
I
Dalam kelam yang benderang ini, sayangku
Umi melihat dadamu nan perih
Kaki dan tanganmu nan kudung
Atmamu nan pedih
Dan perjuanganmu tersadung.
Namun,
Lestarikanlah celek iman dan akalmu
Gah mantapkan aura dan aroma syurgawi
Ke detik akhir
Hingga kau diundang kembali.
Wiraku,
Umi merelakan susu yang mengalir di tubuhmu
Darah merah di sarafmu
Roh wangi di jasadmu.
Umi relakan
Kaugempur dengan perkasa
Bulatkan tekad dan niat
Padukan tenaga dan kuasa
Sekali-kali kita tidak rela dianiaya.
Ini tanah milik kita!
Ini hak kita!
Biarlah tanah merah
Biarlah langit merah
Biarlah udara merah
Biarlah tanah, langit dan udara meratah mengunyah
Jasad dan roh warisan bertuah
Jangan sekali-kali menyerah!
Jangan sekali-kali mengalah!
Dalam gelap nan gemerlip ini, sayangku
Umi mengamati nur syahdu
Tersebar dari segenap penjuru
Setiap jiwa bersemangat jitu
Menegakkan kebenaran
Menghakis kemungkaran.
Kita relakan kewujudan nan sementara
Menjadi benteng ke titik mula.
Kita bangsa bermaruah, sayang
Kita bangsa beramanah
Tidak gentar dengan ugutan cela
Tidak serik dengan ancaman durja.

2
Umi,
Dengan kegetiran yang menyayatkan ini
Bayi, ibu bapa, kaum keluarga dan bangsaku
Bermandian darah
Tersungkur rebah.
Warisanmu ini, Umi
Tiada gundah
Tiada sekali-kali pasrah
Sebelum kekejaman kukunyah-kunyah!
Ini darah perwira yang kaualirkan
Ini semangat juang yang kausemarakkan
Ini pembela bangsa yang kaujelmakan
Apungkan permohonanmu
Panjatkan doamu, Umi
Biar kami berputih tulang
Berputih mata sekali-kali jangan!
Terima kasih, Umi
Dikau perkasakan cekal dan akalku ini
Untuk mengenal hak
Mengenal kewujudan dan tanggungjawab
Mengenal Dia Yang Satu dan Maha Mengetahui.
Terima kasih, Umi
Kita berjuang bersama-sama
Kita ke sasar yang serupa
Untuk kembali ke gapura
Pertemuan yang bermakna!

3
Duhai Palestin!
Tangisanmu menerobos
Pelosok dunia
Jeritanmu bergema
Merentas cakerawala
Dan darahmu memercik
Di mana-mana.
Dikau, Palestin!
Tetap teguh ditatang di dasar sukma
Empati yang penuh erti
Mekar mengharum sanubari ummah
Kejap setia di sisi
Berukhuwah hakiki.
Deritamu,
Amarahmu
Dan kebangkitanmu
Mercup dipugar kejelekitan
Kami tidak pernah alpa
Demi kasih nan setia.
Palestin
Oh, Palestin!
Gelombang garang nan menerjah
Mari kita benteng dengan suara dan tenaga raksasa
Dengan kuasa iman dan ukhuwah
Dan pengorbanan tulus ikhlas.
Biar mereka sedar
Biar dunia gegar
Islam bersatu
Menggempur
Kerakusan seteru!
Mahaya Mohd.Yassin 17 Julai 2009
Rumah Rindu, Taman Paroi Jaya, Seremban.
(dibacakan pada Malam Aspirasi Seni 2009 - ISMA Seremban Pusat Dakwah Islamiah Paroi 1 Ogos 2009)
sedih hu hu