Allahu Akbar..Allahu Akbar…Allahu Akbar Walilhilhamd…
Saudaraku fillah,
Marilah kita ucapkan rasa setinggi syukur, puji dan tahmid yang tidak terhingga kerana kita dapat menempuh Ramadhan pada tahun ini. Tinggal beberapa saat dan ketika , kita bakal meraikan lebaran 1 Syawal, tanda kemenangan kita menundukkan segala runtunan hawa nafsu dan meletakkan maslahat rabbani di tempat tertinggi mengatasi yang lain.
Ikhwati fillah..
Ramadhan bakal melabuhkan tirainya, syawal pula bakal menjelma. Pelbagai pelajaran yang kita perolehi dari seribu satu macam tarbiyah Ramadhan. Ramadhan mengajar makna perjuangan, erti jihad, budaya disiplin, wala’ dan tajarrud hanya semata-mata untuk Allah mengatasi kepentingan hawa nafsu.Inti Ramadhan mendidik kita bahawa perjuangan menundukkan hawa nafsu adalah perjuangan para Nabi dan Rasul yang berlangsung sehingga Hari Akhirat.Kemuncak kepada perjuangan menentang hawa nafsu ialah menentang segala bentuk pemikiran dan ideologi ciptaan manusia yang sesat dan menyeleweng dari petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
Ikhwati fillah..
Bekalan terbaik yang ditinggalkan oleh Ramadhan ialah bekalan taqwa.Taqwa menjadi kunci dan pra-syarat kepada kemenangan perjuangan dakwah, perjuangan tarbiyah dan perjuangan Islam. Inilah persoalan atau maqasid terbesar yang perlu dihayati dan diambil bekal oleh pejuang-pejuang akidah bagi melawan segala bentuk berhala jahiliyah moden atas pelbagai nama, berselindung di sebalik gerakan hak asasi, berjuang atas nama gerakan sivil dan masyarakat madani. Tanpa nilai taqwa perjuangan Harakah Islam menjadi tempang dan tersasar dari manhaj robbani dan manhaj nabawi.
Bukankan Allah menyebut di akhir perintah kewajipan puasa supaya menjadi manusia yang bertaqwa. Taqwa yang bukan menjelma dalam bentuk penghayatan tingkahlaku, sikap dan budaya seorang pejuang islam tetapi taqwa yang melayakkan kita meraih kemenangan dan nusrah dari Allah sebagaimana pesanan Saidina Umar kepada bala tenteranya agar mereka lebih takut terhadap dosa-dosa mereka berbanding dosa-dosa pihak musuh. Perasaan berhati-hati atau wiqayah inilah menjadi asbab Allah mencampakkan kemenangan kepada generasi dakwah terdahulu. Menang akidah mereka, menang jihad mereka,menang fikrah mereka, menang dakwah mereka, menang tarbiyah mereka sehingga layak memimpin dan menerajui dunia.
Marilah kita introspek diri dengan bekalan taqwa…
Allah berfirman yang bermaksud :
Pertama : “ Jika kamu bertaqwa kepada Allah, Allah jadikan untuk kamu jalan pemisah antara Haq dan Batil”
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan liberal sekular dengan perjuangan Islam yang tulen ?
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan menegakkan masyarakat yang berpaksikan demokrasi sekular dengan perjuangan menegakkan syariat Allah.
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara gerakan islam yang tempelan dengan gerakan Islam yang syumul.
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara ideologi-ideologi sesat dan menyeleweng dengan syariat Islam yang membawa kebaikan dan rahmat.
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara perjuangan Hamas dan Zionis Yahudi laknatullah.
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara pendekatan melampau dengan manhaj ‘isti’dal’ yang dibawa oleh para salafussolih.
Adakah taqwa menjadikan kita dapat membezakan antara memenuhi tuntutan nafsu dengan memenuhi tuntutan robbani.
Kedua : “ Bertaqwalah kamu kepada Allah, pasti Allah akan memberikan ilmu kepada kamu..”
Sejauh mana taqwa menjadikan kita pejuang yang memiliki kekuatan ilmu dan akal.
Sejauh mana taqwa mampu menjadikan kita menolak hujah kepalsuan golongan anti Islam.
Sejauh mana taqwa menolak kita untuk menguasai pelbagai ilmu yang diperlukan oleh seorang da’ie.
Sejauh mana taqwa mendorong kita memahami ancaman dan konspirasi musuh-musuh Islam yang terdiri dari Zionisme, Yahudi dan Kristian.
Sejauhmana taqwa menjadikan kita prihatin terhadap isu-isu umat Islam, isu Palestin, isu Gaza, isu Syria dan sebagainya.
Sejauh mana taqwa membawa kita mencintai ilmu, mempelajari ilmu sehingga ilmu itu memberikan kekuatan kepada kita untuk memimpin umat.
Sejauh mana taqwa berjaya membekalkan kita ilmu fiqh dakwah, fiqh harakah dan fiqh tarbiyah untuk kita memperkasa amal islami dan amal tanzimi kita.
Lihatlah kekuatan ilmu yang diilhamkan Allah kepada Sultan Muhammad al-Fateh sehingga berjaya membuka Kota Constantinople.
Ketiga :“ Siapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan penyelesaian dan memberikan rezeki dari sumber yang tidak disangka “.
Yakinlah dengan taqwa segala permasalahan umat diselesaikan.
Yakinlah dengan taqwa kekuatan jamaah terus kukuh dan ampuh.
Yakinlah dengan taqwa sumber dana kita tidak pernah kering dan kontang.
Yakinlah dengan taqwa umat berada dalam lindungan rahmat syariat Allah.
Yakinlah dengan taqwa nakhoda dakwah bergerak mara dan pacu ke hadapan.
Yakinlah dengan taqwa segala adabiyat amal jamaah menjadi mudah dan terarah.
Yakinlah juga… tanpa taqwa, umat lesu, umat lemah, umat mundur, umat terkebelakang, umat hidup dalam suasana kerosakan nilai dan kebejatan akhlak sehingga mengundang kemurkaan allah.
Yakinlah juga tanpa taqwa, jamaah tiada barokah, wujud fitnah, ahli-ahli yang bermasalah sehingga menghambat perjalanan harakah.
Keempat : “Siapa yang bertaqwa kepada Allah,Allah jadikan segala urusannya mudah”
Ingatlah segala urusan dakwah kita mudah dengan bertaqwa.
Ingatlah urusan tarbiyah kita mampu membina dan membentuk kita dengan sebab taqwa.
Ingatlah urusan jamaah kita berjalan lancar dengan taqwa.
Ingatlah urusan thabat,jihad,seqah, taat, tajarrud, ukhuwwah kita menjadi mudah dengan taqwa.
Ingatlah urusan kita dengan umat, urusan kita dengan mad’u,urusan kita dengan ikhwah dan akhawat kita dipermudahkan allah dengan sebab nilai taqwa yang ada dalam diri kita.
Ingatlah juga bahawa musuh-musuh tewas ditangan kita, fikrah kita bertebaran merata, kita menang di dalam amal kita dengan bekalan taqwa yang ada pada kita.
Ingatlah bahawa taqwa sahajalah pemudah segala-galanya di dalam hidup kita sebagai seorang dai’e, seorang murobbi, seorang mujahid dan seorang Qoid.
Kelima : “Siapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dihapuskan segala dosanya dan dilipatgandakan pahalnya”
Sekadar mana taqwa berjaya mentazkiyah diri kita dari dosa-dosa ?
Sejauh mana taqwa mampu menghilangkan kesalahan-kesalahan kita ?
Setakat mana taqwa boleh menhapuskan dosa-dosa kita sehingga kita layak mendapat pertolongan Allah dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah ?
Sejauh mana pula keyakinan kita bahawa taqwa menguatkan motivasi dan inspirasi amal kita dengan curahan pahala yang berlipat kali ganda ?
Ayyuhal ikhwah !..
Marilah kita mengambil bekalan taqwa dari madrasah ramadhan untuk kita menongkah perjuangan kita, jihad kita, dakwah kita, tarbiyah kita demi mengembalikan izzah umat dan izzah islam.
Bukankan Allah menyebut berkali-kali di dalam firmannya :
“ Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar-taqwa”.
“ Bertaqwalah kamu dengan semaksima yang mungkin menurut batas kemampuanmu”
“ Bertaqwalah kepada Allah, wahai orang yang memiliki kapasiti akal yang tinggi ?”.
Sentiasalah kita mengoreksi diri dan bersiap sedia untuk kita bertemu kepada Allah.
“ wahai orang –orang yang beriman, hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dipersiapkan untuk mengadap Tuhannya, dan bertaqwalah kepada Allah” [al-Hasyr : 18].
Sentiasalah kita memperjuang dan menyatakan kebenaran walaupun pahit di telan zaman.
“Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan nyatakan ucapan dengan perkataan yang benar”
Ikhwah fillah,
Marilah kita jadikan taqwa sebaik-baik bekalan, sebaik-baik pakaian,sebaik-baik perisai untuk kita berjuang dan berjihad pada jalan Allah. Moga Allah terus mengampuni kita dan menempatkan kita bersama-sama para nabi, para syuhadak, para siddiqin dan para solihin.
Menangislah untuk perpisahan ini sebagaimana para sahabat r.a menangis ketika Ramadhan berangkat untuk meninggalkan mereka dengan segala didikan tarbiyah dan tazkiyah.
Allah telah memberikan taujih dorongan kepada pejuang-pejuang Islam tentang hakikat kemenangan yang sebenar sebagaimana di dalam Surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud :
” Wahai orang-orang yang beriman ! Bersabarlah dan kuatkanlah daya kesabaranmu, dan kuatkanlah ikatan kuda kamu (siap siaga di perbatasan jihad), dan bertakwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan..”
Ya Allah !, kami memohon keredhaanMu dan syurgaMu, dan kami meminta berlindung dari kemurkaanMu dan balasan nerakaMU…
Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia, cintakan keampunan, maka ampunkan dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa akh-akh kami, dosa seluruh saudara-saudara seislam kami.
Tinggalkan komen