
Firman Allah Taala di dalam surah al-‘Alaq (ayat 1-5) yang bermaksud:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah. Yang mengajar manusia apa yang ia tidak tahu..”
Sinopsis Umum
- Ayat 1-5 merupakan ayat terawal diturunkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ketika baginda menyendiri di Gua Hira.
- Ayat ini diturunkan ketika alam ditimbuni kegelapan jahiliyyah, ketika dunia didominasi kebejatan sosial, ketika kezaliman dan penindasan bermaharajalela dan ketika manusia hilang petunjuk dan pedoman.
- Ayat 1-5 adalah penyuluh kepada satu kehidupan, cahaya penyelamat kepada insan, penunjuk kebaikan buat umat dan pelopor kepada satu kebangkitan dengan pengutusan seorang Rasul, murabbi agung kepada alam jagat ini
- Ayat ini diturunkan di saat manusia teraba-raba mencari cahaya penyelamat akibat kesengsaraan hidup perhambaan kepada makhluk, mendewa-dewakan sistem ciptaan manusia yang jelas membawa kepada kebangkrapan nilai dan tatanan cara hidup bernegara.
- Ayat ini adalah isyarat bahawa dunia memerlukan seorang penyelamat ketika dihimpit dengan pelbagai penyakit kronik akibat jiwa yang gersang dari nilai-nilai Rabbani yang mengupayakan mereka keluar dari kemelut yang dahsyat ini.
(boleh rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran sebagai sumber rujukan)
Budaya Iqra dan Pendidikan Umat
- Kunci kemajuan sesuatu umat terletak kepada proses pendidikan umat tersebut. Proses inilah berpaksikan kepada budaya Iqra’ (membaca). Membaca dengan maksud memperdalamkan kualiti ilmu dan mengukuhkan institusi keilmuan.
- Budaya berfikir secara kritis dan kreatif adalah asas kepada budaya Iqra. Proses pengulangan ( latihan bertubi-tubi) adalah mekanisme pemantapan dan pengukuhan ilmu. Allah mengungkapkannya sebanyak dua kali dalam bentuk arahan.
- Berfikir dalam lapisan yang berbeza-beza sehingga menghasilkan jawapan dan solusi yang mantap berdasarkan ungkapan Iqra kali kedua. Ia juga menuntut bahawa proses membaca tidak sekadar secara literal tetapi kepada tingkatan analisis, sistaksis dan mampu membuat rumusan dan penilaian dari idea yang dicerna.
- Kemajuan sesuatu bangsa diukur dari keupayaan bangsa itu menghidupkan tradisi keilmuan dan budaya berfikir sehingga menghasilkan masyarakat berilmu ( knowledge society).
- Berilmu tidak sama dengan bermaklumat kerana proses dapatan ilmu itu berasaskan dari proses berfikir, membuat inferens, analisis, penaakulan dan kajian data yang terperinci dari sumber-sumber yang absah.
- Matlamat pendidikan itu ialah untuk mengenali pencipta, mengenali Rabb yang merupakan tuhan sekalian makhluk. Justeru pendidikan umat mesti berpaksikan kepada nilai akidah dengan menyuburkan makna rububiyah dan uluhiyyah.
- Dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan secara berulang-ulang agar ia dapat memberi kesan dan impak. Teknik pengulangan dan latih tubi merupakan salah satu proses P & P.
- Penggunaan qalam menunjukkan bahawa keutamaan menggunakan alat bantu mengajar dalam mengesani proses pengajaran dan pembelajaran.
- Pendidikan adalah proses long life learning( tarbiyah madal hayat ) berdasarkan kalimah allamal al-insan ma lam ya’lam. Proses taklim adalah melengkapkan keupayaan IQ, SQ,EQ seorang insan.
- Sesuatu umat bangun dan bangkit mempelopori dunia jika wujud budaya ilmu, research dan proses pendidikan umatnya terbina.
- Pendekatan saintifik adalah satu kaedah untuk membentuk nilai – nilai akidah umat.
- Kekuatan ilmu sesuatu umat apabila ia memiliki keimanan, berpemikiran saintifik dan jiwa penerokaan.
- Umat yang kukuh jatidiri adalah umat yang subur budaya membaca dan budaya penulisan.
- Sains Islam adalah sains yang berpaksikan ketuhanan dan pembuktian akidah yang sohih. Proses embriologi menunjukkan bahawa kejuruteraan Allah mengatasi segala-galanya. Ia menuntut umat menguasai disiplin ilmu sains sebagai asas membangun peradaban sejagat.
Iqra dan Proses Tarbiyah
- Dalam proses tarbiyyah memerlukan murabbi, mutarabbi, manhaj dan bi’ah. Ini merujuk kepada tindakan Jibrail sebagai Murabbi, Muhammad SAW sebagai Mutarabbi, al-Quran sebagai manhaj tarbiyyah yang diaplikasikan dalam suasana Nabi SAW berkhalwah di gua Hira’.
- Untuk mengukuhkan proses penyampaian modul tarbiyah, para murabbi perlu menggunakan bahan dan alat bantu mengajar sesuai dengan keperluan semasa. Ini akan mempercepatkan proses pemindahan ilmu dan lebih efektif dan menarik.
- Teknik touching (sentuhan) memberikan impak besar kepada mutarabbi atau mad’u sebagaimana pelukan Jibrail kepada Rasulullah SAW. Pelukan itu juga tanda bahawa ia ingin menyampaikan satu beban amanah yang cukup besar dan dapat memberikan keyakinan kepada sang mutarabbi.
- Proses tarbiyyah bersifat istimrar dan perlu kepada tadrib (latihan) agar input-input tarbiyah mampu membina peribadi mutarabbi.
- Manhaj tarbiyyah berorientasikan kepada pengukuhan akidah dan keimanan. Iman dipasakkan ke jiwa mutarabbi dengan membuat perkaitan dengan ilmu-ilmu sains.
- Tarbiyah ialah untuk melahirkan seorang muslim yang memahami matlamat kewujudannya sebagai insan iaitu makrifatullah dan ubudiyatillahi wahdah.
- Tarbiyah sifatnya adalah tadarruj (beransur-ansur) kerana proses pembentukan manusia pun berperingkat-peringkat dan bertahap.
- Murabbi perlu memahami bahawa untuk merubah manusia ( mad’u) adalah proses yang panjang dan sukar serta memerlukan kesabaran kerana hakikatnya manusia dijadikan begitu kompleks.
- Sang Murabbi perlu meningkatkan kompetensi diri dengan memiliki kualiti keilmuan dengan meningkatkan tahap pembacaan dan penguasaan pelbagai ilmu sama ada Ulum Syarieyyah atau Ulum Istibanah.
Moga kita menjadi umat membaca dan menulis untuk membangun peradaban sejagat.
salam. shukran.