Sejarah telah memahatkan bahawa jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada kualiti pendidikan umat tersebut. Jika mundurnya pendidikan umat tersebut , maka mundurlah bangsa itu sebaliknya jika maju pendidikan umat tersebut, maka majulah bangsa tersebut. Justeru usaha membangunkan pengupayaan umat ( nation capability) amat mendesak dan tugasnya terletak ditangan para guru sebagai pilar utama menjayakan agenda membangunkan ketuanan umat dan negara.

Dunia pendidikan kita berada antara dua persimpangan. Pendidikan sebagai wadah melahirkan generasi berkualiti atau wadah komersial mengaut keuntungan semata-mata. Pendidikan jika diabaikan inti dan makna perjuangan dan idealisme mengangkat harakat masyarakat madani akan meminggirkan nilai akhlak dan pembentukan sahsiah para pelajar. Akhirnya akan melahirkan generasi yang beracuankan pemikiran penjajah dan luntur nilai-nilai keislamannya.

Tidak hairanlah kita melihat pelbagai masalah dan gejala sosial yang menimpa anak-anak pelajar kita. Dari kisah ponteng sekolah hinggalah kes pembuangan bayi, pembunuhan dan salahlaku seks. Semuanya ini adalah gambaran ketempangan dan keluwesan sistem pendidikan kita. Para guru harus bertindak sebagai agen perubah dan penjana modal insane terbilang.

Usaha memulih dan memperkasakan pendidikan terletak dibahu warga guru dan pendidik. Para guru perlu memugar dan membugar idealisme perjuangan untuk membina semula sebuah masyarakat luhur di dalam sebuah negara yang pelbagai etnik dan bangsa ini. Pendidikan tidak terhad sebagai proses pengajaran dan pembelajaran dibilik-bilik darjah tetapi harus menjangkau kepada pembinaan personaliti para pelajar.

Rasulullah dan para sahabat r.a adalah model unik kejayaan satu sistem pendidikan rabbani. Pendidikan yang berteraskan kepada ilmu wahyu dan suluhan rabbani telah berjaya mencetak generasi yang dikenali sebagai Jil Qurani Farid ( Generasi Al-Quran Yang Unik). Sewajarnya para pendidik mencontohi dan menimba kejayaan sistem tersebut.

Cabaran dunia pendidikan amat getir dan bukan kepalang. Para guru perlu meningkatkan keupayaan kemahiran sofskill dan hardskill sebagai seorang pendidik agar mampu mendepani cabaran tersebut. Tanpa persediaan dan persiapan yang secukupnya, mereka akan gagal dan kecundang dalam memartabatkan pendidikan ini. Imbuhan dan insentif dari pihak kerajaan dalam memajukan bidang pendidikan amatlah dialu-alukan.

Bersempena Hari Guru ini, marilah kita bersama-sama menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Semoga keringat dan sumbangan bakti mereka menjadi amal pada hari kemudian. Guru bak kata orang adalah lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selamat Hari Guru

“Guru Pembina Negara Bangsa”

YDP ISMA Cawangan SEREMBAN

Read Full Post »

Salam buat muslimin dan muslimat sekalian…

Dijemput hadir ke Program sambutan Hari Ibu anjuran Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban.

Read Full Post »

Taklim ( Pengajaran)

Perana ketiga sebagai seorang naqib ialah Taklim ( pengajaran).istilah taklim dalam konteks semasa merangkumi dua proses iaitu mengajar dan mendidik. Yang pertama bermatlamatkan kepada memenuhi sukatan dan silibus pelajaran serta program pengajran. Manakala aspek mendidik pula tertumpu kepada mengajar perilaku, akhlak  dan sudut praktikal terhadap prinsip-prinsip teorikal. Usrah sebagai wahana pembinaan Jamaah berdiri atas dua proses ini secara serentak.

Aspek Tadris (Proses Pengajaran)

Usrah adalah sekolah pertama dalam mengajarkan asas-asas Ulum syarak, Usul Akidah, asas-asas utama pemikiran Islam. Begitu juga ia mengajar prinsip-prinsip, asas-asas Jamaah dari segi pemikiran, uslub dan wasilah-wasilahnya.Peranan Naqib @ Murobbi ialah melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran  dengan penuh kesedaran berdasarkan kepada silibus @ manhaj Jamaah.

Pertama : Manhaj Umum

Tugas Naqib ialah menyempurnakan proses mengajar  sukatan manhaj yang telah ditentukan. Proses pengajaran ini hendaklah dinamik, segar dan menarik minat peserta liqa’.Beliau tidak hanya mengajar dalam bentuk ad-hoc atau tanpa persiapan yang rapi sehingga tidak member impak dan kesan kepada jiwa.. Peranan Naqib ialah mengajar subjek manhaj secara dinamik, bermotivasi,penuh himmah (semangat), interaksi dengan teks, huraian teks secararingkas, memberikan kritikan, dan mengaplikasikan teks dalam konteks kehidupan dan pengalaman yang amali (praktikal).

Usaha ini akan berjaya jika ada persediaan yang baik sebelum perjumpaan dengan menyiapkan tugasan usrah, membuat kajian dan dapatan maklumat atau latihan-latihan yang membina pengalaman yang mengembangkan tajuk-tajuk subjek tersebut.Justeru penyampaian Naqib akan lebih menarik, berkesan dan mempengaruhi para peserta liqa’. Usrah harus dibugarkan dengan quantum tarbiyah dan dakwah dengan menggunakan aplikasi terkini, penggunaan multimedia dab bahan bantu mengajar yang interaktif. Jika tidak ia menjadi kelas-kelas pengajian syeikh di masjid-masjid.

Antara unsur-unsur yang boleh menarik minat para peserta ialah :

  1. Bersepadu : Subjek pembelajaran yang bersepadu merangkumi berita-berita politik, sosial dan kajian baru dari penulisan  berbentuk ilmiah dan intelektual.
  2. Pelbagai bahan bantu mengajar seperti penggunaan LCD, OHP Projektor, slide, peta minda dan sebagainya.

Jika para naqib menggunakan kaedah pengajaran yang interaktif,proses pengendalian halaqahnya akan lebih menarik dan berfaedah. Para peserta akan lebih tertarik untuk hadir tanpa rasa jemu, menanti perjumpaan seterusnya dengan penuh rindu dan merasakan diri terbimbing dan terdidik.

Kedua : Manhaj Khusus.

Usrah bukan sekadar dipenuhi aspek thaqafi (pengetahuan) dan ilmu semata-mata. Ini kerana tahap setiap anggota berbeza-beza dari sudut kemampuan ilmu, pemikiran, jiwa dan tabiat masing-masing. Sukatan umum tidak mampu memenuhi keperluan pengetahuan, jiwa dan aspek dakwah dan harakah.

Lantaran itu, peranan Naqib ialah melaksanakan tugas wajibnya sebagai seorang Naqib iaitu tugas tarbawi. Tugas ini menuntut para Naqib menugaskan anggotanya dengan beban dakwah,mengaitkan bahan dengan wajibat dakwah dan harakah, aspek-aspek praktikal dalam dakwah, penglibatan dakwah dalam masyarakat. Keduanya ialah membebankan anggotanya untuk sentiasa berterusan membaca, melaksanakan kerja yang berfaedah dan merubah waktunya yang sias-sia kepada usaha yang berguna.

Justeru para naqib mengimbangi keperluan fitrah yang perbagai dan berbeza-beza kepada penugasan amal yang sesuai agar dapat dimanfaatkan potensi mereka untuk kemaslahatan jamaah. Pepatah ada mengatakan : “ Setiap orang dipermudahkan baginya atas ciptaannya..”

Aspek Tarbiyah

Aspek ini menuntut para Naqib @ Murobbi melaksanakan fungsi Tahzib iaitu mendidik perilaku.Secara prinsipnya Naqib menjadi Qudwah Amali pada anak buahnya dalam semua aspek tingkahlakunya. Anggota –anggota baru akan melihat dakwah dan jamaah berdasarkan pengamatan dan qudwah dari Murobbinya khususnya diperingkat Sirriyah (kerahsian).

Ciri-ciri Naqib yang baik, jiddiyah dalam amal, kesungguhan melaksanakan arahan, gaya ber interaksi, ketaqwaannya, kesedaran harakinya memberi kesan kepada ahli usrah dan anggota Jamaah.

Di sinilah Naqib @ Murobbi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan tahap spiritual, intelektual dan amalinya, bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan jamaah dan arahannya mengatasi anggota yang lain, menghabiskan seluruh waktunya dalam amal dan intaj (menghasilkan produk) dengan berlipat ganda melebihi ikhwan yang lain.

Qudwah yang ditunjukkannya menjadi pendorong dan menolak ikhwan lain untuk beramal dengan penuh semangat yang tinggi dan aktif. Jika tidak ia akan menjadi satu kekangan pada ikhwannya, membuka ruang kritikan, medan untuk mencari alasan untuk tidak beramal dan malas. Manakala disisi Naqib pula akan sentiasa mencipta keuzuran untuk berhenti berdakwah tanpa ada usaha meningkatkan kualiti dirinya, Dia menjadikan dirinya tidak berupaya dan terhalang untuk memuhasabah dan member peringatan pada ikhwannya yang lain dek kerana beliau tidak mampu menjadi qudwah. Jika dia mampu memberikan nasihat, nasihatnya menjadi kaku, tiada ruh, bicaranya hambar, tidak berbekas pada jiwa dan akhirya lemah daya pengaruhnya  dan kesan pada ahli. Setiap Naqib hendaklah membaca dan menyemak semual tulisan dari buku ‘Tazkirah an-Naqib’, melaksanakan pesanan-pesanan untuk diri dan ikhwannya di samping selalu membaca buku-buku Raqaiq (pelembut jiwa) dan Mawa’id (peringatan-peringatan) yang dapat memberikan daya dorongan untuk lebih aktif dalam amal, aktiviti dan harakah.

Read Full Post »