Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Februari 2013

arnab dan kura 1

Ada satu kisah menarik yang sering kita dengar dari ibu bapa kita sejak kecil. Begitu juga guru-guru kita selalu menceritakannya semasa kita di bangku sekolah. Kisah si kura-kura berlumba lari dengan si arnab. Kisah ini cukup memberikan pengajaran kepada perjuangan dan dakwah kita.

Memang sang kura-kura dijadikan allah makhluk yang ditakdirkan lambat berjalan. Begitu juga sang arnab diciptakan allah  sebagai makhluk yang pantas berlari. Namun apabila berada di medan persaingan yang sebenar, sang arnab tewas di tangan sang kura-kura sehingga timbul pepatah melayu berbunyi “ Biar lambat asal selamat”.

Si arnab kalah dalam perlumbaan ini bukan kerana  ia tidak berlari laju dan pantas tetapi dek kerana kealpaan dan kelalaian serta merasa angkuh dan sombong menyebabkan ia tewas dan kalah.

Begitu juga si kura-kura tadi menang di dalam perlumbaan tadi bukan kerana ia bergerak lambat tetapi kerana dia konsisten dan tidak pernah mengenal titik rehat dan henti di dalam perjuangan.

Begitulah kita sebagai pejuang dan pendakwah di jalan allah yang berjuang di medan amal. Kekadang kita perlu bergerak pantas dan memecut laju di medan persaingan amal yang terbuka asalkan pecutan kita itu tidak diiringi sifat takbur, riak dan memandang remeh kepada amal orang lain. Sememangnya dakwah dan perjuangan ini menuntut kita melaju dan proaktif kerana mereka yang lambat akan berada di belakang.

Hakikatnya hidup kita ibarat roda. Ada kala kita di atas dan ada kala kita di bawah. Kita tidak selamanya akan terus berlari, namun kita juga tidak boleh berhenti di dalam berjuang. Ini kerana beban amal kita terlalu banyak dan bertambah setiap hari apatah lagi terlalu ramai manusia memerlukan sumbangan dakwah kita.

arnab dan kura 2Kalau kita mahu berubah menjadi sang kura-kura. Jadilah sang kura-kura yang sebenarnya. Kura-kura yang terus berjalan kerana tidak mampu lagi untuk berlari. Kura-kura yang terus menerus berjalan dan berjalan tanpa henti bukan kerana ia malas. Inilah yang menjadikan sang kura-kura tadi menang di dalam perjuangannya. Orang yang suka berehat dan berhenti serta alpa dengan kehebatan diri dia akan kalah walaupun ia kuat berlari atau melaju di awal perjuangannya. Ini kerana hakikat kemenangan di dalam perjuangan dan dakwah ini adalah untuk mereka yang istiqomah dan konsisten di atas jalan juang ini.

Inilah ibrah besar  dan bekal berguna buat kita di dalam perjuangan dakwah ini.

  1. Kita sebagai da’ie perlu segera, pantas dan laju melaksanakan amal-amal dakwah tetapi penuh konsisten , istiqomah tanpa mengenal erti malas dan jemu.
  2. Kita perlu optimis melihat masa depan perjuangan ini walaupun jalan yang kita tempuh panjang, berliku dan lambat hasilnya.
  3. Dalam dakwah tidak ada istilah pencen, berhenti atau rehat. Tiada istilah rehat di dalam kamus perjuangan seorang daie sebagaimana pesan Imam Ahmad bin Hambal  “Kerehatan yang sebenar ketika kali pertama kamu melangkah ke dalam syurga”.
  4. Perkara yang melambatkan kemenangan kita di jalan dakwah ialah apabila diri kita dilekakan dengan penyakit mazmumah, ujub,sombong,tidak ikhlas,complacent,suka bertangguh, malas, leka dan sikap meremehkan  amal dan usaha orang lain.
  5. Menjauhi sifat al-‘ajalah [tergesa-gesa] sebelum tiba masa memetiknya. Ini kerana sifat tergesa-gesa adalah dari sifat syaitan. Imam al-Bana mengingatkan para du’at akan bahaya sifat ‘ajalah di dalam ungkapannya yang ditujukan kepada mereka yang bersemangat. Katanya :”Jalan kamu ini sudah ditentukan langkah-langkahnya dan batasan sempadannya. Aku tidak akan melanggar batasan sempadan ini yang aku telah yakin sepenuhnya bahawa ia adalah jalan paling selamat untuk menyampaikan kepada matlamat. Ya mungkin jalan ini agak panjang dan jauh, tetapi tiada jalan selainnya. Kelakian hanya akan terserlah dengan sabar, betah menahan penderitaan, bersungguh-sungguh dan amalan berterusan. Sesiapa di kalangan kamu ingin memetik buah sebelum masak atau bunga sebelum mekar, aku tidak akan bersamanya sama sekali. Lebih baik baginya untuk beredar daripada dakwah ini kepada dakwah lain. Sesiapa yang sanggup bersabar bersamaku sehingga benih yang disemai tumbuh dan pohon yang ditanam membesar lalu menghasilkan buah yang boleh dimakan, lalu tibalah masa memetiknya, maka ganjarannya terserah kepada Allah. Insya Allah sama-sama kita memperoleh ganjaran orang-orang yang berbuat kebaikan iaitu: sama ada kemenangan dan kekuasaan, atau syahadah dan kebahagiaan.Kekanglah keliaran emosi dengan pandangan akal, dan sinarilah kilatan akal dengan gejolak emosi..”
  6. Perjuangan kita akan dimenangkan allah dengan syarat kita memiliki sifat istiqomah,sabar walau jalannya lambat tapi terus bergerak ke hadapan, jelas matlamat perjuangan dan memiliki jiwa-jiwa yang bersih dari segala karat marat jahiliah. Ini kerana sombong dan ujub adalah sifat-sifat jahiliah yang perlu ditinggalkan oleh seorang daie.
  7. Seorang daie perlu berfikir sebagai minda sang juara, minda si pemenang walau dia menyakini jalan dakwah ini berliku  dan beronak duri. Allah melihat kepada usaha dan amal kita, bukan pada hasil dan natijah.

Janganlah kita menjadi pejuang yang takut untuk berlari laju seperti sang arnab.

Tetapi jadilah kita seperti  sang kura-kura yang perlahan bergerak tapi istiqomah di dalam perjuangan.

Di dalam surah Fussilat ayat 30, allah berfirman dengan maksudnya :

“ Sesungguhnya mereka yang berkata :”Tuhan kami adalah Allah lantas mereka ISTIQOMAH.., maka malaikat-malaikat akan turun merahmati mereka, bahawa mereka tidak merasa takut dan sedih dan berikanlah khabar gembira tentang balasan Syurga yang dijanjikan..”

Read Full Post »