Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2010

Nilai dan Peranan Naqib (6)

6. Tatwir (mengembang)

  • Seorang naqib mestilah memiliki penguasaan yang menyeluruh terhadap  semua lapisan anggotanya(mutarobbinya) . Penguasaan menyeluruh merangkumi aspek penerimaan,bakat semulajdi, potensi  jiwa,akal dan fizikal.
  • Naqib perlu memahami dan mengetahui realiti dan persekitaran lingkungan ahli usrahnya,bermu’ayasah (hidup) bersama mereka, mengkaji keupayaan dan kemampuan mereka berkembang, membaiki tahap pelaksanaan, mengembangkan kesedian fitrahnya untuk  dakwah dan harakah.
  • Naqib juga bertanggungjawab mengembang dan menyuburkan sifat-sifat yang  mampu dicapai dari aspek pemikiran,ilmu dan pengetahuan, meningkatkan mustawa (tahap ) ruhi dan haraki, meninggikan cirri-ciri akhlak dan perilaku dan menghilangkan sifat-sifat negatif seperti perilaku jahiliah  pada suluk dan iktikad, kesan negatif warisan pendidikan keluarga dan sekolah seperti sifat takbur, bakhil, malas dan sebagainya.
  • Naqib yang hebat dan cemerlang ialah naqib yang merasakan dirinya tidak ada peningkatan sama  ada pada dirinya atau pada anak didiknya. Dia merasa para mutarobbinya kekal statik , tiada perubahan dan peningkatan di dalam melalui proses tarbiah. Dia melihat ikhwan yang terdidik ditangannya sama seperti mana ia mula melangkah ke dalam usrah.
  • Naqib yang cemerlang merasakan satu kewajipan besar ke atasnya untuk mengembangkan potensi mutarobbinya dan menjadikan mereka berada di tahap yang lebih baik dan meningkat tinggi dengan mengambil kira aspek realiti,cirri-ciri fitrah dan tabiat para mutarobbinya.
  • Perkara yang dapat membantu para Naqib mengembangkan potensinya ialah :
  1. Berterusan meningkat dan membangunkan kualiti dirinya sebagai sahsiah munaffiz kepada organ jamaah.
  2. Berkorban dan memberi sumbangan berterusan dalam semua aspek untuk peningkatan diri dan mutarobbinya.
  3. Memiliki keyakinan tinggi bahawa dia mampu membaiki dan mengembangkan potensi mutarobbinya dengan konsep 3K [ kemahuan-kemampuan-kesempatan]
  4. Melaksanakan fungsi sebagai Walid – Kasih Sayang,sebagai Akh – aspek kebajikan, berpemikiran sebagai seorang Mu’allim yang pro-aktif, sebagai Syeikh – keilmuan, sebagai Penasihat yang jujur atau apa yang diungkapkan Imam Hasan al-Bana ( Walid – Syeikh – ‘Alim – Qaid).
  5. Sentiasa bersama dan hidup dengan para mutarobbinya di dalam melalui proses tarbiah dan wasilah tarbiyah seperti semasa rehlah, jaulah, mukhaiyam, mabit dan sebagainya.
  6. Menunjukkan Qudwah yang unggul pada peribadinya, ilmu akhlak dengan mempunyai Thiqah yang tinggi dengan Allah.
  7. Memahami  ilmu psikologi , kemahiran berinteraksi dengan manusia dan seni mempengaruhi orang lain . ( ilmu softskills dan hardskills)
  8. Menjauhi syubuhat dan perkara yang menimbulkan keraguan pada diri Naqib di samping mengambil kira persedian jiwa mutarobbinya dengan faktor masa dan lingkungan.
  9. Tidak respon dann berdendam pada orang yang melakukan keburukan pada dirinya.
  10. Berusaha dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan mutarobbinya yang lemah dan lambat, memberi dorongan pada mutorobbinya yang baik kepada lebih baik dan berkualiti.
  11. Mulakan yang paling penting kemudian yang penting di dalam mentarbiah mutarobbi.
  12. Menanam nilai dan ma’ani tarbiyah pada mutorobbi, tidak abikan perkra-perkara juziyyat dan menggunakan uslub targhib dan tasywik (menarik perhatian) mutarobbi.
  13. Menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik, berkesan dan terkini seperti penggunaan LCD, kemahiran adobe photoshop, powerpoint dan sebagainya.
  14. Sabar dengan kerenah mutarobbi kerana itulah jalan yang telah dilaui oleh para nabi dan para solihin.
  • Jika para Naqib mengambil kira faktor-faktor di atas, disertai NIAT yang betul, dia kan melihat hasil produktif pada mutarobbinya. Kesan praktikal dari tarbiyah tersebut akan melahirkan generasi du’at yang berkualiti dari tangan-tangannya, dia sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka,berterusan memberikan sumbangannya dan Allah idak mensia-siakan balasan kepada orang sentiasa melakukan kebaikan.

7. Takhtit ( merancang)

  • Usrah merupakan satu institusi yang melaksanakan semua aktiviti tarbawiyah yang pelbagai dan bersepadu. Justeru itu usrah perlu kepada Takhtit (perancangan) agar aktiviti dakwah dan tarbiyah seimbang, selari dengan perancangan strategik  umum jamaah dan melaksanakan peranan sebagai institusi tarbiyah di tahap maksimum.
  • Pelaksana kepada perancangan ini adalah terletak dibahu para Nuqabak dan ahli usrahnya bagi menjayakan agenda besar jamaah. Para Naqib hendaklah sentiasa meminta bantuan dengan ikhwannya dari kalangan para Nuqabak, berbincang di dalam lujnah dan biro-biro agar segala perancangan jamaah dapat dijayakan.
  • Naqib hendaklah melihat dan merasakan bahawa perancangan yang baik (takhtit jaiyyid) adalah berpunca dari kesedaran dan pemahaman yang lengkap terhadap kapasiti (keupayaan) mutarobbinya, materi yang disampaikan, kemampuan melaksanakan perancangan, berupaya mengambil peluang dan menyediakan persekitaran responsif dan positif untuk melonjakkan dan menjayakan perancangan tersebut.
  • Naqib hendaklah tahu bahawa  peringkat perancangan ada tanggungjawab atau matlamat yang ditetapkan, menyediakan alternatif jika berlaku kegagalan di dalam beberapa perancangan, membuat penilaian disamping mampu membuat andaian kejayaaan dan kegagalan perancangan tersebut.
  • Untuk memastikan kejayaan tersebut setiap Naqib hendaklah berbincang dengan para ikhwannya, mengambil pandangan, dialog konstruktif dalam membuat keputusan, merangka program dan menjana potensi, sumber  dan keupayaan bagi melaksanakan objektif perancangan tersebut.
  • Antara objektif yang perlu diletakkan oleh Naqib  untuk dilaksanakannya pada diri dan mutorabbinya adalah seperti berikut :
  1. Naqib meningkatkan kualiti pemikirannya dari sudut Thaqafah Syar’iyyah dan Dak’wiyyah penguasaan ilmu syarak dan ilmu dakwah).
  2. Meningkatkan Mustawa Suluk (perilaku) dari aspek akhlak dan afektif (perasaan).
  3. Meningkatkan Wa’y Hadhari (kesedaran ketamadunan) secara general yang merangkumi kesedaran politik,, pemikiran berorganisasi dan ilmu berkaitan keselamatan.
  4. Menambahkan kemampuan dan kualiti para Daie (mutarobbinya) di dalam amal dan harakah terutama di dalam berperanan di sektor masyarakat, menguasai seni dialog dan perhubungan awam.
  5. Menghilangkan ciri negatif pada setiap individu (mutarobbi) dan berusaha mewujudkan kesepaduan di dalam satu pasukan.
  6. Mengajar para Da’ie (mutarobbinya) sifat Ijabiyah (positif), responsif pada masyarakat dan berkemampuan untuk menyumbang dan berjasa pada umat .
  7. Membangun dan mengembangkan salah satu bidang kepakaran pada setiap ahli usrahnya agar tercapai Takamul Da’wiyy. (Dakwah yang bersepadu)
  • Untuk membantu para Naqib di dalam merancangan agenda tarbiyah  agar memenuhi objektif usrah dan Jamaah, beliau hendaklah bertanya persoalan berikut :
  1. Apakah aspek-aspek kelemahan yang ada pada ahli-ahli usrahnya . [ lemah ibadah, lemah membaca,  ponteng, takut, penting diri sendiri, malas, cinta dunia dan sebagainya..]
  2. Apakah sifat-sifat positif yang ada pada ahli usrahnya. [ mulia, berani, taat, suka bergaul, kemampuan akademik, kemampuan berucap di khalayak, cerdik, tegas, berprinsip dan sebagainya..]
  3. Apakah sifat-sifat yang diperlukan untuk membangunkan kualiti ahli usrahnya. [ memberi  kursus intensif berkaitan dakwah, latihan ketaatan, latihan berkorban, mendidik tawaduk dan bersikap positif…]
  4. Apakah buku-buku yang perlu dibaca dan dikuasai mutarobbinya untuk meningkatkan kualiti, potensi dan kompetensi diri mereka.
  5. Apakah kemahiran –kemahiran yang diperlukan oleh ahli usrahnya.
  6. Apakah bentuk-bentuk tugasan bagi meningkatkan kemahiran dan potensi ahli usrah.
  • Takhtit (perancangan) penting sebagai fungsi mengembangkan anggota usrah, berpegang pada visi dan matlamat jamaah, mencurah upaya dan daya, mendedahkan faktor-faktor kekuatan di dalam pembinaan jamaah, meningkatkan tahap pelaksanaan tugasan, mencapai penyertaan secara kolektif yang akhirnya membawa kepada mencapai misi dan visi jamaah dan memberi sumbangan dan  jasa kepada tuntutan pembinaan dan pembangunan.

Read Full Post »

Nilai dan Peranan Naqib (5)


4. Ta’dhid (memperkasa/memperkukuh)

  • Keluarga dalam konteks masakini merupakan binaan utama di dalam organ masyarakat.Ia juga merupakan institusi asasi di dalam kehidupan manusia  yang berfungsi menumbuhkan unsur kemanusiaan dan platform perkembangan tamadun manusia.Lantaran itu di dalam konteks jamaah Islam ia memiliki fungsi yang setara.
  • Usrah di dalam batang tubuh Jamaah Islam merupakan institusi asasi untuk menumbuh dan membina anasir dakwah.. Ia adalah noktah pemula kepada pembinaan Sang Daie dan memberikan kesan dalam setiap marhalah  pengembangan dakwah  Harakah Islamiah.
  • Di dalam sebuah institusi keluarga, ketua keluarga bukan sekadar memastikan anak dan ahli keluarga mendapat makanan yang cukup, kemudian membiarkannya berinteraksi di dalam masyarakat tanpa ada pemantauan, pemerhatian, pengarahan dan bimbingan. Seorang ayah atau ketua keluarga amat berhajat untuk membentuk ahli keluarga dengan pembentukan yang solih, anak-anaknya memberi pengaruh kepada masyarakat, berperanan di dalamnya dan hidup dengan kehidupan yang mulia.
  • Begitulah juga peranan seorang Naqib selaku ketua usrah. Dia tidak terhenti mendidik ikhwannya dan memberi pengajaran setiap perjumpaan mingguan tetapi perlu memantau, memutaba’ah, membangun dan mengembangkan potensi anak-anak usrahnya. Dia selalu memberikan taujih (pengarahan) sehingga berlaku peningkatan dan perubahan pada diri setiap anggotanya.
  • Naqib sebagai ketua keluarga di dalam Tanzim Islami adalah individu yang mampu menggarap semua aktiviti akhwah.Dialah muwajjih pertma pada ikhwannya di dalam semua aspek tarbawi dan ta’limi.Dia sentiasa melakukan mutaba’aah (follow-up) terhadap perkembangan ahlinya,mengenali permasalahan ahlinya, mengetahui denyut jantungnya, perasaan, persekitara dan kaum keluarganya. Dia juga memperkukuhkan ikatan kasih sayang sesama ahli-ahlinya, hubungan dengan ahli keluarganya seterusnya dengan kerabatnya yang solih, bergembira bersama mereka di waktu mereka gembira dan merasa sedih di waktu kesedihan mereka.
  • Kefahaman usrah di dalam terminology Ikhwan mesti berpaksikan kepada maani ini. Sang Naqib mengambil berat perkembangan ahlinya,  bersama dengan ahlinya di waktu senang dan susah, menjaga dan memelihara kepentingan ikhwannya, menunaikan hak-hak anggota usrah, prihatin pada setiap aktiviti mereka, memberikan taujih di dalam semua urusan dakwah dan kehidupan mereka dalam bentuk yang positif.
  • Naqib juga berusaha membantu melaksanakan manhaj dakwah yang khusus pada setiap akh, melatih ahli usrahnya dengan amal dakwah seperti ittisal syakhsi (hubungan personal), hubungan inter-personal, menghadiri muktamar dan ceramah sehingga terbangun peribadinya, mengukuh potensi peribadinya, meningkat rasa bermasyarakatnya. Akhirnya individu tersebut berupaya menjadi agen perubahan kepada umat dan memberi kuasa pengaruh kepada masayarakat.

5. Tahrik (menggerak)

  • Peranan Naqib kepada ahli usrahnya ialah menggerakkan ahli-ahlinya. Menggerak bermaksud Naqib mampu menjana ahlinya kepada amal yang produktif samada dari sudut binaan fardi (pembinaan individu) dan bina’ tandhimi ( keorganisasian).
  • Teori gerakan ini menyamai teori gerakan fizik. Gerakan di dalam ilmu fizik mengambil kira pada faktor-faktor pengaruh dan lingkungan yang  mendorong dan kesan-kesan yang mempenguruhinya. Ia tidak sekadar bergantung pada sifat dan kadar gerakan tersebut.
  • Amal dakwah begitu juga, ia tidak berkembang dengan melihat kepada perilaku seorang akh ad-Da’ie semata-mata, tetapi mengambil kira faktor dorongan dan sebab-sebab yang menggerakkannya di dalam masyarakat.
  • Sebab-sebab tersebut mampu membawa akh bergerak aktif di dalam masyarakat, menjadi individu yang produktif, daie yang cemerlang sesuai dengan undang-undang alam (sunnah kehidupan).
  • Harakah Islam perlu menyediakan pelan perancangan, manhaj  yang mampu mendorong akh aktif di dalam masyarakat, memiliki dinamika amal yang produktif dengan mengkaji aspek positif dan negatif dan pengaruhnya kepada kehidupan dan masayarakat. Lantaran itu Daie merupakan sebahagian objek utama kepada amal harakah, pelaksana kepada perancangan jamaah dan memberikan kesan positif kepada kehidupan dan masyarakat.
  • Naqib di dalam konteks ini bertindak sebagai penggerak @ penjanan amal. Dia merangka dorongan motivasi berharakah pada setiap para pendakwah, merancang tindakan yang  perlu dilaksanakan oleh ahli-ahli  usrah secara individu dan jamaie , memberi pengarahan, menugaskannya untuk maslahah jamaah. Beliau mengembangkan faktor-faktor positif dan menjauhkan faktor-faktor negative.
  • Naqib hendaklah menggerakkan ahlinya agar sentiasa solat berjamaah, menziarah kubur, melakukan perjalanan secara berjamaah, menghadiri liqo dan muktamar, menyertai aktiviti kemasyarakatan dan kesukanan,mengadakan perjumpaan dengn tokoh dan pemimpin negara. Dia hendaklah mentarbiah mereka seni dialog dan perbincangan secara bermanhaj disamping menagadkan lawatan-lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan ada kesan ketamaduanan. Begitu juga dia menggerakkan  ahli usrahnya agar memperuntukan satu hari untuk dakwah dan  mengurus masa dengan sebaiknya untuk dakwah.
  • Pada tahap individu , para Naqib hendaklah membantu ahlinya agar banyak membaca, mempelajari pelbagai kemahiran dan menggunakannya untuk dakwah. Dia hendalah mendorong ahli usrahnya agar selalu mengikuti berita di akhbar-akhbar, menganalisa perkembangan politik, melatih cara-cara bercakap dikhalayak, mengungkapkan isu, menyampaikan pelajaran, mengendalikan mesyuarat, mendidik anak-anak, bergaul dengan kaum wanita dan apa sahaja aktiviti yang penting kepada ahli-ahli usrah.
  • Secara kesimpulannya, peranan Naqib ialah menjana dan menggerakkan kuasa dalaman ahli-ahli usrahnya ,memotivasi mereka untuk beramal. Naqib adalah pendorong pemula  kepada penjanaan amal, muwajjih (pengarah) kepada ahlinya secara berterusan dan penilai kepada keberkesanan amal dakwahnya.

Read Full Post »

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji dan syukur kita panjatkan pada Allah SWT, Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah SAW, keluarga baginda, para sahabat dan mereka yang telah melalui jalan juang ini, jalan jihad dan dakwah, jalan amal dan tarbiyah.

Hari Raya Eiduladha atau disebut sebagai Hari Raya Korban merupakan hari terpenting bagi umat Islam di seluruh dunia. Hari yang mulia ini sama diraikan ketika umat islam menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah. Pada hari ini umat Islam berkumpul menyatakan pada seluruh dunia bahawa mereka adalah ummah wahidah ” umat yang satu“. Umat yang memiliki satu akidah, satu kiblah, satu risalah. Dari sinilah terbitnya satu kekuatan dan kesepaduan ikatan persaudaraan sesama muslim yang diikat atas nama iman dan Islam.

Betapa besar dan agungnya Hari Raya Eiduladha kerana ia dikaitkan dengan peristiwa korban yang telah ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim A.S. Pengorbanan ini merupakan kemuncak tertinggi yang telah dipersembahkan oleh Nabi Allah Ibrahim sebagai tanda ubudiyah dan wala yang tidak berbelah bagi terhadap perintah Allah SWT. Allah menyatakan di dalam al-Quran :

Allah tidak menerima daging dan darah korban kamu tetapi yang ia terima adalah ketaqwaan kamu..”.

Inilah prinsip dan maqasid dari ibadah korban yang kita lakukan. tidak lain dan tidak bukan ialah nilai TAQWA. Pengorbanan yang dilakukan mesti menjurus ke arah melahirkan makna TAQWA. Saban tahun kita melihat umat Islam saling berlumba-lumba mengerjakan ibadah korban, namun apakah TAQWA telah berjaya memberikan nilai  tambah baru pada kehidupan umat ini. Amat malang jika kita sering melakukan ibadah korban tetapi hakikat Taqwa jauh terpisah dari batang tubuh umat yang telah menjadi rahsia kejayaan umat ini.

Bersama Wan Muhammad Najib (Pelajar Pergigian JUST - Bekas Ketua pelajar SBPI Selandar)

Saya amati dan tela’ah ayat-ayat Surah Soofat 99-111 yang menceritakan detik-detik pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Saya cungkilkan beberapa nilai tambah yang dicernakan dan dipasakkan bagi mengangkat makna pengorbanan yang sebenar. Pengorbanan yang dilakukan Ibrahim a.s adalah tanda cinta tertingginya pada Rabbnya dan sebagai kelangsungan untuk penerusan risalah dakwah ini. Ia adalah melengkapkan agenda Tauris Risalah dan Takwen Ummah.

Antara sifat yang diperlukan umat ini untuk menzahirkan erti pengorbanan ialah:

  • Segera menyahut seruan Allah ( sur’ah Istijabah li amr allah).
  • Kesabaran yang tinggi.
  • Keimanan yang mendalam.
  • Ubudiyah (Perhambaan) yang tidak berbelah bagi.
  • Ihsan (terbaik) di dalam semua perkara.

Agenda untuk mengangkat Umat Melayu sebagai bangsa yang memiliki risalah dan perjuangan memerlukan semangat pengorbanan yang kental. Al-Bana ketika membicarakan sifat yang diperlukan untuk perjuangan ini beliau menyatakan salah satu ciri tersebut ialah attazhiyyah azizah ( sifat pengorbanan yang hebat).

Kunjungan raya ke rumah pelajar-pelajar Malaysia

Marilah kita sematkan makna pengorbanan ini, kita buktikan dengan keringat, waktu, harta dan diri kita untuk menebus maruah umat ini. Umat Melayu tidak akan mampu  bangkit untuk memikul beban risalah dan perjuangan jika hilang dan pupus nilai -nilai pengorbanan ini pada jiwa mereka. Contohilah pengorbanan generasi silam, generasi para sahabat,jejakilah pengorbanan Sultan Muhamad al-Fateh dan para tenteranya, telusurilah pengorbanan  umat Islam Gaza yang mempertahankan Huwiyah (identiti) keislaman mereka.

Semoga Ruh At-Tazhiyyah mengalir dan menjalar di dalam kehidupan setiap  kita untuk berkorban pada umat tercinta ini. Selamat Menyambut Eidul Adha….

Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Salam Eiduladha
Irbid, Jordan 17 Nov 2010

Warna Warni Mahabbah ISMA Jordan

 

Read Full Post »

Ust. Rushdi menyampaikan khawatir tarbawiyah

Dakwah Kita : Makrifatullah – Baik Jiwa – Mahabbah Makhluk

Hari-hari di bumi Adelaide , kami isikan dengan memberikan pengisian tarbawi kepada para pelajar juga berinteraksi dengan warga Malaysia di sini. Dr.Zaki selaku Pengerusi ISMA Australia memperkenalkan saya dengan warga Malaysia yang berada di sini. Kebanyakkannya bekerja sebagai doktor, jurutera dan ahli perniagaan. Sebahagaiannya mereka lepasan pelajar yang menuntut di universiti- universiti di  Adelaide ini.

Apa yang sempat saya catatkan sepanjang pengisian di sini ialah sesi khawatir tarbawiyah yang disamapaikan oleh Ustaz Muhd Rushdi b. Alias. Beliau membugar semula ungkapan Imam Hasan al- Bana dan mensyarahkannya dengan jelas dan terang. Antara  kalimat tersebut ialah :

دعوتكم هذه تقوم على أصول ثلاثة

معرفة الله ، وصلاح النفس ، ومحبة الخلق

  • Dakwah ini tegak atas 3 usul utama iaitu makrifatullah (mengenal allah), kebaikan jiwa dan mencintai makhluk.
  • Untuk mengenal allah perlu kepada sentiasa tazakkur (ingat ) dan muroqobah, sedangkan untuk mencapai kebaikan jiwa perlu kepada ketaatan dan mujahadah. Manakala untuk mencintai makhluk pula ia perlu kepada nasihat dan sifat ithar (mengutamakan orang lain mengatasi dirinya).
  • Ketiga-tiga sifat inilah yang perlu ada pada seorang Daie yang memikul beban risalah agung ini. Daie yang terpancar pada sosok tubuhnya kekuatan hubungan dengan allah, mantap sudut kejiwaannya dan bermanfaat pada orang lain. Hidupnya adalah umat dan menjadikan umat lebih dicintai dari dirinya.
  • Kekuatan Sang Daie juga sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam Hasan al-Bana ialah melaksanakan beberapa wajibat yang bersifat amali iaitu sentiasa tilawah dan menghafal ayat-ayat al-Quran seharian, melakukan muhasabah harian, menjga solat lima waktu, mentadabur al-Quran, mengerjakan solat sunat nawafil dan mengutamakan solat berjemaah di masjid terutama subuh.
  • Gambaran Dakwah yang ingin ISMA perjuangkan adalah sebagaimana kata-kata Imam Hasan Al-Bana iaitu :” Allah Matlamat Kami, rasul ikutan Kami, Al-Quran Syariat Kami, Jihad Jalan Kami dan Mati Syahid Adalah Cita-Cita Kami.
  • Fenomena bagi dakwah ini tercerna pada 5 perkataan iaitu Basotah (simple), Tilawah ( membaca al-Quran), Solat, Jundiyah (keperajuritan) dan Khuluq ( memiliki akhlak yang baik).
  • Inilah peribadi yang perlu ada pada seorang Daie yang akan membawa misi risalah dan melakukan agenda perubahan kepada umat ini.

 

Sesi Motivasi Bersama Pelajar di Adelaide

Pada malamnya saya telah memberikan motivasi kepada para pelajar di Adelaide. Kehadiran mencecah hampir seratus lebih yang terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan. Mereka yang hadir pada malam tersebut juga adalah keluarga Melayu yang menetap dan bekerja di sini.Kebanyakkan para pelajar di sini adalah tajaan JPA dan Mara.

Saya bangkitkan motivasi mereka dengan mengajak mereka memahami peranan dan tugas mereka dab bagaimana menjadi manusia yang hebat. Saya gerakkan minda mereka agar berfikir dalam kerangka 100 degree celcius. Saya sempat membuat demonstrasi bahawa jika kita berfikir dalam kerangka 100 degree, kita mampu melakukannyanya.

Eksperiman yang telah dilakukan oleh seorang pelajar pada malam itu membuktikan bahawa kita boleh buat lebih dari itu dengan syarat kita perlu fokus dan tumpu pada matlamat yang telah kita tetapkan. Kita perlu sedar bahawa allah mengurniakan potensi yang hebat. Potensi yang hebat inilah kita perlu bangunkan kekuatan umat dan mencipta kejayaan.

Agenda melahirkan bangsa yang hebat dan berwibawa merupakan asas kepada binaan tamadun. Agenda menjadikan kita bangsa yang memiliki risalah dan berperanan kepada umat Justeru saya ingatkan para pelajar agar mereka menyedari bahawa mereka adalah harapan umat dan ditangan mereka umat ini akan terbangun dengan syarat memikul risalah agung ini.

 

Ust Rushdi dan dibelakangnya keluarga Melayu yang tinggal di Adelaide

Harapan besar agar Isma mampu melahirkan generasi harapan yang memiliki muwasofat ini untuk pulang sebagai Daie Mutaharrik dan Mujahid Mundhobit.

Read Full Post »

Read Full Post »