Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for September 2012

Re-Orientasi Fiqh Dakwah

Kalimah ‘ad-dakwah’ dijustifikasikan kepada kerja-kerja mengajak manusia kepada jalan allah. Manakala mereka yang bekerja di jalan dakwah digelar sebagai da’ie. Kerja dakwah pula wajib dari sudut tuntutan syarak dan bertujuan memenuhi keperluan masyarakat. Usaha dakwah tidak terhenti kepada usaha mengajak tetapi perlu menterjemahkan makna dakwah dalam bentuk praktikal dan membumi di bumi realiti.

Realitinya para du’at amat berhajat kepada mengungkapkan semula takrifan dakwah di dalam konteks istilah fiqh dakwah. Fiqh dakwah ialah :

“ satu bentuk kefahaman dan penguasaan yang mendalam terhadap subjek dakwah Islam, hakikat, cara dan intipatinya…’.

Ia menjelaskan bahawa orang yang bekerja untuk dakwah bukan bekerja untuk mengulang-ulang teori amal islami dalam pelbagai dimensinya yang berbeza dari sudut tarbiyah, sudut takhtit dan tanzhim dengan ungkapan kalimat-kalimat retorik tetapi menterjemahkannya ke dalam reality yang dapat dirasai, memberikan dorongan secara langsung, pengembangan amal secara praktikal dan pemerolehan amal secara efektif.

Dalam erti kata lain seorang daie yang memiliki fiqh dakwah ialah :

1. Orang yang memahami bahawa amal islami bukan mengumpul informasi demi informasi semata-mata tetapi ia adalah menyiapkan setiap akh itu untuk memaksimakan keupayaan pemikiran dan fizikalnya serta menyumbang segala material dan usahanya selari dengan perancangan dakwah bagi mencapai objektif dakwah tersebut.

2. Orang yang memahami tabiat , peranan, tanggungjawab dan marhalah dakwah dengan kefahaman yang jelas dan mendalam.

3. Orang yang memiliki pemikiran yang bukan bersifat teorikal tanpa ada hubung kait dengan waqi’ dakwah dan permasalahan-permasalahan dakwah tetapi ia satu bentuk pemikiran yang bersifat praktikal yang dapat memberikan penyelesaian  secara amali dan realistik. Bahkan ia merupakan satu fiqh yang mampu memberikan daya tolakan zatiah untuk menggerakkan akh ad-daie untuk bergerak dengan proaktif dan terlibat di dalam mengatasi isu-isu dakwah di medan amali dan pelaksanaan.

4. Fiqh dakwah ini menjadikan para du’at bergerak bersama kafilah dakwahnya dengan satu perasan yang merasai kesyumulan dakwah. Ia mengesani semua aspek dan sudut umat samada perkara ruhiyah, siasah, tandhim dan keilmuan tanpa ada pemisahan antara stu sama lain.

5. Ia juga bermaksud bahawa seorang da’ie perlu mengikat kehidupan hariannya, saudara-saudaranya dan halatuju   pemikiran mereka  dengan objektif dan matlamat dakwah.Ia berputar dan berlegar di atas putaran dan kitaran orbit dakwah ke mana dakwah itu berputar.

6. Ia juga bermaksud seorang daie itu menumpukan fokus segala usahanya, memberikan perhatian kepada ikhwahnya untuk melakukan amal islami dengan cara yang paling terbaik dan mantap. Amal islami yang terbaik itu terhasil dari tarbiyah ruhiyah dan tarbiyah akhlaqiah yang mendalam, kesedaran siasah yang cukup matang dan pemikiran islam yang tulen jauh dari segala kekeliruan.

Dengan kata lain fiqh dakwah ini akan menjadikannya pembela dakwah, segera menghapuskan segala kalimat yang keluar dari bibir-bibir manusia yang cuba untuk melemahkan semangat dakwah.

Para salafussoleh cukup faham dan arif perkara ini sebagaimana kisah yang terjadi pada salah seorang tentera Khalid al-walid semasa pembukaan Kota Syam. Tentera itu berkata :

“ alangkah ramainya bilangan tentera musyrikin dan sedikitnya bilangan tentera umat Islam..”

Mendengar kata-kata tersebut, lantas Khalid menjadi marah kerana dia faham kalimah ini mengundang rasa lemah semangat kepada tentera Islam. Maka Khalid pun berteriak, katanya :

sesungguhnya bilangan tentera akan semakin ramai dengan pertolongan dari allah dan bilangan akan berkurang dengan adanya perasaan lemah semangat ..bukan dengan kuantiti para tentera..”

Justeru fiqh dakwah ialah fiqh yang mampu menggerak dan menterjemahkan amal ke medan sebenar, yang mampu memberikan solusi-solusi dan memimpin perubahan kepada umat…dakwah yang memindahkan medan bercakap dan retorik kepada medan amal dan bertindak…medan membina institusi – institusi dan wadah-wadah amal yang menangani dan menyelesaikan isu-isu umat.

Read Full Post »

Ikhwati fillah..

Allah berfirman di dalam al-Quran ayat 10-11 Surah as-Soff

10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?

11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

Ikhwati fillah,

Marilah kita mengucapkan tahmid dan tasyakkur atas kurnian Allah yang tidak terhitung nilainya kepada kita. Antara semulia-mulianya nikmat kurnian Allah kepada kita ialah memilih kita berada di atas jalan dakwah, jalan para rasul dan anbiya’, jalan salafussolih , jalan yang akan mengantar kita ke al-jannah.

Jalan dakwah adalah jalan penyelamat. Jalan menyelamatkan manusia dari dholalah [kesesatan] di dunia dan menyelamatkan kita dari dihumban ke dalam azab api neraka kelak.

Ayat yang kita tadabburi di atas sewajarnya menjadi akrab dan dekat dengan kita selaku ad-daie illallah. Ad-Daie yang tugas utamanya menyelamatkan manusia dari menerima kemurkaan allah. Allah membuat tawaran direct tanpa perantaraan Rasul tetapi menggunakan khittab secara langsung kepada orang-orang yang beriman sekaligus mengkehendaki orang-orang yang beriman ini menjadi teladan aplikatif di dalam hal menyumbang untuk dakwah ini.

Dakwah merupakan urusan bisnes dengan Allah. Bisnes yang menguntungkan dan berlipat kali ganda di akhirat. Inilah bisnes untuk meraih syurga Allah.

Ayat ini diturunkan mengikut riwayat yang pelbagai sebagaimana kata Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari Abdullah bin Salam, bahawa ketika para sahabat sedang duduk berbincang-bincang, ada dikalangan mereka berkata dengan nada yang penuh cita-cita, “Sekiranya kami mengetahui amal yang lebih cintai Allah, pasti kami akan mengerjakannya”. Maka turunlah ayat ini menjelaskan pelaburan terbaik untuk kehidupan masa depan yang bahagia.

Dalam riwayat Ibnu Abi Hatim dari sa’id bin Jubair , bahawa ketika turut ayat ini, para sahabat berkata, “ sekiranya kami mengetahui yang dimaksudkan dengan tijarah itu, pasti kami akan ikut serta melaburkan harta benda dan keluarga kami..”.

Secara tuntasnya ayat ini adalah menifestasi maksud tadhiyyah yang diperlukan bagi membangunkan deen ini. Tadhiyyah berupa kontribusi harta dan jiwa yang dipandu dengan asas keimanan yang tidak berbelah bagi kepada allah dan rasulnya.

Bukankan Allah bertanya kepada orang beriman pada ayat 2 dan 3 surah as-Shoff  yang bermaksud :

2. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya!

3. amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.

Ayat ini mempunyai pertautan yang erat antara tuntutan iman dan tuntutan thadhiyyah. Komitmen terhadap dakwah menuntut kita menjadi pelabur dan penyumbang terbaik untuk keberlangsungan dakwah ini. Ia juga menjadi bukti iltizam da’awi dan iltizam harakiy terhadap jamaah ini.

Namun realitinya, kita adapati sebahagian kita berkira-kira untuk berinvestasi untuk kehidupan akhirat sedangkan sudah dijamin keuntungannya yang berlipat ganda. Kita selalu selektif di dalam hal menyumbang untuk urusan syurga berbeza pula ketika kita memilih tawaran untuk urusan dunia. Kita sanggup berhabis-habisan di dalam soal pelaburan dunia, mencari dana dan wang untuk memastikan kita mendapat pulangan terbaik dari projek terbesar tersebut.

Sedangkan allah menempelak kita di dalam surah ali-Imran ayat 92 ;

92. kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua Yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Lihatlah para sahabat r.a ketika mereka membaca ayat ini. Mereka menjadi investor terbaik untuk dakwah. Mereka menjadi pelabur dan pemegang saham terbesar di akhirat. Mereka berlumba untuk mengorbankan harta yang paling berharga dan paling dicintai untuk kepentingan dakwah. Banyak catatan dan kisah ke`investor’an mereka sebagai teladan dan cerminan buat kita sebagai du’at.

Contohnya Abu Tholhah, seorang da’ie yang cukup berada, ketika turun ayat ini, dia segera bertemu Rasulullah SAW untuk mengorbankan ladangnya yang paling dicintai ‘Bairuha’ . Ladang yang terletak berhadapan Masjid Nabawi, di mana Rasulullah SAW sering memasukinya dan meminum air yang segar. Abu Tholhah berkata : “ Ya Rasulullah, aku ingin menginfakkan ladangku ini di jalan Allah swt. Maka terimalah sedekahku ini ya Rasulullah dan letakkanlah di mana Allah menunjukkan kepadamu”. Maka Rasulullah saw pun bersabda: ‘Bagus,bagus . Itulah harta yang menguntungkan. Aku mendengar kata-katamu dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada kaum kerabatmu.”

Begitu juga sikap yang ditampilkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a. Beliau pernah bercerita : ketika aku membacakan ayat ini, maka aku teringat perkara yang paling aku sukai ialah hamba sahayaku perempuan berbangsa Romawi. Lantas segera aku  membebaskannya dari perhambaanku dan menjadikannya bebas merdeka semata-mata kerana Allah. Andainya aku menarik kembali apa yang aku serahkan untuk Allah, nescaya aku akan nikahi hamba sahayaku itu..”

Begitu juga apa yang telah diperlakuakn oleh Abdullah b. Umar ketika beliau memerdekakan hamba sahayanya yang cantik lagi sangat dicintai. Beliau turut menikahkan hamba sahayanya dengan maulanya yang bernama Nafi’. Inilah bentuk pengorbanan termahal yang perlu dia lakuakn dengan mendapatkan pelaburan terbaik di akhirat. Itulah tijaroh dengan Allah SWT yang ‘lan taburaa..’ [tidak rugi] selama-lamanya.

Antara kisah menarik juga ialah kisah Zaid b. Harithah datang mengadap Rasulullah SAW hanya untuk menyerahkan kuda tunggangannya yang paling dikasihi untuk fi sabilillah. Dia berkata : “ aku ingin menjadi pelabur yang terbaik untuk dakwah ini. Inilah kuda tungganganku yang engkau tahu bahawa aku amat menyukainya. Sudilah kiranya engkau menerimanya dan menyerahkannya kepada yang patut menerimanya. Semoga amal ini diterima Allah SWT..”.

Kuda yang amat tangkas ini diterima Rasulullah Saw sambil melihat  raut wajah kesedihan pada Zaid b. Harithah kerana terpaksa berpisah dengan sesuatu yang paling dicintai. Ya ,ia satu keteladanan unggul  yang membuahkan keteladanan buat generasi berikutnya. Ia menjadi ‘ibrah buat generasi du’at hari ini agar menanam benih keteladanan di dalam berinfak buat generasi mendatang.

Ikhwati fillah..

Marilah kita bertanya pada diri..

Sudahkan kita menyelesaikan inytirokat wajib kita ketika kita tersenyum membuka slip penyata gaji kita sedangkan para sahabat berlumba memberikan bahagaian yang terbaik dan paling dicintai untuk dakwah ini..

Sangguhkan kita memberikan kereta mewah dan mahal kita untuk dakwah ini sedangkan kita bersenang lenang membawa keluarga dan anak-anak untuk urusan peribadi.

Mampukan kita memberikan lebihan harta dari bonus yang kita perolehi 3-4 bulan, ada yang 6 bulan untuk melihat dakwah dan tarbiyah kita berkembang.

Sudikah kita menghulurkan bantuan buat teman seperjuangan yang kesusahan…umat yang kelaparan sedangkan saban tahun kita menukar perabot rumah, aksesori kereta,pakaian kita dengan harga yang mahal dan ratusan ringgit ..

Relakah kita menjadi zuhud dan berpada dengan kecukupan yang ada agar kita mampu menyumbang dan menjadi pelabur terbaik untuk dakwah ini

Redhakah kita dengan ketidakcukupan hidup kita dek kerana infak kita untuk dakwah atau kita masih berfikir untuk menambah angka-angka gaji kita…saham-saham kita…kocek-kocek duit kita….rumah-rumah kita..

Ya..kekadang bangunan dakwah kita tidak seindah mahligai rumah kita

Ya ..kekadang bantera dakwah ini tidak sehebat pacuan roda kita..

Ya ..kekadang laman dakwah ini tidak seanggun laman lanskap kita..

Ya…dakwah ini urusan allah…setiap amal yang kita laburkan untuk dakwah ini ada habuannya. Untuk menjadi pelabur terbaik dengan saham terbesar dalam dakwah ini menuntut kita mengorbankan apa yang terbaik dari harta kita, waktu kualiti kita , idea yang cerdas dan tenaga kita yang utama.

Seorang da’ie yang sejati  tidak akan bergembira melainkan setelah dia menyertai pengorbanan dan perjuangan untuk terus ber`investasi’  di jalan dakwah sekalipun dengan udzur syar’ie yang memberikan rukhsah padanya.

Ingatlah pelaburan yang terbaik dari dakwah kita akan menentukan tempat dan pintu syurga yang mana kita akan masuk nanti. Semoga semua pintu syurga sentiasa terbuka bagi kita dan para penjaganya dengan bangga dan tersenyum menyeru dan menyambut kita masuk ke dalamnya.

Ya allah..berikan kepada yang suka menginfak harta…dilipat gandakan hartanya, manakala yang kikir hartanya..diberikan kebinasaan..”

Read Full Post »