Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Jun 2014

ramadhan 1Jalan dakwah penuh dengan ranjau dan duri, jalan yang telah dilalui para nabi dan rasul. Jalan yang satu tiada dua dan tiganya. Jalan salafussolih menebar risalah memayungi ummah dengan rahmat islam. Berjalan di atas jalan ini menuntut bekalan. Bekalan yang memberikan kekuatan buat para pejuang, menyuluh jalannya, mengubah realiti  umat, membantunya untuk terus berjihad dan berkorban serta mendorong para pejuang untuk thabat berdepan seribu satu macam ujian dan mehnah sepanjang perjalanan dakwah.

Bekalan terbaik dan ampuh ialah bekalan puasa. Ini dinyatakan dengan jelas pada ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu kewajipan berpuasa sebagaimana umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketaqwaan”.

Allah telah memuliakan tetamu Ramadhan dengan dua perkara. Pertama puasa sebulan dan keduanya ‘Lailatul Qadar’. Lantas itu allah menkhususkan Ramadhan dengan pelbagai kebaikan yang menjanjikan pelbagai tawaran, pelbagai bekalan, pelbagai ganjaran bagi menyipakan pejuang tahan lasak mengharungi rintangan di atas jalan dakwah. Jika sekiranya para pejuang tadi memahami dan mengerti makna Ramadhan sebagai ‘zaad’ bekalan perjuangan nescaya pasti mereka bercita-cita Ramadhan sepanjang tahun.

Padanya bekalan al-Quran yang menjadi manhaj dan akidah para pejuang :

“Bulan ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia, yang mengandungi di dalamnya keterangan berkaitan petunjuk dan pembeza”.

Padanya ada ‘Lailatul Qadar’ sebaik-baik malam yang lebih baik dari seribu bulan. Padanya juga terbuka pintu-pintu kebaikan,tertutup pintu-pintu neraka dan para iblis dibelenggu. Manakala ganjaran amal berlipat kali ganda dengan bekalan tadarus,iktikaf, qiam dan sebagainya yang menjadi alat pemangkin jiwa pejuang.

Pejuang meraikan Ramadhan dengan penuh kegembiraan, menyambutnya dengan penuh suka duka sebagaiman para mukmin bergembira dengan anugerah dan rahmat Allah atas kehadiran bulan penuh keberkatan dan kerahmatan. Hanya pejuang yang hidup bersama Ramadhan untuk Ramadhan akan menggapai bekalan dan merasai kelazatan dan kemanisannya.

Bulan Ramadhan membekali para pejuang dengan bekalan al-Quran melalui proses tilawah,tadabbur dan hafalan . Di celah-celah keheningan malam, para pejuang bermunajat kepada Rabb dengan alunan kalamullah yang melembut jiwa. Al-Quran menjadi petunjuk, hikmah,cahaya, peringatan dan penawar kepada pejuang. Tidak ada lagi sebaik-baik bekalan buat pejuang melainkan bekalan al-Quran.

Di bulan ini para pejuang mengisi agenda malamnya dengan ibadah  qiamulail. Qiamulail adalah penghubung komunikasi antara seorang hamba dengan Khaliqnya. Qiamulail adalah bekalan efektif dan latihan intensif pemurnian jiwa untuk memastikan jiwa sentiasa tunduk dan sabar dengan segala ujian mendatang. Ia hanya dapat dirasai kemanisannya dengan sentiasa bertaqarrub dan berhubung dengan Allah SWT dalam keadaan penuh khusyuk dan penuh rasa ketundukan.

Di samping itu, anjuran beriktikaf di bulan ini menjadi keutamaan. Beriktikaf di bulan Ramadhan punyai rahsia dan fadhilatnya tersendiri.Pejuang yang beriktikaf merasakan dia adalah tetamu Allah ,menumpukan seluruh perhatiannya untuk mentaati dan bertaqarrub kepada Allah dengan zikir, solat, munajat, doa, istighfar, taubat dan tangisan airmata taubat lantaran rasa takut kepada Allah. Proses ‘iktikaf’ mendidik pejuang makna taqarrub, mengosong jiwanya dari kesibukan dunia yang menjadi penghambat perjuangan dari meraih kemenangan akhirat.

Ramadhan menjadi pusat latihan tahunan buat para pejuang menimba bekalan. Ramadhan adalah madrasah tazkiyatun nafs, madrasah askariyyah [sekolah ketenteraan] merekrut para pejuang seperti pasukan tentera Badar, madrasah jihadiyah [sekolah jihad] melahirkan pejuang yang thabat dan indhibat dan madrasah ukhawiyyah yang mengikat hati-hati para pejuang dan membina erti solidariti umat sebagai satu binaan yang saling kukuh mengukuh antara satu sama lain.

Antara intipati bekalan Ramadhan buat para pejuang ialah :

1. Ramadhan  mendidik erti ikhlas hanya kerana Allah dan  merasai muraqabatullah. Tiada makna bagi pejuang dakwah dan harakah jika tidak ikhlas dalam beramal dan berjuang.
2. Ramadhan menanam erti mujahadah melawan runtunan hawa nafsu. Puasa melatih para pejuang melawan kehendak nafsu syahwatnya yang menjadi halangan terbesar di dalam perjuangan sebagai seorang da’ie ke jalan Allah.
3. Ramadhan melatih makna sabar. Kejayaan dan kemenangan dakwah bergantung kesabaran di dalam mengharungi jalan-jalan dakwah. Firman Allah yang bermaksud :

‘Mereka tidak merasa lesu dengan ujian yang menimpa mereka di jalan allah, tidak juga merasa lemah dan menyerah kalah, dan Allah bersama-sama dengan orang yang sabar..’

4. Ramadhan mendidik anggota  badan agar sentiasa dalam ketaatan kepada Allah. Ini penting dalam membentuk sahsiah pejuang.

5. Ramadhan menjadikan pejuang memahami erti Hilm [lembut hati] terutama terhadap mereka yang jahil. Sikap pejuang apabila berdepan dengan mereka yang menolak seruan dakwah adalah sikap sebagai seorang pendakwah. Pejuang tidak mengeluarkan kata-kata kasar dan kesat, bersikap lunak, santun budi bahasa dan jauh terjebak dalam alam jidal, perdebatan, perselisihan yang membuang masa dan tenaga untuk kemaslahatan dakwah.

Di samping itu, Ramadhan menanam dalam jiwa pejuang perasaan belas kasihan terhadap mereka yang memerlukan bantuan terutama golongan fakir . Ini mendidik pejuang menjadi pejuang yang hidup memahami denyut nadi kesusahan umat, belajar erti penderitaan dan kelaparan serta sanggup berkorban kesenangan untuk kebahagian umat.

6. Ramadhan adalan bulan kesabaran dan menanggung kepayahan terutama di lapangan jihad dan perang melawan musuh-musuh Allah. Sabar menjadi senjata buat para pejuang di jalan dakwah. Tanpa sabar tidak akan terhasil kemenangan dalam perjuangan.

7. Ramadahan mendidik makna intima’ jamaie. Ini kerana di bulan ini semua umat Islam di seluruh dunia berpuasa  selama sebulan,bersama-sama  merasai kebaikan ibadat ini, bantu membantu sesame mukmin sekaligus membentuk kesatuan ummah. Kesatuan dan rasa berjemaah penting di dalam kehidupan sebagai pejuang yang berjuang dalam mana-mana organisasi. Organisasi menjadi semakin lemah apabila semakin lemah  makna intima’ jamaie .

8. Ramadhan mendorong jiwa meneroka dan jiwa saintifik. Ini tergambar dengan perintah Allah SWT kepada umatnya untuk menentukan ibadat puasa dengan melihat anak bulan ketika di awal Ramadhan dan berhariraya pada awal Syawal. Sekaligus para pejuang perlu memahami kepentingan saintifik, menguasai bidang astronomi dan sentiasa melakuakn penerokaan demi menjayakan misi risalah.

9. Ramadhan membina fizikal yang sihat dengan ibadah puasa. Ini terbukti dengan fakta-fakta perubatan tentang kelebihan puasa. Secara tidak langsung pejuang perlu memiliki tubuh badan yang kuat dalam melaksanakan tugas dakwah dan jihad. Imam al-Bana meletakkan ciri ‘Qawiy al-jismi’ sebagai muwasofat pertama dan teratas pembinaan individu muslim.

Beruntunglah para pejuang yang meraikan kedatangan Ramadhan. Rugilah pejuang yang menempuh Ramadhan namun mensia-siakannya. Ambillah bekalan terbaik dari Ramadhan  agar menjadi pejuang Robbani bukan pejuang Ramadhan.

Benarlah kata Syeikh  Muhammad Abdullah al-Khatib tentang Ramadhan :

Puasa adalah taklif yang secara zahirnya menyiksa badan dan jiwa namun ternyata di akhirnya ia adalah satu persediaan,satu tarbiyah,satu jihad untuk menyiapkan orang-orang beriman bagi memikul peranan besar dan agung ini bagi memimpin umat ini”.

Syeikh Abdul Rashid Soqr pula berkata :

“Ramadhan adalah noktah bergerak untuk menyokong gerakan Islam di dunia, memantapkan kefahaman al-Quran di dalam jiwa seorang muslim dan menyelamatkannya dari kegelinciran.”

Read Full Post »

Operasi tajmik perlu kepada inovasi dan kreativiti dari sudut pendekatan dan kurikulum supaya dapat memberikan impak dan natijah yang terbaik. Ini penting bagi memastikan organisasi berlaku perluasan bilangan ahli dan meningkatkan keahlian baharu sekaligus mengukuhkan kekuatan organisasi. Berhenti dari kerja-kerja men’tajmik’ manusia membawa malapetaka dan bahaya pada organisasi.Ia mengheret organissai berada dalam keadaan lemah sehingga membawa organisasi mati akibat kepupusan organisasi atau tiada peranan di dalam memimpin umat.

Kerja-kerja tajmik mendedahkan organisasi kepada keahlian baharu yang bersedia untuk terlibat dalam kancah perjuangan. Ia memanjang hayat dakwah dan organisasi,mampu menerjah ke hadapan, mengembangkan medan amal serta mampu mendepani ujian dan cabaran semasa dan mendatang.

Untuk itu dalam proses men’tajmik’ perlu ada proses menilai semula atau introspek terhadap teknik, kaedah, pendekatan juga kurikulum dari semasa ke semasa untuk terus memelihara keberkesanan kerja-kerja tajmik.

tajmikPembacaan yang meluas berkaitan seni-seni tajmik dan dakwah fardiyah penting bagi memantapkan teori-teori tajmik di samping tadrib yang berterusan dengan bimbingan coach yang berkemahiran. Kemahiran tajmik akan menjadi lebih tajam dan bermakna jika dibumikan dalam medan amal sekaligus menambahkan khazanah pengalaman.

Tulisan Syeikh Muhammad ar- Rasyid berkaitan ‘Funun Tajmik’ di dalam bukunya ‘al-Masar’ perlu dilumat dan dihadam oleh para aktivis dakwah, disulami dengan menguasai tajuk ‘fiqh istifa’ (seni memilih manusia). Manakala penulisan dakwah fardiyah dari tinta  Ustaz Mustafa Mahsyur, Syeikh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, Dr. Syed Nuh, Abdul Halim al-Kitani , Dr. Yusri Hani’, Ahmad Thohtawi  dan Ibrahim Dib harus dan wajib dijadikan sumber rujukan memahami fiqh ini. Kisah—kisah pengalaman tajmik dari penceritaan  ‘jalan untuk memikat hati manusia’ secara amali karya al-Marhum Syeikh Abbas As-Sisi hendaklah dikaji, dianalisasa dan dijadikan panduan praktis. Di samping menimba pengalaman dari para tokoh ilmu menguasai manusia.

Tidak lupa juga menambahkan ilmu berkaitan seni berinteraksi dengan manusia, seni berkomunikasi, seni menguasai hati manusia, seni pengucapan awam dari tokoh-tokoh yang berjaya dan hebat tentang ilmu menguasai dan memimpin manusia.

Terdapat beberapa saranan untuk menajamkan seni tajmik iaitu :

  1. Wujudkan bank pengkalan data dan analisis supaya maklumat berkaitan mereka yang berada di dalam takungan tepat atau akurat. Ini penting dengan dakwah yang terbuka luas menuntut sistem pendataan yang mantap bagi memudahkan proses follow up. Berkemungkinan mereka yang ingin menggabungkan diri ke dalam organisasi terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat seperti para pelajar, pegawai, kakitangan kerajaan, usahawan, pekerja kilang dan sebagainya. Perlu pengkalan data, menyusun dan mengklasifikan mereka mengikut julat umur, potensi, bidang pekerjaan, kebolehan bagi membantu organisasi menyusun mereka mengikut potensi yang dimiliki.
  2. Mulakan tajmik kepada yang paling hampir dan dekat dengan organisasi iaitu anak-anak ahli dan saudara mara atau rakan-rakan ahli. Ini penting kerana  bakal menjadi penggerak dan tokoh dakwah.Sebaik-baik dalil ialah bagaimana Rasulullah SAW memulakan dakwahnya kepada kaum kerabatnya. ( wa anzir ‘asyirataka wal aqrabin).
  3. Tumpuan kepada kelompok ‘syabab’ atau pemuda.Justeru kerana mereka adalah generasi kepimpinan masa depan yang bakal mencorak negara dan umat. Perlu tumpuan yang seluas-luasnya kepada tajmik Gen Y yang berada di alam persekolahan dan IPT dengan tajmik yang sistematik, inovatif, kreatif, energetik, menarik dengan pendekatan baharu dan segar lari dari kaedah-kaedah konvensional. Belajar memahami bahasa, pemikiran, budaya,sikap dan tingkahlaku Gen Y supaya aktiviti yang dirancang merangsang kelompok ini. Imam al-Bana menyedari hakikat ini dan memberikan tumpuan utama kepada anak-anak muda khususnya pelajar IPT ketika beliau memulakan misi tajmiknya. Tempatnya adalah di kafeteria-kafeteria di kota-kota besar seperti Ismailiyah, Kaherah dan sebagainya.
  4. Hilangkan persepsi negatif terhadap orang yang lari atau tidak menyambut seruan tajmik kita . Kita perlu terus menjaga hubungan dengan mereka dari semasa ke semasa serta mengharap kebaikan dari mereka. Barangkali mereka berguna kepada dakwah kita apabila mereka berada di posisi penting negara seperti pengarah-pengarah jabatan, ahli politik, tokoh-tokoh masyarakat dan sebagainya. Mungkin ada yang dapat menyumbang wang kepada kita, ada yang menjadi orang tengah untuk kita bertemu pihak lain, ada yang akan membela fitnah yang dilontarkan kepada kita atau ada dari kalangan mereka menjadi duta menceritakan kebaikan kita pada orang lain. Mencari musuh bukan pilihan strategik dalam seni tajmik.
  5. Kolabarasi dan sinergi semua pihak dalam menjayakan tajmik. Ada ahli yang membuka medan dakwah tajmik, ada ahli yang mengumpul data dan maklumat, ada yang bertaaruf dengan mad’u, ada yang menyampaikan pengisian, ada yang melakuakn follow up, ada yang merancang aktiviti susulan. Semua kemahiran dan potensi ahli yang pelbagai perlu digarap untuk melaksanakan kemenjadian ‘tajmik’ tanpa terpisah-pisah supaya tidak berlaku tuding menuding antara satu sama lain.
  6. Kepentingan mendokumentasikan pengalaman tajmik samada pengalaman interaksi, komunikasi, dakwah fardiyah dan sebagainya yang membantu mempercambah dan mencerakinkan seni tajmik. Dokumentasi ini penting untuk menilai, menambah baik dan panduan operasi tajmik. Ini adalah aspek yang selalu tidak diberikan perhatian di dalam amal tajmik sehingga mewujudkan jurang antara dua generasi.
  7. Keutamaan membina dan mengkader generasi dakwah yang mantap dari sudut haraki dan tarbawi. Generasi yang menguasai seni DF dan dakwah umum melalui pelatihan-pelatihan yang berterusan di dalam halaqah dan daurah. Kelemahan pada aspek ini akan merencatkan perkembangan organisasi di dalam melahirkan tokoh-tokoh umat serta merekrut kader-kader baharu.
  8. Membuka medan-medan tajmik yang baharu dengan pendekatan yang menarik yang tidak terhenti pada kelompok ‘geng-geng masjid’. Variasikan medan medan tajmik dengan melakuakn usaha ‘engagement’ dengan pelbagai lapisan masyarakat seperti di sekolah-sekolah, kelab-kelab, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, pelajar IPT, cafeteria-kafeteria supaya ruang interaksi dan memilih luas dan organisasi memerlukan semua manusia -manusia emas ini.
  9. Keprihatinan kepimpinan di dalam mengembangkan amal tajmik dengan membuat peta perancangan tajmik secara tersusun, menilai perkembangan kerja tajmik, membuat follow up berterusan melalui laporan-laporan yang lengkap dan akurat. Di samping itu pimpinan perlu memantau  pengkalan data keahlian menggunakan teknologi terkini terutama yang sudah bersedia menjadi ahli diikuti mengadakan siri-siri seminar, bengkel-bengkel, kuliah-kuliah bagi melahirkan kader-kader dakwah yang aktif dan proaktif serta mengembangkan amal di medan bersama-sama ahli-ahli baharu.

Asas-Asas di dalam melaksanakan kerja-kerja tajmik :

  1. Merasai kepentingan dan masuliyah tajmik sebagai salah satu menifestasi kefahaman dakwah. Merasai bahawa kerja-kerja tajmik adalah ciri tamayyuz yang ada dalam kefahaman dan fikrah dakwah  Imam al-Bana.
  2. Sentiasa  dan tidak jemu-jemu mengharapkan rahmat dan pertolongan Allah kerana Allah yang memberikan hidayah sedang kan kita hanya dituntut berusaha dan bekerja menunjukkan lorong-lorong hidayah.
  3. Meningkatkan kompetensi diri dalam pelbagai aspek dan kemahiran seperti kekuatan ilmu, kemampuan mempengaruhi, kemampuan mentransform dan mewaris fikrah, kemampuan mentarbiah,kemampuan merubah mad’u, kemampuan mengekstrak, mencipta dan mewariskan pengalaman.
  4. Sinergikan dengan rakan-rakan dakwah anda di dalam melakukan proses memilih, menguasai dan membina manusia.
  5. Mensinergikan ahli-ahli organisasi dengan ahli-ahli baharu iaitu antara da’ie dan mad’u.
  6. Terbuka dan mesra dengan semua lapisan masyarakat, berusaha mengadakan pelbagai jaringan dan jalinan dengan semua pihak.
  7. Mempelbagai dan menvariasikan amal umum agar amal umum menjadi produktif.
  8. Jangan lupa lakukan proses menapis dan memilih. (Istifa’ dan Intiqa’). Pilihlah yang diibaratkan sebagai emas, galian terbaik atau rahilah (unta merah).
  9. Mulakan seni tajmik dengan mengambil kira aspek berikut :
  • Yang tawadhuk dari yang sombong
  • Yang menjaga lidah dari yang kecoh
  • Yang berani dari yang penakut
  • Yang pemurah dari kedekut
  • Yang  kosong dari yang sibuk
  • Yang dekat dari yang jauh
  • Yang berpenampilan baik dari yang buruk.
  • Yang  bergaul dari yang menyendiri
  • Yang muda dari yang tua.

10. Dalam ‘tajmik’ tinggalkan manusia yang ada sifat-sifat kedekut,ikut hawa nafsu, kagum dengan pendapat sendiri serta yang suka berbohong.Jenis ini tidak sesuai berada di dalam organisasi.

11. Menerobos dan melakukan  ‘engagement’  aktif dengan semua institusi –institusi masyarakat sebagai tempat penyebaran dakwah.

13. Belajar seni khitab (penalaan) dengan manusia,seni pengucapaan awam supaya mesej dakwah sampai ke setiap lapisan masyarakat.

14. Manusia-manusia pentajmik adalah manusia yang mahir bersosial,terbuka,mudah mesra, berpengaruh, mampu mengembangkan potensi diri, bersemangat,proaktif dan aktif.

15. Semakin besar ruang tajmik semakin besar ruang cabaran. Ini menuntut usaha yang berterusan,mengupayakan segala jentera pengislahan di dalam masyarakat sehingga mencipta suasana kebaikan di dalam umat.

16. Kejayaan di dalam amal ‘tajmik’ bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan berpegang kepada  cara-cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui sunnah –sunnahnya.

Read Full Post »

tajmik

“Pelajar-pelajar baharu dah mula daftar ke matrik..erm tak tahu macam mana nak mula..”

“ Ana kalau buat program umum..ana boleh..tapi bab tajmik mentajmik ni susah sikit…”

“Tajmik mat-mat surau ni senang la sikit tapi kalau nak tajmik geng-geng sukan ni blur…”

Itu adalah keluhan-keluhan atau karenah-karenah dalam mentajmik. Tajmik atau mengumpul manusia dan menarik mereka kepada islam adalah istilah yang cukup klise bagi anak-anak muda dakwah yang bersemangat dan beridealisme. Dalam uruf dakwah tajmik bermaksud berinteraksi dengan semua manusia dan menarik mereka kepada seruan dakwah. Secara tidak langsung manusia-manusia tadi tertarik lalu beriman seterusnya mereka menjadi kader-kader dakwah yang memenuhi keperluan dakwah. Ketidakmampuan untuk berinteraksi dengan manusia dan menarik mereka kepada seruan dakwah adalah bukti kelemahan tajmik.

Terdapat beberapa simtom yang boleh dijadikan kayu ukur kelemahan tajmik.

  1. Tidak bertambah bilangan mad’u atau kader dakwah. Kalau pun ada ia berlaku dalam skala kecil meskipun program-program umum yang berlambak.
  2. Dakwah gagal berperanan dan berfungsi di dalam program-program umum masyarakat.Masyarakat tidak merasai kehadiran dakwah dan mengesani fikrah dakwah tersebut. Impak du’at kepada umat tidak dikesani.
  3. Kegagalan organisasi dakwah di dalam memimpin gerakan massa seperti kesatuan pelajar, kesatuan sekerja, institusi social dan sebagainya.
  4. Kewujudan kelompok para du’at yang kekal di dalam institusi tertentu tanpa berlaku  aliran perubahan kepimpinan disebabkan ketiadaan generasi baharu dakwah.

Sebab-sebab berlaku kelemahan  tajmik bolehlah dikatogerikan kepada beberapa faktor iaitu:

Pertamanya faktor organisasi :

Organisasi yang terlalu lama berada di fasa tertutup atau ta’sis dan terlalu berhati-hati untuk menjaga ke’asolahan’ tarbiyah menjadikan organisasi kekok di dalam berinterkasi dengan masyarakat. Bahkan tempoh panjang di dalam bentuk gaya tarbawi dan isolisasi di dalam masyarakat menjadikan ia gerakan dakwah yang terasing dan menyendiri.Orientasi organisasi yang memberatkan program-program dalaman tanpa diimbangi dengan amal-amal umum menjadikan organisasi lemah seni tajmik. Begitu juga organisasi yang tidak terdedah kepada usaha ‘engagement’ dengan pelbagai kelompok lapisan masyarakat menjadikan organisasi tersebut kaku bahkan nampak janggal di mata masyarakat.

Tekanan pemerintah terhadap organisasi juga menyumbang kepada kemahiran tajmik apatah lagi jika ia berlaku di negara-negara diktator. Di samping itu kegagalan gerakan islam memanfaatkan ruang terbuka di dalam negara demokrasi sesuai dengan usia perkembangan marhalah jamaah.

Keduanya faktor individu

Individu yang membesar dalam suasana tidak bergaul dengan masyarakat seperti jiran, rakan dan manusia sekitarnya menjadikan sukar berinteraksi. Dia menjadi manusia introvert. Berkemungkinan juga trauma kegagalan pergaulan dengan insan lain sewaktu kecil membawa perasaan takut untuk bergaul dengan insan lain. Cara pembesaran dan pembelajaran sejak kecil dalam suasana kelompok yang terhad menjadikan da’ie tadi hilang kemahiran pergaulan dan lebih melakukan kerja secara bersendirian. Ada juga ibu bapa yang menghalang anak-anak dari bergaul dengan kelompok lain kerana dibimbangi terikut-ikut atau terjebak di dalam masalah social.

Ketiga faktor suasana

Trauma kegagalan para du’at di dalam mentajmik menjadikan ia satu pengalaman pahit. Da’ie takut untuk menempuh suasana sebegitu. Jamaah pula gagal merangsang suasana tajmik dengan mewujudkan bi’ah merasai kepentingan tajmik disebabkan kesibukan dalam amal-amal siasi secara berlebihan. Wujud du’at yang mengambil jalan mudah dengan memahami tajmik melalui medium maya tanpa wujud interaksi secara langsung dengan kelompok manusia.

Manakala suasana maksiat dan kelalaian yang ada pada da’ie menjadikan dia seorang yang malas berdakwah dan membunuh semangat tajmik. Tambahan pula suasana ahli-ahli yang tidak membantu da’ie tadi dalam usaha tajmik menjadikannya rasa berat untuk memikulnya. Secara tidak langsung keadaan ini menjadikannya mudah kecewa, penat dan menuntut kerehatan dari beramal.

Solusi

Solusi kepada permasalahan lemah tajmik boleh diatasi dengan cara berikut:

Latihan

Berikan latihan-latihan yang dapat membantu meningkatkan seni berinteraksi dengan orang lain seperti latihan pengucapan awam. Latihan memberikan ucapan boleh dilakukan seperti berikut :

  1. Bercakap kepada orang perseorangan terutama ahli keluarga atau kaum kerabat atau rakan-rakan tentang sesuatu isu atau agenda dalam tempoh lima minit setiap  sekali seminggu .
  2. Berbicara di hadapan dua orang atau khalayak yang lebih ramai seperti berpidato, berceramah, bertazkirah dan sebagainya.
  3. Menyampaikan buah fikiran secara ringkas di hadapan kelompok kecil dan meminta mereka memberikan respon ucapan tersebut..
  4. Belajar bertazkirah di majlis-majlis umum dalam tempoh lima minit seperti di masjid- masjid, surau-surau, bilik –bilik kuliah, pejabat-pejabat dan program-program umum selepas rekreasi, beriadah dan sebagainya.

Proses Ta’aruf

Berusaha berkenalan dan meningkatkan pergaulan dengan orang yang disekitar anda yang terdiri dari rakan masjid, rakan sekampong, rakan setaman, rakan sekerja , jiran-jiran dan sebagainya. Ini dilakukan dengan cara-cara berikut :

  1. Catat nama-nama, nama Hp, nama email di dalam diari anda. Wujudkan group-group Whatts Aps atau Telegram atau emailgroup untuk terus bertaaruf dan berinteraksi serta menyampaikan fikrah.
  2. Saling ziarah menziarahi atau menagajak mereka ke rumah sempena tertentu seperti walimatul urus, majlis akikah dan tahnik, sambutan raya dan sebagainya.
  3. Sentiasa berhubung dengan mereka jika berlaku kematian, kehilangan, sakit dan menyertai majlis-majlis keraian.
  4. Mengadakan lawatan-lawatan ke institusi penting masyarakat seperti menziarahi imam, penghulu, ketua kampong, balai raya dan sebagainya.
  5. Mengambil manfaat dan pengalaman dari mereka yang mahir dalam bidang tajmik dalam bentuk yang praktikal terutama ketika mereka berada di posisi institusi tajmik.
  6. Menghargai manusia yang berada disekeliling anda yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Berilah perhatian dan berusaha menyelesaikan masalah. Sebagai pelajar pula cuba mengatasi pelajar-pelajar yang baharu mendaftar masuk dengan bertindak sebagai JK Minggu Orientasi  Pelajar Baharu.
  7. Senyum dan terus senyum kerana dengan senyum membuka pintu interaksi anda dengan orang lain. Ia memudahkan anda didekati dan mendekati orang lain.
  8. Ucapkanlah ungkapan yang baik dan menunjukkan rasa cinta kepada orang lain. Dakwah adalah kuasa cinta dan dengan cinta kita membuka pintu hati manusia kepada dakwah. Sentiasa membela pelajar yang teraniaya dan dizalimi, menyelesaikan keperluan dan hajatnya di samping bersikap rendah diri dan tidak sombong.

Melakukan Intiqo

Satu aspek yang penting di dalam tajmik yang selalu ditinggalkan oleh para du’at ialah intiqo’. Intiqo’ di sini bermaksud proses memilih ‘rahilah’ [unta-unta merah] untuk dijadikan kader-kader dakwah atau aktuvis dakwah kampus. Proses pemilihan ini tidak terhad kepada adik beradik atau kaum kerabat tetapi harus merentasi rakan-rakan pelajar, rakan-rakan kerja, jiran-jiran sehingga mewujudkan hubungan intim. Hubungan intim ini dilakukan secara proses Robtul ‘Aam dan Dakwah Fardiyah setelah berlaku tawasul ijtimaie.

Pastikan proses pemilihan mengikut keutamaan iaitu bukan dari mereka yang sedang berkelana, yang anti agama, sibuk dengan perniagaan atau masih di usia kecil. Utamakan mereka yang boleh berfikir, yang masih kosong, berintelek, yang dekat dengan da’ie, yang tawaduk, yang ada pengaruh dan sebagainya.

Kepada kelompok ini, dibina hubungan yang intim,lalu mengajak mereka ke program-program umum seperti ceramah-ceramah, seminar-seminar,ekspo-ekspo,aktiviti riadah dan sebagainya. Seterusnya mengumpul mereka dalam program-program khusus yang menarik minat mereka serta bersabar jika mereka tidak hadir atau beralasan, sentiasa mendampingi mereka selalu dan melantik seorang ketua bagi memantau perkembangan  dan menilai mereka untuk diikta di dalam organisasi.

Memanfaatkan potensi ahli

Organisasi perlu membahagikan ahli-ahli mengikut kecenderungan dan minat ahli seperti ada yang bekerja di bidang kebajikan, bidang dakwah umum, bidang sukan, bidang agensi, bidang kebudayaan dan sebagainya. Organisasi perlu memanfaatkan potensi ahli tersebut agar dapat memberika pulangan faedah kepada oragnisasi di dalam mentajmik manusia. Jika tidak berlaku pengangguran amal tajmik.

Tajmik pelajar IPT

Bagi menggerakkan amal tajmik IPT beberapa saranan berikut :

  1. Mewujudkan platform dakwah aktivis kampus diperingkat universiti, matrik-matrik dan kolej-kolej.
  2. Melakukan ‘engagement’ dengan organisasi-organisasi pelajar lain dalam bentuk kerjasama, perkongsian bagi menyemarakkan suasana dakwah.
  3. Melahirkan tokoh-tokoh du’at kampus di organisasi-organisasi badan pelajar bagi membawa citra Islam.
  4. Mempelbagai dan menvariasikan takungan amal tullab agar dapat menampung kelompok manusia yang pelbagai untuk manfaat dakwah.
  5. Kreatif dan inovatif memanfaatkan teknologi terkini di dalam penyebaran dakwah menggunakan perisian grafik, akses internet, smartphone, gajet dan sebagainya. Ruang dakwah maya dimanfaatkan seperti facebook, twitters, blogs, websites dan sebagainya.
  6. Membuat rekod data tajmik pelajar  dan melakukan tindakan susulan seperti follow up dan DF secara terancang dan sistematik.
  7. Memberika pelatihan seni tajmik dan mempengaruhi manusia secara berterusan. Pelajar-pelajar diberikan motivasi dakwah dan tajmik agar terus merangsang mereka untuk beramal di medan tullab.
  8. Menimba pengalaman dari tokoh-tokoh tajmik berpengalaman agar spirit tajmik tidak mati dan proses regeneration berkesinambungan.

Read Full Post »