Kaedah Berdakwah 10 : Masa adalah faktor efektif keberkesanan dakwah
Mei 17, 2011 oleh azizeehasan
- Sesungguhnya ramai para daie merasa berputus asa atau hilang pengharapan ketika dia menyampaikan seruan dakwah kepada para mad’unya, menggunakan hujah dan bukti yang nyata, namun para mad’unya tidak responsif terhadap seruan dakwah tersebut.
- Ini berpunca dari sikap para Daie (pendakwah) yang tidak memahami atau mengambilkira keutamaan factor masa sebagai factor penting di dalam menjayakan amal dakwah.
- Imam As-Shahid Hasan al-Bana mengungkapkan satu kaedah “ al-waqtu juz’un minal ‘ilaj” [ masa adalah sebahagian dari perawatan]. Imam al-Bana mengingatkan para pendakwah agar meletakkan unsur masa sebahagian dari langkah-langkah membaiki umat ini.
- Kata-kata : ‘Li kulli marhalah rijaluha wa likulli marhalah masyakiluha’ (setiap marhalah dakwah ada rijalnya dan setiap marhalah dakwah itu ada permasalahannya). Justeru para pendakwah dalam memikul masuliyatud ad-dakwah perlu lihat kepada factor masa, factor kemampuan & keupayaan mempersiapkan rijal serta masalah-masalah di dalam perjalanan dakwah itu. Maka menyelesaikan segala keperluan fasa itu harus diambil kira factor masa.
- Kaedah fiqh menyebut : ‘ Manista’jala qabla awanihi uqiba bihirmanihi..’ [ Barangsiapa yang memetik hasil sebelum tiba masanya maka dia terhalang untuk mendapatkannya..]. Ini menunjukkan bahawa di dalam dakwah perlu dituai hasil-hasil dakwah itu secara matang apabila sampai masanya dan cukup prasyaratnya.
- Seerah menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW mengambil kira faktor masa di dalam menjayakan agenda dakwahnya. Perpindahan marhalah dari Sirriyah (kerahsian) kepada Jahriyah (terbuka) , dari Jahriyyah ke fasa iqamatud ad-deen adalah berasaskan faktor masa.
- Dalam skop yang lebih mikro terutama melaksanakan usaha tajmik dan dakwah kepada manusia, para daie hendaklah memahami bahawa masa (timeline) adalah salah satu dari pra-syarat keberhasilan dakwah.
- Ini kerana realiti yang melingkungi kehidupan mad’u adalah reality yang bukan Islam (unislamic) atau biasa disebut sebagai realiti jahiliyah.Realiti ini telah mempengaruhi kehidupan para mad’u samada dari aspek tingkahlaku atau pemikiran.
- Ini mewujudkan jurang pemisah antara kehidupan yang dilalui oleh Sang Daie dengan kehidupan para mad’u. Daie membawa nilai-nilai islamik sedangkan mad’u pula membawa nilai-nilai yang tidak islamik dan bertentangan dengan aliran para daie. Lantaran itu, mengharapkan dakwah diterima dengan cepat dan segera adalah suatu yang mustahil dan ia bertentangan dengan sunnah dakwah.Oleh itu para daie perlu memahami beberapa perkara iaitu :
- Setiap seruan atau kalimah yang disampaikan oleh para daie itu tidaklah ia hilang begitu sahaja di minda para mad’u. Mad’u –mad’u tadi menghimpun maklumat, ilmu dan kefahaman tersebut dari semasa ke semasa. Ia mengutip juga kefahaman tersebut dari para daie yang lain, yang mungkin membicarakan topik yang sama sehinggalah apabila tiba kesedaran di dalam jiwanya, dia menyatakan : ‘aku pernah mendengar dari si fulan itu..si fulan ini..’. Ini akan mengingatkan semula ingatan mad’u tadi pesanan yang disampaikan oleh para pendakwah selepas beberapa ketika yang kadang memakan masa samada dalam tempoh yang singkat atau panjang.
- Para pendakwah perlu bijak memilih masa dalam pengoperasian amal dakwah dan ia berada dikedudukan yang penting. Memilih masa yang sesuai, pada mad’u yang sesuai di temapat yang sesuai adalah pra-syarat menjayakan seruan dakwah. Ini kerana dakwah terkesan dengan suasana lingkungan yang dilalui oleh para daie dan mad’u. Ibnu Mas’ud menyatakan : “ Bahawa rasulullah SAW berhati-hati memberikan peringatan kepada kami (ikut kesesuaian masa) , ditakuti kami merasa bosan dan jemu”.
- Tidak wajar para daie memanjangkan bicaranya terhadap mad’u kerana ini kadang-kadang menjemukannya dan menyebabkannya berasa gelisah. Langkah terbaik bagi seorang daie ialah membiarkan mad’u berkeinginan tinggi untuk mengetahui bahan yang disampaikan dan meminta penambahan ilmu tersebut.
- Sifat tergesa-gesa untuk melihat hasil berlaku kepada mad’u akan membawa natijah yang buruk. Madu memberikan respon terhadap apa yang disampaikan oleh daie samada dia menolak atau menerima seruan tersebut. Kedua- dua perkara ini jika belum sampai tempohnya boleh membawa mudarat kepada mad’u. Setiap daie perlu bertadarruj (beransur-ansur) dalam langkah-langkah dakwahnya. Situasi ini dapat dilihat dari sikap mad’u dalam mengambil satu-satu keputusan samada dia menolak atau menerima. Jika dia mengambil sikap menolak, mungkin disebabkan mad’u tadi tergesa-gesa untuk membuat keputusan sebelum mendapat gambaran menyeluruh tentang seruan dakwah tadi. Mad’u tadi pula ingin menzahirkan pendiriannya dan mahu dikenali dengan pendirian tersebut yang akibatnya boleh merosakkan gambaran dakwah. Ini adalah berpunca dari perlakuan Diae yang mahu memetik hasil dakwahnya sebelum tiba masanya.Sebaliknya jika mad’u tadi menerima seruan dakwah dalam keadaan yang tergesa-gesa dan selepas beberapa ketika diberikan taklif (beban tanggungjawab) dan wajibat (tugasan) yang tidak mampu dilaksanakannya.Keadaan ini kadang-kadang membuatkan mad’u tadi berada dalam pertentangan antara dua sikap iaitu sikap menzahirkan dan sikap berdasarkan prinsip. Ini membawa mad’u terjebak di dalam kancah dosa seperti berdusta dan nifaq(pura-pura). Kalaulah dia diberi peluang untuk berfikir maka mungkin pendirian yang diambilnya itu berasaskan kepada prinsip yang jelas.Cara yang paling terbaik bagi menangani perkara ini ialah para daie janganlah terlalu segera dalam membuat keputusan. Berilah peluang kepada mad’u membuat keputusan secara langkah demi langkah dan beransur-ansur , dijelaskan kepadanya akibat-akibat jika menerima seruan dakwah di samping menyatakan harapan-harapn positif jika respontif terhadap seruan dakwah.
- Meletakkan masa sebagai salah satu faktor efektif keberkesanan dakwah akan meringankan tekanan yang dilalui oleh para daie terutama berdepan dengan kekecewaan dan keputusasaan. Mengambil kira faktor masa akan membuka ufuk yang luas bagi daie, sentiasa optimistik dan positif dan tinggi cita-citanya. Ia umpama seorang doktor yang berdepan dengan pesakitnya. Doktor itu tidak pernah berkata kepada pesakitnya : “ Buatlah sekali rawatan sahaja nanti akmu akan sembuh” tetapi katanya : “buatlah berkali-kali rawatan, dalam tempoh tertentu pasti kamu akan sembuh..”. Semoga para daie mencontohi sikap doktor yang bersabar dan tidak jemu merawat pesakitnya sehinggalah pesakitnya itu sembuh. Semuanya itu dikira berdasarkan faktor masa , kesabaran, keikhlasan dan kesungguhan di dalam mengubati pesakitnya. Daie ibarat doktor yang merawat umat yang sakit.Di hadapannya seribu satu macam manusia yang semuanya menuntut kepada faktor masa untuk sembuh.
Dikirim dalam DAKWAH | Tinggalkan Komen
Tinggalkan komen