
Dari New Castle-Manchester City-Sheffield
Sabtu 26 Disember 2009
Jam menunjukkan pukul 2.00 petang, saya bersama akh Iqbal, Taufik dan Zakwan bertolak keluar dari Edinburgh menuju ke New Castle dengan menaiki kereta. Kereta jenama Nissan milik Sdr. Iqbal. Kereta tahun 1992, harganya pun murah GBP 295 (lebih kurang RM 1600.00). Pemandangan di sepanjang perjalanan diliputi salji, lading-ladang keputihan diselimuti salji. Sesekali merentasi pinggiran laut. Jarak perjalanan memakan masa 3 jam setengah lebih. Kami tiba di rumah Zaid di New Castle jam 5.30 malam.

Pemandangan di waktu malam di New Castle
Rombongan kami telah disambut baik oleh tuan rumah dan pelajar-pelajar Malaysia yang datang ke sini untuk program ceramah saya di New Castle. Saya sempat bertaaruf dengan sebahagian yang hadir ke program ini. Mereka ada yang menyambung pelajaran ke peringkat Phd, ada yang meneman isteri belajar dan sebagainya. Kehadiran agak memberangsangkan, bilangan mencecah 40-50 orang. Terpaksa disediakan dua bilik iaitu satu untuk sister dan satu lagi untuk brother.

Majlis telah dipengerusikan akh Zaid dan saya telah menyampaikan ceramah saya menggunakan powerpoint. Tajuk yang diberikan ialah “Peranan Mahasiswa Cabaran dan Realiti Di Malaysia”. Usai saja menyampaikan ceramah, saya diajukan dengan pelbagai soalan. Ada yang bertanya tentang peranan ilmu dan bagaimana yang membudayakan ilmu dikalangan pelajar , ada yang bertanya sikap ISMA tentang isu ketuanan Melayu, ada yang bertanya tentang sikap suka menyalahkan orang lain dan bagaimana cara agar kita tidak dilarutkan dengan suasana negatif di sini. Turut juga memberikan pelbagai komentar terhadap isi pengisian saya pada malam itu. Maklumlah yang datang-datang ni, ada yang sudah dewasa, pelajar Phd dan berpengalaman.

Namun saya cuba menjelaskan beberapa perkara tersebut berasaskan disiplin ilmu dan fikrah yang ingin ISMA tampilkan kepada masyarakat. Di dalam soal membudayakan ilmu, saya menegaskan konsep ‘Iqra’ dan perlu kita memahami latar penurunan surah al-“Alaq yang merupakan asas pembinaan tamadun umat. Untuk membangunkan umat dan mengembalikan semula peranan Islam, kita harus berpaksikan kepada strategi ‘Iqra’ ( kajian/pembacaan) dan strategi Ubudiyah (Iman – makrifatullah). Tanpa dua perkara tersebut, kita gagal untuk membangunkan kekuatan tersebut. (boleh rujuk artikel saya : Tadabur Ramadhan : Membudayakan Budaya Iqra’ http://maalimfitariq.wordpress.com). Pelajar harus ada ketekunan dan keseriusan untuk menelaah dan menggali khazanah keilmuan Islam. Ilmu yang mampu membina kefahaman dan kesedaran kita. Ilmu yang membangunkan ketaqwaan bukan ilmu yang merosakkan manusia lain (konsep ilmu yang sebenarnya).

Saya cuba menjelaskan fikrah Isma tentang Melayu . Soalan ini bukan setakat masa program tetapi juga selepas program program ketika makan.Sdr. Zainal (Ex-Farisian’s) ingin mengetahui lebih lanjut tentang sikap dan pendirian ISMA tentang isu Melayu. Mungkin mereka melihat dan mendapat maklumat dari rakan –rakan mereka bahawa Isma tidak memperjuangkan ketuanan Islam apabila membicarakan soal Melayu. Walaupun beliau agak emosi dan bersemanagat, namun saya dapat mengawal sentimennya.
Saya menjelaskan bahawa, kita Isma komited memperjuangkan agenda Islam. Kita terus dan akan terus memperjuangkan Islam sebagai solusi kepada masalah umat hari ini. Islam harus memerintah dan mentadbir dunia ini hingga ke peringkat ustaziatul alam ( maratib amal). Tetapi dalam konteks kita membicarakan soal Malaysia , reality dan cabaran , kita harus objektif dan konstruktif iaitu kita perlu menyakini bahawa tonggak kepada kepimpinan hari ini masih berada ditangan melayu. Justeru mengukuhkan dan memperkasa kedudukan Melayu dengan acuan tarbiyyah adalah metodologi perubahan yang ingin dibawa Isma. Mahu tidak mahu, hakikatnya kita ada identity kita tersendiri, kita penduduk pribumi dan datangnya Islam telah mengubah kita menjadi umat yang hebat dan disegani. Lantaran itu, Islam tetap harus diperkukuhkan pada sosok tubuh melayu agar melayu yang kuat pegangan keislamannya yang akan memimpin negara. Jika kita tidak bercakap soal melayu, bermakna kita akan cuba meleburkan identity dan sayang kita pada bangsa dan umat kita.

Kepelbagaian harus dilihat secara positif dan konstuktif bukan satu kelemahan. Kita harus berbeza pandangan tapi perlu berlapang dada dan melihat maslahah yang lebih besar berdasarkan prinsip maqasid syarak iaitu menjaga agama di martabat tertinggi sekali.
Hati saya memang ingin berbicara panjang dengannya walaupun diajak bermalam dirumahnya untuk memahami lebih dekat pemikiran Isma. Namun apakan daya, keletihan dan perjalanan yang jauh dan akan ke Manchester City keesokannya memerlukan kerehatan. Setelah dijamu dengan hidangan yang lazat, saya dan teman-teman berpakat untuk berpuasa sempena 10 Asyura. Kami bersahur jam 5.45 pagi berlaukkan ayam dan nasi putih. Saya sempat membuatkan air Teh O yang menjadi kegemaran saya. Sebelum solat subuh, sempat membaca helaian al-quran buat bekalan sepanjang perjalanan ini. Dakwah ini memerlukan bekalan, jalannya panjang. Bekalan taqwa, bekalan as-Suhbah Solihah (persahabatan yang solih), bekalan al-quran adalah antara bekalan-bekalan sepanjang perjalanan dakwah yang tidak bertepi ini.
Ahad 27 Disember 2009
Keesokkannya kami bersiap-siap untuk ke Manchester City. Sebelum itu sempat mengambil gambar dihadapan rumah Zaid. Saya sempat menghubungi rakan dakwah saya semasa di Jordan ,Ust. Mazlee kerana diberitahu beliau tinggal di Durham dan menyambung belajar Phd dalam bidang politik. Dalam perjalanan ke Manchester City kami singgah dirumahnya jam 11.00 pagi, banyak perkara yang dibualkan tentang kajian politik beliau tentang Good Governance ,perkembangan politik di Malaysia, isu pendidikan, aliran tariqat dan sufi dalam gerakan dakwah dan sebagainya. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah beliau menyebut bahawa kebanyakkan mereka yang berada dalam gerakan dakwah terdiri dari para ustaz, doktor dan jurutera. Amat kurang golongan dalam bidang Human Science seperti bidang sosiologi, antropologi, undang-undang, ekonomi. Sedangkan mereka inilah yang berada posisi penting negara.
Pandangan beliau yang kritis, ada kebenarannya. Gerakan dakwah harus syumul dan komprehensif. Ahli yang memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran berupaya membawa transformasi kepada umat. Ini kerana, bila kita membicarakan soal dakwah kita membicarakan soal membangunkan softskill iaitu manusia sebagai objeknya. Mereka yang menguasai manusia akan dapat menguasai perubahan. Bidang kajian sosiologi, antropologi dan sains politik amat sinonim dan membantu dalam memahami proses transformasi ( Fiqh Taghyir). Di penghujung perbualan beliau sempat menyediakan juadah untuk kami berbuka dan beberapa buah buku sebagai cenderamata. Moga ikatan ukhuwwah berkekalan.

Kenderaan kami meluncur terus ke MC . Kami melalui perjalanan yang agak panjang dan memakan masa 3 jam lebih. Tepat jam 3.3o petang kami tiba dirumah akh Zulhelmi (Ex-KMS / MRSM Taiping). Kami ready untuk berbuka puasa sebelum bersiap sedia ke program forum. Kami berbuka puasa dengan juadah dari Durham (Ust. Mazlee).
Dirumahnya pun ramai, rakan-rakannya dari German yang datang menziarahinya. Tepat jam 5.30 kami bertolak ke tempat solat universitinya untuk program forum. Kehadiran dalam lingkungan 20-25 orang yang terdiri dari under graduated dan post graduated. Saya berforum bersama-sama akh Khairudin dan isterinya.
Saya mencatatkan satu informasi dari Pn. Rasyidah tentang kewujudan 500 persatuan Cina di Pulau Pinang berdasarkan portal Malaysiakini. Ini menunjukkan bahawa berpersatuan ada manfaatnya. Amat malang sekali jika ada para pelajar yang berada diluar negara tidak berpersatuan atau terlibat dengan badan-badan dakwah . Bila kita join dengan badan-badan- dakwah atau mana-mana persatuan, ia dapat membina jatidiri dan sahsiah kita.
Saya rumuskan kesimpulan dari pada forum tersebut dengan meninggalkan pesanan berikut :
- Jadilah lelaki sejati sebagaimana pesanan Hasan al-Bana kepada sekumpulan pemuda yang diketuai oleh Dr. Salim. Kaedah mengatakan ..”jika ada lelaki soleh..akan ada sebab beroleh kemenangan..”.
- Menggunakan peluang belajar diluar negara dan pulang sebagai professional muslim daie.
- Menggunakan kaedah PHD ( P – Prefesional / H – High Quality and Perfomance / D – Develope Your Hardskill n Softskill ).
Malam yang larut itu, kami isikan perut kami dengan Half chicken n a Rice di Restoren al-Jazeera. Ummp..sedap..teringat Kabsah di Restoran Sabak di Putrajaya. Memang kawasan tu kawasan dijual makanan halal. Agak mengecewakan sebab kedai jual ais-krim telah tutup, tapi kami belikan Lamb Ribs untuk akh Saufi ( Inter-Siber )dan Adam untuk dibawa ke Sheffield.
Sebelum berangkat keluar dari rumah akh Zol, sempat berbual dengan Rusydan, bekas KMS dan pernah kenal akh Omar Kassim, Dr. Zainur dan pakcik Zaim. Masa tidak mengizinkan kami berbicara lama, sekitar jam 11.00 lebih, kami bergerak ke Sheffeild, badan terasa amat letih dan saya melelapkan mata.
Tiba-tiba kereta berhenti bergerak dari kilometer 16 untuk tiba di Sheffield. Rupa-rupanya kami ditahan polis kerana salah satu lampu belakang tidak berfungsi.Polis juga mendapatkan keterangan dari Iqbal dan check tayar . Beliau nasihatkan agar tayar kereta ini ditukar dan memandu dengan selamat . Perlahan-lahan kami bergerak menuju ke bandar Sheffield , meredah kegelapan malam dan tiba jam 12.40 malam sini. Alhamdulillah, selamat perjalanan, terpancar wajah kegembiraan Iqbal. Akhirnya sampai juga kerumahnya walaupun terpaksa mengharungi pancaroba perjalanan sebelum dan selepas program JUMN 09.
Saya katakannya; ” Moga Allah mengganjari pahala yang sebanyakknya atas kesabaran dan pengorbanan anta…tanpa pengorbanan dan kesabaran dakwah tidak ke mana..jalan ini panjang dan meletihkan…”. Besok akan ke rumah Saaufi..caretaker Masjid Abu Hurairah Sheffield.




