Kebanjiran dan kemunculan gerakan Islam pasca kebangkitan Islam [Sohwah Islamiah] adalah satu fenomena yang positif dan rahmah kepada umat Islam. Gerakan Islam sebagai mana yang diungkapkan oleh Syeikh Yusof al-Qardawi di dalam bukunya ‘Awlawiyat Harakah Islamiah Fi Marhalah Qadimah’ adalah ‘kerja berbentuk kemasyarakatan secara jamaie, bertanzim untuk mengembalikan Islam untuk memimpin masyarakat serta menghala tujukan seluruh kehidupan ke arah Islam.”.
‘Kerja’ di sini bermaksud ‘kerja yang berterusan dan berkesinambungan’ , ia tidak terhenti kepada ungkapan perkataan, retorika pidato dan ceramah atau penulisan buku dan makalah kendatipun ia sebahagian dari inti gerakan Islam. Amal atau kerja di sini berpaksikan firman allah di dalam ayat 105 at-Taubah yang menggesa kepada tuntutan beramal.
Ia adalah satu gerak kerja kemasyarakatan yang lahir dari kesedaran jatidiri gerakan tersebut, bertitik tolak dari nilai iman yang menjurus kepada mencari keredhaan Allah. Kerja tersebut dilakukan secara gerakan jamaie dan bertanzim. Tanzim yang diikat dengan nilai wala’ dan taat antara qiyadah masuulah dan jundiyah yang tinggi ketaatan serta didisiplinkan dengan adabiyat amal jamaie yang munazzam. Ia satu gerakan yang berpaksikan kepada syura mulzimah dan ketaatan yang penuh sedar.
Tugas besar gerakan Islam masakini ialah mentajdid kembali kefahaman Islam yang tulen. Tajdid semula kefahaman ini selari dengan fiqh nabawi sebagaimana yang diriwiyatkan oleh Abu Daud dan Hakim dalam sanad yang sohih dari Abi Hurairah r.a yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah telah membangkitkan bagi setiap umat ini pada setiap 100 tahun [satu kurun] ada orang yang akan mentajdid semula deen ini’.
Kalimah ‘man’ yang bermaksud orang dalam kefahaman yang difahami oleh Syeikh Yusuf al-Qardawi ia berkemungkinan bermaksud individu atau jamaah. Ini ditarjihkan oleh Ibnu Athir di dalam kitabnya ‘Jami al-Usul’. Manakala Qardawi sendiri cenderung menyatakan bahawa jamaah di sini bukan bererti beberapa individu tetapi ia adalah satu madrasah dan harokah fikriyah dan amaliyah yang berjuang mentajdid semula Islam yang tulen berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.
Ini kerana di dalam cabaran realiti semasa memperlihatkan kecairan pemahaman terhadap Islam yang sebenar. Islam hari ini dirasuki fahaman asing yang jauh dari dimensi al-Quran dan as-Sunnah dan kefahaman para sahabat r.a dan para tabiin. Maka lahirlah Islam muktazilah versi moden atas nama Islam Liberal, Islam Sekular, Islam Plural, Islam Syiah, Islam Khawarij, Islam yang terpisah-pisah dan Islam yang mengikut peredaran zaman.
Maka lahirnya generasi yang tidak memahami Islam yang sebenar dalam kerangka al-Quran dan as-Sunnah sehingga menafsirkan Islam mengikut hukum logik akal atau menyesuaikan segala isu dan perkara mengikut pandangan akal, jauh dari kaedah istinbat, istidlal dan ijtihad yang sohih. Bahkan ia memberi mereka menganuti fahaman-fahaman sesat seperti Syiah, Khawarij dan ideologi-ideologi ciptaan barat seperti pluralism, humanism, liberalism dan sebagainya.
Lalu Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi bertanya : “Apakah tajdid yang perlu dituntut ?”. Jawab beliau, tajidid yang perlu dibangunkan oleh Harakah Islamiah masa kini ialah dalam 3 daerah besar iaitu :
1. Takwin Tholi’ah Islamiah – membentuk kelompok pelopor dan peneraju Islam yang memiliki keupayaan, saling lengkap melengkapi, bekerjasama untuk memimpin umat dengan risalah Islam tanpa rasa isolisasi dengan masyarakat. Ia berjuang untuk merawat penyakit umat islam dengan melalui ubat Islam. “Tholi’ah” yang dibina atas iman yang ‘amiq, kefahaman yang teliti dan ikatan yang wathiq.
2. Takwin ra’yul ‘aam islami – membina pandangan umum Islam melalui cara jamahiriyah iaitu penglibatan meluas dalam gerakan massa yang ditunjangi para du’at yang menyeru umat kepada Islam sehingga mereka mencintai dan membantu para pendakwah ini. Umat ini menolak segala gerakan yang cuba memberikan gambaran salah terhadap Islam dari kalangan individu dan gerakan yang bertopengkan nama Islam atau sebagainya yang bertujuan memburukkan Islam.
3. Menyediakan suasana umum bersifat internasional yang dapat menerima kewujudan ummah Islamiah. Suasana yang dapat memberikan kekuatan kepada umat Islam berdepan kekuatan antarabangsa sehingga Islam dapat menegakkan wewenangnya untuk melaksanakan Islam sebagai manhaj kehidupan.
Bidang Keutamaan di dalam amal Islami
Syeikh Yusuf al-Qardawi menggariskan bidang-bidang penting yang perlu dikuasai dan diterokai oleh gerakan Islam yang akan memimpin ummah. Antara bidang tersebut ialah bidang pendidikan, bidang politik, bidang sosial,bidang ekonomi, bidang jihad, bidang dakwah dan penerangan dan bidang pemikiran dan intelektual. Semua bidang ini wajib dituntut dan dikuasai oleh gerakan Islam.
Namun persoalan yang paling penting dan utama ia bagaiman mengagihkan bidang ini menurut kekuatan dan keperluannya sesuai dengan tuntutan dan realiti semasa sehingga lahir kepakaran.
Untuk merealisasikannya, perlu ditumpukan kepada perkara-perkara berikut :
1. Fokus kepada beberapa kefahaman yang perlu difahami, digeneralisasi dan dikuasai terutama dari aspek pemikiran. Ini yang disebut sebagai ‘fiqh jadid’ [kefahaman yang baharu].
2. Menguasai kelompok terpenting masyarakat melalui pemerataan usaha amal dakwah. Kelompok masyarakat yang akan mendokong perjuangan dan melengkapkan kebangkitan umat. Ia terhasil dengan amal dakwah yang aktif dan proaktif.
3. Penumpuan kepada kualiti bukan kuantiti iaitu penyediaan barisan kepimpinan harapan untuk mengisi masa depan. Kepimpinan yang terdidik dengan persediaan iman dan pemikiran yang mantap. Ia terbina denga amal tarbawi.
4. Penumpuan kepada pengembangan daya fikir dan pengoperasian terutama berkaitan dengan hubungan politik nasional dan internasional, keluar dari kepompong esklusif dan kepungan luar sehingga gerakan Islam berupaya menunjukkan ciri gerakan yang bersifat antarabangsa dan fleksibal. Ia terbentuk dengan penglibatan di dalam amal siasi.
Bagaimana untuk mencapai tujuan tersebut ?
Untuk mencapai tujuan tersebut, Syeikh Yusuf al-Qardhawi menyebut tiga perkara.
Pertama : Kepentingan memberikan sepenuh masa dan tenaga untuk kerja-kerja haraki. Inilah yang telah dilakukan oleh Imam al-Bana yang telah meninggalkan tugas mengajar dan menumpukan kepada usaha dakwah dengan memberikan seluruh tumpuan dan tenaga untuk organisasi.
Kedua : Penyediaan kelompok pakar dan professional dalam pelbagai bidang. Gerakan Islam perlu melahirkan ahli yang pakar di dalam pelbagai bidang yang diperlukan umat kerana ia adalah gerakan masakini dan akan datang. Kepakaran tersebut adalah penguasaan di dalam bidang pembuatan dasar dan polisi serta bidang strategik negara.
Ketiga : Pusat kajian maklumat . Gerakan Islam adalah gerakan yang memberdaya orientasi amal berasaskan kepada dapatan maklumat, kajian, analisa dan perkembangan terkini. Menguasai zaman akan menyiapkan gerakan Islam mampu membawa perubahan dan memimpin umat. Kegagalan menguasai dan memanfaatkan zaman menyebabkan gerakan Islam ketinggalan dan keterbelakangan di dalam memimpin perubahan.
Secara kesimpulannya Syeikh Yusuf al-Qardawi menuntut gerakan Islam hidup dengan perkembangan zaman, mengerah segala keupayaan dan potensi demi mengembalikan Islam berada di posisinya untuk memimpin umat dan dunia.
[…] https://maalimfitariq.wordpress.com/2013/11/26/pemikiran-qardhawi-gerakan-islam-dan-tajdid/ […]