Sambungan dari tajuk : ” Mari duduk seketika, kita segarkan perjalanan ini…”
- Kebanyakkan punca berlaku gejala penyelewengan di atas jalan dakwah adalah bertitik tolak dari penyakit gopoh gapah dan dorongan untuk memetik hasil dengan segera di dunia ini. Sifat tergesa-gesa (isti’jal) ini merupakan satu tasawwur yang salah , cetek pemahaman tentang konsep dakwah. Kata para ahli bijaksana [sifat tergesa-gesa adalah dari syaitan]. Sahabat Nabi s.a.w Khabbat b. Arat mengadu penderitaan dan azab siksa yang amat dahsyat. Beliau pesimis dengan jalan dakwah dan meminta baginda mendoakan agar diberi pertolongan, menjelaskan tabiat jalan, memberikan berita gembira akan kemenangan dan kekuasaan islam. Maka kata Rasulullah s.a.w : “..akan tetapi kamu kaum yang gopoh gapah..”.Hakikatnya jalan dakwah menuntut kepada amal yang berterusan, kesabaran yang panjang sekalipun jauh lagi matlamat yang ingin dicapai dan lambat hasilnya. Kita hanya dituntut beramal, allah pasti memberikan ganjaran pahala dan balasan syurga. Hasan al-Bana bertanya : ‘hal nahnu qaumun ‘amaliyun ?’ (Adakah kita umat yang bekerja).
- Kita meyakini bahawa amal kemasyarakatan dan amal siasi adalah satu ibadah mendekatkan kita kepada allah. Kerja-kerja tersebut mestilah matlamat dan caranya menurut syarak, beretika, bersih perlakuan, lurus jalan, benar perkataan. Hanya dengan tarbiyah yang konsisten sebelum menggarap ke medan amal, semasa dan selepasnya merupakan jaminan untuk mencapai objektif dakwah dan manhaj amal kita. Berbeza dengan para ahli politik yang menjadikan politik sebagai batu loncatan meraih ketinggian dan kebanggaan di sisi manusia, merebut pangkat dan jawatan, mencari peluang kekayaan, meraih sokongan dan undi sehingga matlamat menghalalkan cara, menggunakan kaedah-kaedah penipuan, konspirasi, bohong dan tindakan yang tidak beretika.
- Menghormati yang lebih senior adalah tuntutan iman sebagaimana gesaan nabi s.a.w di dalam hadisnya. Dakwah ini mengajar kita menghormati dan memuliakan para masyayekh dakwah kita yang terdahulu berada di dalam sof, yang terbukti kental dan thabat di dalam perjuangan, menjaga ketulenan manhaj amal tanpa ada penyelewengan dan perubahan dan memimpin kita ke jalan amal yang betul dan sahih.Kita mendahulukan mereka dan memberi penghormatan yang tinggi sebagaimana nabi s.a.w bersabda : [ barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak akan berterima kasih kepada allah].
- Dakwah ini juga mengajar kita bahawa selama kita bersifat sebagai manusia, selama itulah berlaku kepelbagaian pandangan dan mewujudkan perselisihan pendapat. Hendaklah kita berpegang kepada dhawabit dan adab al-ikhtilaf. Jika tidak berpegang kepada adab al-ikhtilaf ini, ia boleh mengundang kepada beberapa masalah dan perpecahan. Kita serahkan kepada kepemimpinan dan memberikan autoriti bagi menyelesaikannya. Kita serahkan hak pemutusan pada qiyadah dan kita menjauhi dari menuruti hawa nafsu. Sikap kita ialah beriltizam dengan prinsip syarak dan disiplin amal jama’ie.
- Dakwah ini mendidik kita agar sentiasa bersama kafilah dakwah dan bersabar dengannya. Jadilah seperti Abu Khaithumah di dalam Ghazwah ‘Usrah ketika baginda bertanya khabar tentang Abu Khaithumah. Jawab para sahabat ; ‘ dia tidak dapat turut serta berjihad.”. Sabda baginda : “ jika beliau sihat dan baik, maka allah akan mendapatkannya bersama kita ( di dalam perang ini) , jika tidak maka allah memberikan kerehatan untuknya..” . Namun akhirnya beliau bersama-sama turut serta berjihad. Nabi s.a.w mengajar para sahabat r.a. makna himmah ‘aliyah(semangat yang tinggi), kepaduan azam agar kafilah dakwah tidak tergelincir dalam gaung kekalahan dan kehinaan, sentiasa thabat dan melipatgandakan usaha bagi mengembalikan apa yang hilang.
- Dakwah mengajar kita agar memberikan perhatian utama terhadap akhlak. Akhlak inilah merupakan matlamat asasi pengutusan para rasul. Allah memuji rasulullah di dalam al-Quran disebabkan kemulian akhlak baginda.Justeru itu, dalam kita berdakwah, gunakanlah pendekatan berhikmah, tunjukkan akhlak yang baik, bergaul dengan manusia secara baik sekalipun orang itu pernah biadab terhadap kita kerana agama ini kata Rasulullah s.a.w adalah pergaulan. (ad-deen mu’amalah). Mudah-mudahan dengan mempamerkan akhlak yang baik dapat menarik manusia bersama dengan dakwah yang kita seru ini. Kaedah mengajar kita : [ al-qudwah qabla ad-Dakwah ]
Da’ie Hebat Dakwah Full Manfaat….
Tinggalkan komen