Kaedah 9 : Lapangan dakwah luas,maka pilihlah orang yang terbaik untuk menerima seruan dakwah
( مجال الدعوة واسع فليتخير الداعية لدعوته)Dakwah di fasa Ta’sis (pengasasan) dan Takwen (pembinaan) memerlukan usaha yang berlipat ganda terutama untuk memilih anasir terpilih (nukhbah) agar dapat bergabung dengan kafilah dakwah. Memilih anasir soleh adalah mabda’ (prinsip asas) di dalam amal dakwah khususnya di fasa-fasa awal dakwah. Usaha ini dilakukan dengan amal tajmik dan dakwah fardiyah yang terancang, sistematik, bermanhaj dan bermarhalah.
Antara kaedah berdakwah di dalam memilih anasir-anasir terbaik ini ialah :
- Mulakan dengan orang yang dekat sebelum yang jauh.( القريب قبل لبعيد)
- Mulakan dengan orang yang muda sebelum dewasa. (الصغير قبل الكبير)
- Mulakan dengan orang yang tawadhuk dari yang sombong.( المتواضع قبل المتكبر)
- Mulakan dengan orang yang berilmu sebelum yang buta huruf. (المثقف قبل الأمي)
- Mulakan dengan orang yang belum intima’ dari yang sudah intima’.( غير المنتمي قبل المنتمي)
- Mulakan dengan kenalan kerja sebelum yang lain. (زميل في العمل قبل غيره)
a) Mulakan dengan orang yang paling dekat sebelum yang jauh.
Dakwah kita adalah dakwah untuk semua manusia. Tidak ada seorang manusia terlepas dari kita menyampaikan seruan dakwah. Memulakan dakwah dengan orang yang paling dekat hubungan ikatan kekeluargaan adalah keutamaan sebelum kita menyampaikan kepada orang yang jauh ikatan kekeluargaan.Ini kerana mereka amat dekat dengan kehidupan Sang Daie. Sang Daie amat mengenali latar kehidupan mereka, bergaul sejak kecil sehingga besar, memahami susah payah, kerenah dan keperluan mereka berbanding mereka yang jauh ikatan keakraban.
Mereka ini akan mudah mencela dan mencemuh para daie jika dia lalai dan mengabaikan dari mengambil berat urusan mereka dan mengutamakan yang jauh. Sang Daie ini adalah harapan mereka, dia bergelut dengan kehidupan mereka. Segala kesusahan, kepayahan, kesenangan mereka adalah dibawah tanggungjawab Sang Daie tadi dan dia pasti akan dipersoalkan di hadapan allah.
Prihatin dan pedulinya Sang daie terhadap hal kaum kerabatnya adalah tuntutan syarie sehinggakan Allah SWT menyebut di dalam al-Quran sebagai taujih kepada Rasulullah SAW :
“ dan berilah peringatan kepada ahli keluargamu dan kaum kerabatmu yang terdekat..” (Surah Syuara’ 214)
Imam Ar-Razi ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa “ kemudian dia memerintahnya (Muhammad) berdakwah kepada orang yang paling dekat denganya dan seterusnya yang dekat dengannya, yang demikian itu jika dia berkeras pada dirinya dahulu(sahut dakwah) kemudian pada orang yang paling dekat dengannya dan seterusnya yang paling dekat juga, maka tidak ada orang yang akan melemparkan fitnah terhadap dia (Muhammad), bahkan kata-katanya berguna dan member kesan..”.
Apabila turun ayat ini, Nabi SAW segera naik ke Bukit Sofa dan mengumpulkan kabilah-kabilah Quraisyh yang berbagai-bagai dan menyampaikan seruan dakwahnya. Ibnu Hajar menjelaskan bahawa hikmah memulakan dakwah pada kaum kerabat dahulu agar ia menjadi hujah untuk disampaikan dakwah pada orang lain setelah disampaikan pada orang yang terdekat dengannya, jika tidak ia menjadi sebab orang yang jauh darinya terhalang menerima seruan dakwah.
b) Mulakan dengan orang yang muda sebelum dewasa.
Berdakwah kepada orang yang muda lebih member kesan yang efektif berbanding orang dewasa. Ini kerana fikiran dan perilaku orang muda tidak dicemari dengan perkara negatif. Berinteraksi dengan anak-anak muda lebih mudah berbanding dengan orang yand dewasa disebabakan kedudukan social mereka, kesibukan kerjaya, tanggungjawab yang banyak dan takut kehilangan sumber kekayaan.
Anak-anak muda yang segera menyahut panggilan dakwah tadi mudah dibentuk dan dibina dan Sang daie tadi tidak memerlukan masa yang panjang untuk mentarbiyah mereka, menanggalkan karat-karat jahiliyah pada diri mereka berbanding generasi dewasa. Ini akan memudahkan proses menyemai benih-benih akhlak dan nilai-nilai Islam pada diri anak-anak muda ini.
Sejarah dakwah menyaksikan bahawa pendokong dakwah adalah terdiri dari kalangan anak-anak muda. Para pengikut awal dakwah Rasulullah SAW adalah terdiri dari kalangan orang muda seperti Saidina Ali, Zaid b. Harithah, Uthman dan sebagainya .Mereka adalah zuriat yang secara tabiinya menjadi pengikut para rasul dan penggerak dakwah. Ini bukanlah bermakna mengabaikan generasi dewasa tetapi menekankan betapa orang muda lebih mudah dan cepat menerima seruan dakwah. Menumpukan dakwah pada kelompok ini bermakna menyiapkan generasi masa depan. Pemuda hari ini, pemimpin hari esok. Mereka adalah masa depan umat.
c) Mulakan dengan orang yang tawadhuk dari yang sombong.
Mengutamakan untuk berdakwah kepada orang yang tawadhuk berbanding orang yang sombong kerana orang yang tawadhuk mudah dan senang menerima kebenaran. Manakala orang yang takbur pula selalu memandang remeh kebenaran dan memandang rendah orang lain.
Sejarah mencatatkan bahawa kebanyakan para pengikut dakwah para rasul-rasul terdiri dari kelompok kaya yang bersyukur, tawadhuk atau kalangan yang fakir, sabar dan lemah. Usaha menarik kelompok ini akan membawa keuntungan pada dakwah tanpa mengenepikan kelompok lain pada dakwah.
d) Mulakan dengan orang yang berilmu sebelum yang buta huruf.
Mendahulukan orang yang cerdik, pintar dan berilmu kerana mereka adalah kelompok sosial yang berpengaruh di dalam masyarakat dan berperanan merubah masyarakat berbanding mereka yang buta huruf. Pandangan dan hujah mereka diterima pakai di dalam masyarakat dan mendapat kedudukan penting.
Berdakwah kepada kelompok ini kerana mereka mudah menilai dan menimbang pandangan serta membuat pilihan terbaik dari pendapat yang dikemukakan. Mereka (golongan cendekiawan) adalah kelompok yang sering mengajukan pelbagai pandangan sesama mereka dan berbahas mencari hakikat kebenaran berdasarkan ilmu dan kefahaman mereka.
e) Mulakan dengan orang yang belum intima’ dari yang sudah intima’.
Memulakan dakwah kepada mereka yang kosong fikrahnya(tidak terikat kepada mana-mana ideologi) lebih diutamakan berbanding kepada orang yang sudah ada pandangan dan pendirian ideologinya.
Orang yang kosong intima’nya berada di titik tengah antara mereka yang sudah ada fahaman atau pendirian organisasi. Mereka ini lebih mudah didekati dan senang diajak untuk menerima kefahaman dan fikrah . Berbeza dengan orang yang sudah ada kefahaman dan kuat ideologinya, amat sukar meninggalkan fahaman dan anutannya. Usaha yang dikorbankan untuk merubah orang ini memerlukan tenaga yang berlipat kali ganda berbanding mereka yang masih kosong(tidak terikat dengan mana-mana intima’). Jika orang ini menyambut seruan dakwah tanpa atas rasa kerelaan dan kefahaman, maka dia akan berubah kepada dakwah ini dengan membawa pengalaman yang luas dan persiapan yang besar . Perkara seperti ini amat sedikit sekali berlaku.
f) Mulakan dengan kenalan kerja sebelum yang lain.
Kawan atau rakan adalah kenalan yang paling hamper denga Daie dan sering bertemu secara langsung atau tidak langsung. Memfokuskan dakwah kepada rakan sekerja lebih mudah dan senang kerana wujud mekanisme berkomunikasi dan titik penglibatan melaksanakan aktiviti secara bersama. Seorang doktor bersama para doktor lain lebih mampu berdakwah dikelompok yang sama berbanding berdakwah kepada kumpulan sasar yang terdiri dari para jurutera atau para guru.
Jika sang daie yang berkerjaya doktor tadi menampilkan perilaku yang baik, menjadi qudwah dikalangan mereka, suka berkhidmat, tidak mengejar habuan duniawi maka mudahlah baginya menarik mereka kepada dakwah dan mempengaruhinya.
Namun dalam melaksanakan dakwah, setiap Daie perlu dan wajib mengambil kira faktor marhalah (fasa dakwah) di dalam memilih mad’unya. Boleh jadi marhalah yang dilalui Sang daie itu adalah marhalah tajmik dan peluasan, boleh jadi juga dia melalui marhalah amal yang bertujuan mencapai matlamat tertentu seperti matlamat tarbawi, iktisadi (ekonomi) , sosial atau politik.
Setiap dakwah ada marhalahnya. Setiap marhalah ada tuntutannya dan setiap tuntutan itu ada rijalnya. Sejarah menunjukkan bahawa dakwah Nabi SAW melalui pelbagai fasa. Ketika Nabi SAW berdoa mengharap islamnya antara dua omar, ketika dakwah hanya berkembanmg dikalangan orang yang lemah dan fakir, maka peribadi yang bernama Umar menerima seruan dakwah dan ia amat bertepatan dengan fasa dakwah iaitu fasa dakwah secara terbuka. Maka Umar mengisytiharkan keislamannya dan dakwah telah masuk ke period baru iatu period dakwah secara terbuka.
Begitu juga penghantaran Mus’ab b. Umair R.A ke Madinah sebagai ketua atau naqib di sana adalah sebagai persiapan dan persediaan memasuki era penegakan daulah Islam.
Berdasarkan kisah pengislaman Umar dan penghantaran Mus’ab ke Madinah, kita dapat merumuskan bahawa peranan dakwah harus memasuki wilayah kekuasaan dan kekuatan masyarakat sehingga mampu membawa kepada proses transformasi dan taghyir. Begitu juga di dalam pengoperasian amal dakwah perlu mengambil kita keperluan marhalah (mura’at al-marhaliyah).
