Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for September 2010

Pada 15-21 September yang lalu, saya berangkat ke negara Australia bagi mengisi program dakwah dan tarbiyah di sana. Turut bersama saya al-Fadhil al- Murobbi Ustaz Mohd Rusdhi b. Alias selaku Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Pusat. Suasana masih lagi dalam kemeriahan Syawal dan kesibukan manusia saling kunjung mengunjung antara satu sama lain. Namun kami bertolak ke Bumi Kanggaro atas masuliyah dakwah dan tarbiyah bertemu dengan para pelajar di sana.

Jam menunjukkan 9.30 malam ,kami berlepas dari KLIA menaiki pesawat MAS melunjur terus ke Adelaide yang mengambil masa 8 jam. Tepat jam 6.00 pagi kami pun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide. Kami terpaksa mengharungi tempoh masa yang panjang di imigrasen selama 3 jam akibat di soal siasat oleh pegawai kastam di sana. Memang tahap sekuriti untuk masuk ke Australia amat tinggi. Mungkin fenomena Islamiphobia masih menebal dikalangan warga Barat kesan pasca 19 September.

Pihak Kastam Australia terpaksa memanggil salah seorang pegawainya yang dapat bertutur Bahasa Arab. Namanya “ Laila” berasal dari Lubnan tetapi telah menetap dan bekerja di Australia untuk menyoal kami. Alhamdulillah akhirnya dapat juga masuk. Saya sepanjang tempoh tersebut berdoa agar allah memudahkan segala urusan dan kesulitan yang dihadapi. Mudah-mudahan pengalaman ini menjadi tarbiyah yang bermakna buat saya bahawa setiap kesusahan ada kemudahan. Kebergantungan kita yang amat tinggi kepada Allah adalah rahsia dan puncak ketenangan kita pada Allah.

Disekitar kawasan University Of Adelaide

Saya disambut oleh akh Azmir, beliau bertugas sebagai doktor di Adelaide. Merupakan orang Negeri Sembilan , sudah berkahwin dan bekeluarga. Seusai bersarapan dirumahnya kami dibawa ke rumah anak-anak muda yang belajar di Australia . di sini saya mengenal Sdr. Umair Haqqan, Mujahid, Akh Zairil dan lain-lain lagi. Umair Haqqan adalah pelajar tahun 3 Kejuruteraan, pernah belajar di MRSM Jasin, tinggal pun bersebelahan sekolah saya iaitu Seremban Jaya. Perkenalan (taaruf) ringkas ini akan menjadi asas kepada binaan dakwah dan jamaah ini.

Australia Bumi Kanggaru

Pada petangnya, kami bertolak ke rumah YDP Isma Australia iaitu Dr. Zaki b. Ibrahim. Kami menginap dan tinggal untuk tempoh lima hari berada di Australia. Ini merupakan kali kedua saya bertandang ke rumah beliau. Beliau merupakan anak kelahiran Bidong, sudah bertugas dan menetap di bumi Adelaide 15 tahun lebih. Sekarang bekerja sebagai doktor pakar kekeluargaan. Isterinya pulanya sebagai doktor gigi. Beliau meraikan kami dengan sebaik-baiknya. Muamalah dan komunikasi yang berkesan amat menyenangkan saya. Semangat dan motivasi beliau ketika berbicara membangkitkan idea-idea dan himmah yang baru. Beliau sekarang adalah YDP Isma Australia. Di sinilah bumi beliau mendapat kesedaran dakwah, beliau membesar bersama-sama anak-anak muda di sini , menimba dan menghirup airmata tarbiyah dari para murobbi, beliau memimpin amal sehingga diamanahkan memikul masuliah YDP. Moga beliau terus thabat di atas jalan ini, jalan dakwah dan tarbiyah.

Beramah mesra dengan para pelajar di rumah Dr. Zaki

Pada malamnya kami diziarahi oleh beberapa penggeraka dakwah di Bumi Adelaide, ada yang pernah saya temui dan ada yang baru saya kenal. Apa yang sempat saya kongsikan bersama mereka pada malam tersebut ialah :

1.       Apabila orang bertanya : “ Apakah jamaah IM ?”. Maka jawab Al-Bana : “ Jamaah Tarbiyah”. Saya membuat satu penegasan bahawa Isma wajib memikul jenama ini. Jamaah kita adalah berteraskan tarbiyah. Core bussines kita tarbiyah. Inilah yang membezakan kita dengan harakah yang lain. Kekuatan organisasi wajib berasaskan paksi tarbiyah. Tarbiyah dulu kini dan selama-lamanya.

2.       Tarbiyah bukan talqin tapi adalah satu proses tanmiyah (pengembangan). Tarbiyah adalah satu uslub yang paling terbaik untuk berinteraksi dengan fitrah manusia melalui taujih (pengarahan) secara langsung atau tidak langsung. Secara langsung adalah menerusi perkataan manakala tidak langsung menerusi contoh terbaik sesuai dengan manhaj dan method tertentu untuk melakukan PERUBAHAN kepada manusia kepada yang lebih baik.

3.       Tarbiyah bukan sekadar orientasi ta’lim, pengajaran semata-mata tetapi menjurus kepada taghyir. Perubahan dari teori kepada suluk (perilaku) sehingga menjadi sikap dan budaya dalam hidup. Tarbiyah yang menukar manusia dari ordinary person kepada superior person.

4.       Tarbiyah mesti melalui tiga tahap iaitu tahap ta’rif, takween dan tanfiz. Ta’rif melalui proses penyebaran (tabsyir) dan tajmik (pengumpulan). Kemudian takween dengan proses selektif (memilih anasir dakwah) dan menyusun mereka di dalam tanzim . Akhirnya ke tahap tanfiz (pelaksanaan) iaitu marhalah beramal dan bekerja ke arah penegakan daulah dan khilafah.

5.       Kejayaan tarbiyah bergantung kepada factor utama iaitu kekuatan MUROBBI. Murobbilah yang akan memastikan liqa menjadi usrah produktif,faktor asasi membentuk individu selaras dengan marhalah yang dilalui individu tersebut serta merubah badi teori kepada praktik sehingga membentuk suluk (perilaku).

6.       Mengingatkan semula pengasas awal Ikhwanul Muslimin Imam Hasan al-Bana katanya :

“Wahai  ikhwan Kamu berada di fasa pembentukan maka janganlah kamu dilalaikan oleh fatamorgana dari membuat persiapan yang sempurna. Gembelingkan 90% waktu kamu untuk urusan pembentukan ini dan gunakan 10% bagi untuk urusan kamu sehingga kamu menjad ikuat dan sempurna persiapan kamu. Ketika itulah Allah akan memenangkan kamu dengan kebenaran.”

“Sesungguhnya peperangan kita adalah peperangan tarbawiyah..”

7.       Untuk menjayakan agenda tarbawi ini , para Murobbi wajib melaksanakan 4M iaitu :

  • Merancang [Takhtit]– aktiviti tarbiyah
  • Menugas [Tauzif] – tugasan ahli usrah
  • Mengarah[Taujih] (penalaan) pada setiap ahli yang sesuai dengannya.
  • Menyelesaikan masalah [ Hulul Musykilah] ahli-ahli usrah.

Bersama Akh Omar Farrouk dan Dr. Rozanizam

Pada sesi perkongsian bersama-sama para daie di sini saya lontarkan pada mereka satu lontaran pemikiran  agar mereka menjadi murobbi yang produktif. Saya katakan bahawa Sang Murobbi harus berjiwa besar. Tidak mungkin kita menjadi murobbi yang hebat melainkan mesti melalui pengalaman demi pengalaman. Kita harus terus belajar dan belajar tanpa jemu samada melalui pengkajian, bertemu dengan para murobbi, berkongsi pengalaman, diproses dan sebagainya. Ini menambahkan himpunan pengalaman yang cukup berharga. Kita harus merubah minda kita kepada minda 100 degree celcius. Minda juara dan pemenang. Bayangkan hanya dengan perbezaan 1% cecair bertukar menjadi gas yang akhirnya berjaya mengepam wap tersebut menjanakuasa elektrik yang menyebabkan seluruh bandar terang benderang disuluhi cahaya. Jika para murobbi berfikir dalam kerangka 100 degree celcius dalam amal tarbawinya , betapa kita akan melihat banyak perubahan yang akan berlaku. Minda 100 degree celcius inilah terpapar pada sosok Imam Hasan al- Bana , hidupnya singkat tapi penuh manfaatnya. Dakwahnya tersebar ke seluruh pelusuk bumi Mesir. Berfikir dalam kerangka  minda 100 degree celcius.

Read Full Post »

Jemputan ke Haflah Eid ISMA Seremban

Saya mewakili ISMA Cawangan Seremban menjemput ahli-ahli Isma, sukarelawan , masyarakat setempat dan penggerak PEMBINA juga NGO Jemputan ke Haflah Eid ISMA Seremban.Moga ikatan yang terjalin akan terus bersemi. Jalinkan Ukhuwwah Tautkan Mahabbah.

” Melayu Sepakat Islam Berdaulat”

Ustaz Mohd Azizee b. Hasan
YDP Isma Cawangan Seremban

Read Full Post »

SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Temui semuanya di SiRAH Muzikal 2010,Dewan Auditorium D8,Blok D8,Kompleks D,Bangunan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Presint 1,Putrajaya [bersebelahan JAKIM & Kementerian Luar Bandar]..

Jom ke SIRAM…


Read Full Post »


Bismillahi walhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah s.a.w., waba’du.

Muslimin Muslimat yang berbahagia,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Hari ini 10 September 2010 bersamaan 1 Syaawal 1431H, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang dibesarkan oleh Allah s.w.t yang dipanggil Hari Raya Eidul Fitri.

Setelah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, Baginda mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya, “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak Zaman Jahiliyyah lagi”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda,“Sesungguhnya Allah telah menggantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid”.

Pada hari ini lazimnya berdasarkan gesaan sunnah, umat Islam akan menghidupkan amalan-amalan mulia seperti bermaaf-maafan, menyambung silaturrahim, ziarah-menziarahi, bersedekah dan bersalam-salaman antara satu sama lain. Itulah amalan yang dilakukan oleh umat Islam khususnya di Malaysia semenjak turun-temurun.

Justeru saya mewakili warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) seluruhnya mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin, wakullu ‘am wa antum bikhair (semoga beroleh kejayaan sepanjang tahun). Warnailah hari mulia ini dengan pelbagai aktiviti yang boleh membesarkan lagi syiar ubudiah kepada Allah. Meriahkan dengan pelbagai aktiviti menghidupkan sunnah dan amalan-amalan mulia. Kita percaya umat Islam di Malaysia adalah mereka yang kuat berpegang kepada suruhan agama.

Hari raya pada hakikatnya satu hari besar yang diraikan oleh Islam sebagai tanda kemenangan umat Islam sepanjang Ramadhan dalam perjuangan jihad nafsu. Dalam Islam banyak jenis jihad yang kita perlu lakukan, antaranya jihad peperangan, jihad ilmu, jihad munafik dan jihad nafsu. Dengan kejayaan jihad nafsu, jihad-jihad lain akan menjadi lebih mudah.

Muslimin Muslimat sekalian,

Dalam situasi umat Islam di seluruh dunia hari ini sedang berjuang untuk meneruskan survival dalam segenap lapangan hidup, umat Islam terpaksa melakukan keempat-empat jenis jihad ini. Dalam mereka berpuasa ada di kalangan mereka yang berjuang menentang penjajah, ada yang berjuang dengan kejahilan sebahagian umat Islam sendiri yang sanggup bekerja untuk kepentingan musuh (menjadi musuh dalam selimut), ada kawasan umat Islam yang masih sangat mundur yang menuntut mereka berjuang untuk membangunkan diri dengan ilmu. Jadi dalam mereka berpuasa mereka juga berjihad dalam pelbagai lapangan lain.

Saya berharap puasa Ramadhan tahun ini telah memberi kekuatan perjuangan kepada umat Islam untuk mereka menebus diri dari keadaan lemah, jahil, tertindas dan berpecah-belah untuk kembali menjadi umat yang kuat dan memimpin. Puasa bukan sekadar menjalankan rutin tahunan untuk menahan diri atau berlapar dari makan dan minum tetapi lebih dari itu, iaitu untuk menyediakan umat bagi perjuangan yang lebih besar dan panjang.

Firman Allah s.w.t, “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Dia akan menjadikan mereka pemimpin di dunia ini seperti Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka pemimpin…”.

Puasa perlu dikaitkan dengan realiti umat Islam sekarang untuk kita memahami maqasid yang lebih besar. Di Malaysia, puasa yang merupakan jihad nafsu sepatutnya memberikan kita kekuatan untuk bersatu di atas satu agenda bersama. Membiarkan diri umat Islam terus berada dalam suasana diperkotak-katikkan oleh pelbagai ketamakan politik asing adalah sesuatu yang bertentangan dengan maqasid puasa. Puasa sepatutnya mendisiplinkan diri kita daripada terlalu cintakan kuasa dan kedudukan (hubbub riasah) sehingga menyebabkan perbalahan yang tiada nokhtah dan menatijahkan konflik antara umat Islam yang melampaui batasan wala’ dan persaudaraan seagama.

Firman Allah s.w.t, “Dan orang-orang kafir sebahagian mereka saling membantu sebahagian yang lain. Sekiranya kamu tidak melakukan seperti itu (saling bantu membantu) nescaya akan berlaku huru-hara di muka bumi dan kerosakan yang besar… “.

FirmanNya lagi, “Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat…”.

Muslimin Muslimat sekalian,

Umat Islam perlu mempertahankan saki-baki kuasa dan kelebihan yang masih ada. Kita memerlukan sebuah negara yang kuat dan dihormati. Hari ini apabila politik dalaman kita  kacau-bilau, negara telah menjadi lemah pada pandangan orang lain. Bila negara lemah, maruah kita pun – tidak kira di pihak mana kita – akan diperlekehkan  dan dipandang rendah. Bangsa-bangsa lain akan mengambil kesempatan atas kelemahan ini untuk merebut saki-baki peninggalan warisan silam. Di luar negara musuh cuba membuat kacau-bilau bagi  memberi tekanan supaya mereka dapat memenangi rundingan dan sebagainya. Dan keadaan yang tidak stabil juga telah menggiurkan pihak asing untuk masuk campur dalam urusan dalaman negara kita.

Firman Allah s.w.t, “Dan orang-orang kafir mahu supaya kamu lalai terhadap senjata-senjata kamu lalu mereka menyerang kamu…”.

Puasa sepatutnya mendidik nafsu kita bukan sahaja menahan diri dari kehendak syahwat, makan dan minum tetapi juga memberi kekuatan mengawal syahwat kita dari kerakusan perebutan kuasa yang membutakan mata kita daripada melihat kepentingan kedaulatan negara dan maruah bangsa dipertahankan.

Firman Allah s.w.t, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan RasulNya, jangan kamu bercakaran, lalu kamu rosak dan hilang kekuatan kamu. Bersabarlah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang sabar”.

Muslimin Muslimat sekalian,

Ambillah kesempatan daripada hari yang mulia ini untuk kita mengamalkan sunnah dengan memulihkan hubungan sesama Islam, mengukuhkan perpaduan dan berpegang teguh dengan tali Allah, iaitu al-Islam. Ada tanggunjawab wala’ (kesetiaan dan saling membantu) di kalangan kita. Jangan kita dilekakan oleh agenda jahiliyyah yang menjadikan hari raya untuk berhibur dan berfoya-foya sehingga melalaikan kita daripada kewajiban dan tugas (risalah) kita yang besar. Mereka  adalah orang yang mencari makan atas kemusnahan bangsa dan mengambil kesempatan atas kelalaian ini.

Firman Allah s.w.t, “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan kamu berpecah belah. Kamu ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan lalu Allah mentautkan hati-hati kamu, lalu dengan nikmatNya kamu menjadi bersaudara”.

FirmanNya lagi, “Dan janganlah kebebasan orang-orang kafir di dalam negeri menipu kamu. Itu adalah keseronokan yang sedikit. Kemudian tempat kembali mereka adalah Neraka Jahannam. Itulah seburuk-buruk tempat”.

Marilah kita berpegang teguh dengan asas-asas pegangan agama dan umat kita. Jangan kita terpengaruh dengan pelbagai propaganda yang cuba melebur dan mencairkan identiti kita. Kalau orang kafir atas kekafiran mereka sanggup berjuang untuk mempertahankan identiti mereka tanpa tolak ansur, kenapa kita umat risalah, umat nabi yang membawa wahyu dari langit sanggup untuk mengorbankan apa sahaja. Ini bukan lagi tolerensi namanya tetapi sebaliknya adalah satu kebaculan atau kebodohan politik. Bagaimana umat yang menyembah Allah sanggup membiarkan dirinya menjadi mangsa politik bukan Islam yang minoriti.

Firman Allah s.w.t, “Dan keagungan itu adalah milik Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, akan tetapi orang-orang munafik tidak mengetahui”.

Kita cintakan perpaduan antara kaum, kita setuju untuk membela nasib semua kaum yang tidak bernasib baik, kita berjuang  untuk hidup harmoni tetapi tanpa mengorbankan asas-asas pegangan kenegaraan Islam yang kita imani.

Firman Allah s.w.t, “Allah tidak menegah kamu berbuat kebajikan dan keadilan kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak pula menghalau kamu keluar dari rumah-rumah kamu…”.

Umat Islam harus membezakan antara isu sosial dengan propaganda politik. Sekarang orang keliru kerana berlaku campur aduk yang banyak dan kecelaruan istilah antara hak asasi Barat dan Islam. Kita tidak mahu hanya kerana ingin menyatakan keprihatinan terhadap beberapa kerat non-muslim yang tidak terbela, kita sanggup mengubah teras kenegaraan dan menyahut seruan kesamarataan mutlak atau terjebak dalam agenda Malaysian Malaysia. Jadilah kita bercakap Islam dengan mafhum ideologi Barat.

Muslimin Muslimat sekalian,

Marilah sempena hari mulia, hari kemenangan ini kita pulihkan rasa mulia diri dalam diri kita. Jadilah umat yang sensitif terhadap maruah dan kemuliaan diri mereka. Jangan kita menjadi umat yang bacul yang sudah tiada maruah lagi. Jangan tunggu musuh masuk ke dapur, melingkupkan periuk nasi dan mencabul anak isteri, baru kita nak sedar dan faham. Waktu itu sudah terlambat… dan nasi tentu sudah menjadi bubur.

Firman Allah s.w.t, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.”

Umat yang memiliki risalah dan perjuangan akan memahami patah-patah perkataan yang saya sebutkan ini dengan baik. Ambillah pengajaran dari apa yang berlaku di sekitar kita. Janganlah harapkan orang lain yang akan memperjuangkan maruah kita dan membela nasib kita.

Kembalilah kepada Allah, Rasul dan wala’ sesama Islam. “Sesungguhnya orang kafir mereka saling setia dan bantu-membantu sesama mereka, jika kamu tidak melakukan seperti mereka akan berlaku fitnah yang  besar (orang kafir akan mengenakan syarat ke atas kamu) dan kerosakan yang besar”.

Saya mewakil seluruh ahli ISMA di dalam dan luar negara mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Semoga beroleh kemenangan dan kejayaan sepanjang tahun. Eidun sa’ed wakullu ‘am wa antum bikhair.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Salam Ukhuwwah, Salam Mahabbah.

Sekian.

والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

Read Full Post »

Ikhwati fillah, muslimin dan muslimat rahimakumullah..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ,

Allahu akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar  Allahu  Akbar  Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd.

Alhamdulillah, segala puji dan puja kita rafakkan kepada Allah SWT  atas segala nikmat yang tidak terhingga kepada hamba-hambanya, nikmat Iman, nikmat Islam, nikmat ukhuwwah dan nikmat Ramadhan al-Mubarak.

Ramadhan bakal melabuhkan tirai, kini Syawal  menjelang tiba.  Tibanya Syawal menandakan genap sebulan  kita melalui tarbiyah rabbaniyah dari Madrasah Ramadhan.Pelbagai ibrah dan durus yang telah kita kutip sepanjang sebulan kita ditakween dan diproses. Proses demi proses, tarbiyah demi tarbiyah, tazkiyah demi tazkiyah agar nanti lahir insan muntij, mukmin muttaqi (bertaqwa). Itulah pengharapan yang ingin digapai menerusi amal tarbawi ramadhan. Memegang kata-kata As-Syeikh Yusof al-Qaradawi : “ Kun Rabbaniyan wa la takun Ramdhaniyan” ( Jadilah kamu manusia yang Rabbaniy dan janganlah kamu menjadi manusia Ramadhan).

Ramadhan merupakan  Institute of High Performance (Institusi Berprestasi Tinggi) bagi melahirkan para duat dan amilin yang mampu menempuh badai perjuangan yang tidak pernah sunyi dari mehnah dan ujian. Latihan kesabaran, mengekang gejolak nafsu syahwat, bersikap pemurah dan dermawan, membangun kualiti ibadah, konsisten beramal, budaya iktikaf mendakap sujud Rabbi,membugar tazkiyah an-Nafsi, menyantuni golongan fuqara wal masakin,berdamping dengan ayat-ayat Qurani adalah elemen tonggak Ketaqwaan. Taqwa menjadi KPI kepada kejayaan dan kemenangan membangunkan peradaban Islami.

Ramadhan telah mengajar satu makna penting bahawa antara wasilah dan matlamat adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan. Dalam ilmu pengurusan Harakah Islamiah, kepentingan wasilah dan matlamat amatlah penting sebagaimana puasa sebagai wasilah mencapai satu matlamat unggul iaitu Taqwa.Harakah Islamiah yang berjuang untuk menegakkan satu tamadun yang unggul mesti kembali kepada wasilah yang betul dan menepati Fiqh Syarie dan Fiqh Nabawi. Adunan yang baik antara wasilah dan ghoyah ialah untuk merealisasikan matlamat kewujudan insan dan mencapai maslahah.

Ramadhan juga mengantar kita  mafhum Fiqh Maqasid iaitu meletakkan matlamat sebagai objek besar disusuli dengan mengambil  kira wasilah (jalan) untuk mencapai perkara tersebut. Dalam konteks kenegaraan sewajarnya kita bertindak berdasarkan Fiqh Maqasid ini agar maslahah ummah terjaga, terpelihara dan diperkasa. Kaedah menyatakan “ Tasaruf ar-Ra’ie ‘ala ‘ar-Rakyah manut bil maslahah” [ Tindakan seorang pemerintah kepada rakyatnya terikat dengan maslahah ]. Akibat tidak memahami fiqh maqasid ini, maka berlaku kezaliman, kecacatan, keborosan, ketirisan dan kelewesan dalam pengurusan negara.

Hari ini kita dibanjiri seribu satu macam kegawatan sosial yang mencengkam bangsa Melayu, dari isu buang anak hingga isu murtad, kita berdepan dengan senario ekonomi yang tidak stabil dalam jajaran tidak menentu, pertikaian terhadap asas perlembagaan negara, salah faham terhadap Islam, isu-isu perkauman yang menjurus kepada kehancuran negara dan bangsa dan kepimpinan yang tidak memiliki izzah dan risalah.

Di luar sana kita menjadi mangsa perakus kepada kuasa-kuasa kuffar dan dibawah telunjuk hegemoni Barat terutama USA. Di Gaza umat islam berhempas pulas berjuang mempertahankan jatidiri mereka dari dirobek oleh rejim laknatullah Yahudi Zionis.Umat islam di Pakistan terpaksa menghadapi hari-hari suram akibat banjir yang melanda negara mereka. Apa saja wajah dunia Islam ia menjustifikasikan kelemahan kita dan hilang izzah umat berdepan kekuasaan jahiliyah.

Marilah bersempena kita menyambut Aidilfitri ini, kita rayakan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kita ambil ibrah dari Ramadhan sebagai bekal dan pasak untuk membina kekuatan dan izzah umat Islam.

Janganlah kegembiraan kita merayakan Eidulfitri , kita cemari ia dengan dosa dan noda. Perbanyakkanlah bertakbir, bertahmid, bertasbih, kunjung mengunjung dan melakukan amal ibadah. Pada masa yang sama , kita tidak melupakan saudara-saudara kita di Palestin, Gaza, mangsa-mangsa banjir Pakistan, umat Islam serantau dan sebagainya. Marilah kita hulurkan bantuan sekadar yang mampu bagi meringankan beban mereka. Kita dengan mereka ibarat satu jasad yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Moga Syawal yang mendatang menjanjikan seribu harapan buat umat Islam demi menongkah segala ujian dan dugaan.

Salam kemaafan dari saya dan sof kepimpinan ISMA Cawangan Seremban. Kullu ‘am wa antum bikhair. Taqabbalallhu minna wa minkum ta’aatakum wa dakwatakum wa jihadakum.

Mohd Azizee b. Hasan
YDP Isma Seremban.

Read Full Post »


Read Full Post »