Ikhwati wa akhawati fillah,
Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan tasyakkur wa tahmid pada allah atas kurnian kita dipilih untuk menjadi ansarullah wa jindullah.
Dakwah ini adalah projek Allah, tugas kita ialah memenangkan dakwah ini hatta la takuuna fitnah wa yakunaddin kulluhu lillah. Target akhir dakwah kita adalah nasrul fikroh [memenangkan fikroh] dan nasyrul hidayah [menebarkan hidayah] sehingga tertegak agama ini mengatasi segala-galanya.[i’la kalimatullahi ilal ulya].
Ikhwah wal akhowat fillah,
Target ini jangan sekali-kali kita melupakannya dek kerana kesibukan kita dengan amal khoiri, amal siasi, amal ijtimaie, amal tullabi dan juga amal ikhtisodi. Semua aktiviti dan program yang dirancang, disusun, diagendakan semuanya menuju ke arah intisyar al-wa’yul islami dan ijad rakaiz islamiah.
Ia bukan sekadar kita menganjurkan program Kempen Selamatkan Ummah dengan mendedahkan keboborakan agenda pluralisme, liberalism, projek pengamerikaan, gerakan syiah, kristianisasi serta mengbangkitkan kesedaran kita sebagai sohibul risalah. Target akhir dan utama kita ialah melakukan islah wa taghyir sehingga agama ini dimenangkan allah dan sehingga tidak berlaku fitnah kepada agama ini .
Amal siasi kita bukan setakat menghantar calun di dalam PRU, amal khairi kita bukan setakat mengadakan khidmat I-Midek, I-Guru, KRIM dan bantuan-bantuan khidmat bakti kesukarelawan belia. Ia bukan setakat menganjurkan kempen selamatkan al-Quds, peduli terhadap isu Mesir, Syria dan umat Islam dunia tetapi mesti mengarah, terarah dan diarah kepada ila’ kalimatullah hiyal ulya.
Bukan juga bila kita melancarka I-Guru, bermakna kita menganjurkan program klinik akademik, teknik menjawab peperiksaan, program pembangunan jati diri semata-mata tetapi mesti melahirkan pewaris dan kader dalam rangka menjadi agent of change. [agen perubah]
Kita bukan hanya sekadar jamaah khoiriyah yang sarat dengan aktiviti kebajikan, bukan juga pasukan belia perkasa tahan lasak dan diuji, bukan juga badan ekonomi wirausahawan tetapi kita adalah jamaah qudwah yang membawa dakwah syamilah wa mutakamilah. Kita adalah jamaah dakwah, kerja dan sarana kita berdiri atas manhaj allah sehingga mendidik dan menta’lim umat kembali ila lah bukan seperti persatuan-persatuan, parti-parti lain yang juga melaksanakan kerja-kerja sosial, kerja-kerja politik , kerja-kerja kepemudaan tetapi yabqa ‘ala dholalah.
Inilah keadaan yang selalu perlu diingatkan pada ikhwah dan akhowat agar peta amal haroki kita terpandu dan memandu sehingga melayakkan dakwah kita dimenangkan allah, apatah lagi ketika pergelutan aktif kita dalam isu-isu semasa dan melibatkan diri di dalam kerja-kerja berbentuk kepolitikan.
Ya, target kita ialah memimpin manusia kepada hidayah allah. Jamaah ini hanyalah medan amal kita untuk merealisasikan target besar ini. Oleh sebab itu kita perlu berjiwa besar dan berfikir di dalam kerangka sebagai pemimpin. Iman al-Bana menggariskan 7 maratib amal amal Ikhwan sehingga dakwah kita ini membawa kepada pembinaan ustaziyatul alam.
Ikhwati wa akhowati fillah !
Lalu apakah pilar-pilar bagi mengukuhkan dakwah kita ?
Pertamanya ialah istiqomatul maknawiyah iaitu mental dan kekuatan dalaman yang istiqomah.
Hakikatnya dakwah ini adalah projek allah dan yanag akan memenangkan dakwah ini bergantung kepada sejauh mana dekatnya kita mencari asbab-asbab pertolongan allah yang melayakkan kita diberi kemenangan dari allah. Allah menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, dan kuatkanlah tahap kesabaranmu, perteguhkan ikatanmu dan bertaqwalah kepada allah, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan”.
Ikhwah dan akhowat yang berjaya mengikatkan hati dengan allah akan membuka pintu-pintu kemenangan kepada dakwah ini. Lantaran itu, gerak kerja kemenangan kita terkait rapat dengan amal-amal qolbi kita. Mengukuhkan amal-amal qolbi mesti menjadi agenda keutamaan kita di dalam setiap langkah amal-amal kita sama ada amal tarbawi, amal dakwiy dan amal harokiy agar gegak gempita dunia populariti dan publisiti mengatasi dan melebihi darinya. Aset utama kekuatan kita adalah sejauh mana kita menjaga as-sillah billah. Justeru perjalanan ini adalah perjalanan hati menuju kepada rabbul izzati.
Kedua, Nudzuzjul fikrah (kematangan pemikiran)
Perkara kedua yang akan memenangkan dakwah ini ialah kematangan berfikir di dalam merancang amal-amal dakwah kita, juga di dalam kita menghadapi kesulitan dan ujian-ujian yang mendatang. Memang dakwah kita akan menempuh seribu satu macam permasalahan. Isu kita di fasa ta’sis tidak sama di fasa terbuka apatah lagi berdepan serangan musuh-musuh islam dengan segala agensinya, media cetak dan media elektronik di zaman milinium dan alaf gajet. Oleh itu, para qiyadah dan kita perlu memiliki pemikiran yang matang agar segala solusi, polisi dan agenda jamaah dapat dipacu dengan jayanya. Jika tidak jamaah kita akan terdedah kepada fitnah, terencat amal dan jauh dari mencapai matlamatnya. Manakala ahli-ahlinya pula terdedah kepada futur, tasyaum, tafarruq, ta’assub fardi.
Untuk memastikan fikrah yang solid , maka proses pentarbiyahan kita perlu dimantap dan diperkukuhkan bagi mengelak dari gejala kecairan fikrah [ tamayyu’ fikri] dan izabah fikrah [peleburan] pemikiran. Mahu tidak mahu perlu diperkuatkan amal tarbawi kita dengan segala mekanisme wasilah tarbawiyah. Konsisten dan intima’ fikri, intima’ dakwi dan intima’ tanzimi kita perlu diperkasakan dan diperhebatkan.
Ketiga, Mataanatus shaff (Kemampanan sof)
Kemantapan sof bergantung kepada kemantapan kader-kadernya. Sof yang mantap diikat dengan kekuatan iman dan ukhuwwah kita. Al-Bana mengingatkan kita dua kekuatan asas dakwah kita iaitu kekuatan iman dan kekuatan ukhuwwah. Tanpa keduanya makan jamaah dan sof akan terjerumus kepada gejala tasaaqut, gejala tafarruq dan gejala inhirof amal.
Jangan ada di dalam diri kita sifat pentingkan diri sendiri, jangan ada sifat berkutlah-kutlah, jangan ada suu’ dzan sesama kita. Mesti kembali kepada akar ukhuwwah, berlapang dada dan mengfungsikan budaya syura di dalam tanzim kita.
Sikap ‘ithar’ dan ‘salamatus sadr’ adalah kunci kemenangan amal kita dan menghindari perkara yang merosakkan sof kita. Kita ibarat jasadin wahid. Yang kita perlukan ialah superteam bukan superman atau superwomen semata-mata.
Keempat, Hayawiyatul Harakah (pergerakan yang dinamik)
Isu yang keempat ialah jamaah kita perlu bergerak secara dinamik melalui setiap fasa-fasa amal. Dinamik dari sudut strategi dan unjuran amal. Ini bukan bererti meleburkan identiti jamaah tetapi tetap asolah pada fikrah dan manhaj namun murunah [fleksible] pada pendekatan dan strategi dakwah.
Jamaah yang semakin membesar ini mesti menjadi tempat untuk kita semua berkontribusi dan memposisikan diri kita untuk beramal. Ia bukan terhad di dalam sektor-sektor tertentu tetapi di dalam semua sektor umat selari dengan keperluan dakwah kita yang bersifat syamilah mutakamilah.
Ada yang minat berkarya dan seni, ada yang pintar berorganisasi, ada yang petah berbahasa siasi, ada yang mahir berekonomi dan sebagainya. Semua kita perlu bersinergi untuk menjayakan obsesi jamaah ini.
Setiap kader-kader jamaah ini wajib saling bantu membantu bagi menjayakan cita-cita jamaah yang diharapkan ini. Ruang amal yang besar dan luas ini menjadikan kita sebuah jamaah yang dinamik dan tempat yang solid untuk kita menyumbang ke arah menjayakan agenda grandesign harokah ini secara total.
Mari kita pertingkatkan daya juang kita, membangunkan solidaritas jamaie kita, membeningkan ruhi kita sehingga kita layak menerima nusratullah [pertolongan allah] agar dakwah kita menembus ke seluruh sasaran dakwah kita.
Tinggalkan komen